[SNEAK PEEK] FRATELLO

FRATELLO Oleh Khairul Aswad

“EDIKA, pelanggan meja tujuh. Macam biasa,” bisik Mael waktu dia lalu tepi aku.

Waktu tu aku tengah sibuk susun cawan dekat rak. Hati aku jadi tak tenteram tiba-tiba. Aku cuba usha tengok betul ke orang yang aku bayangkan ada dekat situ. Sebenarnya aku dah dapat agak, tapi manalah tahu Tuhan nak makbulkan doa aku yang aku minta tiap kali lepas solat. Tapi nampaknya, masih belum termakbul. Mungkin lambat lagi.

“Dia nak apa lagi?” Aku tak puas hati.

“Boleh kau tanya lagi? Engkau! Dia nak kau!” Mael tenyeh jari telunjuk dia dekat dada aku. Kemain lebar dia tersengih. Sumpah aku rasa nak tumbuk.

“Aku tak sukalah. Geli.”

“Geli ke, stim ke… kau kena pergi juga. Duit tu. Ingat sikit.”

Inilah yang aku tak berapa suka dengan Mael. Mamat ni pantang nampak duit. Kalau ada peluang yang boleh dapat duit, dia memang takkan lepaskan.

Dalam keterpaksaan, aku jalan malas-malas menuju ke meja tujuh tu. Daripada jauh aku dah nampak sanggul setinggi empat jengkal warna oren. Aku geleng. Tak berat ke?

“Ya, boleh saya bantu?” Tanyaku dengan senyuman hipokrit level 999.

“Hei, korang! Inilah dia yang I cakapkan tu. Tengok… sado, kan? Memang taste I dia ni.”

Aku ditarik rapat ke meja. Lenganku yang agak tertimbul urat tu diraba-raba dan ditayangkan pada kawan-kawannya yang lain. Aku masih maintain senyum walaupun rasa nak belasah je sorang-sorang. Perangai gersang semacam!

“Mana you jumpa dia ni Sally? Oh My Bata, hot sangat ni!” Wanita bersanggul dua jengkal tu pula bertanya.

“Mana lagi. Dekat sinilah,” jawab wanita yang bernama Sally tu.

Mengekek tiga orang wanita tu dengan sekuat hati. Dia orang ni tak peduli langsung dah pelanggan yang lain. Buat macam ni kedai dia orang sendiri. Lagi dia orang tak peduli bila jadikan aku macam bahan pameran seni. Sesuka hati nak sentuh aku sana sini. Aku nak marah, tapi customer is always right. Kan?

“So, cik semua nak apa?” Tak boleh jadi ni. Kalau aku lama-lama dekat sini, habis satu badan aku akan kena raba.

“Alah, relaxlah. Malam masih muda.”

Memang malam masih muda, tapi korang bertiga ni yang dah nak mereput! Si wanita nama Sally tadi masih berpaut pada lengan aku. Ya ALLAH, rimasnya!

“Kalau you dah tak sabar, jomlah ikut kitaorang balik. Bukan ada sesiapa pun dekat rumah. You boleh pilih rumah mana satu yang you nak. All available.” Sally menyampuk.

“Nak kami bertiga dalam satu rumah pun boleh,” sambung wanita yang bersanggul dua tu.

Apa lagi. Bertambah teruk ngilaian tawa mereka bertiga. Kalau aku boleh smack down sorang-sorang, dah lama aku buat. Bising! Lagi pun, kalau yang offer aku ni Fazura ke, Nora Danish ke, mungkinlah setan dalam badan ni hampir berjaya goda aku. Tapi bila aku pandang geng sanggul depan mata ni, boleh mati pucuk dibuatnya.

“Tak apalah. Saya ada banyak kerja dekat belakang tu. Maybe next time?” Walaupun aku tak suka, aku tak boleh juga nak pamerkan direct to the point. Ah, susahnya buat bisnes ni!

“I tak nak next time. Dah lama I tunggu you tau?” Sally merengek lagi, cuba menjadi manja. Aku rasa macam nak menangis.

“Kata orang, makin lama kita tunggu, akan jadi makin bermakna.”

“Maksudnya?” tanya si sanggul tiga jengkal yang bersuara buat kali pertama.

“Kenalah fikir sendiri.” Jawabku sambil kenyit mata.

“Awww….”

Ketiga-tiga wanita sanggul itu sudah mula meroyan. Waktu tu aku dah menyesal gila sebab kenyit mata. Kenapa aku boleh buat macam tu? Arghh… tak pasal-pasal!

Aku menjengah kepala ke belakang. Aku cari kelibat Mael. Aku dah cakap awal-awal dekat dia. Lepas lima minit, dia kena buat-buat panggil aku ke dapur. Tapi ni dah dekat tujuh minit aku jadi mangsa. Tahu tak dua minit extra tu ibarat satu azab seksaan untuk aku?

“Excuse me, but I really have to go.” Aku cuba minta diri.

“Sorry boy. But you need to entertain us. We are your customers. Am I right?” Sally memperkuatkan lagi pegangan di lenganku. Mak cik ni ahli gusti lengan ke?

“I really need to go. Urgent!” Aku tiba-tiba dapat satu idea. Aku buat-buat meloncat macam nak menari.

“Hei, Sally! Dia nak shi shi tu…” Si sanggul tiga jengkal tu juga yang faham signal yang aku bagi.
“Oh, sorry. You pergilah dulu. Nanti banjir pula dekat sini.” Sally akhirnya melepaskan lenganku. Waktu tu aku terasa macam baru keluar daripada gua yang sangat gelap. Dapat juga lihat cahaya. Terasa macam nak sujud syukur!

Aku cepat-cepat meluru masuk ke dapur. Batang hidung Mael aku cari. Celaka betul mamat ni. Mana pula dia menyorok? Kau dah senang-senang campak aku dalam kandang rimau, kau ingat kau boleh lari?

“Hah, amacam Dika? Syok?” Mael menahan tawa.

Entah daripada mana Mael ni muncul. Tiba-tiba je.

“Cuba kau bayangkan mak cik kau sendiri yang dok raba­raba kau. Agak-agak syok tak?” tanyaku bengang.

Mael hanya diam. Aku tengok dahinya berkerut-kerut. Kemudian dia mencebik. Hah, baru kau tahu kesengsaraan aku.

“So?” tanyaku sinis.

“Tapi, duit tu! Kau tahu kan dia orang tu antara pelanggan yang paling banyak menyumbang dekat sini. Kalau ikut peratus, adalah dalam 35% daripada total sales. Dia orang saja tau!” Bersemangat Mael terangkan dekat aku. Dia tak peduli ke kesengsaraan yang aku rasa tadi?

“Antara 35% sales dengan teruna aku, mana kau pilih?” Aku bagi kata dua pada Mael. Geram pula bila dia buat tak kisah dengan apa yang dah jadi pada aku.

“Sales la kot?” Jawabnya tanpa perlu fikir panjang.

“Bodoh kau Mael!”

Mael ketawa kuat. Mujur dapur kami letaknya agak jauh daripada meja pelanggan. Lagi pun dah nak dekat pukul sembilan malam. Pelanggan tak ramai mana pun. Cuma langau tiga ekor tu je yang tak faham-faham bahasa. Masih nak bersarang dekat meja tujuh tu.

Malas aku nak layan Mael yang gila duit tu, aku terus tuju ke bilik persalinan untuk tukar baju. Aku tak boleh balik lambat. Nanti mulalah mak aku membebel. Lagipun aku memang kena balik awal hari ni. Ada satu azab lain menanti dekat rumah.

“Kau dah nak balik dah ke?” tanya Mael sambil dia kemas­kemas peralatan dapur.

“Haah. Hari ni kena balik awal. Aku dah bagitahu semalam kan. Adik aku ada dekat rumah,” jawabku malas-malas.

“Adik kau dah balik? Wah, syoklah kau.”

Aku pandang Mael. “Syok?”

“Yalah. Setelah sekian lama kau tak jumpa adik kau tu. Bertambah meriahlah rumah kau nanti.” Mael ketawa lagi.

Mamat ni memang sengaja cari pasal. Kau sabar Mael. Suatu hari nanti siap aku kenakan kau.

“Pelik aku kenapa kau layan adik kau macam tu. Aku tengok baik je.”

Aku rasa macam Mael tengah buat lawak. Adik aku baik?

“Kesian pula aku tengok dia kadang-kadang. Kau sebagai abang, kau kenalah layan adik kau tu elok sikit. Kalau dia merajuk nanti macam mana. Lagi susah kau nak pujuk. Perempuan ni jangan main-main, Dika. Dia orang ni makhluk yang kompleks!”

“Sebab aku abanglah aku layan dia macam tu.” Jawabku pendek.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/200938/fratello

[SNEAK PEEK] MUNGKINKAH DIA

MUNGKINKAH DIA Oleh Anis Ayuni

Suara azan berkumandang, tapi aku rasa tidak berdaya hendak bangun. Kepala terasa berat dan berdenyut-denyut. Ini mungkin kesan daripada tidur yang tidak lena dan asyik terjaga. Gelisah dan serba tak kena. Semalaman yang meresahkan.

Aku memicit-micit tengkuk, namun denyutannya tidak juga reda. Aku menarik-narik rambut hingga terasa sampai macam hendak tercabut kulit kepala.

“Tolonglah hamba-MU ya ALLAH! Tolonglah redakan rasa sakit ini,” rayuku.

Akhirnya, aku menggagahkan diri bangun. Berpaut pada birai katil sebelum berjalan terhuyung-hayang ke bilik air. Mandi dan berwuduk, namun denyutan di kepala tidak juga reda.

Kalau diikutkan rasa sakit, terus saja aku lontarkan tubuh di atas katil. Tapi kenangkan manalah tahu kalau-kalau ini merupakan solat subuhku yang terakhir, aku kuatkan juga semangat. Walaupun berdiri membuatkan aku rasa seperti hendak tumbang, tetap aku bertahan hingga selesai solat dua rakaat.

Aku cuba meredakan pening dengan menyapu minyak angin di dahi, tengkuk dan hujung mata. Kemudian, diikuti dengan urutan lembut. Adalah rasa lega sedikit. Ketika ini baru aku terfikir, mungkin perut yang kosong membuatkan angin naik ke kepala. Selain itu, penanggungan rasa kecewa tahap maksima memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan jiwa.

Ketika mata hampir terlayang, aku terdengar bunyi ketukan di pintu. Hendak diabaikan saja, rasa tidak sampai hati pula. Lalu, aku gagahkan diri bangun membuka pintu.

“Nisa baru bangun ke?” terpa mama sebaik-baik saja daun pintu terkuak.

Aku menggeleng.

“Dah pukul berapa ni belum siap lagi?”

Tubuh terasa sangat lemah hingga aku rasa macam hendak rebah.

Lalu, aku bertongkat tangan di jenang pintu.

“Tak sihat. Hari ni tak pergi kerja.”

“Demam ni,” kata mama setelah dia mendemah dahi.

Aku mengangguk lesu.

“Nak baring,” maklumku dalam suara yang antara dengar dengan tidak. Terus aku berbaring di atas katil.

“Bila nak pergi klinik?”

“Tunggu dululah ma. Sekarang ni nak jalan pun tak daya.”

“Rasanya dalam peti ais ada mama simpan ubat demam, nanti mama pergi ambil.” Seiring melahirkan kata-kata, mama terus keluar dari bilik.

Berselang lebih kurang lima minit, mama muncul semula dengan sebuah dulang kecil. Terus diletakkan di atas meja di sisi katil. Ada air coklat, roti bakar dan satu plastik kecil berisi ubat.

“Nah, makan dulu… lepas tu baru boleh makan ubat!” suruh mama sambil menyuakan piring berisi roti bakar.

Walaupun tekak terasa kelat dan pahit, namun aku unggis juga sedikit sebagai tanda menghargai susah payah mama menyediakan dan membawanya hingga ke bilik.

“Malam tadi makan ke tak?”

Aku menggeleng.

“Haa, tu akibat tak makan… angin dalam perut tu dah naik ke kepala sebab tu pening.”

Memang aku sudah agak mama akan merumus begini. Dari dulu lagi itulah modalnya apabila aku mengadu sakit kepala.

“Tapi, demam ni?”

“Penyakit ni berkait-kait. Mula-mula pening, demam ….” jawab mama. Dibiarkan ayatnya tidak sempurna.

“Dah, habiskan cepat roti… lepas tu boleh makan ubat!” tambah mama setelah dia berjeda seketika.

‘Licik sungguh mama ni!’ Agaknya tidak dapat hendak menjelaskan dengan pasti, disuruhnya aku cepat-cepat habiskan roti.

Memang rasa tidak tertelan, jadi aku tolak dengan air coklat. Akhirnya habis juga sekeping roti. Aku menggeleng apabila sekeping lagi mama hulurkan.

“Mana kenyang makan sekeping,” omel mama sambil dia menghulurkan ubat.

Aku senyum saja. Selepas makan ubat, aku berbaring semula.

“Rehatlah,” pesan mama sebelum dia keluar sambil menatang dulang.

Aku menghantar mesej kepada Encik Mahasan dan Ren Effazulita untuk memaklumkan yang aku terpaksa mengambil cuti kecemasan selama dua hari. Selesai urusan itu, telefon bimbit aku letak semula di atas meja. Walaupun ada banyak mesej yang kalau dijumlahkan mungkin lebih daripada seratus, tapi aku tidak ada mood hendak baca.

‘Dua hari,’ ulangku mengenangkan mesej yang aku kirim tadi.

Dua hari sebagai waktu untuk bertenang dan muhasabah diri. Bukan waktu ‘berkabung’ kerana aku tidak tahu status hubungan kami. Tapi sejujurnya, aku sudah tawar hati. Selepas ini, hendak jadi apa jadilah. Aku tidak menaruh harapan lagi. Cuma, rasanya aku perlu beri peluang kepada Qashfi untuk membela diri.

Hingga ke waktu itu, aku tidak mahu fikir apa-apa kerana beriya sangat mengerah otak memikir itu dan ini, sudahnya kepala aku jadi pusing. Aku perlu berehat. Seiring itu aku memejamkan mata rapat-rapat. Belum pun lama membayangkan padang menghijau yang luas terbentang, aku sudah terlena.

Kala terjaga, jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.00 pagi. Lama juga aku tidur. Lena kerana tiada yang mengganggu. Kalau ada pun, memang aku tidak sedar bahana dek ubat yang aku makan tadi.
Aku mendemah dahi. Sudah suam-suam kuku. Tidak lagi panas seperti tadi. Kalau diukur dengan jangka suhu, bacaannya hampir normal. Kepala pun sudah terasa ringan. Syukur Alhamdulillah.

AKU mencapai telefon bimbit. Mencari daripada sejumlah nama pengirim mesej, belum ada daripada Qashfi. Barangkali dia masih tercari-cari alasan dalam usaha untuk menyelamatkan hubungan kami.

Tapi, dia harus fikirkan juga tentang penerimaan aku. Tidak semudahnya boleh aku terima kecuali kalau Qashfi dapat buktikan yang dia tidak bersalah.

“Ah, tepuk sebelah tangan masakan boleh berbunyi!” ejekku dalam nada jengkel.

Lalu sekilas persis terlayar di tubir mata hal yang terjadi, namun cepat-cepat aku usir pergi. Tidak aku izinkan melintas, walaupun hanya dalam bayangan.

Tentang keluarga kami yang sudah lama saling mengenali, terpulanglah kepada penerimaan dan cara mereka meladeni. Yang melakukan cela ialah Qashfi, bukan ibu bapanya. Tapi, tempiasnya kepada mereka juga. Apa pun alasan Qashfi, perkara itu memang sangat memalukan. Dia sudah menconteng arang ke muka keluarga.

Malas memikirkan hal yang berkait-kait itu, telefon bimbit terus aku matikan. Biarlah seketika memisahkan aku daripada dunia luar yang terlalu banyak drama dan sandiwara yang menekan jiwa.

‘Biarlah. Biarlah nak jadi apa pun, jadilah…’ Aku pasrah. Aku tidak sanggup lagi menanggung sakit kepala dek kerana terlalu tertekan memikirkan hal ini.

AROMA ikan goreng yang harum semerbak membuatkan aku berasa lapar. Memang logiklah kerana sejak petang semalam hinggalah pagi ini, hanya sekeping roti yang singgah di dalam kantung perutku.

“Demam lagi?” tanya mama sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dapur.

Aku menggeleng sambil menarik kerusi, lalu duduk.

“Nak bawak ke mana pulak dulang ni?” Aku bertanya soalan yang sudah aku jangka jawapannya.
“Ingatkan tadi nak bawak ke atas. Ni dah turun, makan ajelah kat sini.”

Pada mulanya aku mempamer reaksi enggan. Sejurus kemudian, aku mencapai pinggan. Tanpa diminta, mama mencedukkan nasi. Beginilah apabila sakit. Selalu dimanjakan.

“Lepas makan ni bolehlah pergi klinik.”

Aku menggeleng.

“Dah okey!”

Sungguh, aku tidak perlu pergi ke klinik kecuali yang merawatnya doktor cinta. Namun, belum tentu sembuh. Jadi, aku akan rawat sendiri, malah takkan aku biarkan diri lama terkurung dalam nestapa.

Hidup ini terlalu singkat untuk aku persia dengan mendera akal dan hati meratapi cinta yang tidak kesampaian atau memikir tentang dia yang berpaling tadah.

“Demam ni jangan buat main. Kalau yang sekejap demam sekejap baik ni tanda demam denggi. Kena check darah baru tau.”

Kalaulah mama tahu rasa kecewa dan terkejut mendengar kisah yang dibawa Arief yang membuatkan aku sampai demam, mungkin mama pun pitam. Jadi, biarlah mama tidak tahu. Untuk setakat ini, biarlah aku rahsiakan dahulu.

“Kalau lepas ni demam balik, baru pergi klinik.”

“Degil ni ikut perangai siapalah agaknya!” omel mama dalam keluhan.

Aku tertawa kecil kerana tahu gerangan yang dimaksudkan. Yalah, siapa lagi kalau bukan abah!

Selepas makan, aku berehat dan menonton televisyen. Seharian itu saja kerja aku. Membawa ke malam pun begitu juga. Walaupun terasa sangat aneh apabila telefon bimbit ‘tidak bernyawa’, tapi aku biarkan saja hingga akhirnya rasa aneh itu berlalu.

Rupa-rupanya tanpa telefon bimbit, aku mempunyai banyak masa untuk diriku sendiri. Selepas solat Isyak, aku baca surat khabar. Kemudian, barulah aku tidur.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183249

[SNEAK PEEK] WITH ALL MY HEART

With All My Heart Oleh Adeeba Eryna

AKU kini berada di hadapan rumah banglo dua tingkat milik umi, masih teragak-agak untuk masuk ke dalam. Setelah agak lama berdiri di hadapan pintu pagar, akhirnya aku melangkah jua masuk ke dalam rumah umi. “Assalamualaikum,” ucapku sebelum melangkah masuk.

Kedengaran suara umi dan juga suara seorang wanita yang tidak aku kenali berceloteh sehingga kehadiranku tidak mereka sedari. Jantungku mula berdegup hebat. Sebaik sahaja aku tiba di ruang tamu, aku melihat seraut wajah yang tidak aku kenali. Pandangan kami bertembung.

Hatiku tiba-tiba resah. Wajahnya seperti pernah aku lihat dan pandangan mata itu sungguh tajam. Kaki aku terhenti melangkah dengan sendirinya apabila dilemparkan pandangan sebegitu.

“Ira, duduklah. Ni Azura. Zura, ni Syafira Arissa, anak angkat umi dan jugak menantu umi.” Umi memperkenalkan kami berdua. Perlahan-lahan aku melangkah mendekatinya dengan hati yang tidak tenang.

Aku cuba menghulurkan tangan untuk bersalam dan pantas dia bangun dari sofa dan menyambut tanganku. “Inilah Syafira ya? Panggil aje akak, Kak Zura. Akak minta maaf sebab kami langsungkan perkahwinan kami sebelum Ira sebab Adam tu tak sabar sangat. Akak minta maaf ya,” ujarnya bersama senyuman namun hatiku tersentap.

Apa maksud kata-katanya itu? Abang Adam tidak sabar? Abang Adam tidak sanggup untuk berkahwin denganku jadi dia mengikat hubungan mereka terlebih dahulu agar aku memegang status isteri kedua. Adakah itu maksudnya? “Tak mengapa akak, ni semua takdir ALLAH yang Maha Esa, saya terima dengan reda. Insya-ALLAH ada hikmahnya,” jawabku tenang.

Dia bagaikan kehilangan kata-kata namun senyuman masih terukir di bibir. “Zura, jangan berdiri lama-lama tak bagus untuk kandungan.” Aku terkaku mendengar bait-bait yang umi tuturkan.

“Kak Zura mengandung?” soalku bagaikan tidak percaya. “Baru dua minggu,” jawabnya sambil memegang perutnya dengan senyuman yang sukar untuk aku tafsirkan maknanya. Hatiku bagaikan dirobek-robek. Berita yang baru aku terima sungguh menyakitkan hatiku biarpun aku tahu aku tidak sepatutnya mempunyai perasaan sedemikian.

Astagfirullahalazim, aku memperbanyakkan istigfar. Cahaya mata adalah anugerah yang paling terindah di dalam hidup seorang wanita, aku sepatutnya tumpang gembira. “Alhamdulillah, akak kena jaga kandungan akak baik-baik. Duduklah akak,” ujarku sambil memegang tangan dan mendudukkannya di sofa. “Terima kasih Ira. Abang Adam pun bukan main gembira lagi.

Dia asyik marah-marah aje dekat akak kalau akak buat apa-apa kerja,” ujarnya lagi. Aku hanya tersenyum biarpun hatiku bagaikan ditusuk sembilu bertubi-tubi dengan setiap kata-katanya.
“Ira, jom tolong umi masak. Azura dengan cucu umi dah lapar tu,” ajak umi dan dia mula melangkah menuju ke arah dapur.

Aku hanya mengangguk. Sebelum aku membontoti langkah umi, aku sempat melemparkan senyuman kepada Kak Azura namun senyumanku dibalas dengan jelingan yang tajam. Terkesima aku seketika. Adakah Kak Zura benci kepadaku?

“YA ALLAH, umi bersyukur sangat Azura dah mengandung. Lama umi tunggu untuk menimang cucu,” ujar umi dengan senyuman lebar. Aku turut sama melemparkan senyuman biarpun hatiku menangis. Adakah umi terlupa aku juga isteri kepada Abang Adam dan juga menantunya? Sesekali terasa diriku ini bagaikan tidak diperlukan lagi. “Alya tetap tak suka dekat Kak Zura!” bantah Alya yang muncul tiba-tiba entah dari mana.

Kami berdua terkejut. Alya datang ke arah kami dan dia memegang erat tanganku. Sedikit kekuatan bagaikan mengalir ke dalam tubuhku melalui sentuhan itu. “Alya, kenapa cakap macam tu? Azura tu isteri Adam, kakak ipar Alya,” marah umi. “Bagi Alya, kakak ipar Alya hanyalah Kak Ira. Alya tak perlukan perempuan lain untuk menggantikan tempat Kak Ira,” tegas Alya.

Wajah umi berubah tegang. “Alya!” Umi mula meninggikan suara. Aku pantas menenangkan mereka berdua. “Alya, jangan macam ni. Walau apapun, Kak Zura dah jadi kakak Ipar Alya. Alya kena terima tu,” pujukku. Umi kelihatan sedikit tenang apabila aku membelanya.

Alya hanya mencebikkan bibir menandakan dia masih tidak bersetuju. “Umi nak tengok Azura. Ira dengan Alya tolong masakkan makanan tengah hari,” arah umi dan berlalu keluar dari ruang dapur. Aku hanya memandang langkah umi dengan pandangan sayu.

Kini, aku dipinggirkan. Tidak mengapalah, umi tengah gembira sekarang. Kegembiraan umi kebahagiaan aku juga. “Akak jangan sedih ya. Ira sentiasa bersama akak,” ujar Alya lalu memeluk erat tubuhku.

Aku menarik nafas panjang sebelum mengangguk perlahan. “Akak jangan terlalu rapat dengan Kak Zura ya kak. Jangan percayakan dia.” Alya berkata dengan serius. Aku tersentak. “Kenapa Alya?” “I have a bad feeling about her.

Akak ingat tak masa akak hampir kena langgar kat pasar hari tu?” soal Alya. Aku mengangguk. Dahiku berkerut dengan soalan Alya. Kenapa dengan peristiwa itu? Apa kaitannya dengan Kak Azura? “It was her on that car,” jawab Alya dengan wajah yang serius menunjukkan dia tidak berbohong.

Aku terkejut besar. Betul ke dia? Aku cuba mengingati kembali wajah seorang perempuan yang berada di sebelah kerusi penumpang di bahagian depan sebuah kereta yang hampir melanggarku tempoh hari.

Hatiku berdegup kencang. Memang dia! Aku tidak mampu mengecam wajahnya tadi kerana kali ini dia memakai tudung biasa tidak seperti dulu yang menampakkan separuh rambutnya.

Perasaan takut mula menguasai diri. Adakah Kak Zura sengaja untuk mencederakan aku? “Mungkin kebetulan aje Alya,” jawabku cuba untuk menenangkan Alya biarpun hatiku sendiri dihuni perasaan gelisah. “Apa pun terjadi, akak jangan terlalu rapat dengan dia dan jangan percaya apa-apa yang dia. Alya bimbang dia ada agenda lain untuk cederakan akak,” ujarnya dengan nada tegas.

Tidak pernah aku melihat Alya setegas dan serisau ini sebelumnya kerana Alya seorang gadis yang ceria. “Yalah, Alya jangan risau. Perasaan Alya aje tu,” ujarku sambil menguntumkan senyuman agar

Alya tidak terlalu risau diri aku. Aku juga tidak mahu bersangka buruk kerana kejadian yang berlaku mungkin hanya satu kebetulan ataupun wanita yang aku lihat ketika kejadian dulu ialah wanita lain.

Tidak beberapa lama kemudian, kedengaran deruman kereta di perkarangan rumah menandakan Abang Adam kini sudah pulang. Mengenangkan Abang Adam pulang untuk bertemu dengan Azura sahaja semakin membuatkan hati ku terluka. Air mata yang ingin mengalir kutahan sehabis dayaku.

Aku tidak keluar untuk menyambutnya, tumpuan aku hanya kepada lauk pauk yang sedang aku dan Alya uruskan. Seketika kemudian, umi kembali ke dapur, katanya ingin masak gulai ayam kerana Kak Zura mengidam untuk merasa masakan umi.

Sekali lagi aku diketepikan namun aku cuba memujuk hati, seorang wanita yang mengandung amat memerlukan perhatian penuh dari keluarga terutama sekali suami.

Sejam kemudian, segala lauk pauk sudah sedia terhidang, aku diarahkan umi untuk memanggil Abang Adam dan Kak Azura makan bersama. Dengan hati yang berat aku melangkah ke ruang tamu.

Aku kuatkan hati untuk melihat adegan mesra mereka berdua. Bayangan adegan-adegan mesra mereka sahaja sudah melemahkan semangatku. Ya ALLAH, berikan hamba-MU ini kekuatan.

Hampir sahaja tiba di ruang tamu, kedengaran mereka berbual. Aku menarik nafas panjang sebelum sekali lagi memulakan langkah. “Kenapa you beritahu umi tentang kandungan ni? Kenapa you datang tiba-tiba tanpa beritahu I terlebih dulu?” soal Adam bertubi-tubi.

Kakiku terhenti melangkah. “I tak sengaja, tadi I mual, umi you nampak. Lepas tu dia tanya, takkan I nak tipu pulak. I saja datang awal sebab teringin nak jumpa dengan umi,” jawab Kak Zura seakan-akan membela diri.

Aku kehairanan. I? You? Macam tiada kemesraan dalam perbualan mereka dan perbahasaan diri mereka masing-masing. Sungguh aneh.

Kedengaran Abang Adam mengeluh panjang. “Kenapa you beritahu umi yang kandungan you berusia dua minggu sedangkan you tahu hal yang sebenarnya kan?” Kedengaran Adam sedikit tertekan. “You jangan risau. I akan uruskan semuanya, yang penting kita raikan hari ni. Umi you pun gembira takkan you nak rosakkan kegembiraan dia kan?” kata Kak Zura dengan tenang dan Abang Adam hanya terdiam. Aku dapat merasakan ada sesuatu yang disembunyikan mereka.

Setelah melihat keadaan semakin tenang aku keluar dari tempat persembunyianku. “Abang, Kak Zura, jom makan. Makanan dah sedia,” ujarku. Aku langsung tidak memandang ke arah Abang Adam biarpun aku tahu pandangannya hanya tertumpu ke arahku.
“I… Ira pun ada de… dekat sini?” soalnya tergagap-gagap.
“Umi call tadi suruh balik,” jawabku pendek, pandanganku dihalakan ke tempat lain.

Aku bimbang air mata akan tumpah jika pandangan aku bertembung dengannya. “Jom, sayang!” Dengan ceria Kak Zura memaut lengan Abang Adam dan membawanya ke dapur. Raut wajahku kawal sedaya upaya.

Sabar Ira, kau tidak boleh lemah. Memang inilah kenyataan hidup kau yang sebenarnya, kau harus terima dengan redha dan berlapang dada. Insya-ALLAH, setiap kejadian yang berlaku ada hikmahnya.

Aku mengeluh panjang sebelum menuruti langkah mereka. “UMI, mana tomato dan kobis goreng Kak Ira?” soal Alya. Aku juga turut mencari sayuran yang baru aku goreng sebentar tadi. Sejak aku kecil sehingga kini, kedua-dua sayur itu tidak boleh dipisahkan dariku.

Setiap kali aku makan, kedua-dua sayur mesti menjadi salah satu hidangan di meja makan. “Umi tak keluarkan. Ada dekat dapur, Zura cakap dia mual bila nampak sayur tu. Tak apa kan Ira tak makan sayur tu untuk tengah hari ni?” ujar umi.

Aku terkesima. Perasaan sedih mula menguasai diri. Aku memandang Kak Zura dan Abang Adam yang duduk bersebelahan.

Pandangan mata aku dan Abang Adam bertembung namun segera aku larikan. “Kalau macam tu tak apalah umi,” ujarku dengan sayu.
“Mana boleh, umi pun tahu kan Kak Ira tak lalu makan tanpa sayur tu,” bantah Alya yang berada di sebelahku. “Umi tahu, tapi kesian kat Zura. Ataupun Ira boleh makan kat dapur sebab Zura alah dengan tomato dan kobis goreng tu. Kalau boleh umi tak nak kandungan dia terjejas.” Cadangan umi membuatkan hatiku semakin parah.

Aku disuruh makan di tempat lain. Hina sangatkah diriku ini? Jikalau arwah ibu dan ayah masih ada pasti aku tidak dilayan sebegini. “Umi!” Serentak Abang Adam dan Alya memprotes kata-kata umi namun hati yang sudah terluka ini tidak mungkin sembuh dengan pantas.

Mereka berdua juga kelihatan terkejut dengan kata-kata umi mereka. “Alya, pergi ambilkan sayur goreng tu. Zura, I tengok you okey aje makan sayur dekat rumah, takkan sekarang tiba-tiba tak boleh.” Abang Adam tidak berpuas hati.

Alya segera bangun dan bersedia untuk melangkah ke dapur.
“Aduh! Sakitnya kepala ni.” Kak Zura tiba-tiba memicit kepala dan tangannya memaut bahu Adam. “Zura okey tak ni? umi dah cakap, perempuan mengandung tak boleh diberi tekanan! Alya duduk!” Akhirnya umi menaikkan suara kepada Alya namun aku merasakan semua itu diarahkan kepadaku.

Abang Adam kulihat mengusap lembut ubun-ubun Kak Zura dan dia memeriksa nadi Kak Zura dengan penuh perhatian. Pandangannya yang sebelum ini hanya kepadaku kini beralih arah kepada Kak Zura. “Tak apalah Alya. Akak okey aje.” Aku mencapai tangan Alya dan mendudukkan dia kembali.

Hatiku kini sudah tidak mampu untuk menerima apa-apa lagi kerana sudah terlalu penuh terisi dengan kedukaan. Tidak mampu tertanggung lagi kurasa.Setelah keadaan Kak Zura stabil barulah kami sambung makan.

Sesuap nasi yang aku kunyah terasa amat payah untuk ditelan apatah lagi melihat Abang Adam menyuap makanan ke mulut Kak Zura kerana katanya dia teringin untuk merasai nasi yang disuap suami kesayangannya. Air mata mula bergenang di tubir mata.

Wajahku ditundukkan agar tiada siapa yang dapat melihat air mataku. Ya ALLAH, sedihnya kurasa, hanya diri-MU yang mengerti perasaan ini.

Tiba-tiba telefonku berdering nyaring. Tertera nombor yang tidak aku kenali tertera di situ namun aku segera menjawab panggilan itu.

Walau siapapun yang menelefonku, aku sangat berterima kasih kerana panggilan ini menyelamatkan aku dari terus hanyut ke dalam kesedihan yang melemahkan aku ini. “Assalamualaikum, siapa ni?” soal aku. “Is this Syafira Arissa?” soal satu suara. Aku kehairanan, siapa pulak ni? “Yes, I am,” jawabku. “Syafira, naya, Kim Jae Hyuk. Eodi isseo? Nan Maleishia isseo jigeumeun (Syafira, ni saya, Kim Jae Hyuk. Awak ada di mana? Sekarang saya berada di Malaysia).”

Aku terkesima. Jae Hyuk? Biar betul? Jae Hyuk merupakan salah seorang kawan sekelas yang agak rapat denganku ketika aku berada di Korea dulu. “Yaa, Jae Hyuk-a wae yeogi isseoyo? Eoremaniya jeongmal (Hei, Jae Hyuk, kenapa boleh ada kat sini? Sungguh lama kita tak berjumpa).” Dengan ceria aku menjawab dan aku sedar pandangan mereka berempat kini terarah kepadaku.

Aku sungguh tidak menyangka Jae Hyuk akan ke Malaysia. Apa yang istimewa tentang Jae Hyuk, dia merupakan satu-satunya pelajar Korea yang beragama Islam di dalam kelas aku dulu. Itu yang menyebabkan aku tidak gusar untuk bersahabat dengannya kerana segala batas amat dijaga olehnya. Kadang-kadang lebih bagus dari orang Islam di Malaysia sendiri.

Hampir lima minit aku berbual dengannya. Hatiku sedikit terubat dengan panggilan telefon darinya. Katanya lagi dia sedang mengadakan lawatan ke Malaysia di atas urusan kerja.

Kedengarannya dia amat suka dengan Malaysia. Hai, nampaknya kahwin dengan orang Malaysialah kau Jae Hyuk. “Siapa yang telefon?” soal Abang Adam tiba-tiba. Aku memandangnya. Segala keceriaan aku hilang serta-merta. Kini aku kembali ke alam nyata.
“Kawan dari Korea,” jawabku. “Lelaki ke perempuan?” soalnya lagi.
Penyibuk betullah dia ni. “Lelaki.” Ringkas aku membalas.

Raut wajahnya kelihatan tegang. “Umi, Alya, Ira pergi dulu, ada kerja yang hendak di uruskan,” kataku lantas bangun dari kerusi.

Aku menonong keluar dari ruang makan setelah mencuci tangan. Aku langsung tidak bersalam dengan umi atau Abang Adam. Biarpun aku tahu perbuatan aku itu salah, namun hati yang sudah hancur ini membenarkan semua itu.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183103/with-all-my-heart

[SNEAK PEEK] CUTENYA DIA!

CUTENYA DIA! Oleh Azleya Shadzalin

1

NAURA cuba untuk bangun. Menyeringai wajahnya menahan sakit sambil menekan buku lali. Pergelangan kakinya berasa perit kerana tersadung akar pokok getah semasa berlari tadi. Dalam kepekatan malam, pandangannya memang terhad. Dia main redah saja ketika itu bagi menyelamatkan diri. Dia cuba untuk bangun lagi, tapi kesakitan yang dirasakan membuatkan dia terduduk semula. Sakit bercampur ngilu. Namun apabila terdengar bunyi ranting patah dipijak orang tidak jauh dari tempatnya jatuh, dia gagahkan diri untuk bangun.

Dalam kepayahan, dia memaut sebatang pokok getah bersaiz sepemeluk yang berhampiran dan cuba untuk bangun perlahan-lahan. Bibirnya diketap bersama wajah yang berkerut menahan sakit. Mengalir air matanya, tapi dia tidak berani untuk bersuara. Dia memejamkan mata untuk seketika. Dia bimbang jika dia mengaduh kesakitan, kedudukannya akan dapat dihidu. Musnahlah hidupnya nanti. Itu tidak boleh berlaku. Sebab itu, dia sanggup meredah kepekatan malam, berlari di kawasan kebun getah yang sunyi itu semata-mata mahu menyelamatkan diri.

“Aduh!” rengeknya perlahan ketika kaki mula digerakkan.

Dengan sisa tenaga yang ada, dia paksa dirinya untuk melangkah. Terjengket-jengket dia menapak sambil sesekali menoleh ke belakang. Takut juga kalau dirinya ditemui saat itu. Ada ketikanya, dia menyeringai menahan sakit yang terasa. Pasti pergelangan kakinya terseliuh kesan tersadung akar pokok getah tadi. Dalam kesakitan, dia berdoa di dalam hati. Moga ALLAH menyelamatkan dirinya. Mohon agar dia dilindungi daripada mereka yang berhati kejam.

Terlihat saja sinar cahaya terang beberapa meter di hadapan, dia mula mengukir senyum. Itu bermakna, jalan raya sudah tidak jauh lagi. Berhati-hati dia melangkah agar tidak terpijak ranting kering. Sedikit bunyi saja pasti menjanjikan bahaya. Sesekali, dia menoleh ke belakang, memastikan yang dirinya tidak dapat dijejaki.

Pantas saja dia berlari ke tengah jalan raya bila terlihat sorotan lampu kenderaan. Dia berdiri di situ sambil menggoyangkan tangan ke kiri dan kanan dengan harapan agar kenderaan itu berhenti. Dia tidak pasti jenis apa kenderaan itu. Dia memang sudah nekad. Dia akan menahan mana-mana kenderaan yang lalu nanti. Itu saja usahanya. Lagipun, hari sudah lewat malam benar. Mana mungkin ada lagi bas atau teksi yang lalu di kawasan itu.

BEBERAPA meter di hadapannya terdengar decitan tayar kereta yang agak kuat kesan daripada tekanan brek secara mendadak. Serta-merta Naura memejamkan mata sambil menekup telinganya. Wajahnya membiaskan riak ketakutan. Saat itu, baru dia terfikir bahawa tindakannya berdiri di tengah jalan begitu bakal mengundang bahaya. Dibuatnya pemandu kenderaan yang datang tidak perasan akan dirinya, pasti dia akan dilanggar pula.

“Hoi! Nak mati, ke? Apa hal berdiri kat tengah jalan malam-malam buta macam ni! Dah tak sayang nyawa, ke?” sergah pemandu kenderaan itu. Gema suaranya memecah keheningan malam.

Naura membuka sedikit matanya. Dari jarak yang tidak berapa jauh, Naura dapat melihat yang lelaki itu tajam merenungnya. Marah sangatlah tu!

Dalam kepayahan, dia cuba melawan pancaran cahaya lampu yang menyuluh wajahnya. Sedikit perit matanya melawan sinaran cahaya itu. Tangan kirinya dihadang di depan muka, cuba menghalang cahaya itu terus memanah matanya. Dari celah-celah jemarinya, dapat dilihat sebuah kereta Honda Civic Type-R berwarna hitam gagah menjalar di depannya.

“Encik, tolonglah saya, encik. Saya dalam kesusahan. Tolonglah saya, encik,” rayu Naura sayu. Sudah hilang rasa segannya saat itu.

Sehabis saja dia menuturkan ayat itu, kereta tadi mengundur seperti mahu meneruskan perjalanan. Kereta itu memintasnya melalui sebelah kanan. Naura hampa. Terasa lemah seluruh tubuhnya. Tapi, perasaan itu tidak lama. Dia tersenyum gembira bila kereta itu diparkir di bahu jalan. Enjinnya dimatikan dan lelaki itu keluar dari kereta, berjalan perlahan dan menuju ke arahnya.

“Apa kena dengan awak ni? Tahan kereta orang tiba-tiba. Dah tu, terpacak kat tengah jalan ni, apa hal? Nasib baik saya tak langgar awak tadi. Kalau tak, dengan saya sekali dapat susah.” Lelaki itu bersuara sambil bercekak pinggang.

Wajahnya agak tegang. Mungkin marah dengan tindakan Naura tadi. Ah! Apa dia peduli. Nak marah, marahlah… Tapi, mata itu jagalah sikit. Janganlah tenung orang macam hendak membunuh. Renungan tahap beku tu!

“Encik, bawalah saya pergi dari sini. Saya nak keluar dari tempat ni. Tolonglah saya, encik,” rayunya lagi sambil matanya melilau.

Tangannya menggoncang lengan lelaki itu, minta dikasihani. Pertanyaan lelaki itu hanya dibiarkan sepi. Kerisauannya tidak pernah reda selagi dia belum dibawa keluar dari kawasan itu. Macam-macam boleh jadi.

“Saya tanya, awak tak jawab lagi. Apa hal pulak saya kena bawa awak keluar dari sini? Kenal awak pun tak.” Agak keras nada suaranya.

“Nanti saya ceritalah pada encik. Tapi sekarang ni, bawalah saya pergi dulu. Tolonglah saya, encik. Tolonglah saya…” katanya lagi, masih menggoncang lengan lelaki itu, mohon pengertian dan simpati.

Lelaki itu memandangnya dari atas ke bawah. Tajam.

Aduh! Ini yang lemah ni. Apa hal main ‘usha’ orang atas bawah? Bukannya makhluk asing pun. Oranglah ni!

Lelaki itu masih memandangnya. Matanya dikecilkan sedikit. Mungkin pelik melihat keadaan Naura yang agak tidak terurus dan terdapat kesan lebam serta luka kecil di beberapa bahagian tangannya. Baju yang dipakainya juga ada kesan terkoyak di bahagian bahu. Lepas itu, dia melihat Naura berjalan terjengkit-jengkit tadinya.

“Apa yang berlaku pada awak sebenarnya? Sorang-sorang jalan tengah malam kat kawasan sunyi macam ni, tak takut ke?” tanya lelaki itu lagi sambil memerhati kawasan sekeliling.

Di kiri dan kanan mereka hanyalah terlihat kebun-kebun getah dan sawit yang sunyi. Nasib baik perempuan yang diherdiknya itu menjawab bila ditanya. Nyatalah dia seorang manusia. Jika dibuatnya dia hanya senyap dan tunduk, tapi tiba-tiba mengangkat muka dengan mata yang merah menyala, serta muka yang sudah bertukar warna, tidakkah haru-biru jadinya?

Belum pun sempat Naura menjawab, mereka terdengar suara bising-bising tidak jauh dari situ. Naura jadi gelabah tiba-tiba. Riak wajahnya bertukar ketakutan. Pantas ditarik lengan lelaki itu agar masuk ke keretanya. Lelaki itu jadi bingung. Tapi, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana Naura sedikit menghimpit dan menghalang laluannya.

“Cepat, encik… kita pergi dari sini. Cepat! Tolonglah…”

“Hei, apa ni? Awak ni kenapa? Janganlah macam ni, nanti orang kata kita buat tak senonoh pula!” sahut lelaki itu sambil cuba menepis tangan Naura yang memegang tangannya. Naura sedaya upaya merayu agar lelaki itu membawanya secepat mungkin.

“Encik, tolonglah bawa saya pergi dari sini. Tolonglah…” rayunya lagi. Kali ini, air matanya sudah deras menuruni pipi. Tanpa sedar, Naura membenamkan wajahnya di dada lelaki itu sambil terus menangis hiba.

Lelaki itu tergamam. Timbul pula rasa simpatinya. Jika gadis ini tidak berada di dalam kesusahan, pasti dia tidak akan merayu sambil menangis begitu.

“Okey, kita keluar dari sini. Awak jangan macam ni. Saya tak selesa…” pujuknya lembut, cuba meredakan hati Naura.Namun, belum sempat mereka bergerak meninggalkan tempat itu, tangan Naura tiba-tiba ditarik kasar oleh seseorang. Hampir terjatuh Naura dibuatnya kerana tidak dapat mengimbangi diri. Lelaki tadi pula, terus ditarik keluar dan tersandar di keretanya sambil dikawal oleh beberapa orang yang lain.

“Eh! Apa ni?” soal lelaki itu sambil meronta-ronta minta dilepaskan. Kedua-dua tangannya dipegang kemas tika itu.

“Oh! Ni kerja kau ya, Naura? Buat perkara tak senonoh kat sini. Dengan orang luar pula tu! Kau tak tahu malu, ke?”

“Kau jangan nak tunjuk baik pula! Kau tu yang jahat! Kau nak tuduh aku pula! Kalau tak sebab kau, aku tak jadi macam ni, tau!” tingkah Naura bersama marah yang amat. Sudah tidak terbendung lagi kemarahannya saat itu. Melihat wajah Taufik, bagai melihat wajah syaitan bertopengkan manusia. Sakit hatinya.

“Apa pula aku? Ada ke bukti kau nak tuduh aku? Sekarang ni, kau dengan siapa? Aku atau lelaki ini? Siapa lelaki ni, Naura? Kekasih kau? Patutlah kau selalu keluar malam. Ini yang kau buat rupanya, ya? Memalukan keluarga!” jerkah Taufik, angkuh.

Bulat mata Naura memandang Taufik yang lantang menuduh dia.

“Apa ni, saudara? Jangan main tuduh-tuduh kalau tak ada bukti. Kami tak buat apa-apa pun,” bela lelaki itu bila dia dibabitkan sama dalam hal itu. Dia sudah dapat menghidu sesuatu kurang elok saat itu.

Paling dikesalkannya, secara tidak langsung dia terlibat sama. Inilah dia cari bala namanya. Kalau dia tidak berhenti tadi, pasti tidak terlibat dengan permasalahan ini. Aduh!

“Main tuduh apa pula! Dah jelas aku dengan kawan-kawan aku nampak kau orang berdua aje kat sini. Tempat sunyi, gelap pula tu. Dalam keadaan yang mencurigakan dalam kereta sambil bersentuhan. Pegang-pegang, peluk-peluk. Ni, baju Naura sampai koyak ni. Kau buat apa? Itu bukan bukti, ke? Imam, tengoklah sendiri. Betul tak apa yang Fik cakapkan tadi. Naura buat ‘hal’ kat kampung kita ni. Dia nak malukan kita semua.”

Imam terdiam buat beberapa ketika. Dia hanya memandang Naura dan pemuda itu silih berganti. Riak wajahnya tidak membayangkan apa-apa. Marah tidak, setuju pun tidak. Hanya bersahaja. Namun, di benaknya pasti segalanya berputar bagaikan roda. Menjana dan menimbal balik apa yang didengar dan dilihat dengan mata.

“Dahlah, Fik. Kita bawa mereka ni ke rumah aku dulu. Biar aku yang putuskan apa yang nak dibuat dengan mereka berdua ni,” putus pak imam akhirnya.

Kawan-kawan Taufik yang lain hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Taufik juga turut mengangguk.

Naura sudah rasa lemah lutut. Apa saja yang akan dia katakan saat itu, pasti tidak akan meraih perhatian sesiapa. Malah, kesalahan tetap memihak padanya. Silapnya juga. Tanpa sedar, dia dan lelaki itu sudah ‘bersentuhan’. Dia hanya cuba meluahkan keresahan. Walaupun dia tiada niat lain, tapi apa yang dilihat oleh orang, mereka telah melakukan kesalahan.

“NAURA tahu tak, apa yang Naura buat ni salah dan memalukan keluarga? Naura tu perempuan. Duduk berdua-duaan dalam kawasan sunyi dan gelap, apatah lagi dalam kereta macam tadi itu boleh menimbulkan syak. Tengok keadaan Naura macam ni, dengan baju yang terkoyak, lagilah tak elok, Naura.” Lembut Pak Cik Leman bertanya sekali gus menasihati anak saudaranya.

“Naura dengan dia tak buat apa-apa pak ngah, imam. Naura cuma nak minta tolong daripada dia. Memang Naura yang tahan kereta dia tadi, tapi kami tak buat apa-apa. Pak ngah patut tanya pada Taufik, apa yang dia nak buat pada Naura? Bukan tuduh Naura dan orang tu. Dia tak bersalah,” jawab Naura dalam esak tangis yang tidak mampu dikawal lagi. Sesekali matanya tajam menjeling Taufik yang tersenyum sinis.

“Hei, apa hal pula nak tanya aku? Dah nyata kau ada dengan dia masa tu, aku pula yang kau tuduh. Janganlah kau nak sembunyikan perangai buruk kau tu, Naura,” sindir Taufik. Sinis.

“Ha’ah. Kita orang pun nampak,” sokong kawan-kawan Taufik pula.

Tok imam tekun mendengar sambil mencelah sesekali.

“Kamu semua nampak ke dengan mata kepala sendiri yang anak aku ni lakukan perkara tak senonoh dengan lelaki ni? Apa yang kamu nampak? Ada kamu nampak mereka buat ‘apa-apa’ yang mencurigakan?” Mak Munah bersuara, membela Naura. Matanya dijeling ke arah Taufik. Tajam.

Taufik menunduk. Kawan-kawannya juga.

“Eh! Mak Munah ni… Dah sah-sah kami nampak Naura dengan budak lelaki tu berpelukan dalam kereta. Bukan nak buat perkara tak senonoh ke macam tu?” jawab salah seorang kawan Taufik.

Naura dan lelaki itu serentak memejamkan mata apabila mendengar tuduhan itu.

“Kalau ibu tak percaya, tanyalah imam. Imam sendiri nampak apa yang kami nampak. Memang memalukan!” tokok Taufik pula.

Mak Munah mencerun memandang Taufik.

“Kau, Taufik! Sepatutnya sebagai abang, kau melindungi adik kau ni. Tapi, kau pula yang nak menuduh dia beria-ia. Naura ni kau jadikan mangsa melepaskan kemarahan kau kalau kau tak dapat duit, kan? Sebab nak beli benda haram tu, sanggup adik sendiri kau pukul sampai berbirat badan dia. Lebam-lebam kau kerjakan. Ibu memang tak boleh nak buktikan apa-apa, tapi ALLAH tu Maha Mengetahui.”

“Ibu tak boleh tuduh Fik. Dah terang anak dara ibu yang menggatal dengan orang luar ni. Apa kena-mengena dengan Fik pula?”

“Ibu yang suruh Naura lari. Kau pun tahu apa sebabnya, kan?”

“Ibu cakap apa ni?” Suara Taufik sudah tersekat-sekat. “Naura dah buat tak senonoh pun, ibu masih nak sebelahkan dia lagi, ke? Ibu ni, kenapa? Kalau Fik nak tuduh dia tanpa sebab, kenapa pula lelaki yang entah dari mana asal usul ni ada dengan Naura kat tempat sunyi tu? Naura tu tinggal nak larikan diri aje tadi tu, ibu. Nasib baik Fik dapat tangkap mereka. Kalau tak, malu besar kita semua,” tokoknya lagi, melindungi diri.

“Ibu tahu apa yang berlaku. Ibu tahu Naura dan budak lelaki tu tak bersalah. Ibu tahu semuanya. Mungkin hari ni nasib tak menyebelahi Naura. Tapi, ibu tahu lepas ni hidup dia lebih aman jika dia jauh daripada kau, Fik.”

Sejak sampai di rumah tok imam tadi, keadaan sudah kecoh walaupun hanya keluarga Naura dan beberapa orang kawan Taufik yang ada pada ketika itu. Suara tingkah meningkah tidak henti-henti dari tadi. Paling kuat suara Taufik. Dia tetap menuduh Naura sudah melakukan perkara tidak elok dengan lelaki itu.

“Cukup! Dah, jangan nak menyalahkan satu sama lain. Kamu semua ni bukan orang lain. Anak-beranak juga. Macam nilah, ya. Aku ni sebagai orang tua, imam pula tu, bukan nak menyalahkan sesiapa. Tapi, kalau ikut apa yang aku nampak, ditambah pula dengan cerita oleh saksi-saksi yang melihat, Naura tetap dianggap telah melakukan kesalahan kerana berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan.

Sebenarnya, keadaan mereka tu sudah boleh mengundang prasangka dan memalukan walaupun mereka kata tak buat apa-apa. Keadaan mereka mencurigakan. Tuduhan tetap ada. Kamu tahulah mulut orang, kan? Jadi, macam mana pada pendapat kau Munah, Leman? Kalau ikutkan aku, baik kita nikahkan saja budak berdua ni. Selain nak tutup malu kamu sekeluarga, perkara ini sudah boleh dianggap selesai. Lebih elok begitu dari nanti akan menimbulkan fitnah.”

“Tapi, pak imam… Naura tak buat apa-apa dengan dia! Naura berani bersumpah,” katanya sebak dalam esak tangis yang tidak mampu ditahan-tahan lagi.

Punah jiwannya mendengar usulan daripada imam itu. Bak hukuman yang tidak adil buatnya. Dia berpaling kepada ibunya pula.

“Ibu, tolonglah Naura, ibu! Naura tak nak nikah dengan sesiapa. Kenapa hukum Naura macam ni? Kenapa semua orang tak nak percaya cakap Naura? Naura tak salah,” rintih Naura masih dalam esak tangis.

Sayu Mak Munah mendengar rintihan anaknya. Naura sudah hilang punca bila soal nikah dibangkitkan. Dia belum bersedia untuk ke arah itu. Dia masih terlalu muda. Baru hendak masuk 20 tahun umurnya. Banyak lagi yang harus dia kejar dalam hidupnya. Impiannya pun masih belum tercapai. Janganlah musahkan hidupnya begini.

“Imam, anak aku tak salah.”

“Munah, dalam keadaan macam ni susah kita nak tentukan siapa salah, siapa benar. Kita ada saksi. Ada bukti. Biarlah kita nikahkan Naura dengan budak ni. Itu lebih elok daripada kita biarkan cerita ni jadi fitnah dan melarat-larat pula nanti.”

Naura meluru ke arah lelaki itu tiba-tiba. Dipandang wajah lelaki itu minta pengertian sebelum bersuara.

“Awak… cakaplah apa yang mereka fikir tadi tak benar. Beritahu mereka semua yang kita tidak melakukan perkara seperti mana yang mereka fikirkan. Beritahulah, awak…” rayu Naura sayu.

Beberapa minit berlalu, namun lelaki itu masih sepi. Enggan bersuara. Sekali lagi Naura memandangnya dengan pandangan yang sayu. Lelaki itu membalas pandangannya, tapi dia masih juga begitu. Sepi. Naura putus harap. Perlahan-lahan dia menjauh. Keengganan lelaki itu menceritakan apa yang sebenarnya terjadi bagai menutup jalan keluar buat Naura. Dia menunduk. Demi terpejam saja kelopak matanya, titis-titis air jernih itu kembali deras berlumba-lumba membasahi pipinya.

Pak imam memandang lelaki yang bersama Naura tadi agak lama.

“Kamu tinggal di mana? Bagaimana kamu boleh berada di sini?” tanya imam pada lelaki itu bila kesepian seakan beraja.

Lelaki itu menghela nafas.

“Saya dari Kuala Lumpur, imam. Ada kerja sikit di kawasan sini,” jawabnya tenang.

“Kerja apa? Kerjakan anak dara orang?” jerkah Taufik.

“Taufik! Biar aku yang bercakap. Kamu jangan keruhkan lagi keadaan,” tegas imam. Geram juga dia dengan Taufik. Asyik mahu menyalahkan orang lain saja.

Imam menumpukan kembali perhatian kepada lelaki itu.

“Jadi, macam mana? Setuju ke kamu kalau aku nikahkan kamu dengan Naura? Sebelum kamu jawab, aku nak beritahu kamu satu perkara. Aku dah dengar dan lihat semua yang berlaku. Aku bertanya, bukan memaksa. Keputusan di tangan kamu, jadi apa jawapan kamu?”

Semua mata tertumpu kepada lelaki itu. Lama baru dia menjawab.

“Ya, pak imam. Saya setuju,” ringkas jawapannya.

Naura merasakan dunianya gelap tiba-tiba. Terasa lemah seluruh tubuhnya. Jawapan ringkas lelaki itu begitu memeranjatkannya. Juga yang lain. Tidak ada pembelaan langsung daripada pihaknya. Tanpa ada kata-kata penafian dan sebagainya. Dia hanya bersetuju saja. Tadi pun, dia hanya bercakap ketika ditanya. Selebihnya dia hanya menjadi pendengar setia. Tenang tanpa ada riak apa-apa. Sesekali saja terlihat kerutan merentangi dahinya. Selebihnya, dia banyak mencuri pandang ke arah Naura dalam diam.

“Hmm, eloklah macam tu. Esok pagi, aku uruskan apa yang patut dengan pejabat agama. Buat sementara waktu, kamu tinggal di rumah aku. Jangan ke mana-mana.”

Lelaki itu hanya menjawab dengan satu anggukan. Tanda dia faham apa yang pak imam katakan. Satu arahan sebenarnya.

Ku meniti awan yang kelabu
Ku tempuhi lorong yang berliku
Mengharap sinaran menerangi
Kegelapan ini…

(Pelangi Petang ~ Sudirman Hj. Arshad)

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/165995/cutenya-dia

[SNEAK PEEK] CINTA BUNGA TULIP

CINTA BUNGA TULIP Oleh Laila Kamilia

Prolog

Masjid Berlin, Wilbur Cross Highway

“HIERMIT verheirate ich dich Herr Megat Iskandar Ibrani mit dir Frau Azizah Gretel mit 50Euro als mahar.”

„Bist du damit einverstanden?”

„Ja! Ja! Ja!” sagt Megat Iskandar Ibrani und “Ja! Ja! Ja!” sagt Azizah Gretel.

Dann wird die besagte Dua des Sheikh Effendi gesprochen und am Ende alle eine Al-Fatihah.

„Alhamdulillah, suncleit seid Ihr Mann und Frau.”

Sie unterzeichnen Em die Heiratsurkunde vor den Zeugen.

„Das ist die zertifikate.”

„Danke schöne.”

„Bitte.”

Beide lächeln und sind sehr glücklich.

TERJEMAHAN

“Saya dengan ini menikahkan anda, Megat Iskandar Ibrani dengan Azizah Gretel dengan sebanyak Euro 50 sebagai Mahar.”

“Adakah anda bersetuju?”

“Ya! Ya! Ya!” akui Megat Iskandar Ibrani.

“Ya! Ya! Ya!” beritahu Azizah Gretel.

Sheikh Effendi membacakan doa. Setelah itu semua hadirin menamatkannya dengan surah Al-Fatihah.

“Alhamdulillah, anda sudah sah sebagai suami dan isteri.”

Mereka kemudian menandatangani sijil perkahwinan di hadapan saksi.

“Ini sijilnya.”

“Terima kasih banyak.”

“Sama-sama.”

Kedua-duanya tersenyum dan berasa gembira.

Gretel yang bermaksud mutiara itu kini dipanggil Azizah. Aku memilihnya sendiri nama Azizah itu supaya namanya nanti punya jalinan yang menarik apabila digabungkan. Azizah Gretel bermaksud mutiara yang disayangi. Dia tersenyum mesra sambil memaut lenganku. Ya, dia sememangnya sangat berharga yang aku kasihi sepenuh jiwaku. Deminya, aku sanggup lakukan apa saja. Hatta aku harus meninggalkan segala yang pernah aku ada.

Mutiaraku merenung penuh kasih. Cahayanya umpama bintang-bintang yang menerang kegelapan malam. Aku membalas kembali renungannya, juga sarat dengan kasih sayang. Tangannya kugenggam erat. Aku ingin meminjam kekuatan daripadanya. Jika dia boleh berkorban segala untuk membuktikan cintanya kepadaku, mengapa tidak aku menyerahkan seluruh hidupku kepadanya?

“Sijilnya, encik.” Teguran imam yang menikahkan kami membawa aku ke alam nyata. Jauh rupanya aku tenggelam dalam dunia Azizah Gretel. Aku tersenyum malu memandang ke arah imam itu kemudiannya.

“Maafkan saya.” Aku berkata lalu mengambil dokumen yang telah mengikat aku, Megat Iskandar Ibrani dengan Azizah Gretel Ibrani menjadi satu.

Kami bersalam lalu mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang ada di masjid itu. Tidak ramai, hanya empat orang semuanya dan enam orang bila termasuk aku dan Azizah. Aku memandang lagi sekadar untuk memastikan, dua orang yang sepatutnya hadir menyaksikan majlis ini benar-benar tiada di situ.

Aku cuba menyedapkan hati. Memadailah, kerana telah menjadikan impian dua manusia yang berlainan adab budaya menyatu di bumi Hitler!

‘Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cinta siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu senantiasa akan timbul kesenangan.’

– Ibnu Abbas

*****

Taman Keukenhof, Belanda

PUTERI SARA IBRANI merenung jauh pada kuntuman tulip berwarna oren di hadapannya. Kakinya yang berbalut sneaker putih bercop NIKE dilunjurkan ke hadapan sambil bersandar pada bangku kayu yang disediakan di laluan pejalan kaki itu. Dia melepaskan keluhan. Terasa begitu sesak taman ini dengan manusia, menambah sesak fikirannya. Di kepalanya tertanya-tanya mengapa hari ini juga mereka ke sini sedangkan mereka boleh memilih salah satu hari dalam bulan Mac hingga Mei?

Sara terlupa tentang kemasyuran taman ini. Jutaan pengunjung saban tahun ke sini semata-mata untuk melihat tulip dalam masa hanya tiga bulan itu. Bukan setakat hari ini saja orang datang bersesak tetapi setiap hari. Hanya kerana dia ‘tamak’ mahu melihat tulip dalam sunyi dan sendiri, dia marahkan orang lain yang juga mahu menikmati keindahan taman bunga tulip terbesar di dunia itu. Hah! Sungguh terbawa-bawa dengan emosi!

Dia bangun. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam jaket. Matahari sudah separuh tinggi tetapi tetap dingin. Sesekali tubuhnya menggeletar. Walaupun salji telah berlalu, dingin di musim bunga itu tetap menggigit. Dia membetulkan mafla di lehernya lalu mula berjalan. Kamera DSLR yang disangkut di bahu dibetulkan letaknya. Sekalipun suasana indah sedang terbentang di depan mata, hatinya tidak terdetik mahu merakam apa-apa.

Kakinya terus berjalan menghala ke arah taman mini yang menempatkan beberapa haiwan daripada keluarga unggas. Merpati, ayam serama malah itik, bebas berkeliaran di dalam reban. Bukanlah tujuannya datang ke taman bunga ini untuk melihat unggas-unggas itu tetapi kakinya tetap laju melangkah ke situ. Laju tangannya menala lensa kamera DSLR untuk merakam beberapa aksi sang unggas.

Dia melihat di lensa kamera Nikon itu hasil gambar yang terakam. Senyumannya meleret ke telinga. Puas hati dengan hasil sentuhan seninya. Selain itu, pastilah kerana mengenangkan betapa peliknya tingkah sendiri. Datang ke taman bunga, tapi unggas yang diambil gambarnya.

Dia pernah mendengar cerita Aunty Aminah yang unggas-unggas seperti itu banyak berkeliaran di kampung-kampung di Indonesia mahupun di Malaysia. Kepalanya segera teringat pada wajah riang Adrian dan Aziz apabila ibunya itu bercerita tentang pengalaman semasa kecil mereka berdua mengejar dan dikejar ayam semasa di kampung. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri mengingatkan keluarga kecil yang dia ada di Berlin. Ya, satu-satunya keluarga yang dia ada di dunia sebenarnya.

Sara mengambil tempat di bangku kosong yang baru ditinggalkan sekumpulan pengunjung dari Asia. Dari telor percakapannya mahupun bentuk matanya, dia dapat mengagak pelancong itu datang dari negara China. Sempit sangat pengetahuannya tentang bangsa Asia hinggakan dia tidak tahu yang bermata sepet dan bertutur Mandarin itu tidak semestinya datang dari negara China. Mungkin saja pelancong dari Hong Kong, Singapura malah tidak mungkin juga dari Malaysia!

Pastilah itu sesuatu yang tidak menghairankan kerana taman bunga secantik Keukenhof ini telah membawa ramai pencinta bunga dari seluruh dunia. Khabarnya hinggakan tempahan dibuat berbulan-bulan lebih awal bagi mengelakkan kehampaan kerana tidak dapat masuk ke taman ini. Malah ada pelancong yang datang terlalu awal ketika bunga-bunga tulip masih belum pun berkembang. Ada pula yang datang hanya sekadar melihat daun bunga tulip sahaja. Masalah ini tidak dapat dielakkan kerana tempoh musim dingin tidak dapat diduga peredarannya setiap tahun.

Sara memeluk tubuh. Jauh sudah dia mengelamun. Dia memandang lagi ke hadapannya. Terbentang pemandangan indah yang memukau mata. Dia mengagumi panorama yang sedang terbentang di hadapannya tanpa pernah jemu. Dia sudah ke sini beberapa kali bersama kawan-kawan dan sekali bersama papanya. Kata papa, ladang tulip itu terbentang luas macam sawah padi di Malaysia. Cuma bezanya padi berwarna keemasan sedangkan tulip pula berwarna-warni.

Sara tidak dapat membayangkan apa yang cuba disampaikan papa. Sawah padi? Kelihatan begitu asing padanya. Dek kerana ingin tahu, dia mencarinya di internet. Rupa sawah padi memang langsung tidak sama dengan ladang tulip. Jadi bagaimana papanya boleh membuat persamaan sebegitu? Sungguh dia tidak faham, sebagaimana dia tidak memahami papanya.

“Assalamualaikum!” Ucapan salam seseorang dari belakang telinganya membuatkan hati Sara berbunga ria tiba-tiba. Dia tidak perlu menoleh untuk melihat siapa yang menegurnya. Dia arif sangat dengan suara itu. Dia dan empunya suara itu sebenarnya sudah tidak boleh dipisahkan oleh apa-apa lagi.

Sara mengukir senyum. Dia membiarkan lelaki itu terus menjadi penunggu di sisinya. Betapa suara itu memang amat dirinduinya. Tak perlu dia menyatakan kerinduan itu, dia tahu akhirnya lelaki itu pasti akan datang. Baru sebentar tadi dia teringatkan lelaki itu dan kini bagaikan mimpi, lelaki itu muncul di sisi.

“Selamat hari jadi, Sara!” ucap lelaki itu dalam bahasa Jerman yang fasih.

Suara lelaki itu gemersik menerpa ke telinganya. Sara memejamkan matanya, menghayati keindahan ucapan salam daripada seseorang yang sangat dekat dengannya. Rasa bahagia itu menyerap ke hatinya membuatkan dia tersenyum.

Haruman Cool Water dari Davidoff yang sudah sebati di hidungnya mengesahkan siapa dia yang berada di sisinya tanpa perlu dia menoleh. Ya, semenjak dia menghadiahi Cool Water kepada lelaki itu dua tahun lepas, haruman itu telah menjadi bau rasminya.

“Terima kasih, Adrian!” jawab Sara, juga dalam bahasa Jerman yang fasih. Matanya perlahan-lahan dibuka. Kini Adrian betul-betul berdiri di hadapannya. Lelaki itu memegang sejambak bunga tulip berwarna merah jambu di tangan kanan, manakala di tangan kirinya secawan besar kopi panas.

Hatta melihatkan Adrian, hampir saja Sara memeluk lelaki itu ke dalam dakapannya. Dia benar-benar teruja kerana sebenarnya di saat dia kesedihan seperti itu tiada siapa yang diharapkan kecuali dia. Tanpa diduga, impiannya tiba-tiba menjadi kenyataan! TUHAN pastilah benar-benar sayang padanya.

Namun reaksi Adrian seperti biasa. Cepat saja menjarakkan dirinya bila Sara membuat aksi teruja begitu. Dia mengundur ke belakang selangkah. Tetapi senyuman tetap tersungging di bibir merahnya. Wajahnya nampak begitu ikhlas tatkala menghulurkan jambangan tulip kepada Sara tanpa rasa bersalah sekelumit pun.

Ah! Lelaki itu terlalu menjaga adab. Dalam keadaan teruja seperti itu, seharusnya Adrian biarkan sahaja dia memeluknya untuk meraikan kegembiraan. Begitulah perkiraan Sara, gadis separuh Malaysia, separuh Jerman itu. Sedangkan bagi Achmad Faris Adrian Fadhli, lelaki setengah Indonesia dan setengah Jerman itu, batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan cukup umur harus ada bentengnya.

Sekalipun mereka membesar bersama, tidak bermakna dia dan Sara boleh saling berpelukan sebagaimana dia memeluk Aziz. Sara tetap haram disentuh sekalipun antaranya dengan Sara boleh diibarat bagai kembar tidak seiras. Mereka sangat akrab hinggakan apa sahaja tentang diri Sara sudah ada di dalam poketnya hinggakan dia boleh membaca fikiran gadis itu. Lihatlah, walaupun Sara tidak memberitahu akan berada di situ, dia boleh menjejakinya kerana pada tahun-tahun sebelumnya memang di sinilah, di kerusi yang sama mereka duduk berjam-jam lamanya berbicara macam-macam.

Sebenarnya bukanlah sukar menduga ke mana Sara pergi kerana beberapa hari sebelum kehilangannya, Sara ada memberitahu yang dia teringin ke Keukenhof melihat tulip. Sara memang gemar dengan tulip. Kalau jumpa tulip meliar di jalanan pada musim bunga, Sara cepat saja berlari mengutipnya. Jadi bila berlaku perselisihan antara Sara dan papanya, Sara menggunakan alasan itu untuk ‘melarikan’ diri seketika sehingga hatinya sejuk kembali. Jadi mudah baginya untuk mengagak ke mana Sara membawa diri kali ini.

Begitulah juga jika dia menghilangkan diri. Sara pasti boleh menjejakinya walau ke mana dia pergi hinggakan Aziz, adik kandungnya kadang-kadang angkat bendera putih kalau tiba-tiba mami dan papi minta mencarinya! Lalu Aziz pasti saja menelefon Sara jika dia tidak mahu pening kepala membuang masa mencarinya.

Adrian mengambil tempat di sisi Sara yang kelihatan asyik membelek jambangan tulip merah jambu.

Sara pula menyimpan rasa terkilan di hatinya pada tingkah Adrian sebentar tadi. Ketika hati dipagut sedih begitu, jika boleh dia mahu dipeluk dan dibelai supaya hatinya menjadi tenteram. Dia tahu, batas yang Adrian letakkan itu seharusnya dihormati tetapi dia benar-benar sedang bersedih dan tertekan. Kalaulah sahaja papa boleh menjadi orang yang dipercayai dan dihormatinya. Dia mengeluh di dalam hati, mengenangkan nasib diri.

Dia membelek lagi bunga-bunga tulip yang begitu segar warna merah jambunya. Dia mengiranya. Ada 21 kuntuman semuanya. Pastilah melambangkan 21 tahun umurnya kini. Ya, dia sudah pun berumur 21 tahun!

“Cukup tak dua puluh satu?” Adrian bertanya untuk menceriakan wajah Sara tetapi gadis itu hanya tersenyum hambar. “Kenapa merajuk sampai ke sini?” Dia bertanya mengorek rasa. Masih juga tidak mahu berputus asa memujuk gadis itu berkata-kata dengan nada yang selalu tegas tetapi tetap lembut tuturnya.

Sebagai lelaki bangsa Indonesia yang masih menjunjung tinggi adab timur, begitulah watak Adrian. Berbeza dengan karakter lelaki bangsa Jerman yang selalunya kedengaran tegas tetapi sedikit kasar. Matanya saja yang kelihatan coklat kebiruan tetapi dia tetap suka makan pempek Palembang buatan papinya. Itulah Adrian yang lebih bahagia menjadi orang Indonesia walaupun tinggal di negara Jerman.

Seperti Sara, Adrian juga menggunakan bahasa Jerman dalam pergaulan sehariannya tetapi yang membezakan antara kedua-duanya ialah Adrian akan bertutur dalam bahasa Indonesia dengan keluarga atau dengan orang Indonesia yang lain sedangkan Sara langsung tidak tahu bertutur bahasa Malaysia. Kerana itu, sekalipun datang dari satu rumpun Melayu, Sara dan Adrian akan bertutur dalam bahasa Jerman kerana kekurangan Sara itu.

“Mana ada merajuk?” Sara tidak mahu mengaku.

Kata-kata Sara itu sekadar membuatkan Adrian tergelak kecil. Dia membongkokkan tubuhnya ke hadapan lalu berpaling ke kiri Sara. Dengan segaris senyuman yang masih tersungging di bibirnya dia hanya memandang wajah Sara. Dia cuba mencari punca mengapa kali ini Sara lari lagi.

Melihatkan Sara hanya membatukan diri, dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu tidak berubah. Selalunya dia turut terbabit sama dalam hal ‘melarikan diri’ hinggakan papa Sara pernah mengamuk kepadanya. Tetapi sejak peristiwa setahun lalu itu, Sara telah berjanji kepadanya yang dia tidak akan lari lagi walau apa juga yang terjadi. Kini Sara memungkiri janjinya. Sara sudah pandai ‘lari’ tanpa membawanya. Sungguh Adrian tidak faham.

“Sampai hati tak bawa aku sama. Kalau kau beritahu, aku tak akan biarkan kau pergi sendiri sejauh ini.” Adrian meluahkan apa yang dirasakannya.

Sara menarik nafas yang terasa begitu berat di dadanya. Kedatangannya ke sini memang tidak dikhabarkan kepada sesiapa. Tidak kepada Adrian, apatah lagi kepada papanya. Dia hanya ingin bersendirian menyambut hari lahirnya. Justeru, seawal jam 6.00 pagi semalam, dia sudah berada di Berlin Sentral untuk menaiki ICE ke Amsterdam.

Sangkanya tiada yang akan menemuinya di sini. Yalah, dia bukannya artis yang semua orang kenalnya. Lagi pula jarak di antara Berlin ke Amsterdam lebih kurang 659km! Naik ICE saja sudah pun enam jam! Sudah cukup jauh. Tetapi dia tersilap. Silapnya kerana dia terlupa, dia ada seseorang seperti Adrian.

Adrian ketawa tiba-tiba. Wajah jengkel yang ditunjukkan oleh Sara langsung tidak membuatkannya terasa hati. Malah dia merasakan kemenangan telah berpihak kepadanya.

“Sudahlah… jangan merajuk. Nanti tak cantik.” Dia bercanda.

Wajah Sara masam mencuka mendengarkan lawak Adrian yang langsung tidak menjadi, langsung tidak menyejukkan hatinya yang sedang marah. Adrian tak perlu mencarinya. Dia tak perlukan sesiapa untuk memujuknya.

“Boleh tak lain kali, kau jangan cari aku? Biarkan saja aku seorang. Aku kan memang tak ada sesiapa di dunia ni?!” Bersungguh-sungguh dia marah. Suaranya sudah tinggi. Dia sudah tidak hiraukan bunga tulip merah jambu mahupun orang yang lalu-lalang di hadapan mereka. Dia sudah tidak peduli apa-apa lagi.

“Sara! Kita kan dah berjanji akan melalui semuanya bersama-sama? Aku sekali-kali tak akan biarkan kau sendirian.” Adrian mengulang janji yang pernah terukir di antara mereka sejak kecil. Janji yang sudah dipateri dengan darah pada usia 12 tahun itu. Sekalipun ketika itu mereka tidak faham banyak perkara, tetapi janji tetap janji. Masakan Sara lupa pada janji itu? Masakan Sara terlupa pada dia?

Namun kata-kata Adrian tidak langsung membuatkan Sara tersenyum. Ketika itu, Sara berasa malu pada dirinya. Dia baru tersedar dia telah memungkiri janjinya sedang lelaki itu begitu tegar memegang janji mereka. Mengapalah ketika dia membuat keputusan ke sini dulu, dia tidak memaklumkan kepada Adrian supaya dia tidak mungkir janji? Dia tunduk. Sedar dia terlalu mengikut kata hatinya.

“Baiklah… buktikan! Jangan cakap saja. Kalau betul kau nak bersama aku, susah… senang… mahu kau jadi teman serumahku? Hari ni aku sudah dua puluh satu tahun. Aku rasa dah tiba masa aku keluar dari hidup papa. Apa kata kau? Berani?” Sara memprovokasi Adrian. Mata Adrian ditentang.

“Sara!” Adrian hanya menggeleng. Dia kesal kerana Sara seolah-olah tidak memahaminya. ‘Duduk bersama Sara? Tinggal berdua? Hah! Memang idea gila!’ Bila membayangkannya saja dia sudah tidak sanggup. Idea ‘bunuh diri’ sendiri.

“Aku rasa tak perlu aku jelaskan lagi tentang itu. Kau tahu jawapan aku.” Dia berkata. Dia cuba menyabarkan hatinya menghadapi kerenah Sara. “Kan aku dah datang sejauh ini untuk bersama kau? Senyumlah…” pintanya kepada Sara yang sudah memalingkan wajahnya ke sisi. “Kalau kau terus masam macam ni, aku tahu apa caranya boleh buat kau senyum.” Kali ini dia sudah bangun. Dia membetulkan kedudukan pinggang seluarnya supaya lebih selesa.

Dia menanggalkan topi di kepalanya lalu meletakkannya di kerusi. Rambutnya yang perang, kelihatan sedikit berserabai. Dia mengirai rambutnya dengan kedua-dua tangannya. Tidak lama kemudian, rambut yang dihempap topi tadi kembali kemas terpacak, menyerlahkan sisi wajahnya yang lebih menawan.

“Kau jangan cuba, Adrian! Aku tak nak tengok!” Sara sudah tergeleng-geleng. Hilang rajuknya dek mengenangkan tindakan Adrian nanti. Dia tahu apa yang Adrian mahu lakukan. Adrian bukannya malu. Lagi ditegah, lagilah semangat dia hendak melakukannya. Itu kan sudah hobinya?

Tetapi Adrian kelihatan serius mahu mengenakan Sara. Langsung tidak peduli dengan rayuannya. Dia sudah mengambil tempat beberapa langkah di hadapannya lalu bersedia. Bila-bila masa dia akan memulakan persembahannya.

“Okey… okey… aku senyum!” Sara mengalah. Bibirnya sudah mengukir senyuman plastik.

Tetapi Adrian tidak berpuas hati. Itu bukanlah senyuman yang diharap-harapkannya. Dia mengacah Sara dengan membuat aksi regangan menyebabkan Sara kelihatan huru-hara. ‘Padan muka!’ ejeknya di dalam hati. ‘Tadi tunjuk berani sangat!’ Dia tersengih-sengih nakal.

Sara menutup mukanya dengan telapak tangan. Itulah langkah selamat yang terakhir yang boleh difikirkannya. Dia akan berasa malu setiap kali Adrian mahu membuat persembahan street dance untuknya. Sekejap sahaja nanti mereka akan dikerumuni orang ramai yang kagum dengan persembahannya. Kemudian diberi wang sebagai menghargai persembahan itu. Bukan sekali dua dia terkena. Lalu mengalah ketika itu adalah jalan terbaik. Ada banyak masa yang lain kalau dia mahu bertekak dengan Adrian.

“Sara! Buka mata. Kau jangan bimbang, aku main-main saja.” Adrian tergelak-gelak menjelaskan. Masakan dia mahu menarik perhatian orang di situ. Hari ini adalah hari istimewa yang harus dikongsi hanya untuk dia dan Sara. Tak perlu ada orang yang lain-lain. Dia cuma mahu menyakat.

Perlahan-lahan Sara mengintai dari celahan jemarinya. Dia mahu mengesahkan yang Adrian tidak mempermainkannya. Dia nampak Adrian berdiri betul-betul di hadapannya sambil berpeluk tubuh. Di bibirnya sedang mengukir senyuman lebar. Lega!

“Selamat hari lahir, puteriku,” ucap Adrian perlahan. Dia memandang Sara dengan hati yang damai. Kali ini Sara tersenyum manis kepadanya. Ya, senyuman itulah yang dinanti-nantikannya. Melihat senyuman itu, dia mahu hidup seratus tahun lagi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/182884/cinta-bunga-tulip

[SNEAK PEEK] RINDU AWAK 200%

RINDU AWAK 200% Oleh Liyana Zahim

Prolog

KAMERA polaroid Fujifilm Instax 8s berwarna kuning yang sering dikelek ke mana-mana itu dibelek seketika. Habuk-habuk halus yang melekat di lensa ditiup beberapa kali. Tali kasut yang sudah terlerai diikat kemas.

Seketika kemudian, Armel melepaskan keluhan berat sambil meliarkan pandangan ke sekitar Taman KLCC yang mula dipenuhi dengan orang ramai. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 5.30 petang.

Dompet duit di dalam beg sandangnya dikeluarkan. Ada tiga keping not RM10 di dalamnya hasil pendapatan hari ini. Dia mengeluh. Dia perlu mencari wang lagi untuk menampung perbelanjaan hariannya.

Semenjak peristiwa perselisihan faham dengan mamanya seminggu yang lalu, dia memboikot seisi rumah, tidak mahu menerima wang belanja dari sesiapa pun. Walau setiap hari ada sejumlah wang yang ditinggalkan oleh papanya di meja ruang tamu, namun dibiar tidak berusik. Buku-buku rujukan dan perbelanjaan lain-lain semuanya ditanggung sendiri.

Tengkingan mama yang menusuk sehingga ke jantung tempoh hari masih terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata mama yang pedas cukup membuatkan hatinya terasa panas.

Seminggu lalu dia ditangkap oleh guru disiplin atas kesalahan merokok di kawasan sekolah. Akibat kesalahan itu, dia digantung sekolah selama dua minggu. Mengamuk sakan mamanya. Kerana itu dia nekad mencari wang dengan usaha sendiri dengan menggunakan kamera polaroid yang sudah dibeli setahun yang lalu.

Dia mahu membuktikan pada mamanya yang dia mampu memperoleh wang perbelanjaan sendiri tanpa mengharapkan ihsan mama dan papa. Biar mama tahu, dia lebih dari mampu untuk hidup berdikari.

Bebola mata Armel terpandang sepasang kekasih yang baru sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya, berhampiran dengan bangku panjang di tepi pancuran air. Seketika Armel membiarkan mereka mendapatkan tempat duduk yang selesa. Memerhati gerak geri kedua-duanya untuk beberapa waktu.

Beberapa minit memerhati gerak-geri pasangan di sebelahnya itu, perlahan-lahan Armel bangun mencapai begnya lalu disangkut ke bahu. Dia menghampiri kedua-duanya dengan senyuman seikhlas yang mungkin.

“Hai, mintak maaf kalau saya menganggu sekejap ya. Akak dengan abang berminat tak nak ambil gambar macam ni? Murah aje. Satu keping RM4. Kalau dua keping, RM7,” tutur Armel mesra sambil menunjukkan contoh gambar yang tersisip di tempat letak kad di tali yang tergantung di lehernya.

Pandangannya tertancap pada pasangan muda yang tampak terpinga-pinga disapa itu. Si gadis tampak sopan mengenakan blaus labuh separas lutut dan tudung biru, manakala si lelaki tampak segak mengenakan jeans dan baju-T berkolar berwarna hijau lumut.

“Satu keping RM4, kalau dua keping RM7?” soal lelaki itu meminta kepastian.

“Yup! It’s affordable tau, abang? Murah aje saya offer. Haa… nanti bolehlah simpan dalam wallet buat kenangan, kan? Saiz gambar polaroid ni biasanya memang muat-muat untuk letak dalam wallet. Lagipun gambar dia dah nampak macam dalam frame,” kata Armel sambil membetul-betulkan rambut pendek paras telinganya yang menutupi sebahagian muka tatkala ditiup angin.

“Hmm… cantik jugakkan,” ujar si gadis sambil memandang lelaki itu seraya tersenyum.

“Adik ni student lagi ke?” soal lelaki itu ramah.

“Ha’ah… Nak ambil SPM tahun ni. Saja cari duit lebih nak beli buku sekolah,” jawab Armel lembut. Walhal cara pergaulannya yang sebenar jauh berbeza dengan caranya bertutur sekarang. Hakikatnya, dia ialah ketua segala keganasan yang selalu mendatangkan masalah kepada orang sekeliling. Tidak kira di sekolah mahupun di rumah.

“Oh.. pandai awak cari duit ya? Hmm, okey… bolehlah… Akak ambil dua keping.”

“Allright!” Armel mengangguk sambil tersenyum.

“Okey, abang dengan akak posing cantik-cantik tahu? Keep smiling…”

Lensa kamera ditarik keluar. Matanya difokuskan pada viewfinder. Seketika dia menggerakkan kepala mencari sudut yang terbaik. Tingkahnya mengalahkan jurugambar professional sahaja.

“Satu… dua… tiga.” Sesaat dua kemudian, jarinya menekan punat di depan kamera. Satu gambar mereka terakam. Sekeping filem yang keluar dari atas kamera ditarik lalu dikibas-kibas perlahan dan kemudian dihulurkan kepada wanita di hadapannya itu.

“Akak tiup-tiup sikit gambar tu. Cuba tengok okey tak,” pinta Armel sambil menanti respon wanita bertudung biru itu.

“Hmm, cantik,” puji perempuan itu ceria sambil menunjukkan gambar yang terakam itu kepada sang lelaki.

“Tak terang sangat, kan?” Armel meminta kepastian. Sebetulnya dia takut juga seandainya gambar yang dirakam tidak menepati kepuasan pelanggannya.

Harga filem itu bukan seringgit dua. Satu kotak filem polaroid yang mengandungi 10 keping filem menelan belanja RM30 ke atas. Itu pun bergantung dengan jenis kedai.

Kalau gambar tidak jadi terpaksalah dia menanggung kerugian untuk sekeping filem dalam lingkungan harga RM2.50. Namun, setakat itu belum pernah mana-mana orang yang ditemuinya tidak berpuas hati dengan hasil tangannya.

“Okey dah ni. Cantik!” Gadis itu bertutur sambil mengangguk-angguk.

“Okay then. One more. Hmm… abang dengan kakak duduk dekat sikit boleh tak?” Ah, memandai-mandai aje aku menyuruh orang.

“Kita orang kawan aje, tak boleh duduk dekat-dekat, dik,” seloroh lelaki itu lalu tertawa. Si gadis di sebelahnya hanya tersipu-sipu.

“Oh ya ke. It’s okay then. Okay… ready ya? One… two… three!”

Punat rakam di hadapan kamera ditekan dan sejurus kemudian filem yang sudah tercetak dengan gambar itu menjulur keluar dari mulut kamera. Filem itu diserahkan kepada si lelaki pula. Seketika Armel menanti respon pemuda itu sebelum beredar pergi.

“Hmm… cantik. Pandai awak ambil gambar, kan?” puji lelaki itu pula sambil tersenyum memandang ke arahnya. Kemudian dia mengeluarkan dompet duitnya dari poket seluar. Dua keping not RM10 dihulurkan kepada Armel. “Just keep the change…”

“Eh, RM7 aje abang,” ujar Armel tidak menyambut huluran lelaki itu.

“Tak apa… yang ni abang kasi. Buat belanja beli buku sekolah ya?”

Armel mula tidak betah. “No no no… Thanks but no thanks. Saya tak boleh ambil duit abang ni. Kalau abang nak, saya boleh ambil gambar abang dengan akak dua keping lagi. Nak tak?”

Sesengkek-sengkek mana sekalipun, dia tidak akan pernah menerima wang dari orang lain apatah lagi dari orang yang tidak dikenali seperti itu. Itu bukan prinsip hidupnya.

“Tak apa dik… abang ikhlas nak bagi. Lagipun abang tahu filem kamera ni mahal, kan?”

Armel menggeleng seraya melemparkan senyuman. Dia enggan menerima pemberian lelaki itu kalaupun ikhlasnya sepenuh jiwa sekalipun.

“Saya mintak diri dulu. Nice meeting both of you.” Dia berkira-kira ingin beredar dari situ. Tiba-tiba laju sahaja tangan wanita bertudung itu menarik tangannya lantas meletakkan dua keping not RM10 ke dalam tangannya.

“Ambil duit ni ya? Anggap aje hadiah dari kita orang. Terima kasih tau?” ucap wanita itu dengan segaris senyuman sambil menepuk-nepuk tangan Armel.

Armel terpinga-pinga seketika. Entah kenapa hatinya terasa cukup tenang melihat raut wajah bersih milik perempuan itu. Belum pernah dia bertemu dengan orang sebaik itu sepanjang dia menjadi jurugambar polaroid jalanan. “Terima kasih banyak-banyak. Saya pergi dulu. Bye…” Tanpa menanti lagi Armel terus beredar pergi tanpa sedikit pun berpaling. Sungguh dia malu sendiri.

*****

1

PALUAN kompang yang bergema menyambut kedatangan mempelai, menarik perhatian tetamu yang hadir. Masing-masing berpusu-pusu mahu melihat pasangan raja sehari yang sedang diarak ke pelamin yang dihias cantik di luar rumah.

Selesai sesi bergambar bersama rakan-rakan, sanak-saudara dan sebagainya, Nazneen dan Fahmi dibawa ke meja makan beradab bersama keluarga Fahmi yang lain. Kedua-dua mereka yang mengenakan persalinan berwarna kuning emas tampak ceria melayan sahabat handal dan saudara mara yang hadir.

Zill Faezrul menarik kain pengesat yang tersangkut di bahu untuk mengesat tangan yang basah.

“Abang Zahar, saya nak ke depan sekejaplah. Nak tengok-tengok orang sekejap. Kot-kot ada anak-anak mak cik yang berkenan ke nanti mana tahu, kan?” seloroh Faezrul. Sudah sejam dia duduk di situ membersihkan pinggan-pinggan kotor. Punggungnya sudah naik kematu. Kepalanya juga terasa berpinar-pinar seperti hendak pitam.

“Pergilah, Zill… Mana tahu ada jodoh terpijak hang kat depan tu. Tak payah hang nak cari jauh-jauh lagi dah,” balas Azhari kemudian tersengih memandang sepupunya itu.

Faezrul hanya ketawa kecil lantas bingkas mengatur tapak ke depan rumah untuk melihat Nazneen dan Fahmi yang masih duduk di meja makan pengantin.

Seketika matanya menyorot ke arah wajah Iqbal yang sedang duduk di anjung rumah berbual-bual dengan tetamu. Tanpa mengendahkan ayahnya, dia menapak mendekati Nazneen dan Fahmi yang baru sahaja selesai menjamu selera. Renek-renek peluh di dahi dikesat dengan tuala di tangannya.

“Selamat pengantin baru,” sapa Faezrul lantas bersalaman dengan Fahmi. “Eeii… jangan-jangan. Badan berpeluh ni. Hilang bau minyak wangi pengantin tu kang.” Faezrul menghalang tatkala Fahmi mahu mendakap tubuhnya.

“Alah, bukan peluh orang lain pun. Peluh abang ipar sendiri jugak. Peluh berkat orang kata,” balas Fahmi sambil ketawa mengekek. Didakap juga tubuh Faezrul yang sudah basah bermandikan peluh itu.

“Banyaklah hang punya berkat!” Bahu Fahmi ditepuk Faezrul.

“Hai adiknya dah lepas, abangnya pulak bila lagi?” Terdengar-dengar suara saudara-mara yang di sekelilingnya menegur.

“Abang saya ni nak tunggu puteri bongsu dari kayangan datang pinang dia dulu, mak cik. Kalau tak ada, tak kahwinlah dia sampai ke tua,” sampuk Nazneen sambil menepuk-nepuk bahu Faezrul.

“Hang tengok bini hang ni. Kalau bab-bab mengata, nombor satu,” ujar Faezrul, memandang Fahmi sambil menuding jari ke arah Nazneen.

“Habis tak betul apa Neen cakap? Sepatutnya abang dah kahwin, dah ada anak dah. Tengok, Neen yang kahwin dulu. Nasib baik tak payah bagi cincin langkah bendul. Kalau tak, lari bajet kahwin kita kan, abang?” gurau Nazneen.

Bukan tidak ada yang berkenan mahu bermenantukan Faezrul. Malah pernah beberapa kali abangnya itu dirisik mak cik-mak cik di kampung untuk dijodohkan dengan anak-anak gadis mereka. Namun, sikap Faezrul yang tidak ambil pusing akan orang dan keadaan sekeliling langsung tidak memberi sebarang impak kepada dirinya.

Bila dijinak-jinakkan dengan perkara kahwin, ada sahaja alasannya untuk mengelak dan paling ekstrem dia boleh menjadi seperti seketul batu. Langsung tidak mahu bercakap.

Beberapa minit kemudian, Faezrul kembali menyambung kerjanya, mengutip pinggan-pinggan kotor dan membersihkan meja pengantin.

Nazneen dan Fahmi perlu beredar untuk melayan sanak saudara dan kenalan yang lain. Tambahan lagi, jurugambar-jurugambar yang ditempah oleh mereka sedang menanti untuk outdoor shooting.

Menjelang petang, tetamu mula beransur pulang.

“Zill, kemari sekejap…” Iqbal menggamit ke arah anak lelaki tunggalnya yang sedang membersihkan sampah sarap di laman.

Sambil menyeka peluh di leher Faezrul mengorak langkah naik ke anjung rumah. “Ada apa abah?” soalnya sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Iqbal. Matanya terkalih pada wajah seorang lelaki dan wanita yang duduk berhadapan dengan ayahnya. Macam kenal.

“Ni, ingat lagi tak Pak Cik Zahirin dengan Mak Cik Raziqah yang baik dengan arwah mak kau?”

“Ooh… patutlah rasa macam kenal tadi. Pak cik dengan mak cik apa khabar?” Faezrul menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Zahirin dan kemudian duduk di sisi Iqbal.

“Sihat, alhamdulillah. Kamu apa khabar? Lama betul pak cik tak jumpa kamu,” ujar Zahirin sambil memandang wajah anak muda itu dengan senyuman di wajah. Seingatnya, kali terakhir dia bertemu dengan Faezrul ketika anak muda itu berusia 12 tahun.

Faezrul tertawa. “Alhamdulillah… sihat. Itulah… saya pun dengar-dengar cerita abah aje pak cik datang rumah. Tapi tak pernah sempat nak jumpa. Ni pak cik dengan mak cik dari KL lah ya?” Dia berbasa-basi.

“Ha’ah… dari KL. Pak cik sebenarnya memang dah lama nak balik kampung jumpa abah kamu ni. Datang-datang ingatkan kamu yang kahwin. Rupanya adik yang kahwin. Kamu bila pulak?”

“Insya-ALLAH… dua tiga tahun lagi. Seru tak sampai lagi, pak cik.” Jawapan klise yang dirasakan dapat menutup terus topik pertanyaan agar tidak diulang soalan-soalan lain yang berkaitan. Namun, siapa jua tahu rasa hati yang disimpan selama bertahun-tahun.

Beberapa lama mereka berbual di anjung rumah. Keramahan Raziqah dan Zahirin menjadi perbualan mereka seperti tidak ada noktah. Tidak sedar hari menginjak senja.

“Tidur sini ajelah, Zahirin. Dah lewat ni. Esok pun cuti. Dok kalut nak balik awal pasai apa?” Iqbal melarang.

“Ha’ah… alang-alang dah sampai kat sini pak cik. Bukan selalu pun pak cik dengan mak cik datang sini. Lagipun hari dah lewat ni. Pukul berapa pulak nak sampai KL nanti?” celah Faezrul pula. Ketika itu Raziqah dan Zahirin sudah bangun untuk mengundur diri.

“Hisy, tak apalah. Kami tak nak menganggu. Penat-penat nanti, co-driver ni ada,” balas Zahirin sambil memandang Raziqah di sebelahnya.

“Menganggu apa pulaknya? Macam tak biasa pulak. Bilik pun banyak kosong. Budak-budak ni biasa tidur dekat luar aje… Balik esok ajelah ya?” pujuk Iqbal lagi.

Raziqah dan Zahirin berpandangan. Serba salah pula dibuatnya diasak sebegitu rupa.

“Zill, pergi ajak mak cik dengan pak cik masuk dalam. Bawak dia orang dekat bilik depan tu,” arah Iqbal tidak mahu berkompromi lagi dengan alasan kedua-duanya.

Zahirin dan Raziqah bungkam. Tidak mampu beralasan lagi.

RIUH-RENDAH suara di kediaman Iqbal dengan suara anak cucunya ketika sesi membuka hadiah oleh Nazneen dan Fahmi. Melihat anak cucunya berkumpul, hatinya jadi gembira tak terkata. Jarang-jarang sekali dapat melihat kemeriahan suasana seakan itu.

Sambil berbual dengan Zahirin dan Raziqah, sesekali matanya terpacu pada anak, cucu dan menantu yang sedang berkumpul di hujung ruang tamu.

Seketika kemudian, bebola matanya terpandang pada Faezrul yang baru muncul dari dapur. Sepanjang hari, anaknya itu mengemas rumah tanpa henti. Langsung tidak ada rehat sejak sebelum majlis berlangsung lagi.

Orang lain sibuk berkumpul, dia sibuk di dapur menyusun pinggan dan sebagainya. Kalau boleh semua benda mahu dibereskan hari ini. Matanya bukan boleh lihat benda-benda semak. Rajin mengalahkan adik dan kakak-kakaknya lagi.

“Tak ada ura-ura lagi ke nak terima menantu perempuan, Abang Iqbal?” soal Zahirin sambil matanya tertunak pada Faezrul yang duduk meriba salah seorang anak buahnya yang masih kecil.

“Entahlah, Zahirin. Yang ni lain sikit…” balas Iqbal.

“Lain yang macam mana pulak?” Raziqah kelihatan berminat untuk mengambil tahu. Pada matanya, anak lelaki tunggal Iqbal itu berbeza benar sifatnya dengan anak-anak muda yang biasa ditemui. Raut wajahnya cukup damai, menyejukkan mata yang memandang. Mustahil pemuda seperti itu tidak ada sesiapa yang mendiami hatinya. Dan mustahil juga tidak ada anak gadis yang berkenan dengan anak muda seperti Faezrul.

Pandangan Iqbal masih tidak berkalih pada wajah Faezrul. Setiap kali memikirkan soal anaknya yang seorang itu, hatinya jadi walang tak bertepi. Dia tahu apa yang tersimpan di hati anak lelakinya selama beberapa tahun. Malah dia mengerti sepenuhnya apa yang dialami oleh Faezrul.

“Ikutkan dulu memang nak kahwin dah.” Iqbal berjeda. Seakan-akan sengaja memberi ruang kepada kedua-duanya menyoal. Sebetulnya dia tidak mahu mengungkit kisah lama. Apatah lagi perihal itu hanya menjadi rahsia keluarga. Namun, entah kenapa hatinya terasa begitu ingin meluahkan apa yang terbuku di dada selama ini.

“Habis tu, kenapa pulak tak jadi?” soal Zahirin.

“Sebelum ni dia dah pernah bertunang. Abang buat kecik-kecik aje, Zahirin. Saudara mara dekat-dekat kampung ni aje yang tahu. Tapi umur tunangnya tu tak panjang. Tak lama sebelum dia orang nak kahwin, tunang dia meninggal, accident.”

Kenyataan Iqbal membuatkan Raziqah dan Zahirin tergamam beberapa ketika.

“Dia merana hati sampai sekarang. Itu yang tak kahwin-kahwin. Abang tak boleh nak cakap apa dah, Zahirin. Dah berbuih mulut ni bercakap. Penyudahnya, biarkan macam tu ajelah…”

“Dah lama ke tunang dia meninggal, Abang Iqbal?” tanya Zahirin.

“Nak dekat lima tahun. Entahlah, belum ada jodoh lagi kot? Abang pun malas nak masuk campur. Biarlah dia ambik masa. Dia pun sibuk dengan kerja dia. Sekali sekala aje dia balik kampung.”

“Dia kerja apa kat sana?”

Soalan Zahirin membuatkan Iqbal terdiam. Kalaulah kedua-duanya tahu betapa sulitnya diri seorang Zill Faezrul. Kalau boleh semua perkara hendak diselindungkan. Selama lima tahun jiwanya sudah jadi lembah yang tandus dengan rasa-rasa hati insani. Hanya dia dengan dunianya sahaja.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/124975/rindu-awak-200

[SNEAK PEEK] JANGAN PERCAYA!

JANGAN PERCAYA! Oleh Syaida Ilmuna

“KAK LONG!”

Bella Amira memeluk erat susuk ramping Diana, kakak sulung Rizqi yang menyambutnya di pintu. Manakala Riza dan Belina pula sudah berlari masuk ke dalam rumah sebaik sahaja kelibat sepupu-sepupu mereka, Haziq dan Natasya menggamit di belakang ibu mereka.

Rizqi dibiarkan sendirian mengeluarkan beg-beg milik Bella dan anak-anak. Perang dingin yang entah kali keberapa telah tercetus tadi masih lagi berlanjutan sehingga mereka sampai di rumah ibu Rizqi. Sungguh Rizqi akui, Bella bukan wanita yang mudah untuk dimanjakan!

“Belle! Alhamdulillah dah selamat sampai. Kak long risau Belle dan anak-anak naik kapal terbang. Dari tadi asyik tengok televisyen aje pasal nahas kapal terbang kat Surabaya tu. Lain kali, jangan naik flight dah tau!” pesan Diana panjang lebar. Sambil itu matanya menjeling pada Rizqi yang sibuk mengangkat beg masuk ke dalam rumah.

Bella yang menyedari akan pandangan Diana hanya tersenyum sinis. “Biarkan dia. Orang nak kahwin ni kena rajin sikit,” kata Bella selamba.

“Rizqi ada beritahu tak?” tanya Diana tiba-tiba. Bella ditarik ke tangga dan terus naik ke kamar miliknya. Pintu kamar ditutup rapat.

Bella kebingungan. “Beritahu apa?”

“Perempuan tu!” jawab Diana dengan mata yang terbuntang luas. Mereka berdua membuka sesi gosip ahli mesyuarat tingkap seperti biasa.

“Kay? Kan Belle memang dah tahu dia nak kahwin. Malam ni, dia nak kenalkan dengan kita semua,” balas Bella sambil menjongket kening. Dia tidak faham apa yang cuba Diana tuturkan kepadanya.

“Taklah! Dia tak beritahu ke yang dia nak kahwin Sabtu ni?”

Mata Bella pula yang hampir tersembul keluar. Dia nak kahwin dalam masa tiga hari lagi? Amboi!

“Tak pun.” Bella menjawab dengan nada biasa-biasa. Perasaan terkejutnya yang luar biasa tadi langsung tidak dipertontonkan.

You have got to see her! Dia memang cantik, lemah lembut… macam perempuan Melayu ‘Terakhir’ kecuali pada wajahnya. Dia ada chinese mix sikit.” Diana cuba menguji hati wanita Bella. Masih cemburu? Ataupun Bella sudah lama tinggalkan sisa kenangannya bersama Rizqi?

“Really?” Bella tersenyum sinis. “Baguslah. Memang sesuai dengan Rizqi, kan?”

“Belle… memang tak jealous langsung?” tanya Diana seakan tidak percaya.

“Buat apa nak jealous?” Bella mula rasa kurang selesa dengan pertanyaan Diana. Dia bangun ke kamar mandi sambil mencapai tuala di pencangkuk. “Pinjam baju you, Diana. Baju I dalam beg tu semua kotor!”

“Belle! Rizqi, ex-husband Belle nak kahwin tau! Belle tak jealous langsung?” Diana masih dengan pertanyaannya. Dia tidak mengendahkan pertanyaan Bella sebentar tadi.

Come on, Diana! Buat apalah I nak jealous. Kan I dengan Rizqi dah tak ada apa-apa. Hubungan kami cuma kawan dan sebagai ayah dan ibu kepada Riza dan Belina. Itu aje! Biarlah dia nak kahwin dengan siapa pun. As long as perempuan tu baik dan takkan dera anak-anak I. Titik!” jelas Bella Amira, yakin.

Bicaranya melebihi kapasiti diri yang tak seberapa. Bukan mudah dia nak menangkis dilema dan perasaan. Tetapi dia kini harus berpijak pada bumi yang nyata. Antara dia dan Rizqi, mereka tiada apa-apa.

“I pinjamkan you baju I yang paling cantik,” jawab Diana setelah berjeda dua saat. Bibirnya diketap kuat sambil matanya kuyu memandang lantai. Memang susah menerima hakikat bahawa Bella bukan lagi isteri Rizqi. Kini dia bakal menerima adik ipar baru pula.

“Thanks!” balas Bella sambil melangkah masuk ke dalam kamar mandi.

MOTIF floral pada kemeja putih yang dipakai Bella Amira menaikkan seri keremajaannya seperti umur 20-an dulu. Bak kata Diana sebelum keluar dari bilik tadi, Bella adalah ‘hot mama’ yang setanding dengan Erra Fazira dan Rita Rudaini yang masih lagi jelita. Punya karier dan anak-anak comel yang sedang meningkat remaja, status janda yang dipegangnya bukanlah suatu masalah.

Sebaik sahaja Bella melintasi ruang makan, matanya tertancap pada susuk tubuh yang sedang sibuk menyusun pinggan dan kutleri di meja makan. Gadis itu kelihatan lemah lembut dan begitu teliti dalam melakukan kerjanya dari arah belakang. Tangan halusnya mengelap pinggan satu per satu dengan perlahan dan berhati-hati. Saat tubuh gadis itu hendak berpaling hadapan, Bella bingkas bergerak ke dapur.

“Assalamualaikum Puan Fauziah!” Bella memeluk tubuh bekas ibu mertuanya erat. Wanita tua yang berusia 60-an itu hampir-hampir terlepas senduk kayu yang dipegangnya.

“Waalaikumussalam Belle! Ya ALLAH, terkejut mak!” jawab Fauziah sambil menghela nafas panjang. Api dapur dimatikan dan tubuh Bella didakapnya kuat.

“Mak masak apa?” Bella meleraikan pelukan. Dijenguk ke periuk yang masih bertenggek di atas dapur. Asam pedas!

“Adalah sikit-sikit menu kegemaran Belle, Rizqi, budak-budak ni, Diana dan…” Fauziah tersenyum nipis. “Kay,” jawabnya perlahan seperti berbisik.

Bella mengangguk-angguk. Memang semua orang kena berjaga-jaga menyebut nama ‘Kay’ di hadapannya, ya?

“Belle dah jumpa Kay?” Fauziah memberi penekanan halus pada nama ‘Kay’. Takut-takut Bella tidak senang dengan perkahwinan kedua anaknya, Rizqi.

“Belum. Yang kat ruang makan tu, rambut panjang ikat satu tu dia, kan?” Bella memberi gambaran figuratif kepada Kay yang belum dilihat wajahnya.

“Iya… Kaylah tu! Marilah mak kenalkan dia dengan Belle. Boleh buat kawan, kan?”

Bella tersentak mendengar bicara bekas ibu mertuanya itu. Buat kawan? Like seriously, mak? Hatinya mengejek.

Tangan Bella ditarik laju. Ruang makan yang tadi kosong,dipenuhi tawa riang anak-anaknya dan anak-anak kak long, Rizqi, dan juga perempuan itu, Kay. Bella hanya tercegat di hadapan ruang makan sebaik sahaja matanya terpandangkan Kay. Perempuan muda yang berambut lurus. Pipinya mulus dan bibir nipis memerah secara natural tanpa mekap. Senyumannya manis, namun ada sedikit kekasaran pada hujung pandangannya yang Bella sangka sebagai sikap defensive yang dimiliki Kay.

“Belle, marilah…” Fauziah terus menarik tangan Bella dan membawanya duduk di kerusi bertentangan dengan Kay, bersebelahan dengan Rizqi yang duduk di hulu meja.

Bella masih terdiam tanpa bicara. Senyuman dibuat-buat untuk mempamerkan rasa hormatnya pada Kay. Tak baik pula nak bermasam muka dengan orang yang memang tiada salah dengan kita. Dia ada hak, Bella. Rizqi ada hak nak berkahwin dengan sesiapa. Manakala Kay, dia tidak bersalah dalam permasalahan hati yang dimiliki Bella kini.

“Hmm… Belina, Riza… papa nak kenalkan, ini Mak Cik Kay. Bakal ibu tiri Riza dan Belina,” kata Rizqi tersekat-sekat. Dia gementar dengan pandangan anak-anaknya terhadap Kay. Takut-takut mereka membenci calon isterinya.

Riza dan Belina saling menatap wajah Bella dengan mata berkedip-kedip. Tidak faham apa maksud ayah mereka mengenai ibu tiri. Mereka mahukan penjelasan daripada Bella.

****

BELLA terlelap di atas sofa besar yang terletak di tengah kamar peraduannya. Suasana malam yang tenang tanpa sebarang gangguan bunyi kenderaan dan jiran sekeliling membuatkan malam itu bertambah hening. Terlalu senyap dari selalu.

Kepala Bella terteleng ke tepi. Dia cuba untuk menstabilkan bahagian kepala dan leher yang dirasakan tidak seimbang. Mana tidaknya, dia bukan biasa tidur di atas sofa begini. Namun, dek kerana terlalu letih menguruskan hal rumah tangga sendiri, di mana matanya mahu lelap, di situlah badannya direbahkan.

Tidak semena-mena alur pernafasan Bella terasa sempit. Dia cuba menggapai nafas lebih dalam. Namun makin lama, makin kurang oksigen masuk ke dalam trakea. Lehernya seakan-akan dicekik!

Bella cuba membuka mata, namun ia tidak berhasil. Tangannya melingkar naik ke leher. Sedaya upaya cuba untuk melonggarkan cengkaman seseorang dari batang tenggoroknya. Walau bagaimanapun, dia tidak berdaya. Lama-kelamaan tangannya terasa kejang dan perlahan-lahan anggota badan jadi lemah kerana kekurangan oksigen. Dia menurunkan tangannya dan…

“Bella?”

Kelopak mata terbuka. Rizqi dengan segelas air di tangan memandangnya hairan. “Awak okey?”

Bella kelu. Dia melihat keadaan sekeliling. Suasana kamar yang terang dan terisi dengan perabot indah tersusun rapi.

Kelihatan sebuah katil besar di hadapannya dan katil kecil di sudut bilik. Kemudian almari di arah bertentangan dengan katil. Balkoni di sebelah kanan terbuka luas. Tirai yang membahagikan balkoni dan kamarnya beralun-alun dipukul angin.

“Nah minum air ni. Tadi awak cakap, awak sakit kepala,” kata Rizqi sambil menyerahkan segelas air.

Bella mengangguk. Dia menghirup air itu dengan sekali tegukan. “Mana Rifki? Dia tidur dengan abang dia ke?”

“Haah. Riza beria-ia sangat nak adik dia tidur sekali. Nak teman bermain katanya. Tapi saya tak bagi dia orang tidur lambat.” Rizqi melabuhkan punggung di birai katil. Merenung tepat ke matanya.

“Oh…” Bella tersenyum. Dia bingkas bangun ke katil. Kepalanya memang terasa berat. Sejak akhir-akhir ini dia jarang keluar rumah. Bimbang jatuh pengsan di tengah jalan. “Saya ingat nak pergi klinik esok. Awak boleh temankan?”

“Boleh, sayang. Saya masuk office lambat sikit. Budak-budak tu hantar rumah mak. Lagipun Riza tengah cuti,” jawab Rizqi pantas. Dia menarik tangan isterinya duduk di sisi. “Mama cakap awak ni mesti ada apa-apa.”

“Ada apa?” Bella memandang ke muka Rizqi serius. Tidak memahami apa yang dibicarakan si suami.

“Mana tahu Rifki nak jadi abang pulak lepas ni,” kata Rizqi dengan segaris senyuman.

Bella tersengih. Dia pun rasa begitu. Jarang sekali Bella jatuh sakit kecuali jikalau dia mengandung. Dari minggu lepas lagi dia tahu akan hal ini tetapi sengaja dia tidak mahu ambil pusing atau terlampau berharap akan hal tersebut bakal berlaku.

“Insya-ALLAH. Kita tengoklah esok macam mana.”

Tok! Tok!

Pintu kamar diketuk kuat. Rizqi membukanya pantas. Kelihatan dua orang adik beradik, Riza dan Rifki tercegat di hadapan pintu dengan bantal masing-masing.

“Nak tidur sini!” kata Riza lantang.

“Eh, kenapa pulak nak tidur sini? Tidur kat bilik Riza tu kan lapang. Sini kena bentang tilam kecil tu. Tak sedap tidur, sayang.” Rizqi mengerutkan dahi. Dia berkalih ke arah Bella.

Namun, Riza tidak mengendahkan kata-kata Rizqi. Dia terus masuk dan melompat ke atas katil ibu dan ayahnya. Bella didekati. Manakala Rifki pula dicempung Rizqi masuk ke kamar.

“Kenapa ni sayang?” soal Bella lembut.

“Tadi kakak datang. Dia cakap dia nak melawat Riza, ibu, ayah dengan adik,” kata Riza jujur.

Mata Bella membulat. Kembang kempis hidung Rizqi mendengar bicara Riza.

“Eh! Apa yang Riza merepek ni? Dah, dah! Te… teman papa pergi bilik awak. Nak ambil tilam nak tidur kat sini,” kata Rizqi tergagap-gagap. Trauma dia dibuatnya dengan Riza. Hampir setiap minggu, mesti dua tiga kali Riza berperangai begitu. Bagaimanalah Bella bertahan dengan anaknya ini?

“Teman papa? Ai… papa takut ke?” seloroh Bella.

Rizqi buat-buat tak dengar. Dia pantas menarik lengan Riza mengekorinya. Manakala Rifki diletakkan ke pangkuan Bella.

Bella mengusap-ngusap kepala Rifki. Namun, tidak semena-mena Rifki ketawa. Menunjukkan arah tangannya ke balkoni.

“Sayang? Kenapa ni? Gelak dekat siapa?” soal Bella. Dia bingkas bangun dan menuju ke balkoni.

Buaian kecil di tengah taman kelihatan terhayun dengan sendirinya. Bella sudah dapat mengagak. Ada yang tidak kena. Dia memejamkan matanya.

‘Belina? Atau bukan Belina? Mama tak kisah. Tapi mama nak sangat Belina pulang ke tempat asal. Tugas Belina sudah selesai, bukan?’ bisik hati Bella.

Bella membuka matanya. Buaian berhenti bergerak namun Rifki masih lagi ketawa. Lantas Bella menyedekah al-Fatihah dan membaca ayatul Kursi sebanyak tiga kali. Dia masuk ke dalam kamar. Riza dan Rizqi sedang sibuk membentangkan tilam ke lantai.

“Buat apa tu Belle? Senyap aje kat balkoni. Tapi Rifki saya dengar asyik ketawa memanjang,” tegur Rizqi. Dia mengambil Rifki dari pangkuan isterinya.

“Tak ada apapun. Riza tidur dengan adik kat bawah, ye? Jangan tidur buas sangat. Nanti Riza tertendang dia,” pesan Bella.

“Kakak dah balik mama. Dia cakap dia takkan datang sini lagi,” kata Riza tiba-tiba.

Rizqi menepuk dahinya. “Eh, dah-dah semua kena tidur. Papa dah mengantuk!”

“Ini last chance papa bagi tidur sini. Esok-esok kena tidur bilik sendiri tau.” Rizqi mengomel lagi. Dia menutup lampu besar dan membuka lampu sisi meja.

Bella menarik selimut ke badan. Dia dan Rizqi merenung ke siling. Senyap. Hingar-bingar tadi sudah bertukar jadi sunyi.

“Dah setahun kita kahwin. Saya tak sangka..We can make it,” ucap Rizqi syahdu.

Bella melepaskan nafas lega. “Ya. I know we can make it for another years to come.”

“Kalau saya nak pegang tangan awak sebelum tidur sampai esok pagi boleh?” Rizqi mencapai tangan kanan Bella. Dia mahu menggenggam erat. Namun, Bella pantas menariknya ke dada.

“Ah, tak naklah.” Kenangan mengimbau kembali. Firasat mimpi yang dia cuba ubah. Bella jadi trauma apabila mengingatinya. “Kita baca bismillah, al-Fatihah, ayatul Kursi dan tiga Qul. Lepas tu tidur. Jangan lupa tutup lampu sisi awak tu. Boleh?”

“Hmm… yelah, sombong betul!” Rizqi memanjangkan tangannya. Plak! Lampu ditutup.

“Selamat malam, sayang!” Bella memujuk manja.

“Selamat malam, Bella Amira,” jawab Rizqi romantis.

Buat seketika waktu, Bella takut jikalau matanya terbuka nanti, semua ini hanyalah mimpi. Firasat yang memberi petunjuk buat kesekian kali.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/123253/Jangan-Percaya