[SNEAK PEEK] SECRET LOVE

Secret Love Oleh Shiroe Sherry

Izzat tersenyum. Memang tak boleh tahan. Ya. Dia tahu Delisa marahkan dia tapi dalam versi ‘marah-marah sayang’ mungkin? Kelakuan Delisa sekarang membuktikan segalanya. Comel!

“Garang betul dengan abang sekarang. Tapi tak apa. Abang suka kalau Lisa marah-marah abang daripada Lisa senyap macam sebelum ni.”

“Lisa bukan berperangai seperti budak-budak macam orang tu.” Delisa sindir Izzat.

“Orang mana?” Izzat buat-buat tidak faham. Delisa cakap dia macam budak-budak? Sabar ajelah Izzat.

“Adalah orang tu.” Delisa tahu Izzat sedar siapa yang dia maksudkan.

“Orang yang Lisa sayang gila-gila tu?” usik Izzat.

Delisa ketap bibir. Perangai budak-budak Izzat semakin menjadi-jadi.

“Malas layan abang. Abang minumlah seorang diri kat dapur ni.” Delisa nekad. Dia mara ke arah Izzat.

“Lisa, nanti dulu, abang tak habis cakap lagi.” Tidak sempat Izzat menghalang, Delisa sudah berjalan melepasi dia dan semakin hampir ke pintu dapur.

“Tapi Lisa dah habis cakap dengan abang,” ujar Delisa selamba. Disebabkan perasaan tidak sabar mahu melenyapkan diri dari dapur, Delisa tidak perasan ada sedikit air tertumpah di atas lantai menjadikan lantai itu licin. Elok saja kakinya terpijak air itu, tubuhnya terus melayang.

“Degil lagi dengan abang.” Izzat membebel sambil bergegas mendapatkan Delisa. Lengan Delisa ditarik untuk membantu Delisa berdiri. Delisa cuba memprotes sebelum tubuhnya sekali lagi tidak dapat diimbang dengan baik kerana kakinya mendarat di atas tempat yang sama.

Tanpa sedar tangannya yang cuba memprotes tadi mula mencari bahu Izzat dan tangan Izzat yang cuba menolong pantas saja melekat ke pinggang Delisa. Buat sesaat, mereka sama-sama terdiam. Jantung masing-masing seakan mahu terkeluar disebabkan berdegup terlalu kuat.

“Ehem…”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/344450