[SNEAK PEEK] PERMAINAN

9789670954240-medium
EBUKU PERMAINAN Oleh Aiman Hazziq

Pukul 1.49 petang. Adrian memarkir motosikalnya seperti biasa di belakang Honda Civic rakannya. Kulit mukanya kelihatan kemerah-merahan kerana cuaca agak panas. Selepas menghantar bungkusan di Batu Caves sebentar tadi, dia perlu pergi ke Bukit Beruntung. Baik pergi Bukit Beruntung dulu lepas hantar kat Rawang tadi. Membazir minyak, tenaga dan masa je kena patah balik. Adrian melangkah masuk ke dalam pejabat. Bosnya sedang bercakap dengan Suzanne. Entah apa yang dibicarakan. Adrian duduk di sofa kulit di ruang hadapan pejabat. Dia mengambil suratkhabar di atas meja kopi di sebelah sofa. “Adrian, masuk bilik saya,” bos Adrian memanggil dengan pelat Tamilnya selepas dia habis bercakap dengan Suzanne. Belum sempat dia membaca tajuk utama pun. Adrian menyumpah dalam hati. Jarang bosnya memanggil masuk ke dalam bilik. Kali pertama dan terakhir dia masuk ke bilik majikannya adalah sewaktu dia diambil bekerja. “Sini, duduk,” bosnya memanggil. Bilik itu tidaklah besar mana. Mungkin hanya sebesar master bedroom Bob. Bilik itu tampak kemas dan simple. Dindingnya dicat biru muda dan dilengkapi sofa kulit, dua rak buku, meja kerja, PC dan meja kopi. “Saya mahu minta tolong sama kamu, boleh ka?”

“Apa dia, bos?”

Dia berdehem kecil. Suaranya diperlahankan. “Ini, hantar kat rumah perempuan saya boleh? Saya kasi kamu alamat dia.” Dia menghulurkan bungkusan yang dibalut dengan kertas minyak. Kemudian, dia menulis alamat itu di atas sehelai kertas kosong.

“Boleh bos, no problem,” balas Adrian.

“Nah, ambil ini. Buat belanja,” kata bos Adrian lalu menghulurkan dua not RM50 sambil tersengih sehingga  menampakkan gusi. Bukan senang untuk Adrian memperoleh duit sebanyak itu. “Terima kasih bos. Saya
pergi dulu.” Sebaik sahaja Adrian keluar dari bilik itu, dia mencium not RM50 itu. Senyumannya melebar. Tanpa membuang masa, dia ke motosikalnya. Murah betul rezekinya hari ini. Adrian melihat alamat perempuan
simpanan bosnya. Seksyen 7, Shah Alam. Agak jauh. Patutla bosnya memberikan wang tambahan. Adrian menghidupkan enjin motosikalnya.

Motosikal Adrian diparkir di hadapan rumah perempuan simpanan bosnya. Rumah teres itu kelihatan agak lama dan tidak dijaga dengan baik. Patutnya bagi rumah yang cantik sikit kat perempuan simpanan tu. Dia memberikan salam walaupun tidak pasti perempuan simpanan bosnya itu Islam atau bukan. Hati Adrian menyatakan orang Melayu. Salam Adrian tidak berjawab. Pagar rumah itu tidak berkunci. Oleh kerana cuaca agak terik, Adrian membuka pagar itu dan menuju ke pintu rumah. Lega sedikit bila dapat berteduh. Pintu rumah diketuk. Pintu itu dikuak sedikit. Kelihatan perempuan Cina dalam lingkungan 20-an. Agaknya memang taste bos Adrian ni perempuan Cina kot.

“Hai. Encik Prahna hantar something kat you,” Adrian memulakan bicara. Pintu itu dibuka luas. Adrian memerhati perempuan Cina di hadapannya. Perempuan itu masih memakai baju tidur. Baru bangun tidur mungkin. Rambutnya lurus hanya separas bahu. Bentuk badannya agak cantik, tetapi bagi Adrian, Suzanne mempunyai tubuh yang paling cantik. “Thanks. You ni siapa?” tanya perempuan Cina itu setelah mengambil bungkusan itu.

“I pekerja Encik Prahna. Adrian,” jawab Adrian ringkas. “Oh. Okay. You ada nak apa-apa lagi ke?” “Err, tak ada. Saya minta diri dulu,” balas Adrian lalu terus beredar. Dia tidak mahu berlama di situ. Takut ada benda yang tidak diingini terjadi. Dia tidak mahu menimbulkan konflik dengan bosnya. Tanpa membuang masa, enjin motor dihidupkan dan dia bergerak pulang ke pejabatnya. Sebelum sampai, dia singgah sebentar di Warung Mak Limah untuk makan tengahari. Hari-hari dia ke situ kerana makanannya sedap dan itu warung Mak Long kepada Joe.

 ****

Pintu pejabat dibuka. Adrian melangkah masuk ke dalam pejabat itu. Lega rasanya apabila angin sejuk dari pendingin hawa menyapa tubuhnya. Dia merebahkan diri di sofa kulit. Ingin melepaskan penat sebentar. Matanya tertancap pada wajah Suzanne. Dia bangun menuju ke meja receptionist. Apa yang ingin dibuatnya, dia sendiri tidak
tahu. Suzanne sedang melayan sebuah panggilan telefon. Mungkin orang nak buat temu janji dengan Encik Prahna. Beberapa saat kemudian, gagang telefon diletakkan kembali di tempat asalnya. “Su, free tak malam ni?” tanya Adrian secara tiba-tiba sebaik sahaja Suzanne meletakkan gagang telefon itu.

“Kenapa?” Soalan dibalas dengan soalan.

“Jom keluar, tengok wayang,” jawab Adrian.

Sebenarnya, dia sudah banyak kali mengajak Suzanne keluar sebelum ini. Tapi Suzanne sering kali memberikan alasan bahawa dia mempunyai kerja pada sebelah malam. Adrian tahu yang itu merupakan alasan sahaja. Mungkin Suzanne tidak mahu teman lelakinya cemburu.

“Malam ni Su free. Bolehla kalau macam tu,” jawab Suzanne.

Dia merasakan yang dia patut memberi peluang kepada Adrian. Lagipun dia baru sahaja putus dengan teman lelakinya pada minggu lepas. Dia ingin melupakan lelaki itu. Alasan lelaki itu meninggalkannya, lelaki itu merasakan yang dia tidak layak untuk Suzanne. Alasan tipikal seorang lelaki apabila bosan dengan teman wanitanya. Dasar lelaki buaya daratan!

“Okay. Malam ni pukul 8 Ad jemput Su kat rumah.”

“Okay. I’ll wait,” balas Suzanne lalu terus menyambung tugasannya.

Adrian tersengih lebar. Berjaya juga dia akhirnya mengajak Suzanne keluar. Dia tidak sabar tunggu malam ini. Ini
bukanlah kali pertama dia keluar bersama perempuan. Tapi sebelum ini, dia tidak pernah dilamun cinta melebihi cinta monyet. Masa dirasakan begitu lambat. Dia nak balik, nak bersiap untuk temu janjinya. Dia sibuk memikirkan hendak pakai baju apa, seluar apa, kasut apa dan pelbagai lagi. Dia melihat seluar yang dipakainya. Memang sudah pudar. Pakaian dalam almari buruknya pun bukan cantik sangat. Banyak baju pasar malam sahaja. Mungkin dia akan pinjam baju Bob. Bob banyak baju yang lawa dan berjenama. Dia masih ingat pesan atuknya,
“First impression seseorang terhadap kita sangat penting.”

Kerana terlalu banyak berfikir benda yang remeh, Adrian tidak sedar jam sudah menunjukkan pukul 5.17 petang. Dia menyedarinya apabila ditegur oleh Suzanne. Biasanya dia merupakan orang yang pertama pulang. Dengan pipi yang kemerah-merahan kerana malu ditegur Suzanne, Adrian punch card dan terus keluar dari pejabat. Dia
ingin cepat sampai ke rumah. Rumah masih kosong apabila dia sampai. Rakan-rakannya biasanya sampai rumah
pada pukul 6 petang. Tempat kerja mereka lebih jauh. Masuk sahaja ke dalam rumah, Adrian menanggalkan baju korporatnya lalu dicampak ke belakang pintu biliknya. Itu tempat dia letak baju kotor. Slack pula digantung kerana dia hendak pakai lagi pada esok hari. Kain pelikat diambil lalu disarungkan. Tubuhnya direbahkan di hadapan televisyen. Menukar dari rancangan ke rancangan. Tiada satu pun yang dirasakan seronok. Rumah itu tiada siaran Astro ataupun Hip TV. Hanya siaran biasa sahaja. Dari TV1 sehingga TV9.

Tok! Tok! Tok!

Pintu rumahnya diketuk. Adrian hairan. Mana pernah rakan-rakannya mengetuk pintu rumah. Buang tabiat ke apa. Adrian melangkah ke pintu sambil cuba bersangka baik bahawa rakannya terhilangkan kunci rumah. Adrian terus menolak pintu itu dengan luas namun ia tersekat seperti ada benda yang menghalang. Adrian terus menolak dengan kuat dan pintu itu berjaya digerakkan. Terdapat sebuah bungkusan dibalut kertas hitam. Saiz bungkusan itu hanyalah sebesar sebuah buku Yellow Pages. Di atas bungkusan itu terdapat sampul surat yang tertera namanya.

Ahmad Adrian bin Saad.

Hairan. Tak pernah dia melihat orang menghantar bungkusan balut dengan kertas hitam. Hatinya mula berasa tak sedap. Cepat-cepat dia mengambil bungkusan itu masuk ke dalam biliknya lalu diletakkan di atas katil. Adrian turut duduk di atas katil. Memikirkan siapakah gerangan yang menghantar bungkusan. Tangannya mencapai sampul surat itu. Tiada nama pengirim. Sehelai kertas yang berlipat kemas dikeluarkan.

Isinya berbunyi:

AMARAN! JIKA ANDA SEORANG YANG
KUAT MENANGIS DAN KECUT PERUT, JANGAN BUKA BUNGKUSAN ITU. JIKA ANDA TIDAK
BERHAJAT UNTUK MEMBUKA BUNGKUSAN INI, LETAKKAN DI HADAPAN
PINTU RUMAH ANDA TEPAT JAM 2.00 PAGI INI. WALAU BAGAIMANAPUN, JIKA ANDA
INGINKAN KEKAYAAN DAN KEMEWAHAN SERTA BERANI HADAPI CABARAN, ANDA DIPERSILAKAN
UNTUK MEMBUKA BUNGKUSAN INI. INI BUKAN GURAUAN!

Kecut perut Adrian. Namun, ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Jika dia inginkan kemewahan dan kekayaan, dia dipersilakan untuk membuka bungkusan itu. Hatinya berbelah bahagi. Dia sudah penat hidup makan
gaji. Dia mahu mengubah nasibnya, tetapi tidak tahu bagaimana caranya. Kedengaran pintu rumahnya dibuka. Adrian terkejut. Dia mengintai dari celah pintu biliknya. Bob dan Hairi rupanya. Lega. Bungkusan itu disimpan di dalam almarinya lalu dia menapak keluar untuk menyapa rakan-rakannya. Joe masih bekerja lagi. Overtime.

Dengan fikiran yang kusut, Adrian menonton televisyen bersama rakan-rakannya. Walaupun jasadnya di situ, namun fikirannya sibuk memikirkan siapakah gerangan yang menghantar bungkusan hitam itu. Satu
perkara sahaja yang dirisaukannya, dalam bungkusan itu merupakan bom. Tapi, tidak mungkin. Dia tidak mempunyai musuh. Lagipun ini Malaysia, bukan Hollywood. Tanpa disedarinya, jam sudah menunjukkan pukul 6.43 petang. Adrian ke biliknya. Dia ingin bersiap untuk temu janjinya. Sebelum itu, dia menuju dahulu
ke bilik Bob. Hajatnya hendak meminjam kemeja Bob. Saiz mereka sebenarnya lebih kurang sahaja. Orang memanggil Bob kerana nama sebenarnya Badrul Othman bin Badeeudin. Bukannya kerana dia gemuk. Adrian
mengambil kemeja plain lengan panjang berwarna kelabu kehitaman jenama Topman. Dia juga turut meminjam jeans Levi’s 501 hitam serta kasut Byron dari Jimmy Choo. Setelah berpuas hati, dia ke biliknya. Rasanya,
hanya boxer dan stokin yang memang Adrian punya.

****

Suzanne mengunci pintu rumahnya di Batu Caves. Kemudian, dia duduk di buaian di luar rumahnya. Rumah teres 2 tingkat itu dihuninya berseorangan. Sudah tiga tahun dia menyewa di situ, semenjak mula bekerja di Syarikat Limau Tebal. Dia melihat jam tangan Brietling yang dibelikan oleh bekas teman lelakinya sempena hari lahirnya pada
tahun lalu. 8.05 malam. Namun, Adrian masih belum sampai. Suzanne sudah lali dengan janji Melayu. Malam ini Suzanne memakai blaus plain berwarna biru muda dan jeans kelabu. Rambutnya dibiar lepas.

Lebih kurang 3 minit kemudian, Honda EX-5 Adrian berhenti di hadapan pagar rumahnya. Suzanne berlari anak
mendapatkan Adrian.

“Sorry lambat. Jalan jam tadi,” Adrian memohon maaf.

“It’s okay. Kita nak pergi mana ni?” tanya Suzanne lalu menaiki motosikal
Adrian.

“Times Square,” jawab Adrian ringkas. Dia menghulurkan Suzanne sebuah helmet warna merah muda sticker Bell di atasnya. Selepas Suzanne selesai memakai helmet itu, Adrian terus memecut motosikalnya. Suzanne yang
terkejut terus memeluk tubuh Adrian. Derai tawa keluar dari mulut mereka berdua. Handle dipulas dengan kuat oleh Adrian. Makin laju motosikal itu, makin kuat tawa mereka

****

Tergesa-gesa Adrian memakai baju korporatnya. Dia sudah terlambat. Jam menunjukkan 10 pagi. Semuanya gara-gara dia terlalu memikirkan tentang game bodoh itu. Pagi itu dia tidak mandi. Hanya dengan membasuh muka dan memberus gigi serta membasahkan rambut sahaja. Harap-harap minyak wanginya boleh cover. Dia mencapai sling bag. Kunci motor dicapai lalu terus sahaja dia keluar rumah. Tidak sempat dia merenung poster Maria Ozawa
hari ini. “Ad! Pahal lambat sangat ni?” tanya Su dengan nada suara yang separa tinggi sebaik sahaja Adrian melangkah masuk. Rakan sekerja yang lain terus melihat mereka. Sewaktu dia punch card, jam sudahpun
menunjukkan pukul 10.37 pagi. Sudah lambat 37 minit. “Bangun lambat,” perlahan Adrian menjawab.
Jatuh air mukanya. Nasib baik bosnya tidak masuk pejabat hari ini. Mungkin dia di cawangan yang lagi satu. Tanpa membuang masa, dia mengambil bungkusan yang memang sudah siap diletak di atas meja receptionist lalu keluar dari pejabat. Dia malu untuk melihat muka Suzanne.

Enjin motor dihidupkan. Dia ingin segera menyelesaikan tugasannya. Segera dia ke Wangsa Maju, alamat bungkusan pertamanya. Motosikal dipecut sekuat hati, ingin melepaskan geram. Sudah dua lampu merah diredah. Sedang Adrian memecut di Jalan Gombak, ada sebuah kereta yang seperti ingin bersaing dengannya. Mitsubishi Lancer biru bergerak seiring dengannya. Adrian cuba untuk melihat pemandunya. Tiba-tiba tingkap kereta itu diturunkan. Jelas kelihatan seorang lelaki lebih kurang sebaya dengan Adrian. Lelaki itu turut memandang
Adrian. Baru Adrian ingat siapakah gerangan lelaki itu. Muka lelaki itu serupa dengan muka Hanes, yang Adrian perlu bunuh untuk menang. Hanes memberi sebuah senyuman kepada Adrian, lalu menunjukkan jari
tengahnya. Jantung Adrian sudah berdegup kencang. Hanes terus melanggar motosikal Adrian dari arah tepi. Adrian hilang kawalan lalu tercampak ke tepi jalan raya. Dia terseret sejauh 10 meter. Badannya penuh
luka dan darah. Kakinya tidak dapat dirasa. Dia cuba melihat tubuh badannya. Kakinya putus! Yang tinggal hanyalah paha dan lutut sahaja. Air mata Adrian mengalir. Dia meraung kesakitan sambil cuba meminta tolong.

Hanes memarkir keretanya di tepi Adrian. Pistol bersama silencer dikeluarkan dari kocek kot lalu diacu tepat ke
jantung Adrian. “Aku menang, Adrian,” selamba Hanes berkata. Adrian hanya memerhati. Dia tidak dapat bergerak. Anggota badannya begitu lemah. Adrian hanya berserah pada Tuhan. Hanes terus menekan picu pistol. Bunyi tembakan kedengaran. Pandangan terus menjadi gelap.

****

Adrian membuka matanya. Dia terus terduduk daripada posisi baring. Seluruh badannya berpeluh. Nafasnya kencang turun naik. Dia termenung sejenak, memikirkan di mana dia sekarang. Setelah mengamati keadaan sekeliling, barulah dia perasan. Dia masih di bilik tidurnya. Jam menunjukkan pukul 12.17 p.m. Mimpi rupanya. Istighfar diucap perlahan sambil otaknya cuba mengingati kembali lafaz itu. Xperia Mini di tepi katil dicapai. Dia menelefon pejabatnya untuk meminta cuti kecemasan, tidak sihat katanya. Setelah selesai, bilik air dituju untuk membersihkan diri. Dia memikirkan apa harus dibuat hari ini. Selesai mandi dan bersiap, dia membelek biodata Hanes. Rutin hariannya dibaca teliti. Adrian tertarik terhadap satu pernyataan. Biasanya Hanes akan makan malam di luar. Kawasan sekitar Ampang menjadi pilihannya. Adrian tahu tempat yang harus ditujunya. Dia cuma perlu berharap yang Hanes meneruskan rutin hariannya seperti biasa dan tidak mempercayai tentang Killer Game. Adrian mencapai sling bag dan kunci motor lalu keluar dari rumahnya.

Sewaktu menghidupkan enjin motosikalnya, Adrian terfikir yang mungkin juga Hanes sedang membaca rutin hariannya. Adrian berfikir sejenak. Rasanya elok dia mengambil bas sahaja untuk ke Ampang, bertindak lain sedikit daripada biasa. Adrian berjalan ke Taman Greenwood. Di situ, bas diambil untuk ke Lebuh Pudu. Di dalam bas, dia mengambil tempat duduk di penjuru belakang sekali untuk menyorok dari semua orang. Takut-takut jikalau Hanes menaiki bas yang sama. Dari Lebuh Pudu, dia akan menaiki lagi satu bas untuk ke Desa 288, Jalan Ampang.

Perjalanannya ke Ampang mengambil masa kira-kira 1 jam. Tidak hairanlah, dengan masa membeli tiketnya, dengan kesesakan lalu lintas lagi. Kalau naik motor, lagi cepat. Adrian berjalan di sekitar kawasan itu. Setiap kedai makan di kawasan itu dicatat di dalam buku nota 555 yang dibawa dari rumah. Setelah selesai, dia ke sebuah surau untuk menunaikan solat Asar. Surau itu kosong dan suram. Usai solat, punggungnya dilabuhkan di penjuru surau. Buku nota dikeluarkan lalu disemak kembali kedai makan yang dijumpainya. Hanes merupakan seorang yang agak kaya. Jadi, taste dia mungkin agak tinggi. Adrian memangkah segala kedai mamak dan kedai makan yang dirasakannya biasa-biasa sahaja. Segalanya mengikut gerak hati sendiri. Pening. Ada tiga kedai makan yang dirasakannya untuk golongan berada. Adrian membaca kembali biodata Hanes. Makanan kegemaran Hanes ialah tomyam. Daripada tiga restoran itu, ada dua yang menawarkan tomyam. Mana satu yang harus dipilihnya. Dia bukannya tahu pun mana satu yang lagi sedap. Tidak mungkin dia boleh pergi ke dua-dua restoran sekaligus. Jarak kedua-dua restoran itu agak jauh. Tanpa disedarinya, jam sudah menunjukkan pukul 7.20 petang. Masa untuk solat
Maghrib.

****

Adrian perlu cepat. Hanes biasanya makan malam pada 8.20 malam. Dia memerah otak memikirkan mana satu restoran yang harus dituju. Dalam kekalutan itu, rancangan Jangan Lupa Lirik tiba-tiba bermain di otaknya. Talian hayat! Xperia Mini dikeluarkan lalu nombor Bob didail. “Bro. Kat mana?” tanya Adrian sebaik sahaja Bob menjawab. Matanya tidak lepas dari melihat jam.

“Low Yat. Pahal?”

“Aku kat Ampang ni. Kau tahu tak mana nak cari kedai makan yang ada tomyam baik punya?”

Hmm, aku kalau makan tomyam dengan budak-budak aku kat situ biasanya pergi Seafood Paradise. Yang dekat Ampang Point tu. Tempat dia tersorok sikit, tapi tomyam dia memang terbaik,” jawab Bob. Adrian dapat membayangkan gaya Bob bercakap sambil menunjukkan tanda bagus dengan ibu jarinya. Adrian melihat catatannya. Tidak ada pula restoran bernama Seafood Paradise. Dia terlepas pandang nampaknya.

“OK Bob. Thanks. By the way, nanti kalau jadi apa-apa, aku nak kau jaga Hairi dan Joe betul-betul. Bye.”

Adrian terus memutuskan talian tanpa sempat Bob untuk membalas. Telefonnya terus dimatikan. Bob di
hujung talian pelik dengan perangai Adrian. Namun dia membiarkan sahaja. Adrian nekad. Dia akan pergi ke restoran itu. Dia perlu cepat. Jam sudah menunjukkan pukul 7.53 p.m. Adrian tercungap-cungap. Nafasnya turun naik. Dengan berlari, dia mengambil masa dalam 12 minit untuk sampai ke restoran itu. Adrian melihat
keadaan sekeliling. Tidak terlalu ramai orang. Restoran itu agak luas dan selesa juga. Tentu sekali Adrian tidak mampu untuk makan di restoran itu. Oleh itu, dia berjalan di kedai berdekatan sahaja. Kaca mata Oakley dikenakan. Harap-harap Hanes datang ke restoran itu. Sudah 30 minit dia mundar-mandir. Hanes tidak muncul-muncul juga. Mungkin juga Hanes tidak suka datang ke restoran ini. Adrian terus memerhati restoran itu. Dia mengambil keputusan untuk pergi ke restoran dalam catatannya jika Hanes tidak muncul juga dalam masa 10 minit.

Adrian tertarik terhadap seorang lelaki yang lengkap bersut. Pakaiannya tidak seperti orang lain. Dia juga turut memakai kaca mata hitam dan terdapat earphone diselit di telinganya. Gayanya seperti seorang bodyguard. Bodyguard itu memesan makanan dan mukanya tampak tegas sewaktu memesan seperti ada hal penting. Dengan pantas makanan itu siap. Take away rupanya. Adrian cuba mengamati isi di dalam plastik makanan itu dari jauh. Nampak macam sup. Tomyam mungkin. Adrian mengekori bodyguard itu walaupun dia tidak pasti akan
kebenarannya. Dari jarak yang selamat, dia dapat melihat bodyguard itu masuk ke dalam sebuah kereta Mitsubishi Lancer biru. Sama macam dalam mimpi, sama macam dalam biodata. Adrian cuba melihat penumpang kereta. Dalam cahaya samar, dia pasti penumpang itu Hanes. Adrian memikirkan apa yang perlu dibuat. Pisau Rambo dalam sling bag diperiksa. Masih ada. Batu sebesar tapak tangannya diambil lalu dicampak ke kereta itu. Tepat ke bumbung kereta. Bodyguard itu terus keluar dari kereta dan memerhati sekeliling. Tangannya menggenggam
sesuatu di dalam kocek kot. Tahulah dia bodyguard itu mempunyai pistol. Mata mereka bertembung. Adrian melarikan diri. Dia sengaja berbuat demikian supaya bodyguard itu mengejarnya. Tapi, ke mana dia mahu pergi dia sendiri tidak pasti. Dia memasuki satu lorong kecil di belakang deretan kedai. Terdapat beberapa timbunan sampah dan kotak yang sudah buruk. Adrian bersembunyi di situ sambil menutup hidungnya. Bau sampah di situ memang boleh membuatkan orang pengsan. Harap-harap bodyguard itu pengsan dengan bau itu.

THUD!

Satu tembakan dilepaskan. Tepat ke kotak di sebelah kiri Adrian. Bunyinya agak perlahan. Mungkin bodyguard itu menggunakan silencer. Muka Adrian berpeluh. Mungkin nasib tidak menyebelahinya kali ini. Namun Adrian teringat kembali peraturan permainan. Hanya Hanes yang boleh membunuhnya untuk menang pertandingan itu. Dia yakin bodyguard itu tidak akan membunuhnya. Paling teruk pun hanya dicederakan. Pisau Rambo digenggam kemas. Itulah sahaja senjata yang dia ada. Bunyi tapak kaki jelas kedengaran menghampiri tempat Adrian bersembunyi. Adrian menunggu masa yang sesuai untuk bertindak. Dia cuba menggunakan mata hati untuk mengamati tapak kaki bodyguard itu. Di universiti dahulu dia ada belajar teknik menggunakan pisau daripada seorang rakannya. Rakannya merupakan ahli silat cekak. Jadi, adalah sedikit basic menggunakan pisau dalam dirinya. Akhirnya dapat juga dia mengaplikasikan ilmu itu. Setelah Adrian merasakan bodyguard itu berada dekat dengannya, Adrian bangun dari tempat persembunyiannya lalu cuba untuk menikam leher bodyguard
itu. Bodyguard itu terkejut lalu melepaskan beberapa das tembakan. Satu daripadanya mengenai betis Adrian. Adrian menahan kesakitan. Dia segera menggunakan kesempatan itu untuk menyembelih bodyguard itu. Darah
memancut keluar daripada leher bodyguard. Adrian terduduk di sisi mayat itu. Dia terkejut dengan tindakannya. Dia tidak menyangka dia akan membunuh seseorang yang tidak dikenalinya dan tidak sangka dia mampu membunuh bodyguard itu dengan senang sekali.

Setelah menenangkan diri, Adrian mengambil pistol daripada tangan bodyguard itu. Terukir di badan pistol itu, GLOCK 19. Kocek seluar dan baju bodyguard itu diseluk Adrian satu per satu. Dompet serta beberapa peluru pistol lelaki itu diambil. Tugas Adrian belum selesai. Adrian bangun lalu mengumpulkan semangat. Dia ke kereta yang dimasuki bodyguard itu sebentar tadi. Nasibnya pada malam ini baik, kawasan itu lengang, tiada orang. Tangannya menggenggam pistol itu dengan kemas. Adrian ke belakang kereta. Dia bersembunyi di belakang sebatang pokok
renek di seberang jalan. Adrian cuba membidik kepala Hanes. Dua tembakan dilepaskan. Tidak mengena. Dia bukannya ada pengalaman menggunakan pistol. Adrian dapat melihat Hanes mengelak. Hanes tertunduk
ketakutan di dalam kereta itu. Adrian berlari ke sisi kereta itu. Dia cuba mengintai Hanes namun tidak nampak. Pintu kereta dibuka dan dia melepaskan lagi dua tembakan ke badan Hanes. Hanes mengerang kesakitan.

“Jangan bunuh aku! Tolong! Aku ada keluarga!” rayu Hanes. Adrian teringat, yang di dalam biodatanya ada tercatat bahawa dia mempunyai dua anak. Kedua-duanya masih belum bersekolah. Hanes menggunakan kesempatan yang ada untuk menyepak badan Adrian. Adrian terkejut. Dia jatuh terduduk di atas jalan. Senak perut Adrian dibuatnya.
Pistol yang dipegangnya tadi terlepas dari genggaman. Hanes berusaha keras untuk bangun. Badannya berdarah dek tembakan tadi. Dia mengambil pisau Rambo kepunyaannya di bawah seat kereta lalu melompat ke arah
Adrian, cuba untuk menikam. Adrian yang terkejut dengan perbuatan Hanes segera menyepak badan Hanes. Hanes jatuh terlentang di sebelah Adrian. Adrian mengambil pistolnya lalu mengacu ke badan Hanes. “I’m sorry,” ucap Adrian lalu terus melepaskan tembakan ke arah badan Hanes sehingga peluru dalam laras pistol habis. Asap nipis keluar dari hujung pistol itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/74011/permainan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *