[SNEAK PEEK] CINTA AKU SEADANYA

9789831245965-medium

CINTA AKU SEADANYA Oleh Murni Aqila

DARI meja kaunter bayaran, Luna merenung pintu masuk salunnya. Ternanti-nanti wajah yang ingin ditatapnya setiap hari. Sejak membeli kedai itu tiga bulan lalu, dia sering terpandangkan satu wajah. Dan seraut wajah itu kini mula dirindu. Sukar untuk menelah apa sebenarnya yang sedang bermukim di hatinya kini.

Masih terbayang di mindanya bagaimana kali pertama dia bertemu dengan seraut wajah itu. Malunya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Dapat dirasakan wajahnya panas sewaktu memandang lelaki itu. Dia langsung tidak sedar kereta yang hendak diparkirnya telah mencalarkan sebuah kereta yang terparkir di sebelahnya. Ironinya pula, pemilik kereta tersebut adalah lelaki itu, yang kebetulan sedang berada di depan keretanya!

Sebaik keluar dari kereta, lelaki itu menerpa ke arah keretanya. Ketika itulah baru dia sedar. Dengan rasa bersalah, dia terus membayar kerosakan tersebut tanpa sempat lelaki itu bersuara. Walaupun lelaki itu beriak tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, dia tetap sedar yang dia telah melakukan kesalahan.

Ketika itu barulah dia tahu nama lelaki itu… Muszahri. Belum pernah dia mendengar nama sebegitu. Begitu indah pada pendengarannya. Begitu manis pada pandangannya. Wajah Muszahri cukup tenang. Dengan wajah maskulin dan gaya metroseksual yang semakin popular kini, jejaka itu memang layak dipanggil pengurus. Lalu, mereka bertukar-tukar kad perniagaan. Begitulah bermulanya perkenalan mereka.

Namun, hanya dia yang memulakan langkah. Dia yang sering membuat panggilan dan menghantar SMS kepada Muszahri. Sehingga mula timbul perasaan malu apabila jejaka itu mengatakan dirinya sedang sibuk bekerja sehingga tidak sempat membalas SMSnya. Sedangkan hatinya mengasak-asak agar terus mendekati Muszahri. Ada sesuatu dalam diri lelaki itu yang menarik hatinya, bagaikan magnet.

Mengenangkan jiwa yang semakin parah dipanah cinta, dia cuba memikirkan jalan dan arah terbaik untuk menawan hati Muszahri. Jejaka itu kelihatan sukar untuk ditawan. Kenapa ya? Sudah berpunya barangkali. Tetapi sepanjang tiga bulan ini, tidak pernah sekali pun dia nampak Muszahri bersama gadis lain. Dan dia tahu jejaka itu belum bergelar suami orang walaupun sudah berusia 28 tahun.

Memikirkan perihal Muszahri membuatkan fikirannya kacau-bilau. Ada kala mengganggu konsentrasi kerjanya. Sudah dicuba untuk melupakan jejaka itu, tetapi cuma bertahan seketika sahaja. Aduh… memang dia sudah parah!

“Hah, berangan!”

Terkejut Luna apabila bahunya ditepuk dari belakang. Dia menoleh. Sepupunya sedang tersengih-sengih memandangnya. “Kau ni, Nurin… main sergah-sergah aje!” Rambut perangnya yang berpotongan layer dimainkan dengan hujung jari. Matanya masih terarah ke pintu salun.

“Pintu cermin tu boleh cair kalau kau tenung lama-lama. Hei, sekarang baru pukul 12.00! Satu jam lagi baru waktu rehat. Lambat lagi orang tu nak turun. Sempat lagi kalau kau nak buat rambut. Aku tengok, rambut kau ni kusam sikitlah. Aku boleh buatkan sementara pelanggan tak ramai ni, nak? Jomlah! Barulah orang tu pandang kau sampai berpusing kepalanya 360 darjah,” usik Nurin.

Luna mencebik, berpura-pura seakan-akan usikan Nurin itu tidak mengenainya langsung. Dia memandang seorang pelanggannya yang sedang membuat rawatan stim rambut. Pada hari-hari biasa, pelanggan yang datang agak kurang berbanding pada hujung minggu.

Jam tangan dikerling. Betullah… baru pukul 12.00. Lambatnya nak tunggu pukul 1.00. Dia mengeluh sendiri. Tidak mengapalah jika dia sahaja yang mabuk dilamun cinta. Mungkin Muszahri memerlukan masa untuk menyedari betapa dia benar-benar sudah jatuh hati pada jejaka itu.

“Aku risau tengok kau ni, Luna. Kau tak pernah macam ni, tau! Aku rasa, baik kau dapatkan ubat sebelum melarat jadi kanser.”

Luna menggeleng-geleng sambil tergelak. “Apa yang kau merepek ni? Siap nak suruh aku ambil ubat lagi. Sakit kanser, konon. Aku okeylah…”

Nurin mencebir. Okey ke kalau asyik tenung pintu? Sejak salun dibuka pukul 10.30 pagi tadi sampailah sekarang, tak berkelip-kelip dia merenung pintu. Orang angau saja yang buat macam itu.

SETELAH selesai menjamu selera, bayang Muszahri masih tidak kelihatan. Baik Mahdi, Farizal atau Hazim… kesemua mereka tidak tahu ke mana anak sulungnya itu pergi. Padahal, kerja sepejabat.

“Abang memang tak tahu ke Mus pergi mana?” Sekali lagi Nafisah bertanya kepada suaminya itu.

“Tak tahu. Dia kat ofis lagi masa abang balik pukul 6.00 tadi. Dia kata nak balik sebelum maghrib. Tak ada pulak dia cakap nak ke mana-mana.” Mahdi menuju ke ruang tamu. Berita jam 8.00 malam memang ditunggu-tunggunya setiap hari.

“Tipah… kamu kemaskan meja ni. Kalau Mus balik nanti, kamu hidangkan untuk dia,” arah Nafisah kepada pembantu rumahnya.

“Kejaplah, mama… Hazim makan pun tak habis lagi ni.” Terhenti terus suapan Hazim. Dilihatnya Farizal sedang membasuh tangan.

“Lepas Hazim siap makanlah. Takkan Tipah tu nak kemas masa kamu tengah makan!” Nafisah menggeleng. Anaknya yang seorang itu memang kuat makan. Malah, dialah selalu yang paling lambat habis.

Tipah tersenyum-senyum memandang Hazim yang menambah sesenduk nasi lagi.

Nafisah berlalu ke ruang tamu mendapatkan Mahdi. “Saya nak ke butik balik ni, bang. Nak tutup butik tu. Kesian Donna dan Lili berdua kat sana.”

“Tak payahlah… Donna dengan Lili tu kan boleh tutupkan.” Mahdi menghalang. Matanya masih terpaku ke arah televisyen.

“Alah bang, bukannya jauh sangat pun! Tak sampai lima minit dah sampai. Memanglah budak dua orang tu boleh diharap, tapi saya kesian jugak tengok budak berdua tu. Kerja dari pagi sampai ke malam. Nanti saya ingat, nak bagi bubur jagung yang Tipah buat pada budak-budak tu.” Nafisah menjengah ke pintu utama rumah apabila terdengar ia dibuka dari luar. Wajah Muszahri terpacul di situ.

“Hah, balik pun budak ni. Panjang umur… semua dah makan, Mus. Kamu makanlah kat dapur. Hazim tengah makan lagi agaknya tu,” sapanya.

Muszahri mengeluh, melepaskan lelahnya lalu mengambil tempat di sebelah papanya. “Mus nak mandi dulu ni. Penat sangat rasanya.”

“Mus pergi mana tadi? Mama telefon handphone tak berjawab. Telefon ofis pun tak berangkat.”

Muszahri meleretkan sebaris senyuman. “Mus hantar dokumen tuntutan pada klien kat hospital sambil ziarah sekali anak dia yang sakit tu. Kat hospital, Mus kena off handphone.”

Nafisah melirikkan senyuman. “Hmm… pergilah mandi. Lepas tu makan. Mama nak ke butik balik ni. Nak temankan mama?”

Cepat-cepat Muszahri menggeleng. “Tak apalah. Mus penat…”

“Err… kamu tak ada calon lagi ke, Mus? Yang boleh dibuat isteri?” Tiba-tiba terluah pula soalan itu dari bibir Nafisah.

“Soalan apa pulak ni, mama? Tiba-tiba aje?” Muszahri tergelak.

“Kalau kamu dah ada isteri nanti, bolehlah dia tolong urut-urutkan kamu bila kamu penat macam ni. Betul tak, bang?” Nafisah menepuk manja paha suaminya.

Mahdi tersenyum meleret.

Muszahri menjongketkan kening. Papa dan mamanya beria-ia sangat mahu dia kahwin, tetapi mahu kahwin dengan siapa? Dia sendiri pelik. Setiap kali berhadapan dengan mana-mana perempuan, dia langsung tidak rasa apa-apa. Walau dihadapkan dengan gadis-gadis cantik, itu belum cukup menawan hatinya. Entahlah…

****

YUSUF terus memandu pulang sebaik sahaja mendapat panggilan Syifa. Anaknya itu mahu ditemani ke kedai alat jahitan. Dia tidak kisah walau diajak ke mana sahaja oleh Syifa. Walaupun sudah membawa teksi jauh beribu batu, dia sanggup berpatah balik demi untuk menggembirakan hati Syifa.

Tidak pernah dia merungut bila berkaitan dengan Syifa. Dia faham benar dengan sifat dan sikap Syifa. Gadis itu memiliki sifat rendah diri yang terlalu dominan. Sifat itu telah berkerak dalam diri Syifa sehingga tidak mampu dikalis lagi.

Dia memberhentikan teksi betul-betul di depan rumah, menanti Syifa di situ. Syifa keluar mendapatkannya tidak lama kemudian. Gadis itu seperti biasa, memakai tudung hingga ke depan, hampir menutupi keseluruhan pipinya. Memakai cermin mata yang agak besar dan kalau berjalan, sentiasa menunduk.

“Assalamualaikum, baba…” Syifa menghulurkan salam sejurus mengambil tempat di dalam teksi.

“Waalaikumussalam… Syifa nak ke mana ni?”

“Kedai biasa, baba… tempat Syifa beli manik selalu tu,” balas Syifa riang.

Yusuf memandu teksinya menuju ke pusat bandar Puchong. “Banyak ke Syifa nak beli?”

“Banyak jugak. Baju yang Auntie Fisah bagi hari tu, banyak warna yang Syifa tak ada. Lagipun, Syifa cadang nak beli manik jenis terbaru. Mesti Auntie Fisah suka.”

Yusuf tersenyum sambil melirik ke arah beg kertas yang dipegang Syifa. Pasti itu baju-baju yang Nafisah berikan kepadanya.

SAMPAI sahaja di kedai yang dimaksudkan, dia terus menonong menuju ke bahagian manik dan labuci. Tidak dipedulikan pada yang lain lagi. Ghairah dia melihat manik-manik baru yang terpampang di hadapan mata. Semuanya cantik-cantik belaka. Kombinasi warna yang ingin dibeli juga terlalu banyak pilihan. Memang rambang mata. Itu belum memilih labuci lagi. Memang akan memakan masa sejam atau lebih.

Yusuf menggeleng-geleng melihat gelagat Syifa. Dengan melihat manik sahaja, Syifa boleh lupa di mana dia berada. Begitu khayal dia memilih. Begitu juga jika jarum sudah berada di tangannya. Langsung tidak ingat hal-hal lain sebaik sahaja dia mula menjahit manik. Pelik betul!

Dia yang sudah penat, sekadar duduk memerhatikan Syifa dalam dunianya sendiri.

Sedang Syifa tekun membelek manik yang sesuai, dia seperti terperasan seseorang sedang merenung ke arahnya. Dengan ekor mata, dia melirik sedikit. Benar, ada seseorang berdiri hampir dengannya. Perlahan-lahan dia menoleh.

Seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan tiga tahun sedang memandang tepat ke arahnya. Dia cuba mengukir senyuman, namun kanak-kanak itu terus sahaja memandangnya tidak berkelip.

Spontan, dia memegang pipi kirinya sendiri. Dia tahu, bahagian itu yang menjadi tumpuan, yang membuatkan mata kanak-kanak itu terbeliak. Walaupun sudah memakai tudung agak ke hadapan dan memakai cermin mata besar, tanda lahir itu masih kelihatan di hujung-hujungnya. Itulah yang membuatkan tumpuan kanak-kanak itu tidak beralih dari wajahnya.

Syifa menelan liur. Dia mengalihkan pandangan, kembali membelek manik-manik yang hendak dibeli. Di dadanya, terasa debaran kencang. Mukanya mulai pucat. Hatinya berasa tidak sedap. Dia cuba memberi sepenuh tumpuan pada tujuan asal dia di situ. Menggigil-gigil tangannya memilih paket-paket manik yang hendak dibeli.

Sesudah memilih, dia bergegas ke bahagian labuci pula. Semuanya dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Dicapai apa sahaja yang terpandang olehnya. Dia mahu segera beredar dari situ. Dia perasan, kanak-kanak itu masih berdiri di tempat tadi. Tidak berkutik memandangnya. Dia hilang arah.

“Eh, anak mummy kat sini rupanya! Puas mummy cari.”

Kedengaran suara seorang wanita. Spontan, dia menoleh ke arah kanak-kanak tadi. Tanpa disangka-sangka, kanak-kanak itu menangis kuat sambil menunjuk ke arahnya. Wanita yang pasti ibunya itu terburu-buru mendukung anaknya sambil memujuk.

Syifa jadi kaget di tempat dia berdiri. Apatah lagi bila melihat ibu kanak-kanak itu memandang semacam ke arahnya. Tuan kedai dan beberapa orang pelanggan lain menerpa ke arah mereka. Masing-masing terpinga-pinga.

“Kenapa anak mummy ni? Kenapa menangis?” pujuk wanita itu sambil menyeka air mata anaknya.

Kanak-kanak itu terus-menerus menunjuk ke arah Syifa dengan tangisan yang semakin kuat.

“Kau buat apa kat anak aku?”

Tersentak Syifa bila disoal sebegitu kasar. Tergagap-gagap dia mahu menjawab. Hanya gelengan yang terzahir olehnya.

“Muka kau yang berkeladak tu menakutkan anak aku! Takkan kau tak sedar lagi? Jangan keluar rumah lagi baiklah. Peram muka kau tu supaya tak ada orang ngeri tengok kau!” cerca wanita itu dengan wajah bengis.

Menggeletar seluruh tubuh Syifa menerima penghinaan itu. Terasa lembik lutut untuk menampung sekujur tubuhnya.

Yusuf muncul di tengah-tengah keributan itu lalu menarik Syifa ke arah teksi tanpa memandang wanita yang menjerkah anaknya. “Syifa tunggu baba kat sini. Baba pergi bayarkan harga manik-manik ni semua. Nanti baba datang balik,” pesan Yusuf sebelum berlalu.

Serta-merta, air mata Syifa yang cuba ditahan sedari tadi tumpah di dalam teksi babanya. Tersedu-sedan dia menangis. Dia tidak peduli. Tiada sesiapa yang mendengar tangisannya di situ. Entah apalah nasibnya, sering menjadi bahan hinaan.

Pedih jiwanya mendengar herdikan wanita itu tadi. Seperti biasa, wajah hodohnya dijadikan sasaran. Benarkah wajahnya menakutkan orang lain? Hodoh sangatkah wajahnya itu apabila ditatap? Mungkin benar. Jika tidak, kanak-kanak tadi tidak mungkin menangis melihat wajahnya. Dan kalau tidak, sudah tentu dia sering diejek selama ini.

Merintih-rintih dia meratap di dalam hati. Banyak mana lagi ujian yang harus dikendong seumur hidupnya? Dilahirkan dengan kekurangan itu, pasti tiada istilah ‘bahagia’ yang akan dikecapinya sampai bila-bila. Dia pasti, dia tidak akan bahagia sehinggalah nyawanya ditarik ALLAH. Semakin basah pipinya mengenangkan untung nasib diri.

NURIN baru saja siap melayan seorang pelanggan. Luna menerima bayaran yang dikenakan kepada pelanggan itu sebelum mengucapkan ‘terima kasih’ dan ‘datang lagi’ dengan penuh sopan dan senyuman manis.

Sebaik sahaja pelanggan itu berlalu keluar, dia kembali melangut, menanti pelanggan lain. Ada sesuatu yang mengusik hatinya. Sekejap-sekejap dia memanjangkan leher menjengah ke luar cermin pintu. Dari situ, dia nampak kereta Muszahri terpamer megah. Nampak keretanya pun jadilah.

“Lama-lama, leher kau tu panjang macam zirafah!”

Luna mengeluh. Nampak aje apa aku buat si Nurin ni. Dia menghadap laptop pula. Membaca berita-berita muktahir secara online. Sekurang-kurangnya, dia dapat mengawal diri daripada kelihatan terlalu ketara sedang merindui seseorang.

Nurin sengaja mengambil tempat di sebelah Luna, mengintai sekilas skrin laptop sepupunya itu. “Hati kau boleh jahanam kalau dibiarkan. Macam gunting rambut ni.” Dia mengacip-ngacipkan alat yang sedang dipegangnya itu. “Lama-lama boleh berkarat tau kalau tak guna.”

Kata-kata Nurin itu juga sama seperti gunting itu. Tajam! Luna cuba untuk tidak menghiraukan Nurin, tetapi hatinya makin jadi tidak keruan.

“Tak salah kalau orang perempuan mulakan langkah dulu. Bukannya buat dosa pun. Bukannya kita merompak. Apalah yang susah sangat? Cakap aje apa yang ada dalam hati kau tu. Dia nak dengar ke, tak nak ke… belakang kira.”

Luna menoleh memandang Nurin. Cakap bukan main sedap lagi. Memang senang. Yang akan berdepan dengan hal ni gabra semacam, apa dia tahu? Dia menjeling geram.

Riak wajah Luna sudah jelas membuatkan Nurin turut merasa kemelut yang melanda hati gadis itu. Luna pun mengada-ngada. Dengan muka cun, bergaya mengikut fesyen semasa… senang-senang saja mahu pikat si Muszahri tu. Kalau dia jadi Luna, silap-silap dah lama dia jadi tunang jejaka itu.

“Kalau Mus tu macam lelaki-lelaki lain, tak adalah aku melepek macam ni. Dia tu… hisy, susahlah nak cakap macam mana.” Akhirnya Luna bersuara juga.

Nurin mencebik. “Kenapa? Ayat manis madu menikam sukma kau tu dah sampai tarikh luput ke? Dah tak jalan?” Sinis nada pertanyaan itu.

Luna menjeling sepupunya. Kau ingat, aku ni playgirl? Memang aku ramai kawan lelaki. Tapi setakat kawan aje. Dia orang tu yang lebih-lebih dengan aku. Aku bolayan aje semuanya. Tak ada yang betul-betul menepati cita rasa.

Nurin mengangguk. Dia faham apa yang Luna alami sebenarnya. Entahlah… pelik, kerana cinta Luna boleh jadi sangat berbeza. “Beginilah… si Mus tu kan ada syarikat insurans. Tak reti-reti nak fikir? Buat-buatlah macam kau nak beli insurans dia. Sambil-sambil tu, kau cubalah beli sekali hati dia.” Dia mengangkat-angkat kening memandang Luna sambil tersenyum penuh makna.

Luna terdiam, cuba memikirkan cadangan Nurin itu. Dia berkira-kira. Beli insurans? Salunnya itu sudah pun diinsuranskan. Jadi, apa lagi? Ligat otaknya bekerja. Semuanya semata-mata kerana ingin mendekati Muszahri.

TEKSI Yusuf sudah berada di pekarangan rumah. Sepanjang perjalanan pulang, dia tidak putus-putus cuba meredakan perasaan Syifa. Syifa hanya diam membatu di dalam teksinya. Kejadian yang berlaku di kedai tadi, bukan kali pertama. Sudah banyak kali Syifa berhadapan dengan peristiwa sebegitu.

Namun, hati Syifa tetap lut. Masih tidak mampu bertahan apabila diejek dan dihina begitu. Walaupun bukan wajahnya yang hodoh, dia tetap terasa apabila anaknya itu dikeji sedemikian rupa. Ayah mana yang sanggup melihat anaknya sendiri dicerca?

Selepas membayar harga manik-manik Syifa tadi, sempat dia membalas cacian wanita yang menghina anaknya secara terang-terangan itu. Dia dengan nada sinis mengatakan bahawa wanita itu tidak layak hidup di dunia kerana tergamak mengeji ciptaan ALLAH. Dia dapat menangkap riak tergamam wanita itu sejurus mendengar kata-katanya.

“Kak Zahra datang, baba…” kata Syifa sambil membuka tali pinggang keledar. “Baru sampai agaknya.”

“Datang tak beritahu dulu. Pintu pagar tu macam mana dia buka? Ada kunci sendiri ke?” omel Yusuf lalu keluar dari teksinya. Dia membantu Syifa mengeluarkan barang-barang yang dibelinya dari tempat duduk belakang.

“Hari tu, Kak Zahra ada duplicate kunci rumah. Senang nak datang katanya,” jawab Syifa. Dia lantas melaungkan salam di muka pintu.

Zahra terjengul di situ bersama sepasang anaknya. Tersenyum lebar Syifa melihat anak-anak buahnya memanggil. Dipeluk cium Sofian dan Sofia penuh rindu sebelum bersalaman dengan kakaknya pula.

“Bila kamu sampai, Zahra?” tanya Yusuf.

“Dah setengah jam tunggu. Saja singgah ke sini. Duduk kat rumah pun tak ada apa nak buat,” jawab Zahra setelah mencium tangan babanya. “Kau beli manik lagi, Syifa?” Dia berbasa-basi dengan adiknya pula.

Syifa mengangguk. “Dapat banyak tempahan. Saja beli lebih sikit, senang nak pilih warna yang sesuai.”

“Mak su… mak su ada beli buku cerita untuk Yan tak?” Sofian bertanya sambil sibuk menyelak-nyelak beg plastik yang dijinjing oleh atuknya tadi.

“Yan tak beritahu awal-awal nak datang. Kalau tak, mak su dah belikan buku untuk Yan. Untuk Sofia sekali mak su belikan.” Syifa melepaskan lelahnya di sofa. Kedua-dua anak saudaranya mengambil tempat di kiri dan kanannya.

“Baru tiga tahun, dah sibuk nak beli buku. Bukan tahu baca pun!” Zahra menyergah anak lelakinya itu.

Terkulat-kulat Sofian dibuatnya. Syifa yang perasan perubahan Sofian, cepat-cepat mengusap kepala kanak-kanak itu. Zahra selalu tegas tidak bertempat. Baginya, anak itu punya minat membaca walaupun masih tidak tahu mengeja. Sepatutnya digalakkan. Hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Dia membebel-bebel sendiri di dalam hati.

“Ayah temankan Syifa beli semua barang ni?” Mata Zahra melilau memandang beberapa beg plastik yang diletakkan di atas meja itu.

Yusuf yang duduk di hadapan Syifa sekadar mengangguk. Dia sudah mula mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan apabila Zahra bertandang ke rumah itu. Gaya percakapannya juga serius semacam.

“Tak boleh ke baba biarkan Syifa pergi beli sendiri? Suruh dia berdikari. Suka sangat menyusahkan orang lain. Ada kaki, ada tangan, tapi tak nak usaha sendiri. Orang cacat pun reti tak menyusahkan oranglah!”

Suara Zahra itu bagai petir menusuk pendengaran Syifa. Serta-merta perasaan sebak menghurung diri, hingga kerongkongnya berasa keras cuba menahan kepiluan yang bergendang di hati. Dia tiada kekuatan untuk memandang wajah Zahra.

Hatinya merintih hiba. Kenapa Zahra melayannya begini? Mana perginya kasih seorang kakak yang sepatutnya dicurahkan sebagai pengganti kasih arwah ibu? Disebabkan berwajah hodoh, maka dirasakan dia tidak memerlukan kasih sayang dan perhatian? Air mata Syifa mula bergenangan. Sudahlah tadi dia dicerca. Kini, kata-kata kakaknya pula menggoreskan perasaan. Tidak sudah-sudah dia dilukai hanya kerana tanda lahir di pipi.

“Makin lama, makin naik lemak! Baba pun selalu manjakan dia. Layankan sangat kehendak dia tu. Tahulah anak bongsu, tapi tak payahlah bagi muka sangat. Suka-suka hati aje nak mengarah itu ini. Dia ingat dia tu siapa? Puteri raja? Eeiii… sedarlah diri tu sikit!” bentak Zahra lagi dengan riak bengis. Dijelingnya wajah Syifa yang menunduk. Menyampah!

Sesak dada Syifa menahan sebak yang bergelodak. Kerongkongnya pula terasa perit dek pilu yang mengasak. Nafasnya juga seperti tersekat-sekat. Dia cuba mempertahankan hati yang mudah robek itu.

“Eh, baba rasa laparlah. Syifa, tolong hidangkan nasi untuk baba. Kita makan sama-sama.” Yusuf segera mencelah, bertindak sebagai pelerai kekusutan itu.

Dia tidak mahu ada sebarang pertikaman lidah berlaku di dalam rumahnya. Dia kasihankan Syifa. Tidak cukup di kedai tadi, Syifa dihina. Di rumah pun Syifa dicerca, ditengking sedemikian rupa. Terus dia berlalu ke ruang dapur tanpa mempelawa Zahra yang tidak sayang mulut itu. Biar anaknya itu terasa.

Dalam kepayahan menelan kata-kata Zahra, Syifa menuruti sahaja arahan babanya. Dia berdiri, tetapi secara tidak sengaja matanya bertentangan dengan Zahra. Wajah wanita itu menikam pandangan. Terus tumpah air matanya tanpa dapat disembunyikan lagi. Selalu Zahra datang ke situ menyakitkan hatinya. Dia tidak tahu puncanya.

Kenapa, Kak Zahra? Kenapa? Kenapa layan Syifa begini? Sebelum ibu meninggal, Kak Zahra tidak pernah begini. Tapi sekarang, kata-kata Kak Zahra selalu pedih bagaikan belati menusuk hati setiap kali bertandang ke rumah ini. Kenapa? Apa salah Syifa? Dia bingung memikirkannya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81519/Cinta-Aku-Seadanya