[SNEAK PEEK] MENCARI NAURAH

9789831245538-medium
MENCARI NAURAH Oleh Nazihatul Hanan

DAUNAN hijau bergerak perlahan mengikuti perjalanan angin. Gugur sehelai ke bumi, namun tidak mencacatkan pohon nan sebatang. Dihinggapi pula sepasang merpati yang sedang asyik memadu kasih sehingga lupa pada mahkluk di sekelilingnya. Mujur hanya sang merpati. Tidak perlu malu dan segan pada mata yang memandang.

Aku lihat seorang mahasiswi begitu khusyuk dengan sesuatu. Oh… rupa-rupanya dia sedang membaca sistem pesanan ringkas (SMS). Kadang-kadang dia senyum sendiri. Melihat ke langit dan tunduk kembali. Kemudian, dia tersenyum lagi. Agaknya ada sesuatu yang membuatkan hatinya berbunga. Sebab itulah dia tidak sedar yang dia sedang diperhatikan.

Begitu cantik ciptaan TUHAN. Pohon yang dihinggapi merpati menjadi tempat beristirehat si mahasiswi. Bukanlah penghias taman semata-mata. Punya sumbangan yang besar buat setiap sesuatu di sekelilingnya tetapi aku…

“Jauh mengelamun,” tegur Anuar.

“Tak adalah. Baru selesai latihan untuk persembahan dengan adik-adik. Saya nak berehat sekejap,” aku berkata perlahan tanpa memandang wajahnya.

“Boleh saya duduk?” soalnya lagi.

“Hmm…”

“Baik… baik. Biar Abang War berdiri sahaja,” kata Anuar seolah-olah tahu isi hatiku.

Tidak manis jika dilihat adik-adik. Lebih parah jika menjadi bualan fasilitator. Bulan sudah, kedengaran gosip liar antara aku dan Anuar. Entahlah… menjadikan aku trauma untuk berbual mesra dengannya.

“Kumpulan Asha buat persembahan apa?” Anuar memulakan bicara.

“Dikir barat,” jawabku acuh tidak acuh. Khuatir dia akan berlama-lama denganku. Silap hari bulan, muncul pula gosip panas yang boleh menjatuhkan air mukaku. Pengalaman lampau mengajarku untuk lebih berhati-hati. Bak kata pepatah, mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia belum tahu lagi.

Sakit hatiku mengenangkan sikap Anuar yang buat tidak endah atas cakap-cakap orang terhadap kami. Seolah-olah merestui tanggapan umum bahawa kami sebenarnya punya hubungan istimewa. Tidak! Kami tidak terikat dengan apa-apa hubungan mahupun komitmen.

Allahu Akbar Allahu Akbar…

Terdengar sayup-sayup suara Asyraf mengalunkan azan menandakan sudah masuk waktu solat fardu maghrib. Astaghfirullah, aku terleka seketika. Sudah senja rupanya. Aku malu sendiri kerana tidak bersedia lebih awal untuk menemui TUHAN-ku.

“Baiklah, saya pergi dahulu. Panggilan ILAHI sudah menjemput,” ujarku sinis lantas meninggalkan Anuar terkebil-kebil sendirian. Ya! Seruan ILAHI itu lebih utama daripada melayani Anuar yang acap kali mencari ruang untuk berbual mesra denganku.

Cukuplah sekali aku terkena. Tindakanku menerima buah tangan daripada Anuar yang baru pulang mengerjakan umrah menyebabkan namaku menjadi sebutan. Maklumlah, bila mana singa lapar begitu lembut terhadap individu tertentu, pasti menimbulkan tanda tanya kepada semua orang.

Siapa tidak kenal Anuar? Presiden Kolej Kediaman Pertama ini begitu terkenal dengan ketegasan dan ketepatannya menjaga masa. Sudahlah kacak, anak orang kaya pula. Ditambah dengan ketokohannya sebagai pemimpin membuatkan namanya tidak lekang dari bibir mahasiswi Universiti Malaya ini.

Dia punya keistimewaan tersendiri dan seorang yang berkaliber. Kerap juga aku mendengar suara-suara yang begitu kagum dengan Anuar bahkan ada yang menyimpan perasaan terhadapnya. Namun, aku? Entahlah, aku sendiri tidak tahu. Mungkin…

****

“SERONOK bertemu janji dengan tuan presiden?” tanya Rose sesudah dia menunaikan solat sunat maghrib.

Aku diam. Aku tahu Kak Rose hanya bergurau sahaja.

“Hati-hati. Akak risau timbul fitnah lagi. Cuba Asha tengok kertas ini. Apa yang Asha nampak?” kata Rose sambil membuka buku catatan yang sering dibawanya ke mana-mana sahaja.

“Bintik hitam,” jawabku ringkas.

“Asha benar-benar pasti?” Rose menyoal lagi, membuatkan keyakinanku sedikit terhakis.

“Insya-ALLAH,” balasku perlahan.

“Inilah perumpamaan pandangan manusia. Seringkali melihat sesuatu yang kecil… halus. Dia seolah-olah tidak nampak dengan keseluruhan kertas tersebut yang berwarna putih. Asha faham maksud akak?” Rose menyoalku. Renungan matanya yang tajam membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku seperti sedang berada di kandang pengadilan dan menanti saat dijatuhkan hukuman.

“Faham, kak.” Aku tertunduk kelu. Kemudian, mendongak kembali dan memandang Kak Rose yang masih setia merenungku. “Terima kasih, kak,” hanya ungkapan itu yang mampu kuucapkan.

Perlahan-lahan, Kak Rose mendekatiku. Lebih dekat dari tadi. Dia menggenggam erat jari-jemariku. Kemudian, tanpa dipinta Kak Rose mencium pipiku dengan penuh kasih sayang. Jiwaku melayang seketika. Umpama menerima ciuman daripada ibu tercinta.

“Akak sayang Asha kerana ALLAH, insya-ALLAH.”

Bisik Kak Rose perlahan lantas meninggalkanku. Mataku tidak berkelip memandangnya yang berjalan perlahan dan penuh tertib. Sememangnya aku berbangga mengenalinya, insan yang memiliki keperibadian tinggi yang tidak boleh disangkal lagi.

Aku bangga mempunyai kakak secantik dan sebaik Kak Rose. Ditambah dengan kelembutan semula jadi dirinya. Bisa menggugat iman mereka yang kurang amalannya. Namun, Kak Rose sama sekali tidak menggunakan anugerah miliknya untuk menarik perhatian sesiapa. Katanya, kecantikan adalah satu ujian. Jika tidak dijaga sebaiknya, ia akan memusnahkan diri sendiri.

Aku lihat Kak Rose begitu asyik melayan karenah adik-adik junior yang mengerumuninya. Aku pasti, mereka juga terkesan dengan kelembutan dan kecantikan milik Kak Rose. Sejuk mata yang memandang. Aku ingin mengaji sementara masuknya waktu isyak, namun kata-kata Kak Rose sebentar tadi menggamit perasaanku. Membuatkan aku berfikir dan terus berfikir. Memang ada betulnya…

Benar! Mata-mata yang melihat pasti menyalahkanku kerana bercakap-cakap dengan Anuar tetapi mereka tidak pernah mahu ambil tahu. Apakah yang dibualkan? Siapakah yang memulakan? Sejauh mana aku berusaha untuk menghindari situasi petang tadi???

Argh… aku hanya pandai memberi alasan untuk melepaskan diri. Kalau bukan aku yang mendatangkan fitnah, sudah pasti tidak ada yang akan berbicara.

Allahuakbar Allahuakbar…

Kedengaran suara Asyraf melaungkan azan. Entah kenapa jantungku bergelora kencang tatkala mendengar suara itu. Setiap kali aku melihatnya, membuatkan mindaku tidak keruan. Pengarah program Minggu Tautan Kasih ini acap kali menjadikan tidurku tak lena dek memikirkannya sehingga terbawa-terbawa ke alam mimpi.

Allahuakbar…

Astaghfirullah, jauhnya aku mengelamun. Sudah mula solat rupanya. Tidak sempat untuk menunaikan solat sunat rawatib. Argh!! Jiwa yang berkarat ini acap kali berasa sepi. Mengapa? Kerana hati di dalamnya punya ruang yang masih kosong dan perlu diisi. Dengan apa??? Alahai… masih sempat aku berfalsafah di dalam rumah ALLAH ini…

“Nanti kita jumpa di dewan makan. Akak nak balik bilik sekejap,” kata Rose lalu berlari anak menuju ke biliknya.

Tidak sempat aku bertanya lanjut. ‘Baik,’ aku menjawab sendiri.

****

RIUH-RENDAH suasana dewan makan. Aku lihat pelajar junior begitu asyik dengan persiapan akhir untuk persembahan mereka. Ada yang memakai baju kebangsaan dan ada juga yang mengenakan baju rasmi kolej. Mahu berkoir agaknya.

Kulihat kiri, kupandang kanan. Tidak nampak kelibat tubuh itu. Hanya kelihatan Anuar yang begitu bersemangat memberi penerangan kepada seorang pelajar siswi junior. Terserlah gaya seorang pemimpin. Aku memandang ke kiri dan ke kanan kembali.

“Assalammualaikum. Melilau sahaja. Cari akak?” Kak Rose bertanya, mematikan pencarianku.

“Ya,” jawabku. Aduh… Aku sudah mula menipu. Bukankah pepatah Melayu ada menyebut, ‘Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri.’ Oh, tidak! Aku tidak punya niat untuk berbicara dusta apatah lagi menjadi seorang pencuri. Namun, aku tidak cukup kuat untuk berkata benar. Aku bukanlah Umar Al-Faruq yang sentiasa benar dalam perkataannya.

Khulafa’ Ar-Rasyidin yang kedua ini begitu tega membezakan sesuatu yang benar dengan yang batil. Siapa tidak kenal Sayidina Umar Al-Khattab? Jasadnya menjadi kegentaran penentang Nabi Muhamamd SAW serta musuh-musuh ALLAH. Tika mana umat Islam begitu takut dengan ancaman Quraisy yang dilaknat TUHAN, abang ipar Saad bin Zaid ini tanpa gusar menonjolkan keIslamannya secara terang-terangan. Dan… Baitullah telah menjadi saksi keberaniannya.

“Jom. Cepat cari tempat,” ujar Rose lagi.

“Akak duduk dahulu, boleh? Saya nak lihat adik-adik membuat persiapan akhir. Akak tolong tandakan tempat untuk saya, okey?” Aku memberi alasan.

“Jangan lama sangat…” kata Rose lalu berjalan ke arah kerusi VIP.

Aku melilau kembali. Kupandang kiri, kupandang kanan, kulihat hadapan, kulihat belakang. Nah! Mataku tertumpu pada kelibat seseorang. Mulutnya terkumat-kamit. Aku tahu, sudah tentu dia sedang berzikir mengingati ALLAH. Aku jua sedia maklum… bilanmana kita mengingati ALLAH kala lapang dan sibuk, pasti ALLAH akan ingat tika kita memerlukan-NYA.

“Kak Natasha, saya gelabahlah,” seorang junior menegurku.

“Kenapa, Marjan?” aku menyoal lembut. Matanya yang sedia sepet itu kelihatan sedikit berair. Terlalu takut agaknya. Tak pun, dia tidak cukup bersedia dengan tugasan yang telah diamanahkan kepadanya.

“Abang Anuar minta saya jadi pengerusi majlis malam ini,” katanya lagi.

“Saat-saat akhir?” dahiku berkerut.

“Tidak, kak. Dia sudah maklumkan pada saya dua hari sudah, tetapi saya semacam tetap tidak bersedia. Saya baru sahaja dipanggil Abang Anuar.” Marjan menjelaskan. Terdapat getaran pada butir bicaranya.

“Jangan risau, sayang. Selawat banyak-banyak. Berpasangan dengan siapa?” aku bertanya lagi.

“Dengan Qaddaffi,” jawab Marjan pendek. Mukanya pucat.

“Marjan, tenang. Kalau masih tak tenteram, Marjan bayangkan muka akak yang comel… manis… jelita…” aku cuba menghiburkan hatinya yang sedang gundah dan ketakutan seperti sedang dikejar seekor singa yang kelaparan. Benar! Adikku yang seorang ini telah ditangkap oleh seorang insan yang bergelar singa lapar.

Kemudian Marjan berjalan ke belakang pentas.

Aku masih mahu mengukir senyuman. Aku dan Marjan merupakan individu yang berbeda, namun kami punya pengalaman yang hampir sama. Ya! Mana mungkin aku melupai saat-saat dimarahi Asyraf kerana lewat hadir ke dewan makan. Bukan sengaja. Jamku mati tetapi alasan yang kuberi menjadi bahan ketawa para senior. Tidak terkecuali Asyraf yang tua dua tahun daripadaku. Pelajar fakulti kedoktoran itu berusaha keras menahan gelak, namun tidak berjaya. Dia ketawa sehingga merah mukanya.

“Kalau saya tidak tenang, saya hendak bayang wajah siapa?” Anuar menerjah.

Sejak bila pula dia berada di belakangku?

“Saya bayang muka Asha yang macam bayi ini, boleh? Tidak salah, bukan?” kata Anuar lagi.

‘Tolong… Kak Rose, tolong selamatkan Asha,’ aku meraung sendiri.

“Asha, Asha. Marilah duduk, program dah nak bermula,” Rose melambai-lambai ke arahku.

Alhamdulillah. Kak Rose hadir menyelamatkanku. Tidak! ALLAH yang melindungiku daripada terjerumus ke lembah fitnah. Kak Rose pula menjadi wasilah bagi ALLAH untuk menarik kakiku yang hampir tersungkur. Ditambah dengan ikatan ukhwah yang terjalin kerana ALLAH membolehkan dua hati itu berhubung tanpa disedari. Ya! Sesungguhnya, doa rabitah hati yang aku amalkan setiap hari itu besar manfaatnya. Bisa mengikat hati-hati manusia kepada TUHAN. Dan… dua jiwa itu adalah milik aku serta Kak Rose.

‘Terima kasih, ya ALLAH,’ kataku di dalam hati. Dengan izin-MU, dapat aku hindari fitnah ini… Fitnah yang banyak menimbulkan perpecahan di kalangan umat manusia. Fitnah yang bisa mengganggu-gugat keamanan sejagat. Sama sekali tidak menguntungkan mana-mana pihak. Tidak sama sekali! Fitnah yang membangkitkan perasaan benci dalam diri. Benci dan marah kepada si pemfitnah serta mereka yang difitnah.

Tanpa sedar, banyak kaki yang menuruti langkah Abdullah bin Ubay. Tanpa rasa takut kepada ALLAH yang amat teliti penghitungan dan perkiraan-NYA, Aisyah dan Sofwan dijadikan mangsa. Mangsa fitnah yang jelas boleh membinasakan.

Ah!!! Begitu besar kesan fitnah ke atas manusia dan aku pula sedang menuju kepadanya.

Beruntunglah Sayidatina Aisyah r.a kerana dibersihkan namanya melalui firman ALLAH yang berbunyi, ‘Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagimu bahkan ia adalah baik buatmu. Tiap-tiap orang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang besar dalam penyebaran berita bohong itu, baginya azab yang besar…’

Sedangkan isteri kesayangan Rasulullah menerima tuduhan serong sebegini, inikan pula aku manusia biasa. Insan lemah yang masih memerlukan tarbiah untuk menyucikan hati dan jiwa. Aku begitu naif tentang kehidupan yang begitu banyak pancarobanya. Aku begitu kerdil dan hina di hadapan TUHAN. Masih banyak yang perlu aku pelajari untuk membersihkan hati yang semakin kotor sehari demi sehari.

Moga-moga ALLAH akan sentiasa memberi ruang dan peluang kepadaku untuk kembali mengharapkan keampunan-NYA di atas segala kekhilafanku. Andai kata puteri kesayangan Sayidina Abu Bakar itu disucikan namanya oleh ALLAH melalui wahyu-NYA, aku berharap agar ALLAH memeliharaku daripada fitnah yang boleh memusnahkanku…

“Assalammualaikum dan selamat malam.”

Lamunanku terhenti. Suara itu telah membuatkan aku tersentak sendiri.

“Waalaikumussalam… malam…” bergema dewan makan dengan suara para pelajar.

“Apa khabar semua? Segalanya ditanggung beres?”

Diam sejenak…

“Bersemangatlah sedikit,” katanya lagi.

“Seronok…” jawab pelajar-pelajar junior.

“Baiklah… cukup untuk hari ini. Pagi esok, abang akan umumkan pemenang kumpulan terbaik. Malam ini, balik bilik dan terus tidur. Bagi pelajar yang beragama Islam, jam 4.30 pagi esok ada qiamullail di surau Umar Al-Khattab. Pastikan datang tepat pada waktunya. Kita berkumpul balik dalam dewan ini jam 9.00 pagi, insya-ALLAH,” Asyraf menambah. Sedikit tegas tetapi tetap bersahaja.

“Baik…” jawab satu suara.

“Okey…” sayup-sayup jawapan sebegini kedengaran.

“Insya-ALLAH,” laung Anuar dan diikuti dengan laungan yang sama oleh pelajar-pelajar yang beragama Islam.

“First college…”

“Power!”

“First college…”

“Power!”

“Baik, kita bersurai di sini. Assalammualaikum dan selamat malam,” Asyraf menyudahi kata-katanya.

Aku tersenyum memandang wajahnya yang tenang. Kemudian, aku menoleh ke arah Kak Rose yang begitu ralit memerhatikan Asyraf. Hmm…

Tiba-tiba, wajah ibu berlegar-legar di dalam kotak pemikiranku. Tidak sabar rasanya untuk menjamah air tangan ibu. Malam esok aku akan balik kampung setelah berminggu-minggu berkampung di kampus Universiti Malaya ini!!!

Alhamdulillah, selesai sudah semuanya. ‘Balik kampung… ooo balik kampung,’ bait lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad kunyanyikan perlahan-lahan sambil tersenyum manis. Maniskah senyumanku? Entahlah…

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81601/Mencari-Naurah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *