[SNEAK PEEK] CURI CURI HATINYA

Curi Curi Hatinya oleh Rinsya Chasiani

MASA berlalu dengan begitu pantas. Tahun ni genap 18 tahun usiaku. Bertahun aku menunggu tibanya saat ini dan akhirnya hari ini membuahkan senyuman lebar di bibirku. Hari ini aku mengambil keputusan SPM dengan wajah ceria. Bukan kerana keputusan ku bagus sangat. Tapi kerana wajah Adami bermain-main di ruang mata.
Kaki melangkah ke arah kereta Avanza berwarna merah terang. Dalam hati sudah menyanyi-nyanyi riang kerana teruja atas apa yang aku lalui hari ini. Walaupun sudah berbulan-bulan lamanya aku tidak berjumpa Adami namun itu tidak bermakna hubunganku dengan keluarga Adami juga terputus. Buktinya Puan Nafisa mahu mengajak aku berjalan-jalan ke pekan untuk membelikan beberapa pasang pakaian sebelum mengambil slip keputusan pagi ini.
Aku hargai Adami kerana sudi memperkenal aku dengan keluarganya. Cuma selepas Adami melanjutkan pelajaran di universiti di luar negeri, kami semakin renggang dan adakalanya seperti sengaja mengelak dari bertemu denganku.
Tapi bagiku dia masih lagi yang terutama. Hidupku masih berpusing pada paksi Adami Hafizi.
“Dapat berapa Ica?” Soalan Puan Nafisa, mama Adami membuahkan sengihan di bibirku.
“Adalah beberapa A yang lain biasa-biasa aje, auntie…” ujarku selamba sambil cepat-cepat melipat slip keputusan lalu meletakkannya dicelah-celah buku yang kubawa.
“Auntie tau Ica budak pandai. Tahniah Ica…”
Aku mengangguk kecil.
“Jom balik…” Puan Nafisa mencapai bahuku sambil tersenyum lebar.
Betapa beruntungnya jika diriku boleh menjadi salah seorang ahli keluarga mereka. Aku rasa Puan Nafisa memang nakkan aku jadi menantu dia. Aku sendiri sudah menyatakan pada Puan Nafisa yang sekarang ni matlamat aku adalah untuk menjadi menantunya.
Puan Nafisa ketawa mendengar kata-kataku tapi pada masa yang sama aku tahu ibu Adami sebenarnya sukakan diriku.
Sampai aje ke rumah Puan Nafisa, aku terus masuk ke dapur mengikutnya memasak. Kami bergurau senda dan bercerita sehinggalah hari beransur petang. Aku tersengih aje saat Puan Nafisa bercerita itu dan ini. Dalam hati sudah merangka rancangan dan impian, paling lama pun kena tunggu sampai hujung tahun ni untuk aku menjadi seorang isteri. Isteri kepada seorang Adami Hafizi!
BERLARI anak aku menghampiri rumah Adami kerana kudengar daripada Encik Halim yang Adami tengah ada kat rumah dia. Kebiasaannya, dia akan ada di padang waktu petang-petang sekiranya mendapat cuti untuk bermain bola dan kami bertemu di sana. Tapi kali ini aku tak boleh menahan rasa. Tak sabar menemui Adami sehingga membawa langkah kakiku ke sini.
Sampai di rumah aku lihat Adami tengah duduk di atas sofa termenung menonton tv. Senyumanku meleret ke pipi berdiri di hadapannya.
“Abang balik tak beritahu Ica pun?”
Soalanku tidak berjawab malah dia seakan-akan hidup di dunia sendiri. Pertama kali aku lihat Adami menjadi seorang yang berlainan. Melihat wajahnya yang agak terbiar kusam dan renungan redup matanya tiada cahaya membuat hatiku berentak tanpa irama. Sakit kah dia?
Aku pandang Adami dengan wajah yang sedih.
“Eh, Ica datang?” Puan Nafisa keluar dari dapur. Aku mengangguk kecil. Sengaja kupamerkan wajah penuh tanda tanya ketika berhadapan dengan Puan Nafisa, ingin kusalurkan perasaan hairanku melihat keadaan Adami ketika ini.
“Tahu Adam dan balik ya? Adam tu dah jarang main bola sekarang ni,” jelas Puan Nafisa sambil mengerling ke wajah anak bujangnya.
“Uncle kata Abang Adam ada kat rumah tadi,” kubalas kata-kata Puan Nafisa sambil tersenyum segaris.
“Ye ke? Jomlah temankan auntie masak dulu. Biarkan Adam tengok tv aje.” Puan Nafisa selamba menarik tanganku. Melihat wajahku yang blur tu Puan Nafisa letakkan terus mug di atas meja serta memegang tanganku sambil tersenyum janggal.
“Adam putus cinta…” bisik Puan Nafisa sejurus selepas menarik tanganku masuk ke dapur rumahnya. Aku terpinga-pinga tanpa kata sebab selama ni tak pernah pun aku dengar Adami ada kekasih hati. Kalau betul ada, maknanya selama ni Adami tak pernah memandang diriku sebagai seorang wanita yang bakal dijadikan suri hatinya! Adami sudah bercinta!
Jiwaku mendesah kecewa. Terkilan yang amat namun sedaya-upaya aku mengawal riak wajah supaya tidak tercatit perasaan hatiku ini pada air muka.
“Dah seminggu dia duduk kat kampung tak keluar dari rumah. Asyik tunjuk muka sedih aje, auntie dah risau dah ni. Takut kalau-kalau dia berhenti kerja dan jadi macam ni sampai bila-bila. Adami kalau dah cinta memang cinta mati la gamaknya. Tengok lah seminggu dia malas nak makan, malas nak bercakap. Maklumlah budak perempuan tu cinta pertama dia.” Keluhan Puan Nafisa membuat diriku sedih.
Rupanya bukan aku yang pertama menduduki hati Adami. Bukan aku rupanya… Selama ni aku ingatkan Adami sayangkan aku seorang, cintakan aku dan akan melindungi diriku sampai bila-bila!
“Kalau Ica kahwin dengan dia, Ica tak akan sekali-kali buat dia sedih kan Ica?” Tiba-tiba Puan Nafisa bertanya. Aku terus anggukkan kepala dengan wajah penuh mengharap.
Mana mungkin aku melukakan hati seorang Adami Hafizi.
Soalan Puan Nafisa membuat hatiku berdebar kencang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, sudah mengantuk disorongkan bantal. Harap-harap apa yang dikatakan Puan Nafisa tadi benar-benar dia maksudkan. Walaupun aku terkilan dengan apa yang terjadi tapi jiwaku sudah terikat mati pada Adami. Aku tak boleh nak pandang orang lain kecuali dia. Tak boleh!
“Ica akan jaga abang sampai bila-bila.” Sengaja aku menabur janji agar boleh mengikat hati gusar seorang ibu. Dan kulihat perlahan-lahan wajah Puan Nafisa beransur lega.
“Auntie percayakan Ica. Lagipun selama ni Ica aje yang duduk disamping dia tak kira susah ke senang. Kalau dia sedih aje mesti dia cari Ica. Auntie pun tak faham kenapa sejak dua menjak ini perangai Adam dah jauh berubah. Jauh dari auntie dan uncle… Dah tak macam dulu lagi. Mungkin juga sebab dia dah besar tapi kalau boleh auntie tak nak dia cari calon isteri jauh-jauh sangat.” Keluhan demi keluhan dari bibir Puan Nafisa seolah-olah menjamin kedudukanku di sisi Adami. Aku mengangguk bersungguh-sungguh sambil memegang lengan Puan Nafisa erat.
“Ica tak kan tinggalkan abang sebab Ica sayang dia. Lagipun Abang Adam memang sayangkan Ica juga dari dulu. Tapi walaupun dia tak sayang Ica lagi satu hari nanti, Ica tetap sayangkan dia,” jujur aku berkata. Bagiku Adami adalah segalanya dan tak mungkin untukku berpaling melihat arah lain kerana di mataku hanya ada satu aje jalan, jalan untuk hidup bersama dengan Adami Hafizi sampai mati.
Puan Nafisa memeluk bahuku, tersenyum dan menepuk belakang tubuhku. “Auntie nak Ica jadi menantu sebab Ica seorang aje yang auntie boleh percaya…”
Kata-kata Puan Nafisa membuahkan senyuman lebar di bibirku. Aku percaya dia tetap milikku akhirnya nanti dan aku akan membahagiakan dia tak kira apa yang bakal terjadi. Aku berjanji dengan diri sendiri dan akanku pegang janji ini sehingga keakhir nafasku nanti!
AKU berlari anak menuju ke arah padang sambil kedua-dua tangan memegang dada. Gembira dan bahagia bernada di sini! Walaupun kadang-kadang rambutku terbuai oleh angin sehingga melibas ke pipi namun senyuman di bibirku mekar tidak berhenti.
“Ica, Adam tunggu kau kat tepi padang macam biasa.”
Kata-kata Adeera, jiran sebelah rumahku tadi membuatkan diriku terlonjak gembira. Ini kali pertama sejak aku dan dia bergelar tunangan. Sebenarnya aku sendiri tidak sabar-sabar untuk memandang wajah kacaknya kerana rindu semakin menghempas jiwa. Inikah indahnya perasaan memiliki orang yang kita sayangi?
Melihat Adami sedang duduk di bawah pokok tempat pertama kali dia menegurku membuahkan rentak debaran di hati. Cepat-cepat langkahku bawa mendekati dirinya.
“Abang! Abang dan balik?!” tegurku teruja. Adami menoleh dan memandang wajahku sekilas sebelum melemparkan pandangannya ke depan semula.
Aku tersengih lebar sambil melabuhkan punggung di sisi lelaki itu, lelaki yang telah berjaya menduduki hati aku sekian lama. Wajah Adami Hafizi kutatap dengan penuh perasaan rindu.
“Apa Ica dah buat?” Adami melemparkan tenungan tajamnya pada diriku. Pertanyaan itu tajam menikam deria telinga. Entah kenapa tiba-tiba aje aku rasai aura dingin dan tegang antara kami.
Aku memandang wajahnya hairan.
“Buat apa?” Ulangku lembut agar tidak menimbulkan kemarahan dalam diri Adami tapi sebaliknya wajah Adami kian membengis.
“Abang tak pernah cintakan Ica tau tak? Kita putuskan aje pertunangan bodoh ni sebab abang pun tak tahu kenapa tiba-tiba mama nak kita kahwin! Abang dah anggap Ica macam adik abang sendiri.”
Aku terpinga-pinga tidak mengerti tapi sedetik kemudian hatiku jadi tercalar. Mataku mula berkaca-kaca. Benarkah dia tidak sudi menyunting diriku? Sungguh-sungguhkah dia tidak sudi? Bukankah apa yang aku ada dan dia ada adalah sebuah perasaan indah semata-mata? Cinta namanya.
Takkan dia tak rasa apa yang aku rasa? Dia sendiri pernah menyatakan bahawa dia sayangkan diriku seikhlasnya sehingga sanggup berkorban nyawanya untuk diriku. Dia sendiri pernah mengatakan bahawa dia tidak suka aku didera dan dibuli orang lain. Dia akan melindungi diriku sampai bila-bila. Aku menggigit bibir menahan sebak di dada yang bertandang tanpa diduga.
“Tak boleh ke kita kahwin?” tanyaku lambat-lambat.
Adami memandang diriku dengan riak terkejut. “Apa?” sepatah dia bertanya.
“Abang tak sayang Ica?”soalku lembut, memujuk. Masih berharap dia memahami diriku walaupun wajahnya terpancar seribu satu titik kebencian pada diriku.
Aku nak dia rasa apa yang aku harap-harapkan selama ini. Aku nak dia sedar yang aku mencintai dia lebih dari segala-gala yang ada di muka bumi ini.
“Sayang?? Ica tak faham abang walaupun sekian lama kita berkawan? Abang tak pernah cintakan Ica! Tak kan Ica tak tahu hati abang?! Abang tak pernah mengharapkan Ica menjadi isteri kepada Adami Hafizi.”
“Ta.. Tapi.. Tapi abang janji. Jaga Ica sampai mati… Abang kata abang cintakan Ica…”suaraku mulai terketar membalas kata-katanya. Adami Hafizi mencerlung pandangan ke arahku. Pertama kali dia memandang ku sebegitu.
Seperti renungan mak setiap kali aku menaikkan kemarahannya.
“Jaga? Aku jaga kau sampai kau kahwin aje tapi lepas tu aku serahkan kepada suami kau. Orang yang benar-benar berhak, Ica! Bukannya aku! Lagi satu aku nak cakap cinta kau tu tak pernah ada dalam kamus hidup aku. Kau tak dapat bezakan ke yang mana satu gurauan budak kecil dan yang mana satu ungkapan orang dewasa? Aku kata cinta tu masa kita kecil, berhingus lagi. Sekadar janji di bibir, Ica.. Takkan kau bodoh sangat?”
Aku terkedu melihat kemarahannya. Buat julung-julung kalinya air mata ini jatuh kerana Adami. Namun tiada lagi suara pujukan lelaki itu memintaku agar berhenti menangis.
“Abang sendiri pernah cakap cinta tak boleh nak main-main. Kenapa abang cakap cinta abang hanya sebuah gurauan budak kecil?”
“Irisya Sareefa!!” melengking suaranya menempelakku sehingga bahuku terangkat kerana terkejut.
Aku nampak dia mengetap bibir geram dan melirik ke wajahku tajam sehingga bibirku terasa kelu untuk membalas kata-katanya. Inikah kemarahan daripada Adami Hafizi yang tidak pernah kulihat sebelum ini? Aku fikir selama ini Adami tidak akan pernah menguatkan suaranya kepadaku. Tidak akan ada kebencian dan membentak-bentak diriku seperti apa yang mak dah buat padaku tapi ternyata aku silap. Kasih-sayang selama bertahun ini nyata belum cukup kuat.
Sebelum hari ini, aku sentiasa terpesona menyaksikan lirikan matanya. Aku terasa bertuah kerana lirikan itu adalah untuk aku seorang tapi rupa-rupanya aku tersilap tafsir. Dia boleh memandang sesiapapun yang dia nak… Lirikan matanya itu bukan untuk aku dan begitu juga cintanya.
Aku duduk melutut di hadapannya sambil tertunduk memandang rumput. Bibir terketar menahan sebak. Aku sekarang tidak ubah seperti pesalah di hadapannya. Terasa diri ini amat kecil berhadapan dengan Adami kerana rasa bersalah dan rasa serba-salah menjadi satu di dalam dada.
Aku tidak mahu Adami membenci diriku tapi tak boleh juga untuk aku membatalkan apa yang telah dirancang bersama Puan Nafisa. Segalanya sudah cukup teratur dan tak mungkin untuk aku lepaskan sia-sia. Aku tak nak dia tenung diriku dari sudut yang hina tapi saat ini aku terpaksa! Kalaulah aku ada kuasa untuk memalingkan hatinya, saat ini juga akan kucari jiwanya untuk memahat namaku di sana agar dia boleh menerima diriku seikhlasnya.
“Abang tak boleh buat Ica macam ni. Ica janji yang Ica akan jadi isteri yang terbaik untuk abang…” janjiku terlafaz di bibir bersungguh-sungguh. Aku lihat Adami memandang wajahku seakan-akan tidak percaya untuk beberapa saat sebelum di bibirnya terbit tawa kecil. Tawa yang mampu menusuk jiwaku tanpa kata. Sinisnya sehingga membuat dadaku terasa pecah.
“Isteri?” soalnya sambil menekan suara. Sekali lagi dia ketawa sinis. Kali ini lebih kuat daripada tadi seolah-olah perkataan isteri itu mengundang rasa geli hati dalam dirinya. Atau lebih tepat, perkataan itu sekadar sebuah perkataan yang melucukan. Bukan untuk aku menyandang gelaran itu dan aku tidak layak sama sekali untuk menjadi isteri kepada Adami Hafizi! Hina sangatkah keinginanku untuk menjadi isterinya?
Tawanya kali ini membawa luka yang paling dalam buatku.
Dalam hidupku, tiada seorangpun yang lebih istimewa berbanding dirinya. Bukan juga Puan Nafisa, bukan juga sesiapa. Walaupun aku ada mak tapi semua itu sudah tidak membawa makna. Tidak mungkin untuk aku lepaskan Adami dari hidupku. Tidak mungkin!
“Isteri? Ica tak tahu ke perkataan isteri atau suami tidak seharusnya wujud antara kita. Abang dan anggap Ica macam adik kandung abang. Boleh tak Ica bayangkan perasaan abang sekarang ni?” Adami berdiri mendadak. Aku terkejut dan terpempan saat Adami angkat tubuh dan berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi. Laju langkahnya dan aku tahu dalam langkah itu, dia sedang meluahkan perasaan marah dan bengangnya terhadapku.
“Abang!” jeritku kepadanya namun Adami tidak mengendahkan panggilanku. Aku genggam tangan dan terus berlari ke arahnya. “Abang, abang tak boleh batalkan perkahwinan kita! Nanti mak marah…” rayuku bersungguh-sungguh meminta sedikit simpati darinya. Bukan sedikit pengorbanan yang telah aku lakukan untuk perkahwinan ini. Kerana perkahwinan inilah mak semakin membenci diriku kerana enggan mengikut katanya ingin aku terus melanjutkan pelajaran.
“Abang tolonglah, kalau tak mati Ica nanti…” rayuku cuba memujuk dirinya.
Langkah Adami kaku sebentar sebelum menyambung semula langkahnya tanpa sedikitpun memandang aku. Aku tidak mampu lagi untuk menjerit. Aku berdiri di atas padang dengan pandangan berbalam-balam.Tangisan dan esakan pecah dari bibir sebelum aku terduduk di situ.
Terasa aku telah kehilangan kasih sayang dari lelaki itu. Dan tiada yang lebih ngeri dari wajah Adami tadi.
Kalau aku lepaskan dia, akan adakah dia untukku dikemudian hari?
Aku pasti aku bakalan kehilangan Adami sepenuhnya…

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/269416/curi-curi-hatinya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *