[SNEAK PEEK] PATERI

Pateri oleh Aje Fazlina

WAJAH Rafael berkerut seribu. Adakah kata-kata papa satu ugutan untuk dirinya? Papa nak dia uruskan pakej tu dengan sempurna. Manalah dia tahu. Selama ini dia arahkan saja pekerja papa untuk uruskan pakej pelancongan itu. Kalau dia enggan menerima tugasan yang diberi, tiada lagi elaun bulanan untuknya. Habis tu nak enjoy guna apa? Nak isi minyak motor guna apa? Daun kering? Kangkung? Heh! Buat lawak pula.

“Kalau kamu tak nak, segala elaun kamu papa tak akan beri. Kamu belajarlah berdikari. Selama ni papa bagi muka pada kamu. Kamu datang pejabat, tidur dan goyang kaki aje. Dengan pakaian kamu yang macam ni, tak mencerminkan langsung jawatan kamu sebagai seorang ketua di sini. Sesuka hati kamu aje. Kamu ingat sini Litar Sepang untuk kamu pergi race ke, Raf? Sekarang, papa minta kamu uruskan pakej tu. Jangan sampai gagal. Kalau kamu nak, papa boleh beri dua kali ganda dari elaun yang kamu dapat tiap-tiap bulan tu.” Ujar Encik Zaid tegas.

“Baik dan alim tu, bukan datangnya dari cara pemakaian papa.” Rafael menjawab.

“Raf, tolong serius sikit. Tolong uruskan pakej tu. Jangan sampai ada timbul sebarang masalah. Papa tak nak dengar apa-apa alasan pun lepas ni.”

“Kalau gagal juga?” Soal Rafael tanpa sedikit pun rasa takut.

“Kamu kahwin!”

Rafael tergelak kuat mendengar jawapan Encik Zaid.

“Amboi, papa ingat sekarang macam zaman dulu-dulu ke papa? Nak kahwin-kahwinkan orang macam tu je. Papa, mama dengan Rania sama ajelah. Bersubahat nak kahwinkan Raf dengan pompuan tu. Tak baik papa. Orang yang ada ilmu tak akan aniya orang macam tu.” Selamba dia cakap begitu dengan papanya. Bibirnya mengukir senyuman sinis. Cuba menahan tawa dari meletus apabila melihat wajah papa dah berubah warna. Apa, ingat dia tak pandai nak bagi tazkirah ke?

“Kamu jangan nak tuduh papa macam-macam, Raf. Papa tak tahu-menahu pun pasal kes tu.”

“Tipulah kalau papa tak tahu. Bukan papa pun berpakat sekali ke nak kahwinkan Raf dengan Si Layla tu. Hakikatnya papa pun tak ada di rumah juga waktu Raf kena tangkap khalwat dengan Layla dulu.”

“Tolonglah berubah Raf…” Sudah sampai masanya dia berkeras dengan Rafael. Anak lelaki sulung yang menjadi harapan tapi macam tak boleh nak letak harapan jika dibiarkan terus hanyut. Mungkin salahnya juga sebab bagi muka sangat. Soal ditangkap khalwat antara Rafael dan Layla dulu memang dia tidak terkait sama. Lagipun dia sudah memberi amaran kepada Rania agar jangan ulangi semula perkara bodoh yang boleh memalukan keluarga.

“Kalau papa bagi Raf rombongan budak sekolah ke, mat rempit ke, minah kelab ke, senanglah kerja Raf papa. Ini, apa hal nak uruskan orang-orang tua kat rumah perlindungan tu. Pening kepala aje nanti. Apa aktiviti yang Raf nak diorang semua buat? Menari tango tepi pantai? Macam tu ke papa?”

Niat papa tu bagus sebab nak taja percutian pada orang yang kurang upaya dan tidak berkemampuan. Tapi, masalahnya dia pergi taja dekat warga emas di Rumah Jagaan Cahaya Kaseh itu. Tak ke susah dia nak buat kerja.

“Baru suruh handle, kamu dah merungut. Papa tak kisah kalau kamu nak tolak. Tapi kamu fikirlah peluang tak akan datang bergolek untuk kali kedua. Papa bukan saja-saja beri kamu tanggungjawab yang besar macam ni. Sampai bila kamu nak macam ni? Papa tak nak tengok kamu pakai macam ni lagi dalam pejabat.”

“Papa, kalau nak buat kerja bukan guna pakaian pun. Nanti esok-esok masa kat sana, kain putih juga yang kita pakai.” Ewah! Dia sendiri hampir tergelak dengan kata-katanya tadi. Mat rempit bagi ceramahlah pula.

“Tapi pakaian tu menunjukkan etika, kamu tahu ke tidak? Perlu ada perbezaan Raf. Ini pejabat, bukan kelab malam!”

“Hmm… etika tu macam ajar Raf jadi manusia yang hipokrit aje. Buat sesuatu tapi tak ikhlas tak guna juga papa.” Bab membantah, pandailah dia. Sengaja nak memeningkan kepala orang tua tu.

“Papa tak nak dengar alasan tak masuk akal Raf tu. Kamu setuju ke tak?”

“Apa ni papa? Raf tak naklah macam ni?”

“Okey, baiklah. Mulai hari ini, kamu belajarlah hidup berdikari. Papa tak nak cakap lagi.” Encik Zaid terus bangun dan keluar dari bilik.

Rafael mendengus perlahan. Kalau tak ada duit, macam mana nak hidup. Papa ni betul-betul menduganya. Nak minta dekat mama, mahu meleleh larva-larva di telinganya. Bebelan mama tak habis-habis. Si Rania pula, lagilah tak boleh minta sebab dia dah basuh kaw-kaw adiknya itu dek kejadian tangkap khalwat dengan Layla dulu tu. Nak harapkan Zyra? Alahai, memang tak boleh harap. Umpama harapkan pegar, pegar makan padi. Serabut kepala otak dia.

Dia terus bangun dan keluar dari pejabat milik papanya itu. Masuk bilik pejabatnya lalu pintu dikunci dari dalam. Tubuhnya terus dilemparkan ke atas sofa kulit yang ada di dalam bilik itu. Malas nak fikir apa-apa lagi dah. Tidur lagi bagus.

“Mimpi yang indah-indah ya Rafael. Abaikan sekejap cakap papa tu. Kut-kut nanti dalam mimpi dapat istikharah.” Rafael ketawa sendiri. Dah macam orang gila bercakap sorang-sorang. Mahunya tak stress kalau dah bertimpa-timpa ujian datang menguji keimanan dia yang memang sah-sah kurang ni.

ANGIN bertiup lembut ke wajah. Dia masih duduk di atas motorsikal sambil membuang pandang ke arah laut. Pantai Seagate yang tak pernah sunyi. Cuma hati dia sahaja yang sunyi. Keluar dari pejabat tadi terus dia datang melepak di sini sendirian. Zyra, minah kilang tu masih belum balik. Bersendirian pun tak ada masalah baginya.

Dum!

Hatinya tersentak! Bunyi kuat dari arah belakang membuatkan dia cepat-cepat menoleh. Dia melihat sekujur tubuh terbaring di atas jalanraya. Sebuah kereta Proton Perdana dan motorsikal dari jenama Honda turut kelihatan bersama. Tanpa berlengah, dia terus berlari menuju ke arah tersebut.

“Layla!” Dia terkaku melihat tubuh yang terbaring itu. Dia yakin itu Layla.

Rupa gadis yang ditangkap khalwat dengannya masih jelas terakam dalam kotak memori. Apatah lagi wajah itu yang dulunya selalu hadir di rumahnya hari-hari. Dia segera memangku tubuh yang langsung tidak bergerak itu. Tangannya bergetar. Darah merah mengalir laju dari hidung dan bibir gadis itu. Allah!

“Bangun Layla! Bangun!” Rafael menjerit kuat. Orang ramai mula memenuhi tempat kejadian.

“Layla! Bangun Layla. Bangun Layla!” Dia terus memanggil nama gadis itu. Entah kenapa perasaan bersalahnya menebal. Sewaktu di mahkamah tempoh hari, bermacam kata kesat yang telah dilemparkan untuk Layla. Semuanya kerana amarah yang tak tertahan. Allah…

“Layla!!…” Dia menjerit sekuat hati. Saat itu juga terasa air sejuk menyimbah ke mukanya. Dia terkebil-kebil membuka mata.

“Layla? Mana Layla?” Dia toleh ke kiri dan ke kanan.

“Banyaklah Layla kamu? Kenapa? Kamu dah suka pula dekat Layla tu sampai termimpi-mimpi.”

Mimpi? Dia terus bangun. Melihat papa yang memegang segelas air yang berisi beberapa ketulan ais, tahulah dia dari mana datangnya air sejuk yang disimbahkan ke muka dia tadi. Allah! Apa yang dia mimpi tadi? Kenapa dia boleh mimpikan Layla? Hesy!

“Apa papa ni…” Tuturnya tak puas hati sambil menyapu air yang bersisa di wajahnya menggunakan tuala kecil yang dilempar papa kepadanya. Nak cover malu punya pasal. Boleh pula dia mimpikan Layla ditimpa kemalangan. Aduh! Yang kelakarnya, boleh pula Layla tu naik Honda EX5. Adoi, bila masa pula Minah Cekang tu jadi minah rempit.

“Kuat benar kamu panggil nama Layla?”

“Err… mana ada.”

“Kamu fikirkan dia?”

“Taklah…” Sudahlah papa, jangan tanya lagi. Hatinya sudah tak tentu arah. Dia malulah.

“Jadi kamu dah tukar fikiran pula? Kamu setuju dengan apa yang papa cadangkan?”

Rafael angguk. Memang dia tak ada pilihan. Bahagia papa, adalah deritanya. Asalkan papa tak tanya pasal mimpi dia tadi. Memang malu dia ketika ini. Nak cakap dia fikirkan Layla, tak ada pula. Tapi orang kata kalau kita mimpikan seseorang tu, maknanya orang tu sedang rindukan kita. Puihhh! Layla nak rindukan dia? Okey, tunggu sampai langit ke tujuh pun belum tentu lagi.

“Nah, ambil ni. Pergi beli pakaian kamu. Potong bagi kemas-kemas rambut kamu tu.” Encik Zaid menyerahkan beberapa keping duit lima puluh kepada anaknya itu. Dia masih lagi bertimbang rasa. Siapa tak sayangkan anak, kan?

“Papa, buat kerja guna ni, bukan guna baju dan rambut pun.” Dia tunjuk kepala dengan jari telunjuknya.

“Kamu jangan nak mengada-ngada, Raf. Kamu tolong jaga sikit imej syarikat kita. Ingat sikit!”

“Yalah, papa dah pandai main ugut-ugut pula sekarang. Raf tak habis lagi nak enjoy, papa tahu tak. Zaman muda ni sekali je dalam hidup.”

“Sudah, kamu tak payah nak bagi apa-apa alasan tak masuk akal kamu tu. Cakap pandai. Itulah, inilah. Kamu tahu tak umur kamu tu dah 28 tahun. Bukan 18 tahun lagi. Nak cakap kamu ni lahir tak cukup bulan pun, tak juga. Tinggalkan kehidupan permotoran kamu tu. Siapa lagi yang akan uruskan semua ni kalau bukan kamu.”

“Alah papa… time-time nilah nak buat ayat sedih papa. Tak lakulah ayat sedih papa tu kat Raf.”

Rafael terus bangun mengambil Arai Speed King yang diletakkan di atas meja. Encik Zaid menggeleng kepala melihat tingkah anaknya itu. Pergi kerja, balik kerja. Satu kerja pun dia tak buat. Dia tidur lagi adalah. Dah macam hotel pula pejabat ni bagi dia. Ingatkan bila balik ke Penang, perangainya akan berubah. Tapi rupa-rupanya sama saja.

“Terus balik bila dah selesai urusan kamu tu. Jangan nak merayap ke tempat lain pulak.”

“Janganlah buat Raf macam budak sekolah.”

“Kalau kamu tak nak papa buat kamu macam budak sekolah, tolong ubah tingkah laku kamu tu.”

“Tapi papa, Raf dah besar. Raf berhak pilih apa yang Raf nak buat.”

“Raf, serius sikit.”

“Hmm…”

Rafael tarik tombol pintu pejabatnya dan terus bergerak pergi. Dia sudah dewasa. Dia tahu apa yang dia nak buat. Aturan hidup dia, biarlah dia sendiri yang pilih. Bukan semua benda asyik nak paksa. Dari bab pindah ke sini, bab kena paksa kahwin dengan Layla, hinggalah sampai bab kerja.

Tapi mimpi dia tadi ngeri pula rasanya. Dalam banyak-banyak perempuan, kenapa Layla yang boleh masuk dalam mimpi dia? Hesy! Meluat betoi aku dengan hang Layla oii…

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/273643/Pateri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *