[SNEAK PEEK] KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU

KUALA LUMPUR DI MANA SUAMIKU Oleh Sri Diah

HIDUP BUKAN MIMPI DAN

MIMPI TAK MUNGKIN JADI REALITI

Kuala Lumpur, Jumaat 1 Januari 1999

NATASYA memulakan tahun baru dengan penuh semangat. Diari tahun lalu ditutup dan disimpannya di dalam laci. Ramai yang tidak tahu, sebenarnya di dalam laci itu tersimpan khazanah yang menjadi rahsianya selama ini. Memang sejak remaja lagi menyimpan diari merupakan hobinya. Dia yakin tidak ramai wanita yang mempunyai hobi seperti ini.

Ah, bertambah satu lagi koleksi diariku, bisiknya.

“Kalau akulah, bukan kata nak simpan diari, nak tulis diari tiap hari pun aku malas,” kata Jullia sahabatnya sejak mereka di asrama penuh dahulu dan kini satu pejabat pula.

“Diari ini adalah rahsia hati. Kata orang, kita tak mempunyai ramai kawan yang boleh dipercayai, jadi segala isi hati dicurahkan dalam diari. Diari ini bagaikan hati nurani kita,” jawab Natasya spontan.

“Sebenarnya aku malas. Banyak lagi hal lain yang nak aku buat, tak payahlah nak habiskan masa menulis diari.”

“Jullia… janganlah asyik layan kehendak luaran aje sampai kau abaikan kepuasan nurani kau.”

“Sebenarnya aku tak ada masa, Tasya.”

“Tapi aku pun sibuk setiap hari.”

“Agaknya sebab aku tak minat…”

“Tapi Jullia, minat boleh kita pupuk.”

“Setiap hari aku sibuk dengan hal-hal lain, nak tulis diari pun jadi malas. Daripada menghabiskan masa menulis diari, lebih baik aku siapkan proposal ataupun report aku.”

“Bukannya lama… sehari lima minit aje. Kalau tak pun kau mesti buka diari setiap hari untuk tengok segala hal-hal penting.”

Yes… aku tengok appointment.”

“Jadi lebihkan sedikit masa untuk berkata dengan isi hati sendiri dalam diari. Tak ada ruginya.”

Jullia hanya senyum. Dalam hati dia akan cuba praktikkan apa yang kawannya itu katakan. Tapi entahlah… mungkin menjadi atau mungkin berhenti sekerat jalan.

“Sebenarnya banyak rahsia aku ada dalam diari-diari tu. Ada kalanya tulisan tu menjangkau lebih daripada apa yang kita rasai. Kadang-kadang aku bertanya balik, eh… betul ke aku yang tulis semua tu.”

“Tasya… boleh aku tumpang baca diari kau?”

“Oh… nak tumpang baca benda lain boleh… tapi nak baca diari aku, sorry Jullia. Ia amat rahsia, terlalu rahsia.”

Jullia terdiam. Dia tidak boleh mendesak, kerana itu adalah hak Natasya.

Kemudian mereka meneruskan kerja masing-masing. Sesekali Jullia menjeling-jeling ke meja Natasya melihat rakannya itu sedang tekun menulis pada diari yang baru- diari untuk tahun 1999. Diari Muslimah terbitan Karya Bistari itu baru dibelinya di Jalan Masjid India, semalam.

Semua tarikh penting seperti tarikh hari jadi rakan-rakan, tarikh ulang tahun perkahwinan, tarikh hari jadi suaminya dan pelbagai lagi tarikh disalin semula ke dalam diari yang baru itu.

Kata-kata pertamanya untuk diari tahun itu ialah:

2 Januari 1999 – … hidup bukan mimpi dan mimpi

tak mungkin jadi realiti.

Sebenarnya, banyak rahsia tersimpan di dalam diari-diari Natasya sebelum itu. Terutama rahsia cintanya, rahsia tentang masa silamnya dan rahsia kebebasannya!

Dunia orang muda di tengah kota, tidak usahlah dinafikan. Natasya sudah terlalu puas dengan permainan kota. Namun, semua itu kini tinggal kenangan. Tentang cintanya dengan Simon di syurga mereka di Bukit Antarabangsa, tentang sikap lepas bebasnya bersama Richard di Ukay Height… dan segalanya!

Ah, Natasya tidak mungkin menceritakan segalanya kepada sesiapa walau suaminya sendiri! Sama sepertinya, dia juga tidak ingin mengetahui masa silam suaminya. Pertemuan tidak sengaja dengan Nazril dalam satu majlis rasmi akhirnya telah merantai Natasya menjadi kekasih dan akhirnya menjadi isteri Nazril.

Kiriman ros daripada Nazril tiba hampir setiap hari ke mejanya. Panggilan-panggilan nakal, kata-kata lucu dan sesekali pelukan manja Nazril membuai emosi Natasya. Sehari tidak jumpa, bagaikan berbulan Nazril menghilang.

Sejak itu dia sudah ‘tutup buku’ dengan segala kemungkaran silam dan tidak mungkin diselak kembali segala momen kelmarin.

AKHIR Disember 1998 lalu, perkahwinan Natasya dengan Nazril berlangsung dengan penuh meriah. Seterusnya kini dia ingin memulakan Januari ini dengan azam yang teguh. Biarlah kemeriahan di majlis perkahwinan itu berterusan sampai bila-bila, itulah yang paling diingininya.

Harapannya juga semoga perkahwinan mereka bahagia dan terus meniti anak tangga kegembiraan. Nazril yang kini telah menjadi suaminya, adalah semulia-mulia lelaki di matanya. Di bahunya disangkutkan harapan, di dadanya dibaringkan kebahagiaan.

Sememangnya harum bau bunga rampai dan lemaknya rasa pulut semangat di kaki pelamin masih lagi terbau-bau di hidung Natasya, masih lagi terasa di tekaknya. Begitu juga kenangan manis dan bahagia tatkala cincin berlian bermata satu itu disarungkan ke jari manis tangan kanannya.

Lebih daripada itu dia masih lagi terbawa-bawa indahnya kamar pengantin mereka. Indahnya segala kenangan yang telah mereka abadikan di malam pertama perkahwinan.

Dan Natasya ada mencatatkan kenangan manis itu dalam diarinya. Antara lain dia menulis;

… asmara ini amanah, ia adalah nikmat

tersebarlah ia ke seluruh peribadi

hingga hari mati.

 Sesungguhnya itulah detik manis yang tak akan luput daripada ingatannya sampai bila-bila.

****

BAHARIN… SIANG DAN MALAM

MERANGKAK PERGI,

CINTA KASIHMU BERTAPAK DI HATI

11.30 malam, Ahad 3 November 2002

BAHA baru sahaja menghantarku pulang. Tidak dinafikan, hari demi hari kami semakin rapat. Setiap kali akan berpisah, terlalu berat untuk kulepaskan dia pergi. Bertahun berjuang akhirnya aku bebas daripada cengkaman Nazril Biarlah dia mengutip kasihnya yang tercicir bersama Laili. Kini aku berjaya melepasi segala rintangan itu untuk menggenggam kebahagiaan di sisi Baha.

Aku tak tahu apakah ini balasan terhadap dosa-dosaku sebelum aku dengan rela hati menyebut kalimah syahadat di Perkim dahulu? Dulu akulah Caroline yang hebat. Abangku Albert kerap menasihatiku supaya mementingkan moral keluarga. Tetapi mana boleh… Akulah Caroline yang menjadi kegilaan ramai anak-anak tauke.

Atau apakah ini amaran daripada Yang Maha Esa supaya aku terus tawakal dengan jalan yang telah kupilih ini dan meneguhkan imanku terhadap Islam?

Baha… dunia ini tak lama lagi akan menjadi milik kita berdua, jika ALLAH merestuinya. Kita akan bersanding di pelamin jika ALLAH izinkan. Menjelang detik ijab kabul itu, sama-samalah kita bersabar melalui dugaan-NYA.

Kita akan menjadi suami isteri dan bebas melakukan hubungan yang sudah lama tertangguh. Insya-ALLAH kita akan menimang cahayamata kita bersama jika ALLAH merestuinya. Menjelang saat itu aku berharap kita dapat bersama-sama mengawal nafsu yang terlalu lama terkongkong ini. Dan sama-samalah kita saling ingat mengingatkan bahawa di antara kita berdua, ada syaitan dan malaikat yang saling berlawan menunjukkan kekuatan.

Baha, dah banyak kali aku mendengar kata-kata keramat ini keluar dari bibirmu; I love you Tasya… love you so much! Dan setiap kali itu juga kau kecewa apabila mulutku terlalu berat untuk membalasnya dengan maksud yang serupa. Memang aku juga cintakanmu… tetapi aku takut untuk menuturkannya. Ia berada betul-betul di hujung bibir, tetapi apabila akal warasku dapat menterjemahkan apa yang bermain dalam sanubariku, aku terus hilang kata-kata. Aku bimbang ia akan hanya tinggal kata-kata semata!

Tunggulah, saatnya pasti akan tiba jua. Kata-kata itu akan kubuktikan dengan penyerahan jiwa dan raga. Waktu itu kau bebas untuk memperlakukan aku apa sahaja…

Tentang arwah auntie sama sekali tiada dendam di hatiku terhadapnya. Aku sudah lupakan segala caci makinya. Cuma aku ralat kerana tidak sempat memanggilnya ‘mama’.

Baha, lepas ini kita jangan berpisah lagi. Dan aku tidak akan menyorok-nyorok lagi datang ke apartmenmu yang telah menyimpan segala rahsia kita selama ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/99740/kuala-lumpur-di-mana-suamiku

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *