[SNEAK PEEK] SETIAKU MILIKKU

Setiaku Milikku Oleh Luvis Eija

 

ADAM terjaga daripada tidur apabila terasa tangannya sedikit kebas seolah-olah  ditindih oleh sesuatu yang berat. Adam menoleh ke arah lengannya yang terasa kebas. Sara kelihatan masih begitu lena dibuai mimpi dengan berbantalkan lengannya.

Adam diam. Mata merenung terus ke arah siling putih. Dia cuba mengingat kembali apa yang telah berlaku antara dia dan Sara pada malam tadi. Adam mengeluh perlahan apabila otaknya dengan jelas dapat mengingati apa yang telah berlaku antara mereka.

Memang dia tak sangka. Akhirnya tubuh Sara disentuhnya jua. Semua itu terjadi dengan begitu pantas dan di luar kawalan dirinya. Dia telah dikuasai perasaan cemburu dan rasa tercabar. Maruahnya rasa tercalar apabila melihat ada lelaki lain dengan senang-lenang telah memeluk isterinya sedangkan dia tidak pernah menyentuh tubuh isterinya itu dengan mesra.

Tambahan pula, lelaki itu bukanlah orang asing baginya. Dek perasaan marah itulah akhirnya tubuh Sara disentuh.

Dia mula resah!

Apa yang telah dia lalui bersama Sara pada malam tadi menerbitkan satu rasa yang begitu sukar untuk ditafsirkan dan dimengertikan. Suatu perasaan halus yang sangat mendamaikan dan membahagiakan.

Argh! Kenapa dengan aku ni? Tak boleh, Adam! Kau tak cintakan dia. Apa yang ada dalam hati kau cuma perasaan kasihan! Cinta kau hanya kepada Amira. Dulu, kini dan selamanya. Adam terus berperang dengan kata hatinya.

Jam berbentuk hati yang berada di meja lampu tidur Sara dikerling. Sudah pukul 5.45 pagi! Dah nak masuk waktu subuh.

Tidak lama kemudian, azan subuh sayup-sayup kedengaran. Adam masih merenung Sara yang tampak begitu lena.

Kau memang cantik! desis Adam, memuji Sara tanpa sedar. Perlahan-lahan dia mengalihkan kepala Sara dari lengannya supaya Sara tidak terjaga daripada tidur. Kemudian dia turun dari katil dengan berhati-hati lalu terus beredar ke biliknya untuk membersihkan diri dan bersolat subuh.

SARA menggeliat malas. Dia menoleh ke sebelah. Kosong! Adam tiada di sebelahnya. Mungkin Adam telah kembali semula ke biliknya. Dan mungkin juga Adam sudah bersiap-siap untuk bersolat subuh. Satu hal yang amat menyenangkan Sara tentang Adam adalah sikapnya yang tidak pernah lalai dalam menunaikan kewajipannya kepada Si Pencipta.

Sara masih termenung lama di atas katil. Peristiwa yang berlaku pada malam tadi tiba-tiba datang menari di ruang ingatannya satu per satu. Muka diraup berkali-kali. Tiba-tiba kirannya rasa berserabut.

“Astaghfirullahaladzim…” Sara beristigfar panjang apabila menyedari dirinya sudah jauh mengelamun dan sudah agak terlewat untuk menunaikan solat subuh. Dia bergegas turun dari katil kemudian terus ke bilik air untuk membersihkan diri serta bersolat subuh. Panjang sekali doa yang dipanjatkan oleh Sara.

Selesai bersolat subuh, Sara terus ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi. Dia tahu hari ini Adam perlu menghadiri suatu mesyuarat penting pada awal pagi. Dia tidak mahu Adam keluar rumah dengan perut kosong.

NASI goreng kampung sudah siap terhidang di atas meja makan. Sara menanti Adam dengan penuh sabar. Dalam diam, terselit juga debaran di dalam dadanya. Mengingatkan kembali apa yang telah mereka lewati pada malam tadi, Sara tiba-tiba berasa tersangat malu untuk berdepan dengan Adam.

Tidak lama kemudian, Adam sudah berada di meja makan siap berpakaian kemas untuk ke pejabat. Sara menyenduk nasi goreng kampung ke atas pinggan lalu menghulurkannya kepada Adam. Adam menyambut lemah. Wajahnya nampak serius tanpa secalit senyuman. Memang jauh berbeza sikapnya pada malam tadi.

Hati Sara mula berasa tidak enak. Wajah Adam tidak dipandang. Dia tidak berani langsung untuk memandang wajah itu lama-lama.

Lima minit berlalu, nasi goreng kampung di atas pinggan Adam masih belum terusik. Mata Adam hanya terarah tepat kepada Sara. Mukanya masih sama. Serius tanpa senyuman. Saat anak mata mereka bertemu, laju saja Sara berpaling ke arah lain. Kecut betul perutnya melihat jelingan tajam Adam yang seakan-akan mahu menelannya hidup-hidup. Sara sudah mati akal.

“Ehemmm!”

Sara tersentak mendengar Adam berdehem dengan agak kuat secara tiba-tiba. Kalau jantungnya tak melekat kuat, mahunya tertanggal saat itu juga.

“Aku nak cakap sikit!” Suara Adam kedengaran tegang. Dia berhenti seketika seolah-olah mencari ruang untuk menyusun kata-kata.

“Aku harap apa yang berlaku malam tadi kau tidak akan simpan dalam hati. Apa yang berlaku malam tadi tu bukan kehendak aku. Aku cuma bergurau!” Wajah Adam tegang.

Sara terpanar. Tidak disangka-sangka penyataan itu yang akan keluar dari mulut Adam. Hati Sara mula remuk. Sampai hati Adam kata apa yang telah mereka kongsikan pada malam tadi adalah gurauan semata-mata. Dia rasa betul-betul terhina mendengar pengakuan yang keluar dari mulut Adam sebentar tadi.

Rasa bodoh yang teramat sangat!

“Aaa… apa yang awak cuba sampaikan ni?” Ada getar dalam suara Sara yang sudah tidak mampu disembunyikan lagi. Mata mula berkaca-kaca. Air mata cuma tunggu masanya saja untuk gugur.

“Aku rasa sudah cukup jelas apa yang aku katakan tadi. So, kau anggap saja apa yang dah berlaku malam tadi sekadar untuk berseronok. Kau dan aku, kita sama-sama berseronok. Dan aku akan pastikan perkara itu tidak akan berulang lagi. Aku tak cintakan kau! Dalam hati aku cuma ada Amira. Aku harap kau akan ingat sampai bila-bila. Pernikahan kita ini cuma atas dasar kasihan.” Adam terus mencapai beg pejabatnya kemudian berlalu pergi tanpa menjamah sedikit pun sarapan yang telah disediakan oleh Sara.

Sementara Sara terus tersandar lesu di kerusi makan bersama tangis yang sudah tidak mampu dibendung lagi. Rasa terhina sangat dengan kata-kata suaminya sebentar tadi. Air mata terus mengalir laju bagaikan sudah tiada bentengnya lagi. Sakit hati! Malu! Terhina! Itulah yang dia rasakan sekarang ini.

“Kau bodoh, Sara! Bodoh!!!” teriak Sara sekuat hatinya.

ADAM termenung di meja ruangan pejabatnya. Dia langsung tidak dapat memberi tumpuan semasa mesyuarat berlangsung sebentar tadi. Ingatannya hanya berpusat kepada Sara. Teringat kembali segala kata-katanya terhadap Sara. Terbayang kembali di ruang matanya wajah sayu Sara.

Dia tersepit! Keliru dengan hati dan perasaan sendiri. Adam mengakui apa yang telah dilalui bersama Sara pada malam tadi amat membahagiakan dirinya. Namun, egonya sebagai seorang lelaki tidak mahu mengakui semua itu. Bagi Adam, dia ialah seorang lelaki yang setia. Dia cuma cintakan Amira! Tidak kepada perempuan lain termasuk Sara.

“Arghhh!!! Maafkan aku, Sara!” Muka diraup berkali-kali. Sesaat tali leher yang menjerut kemas di lehernya dilonggarkan. Tubuh disandar lesu pada kerusi dengan mata yang terpejam rapat.

HAMPIR seminggu semenjak peristiwa itu berlaku, Adam tidak menunjukkan mukanya di rumah. Hati Sara begitu resah. Dia berasa tidak keruan. Entah kenapa dia berperasaan begitu. Rindukah dia kepada lelaki itu? Ataupun dia sudah mula menyayangi lelaki itu? Argh! Lelaki itu tidak pernah mahu menghargainya. Tetapi entah kenapa dia terlalu ingin menatap wajah Adam walaupun wajah itu tidak pernah mahu mengukirkan senyuman untuknya. Dengan menatap wajah kacak Adam walaupun tanpa segaris senyuman, sudah cukup memadai bagi Sara.

Sampul surat berwarna coklat cair yang berada di atas meja sofa direnung lama oleh Sara. Sudah hampir satu minggu juga surat itu sampai ke tangannya. Tetapi sampai ke saat ini dia masih belum berkesempatan untuk memberitahu Adam tentang perkara itu. Surat tawaran daripada UMP itu dipandang lemah oleh Sara. Mengikut apa yang terkandung di dalam surat tersebut, Sara diminta untuk melaporkan diri pada esok hari.

Sara buntu! Di mana harus dia mencari Adam? Ingin menelefonnya, Sara memang tidak pernah menyimpan nombor telefon Adam. Akhirnya setelah puas berfikir, dia mencapai sehelai kertas dan sebatang pen. Lalu tangan Sara ligat mencatat sesuatu di atas kertas. Sebuah nota pendek ditinggalkan untuk Adam.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278598/Setiaku-Milikku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *