[REVIEW] GURU SEBAGAI MENTOR

GURU SEBAGAI MENTOR Oleh Salhah Abdullah dan Ainon Mohd

Buku ini dapat membimbing guru menjadi mentor kepada pelajar, guru permulaan, guru pelatih dan rakan guru. Antara perkara menarik yang dibincangkan adalah aplikasi teori psikologi dalam pementoran, kemahiran mengurus pementoran dan cara mengurus program.


Bukan semua orang boleh menjadi mentor. Di dalam buku ini ada menyatakan bukan semua guru boleh menjadi jurulatih, bukan semua kaunselor  boleh menjadi mentor, bukan fasilitator boleh menjadi jurulatih. Hal ini kerana hubungan mentee dan mentor menjangkau lebih daripada kaunselor.  Apa yang penting bagi seorang mentor ialah kejayaan menteenya. Mentor juga harus tahu kekuatan dan kelemahan menteenya. Antara lain yang terkandung di dalam buku ini juga adalah mentor bukan sahaja perlu mahir dalam kemahiran mendengar dengan aktif malah mereka juga perlu menguasai seni serta kemahiran mendengar secara reflektif.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/214/Guru-Sebagai-Mentor

[SNEAK PEEK] BOLEHKAH BERCOUPLE?

BOLEHKAH BERCOUPLE Oleh Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Ada pro dan kontra dalam persoalan bercinta sebelum kahwin. Ada yang bersetuju dan ada yang menentang. Dalam persoalan ini, tidak dinafikan ramai pasangan yang sedang bercinta, mencari cinta dan menanti cinta. Cinta adalah rasa dan perasaan dalam hati. Ia sesuatu yang fitrah.

Namun persoalan yang lebih penting ialah bagaimana cinta itu dibudayakan dalam kehidupan. Jika ditelusuri budaya cinta hari ini, memang confirm budaya cinta hari ini ialah sesuatu yang bertentang dengan hukum syarak. Perhatikanlah sekeliling kita bagaimana pasangan yang bercinta. Halal haram sudah tiada dalam diari pertimbangan hidup. Yang penting adalah enjoy, happy dan menikmati nikmat dunia.

Namun, jika cinta dijaga dengan hukum syarak, maka cinta sebegini adalah harus. Perlu diingat, keberkatan kehidupan berkait rapat dengan kehidupan seseorang. Jika dijaga hukum syarak dengan baik, maka insya-Allah hidupnya berkat. Jika tidak dijaga, maka keberkatannya akan hilang sedikit demi sedikit.

Oleh sebab itu, ada ungkapan bahawa;

‘Setiap saat pasangan itu bercinta, maka hilang keberkatan’.

Mungkin ada kebenaran ungkapan sebegini. Berkat adalah limpahan kebaikan daripada Allah. Bagi mendapatkan keberkatan, maka kehidupan hendaklah berpandukan syarak. Keberkatan makanan yang sedikit namun jika dikongsi akan mencukupi untuk beberapa orang. Anak yang taat kepada ibu bapa dan berbuat ihsan akan mendapat ganjaran pahala dan hidupnya diberkati. Keberkatan ini zahir dalam kehidupan.

Kalau boleh diambil sedikit masa untuk dikaji bagaimana peratusan kes-kes perceraian. Sudah tentu antara sebabnya ialah kecurangan yang berlaku selepas pernikahan. Si suami curang, dan mungkin juga si isteri bersikap curang. Mungkin tidak puas dengan layanan pasangan masingmasing. Mungkin tidak wujud lagi nilai percaya atau trust terhadap pasangan.

Biasanya ketika zaman bercouple, semuanya indah belaka dan wangi belaka. Hatta kalau bau kentut yang memang semua orang yakin akan busuknya, namun bagi pasangan yang bercinta, bau kentut adalah nikmat. Kalau sesuatu terjadi kepada pasangan, hatinya menggelabah tidak keruan. Kalau ada yang bermusuh dengan pasangan kekasihnya, semuanya juga akan menjadi musuh baginya.

****

Apa yang dibincangkan dalam buku ini adalah panduan hukum dalam interaksi hubungan antara lelaki dan wanita khususnya buat pasangan yang sedang bercinta dengan harapan dapat memahami objektif sebenarnya cinta dan mengawalnya serta menguruskannya berdasarkan syariat agar hubungan yang ada menghasilkan berkat. Jika ada istilah dating, couple dan sebagainya yang digunakan dalam buku ini bukanlah bermaksud menghalalkan dan mengharuskan perkaraperkara tersebut tetapi sekadar pinjaman istilah agar isu ini lebih dekat dan mudah difahami.

  1. Bercinta tidak salah TETAPI ramai yang menyalahgunakan makna sesebuah percintaan untuk melakukan perkara yang ditegah oleh hukum syarak.
  2. Dating dalam gambaran yang mudah difahami hari ini merupakan amalan yang BERTENTANGAN dengan hukum Islam. Hukumnya adalah haram dan berdosa.
  3. Pertemuan yang MENJAGA adab dan hukum, maka itu adalah harus.
  4. Cinta Allah dan cinta rasul mestilah MENGATASI rasa cinta kepada makhluk. Dengan ini, cinta kepada makhluk akan disalurkan dalam perkara yang dibenarkan oleh hukum syarak.
  5. Pandangan MATA hendaklah dijaga agar tidak melihat perkara yang haram. Manakala pakaian mestilah SENTIASA sopan dan menutup aurat.
  6. Khalwat ialah perbuatan seorang lelaki bersama dengan seorang wanita di tempat yang tersembunyi daripada pandangan orang lain. Ini SANGAT ditegah. Khalwat adalah ruang dan peluang untuk zina.
  7. Pintu taubat sentiasa TERBUKA dan masih terbuka walaupun kita banyak melakukan maksiat kepada Allah SWT.
  8. Andai terlanjur, segeralah MENGINSAFI diri dan kembali bertaubat.
  9. Usah terlalu lama bercinta, eloknya SEGERA bernikah.
  10. Nikah adalah mudah dalam Islam. Sewajarnya masyarakat dan undang-undang mempermudahkan sistem pernikahan sebagai satu kaedah MENGELAKKAN zina. Hari ini, nampaknya nikahdirumitkan sehingga ruang berzina makin mudah.
  11. Zina akan TERSEBAR pada akhir zaman, dan kini zina makin tersebar. Pelbagai cara digunakan untuk menghalalkan zina. Akhirnya, minda masyarakat termasuk masyarakat Muslim akan berpendapat bahawa zina tidaklah haram
  12. Istilah-istilah teman rapat, close friend, teman tapi mesra dan sebagainya adalah permainan bahasa yang MEMUDAHKAN jalan ke arah zina.
  13. Anak luar nikah tidak bersalah. Anak ini hendaklah DIPELIHARA dengan baik, bukannya dibuang begitu sahaja.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97528/Bolehkah-Bercouple

[REVIEW] BUAT DUIT DENGAN MENULIS EBOOK: 12 LANGKAH TULIS, TERBIT DAN JUAL SENDIRI EBOOK ANDA

BUAT DUIT DENGAN MENULIS EBOOK: 12 LANGKAH TULIS, TERBIT DAN JUAL SENDIRI EBOOK ANDA Oleh Yusni Yussof

Teknologi penerbitan ebook telah mengubah lanskap penerbitan buku sedunia. Kini, peluang adalah lebih terbuka untuk sesiapa sahaja yang mempunyai bakat dan kemahiran menulis, serta mempunyai cerita atau idea untuk dikongsikan dengan pembaca lain untuk menerbitkan ebook mereka sendiri. Malah, penerbitan ebook juga merupakan satu peluang dan dan kaedah untuk menjana pendapatan di dalam era ekonomi digital dan e-dagang. Buku ini memuatkan 12 langkah yang perlu diketahui oleh penulis-penulis ebook untuk menceburkan diri dalam penerbitan ebook. Tulis, terbit, jual dan jana pendapatan dengan ebook anda sekarang!


Sebuah buku yang memberi panduan kepada anda dalam menghasilakn eBook anda sendiri. Dalam eBook ini juga menerangkan apa itu eBook, platform jualan, kelebihan dan peluang yang boleh dikejar oleh penulis pada masa kini.

Mudah kata, saya suka dengan buku ini kerana ia mengajar langkah secara terperinci  bagaimana satu eBook itu boleh dihasilkan dengan garis panduan yang dikongsi oleh penulis ini. Jadi, kepada penulis di luar sana, selamat mencuba dan selamat menulis.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97478/Buat-Duit-Dengan-Menulis-Ebook-12-Langkah-Tulis-Terbit-dan-Jual-Sendiri-Ebook-Anda

[SNEAK PEEK] DUHAI HATI BERBAHAGIALAH!

DUHAI HATI BERBAHAGIALAH! Oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani, Mohd.Khairi Ismail, Nik Ahmad Shafie Raja Daud

Bicara Hati 2: Putaran Kehidupan

Perjalanan hidup ini bak putaran roda yang sentiasa ligat berpusing tanpa henti. Sesekali kita berada di atas dan di puncak, dan sesekali kita jatuh terjunam lalu berada di bawah.

Untungnya menuruti rapat ajaran Islam kerana ia mengajar manusia untuk sentiasa merendah diri, seakan-akan sentiasa berada di bawah walaupun hakikatnya diri sedang diangkat tinggi ke puncak.

Untungnya juga dengan tarbiah yang sebegitu, tatkala berada di atas diri tiada masalah, andai berada di bawah lagilah tiada masalah!

Hari ini, kita melihat seseorang itu disanjung, esok pula mungkin sahaja orang yang sama itu akan dicemuh. Beruntung buat mereka yang sentiasa merendah diri, tatkala dicemuh tiada siapa yang mampu mematahkan semangatnya, dan dia akan terus positif tanpa gangguan.

****

Bicara Hati 3: Penyakit Paling Bahaya

Para sahabat Nabi Muhammad SAW yang mukmin sangat menakuti suatu penyakit hati yang dinamakan sebagai “munafik”. Ia merupakan penyakit yang lebih teruk dan lebih berbahaya daripada penyakit-penyakit lain.

Sering sahaja para sahabat seperti Umar Al-Khattab keluar mendapatkan Huzaifah RA yang diamanah sebagai penyimpan nama-nama orang munafik di Kota Madinah untuk bertanya kepadanya, adakah namanya tersenarai dalam kalangan golongan berkenaan?

Sahabat Nabi SAW yang bernama Hanzalah RA pun sama, beliau menangis penuh bimbang dan penuh ketakutan, takut- takut dirinya tersenarai dalam golongan munafik. Teman-teman, bagaimana pula diri kita?

Sepatutnya kita yang perlu lebih bimbang mengenainya berbanding mereka. Pada pandangan zahir, mungkin badan kita sihat sejahtera, namun hati berkarat penuh noda kerana barah munafik. Semoga Allah SWT menjauhkan kita semua daripada penyakit yang merbahaya ini.

****

Bicara Hati 4: Nasihat Buat Pemilik Hati

Duhai hati, Allah SWT jadikanmu sebagai raja yang menguasai anggota badan, manakala dirimu pula dikuasai oleh Allah Tuhan sekalian alam, dan kamu sentiasa berada dalam tatapan dan pandangan-Nya.

Oleh itu wahai hati, tabahlah menghadapi mehnah dan karenah hidup di dunia ini, kerana hanya hati yang kuat akan memperoleh bahagia, sebaliknya yang lemah akan mengundang sengsara.

Ingatlah kau perlu kuat, demi Allah SWT!

Bicara Hati 28: Sindiran Allah VS Sindiran Manusia

Kita manusia sangat mudah terasa hati dan tersentuh tatkala disindir, ditegur dan diberi pandangan oleh teman-teman. Usah kata terasa ketika disindir, ketika berbicara dan berbual biasa pun senang sahaja untuk hati terasa dan merajuk.

Apa yang lebih menghairankan, mengapa tidak pula hati kita terasa saat disindir dengan lantangnya oleh Allah SWT melalui ayat- ayat suci Al-Quran?

Cuba muhasabah, siapa sebenarnya yang lebih besar dan penting dalam hidup ini? Pandangan siapa yang lebih meresap jauh ke dalam hati, Allah SWT atau manusia? Dan kita lebih mementingkan teguran siapa sebenarnya?

Teguran Sang Pencipta ataupun teguran mahkluk yang tidak berkuasa?

****

Bicara Hati 29: Hadiah Paling Bernilai

Tatkala diri sedang berada dalam ramai atau bersendirian, tentu pernah sekali dua mungkin juga lebih, hati kita tiba-tiba tersentak dan terasa kosong buat sementara waktu. Ketika itu segala perkara yang dilakukan bagaikan serba tidak kena, senyum dan rasa gembira yang biasanya menemani bagaikan hilang begitu sahaja.

Diri bertanya sendiri, “Mengapa ini berlaku?”

Di penghujung pertanyaan, datang rasa bersalah dan berdosa dalam jiwa, saat itu andai kita tidak tahu apa yang ingin dilakukan, maka duduklah sebentar lalu beristighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT dalam terang atau sembunyi dengan suara nyaring atau senyap hanya dalam hati.

Sebenarnya perasaan itu merupakan hadiah dari Allah SWT kepada kita, tanda-Nya masih memberi kita peluang dan ruang untuk bermuhasabah. Mungkin sahaja tidak ramai insan lain berpeluang untuk merasai apa yang kita rasa.

Jadikan peristiwa itu sebagai titik permulaan. Lazimilah istighfar dan kata taubat selepas dari itu, hargai hadiah yang diberikan oleh Allah SWT sebagai amaran serta peringatan buat diri sendiri dan anggap ia sebagai teguran dari Allah.

Ia bukti bahawa Dia sangat mengasihi diri kita, masih diberi kesempatan dan kesedaran kepada kita di saat orang lain masih hanyut dibuai keasyikan dunia.

“Wahai orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai…”
(Surah At-Tahrim: ayat 8)

****

Bicara Hati 45: Pintalah! Kerana Allah Maha Mendengar

Allah SWT memberitahu kepada kita dengan jelasnya melalui Al- Quran bahawa tiap kali hati punya hajat dan permintaan, maka angkatlah tangan dan pohonlah hanya kepada-Nya, nescaya Dia akan memakbulkannya.

Cuba untuk seketika, kita merenung dan berfikir betapa indahnya makluman itu. Allah SWT seolah-olah memberitahu dengan nada merayu, “Pohonlah kepada-Ku, pasti permintaan itu akan ditunaikan”. Betapa pemurahnya Allah, sangat kerap berlemah- lembut dengan hamba-Nya. Yang tinggal, hanya kita sama ada ingin berdoa atau tidak. Peluang telah dibuka, kini semuanya terletak pada diri sendiri.

Namun, seandainya sudah kerap kita berdoa, sudah banyak kali tangan memohon pertolongan tapi doa kita masih tidak dijawab dan dimakbulkan, maka janganlah bersangka buruk kepada Allah SWT. Percayalah, Dia Maha Mendengar. Lambat itu bukan bukti doa ditolak, mungkin sahaja ia disimpan dan hanya menunggu masa untuk ditunaikan.

Paling penting, jangan mudah berputus asa. Allah SWT tidak zalim, pasti apa yang sedang diatur oleh-Nya terbaik untuk kita. Namun, pada ruang yang ada itu, sebaiknya digunakan untuk muhasabah diri, mungkin Allah tidak memakbulkannya kerana ada sebab-sebab tertentu yang menghalang.

Perhatikan perbuatan kita seharian, mungkin sahaja kita berdoa namun kita masih bergelumang dalam dosa. Berdoa tapi mencuri, makan makanan yang haram, suka mengumpat, suka menangguhkan solat, sering menipu dan seumpamanya. Dibimbangi, dosa-dosa inilah yang menutup pintu rahmat Allah SWT dan juga menghalang doa yang dipohon daripada dimakbulkan.

Oleh itu, sebelum berdoa dan meminta apa sahaja daripada Allah SWT, maka dahulukan permintaan itu dengan ucapan memohon pengampunan. Berjanjilah di hadapan Allah SWT agar diri sedaya upaya berusaha untuk menjaga diri daripada melakukan maksiat, baik secara terang atau tersembunyi.

Bersama menghitung diri, tinggalkan semua dosa dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi. Cuba tukarkan gaya hidup lampau yang lalai pada gaya hidup baru yang lebih damai. Mudah-mudahan, pintu pemberian Allah akan terbuka luas dan semakin luas untuk kita. Cuba lakukan bermula sekarang, dengan bekalan kesabaran juga keyakinan pasti Allah SWT akan memakbulkan segala permintaanmu, andai tidak di dunia, di akhirat pula.

Yang utama, pintalah apa sahaja daripada Allah SWT. Dia Tuhan kita, hanya Dia yang mengetahui segala keinginan hati dan apa yang terbaik untuk diri. Pintalah semua yang ada dalam hati itu kepada-Nya, kerana Dia Maha Mendengar lagi Maha Pemurah, kerana hanya kepada Dia semua makhluk meminta dan memohon pertolongan.

“Dan Tuhanmu berfirman, berdoalah kamu kepada- Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang sombong daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina”.

(Surah Al-Mukmin, ayat 60)

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97486/Duhai-Hati-Berbahagialah

[SNEAK PEEK] 7 RAHSIA PEMIMPIN BERWIBAWA

7 LANGKAH PEMIMPIN BERWIBAWA Oleh Lukman Al Hakim

PENDENGARAN EMPATI

“Mendengar ialah suatu seni.Sepertimana melukis, mewarna, bermain piano dan mempertahankan diri. Cuba lihat anak-anak kecil, mereka tak akan dapat menguasai mana-mana seni panduan, latihan berterusan dan disiplin yang tinggi. Begitulah juga halnya dengan mendengar.”

Tahukah anda, secara purata manusia menghabiskan 45% masa sehari untuk mendengar perbualan?
Tahukah anda, secara purata manusia cuma ingat 25% sehingga 50% daripada apa yang didengari setiap hari?
Tahukah anda, secara purata manusia mendengar pada kadar 125 sehingga 250 perkataan seminit, tapi mampu berfikir pada kadar 1,000 sehingga 3,000 perkataan seminit?
Tahukah anda, gambar yang dilihat akan masuk terus ke dalam memori jangkamasa panjang, manakala perkataan yang didengar hanya tersimpan dalam memori jangkamasa pendek?
Tahukah anda, tak sampai 2% dari populasi dunia yang pernah belajar secara formal bagaimana nak mendengar?

—————————————————————————————————————————————-

Mesti ramai di antara anda yang tak tahu fakta-fakta menarik di atas bukan? Termasuklah saya sebelum menulis buku ini!

Anda ingatkan mendengar itu satu kemahiran yang dapat dikuasai secara semulajadi tanpa perlu belajar macam melihat, makan, minum dan tidur. Malangnya anda silap. Kesilapan ini menjerumuskan anda ke dalam golongan yang disebut sebagai: “Hearing but not listening”

Ya, ramai orang yang mendengar semata-mata (hear) tapi tak mendengar dengan sungguh-sungguh, penuh perhatian dan tumpuan untuk faham (listening). Listening juga merujuk kepada pendengaran empati, satu kemahiran kepimpinan kritikal yang akan anda lalui dalam bab ini.

Allah berfirman dalam Surah Qaff, ayat 37 yang bermaksud:

“Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.”

Tanpa pendengaran empati anda akan susah mengingat, gagal berkomunikasi dengan baik dan sukar mempengaruhi orang lain. Akibatnya anda gagal menonjolkan diri sebagai pemimpin yang berkebolehan dan berkredibiliti.

SENI MENDENGAR UNTUK MEMPENGARUHI
Ya, mendengar ialah suatu seni. Sepertimana melukis, mewarna, bermain piano dan mempertahankan diri. Cuba lihat anak-anak kecil, mereka tak akan dapat menguasai mana-mana seni panduan, latihan berterusan dan disiplin yang tinggi. Begitulah juga halnya dengan mendengar. Jika anda masih ingat, salah satu elemen dalam Undang-undang KELIM yang bertujuan untuk meningkatkan simpanan dalam akaun bank emosi ialah Empati. Pemimpin yang hebat perlu memahami terlebih dahulu orang yang ingin dipengaruhi. Dan cara terbaik dan terpantas untuk memahami ialah dengan mendengar. Ya, cuma mendengar.

“Betul ke dengan hanya mendengar kita boleh memahami dan mempengaruhi orang lain?” Satu soalan cepu emas yang pernah dilontarkan kepada saya dalam salah satu sesi latihan.

“Dah tentu,” balas saya yakin.

“Bagaimana?” Soal peserta saya lagi.

“Manusia secara nalurinya suka bercakap dan bercerita tentang diri sendiri. Memang Allah ciptakan camtu. Semua orang asyik fokus apa yang dia fikir, apa yang akan dia buat, apa kesan sesuatu perkara dan apa perancangan masa depan hanya terhadap dirinya sendiri. Bahkan sesetengah ahli psikologi mengatakan, manusia menumpukan 80% dari pemikiran dan usahanya untuk diri sendiri dan hanya 20% untuk orang lain.”

“Cuba bayangkan anda jumpa dengan seorang yang baru dikenali dan berbual dengannya. Dah tentu topik pertama ialah pengenalan diri kan? Dah tentu juga dia akan cerita pasal diri dia, keluarga dia, anak-anak dia, rumah dia, kereta dia, kerja dia dan lain-lain. Semuanya tentang diri dia sendiri kan?” Semua peserta angguk tanda setuju.

“Maknanya, hanya dengan mendengar dia bercerita, anda akan dapat fahami latar belakang dan maklumat lain tentang dirinya. Itulah yang saya maksudkan anda mampu memahami orang lain hanya dengan mendengar!”

“Okey kalau macamtu baru faham. Tapi macam mana pula nak mempengaruhi orang lain hanya dengan mendengar?” Soalnya lagi.

“Begini, sebelum mempengaruhi orang lain, anda kena bina hubungan baik dulu. Orang putih panggil ‘rapport’. ‘Rapport’ boleh dibina jika anda mengenali dan memahami seseorang tu. Pertama, macam saya cakap tadi, hanya dengan mendengar anda boleh mengenali dan memahami seseorang. Kedua, kajian menunjukkan orang yang banyak mendengar dilihat sebagai boleh dipercayai, mudah mesra dan diplomatik. Ciri-ciri ini membuatkan orang mudah mendekati dan percayai anda, seterusnya menyebabkan apa sahaja yang anda cakap akan mudah diikuti. Pendek kata, kemahiran mendengar yang baik boleh membantu anda bukan sahaja untuk kenali orang lain, bahkan juga untuk membina hubungan baik dan seterusnya mempengaruhi mereka. Inilah ciri pemimpin yang hebat!” Simpul saya.

KERJA TELINGA ATAU MINDA?
Seni mendengar sukar dikuasai kerana ia bukan sahaja merupakan kerja telinga, malah juga kerja minda. Masakan
tidak, salah satu sebab terpenting anda mendengar ialah untuk memahami, bukan? Anda memahami dengan menggunakan minda, bukan? Jadi, minda sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting untuk anda mendengar dengan efektif. Tumpuan minda diperlukan bukan sahaja untuk memahami, tetapi juga sepanjang proses mendengar. Tanpa perhatian minda dan fokus, pendengaran anda jadi kosong. Anda tidak mampu faham apa-apa. Inilah yang berlaku ketika anda sedang tidur.

Walaupun telinga anda masih mendengar bunyi yang berlaku di sekitar, namun anda tidak faham apa-apa kerana minda sedar anda tidak lagi berfungsi. Dalam bahasa kasarnya, kalau anda tak fokus atau tak tumpukan perhatian semasa mendengar, samalah akibatnya dengan anda tidur ketika mendengar! Justeru, teknik-teknik yang saya telah huraikan dalam Bab 1 berkaitan anjakan paradigma dan kuasa minda separa sedar hendaklah dipraktikkan sepenuhnya sebelum mendengar bagi membolehkan anda kekal fokus dan bertenaga sepanjang proses mendengar, walaupun berhadapan dengan orang yang paling membosankan di dunia.

CABARAN DAN HALANGAN
Tahu tak apa halangan terbesar untuk mendengar pada zaman serba moden ni? Tiada peluang nak mendengar! Ya, itulah masalah terbesar. Masakan tidak, kalau nak hubungi kawan-kawan anda gunakan khidmat sms, Whatsapp, Telegram, WeChat, Hangouts atau Facebook Messanger. Kalau nak kemaskini perkembangan dan aktiviti diri sendiri anda buka blog, Facebook, Twitter atau Instagram. Di pejabat pula anda gunakan emel.

Sekarang cukup susah nak jumpa orang yang sanggup bercakap melalui telefon atau berjumpa berhadapan kalau nak sampaikan sesuatu perkara. Bahkan, bila berjumpa berhadapan sekalipun masing-masing sibuk melayan telefon pintar. Jadi, bagaimana anda nak dapat peluang untuk berbual? Bagaimana anda nak dapat peluang untuk  mendengar?

Sekiranya anda mampu menghadapi halangan terbesar di atas, cabaran seterusnya ialah untuk mengatasi penghalang utama dalam pendengaran empati. Saya ringkaskan sebagai Faktor 3P:
1. Prejudis
2. Pemahaman Cetek
3. Persekitaran Tidak Kondusif

Macam biasa hadapi, bukan? Jom lihat faktor-faktor penghalang ini dengan lebih mendalam:

1. Prejudis
Naluri dan sifat semulajadi manusia memang suka menghukum, mengkritik, melabel dan mengelaskan orang lain. Manusia dijadikan fitrahnya lebih mudah melihat keburukan berbanding kebaikan. Jika satu titik kecil hitam dilukis di atas sehelai kertas putih, nescaya warna hitam itu yang akan lebih menonjol di mata manusia daripada warna putih yang jauh lebih dominan.

Persepsi dan paradigma anda terhadap seseorang (biasanya yang negatif) juga memainkan peranan dalam mengganggu proses mendengar. Kalaupun anda bermula tanpa sebarang persepsi, sebaik sahaja seseorang membuka mulut untuk memulakan bicara, anda terus membentuk prejudis sebelum sempat dia menghabiskan ayat pertamanya.

Prejudis merupakan tembok pertahanan seutuh Tembok Besar Cina dalam menghalang komunikasi berlaku dengan berkesan. Lebih parah, sikap ini biasanya akan menyebabkan seseorang mudah mengarah, menasihat, menyoal dan mengancam kerana merasakan dirinya lebih baik.

2. Pemahaman Cetek
Pemahaman merupakan sebab utama manusia mendengar. Tapi ia tak akan dapat diperolehi tanpa dua perkara iaitu tumpuan dan memori (ingatan). Sebagaimana lagu dan irama tidak dapat dipisahkan, begitulah juga halnya antara tumpuan dan memori.

Anda tidak akan ingat sesuatu jika tidak memberikan tumpuan.

Kadang-kadang, anda berikan tumpuan penuh, namun masih gagal mengingat dengan baik apa yang disampaikan sepanjang perbualan.

Selagi anda tidak menguasai kemahiran memberikan tumpuan dan kemahiran menghafal, anda akan terus dihantui masalah pemahaman cetek dalam mendengar. Tanpa pemahaman yang baik, mana mungkin anda mampu mengwujudkan empati sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.

3. Persekitaran Tidak Kondusif
Persekitaran tidak kondusif merupakan penghalang fizikal yang paling biasa dihadapi. Tempat berbincangan yang tidak kondusif contohnya bunyi bising, suhu terlalu panas atau sejuk, bau tidak selesa dan pemandangan tidak menyenangkan. Keadaan fizikal diri yang tidak bersedia seperti tidak sihat, keletihan, mengantuk, lapar serta emosi yang tidak stabil juga boleh menjadi sebahagian daripada persekitaran yang tidak kondusif.

Secara psikologinya, minda manusia akan tertumpu kepada persekitaran yang tidak kondusif tersebut dan menyebabkan fokus mendengar hilang sama sekali.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93869/7-langkah-pemimpin-berwibawa

REVIEW DEMI MASA

9789670127620-medium
DEMI MASA OLEH DR. ZULKIFLI MOHAMMAD AL- BAKRI

Imam Al-Fakhr Al-Razi berkata, “Allah bersumpah dengan masa kerana ia mempunyai pelbagai keajaiban. Ini juga kerana dalam tempoh masa itu, umat Islam dapat merasai kegembiraan ataupun kesempitan, kesihatan ataupun kesakitan, dan kekayaan ataupun kemiskinan. Selain itu, masa tidak dapat dinilai dengan sesuatu yang mahal dan berharga.

Justeru, buku Demi Masa digarap oleh penulis supaya menjadi motivasi bagi merujuk tingkah laku dan sikap orang yang berjaya menggunakan dan menguruskan masa.


Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian.. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh.

Naskah ringkas setebal 68 muka surat ini merupakan sebuah buku motivasi mengenai masa yang menghimpunkan lima bab. Saya suka sekali mengutip mutiara ilmu dari penulis yang sememangnya membicarakan topik yang sangat dekat dengan kehidupan kita.

“Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang .” (Hadis riwayat Bukhari)

Bab awal membicarakan tafsir surah al-Asr, dalil-dalil hadith berkaitan masa seterusnya mutiara kata dan hikmah, prihatin dan cakna ulama terhadap masa dan cara ulama membahagikan masa. Dalam buku ini juga menceritakan bagaimana cara yang terbaik untuk anda memanfaatkan masa sebaik mungkin.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/16866/demi-masa

REVIEW HIDUP PENUH ERTI: CERITA DARI HATI

9789674112400-medium
HIDUP PENUH ERTI: CERITA DARI HATI OLEH HILAL ASYRAF DAN AIMAN AZLAN

Buku motivasi yang bertajuk Hidup Penuh Erti: Cerita dari Hati adalah sebuah buku gabungan Hilal Asyraf dan Aiman Azlan. Mereka berdua berkongsi pelbagai isu yang mencuit daripada pelbagai topik yang menjalar dalam kehidupan kita, dengan harapan supaya di celah-celah penyampaian buku ini, dapat kita mengenali diri sendiri. Identiti kita yang sebenar adalah kita merupakan hamba Allah s.w.t. Itu identiti kita. Segala pergantungan kita adalah kepada-Nya, segala tindak-tanduk, dan perlakuan kita adalah kerana-Nya.

Semoga cerita-cerita hidup kita nanti, kala ditayangkan di akhirat kelak, merupakan cerita-cerita yang indah, dan menjadi punca untuk Dia merahmati kita, seterusnya memberikan kita tempat di syurga-Nya. Semoga Allah s.w.t. meredhai kita semua. Insya Allah.


Alhamdulillah. Berguna kepada admin sepanjang bulan Ramadhan ni.

Sebuah buku yang mampu membuatkan anda terfikir. Bagi admin buku ni nice sebab mungkin admin dah lama tak baca buku motivasi hati, maka hati admin pun tertarik untuk review buku ini. Alhamdulillah. Pengisian yang sungguh mengagumkan dan mematangkan jiwa.

Buku ini mengkompilasikan kisah-kisah inspirasi garapan dua orang pemuda yang tidak asing lagi iaitu Tuan Hilal Asyraf dan Tuan Aiman Azlan. Cerita-cerita yang disampaikan sangat mudah difahami, simple dan memukau rasa. Sungguh memotivasikan. Selain mendapat tarbiyah langsung, ada juga kisah pengalaman mereka hidup di IPT.

Sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat yang sentiasa dahagakan motivasi hati. 🙂

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/18751/hidup-penuh-erti-cerita-dari-hati