[SNEAK PEEK] CINTA KARIPAP PUSING

Cinta Karipap Pusing Oleh Sania Yasmin

 

Kan mak dah cakap dulu. Adik tak nak dengar, tengok sekarang apa dah jadi?”
Terkejut mereka sebaik tiba di tempat Humaira berniaga. Ada najis manusia di situ. Rasa hendak termuntah tadi. Selama dua minggu berniaga, itulah kali pertama mereka mengalami kejadian itu.
“Alah, sikit aje mak. Boleh berniaga lagi. Lagipun ianya kat belah sana. Abah pun dah buang najis tu!” Eii… emak ni, benda sikit pun nak kecoh satu dunia.
“Sikit adik kata?” Melengking suara emak.
“Mak, orang dengar tahu tak. Malu!” Mahu saja disuruh emak balik ke rumah kalau mereka berdua asyik bertekak daripada tadi.
“Tahu pun malu!” Geram sungguh dia dengan Humaira yang tidak mahu mendengar nasihatnya.
“Malu sebab mak bising-bising. Rezeki tak masuk kalau asyik bersungut, merungut dan marah-marah. Orang pun tak mahu datang membeli kat kita!” Humaira menahan sabarnya.
Emak melepas nafas ketatnya sambil memandang kepada kawasan tapak berniaga di sebelah sana. Amir, Mona dan yang lain-lain masih belum tiba untuk berniaga.
“Mesti kerja si Mona!” Emak duduk di bangku plastik yang dibawa bersama tadi.
“Tak baik tuduh orang mak. Kita tak nampak. Mungkin ada orang sengaja buang najis kat situ!” Tak kuasa dia hendak memikirkan perkara itu. Tempat yang disarankan oleh abah nampak lebih sesuai dan sejuk. Bawah pokok pula tu.
“Tak ada orang suka-suka nak buang air besar kat situ, adik!” tekan emak geram.
Humaira sengih. Rasa lucu pula.
“Tak apalah. Kat sini pun rasanya okey, kan.” Humaira mendongak memandang pokok Semarak Api yang agak besar dan baru saja dipotong oleh majlis bandaran beberapa bulan yang lalu.
“Esok tak payah berniaga. Hari ni last!” Putus emak memandang anak bongsunya yang agak degil. Perkara sebegitulah yang paling ditakutinya. Mungkin itu sebagai amaran kepada Humaira. Siapalah yang dengki sangat dengan anak bongsunya?
Lelah Humaira dengan sikap emak yang asyik menyuruhnya berhenti berniaga. Wanita itu benar-benar menduganya. Sabar ajelah!
“Esok mak tak payah temankan adik berniaga. Adik boleh niaga sorang!” putus Humaira tanpa memandang emak. Bukan dia marah dengan emak, tetapi kecewa dengan sikap emak.
Termangu emak. Senyap.
Pandangan mereka beralih kepada lelaki yang lebih kurang sebaya abah. Lelaki itu sering membeli Karipap Pusing Inti Sardin Humaira.
“Assalamualaikum, pak cik.” Lebar senyuman Humaira.
“Waalaikumussalam. Karipap inti sardin tu ada lagi tak?” Lebar sengih Haji Muhsin.
“Ada banyak lagi, pak cik.” Humaira membuka bekas yang berisi karipap pusing berinti sardin.
“Bagi 10 biji, nak.”
“Ya.”
“Hari tu Muiz ada datang, ya? Order karipap pusing 50 biji?” Dia bertanya sebagai kepastian.
“Err… Muiz?”
Siapa Muiz? Soal Humaira sendiri.
Emak senyap dan sekadar mendengar perbualan anak itu dan pelanggannya. Sudah beberapa kali lelaki itu datang membeli Karipap Pusing Inti Sardin Humaira. Namun, tidak pernah tahu pun nama lelaki itu.
“Yang pakai motor besar tu.” Sengih Haji Muhsin.
“Ooo… a’ah!” Baru dia teringat dengan lelaki yang memesan karipap pusing sampai 50 biji untuk dibawa ke pejabatnya lebih seminggu yang lalu.
Beberapa ketika lelaki itu meninggalkan gerainya. Rasa sedikit lapang melihat senyuman Haji Muhsin. Pandangannya beralih kepada emak yang muncung.
“Mak marah?” soalnya separuh mengusik.
Emak menjeling. “Mak balik sekejap. Lupa nak bawak air!”
Humaira sengih.
“Buat teh tarik untuk adik, ya!” laungnya kepada emak yang sudah melangkah menuju ke rumah mereka yang terletak hampir 50 meter dari tempat mereka berniaga.

“AYAH belum balik lagi?” soal Hajah Nafisah kepada Muiz yang berada di pintu.
“Belum.” Muiz mula gelisah.
Sesekali menjeling jam di pergelangan tangan sambil melangkah ke sofa. Telefon bimbit disambar dan ditilik untuk melihat jadualnya hari itu.
“Ke mana pulak orang tua ni?” Hajah Nafisah melabuhkan punggungnya di sofa berhadapan Muiz.
“Pergi makan dengan kawan-kawan dia agaknya.”
Selalunya begitulah Haji Muhsin selepas bersolat subuh di masjid. Nampaknya lambatlah mereka ke hospital.
“Cari karipap pusing hari tu agaknya. Semalam dia ada cakap nak cari karipap pusing.” Hajah Nafisah pula mengagak.
“Takut lambat aje. Ini dah nak pukul 8.00.”
Temu janji lelaki itu pada pukul 9.00 pagi dan dia akan membawa ayahnya ke hospital seperti selalu. Kalau dahulu, Rozie yang akan membawa Haji Muhsin ditemani Hajah Nafisah, entah apa sebabnya wanita itu tidak mahu membawa Haji Muhsin lagi.
“Umi nak buku bank umi,” pinta Hajah Nafisah.
Berkerut dahi Muiz. “Umi nak duit ke?”
“Adalah!” Hisy, payah sungguhlah dengan Muiz ni, keluhnya.
“Yalah, kena tanya. Nak pakai berapa?”
Keduanya menoleh sebaik mendengar pintu besi dibuka. Kelihatan Rozie sedang melangkah masuk dan menarik semula pintu besi. Mati perbualan kedua mereka.
“Kata ayah ada appointment?” soalnya kepada Hajah Nafisah. Dia baru saja balik daripada menghantar anak-anaknya ke tadika dan sekolah.
“Ayah pergi cari karipap pusing yang dia suka tu agaknya.” Sekali lagi Hajah Nafisah melepas keluhannya.
“Sedap sangat ke karipap tu?” soal Rozie sinis.
“Sedap atau tak… dah itu yang ayah suka. Tak suka tak payah makan. Dia beli untuk tekak dia, bukan tekak orang lain!” Keras suara Muiz dengan pandangan garang.
“Muiz!” Hajah Nafisah menepuk paha Muiz. Takut dia mendengar suara keras anak ketiganya. Muiz kalau marah semua boleh terbang.
“Aku tanya aje!” Eii… geramnya dia dengan Muiz. Bulat mata Rozie memandang adik iparnya.
“Tak payah nak tanya, kalau nak beli pun berkira!” tempelak Muiz.
“Muiz!” Cemas Hajah Nafisah dengan anak dan menantunya yang sudah bergaduh.
“Apa masalah kau ni, haa?” Rozie mula menyinga.
“Akak tu yang bermasalah sebenarnya. Kita duduk satu rumah. Ayah dan umi tak pernah berkira, takkan itu pun nak berkira!” selar Muiz. Harap-harap wanita itu faham dengan maksudnya.
“Muiz!” Sekali lagi Hajah Nafisah menepuk paha Muiz.
“Dah… Zie, kau pergi masuk!” Keduanya tidak boleh bertemu muka, pasti akan ada benda kecil diperbesar-besarkan.
Turun naik nafas Rozie, seketika dia melangkah menuju ke biliknya.
“Umi ni lembut sangat dengan Kak Zie.”
Hajah Nafisah senyap.
Sekali lagi keduanya menoleh ke pintu.
“Haa… dah siap?” Gelak Haji Muhsin melihat anak dan isterinya di sofa.
“Abang ke mana?”
“Cari karipap pusing ni. Takut habis. Tu yang beli cepat-cepat tu!” Ditunjuk plastik Karipap Pusing Inti Sardin Humaira.
“Ayah tak boleh makan dulu. Lepas ambik darah baru boleh makan.” Muiz mengingatkan ayahnya.
“Ya, ayah nak bawak buat bekalan dua tiga biji nanti.”
Alahai, rasa bersalah pula dia dengan kata-kata Haji Muhsin. Lelaki itu masuk ke biliknya untuk bersalin ke pakaian yang lebih sesuai untuk ke hospital. 10 minit kemudian HR-V milik Muiz meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah Haji Muhsin dan Hajah Nafisah.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/303058/cinta-karipap-pusing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *