[SNEAK PEEK] MR. & MRS SWEET

Mr. & Mrs Sweet Oleh Q Aulia

 

“YOU jangan nak macam-macam ya, Zariel. I jerit nanti!” Iman menapak ke belakang. Wajahnya cuak seribu melihat suaminya yang tibatiba mendekat. Tidurnya tak lena apabila terasa ada sesuatu yang menyentuh pipinya. Sebaik mata dibuka, terlihat wajah Zariel yang begitu hampir dengannya.

“You nak jerit, jeritlah. Bagi semua orang tahu!” Zariel bersuara sinis. Makin Iman menjauh, makin galak dia mendekati isterinya itu. Bagaikan ada satu perasaan halus yang berbisik tatkala berdua-duaan dengan wanita itu yang mendorong kelakuan di luar kawalnya.

“Hesy… You ni hilang akal ke apa? I tak sukalah!” Iman menepis tangan sasa suaminya yang mendarat di bahu. Jantungnya bagai dipalu.

“I nak hak I. Apa yang you boleh buat?” Zariel berbisik di telinga Iman. Rontaan wanita itu ditahan. Wajah takut isterinya diabaikan.

Seperti menunggu masa hendak kena baham, Iman memejam matanya kejap. Tak sanggup untuk melihat mata suaminya yang berubah laku itu. Dia benar-benar takut dengan apa yang akan terjadi. Tangannya berusaha menolak tubuh sasa suaminya daripada terus menghampirinya. Makin dia ke belakang, makin hampir Zariel dengannya sehingga satu saat tubuhnya hilang keseimbangan. Dalam pada ingin menjauh, tangannya cuba berpaut pada lengan suaminya bagi mengelak dari terjatuh. Namun…

Buk!

“Aduh! Sakitnya!” Laju tangannya menggosok pinggang yang terasa perit.

Dengan pandangan yang kelat, dia memandang keliling. Eh, mana mamat tadi? Melihatkan keadaan dirinya yang terjelepok di tepi katil dengan bantal dan gebar bersepah, maka tahulah dia hanya bermimpi. Fuh! Ngeri betul!

“You ni kenapa? Jatuh katil, ek?” Zariel yang baru keluar dari bilik air menegur. Terkejut melihat isterinya yang terduduk di tepi katil. Dia tergelak kecil sambil mengelap rambutnya yang masih basah.

Lucu! Seawal dia bangun tadi dilihatnya Iman tidur nyenyak dengan gaya yang agak lasak. Mentang-mentang katil tu dia conquer seorang!

Iman menjeling. Pasal kau jugalah aku jatuh katil! omel hatinya geram. Bingkas dia bangun dengan memegang pinggangnya yang terasa kebas.

Dijeling jam comel di atas meja tepi katil. Dah pukul 6.15 pagi. Awal pula mamat ni bangun!

“Sakit sangat ke? Nak I gosok?” Zariel menyeringai.

Iman memandangnya tajam.

“Tak payah!”

“Mimpi apa sampai boleh jatuh katil ni? Tidur tak basuh kaki ke apa?” Tawa yang ingin meledak cuba dibendung. Kesudahannya Zariel tersenyum sambil mengetap bibir. Wajah masam isterinya begitu mencuit hati.

Hati Iman berdongkol geram.

“Sibuk nak tahu!” Dalam diam dia marahkan dirinya sendiri. Baru sehari berkahwin dia dah tunjukkan fiil yang tak semenggah di depan suami. Jatuh katil? Aduhaiii… Tak pernah sekalipun sebelum ni. Kuat betul penangan mamat ni!

Dengan berjalan sedikit terincut-incut, Iman mengeluarkan pakaiannya dari almari sebelum masuk ke bilik air. Cuba berlagak selamba di depan suami padahal malunya dah berbakul-bakul.

“Elok-elok jalan tu. Jangan bermimpi dalam bilik air pula.” Akhirnya terletus jua ketawa dari mulut Zariel. Tak tertahan lagi rasanya.

Iman mencebik. Kurang asam! Pintu bilik air ditutup agak kuat. Menggambarkan hatinya yang sedang panas. Mulut kecilnya membebel sesuatu yang tak jelas.

“Haaa… Apa lagi yang dibebelkan kat dalam tu? Cepat sikit, ya? I tunggu you, kita solat subuh sama-sama.”

Iman terkedu. Dengar pula mamat ni. Telinga kuali ke apa? Adeh! Malas nak melayan rasa panas hatinya, segera dia membersihkan diri. Tak sabar nak mengejarkan pahala solat berjemaah dengan suami. Suami?

IMAN menolong ibunya menyediakan sarapan. Usai solat subuh, segera dia meninggalkan bilik peraduan mereka. Ingin mengelak daripada berdua-duaan dengan Zariel. Kejadian luar kawal pagi tadi masih berbekas dalam jiwa hingga nak bertentang mata dengan suaminya pun malu. Tak habis-habis disumpah seranah dirinya tiap kali mengingatkan kejadian tersebut.

“Dah. Pergi panggil semua makan. Lambat-lambat nanti kan sejuk,” tegur Puan Manisah seraya menatang minuman.

“Baik, ibu.” Iman menapak ke ruang tamu. Kelihatan abahnya sedang membaca surat khabar. Amirul dan Zariel entah ke mana. Tadi dengar borak macam ada aje kat ruang tamu ni. Matanya meliar keliling.

“Suami kamu dengan along ada kat luar. Entah apa yang dia orang buat.” Encik Iskandar menegur apabila melihatkan telatah anak perempuannya terjenguk-jenguk.

Iman tersengih malu apabila ditegur sedemikian. Tahu pula abah ni!

“Ibu panggil makan, bah.”

Surat khabar di tangan dilipat lalu Encik Iskandar menapak menghala ke dapur.

“Pergi panggil dia orang kat luar tu,” ujarnya sebaik melintasi Iman.

Iman melangkah keluar. Suara alongnya sayupsayup kedengaran berselang-seli dengan suara Zariel. Entah apa yang diborakkan pun tak tahulah.

“Along, sarapan dah siap,” panggilnya perlahan.

“Haaa… Yalah. Jom, Zariel.” Laju Amirul masuk ke dalam rumah. Sempat dikenyit mata nakal sewaktu berselisih dengan adiknya itu. Iman menjengilkan mata kepada abangnya.

Zariel masih lagi tegak berdiri di luar rumah. Dia kelihatan amat kacak meskipun hanya santai dengan berbaju T lengan pendek berona kelabu dengan seluar track bottomnya. Dengan kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam kocek seluar, memang dia amat… Amat… Mmm… Iman mati kata, menahan debar di dalam dada.

“You tercegat kat situ lagi kenapa?” Iman cuba berlagak selamba.

“You tak ajak I pun,” tutur Zariel seraya mendekati wanita itu. Dengan ketinggian Iman yang dianggarkan dalam lima kaki lebih, kelihatan wanita tersebut sedikit mendongak memandangnya.

Mulut Iman mengherot. Mengada-ada betul!

“I ajak along samalah I ajak you sekali!”

“I tak dengar you panggil I pun!” Zariel sengaja mengusik. Dia tahu Iman masih bengang pasal perkara pagi tadi. Bukan niat dia nak mentertawakan wanita itu tapi dirinya sendiri tak boleh menahan gelak melihatkan telatah isterinya yang sedikit clumsy. Entah apa yang dikalutkan pun dia tak pasti.

“Mengada-ada you ni, kan!” Darah Iman mula menyirap. Sekali-sekala matanya menjeling ke dalam rumah. Lagi lama dia berada kat luar ni, tak mustahil ibunya menjerit memanggilnya nanti.

“Cepatlah!”

Zariel masih lagi membatu dengan wajah selambanya.

“Manda! Apa lagi yang dibuatnya kat luar tu? Dah sejuk airnya ni!” Hah… Kan betul… Belum apa-apa, suara Puan Manisah dah menjerit.

“Ya, bu. Manda datanglah ni!” Iman memandang wajah suaminya dengan perasaan sebal.

Melihatkan senyuman yang terukir di bibir tipis lelaki itu lagilah menyirap darahnya.

“Baiklah Encik Zariel sayang… Intan payung… Buah hati… Jantung pisang… Buluh betong… Moh kita bersarapan, ya?” Iman memaniskan muka. Yang dibuat-buat!

Senyuman Zariel melebar. Sebelum sekali lagi ketawanya meletus, baik dia segera berlalu. Dapat dibayangkan isi hati isterinya yang tengah mendidih tu. Bibir diketap kuat menahan gelak.

Iman menghela nafas kasar. Langkah suaminya yang berlalu pergi dipandang dengan seribu satu perasaan. Besar kecik… Besar kecik aje aku tengok mamat ni, gerutunya dalam diam.

Kakinya cuba menyaingi langkah lelaki tu.

“Haaa… Duduk, Zariel. Kita sarapan sama-sama. Macam-macam ada. Nasi goreng… Mihun goreng… Kuih pun ada.” Encik Iskandar berbahasa.

Zariel tersenyum lalu melabuhkan punggung ke atas kerusi.

“Baunya pun dah sedap! Ibu masak semua ke?”

“Kalau ibu masak, confirm kau makan bertambah!” Amirul tersengih.

“Haaa… Manda… Duduklah. Tercegat lagi tu kenapa? Tanya Zariel nak apa?” tegur Puan Manisah apabila melihatkan anak perempuannya masih lagi tercegat di tepi kerusi.

Dengan teragak-agak, Iman mengambil tempat di sebelah Zariel.

“You nak makan apa?” soalnya perlahan. Lebih kepada segan sebenarnya.

“Bagi mihun aje.” Zariel menjeling isterinya yang sedang mencedok makanan. Baru dia perasan isterinya kelihatan manis dengan blaus putih dan skirt kembang berbunga.

Iman tunjukkan isyarat mata pada Zariel. Sudu dan garpu dihulurkan dengan maksud tersirat. Cungkil biji mata baru tahu!

Zariel tersenyum sumbing. Buat-buat tak faham.

Thanks, sayang!” Iman hampir tercekik kuih karipap. Terbatuk-batuk dibuatnya.

“Ya Allah. Kenapa kamu ni, Manda? Zariel, bagi dia air.” Puan Manisah menunjukkan wajah risau.

Cepat aje Zariel menghulurkan segelas air kosong. Sebelah tangannya menepuk belakang dada Iman perlahanlahan. Dalam pada hendak ketawa, hatinya turut risau kalaukalau isterinya tu benar-benar tercekik. Walaupun kahwin tanpa rasa cinta namun rasa tanggungjawabnya tetap ada.

Amirul terenjut-enjut bahu menahan tawa. Dia cuba berlagak biasa dengan meneruskan suapannya.

Karang silap hari bulan dia pula yang tercekik. Jelingan tajam adiknya dibuat endah tak endah.

“Hari ni kamu ada nak ke mana-mana ke, Zariel? Takkan nak duduk terperap kat rumah aje? Lusa dah nak balik KL.” Encik Iskandar bersuara.

Iman membatu. Malas nak ambil port.

“Haaa… Itulah. Saya pun tunggu juga kalau-kalau Manda nak bawa jalan-jalan di Ipoh ni.” Sengaja dia menekan nama Manda di situ. Nama panggilan tu rasanya lebih sesuai dengan lidahnya.

Iman tak jadi meneguk air tehnya. Wajah Zariel yang laju menyuap makanan ditenungnya. Manda? Memandai sungguh!

“Ipoh ni kecik aje. Kalau you nak pergi jalan-jalan sendiri pun boleh. Tak ada nak sesatnya!” Selamba tutur katanya. Perasan Puan Manisah menjeling tak puas hati.

“Apa cakap macam tu? Tak elok. Dah kamu tu isteri dia, kamulah yang patut bawa dia kenal-kenal tempat kita.” Puan Manisah menggeleng beberapa kali. Kadang-kadang naik angin juga dia dengan perangai anak perempuannya yang satu tu. Cakap ikut sedap mulut aje.

Iman diam. Malas nak memanjangkan hal tersebut. Karang berjela pula ceramah yang ibu keluarkan nanti.

“Haaa… Apa kata aku bawa kau pergi kebun? Sekarang musim buah. Macam-macam ada. Kau makan durian tak?” Amirul bersuara.

“Makan. Tapi tak adalah bersungguh sangat. Kebun kat mana? Jauh ke dari sini?” Zariel kedengaran agak teruja. Dia tak pernah pergi dusun buah! Hidupnya selama 25 tahun hanya di dalam hutan batu yang banyak bangunan pencakar langit. Bukan banyak pokok buah-buahan.

“Taklah jauh sangat. Dalam setengah jam aje. Tapi tak dapeklah kau nak bawa Maserati kau tu.” Amirul tersengih mempamerkan giginya yang tersusun rapi.

“Kenapa?” Dahi Zariel berkerut.

“Kita nak ke kebun, bukan ke bandar. Jalannya tak sesuai dengan kereta mewah kau tu.”

“Habis tu? Kita naik apa?” Lurus aje bunyi soalan Zariel. Sungguh dia tak tahu! Takkan naik bas kut?

Iman hampir tergelak.

“Naik unta!”

Ketawa Amirul meledak kuat. Abah cuma tersenyum sumbing. Ibu dalam pada memberi jelingan tajam turut menahan tawa. Cuma Zariel yang terkebil-kebil.

“Manda…” tegur Puan Manisah.

“Betullah apa yang Manda cakap, kan? Bukan ke jip abah tu kita panggil unta?” balas Iman bersahaja. Sebab apa dipanggil unta? Sebab tiap kali lalu jalan kecil dan tak rata untuk ke kebun, kenderaan tersebut akan terhuyung-hayang seperti naik unta. Itu yang lekat sampai sekarang panggilan tersebut.

“Betullah cakap Manda tu. Kita nanti pergi dengan jip abah. Jip tu memang Manda bagi nama unta sebab masa kecil-kecil dulu kalau orang tanya dia nak bela binatang apa, dia akan jawab unta.” Sekali lagi Amirul ketawa besar. Kali ini berpadu dengan Zariel dan abah sekali.

Iman membulatkan mata. Tak sangka itu jawapan yang diberikan oleh abangnya. Sungguh kurang bernas! Garpu di tangan dihala ke arah alongnya dengan perasaan geram.

“Dahlah tu. Kalau nak ke kebun, baik bersiap sekarang. Karang dah tengah hari panas pula.” Puan Manisah meredakan keadaan. Melihatkan wajah Manda yang bertukar merah, tak sampai hati pula nak biarkan terus menjadi mangsa usikan anak sulungnya.

You are so sweet.” Zariel sempat berbisik sebelum bangun meninggalkan meja makan. Iman mencuka.

“Adik tak nak ikut? Adik kan suka jadi Tarzan kat sana. Best wooo. Dapat panjat pokok nanti,” sakat Amirul. Dia dah standby untuk lari andai kata tiba-tiba adiknya menyerang.

Iman berdiri. Belum apa-apa abangnya dah cabut dulu. Haaa… Tau pun takut!

“Haaa… Manda pergilah bersiap, tukar baju tu kalau nak ikut along dengan abah,” tegur Encik Iskandar.

“Tak apalah, bah. Manda duduk rumah aje. Tolong ibu kemas,” balas Iman seraya mengangkat pinggan mangkuk yang telah digunakan dan dibawa ke singki. Selalunya dia memang pantang diajak bila nak ke kebun. Seronok dia dapat petik buah rambutan, panjat pokok manggis, duku. Tapi kali ini dengan Zariel di sisi? Oh… Tidak sama sekali. Sebelum dia jadi bahan lagi sekali, baik dia tolak ajakan abah tu awal-awal.

“Eh… Betul ke tak nak ikut? Biasanya kamu yang bersungguh nak ke kebun.” Puan Manisah bertanya dengan nada pelik. Wajah suami dan anak perempuannya dipandang bersilih ganti.

Encik Iskandar sekadar menjongket bahu. Apa lagi sebabnya kalau bukan kerana Zariel, menantunya itu.

“Tak apalah, Manis. Elok juga dia tak pergi. Boleh tolong awak kat rumah ni. Dahlah, saya pun nak tukar baju kejap,” ujar Encik Iskandar sebelum berlalu.

Puan Manisah mendekati Iman yang sedang mencuci pinggan mangkuk. Wajah polos anaknya ditatap. Memang benar mereka suami isteri yang berkeras dalam perkahwinan ini. Namun dia yakin dengan naluri keibuannya.

“Manda… Ibu nak cakap sikit.”

Wajah ibu ditatap sekilas. Senyum terukir di bibir.

“Ada apa, ibu?” Iman seperti sudah dapat mengagak persoalan yang bakal diutarakan oleh ibunya.

“Ibu tahu Manda masih terasa dengan tindakan ibu dan abah pasal perkahwinan ni. Tapi itu tak bermakna Manda boleh layan suami endah tak endah aje. Tak baik. Dah jadi suami isteri ni kita kena ikhlaskan diri. Besar pahalanya, nak. Manda tahu kan syurga isteri di bawah tapak kaki suami?”

Iman senyum tipis. Tangan dilapkan dengan tuala kecil yang disediakan.

“Manda tahu ibu, tapi Manda perlukan masa untuk sesuaikan diri.”

Puan Manisah menggenggam tangan anaknya.

“Ibu tahu. Yang penting kamu berdua kena berusaha.”

“Insya-Allah, ibu.”

“Lagi satu ibu nak bagi tahu.”

“Apa, bu?”

“Panggilan kamu untuk suami kamu tu… Hesy… Tak sesuai betul ibu dengar.”

Iman menggaru kepala yang tak gatal. Pula! Dah tu nak panggil apa? Abang? Isy… Dah sah-sahlah dia tu lebih muda daripada aku. Sayang? Errr… Takkan kut? Muntah hijau aku nanti? Kanda? Mmm… Apa ingat ini zaman batu belah batu bertangkup ke apa? Aiseyman

“Dah tu nak panggil apa?” Soalan bendul pula yang keluar dari mulutnya.

“Panggillah yang sedap sikit. Abang ke? Ni tak… Duk I… You… I… You… Mmm… Orang putihlah sangat!” Riak wajah Iman berubah.

“Abang? Dia muda daripada Manda kut?”

“Isy… Budak ni… Ingat abang tu untuk orang yang lebih tua aje ke? Panggilan abang tu sebagai tanda hormat isteri kepada suami. Tak kiralah muda mana pun umurnya.” Iman tersengih buat-buat. Boleh ke? Adeh

“Sayanggg…” Wajah Zariel terjengul di dapur.

“Sekejap boleh?”

Alamak aiii… Mamat ni lebih-lebih pula. Puan Manisah sudah menjongket kening.

“Ya, abang. Kejap, ya?” Perkataan abang sengaja ditekan. Sempat dia melirik senyum kepada ibunya sebelum menonong pergi dapatkan Zariel.

Zariel berkerut. Abang? Telinganya salah dengar ke apa? Tersentak sekejap apabila pergelangannya ditarik.

“You ni kenapa? Bersayang-sayang… Hesy… Tak payah nak lebih-lebih sangat boleh tak? Geli tau!” marah Iman dengan suara yang cuba ditahan. Pintu bilik memang dah ditutup rapat tapi risau juga kalau-kalau ada telinga kuali yang boleh mendengar.

“Habis, you tadi panggil I apa? Abang?” Wajah Iman yang hampir dengannya ditatap tajam. Iman sedikit menjauhkan diri.

“You ingat I nak sangat panggil you abang? Hei, pleaselah!”

So, tadi kenapa? Lidah you gatal ke?” usik Zariel sinis.

“Tadi tu sebab ada ibu. Kalau tak, jangan haraplah!”

“Ooo… I see. Sebab ibu.” Zariel menganggukkan kepala beberapa kali.

Well, okay then. So, you pun tak boleh nak salahkan I kalau I pun panggil you sayang depan dia orang, kan? Kata dulu kita berlakon, kan?” Mata dikenyit nakal.

Wajah Iman kemerah-merahan. Bengkak hatinya dengar.

“Okey. Tapi I nak warning you… Berlakon… Berlakon juga tapi you jangan nak lebih-lebih, ek?”

Jari telunjuk dihala hampir ke hidung mancung suaminya.

As you wish!”

“Good. Dah, ni panggil-panggil tadi nak apa? Along dah tunggu kat depan kut.”

“Oh… Errr… I cuma nak tanya you apa yang patut I pakai nak pergi kebun ni? I tak pernah dan I tak tahu apa yang sesuai.” Dahi Zariel sedikit berkerut. Iman hampir tergelak.

“You nak pakai tuksedo pun boleh. Tak ada hallah!” Mengekek dia ketawa.

Laju lengan sasa Zariel menyauk tubuh Iman rapat ke dadanya. Pinggang Iman dipeluk kejap.

“Hei!” Iman terkejut dengan tindakan drastik lelaki itu. Darah gemuruhnya datang balik. Rasa nak tersembul keluar jantungnya. Malunya bukan kepalang. Tangan kecilnya cuba menolak tubuh sasa tersebut.

“You gelak lagi sekali, I cium you!” Zariel mengugut. Dahi dijongket beberapa kali.

Cuak Iman melihatkan wajah Zariel yang serius.

“Okey… Okey… Pakaian ni pun boleh. Tapi kalau ada lengan panjang lagi baik. Sana banyak nyamuk.” Suaranya bergetar.

Senyum tipis terukir di bibir Zariel. Tau pun takut! Kelakar pula lihat wajah cuak isterinya tu.

Please, let me go.” Sayu suara Iman. Lagi lama dia berada di dalam pelukan lelaki tu, lagi cepat dia pengsan agaknya. Matanya mula terasa panas.

“Yang you takut sangat kenapa? I peluk aje kut. Bukan buat apa-apa pun!” Serentak pinggang Iman dilepaskan.

Laju Iman berlari keluar. Tak sanggup rasanya berlama-lama di situ. Terbayang di mata aksi Zariel yang pernah memeluk wanita lain suatu ketika dulu. Sedikit sebanyak turut memberi kesan kepadanya.

“Zariel mana? Dah siap belum?” tegur Encik Iskandar.

“Yang kamu ni pucat macam nampak hantu kenapa?” Pelik melihat telatah anak perempuannya yang seorang tu.

“Dah siap, bah.” Zariel muncul dari belakang.

“Haaa… Moh le kita.” Encik Iskandar berlalu keluar. Zariel memandang wajah isterinya yang masih tak berkutik.

“Abang pergi dulu ya, sayang?” Satu ciuman dihadiahkan ke dahi Iman sebelum dia laju berjalan menyaingi langkah mentuanya.

Iman membuntang. Perutnya tiba-tiba terasa senak. Mindanya hilang fokus. Terkedu dengan tindakan Zariel. Hatinya sebu dengan perasaan marah. Cakap mamat ni memang tak boleh percaya satu sen pun! Bibir diketap geram. Penumbuk sudah dikepal. Nafasnya naik turun menahan geram.

“Bila tengok layanan Zariel kepada kamu, ibu macam tak percaya pula dia setuju kahwin sebab terpaksa. Dia seperti dah sukakan Manda aje sebelum ni.” Suara Puan Manisah dari belakang mematikan lamunan Iman.

Oh… No wonderlah! Ada ibu rupa-rupanya tadi. Padanlah dia over. Tapi siap nak cium dahi bagai tu dah melampaulah, hatinya membebel. Hanya senyuman nipis dihadiahkan kepada ibunya. Kalaulah ibunya tahu kedudukan yang sebenar.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79839/Mr-Mrs-Sweet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *