[SNEAK PEEK] IMAM MUDAKU ROMANTIK

9789670890197-medium
EBUKU Imam Mudaku Romantik Oleh Izzah Haneefa

PAGI itu indah sungguh. Cahaya mentari menerobos menerangi seisi alam. Burung-burung berkicauan riang, mungkin sedang bertasbih memuji Sang Pencipta. Sangat malu kepada makhluk yang bernama manusia, yang dikurniakan akal untuk membezakan mana yang baik dan buruk, tidak mahu meluangkan masa walau sesaat pun untuk memuji Dia Yang Maha Esa! Setidak-tidaknya pun, lakukanlah solat duha sebagai tanda syukur kepada kepada Allah SWT

Muhammad Faqih meraup wajah. Selesai solat duhanya untuk hari itu. Syukur kerana diberi peluang lagi untuk memulakan hari ini. Moga hari ini lebih baik daripada semalam.

Namun, ah… Tiba-tiba datang pula mengantuknya. Merosakkan terus semangatnya untuk memulakan hari itu agar lebih baik daripada semalam. Tidak… Dia perlu tidur. Sebentar pun jadilah…

Katil bersaiz queen di dalam biliknya itu dihampiri. Perlahan-lahan tubuhnya direbahkan. Ahhh… Lega terasa tulang belakangnya sebaik mencecah tilam.

Tidak sampai beberapa ketika, dunianya gelap. Sepertinya, Faqih betul-betul menghayati tidurnya pada waktu duha itu.

TAUFIQ mengusap-usap dagunya yang licin tanpa sebarang bulu ataupun janggut itu. Matanya ralit memerhatikan awek cun yang berdiri di hadapannya itu dari atas ke bawah.

“Oi, pandangan kau tembus nampak! Suka hati kau aje, ya? Mana Faqih?” Wanita bertudung putih itu cuba berlagak garang. Timbul juga rasa tidak enaknya menyedari lelaki di hadapannya itu sudah meliarkan mata ke tubuhnya. Dia masih ingat pesan maknya agar berhati-hati dengan insan bernama lelaki. Terutama mata mereka. Kata maknya, perempuan berselubung pun lelaki mampu ‘bogelkan’ dengan pandangan mereka!

Ohhh tidak… Tak mustahil aku dah ‘dibogelkan’! Wanita itu berdesis dalam hati. Gusar! Dia sedar pakaiannya agak ketat ketika itu. Ahhh, kenapa lelaki ini pula yang memandangnya sebegini? Ini semua untuk Faqih!

“Ohhh… hoho. Cari Faqih, ya? Hai… Faqih, Faqih… Kau punyalah syok nasihat aku. Rupa-rupanya belakang aku, kau simpan banyak cun punya awek. Kau buat lawaklah Faqih!” Taufiq ketawa pula. Hatinya memang geli walau tiada apa yang melucukan. Cuma dia macam tidak percaya saja yang Faqih, rakan serumahnya yang alim itu rupa-rupanya buas juga. Itulah… dah namanya pun lelaki. Tipulah kalau kebal dengan perempuan.

“Eee… Apa kau mengarut ni? Mana Faqih? Nanti sejuk pula makanan ni!” bebel wanita itu. Semakin tidak faham dengan apa yang terjadi. Dia hanya mahu berjumpa dengan Faqih. Hanya Faqih!

Taufiq membuntangkan biji mata. Baru dia perasan ada mangkuk tingkat sedang dijinjit oleh gadis di hadapannya itu. “Bagi abang ajelah, ya? Dia tidur lagi. Lagipun dia bukannya ambil sarapan sangat. Tak makan dua tiga hari pun tak ada hal. Jangan risaulah. Hehe…”

Wanita bertudung putih itu menyengetkan sebelah keningnya. “Hei, suka hati kau aje bahasakan diri abang! Sakit telinga aku tahu tak? Aku nak jumpa Faqih juga. Aku tak peduli!” Tiba-tiba dia geli-geleman mendengar kata-kata Taufiq. Tolonglah! Miang punya lelaki!

Taufiq menggeleng-geleng kepala kemudian disusuli tawa kecil. Seronok pula dia melayan ragam wanita yang entah kenapa beria-ia sangat hendak berjumpa dengan Si Faqih yang polos itu. Gila bayang agaknya! Pintu pagar yang agak tinggi itu dibuka sepenuhnya. Taufiq menadah tapak tangan. “Silakan masuk cik adik manis.”

Wanita itu merengus geram. Saja ditolak pintu pagar itu lebih kuat, hendak menunjukkan betapa menyampahnya dia dengan lelaki yang dianggapnya agak miang itu. Kemudian dia melulu saja masuk ke dalam rumah sambil membawa mangkuk tingkatnya untuk diberikan kepada Faqih, lelaki pujaan hatinya.

Dari belakang, Taufiq hanya memerhati dengan pandangan yang agak menyampah juga. Gedik punya perempuan! Tak malu ke apa masuk rumah lelaki? Hishhh… Bukan calon bini aku ni! Awek aku layaklah… Hati lelakinya berdesis begitu. Siap dengan mimik muka lagi.

“Oi! Mak datuk!!!” Bergegar seketika rumah itu tidak sampai beberapa saat selepas wanita bertudung putih itu masuk ke dalam rumah. Sepertinya, si gerangan yang menjerit di dalam rumah itu terperanjat sangat. Taufiq yang belum lagi masuk ke dalam rumah kerana mengomel seorang diri tadi terus membuka langkah seperti lipas kudung. Apa yang berlaku?

“Mak… awek mana kau bawa masuk ni, Taufiq?” tanya lelaki yang hanya bertuala di pinggang itu dengan biji mata yang terbuntang. Taufiq ketawa lagi. Banyak betul perkara yang telah menggeletek hatinya pada pagi itu. “Kimi, aku kenalkan… Makwe Si Faqih!”

Lelaki yang hanya memakai tuala itu menurunkan tapak tangan yang menutupi dadanya gara-gara malu tertembung dengan perempuan cun ketika keluar dari bilik air tadi.

“Makwe Faqih?”

Wanita bertudung putih itu turut menurunkan telapak tangannya perlahan-lahan daripada menutupi matanya. Bergetap-getap bibirnya… Mungkin sama terkejut dengan insiden tadi. “Errr… Faqih mana?”

“Kau dengar, Hakimi? Dia cari Faqihlah!” Taufiq tidak puas lagi ketawa.

Lelaki yang hanya bertuala itu terkebil-kebil seketika sebelum turut terjangkit dengan penyakit ketawa Si Taufiq itu. “Wah. Haha! Tak sangka aku kawan serumah kita yang alim tu ada awek lawa macam ni. Cik adik nak cari Faqih, ya?” Lelaki bertuala yang bernama Hakimi itu bercekak pinggang. Sambil matanya mengambil peluang meliar ke tubuh wanita itu dari atas ke bawah. Lelaki…

“Astaghfirullahalazim… Nana! Apa awak buat kat sini?” Lantunan istighfar yang agak kuat itu mengalihkan perhatian ketiga-tiga mereka. Serentak mereka berpaling ke arah tangga. Seorang lelaki berbaju Melayu dengan berkain pelekat sedang berdiri di situ menghadap mereka dengan pandangan yang penuh kegusaran dan kekejutan. “Ohhh… Nana namanya. Hei, Faqih. Apa cerita ni? Kau ada makwe cun bukannya nak share! Pandai kau simpan tembelang eh? Haha…” Taufiq bersuara sinis.

Faqih menggeleng-geleng kesal. Dia tidak peduli apa yang diperkatakan oleh Taufiq mahupun Hakimi. Lekas dia menuruni tangga kemudian menghampiri Nana yang nampaknya sudah meleretkan senyuman melihat kemunculannya.

“Nana, saya nak awak balik sekarang!” Agak kuat suara Faqih. Tidak boleh disimpan lagi rasa geramnya dengan perlakuan wanita bertudung putih itu. Baginya sudah agak melampau!

“Abang… abang tahu tak happynya Nana dapat jumpa abang? Kenapa nak suruh Nana balik pula? Ini, Nana ada bawakan makanan.” Sepertinya Nana tidak terkesan langsung dengan gertakan itu. Tiada rasa bersalah langsung terpancar di wajahnya.

Faqih menepuk dahi. “Astaghfirullahalazim, Nana! Awak tak malu ke masuk rumah lelaki? Awak tak takut ke apa-apa yang buruk terjadi kalau awak buat macam ni? Baliklah, Nana. Baliklah…”

“Abang Faqih, Nana percayakan abang. Nana tahu abang takkan buat apa-apa yang tak baik dekat Nana. Abang, please…” Nana tidak mahu mengalah kali ini. Dia tidak mahu kegiatannya menghendap lokasi tempat tinggal Faqih selama ini menjadi sia-sia. Ya, dia memang sudah gila bayang terhadap jejaka yang bernama Muhammad Faqih!

“Wow, Faqih! Apa yang kau dah menderem awek kau ni? Dahsyatnya kau!” sampuk Hakimi yang menjadi penonton setia bersama-sama Taufik dari tadi. Jejaka-jejaka tersebut sebenarnya masih tidak percaya yang Si Faqih, teman serumah mereka itu sebenarnya ada awek! Maklumlah, selama ini Si Faqih itulah yang sibuk menasihati mereka tentang betapa tidak eloknya berpasangan bagai. Nah, sekarang apa sudah jadi?

Faqih masih tidak mengendahkan kata-kata rakan serumahnya itu. Biarlah… Selepas ini dia akan jelaskan. Yang penting sekarang, dia perlu memujuk Nana supaya keluar dari rumah ini. Tidak… Nana tidak boleh berada di dalam rumah ini. Sangat-sangatlah bahaya!

“Nana, baliklah… Saya kata balik. Sekarang.” Faqih cuba mengendurkan suaranya.

Baik, tapi abang janji abang makan, ya?” Nana memasang syarat.

Faqih tersenyum. “Yalah. Lepas ni jangan datang lagi. Tak eloklah anak dara masuk rumah orang bujang. Tolong ya… Jangan buat macam ni lagi.” Bersungguhsungguh Faqih merayu. Bukannya apa, dia cuma risaukan keselamatan gadis itu. Di dalam rumah yang terdapat tiga orang lelaki bujang ini, apa-apa pun boleh terjadi. Terutamanya dengan Si Taufiq dan Hakimi. Bukan nak kata tetapi Faqih amat mengenali perangai rakan-rakan serumahnya itu.

“Kenapa pula, bang? Nana bukannya buat apa-apa pun. Nana nak jumpa abang aje.” Nana mencebir. Itulah senjata ampuhnya untuk menggoda dan meminta simpati.

Faqih tidak keruan. Bagaimana hendak menerangkan lagi? Takkanlah wanita berkelulusan farmasi daripada Universiti Sains Malaysia itu tidak boleh berfikir sendiri akan akibat daripada perbuatannya ini? Atau sengaja mencari penyakit?

“Nana yang manis… Abang boleh jelaskan kenapa Nana tak boleh datang sini lagi kalau Nana memang betulbetul nak tahu sangat! Pertama, Nana ni anak dara… Kalau masuk rumah orang bujang, apa pula kata orang, kan? Kedua, macam mana kalau ada orang repot jabatan agama? Kan aniaya tu? Tak pasal-pasal kena tangkap khalwat, Nana kena kahwin dengan kami bertiga! Haha… Dan yang terakhir, kami abang-abang ni tak tahan tengok ‘makanan’ yang sedap-sedap. Takutlah tak pasal-pasal nanti Nana yang manis ni kami ‘kendurikan’. Hehe… Faham tak cik adik?” Hakimi menyampuk. Panjang lebar dia menerangkan sebabmusabab kenapa wanita itu tidak patut datang lagi ke rumah ini. Sebab yang budak sekolah pun boleh fikirkan… Tapi entah kenapa wanita itu tidak mahu berfikir sendiri.

Hakimi dan Taufiq terus bergelak tawa. Dalam hati mereka sebenarnya sedang rancak mengutuk wanita itu. Hmmm… Perempuan, mudah benar terjerat dengan perasaan!

Faqih yang mulanya bermuka serius, tiba-tiba rasa nak tergelak pula dengan kata-kata Si Hakimi. Namun, dia perlu cover line. “Nana, saya kata balik sekarang.”

Nana mengherot-herotkan bibir. Tak guna punya jantan! Sudahlah menyibuk… Nampaknya dia tiadalah peluang untuk berlama-lama dengan Faqih.

Beberapa ketika kemudian, Nana menghilangkan diri, keluar dari rumah itu setelah puas dipujuk. Untung nasibnya baik… Masuk ke rumah orang bujang dan keluar tanpa ada sebarang cacat cela pada tubuhnya.

“So, Faqih… will you explain to us?” Hakimi sudah menuntut ‘haknya’ untuk merungkaikan segala persoalan dalam mindanya.

Taufiq terangguk-angguk. Dia juga mahukan penjelasan.

Faqih menarik nafas dalam. Langkahnya diatur sederhana menuju ke kerusi meja makan lalu duduk di situ. Ceritanya pun bermula satu demi satu.

AZAN asar berkumandang dari masjid berkubah putih itu, memanggil para Muslimin dan Muslimah agar sedar akan tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah. Dua saf jemaah memenuhi ruang masjid untuk mendapat pahala dua puluh tujuh kali ganda pada petang itu. Alhamdulillah… Agak ramai daripada kebiasaan.

Takbiratul-ihram diangkat. Suasana hening menambah kekhusyukan kepada setiap minda yang berada di situ. Insya-Allah, mereka ialah orang-orang yang berjaya. Allah SWT sendiri telah berfirman di dalam al-Quran bahawa sesungguhnya berjayalah orang mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam solat.

Lima minit kemudian, kedengaran salam pertama kemudian disusuli salam yang kedua. Selepas berwirid beberapa ketika, tangan pula ditadah untuk memohon doa kepada Dia yang tidak pernah jemu mendengar keluhankeluhan hamba-Nya.

Selesai. Alunan selawat pula bergema mengiringi sesi bersalam-salaman selepas itu.

Faqih melangkah meninggalkan ruang solat setelah bersalaman dengan jemaah yang lain. Senyuman kecil terukir di sudut bibir, menggambarkan ketenangan yang memercik dalam hatinya kini.

Selepas mengambil sesuatu daripada raga motosikalnya, Faqih berjalan ke satu arah. Ya, dia tidak pulang dahulu. Ada hal lain yang perlu dibereskannya seketika.

Faqih melangkah keluar dari kawasan masjid. Tidak jauh dari pagar besar masjid, di kaki lima, kelihatan seorang tua berbaju T putih lusuh, berkain pelekat serta bertongkat kayu sedang duduk di perhentian bas. Kelihatannya dia diam di situ, mungkin menunggu seseorang.

Faqih tersenyum lagi lantas lelaki tua yang agak tidak terurus itu dihampiri.

“Anak, kamu dah sampai? Hari ni nasi lauk apa?” Lelaki tua yang matanya terbuka tetapi tidak berfungsi itu bagai mendapat isyarat saja akan kehadiran Faqih di situ. Tidak perlu Faqih mengeluarkan sebarang kata. Mungkin bunyi derapan selipar itu saja sudah cukup membuatkan lelaki tua itu mengenali gerangan siapakah yang datang menghampirinya.

Faqih tidak membalas. Sebuah bungkusan polistirena dikeluarkan daripada beg plastik yang dijinjitnya lalu dibuka cermat. Aroma nasi panas dan kuah bergandingan menjadi wap menuju ke udara.

“Bismillahirahmanirahim…” Bagai tahu-tahu saja, lelaki tua itu dengan sendirinya menyebut lafaz bismillah. Tidak lama kemudian, sudu plastik yang berisi nasi itu dimasukkan ke mulutnya oleh tangan anak muda itu.

“Hmmm… Sedap, nak. Terima kasih banyakbanyak.” Ada riak kegembiraan terpancar pada wajah tua itu. Riak itu jelas walaupun hanya boleh dibaca melalui wajahnya, bukan sinar matanya. Kerana mata yang telah diambil nikmatnya oleh Allah untuk melihat indahnya dunia itu akan terus begitu…

Faqih terus mendiamkan diri. Hanya tangannya yang rancak menggaul-gaul nasi dengan sudu plastik tersebut lalu sesekali disuapkan ke mulut lelaki tua itu. Entah bilalah kali terakhir lelaki tua ini makan? Mungkin petang semalam ketika dia membawakan makanan.

“Nak… pak cik teringin nak dengar suara kamu. Kamu tak pernah bercakap dengan pak cik. Nak tengok wajah kamu memang dah tak ada peluang. Sekurang-kurangnya bagilah pak cik peluang nak dengar suara kamu.” Lelaki itu membuat permintaan lain pula. Permintaan yang selalu diulang-ulang. Namun sepertinya masih belum termakbul.

Faqih tergelak kecil. Entahlah… Biarlah dia tidak dikenali.

“Walaupun pak cik tak kenal siapa kamu, tapi pak cik bersyukur sebab Allah hantarkan orang macam kamu untuk bantu pak cik. Walaupun pak cik tak nampak, tapi mata hati pak cik kuat katakan yang kamu ni orang yang jujur. Pak cik tak dapat tengok wajah kamu, tapi pak cik tahu wajah kamu pun secantik keperibadian kamu. Semoga Allah meredaimu, nak.” Tulus, ikhlas dan penuh kerelaan kata-kata itu diungkapkan. Lelaki tua itu memang tidak main-main dengan perkataannya.

Faqih menggumam bibir. Hujung bajunya diangkat sedikit untuk menyeka kelopak mata yang terasa berair.Sungguh, dia tidak mampu hendak mengungkapkan dengan kata-kata tatkala menerima doa itu. Sekeping hatinya cukup tersentuh. Lafaz semoga Allah reda itulah yang menjadi sebab utama kenapa air matanya tidak dapat ditahan.

“Ketika orang lain pandang jijik dekat pak cik, masih ada kamu yang sudi suapkan makanan untuk pak cik. Pak cik tak mampu nak balas kebaikan kamu, nak. Cuma terima kasih yang pak cik mampu ucapkan.” Lelaki tua itu terus melimpahkan rasa hatinya yang paling dalam. Dia hanya mahu lelaki muda itu mendengar.

Selesai suapan terakhir, Faqih memegang tangan lelaki tua itu lalu sebuah botol mineral diberikan ke tangan itu. Tanpa berlengah, dia terus melangkah pergi meninggalkan lelaki tua itu. Insya-Allah, kalau berkesempatan, dia akan ke sini lagi esok.

“Inilah orang kita! Macam mana nak maju? Baru susah sikit dah nak mengemis! Tak ada usaha langsung nak majukan diri! Heiii… Orang macam ni tak sepatutnya biarkan bebas. Buat rosak pemandangan aje!” Agak kasar suara itu memecahkan ruang udara.

Faqih lantas memusing tubuhnya ke belakang semula. Tidak jadi hendak masuk ke kawasan masjid untuk mendapatkan motosikalnya. Hatinya tiba-tiba tergores dan berdarah apabila mendengar suara yang baginya amat menjengkelkan itu.

“Sampai bila kau nak mengemis, ha? Kau tak malu ke tahu meminta aje? Hei, agama pun tak bagi mengemislah! Kau tahu tak kau ni dah cemarkan masjid ni? Pergi tempat lainlah!” Lelaki berkot yang tampak elegan itu terus menghamburkan rasa jengkelnya yang berbaur

penghinaan terhadap lelaki tua yang berbaju lusuh itu. Wajahnya penuh riak tidak senang. Mungkin jijik melihat lelaki pengemis buta itu.

Dengan wajah yang angkuh, lelaki berkot elegan itu berjalan menuju ke pagar besar masjid, meninggalkan lelaki tua tersebut.

Faqih yang pada mulanya hendak menuju ke arah lelaki tua uzur yang hanya diam menikus itu berubah niat. Kini dia lebih berminat untuk menghampiri lelaki berkot hitam yang mungkin juga orang kaya itu.

“Assalamualaikum. Errr…” Faqih memberanikan diri menghulurkan salam.

Lelaki berkot itu memberhentikan langkah. Matanya meliar memandang gerangan lelaki muda yang menegurnya itu tanpa ada rasa hendak menjawab salam itu. “Hmmm… Aku Tan Sri Kamarul.”

Senyuman Faqih tersungging di sudut bibir. Sudah diagak… “Ohhh, Tan Sri! Kenapa jalan kaki? Kan bahaya orang berada macam Tan Sri ni terlalu terdedah kepada umum.”

Lelaki bernama Tan Sri Kamarul itu merengus kasar dengan anak mata yang cukup tajam tatkala diajukan soalan itu. Ada yang tidak kena nampaknya. “Kereta aku ada kat luar. Driver aku baru hilangkan diri lepas kebas duit aku. Heiii… Tak guna punya manusia! Dunia akhirat aku tak ampunkan!”

“Astaghfirullahalazim… Tan Sri tak buat laporan polis?” Faqih sedikit tersentak.

Lagi sekali Tan Sri Kamarul membuat muka tidak senang. “Aku tak berani bawa kereta! Macam mana nak buat repot? Balai polis lima kilometer lagi!” amuk lelaki berada itu. Jelas emosinya kini tidak stabil. Mungkin terlalu hampa dan kecewa akan perlakuan pemandunya yang mungkin menjadi orang kepercayaannya selama ini.

Faqih terangguk-angguk. “Habis, kenapa Tan Sri masuk masjid ni pula?”

“Hei… Kau ni banyak tanyalah! Aku nak mintak tolonglah sebab aku tahu orang masjid macam kau ni kan baik-baik. Aku nak mintak tolong bawa aku pergi balai polis!” Tan Sri Kamarul terus marah-marah.

Faqih mengangkat sebelah kening lalu berpeluk tubuh memandang lelaki berada itu. Orang masjid baik-baik? Hmmm… Tiada komen. “Tan Sri benarkan saya pandu kereta Tan Sri? Tapi kalau tak boleh, naik motor buruk saya pun tak apa. Saya tak kisah,” ujar Faqih sambil tersengih. Sengaja hendak menyindir sebenarnya.

“Hmmm… Ada lesen ke kau ni?” tanya Tan Sri Kamarul. Kedengarannya lelaki berada itu tidak melepaskan peluang sama untuk menyindir.

Faqih tergelak agak besar. “Jangan risaulah, Tan Sri. Lesen kereta ada, lesen motosikal pun saya ada. Semuanya sah di sisi undang-undang negara dan belum mati lagi.”

Tan Sri Kamarul mengherot-herotkan bibirnya beberapa ketika. Masih berfikir ataupun masih ragu-ragu.

“Okey, aku benarkan kau pandu kereta aku. Tapi ingat, kalau kau berani buat onar, dunia akhirat aku tak ampunkan! Dan tak pasal-pasal lepas ni, aku pandang orang masjid semua jahat-jahat. Semua hipokrit!” ugut Tan Sri Kamarul.

“Hmmm… Tan Sri boleh percayakan saya, insya- Allah. Saya takkan buat apa-apa pada harta Tan Sri. Saya tahu mana yang halal, mana yang haram. Kalau tak, sia-sialah saya buat ibadat selama ni.”

“Haaa… Bagus! Jom ikut aku!” Tan Sri Kamarul membuka langkah, meninggalkan kawasan masjid itu dengan wajah yang tetap kelat

****

MALAM, itu, kesemua ahli keluarga Dato’ Farhan berkampung di hospital. Sebaik saja Aisya disahkan memang sudah hendak bersalin, kesemua mereka tidak berganjak lagi dari ruang menunggu itu. Debaran dan rasa teruja yang bercampur baur kerana hendak menyambut ahli keluarga baru semakin terasa dalam jiwa mereka.

Termasuklah halnya dengan si pengantin baru… “Faqih, Khalisah… baliklah. Biar umi dengan abah yang tunggu abang dengan kakak kamu,” suruh Datin Salma. Tidak enak pula rasanya membiarkan anak menantunya yang masih dalam mood pengantin baru itu ‘bermalam pertama’ di hospital.

“Ya, Faqih. Baliklah. Kesian Khalisah.” Dato’ Farhan turut menyokong kata-kata isterinya itu sambil telapak tangannya terus menepuk-nepuk lembut punggung Firas, cucunya yang sudah terlentok di atas riba datuknya itu.

Faqih yang sedang duduk sambil berpeluk tubuh tu membuka matanya yang dipejam perlahan-lahan. “Tak apalah umi, abah. Faqih tunggu.”

Datin Salma dan Dato’ Farhan berpandangan sesama sendiri sebelum mengerling ke arah Khalisah, menantu mereka yang sedang duduk diam membatu di sebelah Faqih.

Wanita itu nampaknya relaks. Seperti mengiakan saja segala keputusan suaminya.

“Awak nak balik sekarang?” tanya Faqih kepada Khalisah di sebelahnya.

Khalisah menggeleng lalu tersenyum kecil. “Saya tak kisah. Nak tunggu pun tak apa.”

“Betul ni?”

Khalisah mengangguk. Biarlah… Dia tidak kisah pun. Lagi pula, tiada apa-apa pun yang hendak dikejarkan.

Faqih melepaskan keluhan kecil lalu menyandarkan semula belakang kepalanya ke dinding lalu menutup rapat matanya. Lelaki itu seperti sudah keletihan dan hanya mahu tidur tatkala ini.

Khalisah kembali membatu di sebelah suaminya itu. Sesekali pandangannya dilarikan ke arah ibu dan bapa mertuanya yang sedang termenung di kerusi bertentangan. Garis-garis kegusaran terpancar jelas di wajah mereka. Mungkin gusar menunggu khabar si menantu yang masih belum diterima.

“Atuk, lepas ni Firas ada adik baby, eh?” Suara Firas kedengaran tiba-tiba setelah agak lama juga sepi tadi.

Dato’ Farhan yang baru hendak memejam mata tidak jadi meneruskan niatnya. “Ya, Firas. Lepas ni Firas ada adik baby. Firas dah jadi abang, tak boleh nakal-nakal lagi.” Kepala cucunya itu diusap-usap.

Firas mencebik. “Tak bestlah, atuk!”

“Ai, kenapa pula tak best? Firas tak suka dapat adik?”

Firas menggeleng. Makin panjang muncungnya. Dalam kepalanya sekarang cuma terbayangkan yang papanya hanya akan memanjakan adik barunya nanti. Oh tidak, bagaimana dengan dirinya?

“Laaa… Kenapa pula tak suka? Kalau Firas ada adik, lepas ni Firas ada kawan nak main sama-sama.” Si datuk memujuk. Walau yang sebenarnya bukan dia kisahkan sangat pun kata-kata cucunya itu. Budak-budak banyak ragamnya.

Firas tidak membalas. Sebaliknya dia turun dari ribaan datuknya lalu bergerak menuju ke arah pak sunya yang semakin lena tidur sambil duduk itu. Mungkin marahkan datuknya yang seperti tidak memahami perasaannya.

“Pak su!” jerkah Firas.

Faqih yang baru hendak terlena sepenuhnya tersentak. Tercanguk-canguk lelaki itu hendak kembali ke alam nyata. “Errr… Firas! Kenapa sayang?”

“Lepas ni pak su bawa Firas main kat litar lagi tak?” Firas bertanya serius sambil berpeluk tubuh. Lagak macam orang besar.

Faqih menggaru-garu kepala. Pening seketika hendak menjawab soalan si anak buah. “Hmmm… Nanti pak su bawa, ya?”

“Janji?”

“Janji!” Faqih mengiakan saja. Dia sedang keletihan benar sekarang ini hendak bermesra-mesra atau beramahramah dengan sesiapa pun.

Khalisah yang hanya memerhati perlakuan si suami dengan anak buahnya itu hanya tertawa kecil. Entah kenapa… Lucu pula. Seketika kemudian, suaminya yang kembali melentokkan kepala ke dinding itu sempat dikerlingnya. Tenang… Wajah itu tenang saja.

Namun, entah kenapa hati Khalisah pula berdebar. Memerhatikan wajah lelaki itu seperti telah membuat tangkai jantungnya luruh. Betulkah lelaki ini sudah menjadi suaminya?

“Mak su, nanti mak su kena naik motosikal pak su tau? Motosikal pak su best! Motosikal Dua Kati, mak su!” Si Firas cuba pula meminta perhatian mak su barunya itu, setelah menyedari yang pak sunya juga tidak melayan keletahnya.

Khalisah menjegilkan biji mata. “Apa dia, Firas? Motosikal Dua Kati?”

“Ya, mak su. Nama motosikal pak su Dua Kati! Pak su yang panggil macam tu!” Bersungguh-sungguh Si Firas mengiakan.

Seketika kemudian, terlepas juga ketawa Khalisah mendengar celoteh anak buahnya itu. “Oh, ya ke?Hmmm… Firas pun suka motosikal, eh?”

“Suka! Papa ada belikan Firas pocket bike, mak su. Pak su selalu bawa Firas main kat litar. Nanti mak su ikut, eh?” Keletah Firas makin menjadi-jadi pula.

Khalisah mengangguk berserta senyuman lebar. Terhibur juga hatinya pada waktu-waktu begini. “Boleh, sayang. Mak su pun memang nak tengok Firas bawa motor. Urmmm… Siapa lagi hebat? Pak su atau Firas?”

“Mestilah Firas, mak su! Pak su pun belajar bawa motor daripada Firas tau!” Firas mengangguk-angguk kepalanya. Beria-ia saja dia.

Sekali lagi ketawa Khalisah meletus. Hai, seronok rupa-rupanya melayan budak-budak! Agak-agaknya bilalah dia boleh melayan keletah anaknya sendiri?

Sabar, Khalisah, sabar. Kau kahwin dengan dia belum lepas satu malam pun! Bisik hatinya.

Khalisah mengetap bibir. Hesy, ke situ pula perginya!

Suaminya itu dijeling… Lena benar lelaki itu tidur. Entah sedar ke tidak apa yang sedang berlaku…

Namun, Khalisah tidak sanggup hendak merenung wajah itu lama-lama. Entahlah… Dia masih malu. Di samping hatinya asyik berdebar-debar saja setiap kali memandang wajah tenang juga tampan itu.

Seketika kemudian, kedengaran bunyi kuakan pintu. Akhirnya!

Kesemua mereka yang seperti tidak bermaya menunggu dari tadi itu terus segar-bugar. Terbangun terus mereka dari tempat duduk.

Fahim keluar dari bilik tersebut. Senyumannya meleret ke hujung bibir.

“Papa!” Firas tidak menyempat-nyempat berlari lalu memeluk kaki papanya. Dari tadi dia menunggu, akhirnya papanya muncul juga.

“Firas? Hmmm… Firas dah jadi abang, sayang,” ucap Fahim. Kepala anak sulungnya itu diusap-usap.

“Ha, macam mana, Fahim?” tanya Datin Salma, tidak sabar-sabar lagi.

Fahim menarik nafas dalam sebelum bersuara. “Alhamdulillah. Aisya selamat. Umi dengan abah, dah dapat cucu sulung perempuan.” Nada teruja jelas kedengaran pada alunan suaranya. Teruja menerima kehadiran orang baru yang telah dinanti-nantikan semenjak sembilan bulan ini.

Datin Salma dan Dato’ Farhan berpandangan lagi lalu berpelukan bahu sesama mereka berserta senyuman kesyukuran yang semakin meleret ke tepi bibir. Alhamdulillah…

Begitu juga dengan Faqih. Akhirnya, dapat juga anak buah perempuan! “Alhamdulillah. Tahniah, bang!” Tapak tangan abang longnya itu disambar lalu digoncanggoncang. Teruja!

“Terima kasih. Errr… Faqih, kau pun cepat-cepat sikit tau! Abang dah tak sabar nak tengok anak kau pula!” Sempat juga Fahim mengusik adiknya itu.

Faqih mengerutkan dahi. Wajahnya tiba-tiba rasa panas saja.

Khalisah membulatkan biji mata sebelum menolehkan wajahnya yang kini memerah ke arah lain. Aduh, malunya!

“Alaaa… Tak syoklah adik perempuan! Nanti dia mesti tak nak main motosikal dengan Firas!” Firas terus meluahkan kekecewaannya sambil memuncungkan bibirnya, geram.

WAJAH comel itu diamati buat kesekian kalinya, masih tidak puas-puas. Faqih begitu teruja menyambut kelahiran anak buah barunya yang menjengah dunia tepat pada jam tiga pagi tadi. Terasa hendak menjadi ayah cepat-cepat pula setiap kali memandang wajah anak abangnya itu!

“Faqih, lepas ni giliran kamu pula tau!” Aisya yang perasan perlakuan adik iparnya itu mengusik.

Faqih memandang sekilas kakak iparnya yang sedang duduk berehat di atas katil wad hospital swasta itu. Senyuman kecil terseret ke tepi bibir. “Insya-Allah. Kak long doakanlah Faqih cepat-cepat dapat baby.” Serentak itu juga, dia mengerling ke arah Khalisah yang dari tadi berdiri tegak di sebelahnya.

Khalisah mengetap bibir. Ai, suaminya ini tidak malu pula bercakap soal anak. Walhal sebelum ini hendak pegang tangan si isteri pun malu!

Namun, Khalisah hanya tunduk. Dia tidak sanggup memandang senyuman lelaki itu. Jantungnya boleh gugur tidak pasal-pasal!

“Baguslah macam tu, Faqih. Boleh ramaikan lagi cucu-cucu umi dengan abah!” sampuk Fahim yang berdiri di sebelah kepala katil tempat isterinya duduk.

“Hehe… Khalisah, buat persediaan cepat-cepat, ya? Kalau nak apa-apa pertolongan ke, tunjuk ajar ke, boleh tanya akak. Akak sedia menolong.” Aisya mengusik pula birasnya itu. Namun, apabila diamati lagi kata-katanya seperti serius.

Khalisah mengangkat wajah dengan mata yang membulat. “Errr… Okey, kak.” Terketar-ketar bibirnya bersuara. Aduh, sampai bilalah rasa malunya ini akan terus menggila?

“Ermmm… Abang long, kak long, Faqih balik dululah, ya?” Faqih meminta diri. Sekian lama berada di hospital semenjak malam tadi, kini barulah dia terasa hendak pulang ke rumah. Badannya terasa sudah melekit-lekit kerana belum mandi lagi.

“Ha, yalah. Baliklah dulu. Kesian kau orang,” ucap Fahim.

Sebelum beredar, sempat Faqih mengamati buat kali terakhir wajah comel yang sedang nyenyak di dalam tempat meletak bayi itu. Subhanallah… Tidak tahulah kenapa hatinya tersentuh sangat melihat anak abangnya itu!

“Awak, jom!” ajak Faqih kepada isterinya itu.

Khalisah hanya mengangguk. Seketika kemudian, pasangan suami isteri itu beriringan keluar dari wad tersebut.

“Faqih, nak balik dah?” tegur Dato’ Farhan dan Datin Salma tatkala bertembung dengan anak lelakinya itu di luar wad.

“Ya, bah. Faqih dengan Khalisah balik dulu, ya?”

“Yalah, baliklah. Kamu dah lama sangat kat sini.” Datin Salma mengiakan saja. Kepala cucunya, Firas yang sedang lena di dalam dukungannya itu diusap-usap.

“Errr… Faqih bawa Firas balik sekali ya, ma?” pinta Faqih. Kasihan mengenangkan nasib anak buahnya itu yang juga semalaman berada di hospital.

“Eh, tak apa. Firas biar umi dengan abah yang jaga. Kamu baliklah dengan Khalisah,” balas Datin Salma. Tidak mahu menyusahkan lagi anak dan menantunya itu.

Faqih akur. Setelah bersalaman dengan umi dan abahnya, dia dan Khalisah meneruskan lagi langkah meninggalkan bangunan hospital swasta itu.

Sepanjang perjalanan pulang dengan menaiki kereta Mercedes Benz milik Dato’ Farhan, kedua-dua orang suami dan isteri itu hanya diam membatu. Sesekali apabila terasa kesunyian itu sudah berlangsung terlalu lama, barulah mereka kerling-mengerling antara satu sama lain. Mungkin meminta salah seorang untuk mengalah membuka mulut dahulu.

Namun, keadaan sepi tersebut terus berlalu hinggalah kereta itu selamat memasuki pekarangan banglo Dato’ Farhan.

“Kita dah sampai.” Barulah kedengaran suara Faqih.

Khalisah mengangguk lagi. Seketika selepas enjin dimatikan, dia sudah bersiap sedia hendak membuka pintu untuk keluar.

“Laila.”

Khalisah tersentak. Tidak jadi dia hendak keluar dari kereta apabila mendengarkan namanya yang jarang dipanggil itu berserta satu genggaman lembut di tangannya.

Pelan-pelan Khalisah menoleh. Serta-merta senyuman lelaki itu yang tenang memenuhi ruang pandangannya.

Lalu pandangan mata mereka bertemu.

“Errr… Awak…”

“Abang. Mulai sekarang Laila kena panggil saya abang,” ucap Faqih lembut.

Khalisah kaku. Ya Allah, mimpi apa lagi ini? Dia bingung! Dadanya tiba-tiba berdebar-debar semacam.

“Dan izinkan saya panggil awak, Laila. Boleh?” pinta lelaki itu sebelum sempat si isteri yang masih tercanguk itu bersuara.

Khalisah meneguk liur, tanpa banyak fikir dia hanya mengangguk. “Abang… Errr… Kenapa… Kenapa Laila? Khalisah tak sedap ke?” laju saja pertanyaan itu keluar dari mulutnya.

Faqih tertawa kecil lalu tunduk seketika sebelum mengangkat wajahnya semula. “Bukan tak sedap. Tapi, abang tahu tak ada orang panggil awak dengan nama Laila. Abang yakin, nama Laila tu disimpan untuk dipanggil oleh seseorang yang istimewa saja. Dan abang berharap sangat, abanglah orang istimewa itu.”

Khalisah terpempan. Kata-kata lelaki bergelar suaminya itu cukup membuatkan sekeping hatinya luluh. Luluh bukan kerana hiba, tetapi kerana terlalu terharu! Ya Allah, sekali lagi… Betulkah dia tidak bermimpi?

Senyuman ikhlas lelaki itu cukup menggambarkan kecintaan yang kini hadir sedikit demi sedikit. Khalisah tidak mampu menoleh wajahnya lagi. Dia sudah terpesona. Dia mahu menikmati senyuman itu puas-puas.

“Mari, abang nak tunjuk sesuatu dekat Laila.” Genggaman lelaki itu pada tangan si isteri tiba-tiba longgar. Seketika kemudian, dia keluar dari perut kereta.

Khalisah masih di awang-awangan. Termengkelan dengan apa yang baru berlaku. Namun, ajakan suaminya tidak mampu dilengahkan. Dia keluar juga dari perut kereta selepas itu.

“Jom!” Faqih kembali menggenggam telapak tangan si isteri lalu berjalan menuju ke garaj yang terletak di belakang halaman rumah mewah itu.

Seketika kemudian, alat kawalan jauh dikeluarkan dari kocek seluar jeannya. Lalu punat kecil pada badan alat itu ditekan. Serta-merta, pintu garaj yang terkatup itu terangkat perlahan-lahan ke atas.

Khalisah melongo. Matanya makin membulat memandang ke hadapan sebaik pintu garaj itu terangkat sepenuhnya. Sebuah kereta berjenama Peugeot 508 berwarna putih memenuhi ruang pandangnya.

“Selamat pengantin baru, sayang.” Faqih datang mendekat lalu berbisik lembut ke telinga Khalisah.

Khalisah menekup mulut. Matanya yang bundar kini bergenang. Bergenang dengan air jernih yang hangat. Bukan kerana Peugeot yang terparkir elok di dalam garaj itu, tetapi kerana sekeping kad besar yang tertulis I Love You, Laila di cermin hadapan kereta itu bersama lambakan ros merah di sekelilingnya yang membuatkan hati wanita itu langsung tersentap, tidak tahu hendak digambarkan bagaimana.

“Laila nak tahu kenapa abang hanya pakai motosikal selama ni? Sebab impian abang, apabila abang memandu, abang mahukan ada seorang isteri sebagai teman di sebelah abang.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/71826/imam-mudaku-romantik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *