[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR

SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR Oleh Julia Basri

ARISH mendengus. Nasib baiklah kat hospital. Kalau tidak, ada juga yang dah kena luku petang-petang macam ni. Geramnya bertali-tali pada Mel. Macam tak ada apa-apa perasaan. Siap boleh mengunyah keropok Mister Potato dengan jayanya. Muka pula selamba habis.
“Terima kasihlah nak sebab tolong hantarkan anak mak cik ke sini,” ujar Mak Cik Sara dengan nada lemah. Namun, bibirnya masih terukir senyuman.
“Sama-sama, mak cik. Memang tanggungjawab saya. Mel ni kan staf saya. Demi dia, tekan minyak sampai 180 kilometer sejam pun takde hallah! Janji kita orang sampai kat sini secepat mungkin!” sindir Arish. Mata dah kerling tajam pada Mel.
Makin laju pula Mel mengunyah. Sekeping demi sekeping kerepok dimasukkan ke dalam mulut. Siap pamer muka tak bersalah lagi. Geram Arish kian menjadi-jadi.
Buntang biji mata Mak Cik Sara. “Hah? Lajunya kamu bawa kereta. Jangan begitu, nak. Bahaya bawa laju-laju macam tu.”
Selamba Mel mencelah. “Tuan Arish ni memang macam ni, mak. Dia memang selalu bawak kereta laju-laju macam tu. Bukan apa, kalaulah terserempak dengan perompak, senanglah dia nak buat adegan kejar-mengejar nanti. Tulah hari-hari dia berlatih bawak laju-laju macam tu. Maklumlah nak kekalkan title selaku inspektor terhebat kat Malaysia ni.”
“Oh, macam tu rupanya. Bagus betul anak ni. Memang boleh menang anugerah polis contoh. Cekap, tangkas, suka tolong orang pula tu. Untunglah sesiapa dapat menantu macam anak ni,” puji Mak Cik Sara.
Arish dah senyum kambing. “Mak ciklah bakal jadi orang yang beruntung tu.”
Dahi Mak Cik Sara dah terlakar kedut seribu. “Apa maksud anak ni? Mak cik tak fahamlah!”
“Sebenarnya saya dan anak mak cik akan mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Saya ke sini sebab nak minta restu daripada mak ciklah.”
Mel terlopong. Lebar. Bukan saja lalat, silap-silap langau dan unggas pun boleh terbabas masuk ke dalam mulutnya.
“Betul ke ni, nak? Anak bukan main-main, kan? Mel, kenapa sebelum ni Mel tak pernah cakap dengan mak pasal ni?”
Merah padam muka Mel. “Mak! Tuan Arish bergurau ajelah. Mak janganlah ambil serius kata-kata dia tu.”
“Bila masa pula saya cakap saya bergurau ni? Saya serius, Mel. Sekarang ni mak cik jadi saksi saya. Melina binti Kamil, sudikah awak jadi isteri saya?”
Mel terpana. Rasa macam nak pitam pun ada. “Saya nak cakap dengan tuan sekejap. Sekarang juga! Saya tunggu kat luar.”
Pantas Mel melangkah keluar dari bilik tersebut. Kakinya melangkah laju ke arah bilik menunggu. Arish mengekorinya dari belakang. Sesampainya di sana, Mel berhenti mendadak. Terus dia berpaling. Mengejut. Tanpa sebarang amaran. Hampir-hampir sahaja tubuhnya berlaga dengan tubuh sasa Arish.
“Apa masalah tuan sebenarnya, hah? Kalau setakat tuan nak bergurau-senda dengan saya, saya boleh terima lagi. Kenapa tuan nak babitkan mak saya pula dalam hal ni?”
Arish merapati Mel. Sangat rapat. Tidak pernah serapat ini sebelum ini.
Kening lebat tersisir rapi. Sorotan mata yang tajam dan terperosok ke dalam. Hidung mancung bak seludang. Ya ALLAH, kacaknya! Berderau darah Mel. Barulah kini dia mengerti mengapa Rika, Suzanne dan Qisya tergila-gilakan mamat cengcong ni!
Mel berpaling. Namun, tangkas kedua-dua belah tangan Arish menangkap kedua-dua bahu Mel. Kuat. Sehinggakan sepicing pun Mel tidak mampu berkalih.
“Saya ikhlas, Mel. Awaklah satu-satunya perempuan yang paling rapat dengan saya. Faham saya luar dalam. Sebab awak PA saya. Jadi saya nak upgrade status diri awak. Sanggup tak awak jadi kawan baik, teman gaduh, buah hati pengarang jantung, tunang, isteri dan ibu kepada bakal anak-anak kita?”
Jantung Mel bagaikan berhenti berdegup. “Ini bukan sebahagian dari rancangan Bang Bang Boom, kan?”
“Ada ke awak nampak gorila hitam berlegar-legar kat sini?”
Mel menggeleng.
“Tak ada, kan. Maknanya ini betul-betul kejadian, bukannya cubaan.”
Kali ini Mel betul-betul pitam! Arish kaget. Namun, dia sempat menyambar tubuh Mel sebelum ia jatuh menyembah ke bumi. Dibaringkannya tubuh kecil molek itu ke atas bangku sebelum dia bergegas keluar. Dia harus mencari doktor dengan kadar segera kerana dia tidak mahu apa-apa yang buruk menimpa bakal isterinya!

MASRI dan Daud melangkah ke kaunter pertanyaan dengan wajah bingung. Takkanlah baru beberapa jam, semuanya dah lesap. Hilang tanpa dapat dikesan. Memang pelik!
“Cik misi yang cantik manis. Den nak tumpang tanyo. Mano poienyo posakit kek dalam bilik ICU pagi tadi?” soal Masri.
“Ada ramai pesakit yang ditempatkan dalam bilik tu, pak cik. Siapa nama pesakit tu?”
Masri dah pamer muncung cemberut. “Den ni mudo laie. Ado ko patut dipanggilnyo den ni pak cik? Panggilah abang ko. Sodap sikit tolingo den ni dongar hah!”
Daud mencebik. Lengan Masri ditampar kuat. “Ekau jangan nak mengado-ngado haih! Jangan nak jual minyak pulak kek sini. Kito ado urusan ponting ni.”
“Yolah! Yolah! Den main-main ajo. Cik misi, kami pun sobonar aie tak tahu namo posakit. Cumo kalau tak silap namo anak dio…”
Ayat Masri mati tatkala kelibat Arish bersama-sama dengan dua orang jururawat sedang berlari-lari anak menerpa di hadapan matanya. “Apo kono pulak si Arish tu borlari-lari camtu? Ado acaro larian ko dalam hospital ni?”
“Ado apo-apo dah berlaku ko? Jomlah kito kojar dio!” gesa Daud seraya menghayun langkahnya. Masri juga tidak ketinggalan. Mereka membontoti Arish hingga ke bilik ruangan menunggu. Kelibat Mel yang sudah terjelepuk di atas bangku menyentak jiwa mereka. Terus sahaja mereka meluru ke arah Arish.
“Apo yang ekau dah buat kek anak daro orang ni, hah? Kalau dah suko sangat, masuklah mominang. Apo susahnyo?” tempik Masri. Kuat. Bergema ke segenap ruang.
Arish terpaku. Terperanjat, terkesima menjalar di kalbu. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba kena herdik. Apa kes? “Tenang, bang. Tenang. Saya tak buat apa-apa pun kat Mel. Saya cuma lamar dia aje tadi. Pastu boleh pula dia pengsan.”
Masri dan Daud saling berpandangan. Bibir masing-masing dah tersenyum lebar.
“Botul ko ni? Alhamdullilah… Suko hati den ALLAH ajo yang tahu. Tapi, ekau ni gelojoh sangat! Nak lamar anak daro orang, mano boleh main terjah ajo. Kena ikut adat rosam. Budayo orang kito.” Sempat lagi Masri membebel. Nanar seketika Arish mendengarnya.
“Encik, isteri encik ni tak ada apa-apa. Cuma mungkin dia terlalu penat agaknya. Tu yang sampai dia pengsan tu. Saya dah bagi suntikan. Kejap lagi sedarlah dia,” ujar jururawat itu sambil tersenyum.
Masri dan Daud dah menyeringai macam kerang busuk.
Merah padam muka Arish. “Err… dia bukan isteri sayalah.”
“Samo ajolah tu. Kan tadi ekau cakap ekau nak kahwin dengan dio,” sampuk Masri.
“Maaflah encik, saya tak tahu. Takpelah kalau macam tu, saya minta diri dulu.”
Arish sekadar mengangguk. Kedua-dua jururawat itu terus berlalu ke muka pintu dan menghilang.
“Eh, Mel torimo ko tidak lamaran ekau tadi?” tebak Daud pula.
Arish mengeluh. “Entah. Saya pun tak tahu. Belum sempat apa-apa lagi, dia dah pengsan dulu.”
Masri dah garu kepala. “Iyo tak iyo jugak. Apasallah ekau ni lombab sangat? Kalau den, sokojap ajo den dah koba kek dio.”
Suara Masri yang kuat terus sahaja menjunam tepat ke gegendang telinga Mel. Matanya mula terbuka sedikit demi sedikit.
“Eh, Mel dah sodarlah!” teriak Daud.
“Hah, den tahu macam mano kito nak tahu isi hati dio. Tahulah den nak buek apo. Ekau tengok ajo. Mel, Arish dah hilang! Ponyangak hari tu dah culik dio!”
Mel bingkas bangun. “Hah! Betul ke? Jomlah, kita cari dia sekarang!”
Masri dan Daud dah ketawa mengekek-ngekek. Mel hairan. Dah kenapa dengan mereka berdua ni? Kemudian, baru dia perasan kelibat Arish yang berdiri betul-betul bersebelahan dengan Daud. Saat wajah Arish yang sedang menyengih lebar menerpa ke matanya, barulah dia sedar yang Masri sekadar mempermain-mainkannya. Tebal pula muka dibuatnya. Lebih tebal dari dinding hospital rasanya!
Arish dah kerling nakal. Terjongket-jongket keningnya. “Sayang juga awak kat saya, kan?”
Mel diserbu malu tak terperi. Dalam keadaan terhuyung-hayang, dia menyeret tubuhnya. Dengan lemah, kakinya melangkah ke bilik emaknya semula. Hatinya sakit. Jiwanya perit. Arish betul-betul melampau! Sudahlah tadi dia ‘bermain’ soal kahwin di hadapan Mak Cik Sara, kini Masri dan Daud pun boleh terbabit sekali. Geramnya!
Sebaik sahaja pintu bilik Mak Cik Sara terkuak luas, kelibat sesusuk tubuh lampai segera mampir ke pandangan. Mel tersentak. Apa yang dia buat kat sini?
“There you are! Lama dah I tunggu. Hei, you sorang aje ke? Mana buah hati I?”
Mel dah kerut dahi. “Buah hati? Oh, hati ya? Mestilah hati Cik Qisya ada dalam badan Cik Qisya sendiri. Buat apa tanya kat saya pulak?”
Qisya tepuk dahi. “Hai, kenapalah you ni bendul sangat, kan? Macam manalah si Arish tu boleh tahan kerja dengan perempuan yang bendul tahap cipan macam you ni. Maksud I, mana pergi Tuan Arish Aqlan you tu? Itu pun susah nak faham ke?”
“Apahal cari saya sampai ke sini ni?” soal Arish yang muncul tiba-tiba.
“Mestilah ada hal penting. Kalau tidak, takkanlah I cari you sampai ke sini,” balas Qisya dengan nada suara terlebih manja.
Naik meluat pula Masri dan Daud melihatnya.
“Siapo pulak porompuan ni, Arish? Torgodik-godik ajo den tengok. Dah macam ulat beluncas ajo ruponyo,” selamba Masri menukas.
Berubah air muka Qisya. “You diamlah, orang tua! Sibuk aje nak menyampuk hal orang. Jagalah tepi kain sendiri!”
Tergeleng-geleng kepala Daud. “Rupo ajo cantik, tapi bahaso tak berapo nak cantik. Sayang botul!”
“Memang I cantik! So what? Tak puas hati?” balas Qisya bongkak.
Kebiadapan Qisya kian menghakis kesabaran di hati Arish. “Bukan ini caranya bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita, Qisya. Rasanya saya takde apa-apa urusan dengan awak. Jadi rasanya lebih baik awak pergi dari sini dengan cara baik. Ke awak nak saya guna cara kasar?”
Qisya merengus. Geram. Bencinya kian membukit pada Arish. Kalaulah bukan ayahnya yang menyuruhnya ke mari, tidak ingin dia bersemuka dengan lelaki ini. Buat menyakitkan hati aje.
“Err… maaflah, Arish. I bukannya sengaja nak berkasar dengan dia orang. Tapi, dia orang yang sakitkan hati I dulu. Oklah semua, I minta maaf. I takde maksud nak sakitkan hati you all.” Kali ini nada suaranya dilenturkan selembut mungkin. Bibir dah ukir senyum kelat.
Mel nak tergelak melihat lakonan sendu Qisya. Plastik sungguh!
“Awak dah minta maaf, kan? So sekarang dipersilakan…”
Pantas Qisya memangkas. “Nantilah dulu, Arish. You dengarlah apa yang I nak cakap dulu. Sebenarnya papa yang suruh I ke mari. Dia suruh I datang jemput you. Ada hal penting katanya. Benda ni berkaitan dengan kerjaya you.”
Umpan yang dihulur tampak mengena. Qisya senyum sumbing tatkala melihat bebola mata Arish yang bersinar-sinar.
“Betul ke ni, Qisya? Tuan Kommisioner nak jumpa saya?”
“Betullah! Takkanlah I nak tipu buah hati I sendiri. Jomlah ikut I sekarang. Mesti you dah tak sabar nak dengar berita baik ni,” tokok Qisya lagi.
“Jomlah.”
Arish dan Qisya melangkah ke muka pintu. Sempat lagi Qisya mengerling tajam ke arah Mel. Sinis.
Entah mengapa robek hati Mel tatkala Arish melangkah pergi. Seakan-akan jiwanya turut dibawa pergi. Terpisah jauh dari hati.
“Konapo ekau biar ajo si Arish porgi dongan porompuan godik tu?” soal Masri geram.
Resah di hati sedaya-upaya cuba disorok Mel. “Saya takde hak nak halang dia. Biarlah dia pergi.”
“Siapo kato? Dio tu kan bakal suami ekau!” jerkah Masri.
Mel terjeda.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97180/sayang-awak-tuan-inspektor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *