[SNEAK PEEK] KARMA

KARMA Oleh Resmanshah

KAMI melangkah masuk ke dalam sebuah restoran Arab yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam. Sebaik kami semua melangkah masuk di kedai yang tampak mewah itu, pintu kedai terus ditutup. Papan tanda kecil bertulis ‘tutup’ dipamerkan pada kaca pintu restoran.

Seorang pelayan lelaki mempersilakan kami di sebuah meja yang dihias cantik. Kami dilayan seperti kerabat diraja. Pelayan itu dengan penuh hormat, mengambil pesanan kami. Tapi aku tidak ke situ untuk makan. Jadi aku pesan jus tembikai saja. Julianshah juga tidak punya selera untuk makan. Walau aku tahu dari mukanya, jelas dia sedang menahan lapar. Sudahnya dia pesan Cappucino sahaja. Lelaki tua itu juga minum kopi arab.
“Maafkan saya kerana tidak memperkenalkan diri tadi. Nama saya Rano Karjo,” ujar lelaki itu.
Akhirnya kami tahu nama lelaki tua itu.
Belum sempat Julianshah memperkenalkan diri, Rano Karjo sudah kata dia tahu nama Julianshah.
“Apa yang terjadi kepada ibu saya Pak Cik Rano?” soalku dengan pantas
Aku tidak mahu membuang masa. Rasa ingin tahu di hatiku semakin memberontak.
Rano Karjo kelihatan berat hati hendak menjawab soalanku itu. Riak wajahnya kembali sedih. Satu keluhan berat dia lepaskan di depan aku dan Julianshah.
“Almarhum ibumu tidak mati kerana sakit. Tetapi dia dibunuh!” ulas Rano Karjo.
Aku rasa dunia seperti terhenti seketika. Telingaku berdengung. Jantungku mendadak berdebar.
“Biar betul!? Pak cik jangan cuba nak main-main hal macam ni!” beritahuku.
Julianshah marah-marah. Aku tahu dia tidak mahu aku bersedih lagi.
“Kamu lihat wajah saya! Adakah saya main-main?” jawab Julianshah.
Rano Karjo membentak dalam kesedihan.
“Ap… apa yang terjadi kepada ibu saya sebenarnya pak cik?” soalku dengan lemah.
Aku cuba menelan rasa sakit yang sedang tumbuh di lapangan perasaanku.
“Sebelum dia bertemu dengan arwah ayahmu, Mahsuri Dewi adalah rakan seperguruan saya. Kami membesar bersama di Indonesia. Dari anak kecil, hinggalah kami meningkat remaja. Kami tidak pernah berpisah. Saya cintakan dia dan dia juga mencintai saya. Namun percintaan kami tidak mendapat restu dari orang tua. Kerana kedua orang tua Mahsuri Dewi mahu dia dijodohkan dengan anak rakan baik mereka iaitu Sujih Darmowo atau lebih dikenali sebagai Wak Sujih,” beritahu Rano Karjo sepenuh hati.
Rano Karjo berhenti bercerita bila pelayan tadi datang menghidang minuman kami. Dia meneruskan selepas pelayan itu pergi.
“Saya kecewa dan lari membawa diri ke Australia. Saya terpaksa berbohong kepada Mahsuri Dewi agar dia membenci saya. Namun walau selepas kami berpisah, dia nekad tidak mahu bersama dengan Wak Sujih. Mahsuri Dewi melarikan diri ke Malaysia dan seterusnya bertemu dengan ayah kamu. Selepas berpuluh tahun lamanya, saya mendapat khabar tentang kematian Mahsuri Dewi. Pada mulanya saya fikir masanya sudah tiba. Kerana dia juga sedang menderita sakit. Tapi saya tergerak hati untuk menyiasat dan mendapati dia mati dibunuh!” Rano Karjo kelihatan terseksa menahan rasa sedihnya. Sama seperti aku. Air mata sedang mengalir di pipiku tanda sedar.
“Rakan seperguruan? Mati dibunuh? Apa sebenarnya yang terjadi? Maksud saya, ibu Zara belajar apa dan kenapa dia dibunuh?” tanya Julianshah dengan pantas.
Julianshah masih tidak puas hati.
Rano Karjo memandang roman Julianshah sebelum berkalih kepada aku. Dia macam teragak-agak hendak menjawab soalan Julianshah itu semua.
“Sukar untuk saya jelaskan. Tapi demi untuk tidak dituduh cuba menipu, saya akan beritahu. Saya harap kamu bisa membuka minda kamu untuk menerimanya,” beritahu Rano Karjo lagi.
Rano Karjo berhenti seketika.
“Bermula dari abad ke-14 lagi, lima orang pahlawan yang berkawan baik telah menjumpai sebuah gua. Di mana di dalam gua itu mereka telah mempelajari ilmu yang membolehkan mereka menyeru makhluk yang tidak diketahui asal-usulnya. Bukan jin kafir dan bukan juga syaitan. Pada mulanya mereka mempergunakan makhluk-makhluk ini untuk mempertahankan negeri mereka. Namun sebaik zaman berubah dan perang sudah tamat, ilmu itu diperturunkan kepada waris atau anak-anak murid mereka. Ada antara mereka yang memiliki ilmu menyeru itu telah menggunakannya untuk membunuh orang-orang jahat. Tapi lama-kelamaan, wujudlah persatuan demi persatuan. Ada persatuan yang hanya membunuh orang jahat, dan ada juga yang membunuh sesiapa saja,” ujarnya dengan panjang lebar.
Rano Karjo berhenti meneguk kopi panasnya.
“Saya dan Mahsuri Dewi adalah antara manusia yang mempunyai ilmu tersebut. Hanya yang memiliki ilmu ini saja yang akan menjadi ketua persatuan. Selepas saya membawa diri, saya mendapat perkhabaran yang tidak diingini oleh semua ketua persatuan. Satu peperangan di antara sekutu persatuan yang hanya membunuh orang jahat dengan yang membunuh sesiapa saja, telah terjadi di Malaysia. Saya terus ke sini dan bertemu kembali dengan Mahsuri Dewi. Begitu juga dengan Wak Sujih. Kami bertiga dan beberapa persatuan lain bersekutu memerangi sekutu persatuan yang mempergunakan ilmu mereka membunuh orang yang tidak bersalah.
Di situlah kami dapat tahu yang di antara kami semua, Mahsuri Dewi adalah yang terkuat. Makhluknya yang dipanggil dengan nama Lawangsuri menjadi makhluk yang paling digeruni. Selepas perang itu, kami kembali membawa diri masing-masing. Saya kembali ke Australia dan Mahsuri Dewi kekal di Malaysia. Sedang Wak Sujih kembali ke Indonesia,” sambung Rano Karjo lagi
Riak wajah Rano Karjo tampak sedih.
“Tapi ketika usia kami sudah semakin tua, saya mendengar khabar yang Mahsuri Dewi telah meninggalkan persatuannya. Hingga persatuannya itu pupus. Dia juga tidak mewariskan ilmunya kepada kamu. Kerana dia mahu hidup sebagai manusia biasa. Tanpa perlu membunuh lagi. Di saat itu, Wak Sujih datang membunuh Mahsuri Dewi yang sebenarnya sudah memang sakit!”
Ada dendam dalam nada suara Rano Karjo. Begitu juga dengan hatiku!
“Bukankah ibu Zara mempunyai makhluk yang paling digeruni dan paling kuat? Macam mana pula Wak Sujih boleh bunuh dia?” celah Julianshah mencelah.
“Mulanya Wak Sujih adalah orang yang baik. Hingga Mahsuri Dewi mempercayai dia walaupun tidak mencintainya. Dengan kepercayaan itu Wak Sujih telah menewaskan Mahsuri Dewi. Ibu kamu Zara, tidak mahu menggunakan ilmunya saat diserang oleh dia,” ujar Rano Karjo lagi.
Dendam dan amarah bercampur pekat di dalam hatiku mendengar semua itu.
Aku terlalu marah untuk berkata-kata. Julianshah mula risau melihat riak wajahku yang penuh dendam dan kemarahan.
“Saya mencari kamu kerana… Wak Sujih mahu memulakan satu lagi perang. Dia kini menjadi ketua kepada sekutu persatuan yang membunuh manusia lain sesuka hati mereka. Sedangkan sekutu kami tidak mampu menumpaskan Wak Sujih. Tidak tanpa Lawangsuri. Selepas secara tidak sedar kamu telah membunuh tiga lelaki jahat itu dan ibu tiriku kamu yang jalang, kami tahu. Lawangsuri telah bangkit dari tidur yang panjang,” beritahu Rano Karjo lagi.
Sekarang barulah jelas semuanya. Lawangsuri sendiri telah mencari aku. Dia menyamar menjadi rakan karib ibuku dan bertemu denganku di depan kubur ibu. Rantai yang dia berikan kepadaku selama ini mungkin kunci atau lambang yang aku adalah tuan barunya.
Julianshah mengeluh sambil bergeleng kepala. Dahinya berkerut. Sepertinya dia tidak boleh menerima semua itu. Aku sudah tidak kisah. Sekarang aku sudah tahu apa tujuan ilmu ini.
“Apa yang perlu saya buat?” tanya aku akhirnya.
“Zara!” panggil Julianshah.
Julianshah pandang aku dengan muka yang berkerut.
“Saya mahu kamu seru Lawangsuri dan tewaskan Wak Sujih. Saya pernah cuba tewaskan dia, namun saya hampir kehilangan nyawa saya,” balas Rano Karjo.
“Zara. Awak kena fikirkan dahulu hal ni. Takkan awak…” ucap Julianshah dengan tergantung.
Aku tidak mahu dengar apa kata seterusnya dari Julianshah.
“Sudah Julianshah. Aku dah fikirkan semuanya dan keputusan aku muktamad!” cantasku.
Julianshah mengetap giginya lalu mengeluh. Dia bersandar pada kerusinya. Wajahnya tampak kecewa.
“Di mana aku boleh cari dia?”
“Sabar dahulu Zara. Belum masanya untuk kamu bertindak. Saya juga marah dan berdendam seperti kamu, tapi kamu harus kawal diri kamu. Kerana untuk menentang dia, akal kamu harus sama tajamnya dengan ilmu kamu,” tingkah Rano Karjo.
Aku tatap matanya tajam. Sedang dia cuba mengukir senyuman kecil sambil mengangguk kepalanya. Isyarat menyuruh aku bertenang. Tidak membiarkan dendam dan amarah menguasai diriku.
Satu rengusan kasar aku lepaskan. Perlahan-lahan air mataku mengalir lagi. Tapi cepat-cepat aku kesat dengan lengan bajuku.

PANAS terik matahari di sebelah pagi menganjakkan masa ingin memasuki waktu tengah hari. Namun, Wak Sujih masih berkurung di dalam bilik bacaannya. Riak wajahnya tampak sedih dan kesal. Sedang fikirannya membawa dia ke masa silam.
Ketika itu dia dan Mahsuri Dewi masih anak kecil. Usianya dua tahun tua dari Mahsuri Dewi. Kedua-dua bapa mereka berkawan baik. Begitu juga dengan mereka. Ke mana saja, mereka sukar dipisahkan. Ketika dia berusia 12 tahun, dia sudah mula dilatih. Mahsuri Dewi juga begitu. Tiga tahun kemudian, mereka diberikan ilmu yang mampu memberikan mereka kuasa menyeru makhluk yang luar biasa.
Usia remaja mereka dipenuhi dengan tugasan yang menjadikan mereka seorang pembunuh. Namun, mangsa mereka adalah golongan manusia yang berhati keji seperti perogol, pembunuh bersiri dan semua manusia yang sudah melakukan kejahatan kepada manusia lain.
“Saya sudah tidak betah melakukan semua ini lagi Sujih,” kata Mahsuri Dewi menitiskan air matanya malam itu. Malam di mana mereka baru selesai menonton wayang dipanggung.
Dalam perjalanan pulang, mereka singgah di sebuah kedai makan.
“Kita tidak punya pilihan Mahsuri,” balas Wak Sujih.
Wak Sujih cuba memujuk.
“Tidak! Kita punya pilihan. Cuma dari kita saja untuk mengambil pilihan itu atau sebaliknya,” tingkah Mahsuri Dewi dengan tegas.
Wak Sujih mengeluh. Tapi dia tetap cuba untuk tersenyum walau sedikit.
“Saya mengerti perasaan kamu. Tapi ini semua sudah menjadi takdir kita. Sudah terlalu jauh langkah kita untuk diundur Mahsuri. Gelaran pemburu dan pembunuh itu sudah terpahat pada diri kita. Nama kita. Dan ia tidak akan bisa dipadam buat selamanya,” ujar Wak Sujih.
Mahsuri Dewi mengatup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Air matanya masih mengalir. Menyesak hati Wak Sujih melihat setiap titis air jernih itu.
“Sudahlah Mahsuri. Hapuskan air matamu. Sungguh aku terseksa melihat kamu begini. Aku mohon kamu jangan bersedih lagi,” ujar Wak Sujih.
Bersungguh Wak Sujih memujuk kekasih hatinya itu.
Beberapa bulan selepas malam itu, satu perbalahan telah berlaku di antara persatuan yang telah menggunakan kuasa mereka untuk membunuh sesiapa saja demi duit. Bapa Mahsuri Dewi adalah ketua persatuan yang paling lantang bersuara dalam perjumpaan yang tegang itu.
Di situlah bermulanya perkenalan mereka kepada Rano Karjo. Anak kepada Karjo Judika. Ketua persatuan Mancang Ireng yang telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan kepada semua persatuan yang ada. Di mana hanya manusia berlaku jahat sahaja akan dibunuh dan cara pembunuhan haruslah dibuat seperti ia adalah kematian semulajadi atau kemalangan. Agar tidak menimbulkan curiga kepada masyarakat biasa.
Dari pandangan mata Rano Karjo memerhatikan Mahsuri Dewi, Wak Sujih tahu pemuda seusianya itu punya hati dengan kekasihnya. Malah Rano Karjo tidak teragak-agak untuk menegur dan menabur kata manis kepada Mahsuri Dewi di depannya.
“Jaga mulutmu! Dia ini kekasihku. Mustahil kamu tidak tahu tentang itu,” tingkah Wak Sujih.
Satu ketika, Wak Sujih hilang sabar dan menegur Rano Karjo di depan Mahsuri Dewi.
“Hanya kekasih ya sudah marah-marah begini. Ya kalau belum bernikah, maknanya aku masih ada peluang kan?” ujar Rano Karjo
Rano Karjo tersenyum sinis.
“Kau..!” laung Wak sujih yang hendak meluru ke arah Rano Karjo tapi dihalang oleh Mahsuri Dewi.
Gadis itu menariknya pergi jauh dari Rano Karjo.
“Jangan termakan dengan umpannya Sujih! Dia mahu kamu jadi punca kepada peperangan yang tidak diingini oleh semua kita,” kata Mahsuri Dewi.
Wak Sujih merengus kasar. Dia terpaksa menelan semua amarahnya. Perlahan-lahan Mahsuri Dewi memegang tangannya. Sentuhan gadis itu terasa seperti air yang memadamkan api kemarahannya.
“Sudahlah,” pujuk Mahsuri Dewi dengan suara yang lembut.
Wak Sujih mengeluh panjang sebelum dia anggak kepala sambil cuba tersenyum.
Tetapi dua bulan kemudian, perang yang cuba dielak berlaku jua. Persatuan Mancang Ireng yang diketua oleh Karjo Judika, telah membina sekutu dengan beberapa persatuan lain. Di mana mereka mahu peraturan lama dihapuskan agar mereka boleh membunuh sesiapa saja dengan makhluk peliharaan mereka.
Kedua orang tua Wak Sujih dan Mahsuri Dewi telah bergabung dengan beberapa persatuan yang lain untuk menentang sekutu Mancang Ireng. Ayah Mahsuri Dewi nekad berjumpa dengan Karjo Judika dan cuba berbincang secara baik tentang perbalahan mereka. Kerana mereka berkawan baik dari kecil lagi, Karjo Judika akhirnya setuju untuk berdamai. Dia juga insaf dengan perbuatannya selama ini.
Isteri Karjo Judika tidak puas hati dengan semua itu. Dia mahu suaminya terus menjadi ketua kepada persekutuan mereka ketika itu. Kerana dia sudah muak melihat ayah Mahsuri Dewi menjadi ketua kepada semua persatuan yang ada di Indonesia dan Malaysia. Di belakang Karjo Judika, dia telah merancang pembunuhan ayah Mahsuri Dewi.
Selepas memberitahu tentang hal Karjo Judika kepada ayah Wak Sujih, ayah Mahsuri Dewi pulang ke rumah bersama isterinya. Tapi mereka tidak pernah pulang malam itu. Mahsuri Dewi memberitahu hal tersebut kepada ayah Wak Sujih.
Pagi itu, kedua orang tua Mahsuri Dewi ditemui mati di dalam kereta mereka. Jantung mereka ditarik keluar. Ayah Wak Sujih terus menjalankan siasatan. Mengggunakan semua kenalan yang dia ada termasuklah ketua polis negara Indonesia, akhirnya pembunuh telah dikenal pasti. Namun, semua mereka menuduh Karjo Judika yang bertanggungjawap. Walaupun ketua Mancang Ireng itu bersungguh kata dia tidak melakukannya.
Mahsuri Dewi tidak mahu menanti apa saja tindakan dan perbicaraan yang hendak dilakukan kepada Karjo Judika. Di sebabkan ingin membalas dendam dan sikap amarah, Mahsuri Dewi nekad membunuh Karjo Judika dan keluarganya.
“Berhenti Mahsuri!” ujar Wak Sujih. Tetapi sudah terlambat. Karjo Judika dan isterinya telah pun putus kepala dibunuh oleh makhluk milik Mahsuri Dewi iaitu Lawangsuri.
Ketika itu, Mahsuri Dewi sedang memegang pisau di tangan. Sedang Lawangsuri sedang mengunci gerak Rano Karjo.
“Jangan bunuh dia Mahsuri! Aku mohon Mahsuri. Dengarkan aku,” rayu Wak Sujih.
“Biarkan dia hidup Mahsuri. Orang yang kamu dendam sudah kamu tewaskan. Dia tidak salah apa-apa kepadamu Mahsuri,” bersuara Wak Sujih sekali lagi.
Akhirnya dia berjaya memujuk dan menenangkan Mahsuri Dewi. Manakala Rano Karjo telah menghilang entah ke mana. Persatuan Mancang Ireng dilenyapkan dan semua sekutunya diberi kata dua. Beroperasi mengikut peraturan, atau dihapuskan. Semua mereka terpaksa akur.
Selepas berjaya membunuh Karjo Judika, nama Mahsuri Dewi melonjak naik. Ini kerana Karjo Judika adalah ketua persatuan dan penyeru yang digeruni. Tapi Mahsuri Dewi telah menolak tawaran untuk menggantikan tempat arwah ayahnya menjadi ketua kepada semua persatuan di Indonesia dan Malaysia.
Mahsuri Dewi telah memberikan mandat itu kepada ayah Wak Sujih. Dia telah memberitahu kepada semua yang dia akan menutup persatuan ayahnya. Di situlah kisah cinta Wak Sujih dan Mahsuri Dewi berakhir. Tiada apa yang mampu dia lakukan dan katakan untuk mengubah fikiran Mahsuri Dewi.
Mahu atau tidak, Wak Sujih terpaksa menerima perpisahan itu. Mahsuri Dewi telah berhijrah ke Malaysia dan bertemu dengan lelaki melayu kacukan yang akhirnya menjadi suaminya. Ayah kepada Zara. Walaupun Wak Sujih sedar Mahsuri Dewi berada di luar Indonesia akan tetapi Wak Sujih sering berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia. Ini kerana ingin mengikuti perkembangan hidup Mahsuri Dewi sehinggalah kekasihnya itu mengandungkan Zara. Dia akhirnya berhenti mengintai kehidupan Mahsuri Dewi.
Hasil dari siasatan Wak Sujih dan ayahnya, mereka akhirnya mendapat tahu yang sebenarnya kedua orang tua Mahsuri Dewi dibunuh oleh seorang penyeru yang diupah oleh ibu Rano Karjo. Penyeru itu telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati.
Setahun selepas itu, Wak Sujih menerima berita kematian Mahsuri Dewi. Bila disiasat, bekas kekasihnya itu meninggal kerana sakit. Sekali lagi dia terpaksa redha. Tetapi tidak lama selepas itu, dia menerima satu lagi berita kematian. Kali ini melibatkan anak saudara kesayangannya, Juwita. Hasil siasatan berbeza. Buat dia syak Juwita dibunuh oleh Rano Karjo. Tapi dia memerlukan bukti atau pengakuan dari Rano Karjo sendiri.
Wak Sujih yang sudah kembali ke alam nyata, mengeluh berat dan panjang. Seperti ayahnya, Rano Karjo kini mahu memulakan peperangan. Wak Sujih pasti, dia adalah sasaran utama Rano Karjo kerana ayahnya sudah meninggal dunia. Sakit tua.

AKU hanya diam dalam perjalan ke tempat kerja. Menjadikan jeda sepi berpanjangan. Aku tahu sepanjang perjalanan itu Julianshah sedang memikirkan ayat yang dia rasakan paling sesuai untuk memulakan bicara. Aku pula sengaja mempamerkan rasa marah di hatiku melalui riak wajahku.
“Saya harap awak tak percaya dengan kata-kata orang tua. Tak mungkin semua yang dia cakap tu wujud. Persatuan yang ketuanya boleh seru makhluk dari alam mana entah? Filem negara mana orang tua tu tengok pun saya tak tahu,” ujar Julianshah.
“Habis macam mana dengan kebolehan kita melihat hantu ni? Filem negara mana pula yang kita dah tengok?” balasku dengan sinis.
Julianshah terdiam. Tersenyum sebelum menggeleng kepala. Aku sambung mendiamkan diri. Sesekali ada keluhan halus yang terhembus membawa pergi secebis rasa sesak di fikiranku. Dendam dan amarah tidak mahu keluar dari ruang hati. Sekadar menanti masa untuk dilepaskan dan dipuaskan.

Aku sekadar mengucapkan ucapan terima kasih apabila kami sudah sampai di destinasi. Aku sudah lambat. Dengan langkah bergegas, aku menuju ke bilik penyimpanan barang dan mendaftar masuk kerja. Ketika aku berjalan ke kaunter di mana aku ditugaskan hari ini, aku sudah menantikan panggilan dari supervisor.
Ternyata benar, aku akan ke pejabat Puan Ipah lagi. Seorang rakan sekerja memberitahu aku yang singa betina itu mahu berjumpa dengan aku. Lepas mengeluh berat sendiri, aku bergerak menuju ke pejabat Puan Ipah.
Sebaik aku ketuk pintu, masuk dan duduk di kerusi menghadap dia, maka bermulalah sesi basuhan telinga. Dengan muka serius, penyelia perempuan di depanku bersuara.
“Boleh saya tahu kenapa awak lewat hari ni?” soal Puan Ipah kepadaku.
Aku cuba menahan rasa marah di hati mendengar suara sinisnya itu.
Setahu aku, tidak pernah lagi aku lewat sepanjang kerja di sini. Ini kali yang pertama. Tapi dia layan aku macam aku sudah seratus kali datang lewat. Ini mesti kes dia berdendam sebab aku bentak dia hari itu.
“Maafkan saya puan. Saya janji tak lewat lagi,” ucapku di depannya.
Aku sengaja bagi alasan budak sekolah.
“Ini bukan soal lewat. Tapi soal disiplin. Tak kira hebat mana pun awak, kalau tak berdisiplin, awak takkan ke mana,” ujarnya, masih dengan nada sinis.
Aku mula mengetap gigi. Menghela keluhan halus. Sedang amarah mula memberontak di dalam hatiku. Entah macam mana aku hendak tenangkan rasa marah ini.
“Sebab-sebab macam beginilah bangsa kita susah nak maju. Tapi bila tengok bangsa lain berjaya, mulalah bising. Lepas tu buat alasan kata bangsa lain tu berniaga tak jujurlah, guna cara haramlah, dan macam-macam lagilah,” bebel Puan Ipah lagi.
Kata-katanya itu seperti minyak tanah yang disimbah ke arah api kemarahanku.
“Sia-sia aje mak ayah awak hantar awak ke sekolah kalau macam ni. Harapan mereka bila awak besar macam ni, bolehlah jadi manusia berdisiplin,” sambung Puan Ipah lagi.
Aku tatap matanya tajam.
‘Berapa kali aku nak cakap kat kau, jangan libatkan ayah dan ibu aku!’ ucapnya dalam hatiku.
Kemarahanku tidak terbendung lagi.
Hapuskan dia Zara! Baca mantera itu. Biarkan Lawangsuri menjamah nyawa perempuan tak guna ini! Mengejut suara wanita bergema di telinga kiriku.
Aku cuba melawan. Tapi aku tewas dengan sifat amarahku. Hingga aku buat pertama kalinya, membaca mantera itu dalam sedarku. Aku pandang tepat mata penyeliaku itu.
“Dalam kegelapan… Aku membuka pintu buatmu. Keluarlah kau. Patuhi perintahku. Bunuhlah musuhku itu…dan nyawanya menjadi milikmu!”
Dalam sedar, aku melafazkan setiap perkataan.
Puan Ipah itu tergamam mendengarnya. Aku kemudian bergegas keluar dari pejabatnya dan menuju ke tandas. Tidak mempedulikan mata-mata yang sedang memerhati.
Di dalam tandas aku termuntah. Kepalaku pusing. Tapi tidak seteruk yang sebelumnya. Dalam masa beberapa minit, aku kembali pulih. Tapi hatiku masih berdebar.
Apa yang aku dah buat tadi? Gumamku di dalam hati. Namun, penyesal yang hadir di hati sudah terlambat.

HANYA tinggal tiga minit sebelum masa rehatku. Kebetulan tidak ramai pelanggan ketika itu. Aku sudah bersiap untuk makan tengah hari. Tapi tiba-tiba kelihatan Puan Ipah datang denga riak wajah bersalah. Dia berdiri di depan kaunter aku bertugas. Menarik perhatian ramai rakan sekerja.
“Zara… saya nak minta maaf kepada awak. Maafkan saya,” luah Puan Ipah.
Dengan riak penuh bersalah dia mengungkapkan kata. Buat aku terkejut. Begitu juga dengan rakan sekerja yang lain.
“Saya pun minta maaf puan,” balasku.
Sememangnya aku juga ada salah dengannya. Aku memang sudah lewat ke tempat kerja.
Penyeliaku itu kemudian berjalan ke pejabatnya. Beberapa orang kawan sekerja pandang aku. Tanya aku apa halnya semua itu. Aku sendiri tidak tahu.
Ketika budak yang ganti aku datang, terus aku dan dua rakan sekerja berjalan ke food court, makan tengah hari. Kami berborak kosong sambil makan. Tapi aku lebih banyak mendengar dari bercakap.
Di sebalik semua itu, fikiranku masih melayang. Memikirkan kembali tentang Puan Ipah yang dibenci hampir semua pekerja di situ. Ramai rakan sekerja menyumpah dan memaki dia di belakang. Tapi aku tidak pernah lakukan semua itu. Hinggalah dia melibatkan kedua orang tuaku atas kesalahan yang aku lakukan. Itu buat aku marah betul.
Tapi apa yang aku lakukan kali ini sesuatu yang aku sendiri tidak sangka. Suara wanita yang berbisik di telinga kiriku itu masih menjadi misteri. Adakah mantera yang aku baca mampu menyeru makhluk yang dipanggil Lawangsuri? Itu juga masih jadi tanda tanya.
Namun, bila aku melihat Puan Ipah datang kepadaku dan meminta maaf, aku jadi separuh yakin. Mantera dan kebolehannya menyeru makhluk yang mengerikan tidak benar. Lelaki tua bernama Rano Karjo itu mungkin seorang banyak menonton filem seram dan fantasi.
Mengejut kedengaran seorang pekerja perempuan menjerit ketakutan. Menarik banyak perhatian. Termasuklah aku. Dari meja yang aku duduk, aku mampu melihat dengan jelas dia berlari ketakutan.
Aku dan dua rakan sekerja pantas bangun dan bergegas ke tempat kejadian. Ingin ambil tahu apa yang sudah terjadi. Di situ sudah ramai pekerja dan pelanggan berkumpul. Ada yang muntah dan juga yang menjerit terkejut.
“Apa dah jadi tu?” tanya Suzie, rakan sekerjaku, kepada pekerja yang lain.
“Puan Ipah! Di… dia dah mati. Kepalanya putus!”
Telingaku berdengung mendengar itu. Semua manusia kelihatan bergerak pada kelajuan yang perlahan. Slow motion bak kata orang putih.
Ternyata ianya benar! Mantera itu memang boleh menyeru makhluk yang membunuh! Aku berdiri dalam kebingungan. Tidak tahu berkata dan berbuat apa. Kedua pelipisku berdenyut. Akalku tidak berfungsi. Ia keliru dengan semua yang sedang dan sudah terjadi.
Aku berjalan meninggalkan tempat kejadian. Tidak perlu aku lihat bagaimana keadaan mayat Puan Ipah. Aku sudah boleh bayangkan. Langkah demi langkah aku hayun tanpa arah yang pasti. Jantungku berdegup pada ritma yang cukup pantas.
Kalau mantera ini benar, maknanya semua cerita Rano Karjo itu juga benar. Jadi ibu telah dibunuh kerana hasad dengki! Memikirkan kenyataan itu buat dendam dan amarah di hatiku kembali memberontak.
Aku merengus kasar. Segala rasa terkejut dan bingung di hati ini sudah menghilang. Yang ada hanya dendam dan kemarahan. Langkahku yang tadinya lemah, kini bergerak teguh dan gagah.
Kini semuanya sudah sangat jelas. Makhluk yang dipanggil sebagai Lawangsuri datang mencari aku atas satu misi. Membalas dendam kematian ibuku! Aku bersumpah akan memburu dan menghapuskan lelaki yang sudah merampas kebahagiaanku. Menjadikan hidupku lebih merana selepas ayah berjumpa dengan perempuan jalang itu.
Kalau kau dan aku bersatu, semua musuhmu akan terhapus dari muka bumi ini! Suara wanita itu bergema di telinga kiriku lagi. Menambah minyak tanah kepada api dendam dan kemarahanku.
Aku Lawangsuri menurut perintahmu tuan. Berkata suara wanita itu lagi.
Nyawa musuhku itu akan jadi milikmu Lawangsuri! Aku membalas dalam hati.

RANO KARJO memerhatikan kekecohan di dalam bangunan Aeon Big cawangan Seksyen 23, Shah Alam dari dalam sebuah kereta mewah,. Bersamanya duduk seorang lelaki tua seusianya. Ketua kepada salah satu persatuan yang menjadi sekutunya.
“Ternyata Lawangsuri masih hebat seperti dulu!” luah Rano Karjo.
Rano Karjo ketawa besar sendiri.
Lelaki yang duduk bersamanya itu sekadar memerhati dengan riak serius.
“Kau yakin anak Mahsuri Dewi itu akan menjadi sekutu kita?” tanya lelaki itu.
“Tenang saja Dhamak, dia sudah pun menjadi sekutu kita,” beritahu Rano Karjo.
Rano Karjo memberi jaminan.
Tapi Dhamak masih tampak serius dan kurang yakin. Buat senyuman di bibir Rano Karjo pudar.
“Adakah kamu kurang yakin dengan saya Dhamak?” tanya Rano Karjo dengan serius.
Dhamak mengeluh halus. Ada takut tersirat pada riak seriusnya itu kini.
“Maaf. Aku bukan tak yakin dengan kau. Cuma aku takut dia khianat kita,” balas Dhamak.
Dhamak memberi alasan.
“Tapi nada suaramu tadi seperti mempertikai kebolehan saya,” ujar Rano Karjo
Tajam pandangan yang ditujukan Rano Karjo.
“Maafkan aku Rano Karjo,” pinta Dhamak.
Dhamak tewas.
Dia masih sedar yang Rano Karjo bukan lawannya. Kekuatan makhluk ketua persatuan Mancang Ireng itu bukan calang-calang.
“Saya bisa menghancurkan Sujih Darmowo itu. Tapi itu terlalu mudah dan tidak menyakitkan. Aku mahu melihat dia menderita saat dia tahu yang nyawanya diragut oleh makhluk yang pernah dimiliki oleh wanita yang dia cintai,” bersuara Rano Karjo yang kembali ketawa besar.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97178/karma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *