[SNEAK PEEK] BINGIT

BINGIT Oleh Jeehan

“Kira hari-hari I layan you macam you tu suami I, sampai bila eh kita kena hidup macam gini?”

Satu soalan cepu emas ke muka gua dilempar dari mulut perempuan gua. Gua diam, bangun, capai rokok, hisap. Berkepul-kepul asap gua hembus. Feeling sekejap hingga tiba-tiba bantal sampai ke muka gua.

“Kalau ye pun, you pakai la boxer tu, kalau jiran lalu nampak, malu jugak muka I ni.”

Faiza bangun dan masuk ke toilet, gua sarung boxer sambil rokok di bibir gua, terkenyit-kenyit mata gua tahan pedih bila asap rokok terkena bijik mata. Tak lama kemudian, Faiza keluar.

“I ni dahlah kecik lagi parents dah bercerai, mama I tu sendiri bab agama worst, tapi you tahu? I dengan mama suka dengar ceramah agama tau. Tapi selalunya bila dah dengar separuh jalan, kita orang tutup itu radio, kita orang rasa tak layak kita orang dengar ceramah sebab kita orang kotor.”

Sambil mengelap kaki, Faiza menyarungkan seluar pyjamas pula.

“Once you datang, I rasa I semakin dekat dengan neraka, I harap you boleh bimbing I. Tapi you sendiri hanyut dengan maksiat. I memanglah dah sesat, you tarik I lagi jauh.”

Itu jam gua rasa muka gua kena tampar. Tiba-tiba gua teringat Puan Fatimah, mak gua. Kala subuh, gua dengar dia mengaji, perlahan, habis mengaji, usap kepala gua, kasi cium sekali, dia pun pergi dapur bikin tugas dia sebagai isteri dan mak.

Gua ni anak yang degil, dari zaman primary school lagi. Bila bapak belasah gua, perempuan yang beranakkan gua itulah yang akan bela gua. Gua makin degil, gua berani tipu mak bapak. Banyak kali jugak dia orang dapat tahu gua ni jahanam. Bapak bising siap nak belasah gua lagi seperti selalu, tapi mak tetap cool, nasihat gua baik-baik. Tapi mata bulat gua ni selalu tunjukkan yang gua ni tak akan dengar cakap dia. Korang baca ni, mesti korang rasa nak ketawa, tapi korang kena ingat, gua ni tetap manusia, lahir dari benih Islam, gua juga bukan anak haram.

“I memang nak kahwin dengan you la, sayang.” Bohong. Gua tak pernah rasa nak kahwin dengan Faiza atau mana-mana perempuan. Gua masih muda pe.

“Kalau macam tu, kenapa you tak pernah kenalkan I dengan family you?” Faiza mula berbaring semula di tempat dia tadi, sambil sebelah tangan menongkat kepala.

“Okeylah, ini petang kita jumpa family I.”

“Puasa pun dah nak dekat, you tak rasa nak ajak I puasa?”

Satu lagi ayat yang gua rasa kena tampar. Gua sengih sahaja. “You pernah nampak I puasa ke?”

Faiza mengangkat bahu sambil mencebikkan mukanya. “Mana I tahu, I kenal you pun baru setahun.” Gua sudah habis sebatang rokok. Gua teguk air masak, gua naik semula ke atas katil dan masuk dalam selimut. Gua nampak Faiza jauhkan badan dia daripada gua.

Satu perkara yang korang kena tahu. Walau gua ni kaki stim macam-macam, satu stim yang gua tak layan, stim arak. Gua tak tahu kenapa, pernah gua cuba nak minum, seteguk, itu yang pertama dan terakhir. Masam, kelat, pahit, manis, gua tak mahu lagi dan kenapa gua rasa itu lagi besar dosanya daripada yang lain-lain dosa pun gua tak tahu.

Tak payah gebang pasal dosa. Gua akan jadi baik bila gua balik ke Toa Payoh. Korang tahu rumah siapa kat Toa Payoh tu? Itulah rumah mak yang sangat gua sayang dan bapak yang dalam diam gua kasih kat dia.

 

****

 

Perempuan itu datang dalam hidup gua, gua cintakan dia sepenuh hati, dia cuba jaga gua. Tapi gua tak pernah jaga dia. Dia tak pernah putus asa. Tapi satu ketika bila dia dan anak-anak diancam, Bani diseksa oleh Tony, dia terpaksa berpisah dengan gua yang terlalu dia cinta. Gua simpan dendam lama setelah kita orang berpisah. Itu perempuan tidak lagi gua panggil perempuan, gua gelarkan dia betina. Tidak cukup itu, gua selalu doakan keburukan dia. Tapi sebenarnya dia tetap setia sama gua. Hingga hari ini, dengan izin suami dia, dia tetap bersama gua. Menjaga gua. Betapa sialnya gua. Faiza, maafkan I.

Seorang gadis kecil yang dilahirkan di dunia tanpa dipinta. Membesar dengan penuh perhatian walau tanpa didikan agama, tanpa mengenal erti kasih sayang seorang bapak. Gua tak pernah bela dia, tapi dengan naluri darah, gua sayangkan dia. Sayang juga bila gua tak dapat bersama lama dengan dia. Apa yang terjadi pada dia tetap menjadi rahsia. Gua tak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada dia. Itu anak gua nama dia Farah.

Seorang bapa yang merelakan dirinya menjadi bahan untuk dihina apabila anak lelakinya membuat celaka dalam kehidupan. Pangkat dia bukan jadi kehormatan lalu ditukar menjadi satu penghinaan. Maafkan orang, bapak.

Itulah perempuan tua yang gua sentiasa harapkan doa dia, perhatian dia. Dia tidak pernah berputus asa kepada gua yang selalu bikin celaka dalam hidup dia. Dia tetap bersabar. Itu perempuan tua bikin gua sudah berhutang airmata sama dia. Gua selalu fikir, mak takkan buang gua, gua terus membuat celaka, tapi hakikatnya walau mak tidak murka, Allah telah murka, bala demi bala gua terima semua dari perihal celaka yang gua bikin. Mak, maafkan orang.

“Dia ni kawan gua, sekarang sudah hilangkan barang Tony harga 80 ribu dolar, gua mahu lu tolong dia kasi settle hutang dengan Tony.” Gua masih ingat lagi ayat ini dia bilang.

Dengan dia ni gua ada beribu pengalaman. Kalau ikut dendam, sudah lama gua bunuh dia. Tapi gua berfikiran rasional, dia terpaksa. Gua pernah jadi pondan sama dia hanya kerana seorang anak. Gua pernah maki dia, tapi dia diam. Gua pernah tengok dia menangis dan dia jugak pernah tengok gua menangis. Gua tak kisah kalau dia nampak buruk gua, sebab gua akui dia sahabat gua selamanya. Thank you, Fadhil.

Roller coaster gua sudah berhenti.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/99750/BINGIT

[SNEAK PEEK] SUNYI

SUNYI Oleh Nuril Basri

Hari ke-21

Mereka bermalam di dalam sebuah pawagam di dalam sebuah pusat membeli-belah agak jauh dari pusat bandar. Kerusi pawagam itu boleh tahan selesanya dan mereka dapat tidur dengan nyenyak. Gelandangan yang dikejar Herwin tadi telah membawa mereka ke pusat membeli-belah itu. Pusat membelibelah itu masih banyak barang, mungkin tidak ramai yang tahu kerana kedudukannya yang agak jauh dan tersorok. Mereka masuk dan menemui sebuah restoran Itali yang mempunyai banyak stok makanan. Jadi selepas memasak makan malam, mereka mengajak gelandangan-gelandangan itu untuk turut sama makan. Kemudian semuanya tidur nyenyak di kerusi pawagam yang empuk.
Pagi menjelang. Matahari bersinar redup. Herwin yang bangun awal sedang menyelongkar dapur restoran Itali semalam. Aloysius di belakangnya menggosok-gosok mata sebelum mencuci muka. Kemudian duduk di sebuah sofa yang menghadap sebuah meja bulat.
Selepas berjaya menemui separuh bungkus serbuk kopi dalam bungkusan bergulung, Herwin mengambil gelas plastik di atas rak. Tanpa berfikir panjang, dia membancuh kopi itu dengan air sejuk. Kemudian mencicipnya. “Bleurghhh….” ujarnya sambil menjelirkan lidah. “Sedap.” Berbeza sekali dengan reaksinya sebentar tadi.
Dia menawarkan kopi itu pada Aloysius tetapi Aloysius menggeleng. Herwin membawa gelasnya ke meja dan duduk di sofa yang berhadapan dengan sofa yang diduduki Aloysius.
“Talking over coffee,” ujarnya sambil tersengih.
Aloysius tidak menjawab. Di dalam hatinya, dia sangat ingin untuk mendengar muzik. Sebelum ini dia suka melepak di café sambil mendengar lagu. Tetapi yang didengarnya hari ini hanya dengusan nafas Herwin yang kedengaran kasar dan mengganggu.
“Jadi sekarang apa?” tanya Herwin.
“Apa?”
“Apa lagi yang kita nak buat?”
“Tidak tahu.” Aloysius mengedikkan bahunya.
“Kau tidak ingin pulang berjumpa keluargamu?”
Aloysius memalingkan wajahnya. Kelihatan tidak bersedia untuk menjawab pertanyaan itu.
“Tapi kau ada keluarga?” tanya Herwin lagi.
“Tidak…” jawab Aloysius, “…tahu,” sambungnya perlahan.
Herwin mengerutkan dahi. Jawapan yang pelik. Dia meneguk lagi kopi yang pahit itu, cuba memahami. Kemudian dia bersandar dan menutup matanya. Dia duduk tegak sambil menggumamkan sesuatu. Selepas dua minit yang mendebarkan, Herwin membuka matanya. “Sudah,” ujarnya sambil tersenyum.
“Kalau tidur lagi, aku tinggalkan kau.”
“Bukan tidur. Tadi tu berdoa.”
Aloysius mendengus jengkel.
“Hari ini aku akan puasa, sampai kebuluran. Sampai ususku pecah,” ujar Herwin.
“Sebab?”
“Supaya Tuhan akan mengasihani aku. Dan kemudian mengkabulkan semua doaku.”
“Lawak. Minta dikasihani. Dasar pengemis,” ejek Aloysius.
“Aku berdoa supaya ingatanku kembali supaya aku boleh mengingat masa laluku. Jadi aku boleh mengingat kampung halaman. Ingat keluargaku. Atau sesiapa saja dari masa laluku. Supaya aku ada tempat untuk pulang.”
Kata-kata itu keluar dari mulutnya seperti banjir. Gelas di tangan digoyang-goyangkan sedikit. Aloysius menoleh ke arah lain, tidak mahu memandang wajahnya. Dia fikir Herwin itu terlalu naif, tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantunya.
“Sebab aku tak ada arah tujuan, aku akan ikut ke mana engkau pergi,” lanjut Herwin lagi. “Aku akan jadi bayang-bayang kau. Aku akan ikut ke mana saja kau pergi.”
Aloysius menggeleng. “Tak mahu. Kau bayang-bayang yang menyusahkan.”
“Kalau macam tu, apa kata kau ikut aku?” tawar Herwin penuh semangat. “Aku tak kisah.”
“Aku tak nak ikut pengaruh buruk.”
Herwin berfikir sejenak. Kemudian dia mendekatkan wajahnya ke depan. Aloysius berkerut kehairanan.
“Apa?”
“Tengok muka aku. Nampak, kan?”
“Nampak. Jadi kenapa?”
“Kau rasa aku orang apa? Maksud aku, asal dari mana? Boleh teka tak?”
Kali ini Aloysius menatap wajah lelaki di hadapannya tepat-tepat. Setiap sisi diperhatikan. Warna kulitnya tidak gelap atau sawo matang. Agak cerah tetapi ada kesan dibakar matahari. Ada parut kecil di hujung bibirnya. Hidungnya terbentuk walaupun tidak terlalu mancung. Garis rahangnya tidak terlalu jelas. Yang menarik adalah kening sebelah kirinya. Kerana hujung keningnya menaik ke atas sedikit, seperti tanduk. Membuat keningnya tampak tidak seimbang. Namun secara keseluruhannya, wajahnya kelihatan menyenangkan. Tidak garang.
Selepas berfikir untuk beberapa ketika, Aloysius menggeleng.
“Sekarang lihat tubuhku. Boleh teka?” soal Herwin sambil berpusing-pusing di hadapan Aloysius, persis peserta pertandingan model.
Aloysius menggeleng lagi.
“Tahu tak?”
“Tak tahu,” sahut Aloysius malas. Tetapi memang benar. Tubuh Herwin tampak biasa saja. Sama seperti orang lain. Tidak gemuk tetapi tidak terlalu kurus. Tingginya sederhana. Semuanya tampak sama pada Aloysius.
“Kalau dengar pelatku bila bercakap?”
Aloysius menutup telinganya. “Sama macam orang lain di kota ini,” ujarnya cepat tanpa mahu mendengar Herwin yang diketahuinya boleh bercakap tanpa henti.
“Mungkin sebab aku dah terlalu lama di sini, kan?”
Aloysius mengangkat bahu. “Bukannya kau kata kau asal dari bulan?”
Herwin menggaru kepala. Dia duduk kembali lalu menepuk dahinya. “Betul kata kau. Aku hampir-hampir lupa,” ujarnya sebelum mencapai gelas kopi sejuk itu dan meneguknya lagi. “Tapi… walaupun aku dari bulan, aku rasa masa diturunkan ke bumi, mestilah ada keluarga yang menjagaku, kan? Tak masuk akal kalau dari bayi aku sendirian. Mesti ada yang jaga aku, kan?”
“Kalau kau tak ingat masa lalu kau, mungkin kenyataannya kau diturunkan ke bumi ketika kau sudah dewasa.” Entah kenapa Aloysius mengatakan perkara itu. Seolah-olah terjebak dengan cerita khayalan lelaki di hadapannya.
PAP! Herwin menepuk meja. “Hah! Tak mustahil!” ujarnya penuh semangat. Kemudian riak wajahnya berubah lagi. “Tapi rasanya tak juga. Rasanya aku masih ingat secara samar-samar ibu bapaku.”
“Ingat?”
Herwin mengingat. “Tapi sekarang dah lupa balik. Tadi ingat sekejap saja. Macam flash kamera.”
“Hah?”
“Kadang-kadang melalui mimpi. Aku seperti menonton filem tentang masa laluku. Ada ibu bapa dan adik-beradik lelaki. Tapi setiap kali terbangun, aku akan lupa tentang mimpi-mimpiku. Macam menggenggam pasir. Sekuat mana kau berusaha untuk mengingati mimpi, lama-lama kau akan lupa.”
Tiba-tiba cermin tingkap seakan bergetar. Sekaligus kedengaran denting gelas dan pinggan mangkuk. Kerusi mereka seakan bergoyang. Tetapi tidak lama, cuma tujuh saat.
“Gempa lagi,” keluh Herwin sambil memegang lengan kerusi.
“Kita kena keluar dari sini,” ajak Aloysius yang khuatir akan ada gempa susulan dan mereka akan terperangkap di situ.
Mereka keluar dari pusat membeli-belah itu untuk menemui jalan yang kelihatan kosong dan sedih. Persis seperti dalam filem di mana sesebuah tempat itu diserang raksasa ganas. Akhbar-akhbar lama berterbangan ditiup angin yang terasa semakin dingin. Herwin menarik zip jaketnya rapat ke atas.
“Sekarang aku rasa aku tahu ke mana aku akan pergi,” ujarnya tiba-tiba selepas beberapa ketika mereka terdiam.
“Ke mana?”
“Wherever… whatever. Have a nice day. Aku mahu mengumpulkan kepingan-kepingan masa laluku. Mahu mencari siapa diriku sebenarnya.”
“Huh!” Aloysius mencebik. Tak sangka dia akan pernah bertemu orang sentimental seperti Herwin. Sebenarnya dia boleh saja meninggalkan lelaki ini sekarang. Pergi ke arah yang lain. Tetapi pada saat ini rasanya dia tidak mahu berjalan sendirian. Bukankah lebih baik kalau ada satu tujuan? Dia sendiri pun tidak ada sesiapa yang ingin ditemui atau dihubunginya.
“Nak mula dari mana?” soal Aloysius kemudian.
“Dari jalan di depan sana,” tuding Herwin. “Aku bersahabat dengan alam. Aku ini kawan angin, kawan bulan. Aku boleh membaca dedaunan dan bercakap dengan cuaca. Dan haiwan-haiwan bercerita padaku.”
Herwin mula melangkah mengikut arah angin yang berhembus dan bersiul-siul, berlumba-lumba dengan carikan-carikan akhbar dan debu-debu yang berterbangan. Kalau melawan arah angin, rasanya akan lebih berat, fikirnya. Angin pasti mahu menghantarku ke sebuah tempat.
Dalam diam, Aloysius mengikutinya.
Mungkin angin tidak selamanya hanya mendinginkan hawa panas. Tidak selamanya menyumbang mual dan kembung. Angin itu membawa Herwin kepada sebuah kenderaan yang terparkir di pinggir jalan.
“Kereta,” ujar Herwin lalu berjalan menghampiri kereta itu. Dia menoleh ke belakang, memanggil Aloysius yang ikut berjalan menyamai langkahnya. “Kereta! Kereta!”

****

Hari ke-21, pagi

Mereka berdiri di hadapan sebuah van berwarna perak yang kelihatan masih elok. Herwin mengintai ke dalam van bercermin gelap itu. Kosong.
Aloysius mencuba membuka pintu, mahu melihat sama ada kunci van itu ada di dalam. Tiba-tiba van bergoyang kuat, membuat mereka berdua terperanjat.
HAH!
Seseorang melompat dari sebalik badan van dan menyergah Herwin. Herwin yang benar-benar terkejut terus jatuh dan tertidur selepas melihat wajah lelaki itu.
“Eh… pengsan…” ujar lelaki yang menyergah tadi. Wajahnya pucat, sebelah tangannya menutup mulut dan sebelah lagi menuding ke arah Herwin yang terbaring di atas jalan dengan mata tertutup.

──♦──

Herwin membuka matanya perlahan-lahan. Dia di dalam van yang sedang bergerak, terbaring di tempat duduk tengah. Tubuhnya bergoyang-goyang seiring gerakan kenderaan itu. Entah sudah berapa jam dia tertidur, dia tidak ingat.
“Monster…” getusnya. Samar-samar dia mula teringat apa yang terjadi. Van itu tadi tiba-tiba bergoyang kuat sebelum ada seseorang menyergahnya kuat. Perlahan-lahan dia bangun, mahu melihat siapa yang sedang memandu.
Rupanya Aloysius sedang memandu, pandangannya fokus ke hadapan. Herwin memegang kepalanya. Masih pening. Rasanya dia ingin tidur semula.
“Hai… dah bangun!” satu suara mengejutkannya. Herwin menoleh. Lelaki yang menakutkan itu duduk di sebelah Aloysius. Dia tersenyum namun kelihatan ngeri sekali. Giginya besar-besar. Suaranya serak dan kasar, tetapi nadanya mesra. Tidak sepadan dengan bentuk tubuhnya atau wajahnya yang lebar dipenuhi lubang-lubang bekas jerawat.
Herwin tersentak. Dia memejamkan matanya rapat-rapat sambil berharap itu semua adalah mimpi. Kemudian dia membuka matanya semula namun lelaki yang digelarnya raksasa itu masih di situ.
“Hello…” ujar orang itu lagi, masih tersenyum.
Herwin menjauhkan diri dari lelaki itu, pandangannya penuh waspada. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membuka pintu van dan melompat keluar.
“Tolong!” tiba-tiba Herwin menjerit. Matanya terbeliak, penuh ketakutan. “Tolongggg!!”
“Hish! Kau ingat aku ni apa?” soal lelaki itu dengan riak tersinggung.
“Kau nak menculik kami ya? Toloooonggg!!!” pekik Herwin lagi. “Aloy! Al!” panggil Herwin tanpa mengalihkan pandangannya dari lelaki itu, risau akan diserang tiba-tiba.
“Eh, ingat aku tak ada kerja lain? Dasar kurang ajar.”
“Jangan merepek, Win. Kita bukan diculik,” ujar Aloysius tanpa menoleh. Nadanya tenang saja.
Jantung Herwin berdegup kencang, seakan mahu melompat keluar dari dadanya. “Jadi, kita sekarang dibawa ke mana? Kenapa aku diikat begini? Tak boleh bergerak, tau?” keluh Herwin takut-takut.
“Jangan merepek! Siapa yang ikat kau?” soal Aloysius lagi.
Herwin kemudian memeriksa kaki dan tangannya. Tidak terikat. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang sedang memerhatikannya dengan muka masam. “Syaitan! Syaitan!” jeritnya lagi.
“Cakap elok-elok sikit…”
“Kita diculik syaitan!!” raung Herwin sambil menutup mukanya penuh dramatik.
“Hey! Aku tak menculik kau! Aku bukan syaitan!” tempik lelaki itu lagi.
Namun kata-kata itu tidak membuatkan Herwin tenang, sebaliknya dia semakin galak menjerit-jerit. Lelaki yang digelar syaitan tadi berdengus lalu kembali menoleh ke depan. Dia melirik ke arah Aloysius yang kelihatan selamba.
“Kawan kau tu belum makan ubat ke?” soalnya.
“Pedulikan dia. Nanti dia senyaplah,” sahut Aloysius tenang.
Lima minit kemudian, Herwin berhenti melaung-laung dan merepek-repek. Tiba-tiba dia rebah di kerusi, tubuhnya mengejang sebelum kemudian dia tertidur. Untuk beberapa ketika, keadaan di dalam van itu tenang. Aloysius meneruskan pemanduannya.

──♦──

Saat Herwin terjaga, van yang dipandu Aloysius tadi sedang berhenti di sebuah stesen minyak. Dia sendirian di dalam van. Bila menjenguk ke luar tingkap, dia melihat Aloysius dan lelaki aneh itu sama-sama keluar dari sebuah kedai kecil yang sudah licin isinya dikerjakan perompak.
Herwin membuka cermin tingkap. Ada tercetus di dalam kotak fikirannya untuk lari bersama van ini tetapi dia tidak boleh memandu dan tidak mungkin dia akan meninggalkan Aloysius dengan lelaki aneh itu yang mungkin sudah memukaunya.
“Hey!” jerit Herwin kuat, memanggil. Dia melambai-lambai mengajak pergi. Mungkin Aloysius bijak dan boleh melompat masuk ke dalam van dan terus memandu meninggalkan lelaki raksasa itu.
Namun Aloysius tetap santai. Tidak ada riak risau atau khuatir di wajahnya. Dia dan lelaki aneh itu terus memeriksa beberapa pam minyak yang nampaknya sudah tidak berfungsi. Kemudian mereka sama-sama menuju ke van dan masuk.
“Huh! Semua habis. Tak setitik pun yang tinggal,” keluh lelaki aneh itu. Dia tidak menoleh langsung ke belakang. “Macam mana sekarang? Minyak kita hampir habis.”
Herwin memerhatikan lelaki itu. Dia memakai seluar yoga yang ketat, mempertontonkan pahanya yang sebesar perut Herwin dan betisnya yang sebesar anak pokok pisang. Rambut ikal separas siku berwarna coklat terang itu pastilah rambut palsu. Dan sepasang kasut tumit tinggi yang nampaknya kelihatan seperti terlalu kecil untuknya nampak lusuh. Wajahnya dimekap tebal dan aneh, dengan bulu mata palsu seperti ulat bulu, gincu merah terang, pembayang mata warna hijau dan bedak putih dengan dua tompok merah di pipinya itulah yang membuat Herwin sampai menjerit-jerit ketakutan tadi.
Aloysius menghidupkan enjin van. “Mungkin nanti akan ada orang jual di tepi jalan,” ujarnya sebelum mula memandu.
“Hey! Heyyy!” tempik Herwin lagi.
“Apa?” lirik Aloysius.
“Kita nak ke mana? Kenapa syaitan ni masih ada dengan kita?”
Lelaki itu menoleh sebelum membeliak. “Kurang ajar. Aku dah tumpangkan kau, kau panggil aku syaitan?”
“Ratu syaitan marah-marah,” ujar Herwin yang sudah tidak setakut tadi. Sejak terbangun kali kedua dan dapat melihat wajah lelaki aneh itu lebih dekat, dia mendapat keberanian luar biasa. Setidaknya kalau lelaki itu mengamuk, akan ada Aloysius yang boleh membantunya sementara dia menarik rambut palsunya yang menjengkelkan itu. Semua pondan paling benci kalau rambutnya ditarik.
“Siapa yang syaitan?” tempik lelaki itu lagi.
“Kalau bukan syaitan, jadi apa? Pondan gila?”
“Siapa yang pondan? Aku ni showgirl! Performer!” bentaknya.
“Seram gila. Aku takut dimakan.”
Lelaki itu menjegil marah. “Kalau takut, turun di sini sekarang!”
Herwin terdiam seketika. “Tak nak. Aku tak mahu tinggalkan kawan aku sendirian. Nanti kau pukau dia.”
“Gila!” cemuh lelaki itu. “Siapa yang nak pukau kawan kau? Ingat aku tak ada kerja lain?”
“Kau nampak macam pondan gemuk yang jahat,” ujar Herwin perlahan.
Lelaki itu menoleh dengan mata terbeliak, ekspresi wajahnya menyeramkan. Seolah-olah asap keluar dari hidungnya dan rambutnya bertukar menjadi ratusan ekor ular. Herwin tertunduk ketakutan. “Mamaaaa….”
Tiada lagi kata-kata sepanjang perjalanan. Sunyi. Lelaki itu sudah kembali memandang ke hadapan. Herwin bersandar di kerusi sambil memandang ke luar. Entah ke mana arah tujuan mereka.
Angin berhembus melalui tingkap yang dibiar terbuka. Pendingin hawa sengaja dimatikan untuk menjimatkan minyak. Tiba-tiba Herwin menjengukkan kepalanya keluar tingkap sambil memicing-micingkan mata dan menjelirkan lidah.
“Hey! Kau buat apa?” bentak Aloysius dari depan.
“Aku jadi anjing,” ujar Herwin sebelum menyalak-nyalak. “Woof! Woof! Awoooo! Awooooo!”
“Dia ni memang dah gila!” cemuh lelaki aneh itu.
Setelah merasakan lidahnya kebas kerana diterpa angin dingin, Herwin kembali duduk dan mengecilkan bukaan tingkap agar tidak terlalu banyak angin yang masuk. Dia sendawa berkali-kali. “Kenyang makan angin. Boleh masuk angin,” gumamnya sendiri. Kemudian dia duduk diam. Menjadi anjing yang baik.
Mereka mula masuk ke lebuhraya. Melalui plaza tol yang tidak berorang. Semua palang besi terangkat jadi tiada halangan untuk mereka lalu.
Di jalanan, kadang-kadang terlihat satu dua kereta yang sedang memecut. Di pinggir jalan pula kelihatan kereta yang tersadai, cermin-cerminnya sudah dipecahkan. Mungkin kesan rompakan. Ada beberapa orang yang berdiri di tepi jalan sambil melambai-lambai. Mungkin berniat untuk menumpang. Tetapi lelaki aneh itu menghalang Aloysius daripada berhenti.
“Jangan pedulikan mereka! Jalan terus!”
“Tak nak ajak? Kesian tau,” getus Herwin.
“Biarkan saja. Entah-entah mereka orang jahat. Pura-pura meminta tumpang. Nanti bila dah masuk dalam kereta, mungkin mereka akan bunuh kita dan merampas bekalan makanan dan van ni. Jangan naif sangat. Dalam filem selalu terjadi macam ni,” sungut lelaki itu.
Mata Herwin bercahaya. “Ada makanan?”
“Bawah tempat duduk belakang kau. Ada biskut.”
Herwin menjenguk. Ada setin biskut yang belum dibuka. Dia mencapainya rakus.
“Jangan makan semua. Makan sikit-sikit,” tegur lelaki itu. Tetapi Herwin sudah mengunyah dua keping sekaligus.
“Sedapnya,” puji Herwin. Sekarang dia jauh lebih tenang dan mula lebih ramah pada raksasa yang rupa-rupanya baik hati itu. “Nama aku Herwin, boleh panggil Win. Aku asal dari koloni bulan.”
“Okay. Tadi kawan kau pun dah cerita pasal kau. Kau boleh panggil aku Lady Laser 2000 atau Lady Bazooka,” ujarnya dengan suara lembut yang dibuat-buat dan mata yang dikedipkan laju-laju.
“Apa tu?”
“Nama panggilan aku. Sebab selalu beraksi dengan senapang besar atau bunga api semasa pertunjukan. Jadi mereka beri aku nama gelaran tu.”
“Kenapa bukan Diplodocus?”
“Diplo…apa?”
“Diplodocus. Sejenis dinosaur. Badan besar tapi hatinya baik,” ujar Herwin sambil mengambil sekeping lagi biskut.
“Bagi tin biskut tu ke sini! Dasar kurang ajar. Dah diberi makan lepas tu mengejek-ejek orang.”
Herwin menyembunyikan tin biskut itu di belakang badannya. “Tak boleh. Barang yang dah diberi dengan orang tak boleh ambik balik. Nanti buruk siku. Tak takut buruk siku ke, Diplo? Nanti susah nak makan.”
Lelaki berbadan besar itu berpusing, cuba menggapai-gapai tubuh Herwin dengan geram. “Eh… ke sini kau! Nanti aku buat mulut kau jadi buruk!”
Herwin tertawa besar. Gembira kerana dapat mengenakan Lady Bazooka itu.
Sudah hampir sejam perjalanan mereka menyusuri lebuhraya. Beberapa kenderaan yang memotong membunyikan hon. Aloysius membalas dengan membunyikan hon sambil menjaga jarak antara van mereka dengan kereta-kereta lain. Memang tidak banyak kenderaan di jalan hari ini. Semalam pasti suasananya kecoh sekali.
Perlahan-lahan kelajuan van berkurangan. Van itu tersentak-sentak saat mereka keluar dari lebuhraya menuju ke jalan biasa. Kenderaan itu berhenti sepenuhnya, serentak menghentikan perbalahan antara Herwin dan Lady Bazooka. Mereka saling berpandangan sebelum menoleh ke arah Aloysius yang termangu di balik stereng.
“Minyak habis,” keluhnya.
Herwin menoleh ke arah Lady Bazooka. “Ni mesti kau yang minum minyak tu tadi kan, Diplo?”

──♦──

Mereka bertiga turun dari van dan memeriksa keadaan sekitar. Kehabisan minyak itu memang sudah dijangka tetapi mereka tidak jangka secepat ini dan sejauh ini dari tujuan mereka. Jalan memang sudah mula menanjak tetapi tidak bermakna mereka sudah hampir ke destinasi.
Mereka berdiri di tepi jalan. Sesekali Lady Bazooka berusaha menahan kenderaan yang lalu-lalang. Aloysius melirik tidak senang. Dia takut ada yang akan mengambil kesempatan ke atas mereka.
Melihat kerutan pada kening Aloysius, Lady Bazooka menjelaskan. “Mungkin ada yang ada minyak lebih, atau sudi tumpangkan kita,” jelasnya.
“Sebenarnya kita nak ke mana?” soal Herwin yang masih mengepit tin biskut di ketiaknya.
“Ke gunung. Aku perlu ke gunung,” sahut Lady Bazooka serius. “Oh… nak balik ke habitat asal ke?”
Nyaris saja kepala Herwin diketuk dengan penumbuk Lady Bazooka yang besar itu. Herwin lari agak jauh sambil ketawa terkekeh-kekeh. Lady Bazooka mahu mengejar tetapi teringat kasut tumit tinggi yang dipakainya, dia berhenti. Walaupun dia bukan di atas pentas, dia masih mahu menjaga keanggunannya sesuai dengan namanya, Lady.
Mereka terdiam sejenak. Lady Bazooka masih terjengukjenguk, menunggu kereta yang sudi berhenti.
“Tadi aku tertidur dua kali sebab diplodocus…”
“Kau diam!” bentak Lady Bazooka berang.
“Brrr… sejuknya,” ujar Herwin sambil memeluk erat tin biskut. “Kalau nak naik gunung, tak jauh lagi puncaknya,” ujarnya sambil memandang sekeliling. Sudah mula banyak pokok tinggi. “Kita boleh jalan kaki.”
“Ini bukan puncak gunungnya,” jelas Lady Bazooka. “Jauh lagi.”
“Kau mahu ke puncak mana? Sama saja gunung, kan?”
“Ini bukan puncak gunung. Kau kenal puncak gunung atau tidak?” sindir Lady Bazooka.
“Tahuuuuu… puncak. Di gunung. Kau nak buat apa atas gunung? Terjun bebas?”
“Banyak tanya pulak. Kenapa nak sibuk-sibuk urusan orang?”
“Huh!” keluh Herwin. “Tanya pun tak boleh. Ye lah, kita tahan kereta lain. Kalau perlu, kita berhenti di depannya. Pasang badan,” usulnya lagi.
Lady Bazooka tersengih. Dia melembutkan suaranya, tangannya dihayun-hayun meniru gaya perempuan. Bahu Herwin ditepuk. “La, takkan nak tinggalkan van ni? Nanti balik kampung abang nak naik apa?”
“Ish… seram…” ujar Herwin sambil menggigil.
Dia menoleh ke arah Aloysius yang diam sahaja dari tadi. Lelaki itu menggosok-gosok kedua-dua telapak tangannya sambil menghembus-hembus udara hangat dari mulut. Kedinginan. Mengingat kata Lady Bazooka tadi membuat hati Herwin tersentuh.
“Kampung tu apa? Aku tak ada kampung. Tak perlu berlagak bijak,” ujar Herwin agak kasar.
Lady Bazooka mencebik. “Tadi kawan kau kata kamu berdua perlu van ni untuk balik kampung. Jumpa orang tua, saudara-mara. Tapi ini van aku dan aku perlu pergi ke puncak gunung. Ada urusan penting. Lepas tu aku takkan perlukan van itu lagi. Jadi tadi perjanjian kami, kawan kau akan hantar aku ke gunung kemudian kamu berdua boleh bawak van ni pergi ke mana saja yang kamu suka. Faham?”
“Okay…” jawab Herwin acuh tak acuh. “Kau rasa minyak ni boleh diganti dengan air kencing tak? Dari tadi aku tahan kencing.”
“Gila!” bentak Lady Bazooka lagi. Dia menoleh ke arah Aloysius. “Kawan kau ni bodoh ke apa?”
“Sebaik-baiknya kita cari orang yang jual minyak dulu,” putus Aloysius.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96086/sunyi

[SNEAK PEEK] BERAT SEBELAH KIRI

9789670719009-medium
BERAT SEBELAH KIRI Oleh Farha Jalila, Faiz Nazim, Taufik Khadri, Khairul Muttaqin, Muhammad Aneff, Asyraff Jamin, Zafirah Bahram, Munira Nabila, Hajar Zainal, Asmar Shah, Dalila Dahri, Wassim Fairuz, Nurul Syahirah, Sabrina Saiful, Siti Nazariah, Syaihan Syafiq, Azril Suhaili, Khairul Umar, Hasnizal Ehsan, Syahmi Fadzil

DIAM HARGA EMAS

Bunyi itu semakin lama semakin kuat kedengaran dari bilik sebelah. Aku menutup mata lalu menelan air liur. Nafas kutarik dalam-dalam dan dilepaskan perlahan. Suara rancangan televisyen aku tinggikan. Berbekalkan rasa sayang menggunung pada Azrul, sedaya upaya aku mengendahkan bunyi itu. Azrul satu-satunya anak aku. Walau apa saja yang Azrul inginkan, aku beri. Apa saja. Termasuklah sebuah Suzuki Swift yang aku hadiahkan pada Azrul ketika ulangtahun hari lahirnya yang ke 16. Tidak sanggup untuk aku melihat muncung yang dibuat-buat setiap kali kami bersua. Akhirnya Azrul tersenyum lebar tatkala melihat mobil idamannya tersedia sebagai hadiah di hadapan rumah. Bila mana Azrul gembira, aku rasakan satu kepuasan dalam diri – kepuasan menjadi seorang ayah yang baik pada anaknya.

  Suara azan kedengaran jelas. ‘Allahu Akbar, Allahu Akbar’. Laungan kalimah Allah Maha Besar itu tidak sedikit pun mencuit hati aku untuk memberhentikan suara milik Azrul yang sedang leka bersama seorang gadis di bilik sebelah. Malah, aku lebih risaukan Azrul. Terganggukah dia? Ya, Allah Maha Besar! Tetapi, aku ayah dia dan biar aku yang tentukan dan arahkan apa yang patut dia buat. Aku cuma berharap agar laungan azan itu disegerakan, atau paling tidak pun pembesar suara yang digunakan mengalami kerosakan! Pokoknya, suara azan itu mengganggu waktu kenikmatan dan keseronokan Azrul!

  Masih aku ingat saat Azrul begitu bengis ketika konsentrasinya menonton perlawanan bola diganggu oleh bacaan tahlil di rumah jiran. Pada aku tiada masalah, cuma Azrul memang tidak gemar apabila ada sesuatu yang mengganggu telinga atau matanya yang sedang fokus pada perlawanan bola. Lebih-lebih lagi kelab kegemarannya sedang beraksi. Saat itu pula, bacaan tahlil memang kedengaran dan mengganggu suara pengulas perlawanan tersebut.

“Ayah nak Azrul yang pergi sound atau ayah yang nak pergi? Kalau Azrul pergi, lain jadi nanti. Ayah nak?” Azrul mula bersuara tidak puas hati.

“Sound apa pulak ni, Azrul?”

“Rumah sebelah lah! Bising! Entah apa benda yang dok nyanyi dari tadi tak habis. Kalau ada orang mati tu pergi ajelah nyanyi kat kubur!”

“Alaa, mana mengganggu sangat pun. Ayah boleh je dengar pengulas tu cakap apa, takkan Azrul tak dengar?” aku cuba mencari alasan. Adalah mustahil untuk aku meminta mereka memperlahan suara dalam majlis sebegitu.

“Eii lembab lah ayah ni!” seraya itu Azrul bangkit dan menuju ke luar rumah. Biji mata aku membulat apabila dengar suara teriakan Azrul pada jiran sebelah yang sedang bertahlil. Segala jenis kata-kata kesat jelas kedengaran dari mulut Azrul, anak kepada seorang guru berpendidikan tinggi. Aku terkesima lantas menarik tangan Azrul masuk ke dalam rumah. Suara orang bertahlil yang sedari tadi merdu kini bersilih dengan bunyi bisikan.

“Bodoh apa bising sampai orang lain terganggu! Kalau baca Quran pun, dan orang yang dengar tu terganggu, itu kira dosa besar ayah tahu tak?”

  Aku terdiam. Ya, mengganggu orang lain itu termasuk dalam 70 dosa-dosa besar dalam Islam. Azrul terganggu apabila rancangan bola yang ditonton diselit dengan suara tahlil dari rumah sebelah, malah dia bertempik pada mereka yang mengganggunya. Aku terus terdiam. Azrul meneruskan menonton televisyen.

  Lain pula ceritanya dengan isteri aku, Sakinah. Malam sebelum hari raya aidilfitri, kami bertekak. Sakinah bertegas mahu pulang ke rumah ibunya sedangkan aku yang secara logiknya berhak untuk buat keputusan. Sakinah memberontak dan tidak membenarkan aku tidur bersamanya malam tersebut. Malam itu, aku masuk juga ke kamar kami dan buat seperti tidak ada apa yang berlaku. Apa yang terjadi, Sakinah menendang aku turun dari katil sebaik saja aku menghempaskan badan di sebelahnya. Lebih teruk, aku diherdik dengan suaranya yang tinggi dan memekik. Aku tidak marah, malah aku rasa bersalah! Disebabkan aku, Sakinah berkelakuan sebegitu.

“Kau, kalau nak tidur dengan aku, esok pagi balik rumah mak aku!” Sakinah berwajah bengis dan terus memberontak. Aku cuba meminta maaf. Aku tidak mahu menjadi suami yang tidak mampu untuk menggembirakan hati isteri.

“Dengar tak? Nak kena tendang lagi?” Sakinah bersuara lagi – memberontak.

“Ya, kita balik rumah mak esok. Sayang jangan marah abang macam ni, abang rasa abang tak guna kalau sayang terus marah abang.”

  Aku mengalah. Aku harus buat Sakinah bahagia. Wajib! Melihatkan senyuman dari bibir Sakinah, aku puas. Aku merasakan kepuasan yang aku sudah menggembirakan hati seorang isteri. Aku ingin jadi seorang suami yang baik! Dengan membawa Sakinah pulang ke rumah ibunya, aku dapat merasakan Sakinah adalah orang yang paling gembira dalam dunia. Dan aku sebagai suaminya, aku puas. Aku bangga! Aku berhasil menggembirakan isteri aku!

  Dalam aku mengelamun, bunyi itu masih terus kedengaran. Agak lama Azrul bersama anak ketua kampung di dalam bilik sebelah. Katanya belajar, dan aku akan sentiasa menganggap yang Azrul sedang belajar walaupun ‘suara’ yang kedengaran tidak menunjukkan seperti atmosfera menelaah. Seperti yang sudah diperjelas, aku hanya inginkan Azrul berasa aku adalah ayah yang terbaik untuknya. Badan aku rebahkan. Kipas yang berpusing membuatkan minda aku turut menerawang jauh – jauh mengenangkan kemewahan dan kesenangan yang aku tabur pada Azrul.

  Bunyi bising di luar rumah buat aku tersedar. Sepertinya huru-hara! Suara Azrul sudah tidak kedengaran dari bilik sebelah. Rumah yang sebelum itu dingin, tiba-tiba jadi bahang.

“Apa yang kau dah buat?!” suara besar dan garau kedengaran buatkan aku tersentak! Jantung berdegup laju. Dada berombak turun naik. Peluh semakin galak menitis.

“APA YANG KAU DAH BUAT?!!”

“Diamlah bangsat!!” aku cuba membidas. Siapa empunya suara itu aku tak perlu tahu! Apa sebab dia bertanya soalan itu pun aku tak perlu tahu! Apa yang sedang berlaku itu yang aku perlu tahu!

  Aku bingkas bangun meninggalkan bahang yang semakin terasa. Azrul yang aku fikir sedang lena di dalam bilik dibiarkan sendirian.

“Ayah nak pergi mana?” suara Azrul kedengaran saat kaki aku melangkah keluar rumah. Segera aku menoleh. Tiada siapa.

  Aku melangkah lagi. “Apa yang ayah dah buat?” suara Azrul sekali lagi kedengaran. Aku menoleh – tiada siapa. Degupan jantung semakin laju. Bila mana aku ingin menuju ke bilik Azrul, aku terlihat kelibatnya di celah-celah orang ramai yang sedang berarak dan menimbulkan huru-hara. Aku terpanggil dengan riak wajahnya yang memerlukan seorang ayah ketika itu. Apa yang sedang berlaku? Huru-hara apa yang sedang berlaku? Dalam kebingungan, Azrul semakin samar menghilang.

“Aduh!!” aku menjerit kesakitan lantas memegang bahu kiri yang seakan ditimpa sesuatu yang sangat berat secara tiba-tiba. Aku jadi tak berdaya, tangan kiri menahan tanah sambil tangan kananku memegang erat bahu kiri yang kian perit.

“Apa yang abang dah buat?” suara lembut menyapa dari arah hadapan saat aku mengetap bibir menahan sakit di bahu kiri. Aku mengangkat muka.

“Sakinah!”

“Apa yang abang dah buat?” sekali lagi soalan itu diaju. Hati aku jadi panas. Sakit di bahu kiri aku abaikan untuk seketika.

“Apa yang abang dah buat? Abang tak buat apa-apa pun, Kinah! Tolonglah jangan tanya soalan yang mengarut! Tadi Azrul tanya, ni Kinah pulak!” hati aku kini sama sakitnya dengan bahu yang semakin menjadi-jadi. Dan dalam aku menanggung kesakitan, aku baru tersedar yang aku sedang berkata-kata dengan Sakinah, isteri aku yang sudah meninggal dunia!

  Orang ramai bertempik dalam bahasa yang aku sendiri tak mengerti. Azrul hilang dalam banjir manusia. Sakinah juga begitu. Bahang di luar rumah lebih terasa dan menyegat berbanding di dalam rumah sebentar tadi. Dalam kekalutan, aku nekad ingin mencari Azrul. Dia perlukan aku. Dia perlukan ayahnya. Aku harus melindungi Azrul. Aku ingin jadi ayah yang berguna, bukan ayah yang dayus!

“Hoi, dayus!” suara garau itu lagi. Aku tersentak. Dahi aku berkerut.

“Hoi, dayus!” sekali lagi.

“Dayus!!” sekali lagi, malah lebih kuat. Aku mengetap bibir sekeras-kerasnya. Setiap kali perkataan itu keluar, bahu aku semakin pedih. Ibaratnya berat itu semakin ditimpa-timpa.

“Lelaki dayus!!”

“Diamlah!! Anak haram punya manusia! Kalau kau bagus sangat, kau keluar mengadap aku depan-depan! Bodoh! Keluar kau!”

  Aku penat. Penat menjerit mempertahan apa yang dilempar pada aku. Sudahlah masih bingung, ditambah lagi dengan suara yang datang entah dari mana mengatakan aku seorang dayus. Aku bukan dayus! Aku ayah dan suami yang baik, yang bertanggungjawab! Aku sanggup buat apa saja demi kebahagiaan mereka!

“Aduhai cikgu.. Apa yang cikgu dah buat ni cikgu? Apa yang cikgu jerit-jerit tu dari tadi saya dengar?” seorang lagi ‘tetamu’ bersuara. Kali ini kedengaran mesra dan lebih memihak kepada aku yang kepenatan.

  Aku menoleh. Anak ketua kampung yang sebaya dengan Azrul berdiri menyandar di dinding rumah, berpeluk tubuh, tanpa seurat benang! Segera aku mengalihkan pandangan. Apa yang dia buat berbogel di situ? Bukankah dia bersama Azrul di dalam bilik sebelum ini? Kenapa dia berani sungguh berdiri tanpa sedikit pun perasaan malu?

“Aina! Masuk dalam! Pakai baju! Kamu tak malu ke berbogel depan orang macam tu?” arahan diberikan. Aku yang jadi malu. Gadis yang sudah akil baligh berdiri telanjang tanpa gusar.

“Apa yang cikgu dah buat?” bahu kiri aku disentuh sambil soalan bodoh itu ditanya kembali.

“Jangan sentuh aku! Pergi masuk dalam pakai baju! Kau tak tahu malu ke? Sudahlah kau tu perempuan, dah baligh, berbogel depan orang ramai pulak! Masuk!”

  Aina tersenyum sinis.

“Ayah saya pasti kecewa. Tapi, macam mana cikgu sebagai ayah Azrul boleh beri izin dengan bangga? Sekarang saya bogel depan cikgu, cikgu malu?” senyuman sinis masih tidak lekang.

“Apa yang cikgu dah buat?” sekali lagi soalan itu ditanya dengan sinis yang masih bersisa. Aku menutup mata serapat-rapatnya.

“Apa yang ayah dah buat?” suara yang buatkan aku terkejut. Segera aku menoleh. Azrul! Azrul sedang berjalan ke arah aku, turut sama berbogel!

“Azrul! Apa kamu buat ni? Nak malukan ayah ke?!” aku gagahkan diri untuk bangun. Azrul anakku ada di depan mata setelah hilang dari pandangan mata sebentar tadi. Cuma bezanya, dirinya kini tanpa seurat benang!

“Kenapa ayah buat Azrul macam ni?” Azrul mula menangis teresak-esak. Apa yang aku dah buat? Azrul menangis disebabkan aku – ayahnya! Kebahagiaan yang aku dah beri, kenapa air mata miliknya masih mengalir? Adakah Azrul tidak gembira hidup dengan aku? Adakah aku gagal menjadi ayah yang baik?

“Ayah bangga dengan apa yang ayah tengok sekarang? Azrul berbogel depan ayah! Aina berbogel depan ayah! Kami buat dosa dan ayah bangga untuk biarkan!”

  Aku buntu. Bingung. Apa yang mereka cakapkan? Apa yang Sakinah cakapkan? Apa yang mereka semua cakapkan? Aku tersandar, menangis. Apa yang aku dah buat? Aku cuma jalankan tanggungjawab aku sebagai ayah. Apa yang aku dah buat? Adakah aku gagal? Adakah aku lulus? Lengan baju kiri dikoyak. Birat lebam jelas kelihatan. Apa yang aku dah buat? Apa yang menimpa aku sekarang?

“Assalamualaikum,” aku disapa mesra. Tangan dihulur untuk berjabat. Aku tak pernah lihat wajahnya. Siapa dia?

“Siapa kau?”

  Dia tersenyum. “Saya hamba Allah, macam cikgu juga.”

“Apa kau nak? Tak nampak aku tengah sakit?” tangan lelaki itu masih belum aku sambut.

“Apa yang cikgu buat sampai sakit macam ni?”

“Wei, celaka! Kau blah sekarang! Bagi salam baik-baik tapi nak sakitkan hati aku, baik kau blah!”

  Dia masih tersenyum lalu menambahkan rasa sakit hati aku.

“Saya datang nak bantu. Paling kurang, nasihat pada cikgu.”

“Tak payah! Aku tahu jaga diri! Aku belajar tinggi-tinggi, aku boleh jaga diri aku sendiri. Tak payah kau nak sibuk nasihat aku. Apa kau tahu? Nama kau pun aku tak tahu tiba-tiba nak menyibuk hal orang. Berambuslah!”

“Saya cuma tanya, apa yang cikgu dah buat sampai bahu kiri lebam macam tu? Nampak teruk tu.”

“Aku tak buat apa-apa lah! Berambus kau!”

  Lelaki itu masih tersenyum. Seraya itu dia memegang bahu kananku dan mengatakan yang ianya sangat ringan – sepertinya dacing yang ditimbang konkrit dan bulu pelepah.

“Janganlah cikgu menyesal kerana berdiam saja. Sesungguhnya percakapan itu berharga perak, sedangkan berdiam diri itu berharga emas. Tapi, emas yang cikgu pertahankan itu langsung tiada nilai. Malah, konkrit yang ibaratnya menimpa bahu kiri cikgu itu lebih tinggi nilainya.” Satu bungkusan diletakkan di sebelah tempat aku terduduk kesakitan sedari tadi. Dia berlalu pergi.

  Aku menjerit sekuat hati sehinggakan terasa bahuku digegar. Oh, aku bermimpi! Aku hanya bermimpi! Peluh dingin membasahi seluruh tubuh. Bahu kiri terasa normal. Dengan segera aku singkap lengan baju sebelah kiri. Tidak lebam, tidak sakit, tidak apa-apa.

“Tidur tak ingat dunia, sampai orang datang pun tak perasan?” Azrul yang lengkap berpakaian berada di hadapan aku. Bingung seribu kali bingung.

“Ni, ada orang bagi tadi. Kawan sekolah ayah rasanya.”

  Satu bungkusan dicampakkan. Aku mengerutkan dahi, bertambah bingung. Sebuah buku usang berada dalam genggaman. Di hadapannya tertera ‘Nasihat Luqman Al-Hakim’.

  Aku tersandar. Senyuman lelaki itu terus terbayang. Buku usang itu kutenung sedalam-dalamnya. Bahu kiri? Azrul dan Aina berbogel? Sakinah? Lelaki itu? Akhirnya, buku ini? Aku memandang Azrul dari jauh.

  Keluhan berat dilepaskan. Apa yang aku dah buat selama ini?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79913/berat-sebelah-kiri

[SNEAK PEEK] BANGKIT

9789670954493-medium
BANGKIT Oleh Appy Mohd Hapizan

Final exam tinggal beberapa hari sahaja lagi, malam itu Fatihah belajar bersama Syafiq sahaja di bilik belajar 24 jam di sebelah perpustakaan kampus.

Seperti kehendak Syafiq, Nurul tidak join bersama. Dia memberi alasan sakit perut dan belajar di dalam bilik sahaja.
Fatihah pula tidak mahu memungkiri janji untuk belajar bersama Syafiq. Dia tidak mahu mengecewakan hati seorang kawan. Ternyata, rancangan Syafiq berhasil. Seperti dijanjikan, Syafiq sudah berada di bilik 24 jam sebelum Maghrib lagi. Fatihah pula akan menyusul selepas Isyak. Jika mereka lambat sedikit, pasti tiada meja kerusi kosong lagi untuk mereka duduk belajar. Meja dan kerusi hanya disediakan sebanyak lebih kurang 20 buah.

Fatihah berjalan dari biliknya ke bilik 24 jam seorang diri. Bertudung coklat, mengenakan cardigan hitam serta seluar tracksuit. Seliparnya pula agak besar, bahagian tapak kaki selipar lebih sedikit dari tapak kakinya. Buku di dalam pelukannya bersama pencil box comelnya.

Setiap langkahnya dia disapa oleh pelajar perempuan, Fatihah tidak dapat cam siapa yang menegurnya kerana dia seorang yang rabun, lagi pula waktu itu malam, agak kabur sedikit pandangannya, tetapi dia tetap membalas sapaan itu kerana dia tidak mahu menjatuh air muka orang dan tidak mahu orang menganggapnya sombong. Fatihah agak dikenali di kampus kerana dia senior, juga ada jawatan untuk fakultinya. Fakultinya mempunyai pelajar yang
agak banyak.

Fatihah singgah sebentar di kedai runcit di hadapan Youth Floor untuk membeli makanan ringan dan minuman. Buku serta pencil box-nya ditinggalnya di rak beg di depan kedai. Fatihah ke ruangan snek, melihat-lihat makanan yang dikenannya. Niat nak membeli roti ataupun keropok, tetapi dia baru sahaja lepas dinner bersama Nurul
tadi. Lalu dia mengambil sebungkus M&M dan pergi ke bahagian belakang untuk membeli air. Terlalu banyak pilihan, akhir sekali air Milo yang menjadi pilihannya. Fatihah membuka peti ais dan mengambil satu tin Milo. Dia membawa kedua-dua barangan itu ke kaunter. Waktu itu, cuma dia seorang pelanggan kedai itu.

Fatihah memberi sekeping not RM10 ringgit kepada pekerja kaunter, pekerja itu memberi wang baki tanpa senyuman, bermuka masam, langsung tiada adab berjual-beli! Tidak pada Fatihah, dia memberi senyuman kepada pekerja itu walaupun dia tahu senyumannya bakal tidak berbalas. Fatihah mengambil plastik yang berisi makanan
dan minuman yang sudah dibungkus pekerja tadi di atas kaunter. Straw pula diambilnya dari dalam kotak straw dan diletakkan di dalam plastiknya yang berwarna pink.

Fatihah keluar dari kedai itu dan mengambil bukunya tadi. Dia pun menuju ke bilik 24 jam. Youth Floor agak sunyi waktu itu, tiada kelibat manusia kelihatan menari, menyanyi atau melepak di sana, mungkin mereka sedang belajar, tambahan pula, lampu tidak berfungsi, mungkin ditutup oleh pihak kolej.

Tidak lama kemudian, Fatihah masuk ke dalam bilik 24 jam, dia melihat Syafiq jauh di sudut belakang bilik, Fatihah menghampirinya. Tanpa meminta izin untuk duduk, Fatihah terus meletak buku di atas meja dan menarik kerusi di hadapan Syafiq. Syafiq baru perasan dengan kehadiran Fatihah dan memberi senyuman kepadanya.

Tiba-tiba Fatihah tersedar sesuatu. Dia baru perasan bahawa pencil box-nya tiada. Dia memeriksa di bawah meja dan jalan yang dilaluinya di dalam bilik 24 jam. Syafiq hairan.

“Kenapa ni?” soal Syafiq.

“Pencil box saya hilang.” Fatihah gelisah. Barang kesayangannya hilang!

“Awak yakin awak ada bawak?”

Baru Fatihah teringat dia meninggalkan pencil box-nya di rak beg hadapan kedai runcit tadi. Tanpa berlengah, dia berlari menuju ke kedai. Syafiq ditinggalnya begitu sahaja. Untuk menunjukkan keprihatinannya, dia pun mengekori Fatihah. Sebenarnya dia masih dalam keadaan blur, entah kenapa Fatihah tiba-tiba berlari.

Tiba di kedai runcit, Fatihah melihat tiada apa di rak itu. Dia masuk ke dalam kedai runcit itu dan bertanya tetapi pekerja itu hanya mengangkat bahu memberi isyarat dia tidak tahu. Fatihah geram sedikit dengan perangai pekerja
itu, namun dia tetap memberi ucapan terima kasih.

Fatihah kesal. Walaupun tiada barang berharga ataupun duit di dalam pencil box itu tetapi pencil box itu sendiri yang amat berharga baginya, ia adalah hadiah pemberian bapanya. Sudah lama dia menggunakan pencil box itu. Walaupun bertahun riwayatnya, kondisinya masih baik kerana Fatihah cermat menjaganya. Fatihah menarik pintu kedai itu dan keluar dengan muka kecewa.

“Dah dapat jumpa tadi ka?” Syafiq di luar kedai runcit itu bertanya.

“Takda, takpalah jak, tapi pencil box itu bapak saya yang bagi.” Tampak sugul Fatihah dengan kehilangan pencil box itu. Ingin sekali Syafiq memeluk Fatihah agar hilang kesedihan itu, tetapi ia hanya dalam imaginasinya.

“Nak buat macam manalah kan, dah nak hilang.”

“Hmm, macam ya lah upa ye.”

Mereka pun berjalan sama menuju ke bilik 24 jam untuk membuat revision untuk final exam. Focus serta mood Fatihah agak down tetapi dia berlagak okay kerana dia bersama Syafiq. Dia tidak mahu Syafiq mengalami kejanggalan. Rasa kesal Fatihah belum dapat dia hilangkan, tetapi dia mencuba menghilangkan rasa hibanya supaya dia dapat memahami bait-bait nota yang dibacanya.

Satu persatu Fatihah menjelaskan kepada Syafiq apa yang Syafiq tidak faham. Syafiq menjadi seronok kerana belajar bersama Fatihah. Tahap keseronokan dalam belajarnya meningkat. Isu pencil box yang hilang tadi seolah lenyap seketika. Mereka hanyut dalam sesi pembelajaran itu. Namun Fatihah sahaja yang teruja mengajar, sementara Syafiq pula mabuk cinta. Haru sebenarnya.

Mereka juga bersama-sama membuat latihan previous semester final exam question. Fatihah tidak lokek berkongsi ilmu dengan Syafiq, malah dia mengajar Syafiq sehingga Syafiq benar-benar faham dan menjawab dengan betul.

──♦──

Warga UiTM yang belajar di dalam bilik 24 mula bersurai. Tinggal beberapa orang sahaja termasuk Fatihah dan Syafiq. Fatihah mengajak Syafiq untuk balik kerana sudah mengantuk, dan Syafiq bersetuju. Jam juga sudah menunjukkan pukul 3 pagi.

Mereka mengemaskan meja mereka yang berselerak dengan kepingan nota. Fatihah hanya membawa buku untuk balik, Syafiq memasukkan nota-nota ke dalam begnya. Selesai mengemas, mereka pun keluar dari bilik 24 jam. Sampah-sampah seperti plastik makanan dan bekas tin air dibuang ke dalam tong sampah.

Syafiq membuka pintu untuk Fatihah untuk menunjukkan sifat gentleman-nya. Dua langkah dari pintu bilik 24 jam, tiba-tiba Fatihah dan Syafiq terlihat satu objek terjatuh dari atas ke depan pintu perpustakaan; mereka terkejut.

Mereka melihat ke atas, tiada apa kelihatan. Fatihah menghampiri objek itu, ia kurang jelas, Syafiq agak gugup. Lampu kawasan perpustakaan sudah ditutup pihak kolej menyebabkan kawasan setempat agak gelap.
“Apa tu, Tihah?” Syafiq bertanya sambil mendongak memerhati.

“Sik tau lah,” jawab Fatihah ringkas.

Fatihah semakin hampir dengan objek kecil itu, dia seperti mengenalinya. Ya, dia mengenalinya, ia adalah pencil box miliknya! Tapi bagaimana ia tiba-tiba jatuh dari atas? Siapa yang membalingnya? Persoalan itu menjadi tanda tanya di dalam kepala Fatihah.

“Syafiq! Inilah pencil box saya! Alhamdulillah dah jumpa balik!” Fatihah excited.

“Bagus la pia oo. Tapi sine pencil box ya datang? Siapa curik tek? Motip?” soal Syafiq bertalu-talu.

Fatihah mengangkat bahu. Dia mengajak Syafiq untuk menyambung perjalanan mereka. Tiba-tiba bunyi kibaran sayap yang agak kuat didengari mereka, secara automatik mereka menoleh ke atas. Hairan. Tiada apapun
kelihatan. Gelap saja.

“Tihah, jangan ditegur, balik jak kita.” Syafiq menjadi takut. Dia teringatkan pesanan neneknya, jika ada mendengar,
menghidu atau melihat apa-apa yang pelik, jangan tegur.

“Ye.” Fatihah tidak takut, sebaliknya perasaan ingin tahunya membuak-buak.

Tanpa disedari, mereka diperhati satu makhluk. Makhluk itu berada di atas zink perpustakaan. Makhluk itulah yang sebenarnya membaling pencil box Fatihah tadi. Dia sudah lama memerhati mereka sejak tadi, malah dia jugalah yang memerhati Fatihah selama ini.

──♦──

Sebaik sampai di bilik, Fatihah meletakkan bukunya di atas katil lalu duduk di atas kerusi belajarnya. Dia meletakkan pencil box-nya di atas meja. Nurul yang sudah lena diulit mimpi tidak sedar dengan kehadiran Fatihah. Fatihah membuka zip pencil box itu dan memeriksa barang miliknya, tiada apapun yang hilang, tiada yang kurang. Tibatiba dia terjumpa sesuatu, sekeping kertas dengan sebaris ayat dalam tulisan jawi:

 

 

Fatihah mengerutkan dahinya, apa maksud semua itu? Siapakah yang memberinya? Bulu romanya meremang. Tak tercapai dek akalnya. Saban hari semakin banyak perkara pelik berlaku kepadanya.

Fatihah menyimpan kertas itu ke dalam laci lokernya, sejurus itu dia ke bilik mandi untuk mencuci muka dan selepas itu dia tidur.

──♦──

Fatihah membuka mata, terkebil-kebil matanya kesilauan. Fatihah melihat ke kiri ke kanan, tempat yang sangat asing. Tidak pernah dia pergi atau singgah di tempat itu, kini dia sedang berdiri di atas kawasan rumput yang lapang, seperti taman bunga, sangat cantik. Bunga-bunganya ganjil, tidak seperti yang pernah diketahui Fatihah. Warna yang beraneka, aromanya yang menyatu, begitu wangi. Seolah berada di syurga, fikir Fatihah. Namun ia mustahil. Setiap langkah akan menerbitkan satu aroma aneh. Dan sekuntum bunga akan gugur. Janggal. Tempat itu seolah bergerak selari dengan perbuatannya. Ganjil.

“Assalamualaikum, Fatihah.”

Fatihah menoleh ke belakang.

“Waalaikumsalam.” Fatihah mengundurkan kakinya sedikit demi sedikit.

“Kamu siapa? Saya berada di mana sekarang?”

Seorang lelaki sasa berjubah hitam berada di hadapan Fatihah. Fatihah tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia seakan pernah berjumpa dengan lelaki itu. Lembut cahaya wajahnya, menenangkan. Sesekali angin menderu, membuatkan jubah hitam yang dikenakan beralun lembut.

“Kamu berada di alam mimpi sekarang. Jangan risau. Saya Raqib, juga makhluk ciptaan Tuhanmu.”

Fatihah menggigil ketakutan. “Mengapa saya di sini? Apa yang awak nak?”

“Saya ingin berpesan, berhati-hatilah. Kamu diancam bahaya, namun jangan risau, saya akan menjagamu dengan izin Tuhan kamu akan selamat,” kata Raqib sambil tersenyum.

Tiba-tiba Raqib mengibarkan sayapnya lalu dia terbang ke atas.

Fatihah terkejut melihatnya! Dalam masa yang sama dia terpegun. Dia menggosok-gosok matanya, tiba-tiba dia terdengar suara azan berkumandang. Pandangan Fatihah semakin pudar lalu gelap.

Fatihah bangkit. Suara azan masih kedengaran. Dia melihat ke luar jendela, masih gelap. Rupanya dia bermimpi tadi. Nurul sudah tiada di katilnya. Fatihah mendengar bunyi air paip, mungkin Nurul sedang mengambil wuduk.

Fatihah menekan suis lampu biliknya dan menuju ke bilik mandi. Nurul sudah siap berwuduk menuju ke dalam bilik. Kebiasaan mereka akan solat bersendirian.

──♦──

Oleh kerana banyak kelas yang sudah tamat kerana bermulanya study week, Fatihah dan Nurul meluangkan masa itu dengan belajar. Mereka tidak sesekali akan membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah dan melekakan.

Fatihah merancang untuk belajar dengan Nurul sahaja hari seterusnya. Dia tidak mahu digelar ‘palat’ oleh sahabatnya. Tambahan pula mereka sudah lama belajar bersama dari awal sem lagi.

Fatihah dan Nurul memasang niat Qiamullail. Selepas solat Isyak tadi, mereka melelapkan mata dan berniat untuk bangun tengah malam. Cara itu membuatkan mereka tidak bergantung kerana jika diteruskan belajar dalam mengantuk, ilmu sukar untuk masuk dan payah untuk faham apa yang dibelajar.

Oleh itu sebaiknya mereka tidur dulu sekejap untuk merehatkan badan dan bangun semula untuk mengulangkaji pelajaran.

Fatihah sedang fokus belajar, begitu juga Nurul. Handset mereka disimpan di dalam loker kerana tidak mahu diganggu. Mereka sudah siap menelefon ibubapa masing-masing untuk meminta restu selepas solat Isyak tadi.

Tahap ketekunan mereka amat padu. Jika ada bom yang meletup, pasti mereka tidak sedar. Dari luar tingkap, makhluk bersayap memerhati Fatihah. Namanya Raqib, dari kelompok manusia bersayap, sesekali ghaib, sesekali kelihatan jelas pada pandangan manusia. Fizikalnya masih manusia, hanya sayap putihnya laksana merpati, cantik bulu pelepahnya. Seperti garapan dari syurga. Matanya melilau memerhatikan persekitaran dan kelihatan ribuan
makhluk-makhluk ghaib berlegaran. Namun majoriti makhluk-makhluk itu tidak mengganggu manusia. Hanya segelintir yang mahu
membuat kacau. Dan fokus mereka pada Fatihah. Itu merisaukannya.

Dua makhluk, botak kepalanya, kurus tetapi tinggi, kelihatan tegap pula. Sejak dari tadi dua ekor makhluk itu sedang memerhatikan Fatihah yang sedang belajar bersama Nurul. Tubuh mereka fleksibel, sesekali melonjak dan memanjat pohon dengan penuh kelembutan tanpa meleraikan pandangan pada Fatihah.

Kelibat dua makhluk botak dapat dilihatnya dari jauh, dia tahu kedua makhluk itu ada niat jahat terhadap Fatihah. Mujur saja Raqib ada melindungi Fatihah. Lalu dia mendekatkan dirinya pada makhluk botak itu, agar niat mereka terbantut. Fatihah harus diselamatkan.

Raqib terapung dengan bantuan sayapnya. Kedua botak itu, orang bawahan musuh yang sudah lama diperangi puak Raqib, juga terapung dengan bantuan sihir syaitan. Desir daun dan juga angin yang bertiup mengelus lembut tubuh mereka bertiga. Bunyi cengkerik langsung mati. Setiap haiwan yang patutnya berlegar mendiamkan diri. Mereka sedar malam itu kejam. Punya makhluk yang tidak suka diganggu.

“Dah banyak orang kami kau bunuh,” kata salah seekor dari makhluk botak sambil menjelir lidahnya serta membesarkan mata merahnya. Giginya seperti buaya, kekuningan menonjol sekali. Raqib hanya mendiamkan dirinya. Dia tahu, pertempuran bakal berlaku. Dia hanya bersiap-siaga.

“Huh! Burung patut berkicau. Bukan bisu.” Si botak membuka mulut kerana kata-kata temannya tidak dijawab Raqib. Dia memandang botak yang satu lagi memberi isyarat menyerang!

Dengan sepantas kilat kedua botak itu menyerang Raqib. Raqib melarikan diri jauh dari kawasan hostel, takut mereka menarik perhatian pelajar dan orang lain. Ketika itu dia tidak pasti adakah dua botak itu berusaha untuk mengaburi pandangan orang awam dari melihat mereka. Dia harus mencari tempat pertarungan yang sesuai agar
tidak diketahui orang. Apabila peluang menjelma, nyawa dua makhluk botak itu akan melayang. Itu tekadnya.

“Pengecut!” si botak menjerit sambil ketawa seperti pontianak. Dia tidak tahu muslihat Raqib menjauhkan perkelahian itu dari khalayak ramai. Otak mereka tidak menghadam tindak-tanduk musuh, hanya niat
mahu membunuh. Tidak licik, kosong seperti kepala mereka yang botak. Berkilat tidak bercorak.

Kedua botak itu semakin dekat dengan Raqib. Raqib sengaja memperlahankan geraknya. Dikelilingi pokok-pokok nan rimbun dan ruang lantai hutan yang luas, memberinya keyakinan. Pantas dia meluru, sayapnya sengaja
diluruskan agar jatuhannya lebih jitu. Tanpa mampu mengelak, salah satu makhluk botak mendapat habuannya. Raqib menyiku muka salah satu dari botak itu. Tersungkur makhluk itu dibuatnya lalu mencium tanah. Lehernya terkehel tetapi nyata ia bukan masalah besar. Dalam seimbas, bunyi tulang leher yang patah kedengaran sekali lagi lalu si botak itu kembali menyeringai.

Tanpa menunggu rakannya, botak yang satu lagi mencakar Raqib dengan kukunya yang panjang, berjaya dielak Raqib dengan mendaratkan dirinya. Memandangkan kestabilan graviti menyokong gerak tubuhnya, Raqib menyambar tangan makhluk botak itu, lalu melontar tubuh makhluk itu ke salah satu pokok besar berhampiran. Berdentuman bunyinya, tetapi tidak cukup untuk menumbangkan pohon itu. Sebelum sempat tubuhnya mencium tanah, dia lekas-lekas melonjakkan dirinya ke udara.

Sementara itu, makhluk yang disiku tadi kian menyinga. Tubuhnya mengapung tinggi dengan pantas dengan niat mahu menyerang dengan kelajuan.

Setelah dirasakan sasarannya tidak dapat mengelak, dia pun menjunamkan dirinya ke bawah. Raqib tersenyum. Musuh kali ini begitu mudah dibaca geraknya. Dungu tidak berbatas.

“Bodoh!” Si botak yang masih terapung terlihat perbuatan temannya. Mereka mempunyai pantang, andai mereka memijak tanah, kuasa sakti mereka akan berkurangan. Dia cuba menghalang. Rakannya yang mencium tanah mula
meronta-ronta. Kali kedua sudah menginjak tanah, kuasanya merosot banyak. Seksa benar kelihatannya.

Dengan kalimah Bismillah, Raqib melompat dan menyambar pula si botak yang masih berlegaran di udara. Dia mencekik si botak itu dan memusingkan badannya ke atas manakala belakang si botak menghadap ke bawah, selepas itu mereka pun menjunam ke tanah.

Dengan lafaz kalimah suci, Raqib terus mencekik makhluk botak itu yang turut meronta-ronta kesakitan. Tidaklah mereka mampu membantu antara satu sama lain. Bumi tidak akan menerima tubuh mereka. Ajal kian dekat.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/80112/BANGKIT

[SNEAK PEEK] INTERBIU

9789670954592-medium
INTERBIU Oleh Syahmi Hafizuddin

MASS HISTERIA

Abam tak expect pulak yang Muiz ni rupanya banyak pengalaman macam ni. Tak sia-sia abam tanya tadi. Dan yang bestnya beliau tak segan-silu mahupun lokek untuk berkongsi dengan seseorang yang ingin tahu macam abam. Dan semakin dia cerita, semakin excited abam dibuatnya.

Matahari semakin meninggi di luar. Abam pula menanti-nanti babak seterusnya di dalam kafe ni.

“Sekolah aku tu memang dah biasa kena benda-benda macam ni. Tapi yang masa kem tu, itulah yang paling teruk yang aku boleh ingat,” katanya.

Menurut Muiz, semasa kem tu, dia bertugas sebagai salah seorang anggota PBSM. Haritu dia demam, maka dia pun tidur di bawah khemah yang memang khas untuk budak-budak PBSM.

“Tiba-tiba ada member aku kejutkan. Masa tu dah malam sangat. Dalam pukul 2 pagi. Dia kata, ustaz suruh pergi berkumpul kat surau. Dan dia suruh hati-hati, ada banyak ular yang nak masuk keliling kem. Nasib baik memang diorang ada tabur belerang. Lepas tu, member aku terus blah macam tu je. Dahlah masa tu aku tak boleh jalan. Kaki rasa macam kebas…”

“Dah tu?”

“Terpaksalah aku mengengsot dari khemah ke surau. Macam askar yang berkawad tu kau boleh bayangkan tak?”

Abam tertawa. “Boleh, boleh. Kalau tak, macamana lagi, kan?”

“Tapi aku tak nampak pun ada ular. Nasib baiklah. Atau mungkin sebab gelap. Bila sampai kat surau boleh dengar suara orang azan. Ha, lepas tu baru ada orang yang tolong angkat aku masuk ke dalam. Bila ustaz baca selawat sapu kat kaki aku, baru boleh bergerak.” Muiz minum air sikit.

“Kes apa ni?”

“Ada yang kena rogol dengan jin.”

Abam tersentak.

“Satu kem tu, hampir semua budak perempuan kena histeria. Penuh surau tu dengan budak perempuan yang menjerit-jerit.”

“Tarik sorang-soranglah?” Abam tanya.

“Ha’ah, terpaksa tariklah.”

“Macamana boleh jadi macam tu sebenarnya?”

“Sebenarnya malam tu malam kebudayaan. Diorang kata tengah test-test
lagu, tetiba terpasang lagu Ulek Mayang. Dua line je pun…”

“Ooohh…”

“Mulalah satu kem huru-hara.”

Abam ada jugak dengar orang kata lagu Ulek Mayang ni ada sesuatu tapi tak sangka pulak boleh jadi teruk sampai macam tu.

“Lagu tu kan memang lagu pemujaan. Sebenarnya ada bait-bait yang dah dipotong daripada lagu asalnya,” jelas Muiz. “Lagi satu kuda kepang. Tu pun lebih kurang.”

Abam terangguk-angguk.

“Ada yang kata dia nampak Puteri Bongsu kat atas tangki air tengah tengokkan aje keadaan kat situ.”

“Kira jin-jin yang buat huru-hara tu budak-budak dialah?”

Muiz angguk sambil tersenyum.

“So lepas tu OK semua?” Abam tanya lagi.

“Ha’ah.”

“Terrer jugak ustaz-ustaz korang ea boleh
handle benda-alah macam tu?”

“Sebab memang dah biasa. Cuma malam tu yang paling teruklah aku rasa.”

Abam tarik nafas dalam-dalam. Lepas.

“Ada lagi satu insiden. Yang ni pun masa malam kebudayaan jugak. Tapi kem lain,” kata Muiz.

Ada lagi rupanya. Abam ingat dah habis!

“Ouh?” Abam sedia dan setia mendengar. I’m all ears.

“Toyol.”

Abam angkat kedua-dua belah kening. Owkayy. Hmm, toyol? Yang ni menarik, desis hati abam.

Abam tak reti sangat nak gambarkan macamana tapi perkara pertama yang Muiz ceritakan ialah berkaitan dengan tiang lampu.

Katanya, diorang tak nampak benda-alah tu tapi diorang tahu bila beliau lalu kat bawah tiang lampu, mentol akan berkelip-kelip lepas tu mati. Satu persatu tiang lampu bersebelahan satu sama lain jadi macam tu sampailah tiba di bawah sebiji lampu spotlight yang besar gedabak tu. And guess what? Lampu spotlight tu pun mati!

“Woahh…” Mata abam macam tak berkelip masa tu sebab cuba nak membayangkan. Proses mentransformasi audio kepada visual. Seram jugak. Toyol pun korang jangan memain woo!

“Lepas lampu spotlight tu mati, ada budak perempuan yang tengah berdiri kat bawah lampu tu… terus tumbang,” kata Muiz.

“Shite.” Badan abam terkebelakang sikit. Terkeluar pulak perkataan ‘shite’ yang menunjukkan suatu ekspresi seakan-akan terkejut dan teruja. Dia lebih kurang macam ‘shit’, cuma yang ini ada slang British sikit (rasanyalah). So maksudnya abam ni macam gentleman la kot. Apaapapun, bagi korang di luar sana, abam nasihatkan janganlah biasakan cakap perkataan macam ni. Tak elok. Abam yang sampaikan ni kang berdosa pulak. Korang yang mengamalkan pun kang dapat tempiasnya sekali. Lebih baik korang beristighfar. Lagi bagus. Astaghfirullahal’azim.

“Ada member aku yang sempat rakam insiden tu. Kalau kau tengok videonya, kau boleh nampak asap hijau masuk ke dalam badan budak perempuan tu sebelum dia tumbang,” sambung Muiz. “Bila kitorang share-share
video tu, transfer ke fon-fon lain tak nampak pun. Cuma fon yang sejenis dengan fon asal yang tangkap video tu je yang nampak asap hijau tu. Hahaha…”

Muiz ketawa macam nak takutkan abam. Tak payah. Tak lut pun sebab memang sejak awal-awal tadi abam dah takut dengar semua cerita dia. Sel-sel otak dah berhubung dan sistem imunisasi pun semakin mantap.

“Ada jugak budak perempuan yang nampak…”

“Nampak apa?”

“Nampak sorang budak kecik main lampu kat dalam tandas. Dia pun marahlah. Katanya, ‘Woi, kenapa buat main dengan lampu tu?!’ Lebih kurang macam tu lah.”

“Pastu?”

“Pastu budak tu lari.”

“Dia nampak budak tu macamana? Warna apa?”

“Kepala botak, bogel, warna hitam.”

Abam terangguk-angguk lagi.

“Malam tu kitorang pergi ke dewan makan untuk minum-malam. Supper. Jadi kitorang tinggalkanlah bilik…” sambung Muiz lagi.

Abam agak abam boleh tahu apa yang berlaku seterusnya. Bila diorang balik ke bilik, duit hilang sebab kena curi
dengan toyol.

Tapi rupanya abam silap—

“Bila kitorang balik ke bilik, ada sorang member aku tak bangun. Kitorang tengok ibu jari kaki dia dah biru.”

Okay, itupun boleh berlaku. Abam ada pernah baca komik masa kecik-kecik dulu. Dan abam rasa korang pun tahu. Biasanya makhluk halus yang bernama toyol ni dibela oleh orang dan kerjanya adalah mencuri duit orang lain. Upahnya senang je. Dia nak hisap darah melalui ibu jari kaki manusia semasa manusia tu tengah tidur. Jadi biasanya si master toyol ni akan bagi toyol tu hisap darah anak-anak atau isteri dia. Yelah, takkan nak bagi benda-alah tu hisap darah dia sendiri, kan?

“Lepas tu apa jadi?”

“Lepas tu, ustaz baca selawat tiga kali sapu kat ibu jari budak tu.”

“Budak tu sedar la?”

“Sedar.”

“Hmm, okey, okey. Nice story.” Abam tersenyum.

“Ada jugak yang aku sendiri experience,” sambung Muiz. “Kat rumah aku. Masa tu aku baru pindah Kelantan.”

Abam pasang telinga.

“Kat rumah tu pintu dapur dia ada penghadang zink. Tau kan kadang-kadang rumah kampung macam tu?”

Abam angguk.

“Bilik aku pulak kat bahagian bawah rumah tu. Pastu pintu dia kalau aku bukak terus nampak bahagian dapur yang tinggi sikit dari bilik aku. Pintu dapur tu pulak betul-betul menghadap pintu bilik aku,” jelas Muiz. “So ada satu malam tu, dalam pukul 1 pagi, aku terdengar bunyi macam benda bergerak-gerak dekat kepingan zink tu. Macam kalau kita tekan permukaan kepingan zink tu, dia akan melengkung-lengkung. Ha, macam tulah bunyinya.”

“Oh, hah.” Abam dapat bayangkan.

“Aku bukaklah pintu bilik. Tengok, takde apa-apa. Bila aku tutup balik pintu bilik, dengar balik bunyi tu. Bila bukak pintu balik, bunyi hilang. Lepas tu, takde dah.”

Abam tergelak. Seram wei!

“Tak habis lagiiii…”

“Tak habis lagi?”

“Ada lagi satu malam, time tu aku terdengar bunyi pintu peti sejuk pulak terbukak-tertutup. Aku bukak pintu bilik. Bunyi dah takde. Pintu peti sejuk pun tertutup rapat. Takde orang pun yang tengah ambik makanan ke apa. Kalau ada orang mestilah aku nampak kan…”

Abam setuju seratus peratus.

“So aku tutup balik pintu bilik. Bunyi pintu peti sejuk tu kedengaran balik. Bukak, tutup, bukak, tutup. Aku pun cepat-cepat bukak pintu bilik…”

“Hah?”

“Aku nampak pintu peti sejuk dah terbukak. Boleh nampak lampu dari dalam tu menyala…”

“Woah hoho!” Abam menggeleng-geleng.

“Memang taklah aku nak pergi tutup balik!” kata Muiz. “Bila aku bangun Subuh paginya, pintu peti sejuk tu dah tertutup balik.”

Abam mengaku, yang ni memang seram shit. Kalau yang kat kem tadi tu sekurang-kurangnya diorang alami beramai-ramai. Yang ni sorang-sorang, kat rumah pulak tu!

“Tak lama lepas tu, ada mak sedara aku yang tido kat rumah tu. Mak sedara aku ni Down Syndrome dan dia jenis yang boleh nampak benda-benda macam ni. Ada sekali tu dia masuk ke dapur, dia nampaklah…”

Abam menanti je apa Muiz nak cakap.

“Ada dua lembaga. Satu kecik sikit. Satu lagi besar, tengah dukung anak. Yang kecik sikit tu kat atas peti sejuk. Yang besar tu kat bawah meja tepi peti sejuk tu. Lepas tu memang aku pindah terus tido kat bilik atas ar!”

Abam tergelak.

“Mak aku kata, kalau rumah orang tak solat memang macam tu. Pastu rumah tu pun dah lama ditinggal. Rumah atuk aku,” jelas Muiz.

So, kalau korang taknak rumah ada penghuni tambahan, rajin-rajinlah tunaikan solat ye. InsyaAllah bila kita ingat Allah, Allah akan ingat dan lindungi kita dari segala perkara yang tidak diingini.

“Sekarang dah takde dah,” kata Muiz lagi.

Mungkin sebab keluarga Muiz dan Muiz pun sekali merupakan golongan yang rajin beramal dan tak tinggal solat. Pasal tu lah kot benda-benda alah tu dah tak mengganggu rumah serta hidup beliau.

Abam memang puas hati dengan interbiu abam sebentar tadi. Ingatkan dapat scoop sikit-sikit je, sekali banyak terus dia bagi. Nice!

Lama dah kitorang duduk kat meja tu. Makanan dah habis. Gelas dah kering. Bob dan Udi pun dah balik ke bilik. Abam tak pasti berapa lama dalam kiraan minit tapi sejam tu mungkin ada. Mungkin jugak lebih. But worth it la.
Rilekslah, bukan nak kejar apa-apa sangat pun. Cuma petang ni abam ada final exam. Nak study pulak dah takde mood. Lebih baik abam luangkan masa untuk projek abam yang bernilai berjuta-juta ringgit ni. Aaamiin.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79956/INTERBIU