[SNEAK PEEK] UNTUK SEKALI LAGI

UNTUK SEKALI LAGI Oleh Sara Kyoko

TOK tak peduli Hud. Ini peluang terakhir tok beri pada kamu. Kalau kamu ikut cakap tok dengan mummy kamu, nama kamu akan terus kekal dalam wasiat tok sebagai pewaris.” Engku Junaidah memaku pandangan kepada satu-satunya cucunya itu. Dia mahu pastikan Hud Daniel faham yang dia sudah tidak betah bermain kata-kata, biarlah keputusannya ini menjadi kata pemutus.

“Kalau kamu bantah cakap tok kali ini, kamu tak akan dapat walau sesen pun harta tok. Pandai-pandailah kamu dengan isteri pilihan kamu ni nak hidup sendiri. Harta ni tok akan sedekahkan pada rumah anak-anak yatim!” Sambung Engku Junaidah tegas.

Tersentak Hud Daniel mendengar patah-patah akhir ayat Engku Junaidah. Ini sudah jadi drama Melayu tipikal! Pandangan dialih ke wajah Datin Zara, mummynya untuk meraih sokongan. Datin Zara cuma mampu menekur lantai berlapis permaidani import dari luar negara. Kata-kata ibu mentuanya itu tidak mampu dilawan. Rasa hormatnya kepada wanita tua itu yang telah menjaga dan menyayanginya seperti anak sendiri selama ini menyebabkan dia hanya mampu akur. Tambahan pula, jauh di sudut hati, Datin Zara masih berharap agar Hud Daniel dapat memahami bahawa semua ini adalah untuk kebaikan dirinya juga.

Mummy?”

No, Hud. Kali ni mummy tak mampu nak tolong. Mummy dah banyak bantu Hud waktu Hud belakangkan kami berdua suatu waktu dulu, ingat kan lagi?”

“Tok dan mummy dah maafkan perbuatan Hud dulu. Kami dah beri peluang Hud buat keputusan sendiri. Malah, kami dah beri ruang untuk Hud membetulkan semua kesilapan yang lalu. Tapi sekarang, dah terbukti yang Hud tak mampu membetulkan segalanya. Tolonglah fahami niat baik tok dan mummy. Bagi kami peluang pula untuk tunjukkan jalan yang lebih baik untuk menjamin masa depan Hud. Kami berharap sangat Hud tunaikan pula hajat tok dan mummy.” Sambung Datin Zara lagi.

Come on la tok. Main ugut-ugut dengan harta pusaka ni is very old school. Hud dah besar, tok. Kenapa nak ungkit hal-hal lalu? Biarlah Hud tentukan masa depan Hud sendiri.” Hud Daniel mengurut tengkuknya yang terasa menegang. Mata dikalihkan ke sebelah kanannya. Wajah murung Saffiya Safwa yang sedari tadi diam membisu, direnung tajam. Cuba untuk mencari-cari apakah yang sedang berlegar-legar dalam fikiran wanita yang menjadi isterinya selama 10 tahun itu.

 

****

HEY, you! Balut elok-elok. It is a very special gift for someone.” Pesan wanita berkaca mata hitam Prada itu.

Pekerja kedai di hadapannya menganggukkan kepala faham. Selesai membalut, bungkusan diserahkan.

Bungkusan tersebut disimpan ke dalam beg tote Louis Vuitton yang agak besar. Senyuman yang terukir di bibir wanita itu kelihatan agak janggal dan mengerikan, seolah-olah membayangkan isi hatinya. Langkah kakinya teratur dan penuh gaya, persis model pentas raga.

Pintu kereta Nissan Skyline merah dibuka dan tanpa membuang masa lagi, kereta dipandu meluncur laju menuju destinasi. Sekali lagi senyuman janggal dan mengerikan itu terukir di bibir merah menyalanya.

“Masa untuk bertemu dengan seteru lama. Kita jumpa lagi, Rose Raihanah.” Saffiya Safwa tergelak kecil.

HUD!”

Hud Daniel tersentak. Sekali lagi skrin telefon bimbit diteliti. Suara macam kenal, tapi nombor telefon baru ke? Dia yakin, ini bukan nombor yang lama. Nombor telefon yang lama sudah selamat dipadamkan dari senarai buku telefon bimbit dan sekali gus dari hatinya lima tahun dulu.

Err… siapa?”

“Aku, Riz. Please, Hud. Jangan letak dulu!”

“Kenapa kau telefon aku? Apa kau dah lupa dengan amaran aku dulu?”

“Tak, Hud. Aku tak pernah lupa. Aku cuma nak beritahu kau, Rose Raihanah mungkin dalam bahaya!”

“Apa, maksud kau?” Hud Daniel sudah mula panik. Saat nama Rose Raihanah disebut mungkin dalam bahaya, langit seakan runtuh dan menghempap kepalanya.

“Orang aku beri maklumat, Saffiya Safwa dalam perjalanan menuju ke rumah Rose Raihanah.”

“Apa???”

Sepantas kilat Hud Daniel berlari keluar dari kedai serba guna tersebut dan menuju ke arah keretanya. Hampir saja dicampak telefon bimbitnya, kerana kecewa tidak dapat menghubungi Rose Raihanah. Haani Dahlia yang sedang bernyanyi-nyanyi gembira mengajuk lagu dari pemain DVD di dalam kereta, acuh tidak acuh melihat gaya papanya yang kelam-kabut seperti lipas kudung melolos masuk ke dalam perut kereta.

“Duduk baik-baik, Lia. Kita pulang!”

No… papa janji nak bawak tengok movie…” rengek Haani Dahlia.

Sorry, princess. Later. Kita kena pulang sekarang. Mama needs us.” Tali pinggang keledar Haani Dahlia dipakaikan segera. Dalam hati, Hud Daniel hanya mampu berdoa dan terus berdoa, semoga Rose Raihanah dalam keadaan baik-baik sahaja, dan… semoga Saffiya Safwa tidak buat kerja gila.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97482/Untuk-Sekali-Lagi