[SNEAK PEEK] AKU SIMPAN CINTA DIA

Aku Simpan Cinta Dia Oleh Nana Fiqree

 

Aku merenung lama cincin yang terletak elok di jari. Sah, aku kini bergelar tunangan orang. Setelah sekian lama menyemai cinta, akhirnya petang ini aku bergelar tunangan Azman. Rombongan dari Pulau Pinang baru saja bertolak pulang. Sebanyak 3 buah kereta datang dari pihak sana untuk urusan peminangan ini. Aku tersenyum bahagia sambil menggosok-gosok cincin di jari berkali-kali.

Pintu bilik dikuak, tersembul wajah Dira. Tersenyum namun seperti dibuat-buat.

“Suka?” soalnya sambil mengambil tempat di sisiku. Dia menghempas tubuh kecilnya itu kuat di atas katil bercadar merah jambu bercorak hati.

Aku sekadar mengangguk. Cukup untuk menggambarkan perasaan aku saat ini.

“Huh…betul ke suka?” Tanya Dira lagi, macam tak puas hati dengan jawapanku. Dia mengerling cincin di jari manisku sambil mengeluh perlahan.

“Kenapa ni? Dira tak seronok tengok Kaklong dah tunang?” wajah polos Dira aku pandang lama. Reaksi Dira dari majlis tadi bermula macam tak suka dengan pertunangan ini. Dia ku lihat lebih banyak mendiamkan diri, tidak seperti biasa dengan perwatakannya yang sentiasa ceria.

“Kaklong seronok?” Dira masih ingin menyoal tentang rasa hati aku. Tangannya meramas-ramas cadar kuat. Entah apa angin yang melandanya hari ini, aku pun tak tahu.  Aku angguk lagi. Tak perlu jawapan jika sedari awal jawapannya telah ada.

“Dira tak faham dengan keputusan Kaklong ni. Sangat-sangat tak faham,” Dira mendengus keras. Macam berat benar masalah yang bersarang dibenaknya. Aik? Aku yang tunang, dia yang banyak nak fikir. Kenapa?

Aku kerut dahi, “Apa Dira cakap ni? Kaklong tak faham. Dari tadi Kaklong tengok Dira diam aje, apa yang tak kena?”

“Kaklong Tanya Dira apa yang tak kena? Hello! Sepatutnya Dira yang tanya Kaklong macam tu. Apa yang tak kena dengan Kaklong ni. Tolonglah… Kaklong yang Dira kenal bukan macam ni, bukan berhati batu tak nak dengar pandangan orang lain. Jangan tutup pintu hati tu dari kebenaran. Kenapa dia yang Kaklong pilih sedangkan Kaklong tahu kesudahannya tak seperti yang kita harapkan.”

      “Ini keputusan Kaklong Dira, tolong hormati keputusan ni. Kalau Dira sayangkan Kaklong dan nak tengok Kaklong bahagia, tolong terima ketentuan dan takdir Kaklong ni. Memang dah tersurat, ini jodoh kami,” aku tegas dengan keputusanku memilih Azman sebagai teman hidupku sehingga ke akhir hayat. Aku tak perlukan pendapat dia tentang siapa yang harus menjadi suamiku.

“Kaklong rasa Kaklong akan bahagia dengan keputusan yang macam ni? Dira benar-benar tak faham kenapa Kaklong perlu butakan mata, pekakkan telinga kerana lelaki tu. Dira ni adik Kaklong, takkan  Dira nak diam dan biarkan Kaklong buat keputusan yang silap. Ini tentang hidup Kaklong, bukan sehari dua Kaklong nak hidup dengan dia. Kenapa nak ambil risiko ni sedangkan dari awal Kaklong dah tau baik buruknya?” jelas sekali Dira benar-benar kecewa dengan keputusan yang aku buat.

Aku tunduk tanpa sepatah kata untuk menidakkan kata-kata Dira. Apa yang kurangnya Azman. Aku mengenalinya sejak 3 tahun yang lalu. Dia menerima aku seadanya, buruk dan baikku. Dan sekarang, apabila ada lelaki yang lebih baik pada pandangan Dira, jadi aku harus mengenepikan Azman. Itu yang dia nak? Aku bukanlah perempuan yang mudah berpaling cinta, meninggalkan Azman tanpa sebarang sebab yang kukuh adalah tindakan seorang pengecut. Mungkin Zarif hadir sekadar untuk menguji keutuhan cinta kami.

“Kenapa bukan Zarif? Apa kurangnya dia? Dia tak cukup baik untuk dijadikan suami dan ayah untuk anak-anak Kaklong nanti?” suara Dira kedengaran lirih. Cadar yang kami duduki telah renyuk dikerjakan Dira.

Aku angkat muka, pandang matanya yang yang jelas kecewa dengan keputusanku, “Sebab dia terlalu baik untuk Kaklong, Dira. Terlalu sempurna untuk Kaklong. Puas hati?”

“Apa maksud Kaklong dengan terlalu baik dan terlalu sempurna tu? Dira tak faham kenapa ada perempuan yang menolak lelaki sempurna itu,” Dira pandang aku dalam-dalam, puas dapat melepaskan rasa hatinya.

Aku mengeluh perlahan, “Suatu hari nanti Dira akan faham dan masa tu Dira takkan salahkan Kaklong. Apa yang Dira tahu pasal setia?”

“Apa yang cuba Kaklong sampaikan. Apa yang Dira tak tahu tentang setia? Terangkan sampai Dira faham,” soal Dira sedikit mendesak.

“Kaklong dengan Azman dah lebih dari 3 tahun, takkan Kaklong nak tinggalkan dia macam tu saja sebab Zarif. Itu tak adil untuk dia. Lagipun Kaklong nak jadi seorang kekasih yang setia.”

“Walaupun akhirnya Kaklong akan menyesal dengan keputusan yang Kaklong buat? Itu yang Kak long nak? Setia tu setia juga tapi dalam tempoh sebelum berkahwin, takkan Kaklong tak terfikir untuk cari lelaki yang terbaik untuk dijadikan suami. Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Kalau rasa tersilap, boleh patah balik. Sebelum kahwin, pilihan dah ada…kenapa tetap nak buat pilihan yang salah?” panjang lebar Dira ‘sekolahkan’ aku. Ek eleh..dia cakap senanglah sebab dia tak pernah bercinta. Cakap ikut teori aje, praktikal tak ada. Itulah, banyak sangat baca novel cinta sampai terbawa-bawa. Wujud ke lelaki sempurna macam tu dalam alam nyata ni?

“Kalau nak pilih yang terbaik saja, sampai bila pun tak habis. Sampai bila-bilapun Kaklong tak kahwin. Kalau hari ni Kaklong pilih Zarif sebab anggap dia lebih baik dari Azman, lepas tu bila Kaklong jumpa orang yang lebih baik, Kaklong tinggalkan  Zarif pula. Itu yang Dira nak?” aku tetap tak mahu kalah. Bahagia atau tidak rumahtangga aku nanti, aku yang tentukan. Bukan dia. Bukan sesiapapun.

“Biar apapun sebabnya Kaklong tak patut bertunang dengan Azman. Dia curang dibelakang Kaklong, dia tak setia,” ujar Dira sungguh-sungguh.

Aku mendengus keras, tersinggung dengan kata-katanya,“Kalau Dira tak suka Azman sekalipun, tak perlulah nak buat cerita. dia tak seburuk yang Dira sangkakan,” berterusan aku menolak kata-kata Dira. Tak sangka sampai sejauh ini anggapan buruknya pada Azman. Kalau dulu aku menganggap dia sekadar tak suka macam tu saja, tidaklah sampai mereka-reka cerita yang bukan-bukan.

Bulat mata Dira memandangku tak percaya, “Selama ni pernah ke Dira tipu Kaklong? Ada?” Dia benar-benar berjauh hati. Sampai hati Kaklong menuduh dia mereka-reka cerita. Tak sangka cinta Azman mengaburi mata kakaknya hingga jadi buta begini.

Masih dia ingat peristiwa yang tak disangkakan itu. Waktu itu dia sedang menunggu abah untuk menjemputnya pulang. Dia terpandang seseorang yang amat dikenalinya menghantar seorang gadis di depan pintu hospital. Hatinya berdetik, Azman? Bukankah dia sepatutnya bertugas di Sarawak seperti yang dikhabarkan Kaklong. Kenapa tiba-tiba boleh ada di sini pula? Bersama seorang gadis lain pula tu. Setahunya Azman tak punya saudara mara di sini, adik perempuan apatah lagi. Tapi gaya mereka bukan seperti adik beradik, apatah lagi saudara mara kerana dengan matanya sendiri dia melihat perempuan yang memakai uniform sepertinya itu menyalami Azman sambil mencium tangannya. Azman pula memegang pipi gadis itu sebelum berlalu.

Tanpa dapat di tahan rasa ingin tahu, dia berpaling pada rakan sekerja di sebelah. Yang sama-sama menunggu untuk dijemput pulang dan sama-sama menyaksikan kejadian menyakitkan mata itu.

“Hajar…” sebaris nama terpancul dari bibir Hanis sambil buat muka menyampah. Meluat, semua adalah.

Dira bulatkan mata, penuh tandatanya dia pandang Hanis, “Kau kenal perempuan tu?”

“Huh, sapa tak kenal. Awek awam, semua lelaki pun dia layan. Buat malu profesyen nurse je.”

“Awek awam?” lain macam je gelaran yang Hanis bagi pada perempuan berisi dan berkulit hitam manis itu. Manis ke? Atau lebih tepat sebenarnya berkulit gelap.

Dengan gaya joyah kepohnya Hanis mengadap Dira, bersungguh-sungguh nak mengumpat ni, “Aku dengar orang kata dia ni macam perempuan yang dot dot dot tu. Tukar lelaki dua tiga bulan sekali.”

“Ha?” bulat besar mulut Dira ternganga mendengar cerita Hanis. Biar betul? Dan Azman salah seorang daripadanya?

“Dengar cerita lagi dia tinggal serumah dengan boyfriend dia. Yang tadi tulah agaknya, sebab dah 

lama jugak nampak dia dengan lelaki yang sama aje. Dah dapat yang dia nak kot.”

“Confirm boyfriend? Bukan suami?” yang ni memang Dira nak tau sangat-sangat. Manalah tau kot Kaklong bakal dimadukan. Oh tidak!

Hanis mencebik, “Boyfriendlah. Takkan bodoh sangat lelaki tu nak buat bini perempuan macam tu. Buat penyedap bolehlah, muka pun tak lawa, perangai lagilah.”

Dira ketawa geli hati, sempat lagi Hanis buat lawak tu “Amboi bahasa kau, penyedap. Bukan main kau mengata orang ya, muka tak lawalah.”

“Yalah, cuba kau fikir. Kalau kau jadi lelaki, perempuan tak lawa yang berperangai macam tu, kau nak buat bini ke? Alah, lelaki ni dah perempuan tu bagi, ambik ajelah. Anjing mana yang menolak bangkai.”

“Wah, lagi tinggi bahasa kau ya, siap ada anjing berbangkai-bangkai lagi. Ish…ish…ish…” Dira ketawa sambil menggeleng. Baru feeling nak jadi detektif Conan tapi Hanis buat lawak antarabangsa pulak.

“Sudah, kau jangan nak perli-perli aku. Aku cakap betul-betul, kau ingat aku buat lawak pula. Dahlah, abang aku dah sampai tu, aku chow dulu. Duk sini elok-elok, jaga-jaga, ada yang perati,” ujar Hanis dan berlalu pada abangnya yang sedia menunggu di bahu jalan. Sempat lagi cakap tagline rock kiah propa tu.

Dira menggeleng sambil tersenyum. Fikirannya kembali mengingati apa yang dia nampak tadi. Dan 

juga cerita-cerita Hanis yang tidak boleh dipandang ringan. Kalau itulah kebenarannya, Kaklong perlu tahu. ASAP!

“Kaklong taukan Azman tu macamana?” soal Dira kembali ke alam nyata.

“Taulah…apa pula tak tau,” aku kerut dahi. Apa yang Dira harapkan daripada jawapan aku. Memang aku kenal Azman dah lama. Aku tau baik buruknya dia. Apa yang tak kena?

Dira raup mukanya berkali-kali, melepaskan keluhan dalam. Wajah satu-satunya kakaknya itu ditatap lama. Bagaimana untuk membuat Kaklong faham? “Dia ada perempuan lain. Dira nampak sendiri,” akhirnya Dira buka mulut. Dia tak sanggup menyimpan rahsia itu lagi.

Aku terpana. Dira cakap apa ni? Melihat cara Azman melayanku, aku jadi sangsi dengan kata-kata Dira..adikku sendiri, “Apa kena dengan Dira ni? Dari tadi nak tuduh Azman yang bukan-bukan. Perempuan mana? Kalau betul dia ada perempuan lain, Kaklong dah dapat rasa dari dulu. Kenapa baru sekarang Dira bagitahu Kaklong? Kalau Dira tak suka dia sekalipun, janganlah fitnah dia. Kaklong lebih kenal dia macamana. Tak payah nak ada-adakan cerita,” tak sangka sampai sejauh ini Dira membenci Azman. Rasanya aku malas nak dengar apa-apa lagi. Nanti entah apa cerita pula yang keluar. Semuanya yang buruk-buruk tentang Azman. Aku cukup kenal dengan Azman selama ini. Dan aku boleh tahu bila dia berbohong 

atau menipu. Tapi hatiku tetap mengatakan dia masih jujur dan setia dalam perhubungan kami.

Dira mengeluh, sampai hati Kaklong menuduh dia mereka cerita. Tujuan baiknya disalah ertikan.

“Sebab tu Dira tak nak cakap. Bila Dira cakap, bukan Kaklong nak percaya. Tapi Kaklong tuduh Dira pula reka cerita. Entah apa yang Azman gula-gula kan Kaklong pun Dira tak tahu. Jadi menurut dan bodoh macam ni,” kalaulah tak fikirkan itu kakaknya, dia rasa macam nak sekeh je kepala yang tak tau nak menilai tu. Entah di mana Kaklong letak akal warasnya. Lelaki penipu macam Azman tu pun disangka jujur.

Aku mendengus keras. Sesedap rasa aje dia kata aku bodoh, cubit mulut tu karang, “Sudahlah Dira. Kaklong tak nak dengar apa-apa lagi. Patutnya di hari pertunangan ni kita gembira, bukan bergaduh macam ni. Kaklong tak nak dengar lagi Dira cakap bukan-bukan tentang Azman. Dia tunang dan bakal suami Kaklong.”

Dira tatap wajahku dengan pandangan tak puas hati. Kaklong sudah pandai suruh dia jangan masuk campur dalam urusannya. Jadi dimana letaknya kedudukan dia sekarang? Macam orang luar yang akan bertepuk tangan bila melihat hubungan Kaklong jadi berantakan lepas mereka kahwin nanti? Itu yang Kaklong nak?

“Tak faham kenapa Kaklong nak butakan mata, butakan hati untuk lihat kebenaran. Dira takut Kaklong akan menyesal nanti,” ujar Dira sungguh-

sungguh. Dia tak mahu fikir apa yang bakal terjadi kelak. Buruk baiknya Kaklong, hanya seorang itu kakak yang dia ada.

Aku berdiri tegak di hadapan Dira, tegas dengan keputusanku. Tiada siapa dapat mengubahnya. Kalau putih kataku, maka putihlah jadinya. Kalau hitam pula kataku, maka yang putih sekalipun akan jadi hitam.

“Yang buta mata…Kaklong. Yang buta hati…pun Kaklong. Yang akan terluka…Kaklong. Dan yang mungkin akan menyesal…pun Kaklong. Jadi Dira tak payah masuk campur. Ini keputusan Kaklong, dan takkan berubah sedikitpun.”

Ya Allah. Dira rasa macam nak menangis. Dia terduduk lemah di atas katil. Sukarnya meyakinkan hati sekeras ini. Kenapa Kaklong nak campak dirinya ke lembah duka?

“Jadi kaklong masih nak teruskan lagi hubungan ni? Setelah kaklong tahu Azman bukan lelaki yang sepatutnya dijadikan suami?” penat hatinya meyakinkan kakaknya yang tetap berdegil dengan keputusannya itu.

Sekadar anggukan menjawab pertanyaan Dira. Kenapa dia tak boleh terima hakikat aku dan Azman memang di jodohkan? Apalagi yang dia tak puas hati?

“Kaklong tak kesian dekat Zarif? Dia sungguh-sungguh mahukan Kaklong,” Dira masih mahu memadankan aku dengan lelaki pilihannya itu. Sangat pelik sebenarnya, kenapa Kaklong menolak lelaki 

yang hampir sempurna untuk seorang lelaki yang hampir tidak berguna.

“Kami memang tak ditakdirkan untuk bersama, Kaklong tak nak beri harapan palsu pada dia atau sesiapapun,” itulah yang sejujur-jujurnya terluah dari bibirku.

“Walaupun sebenarnya Kaklong pernah sayangkan dia?” soal Dira menduga hatiku.

Terkedu dengan soalan itu, wajah Dira aku tatap lama. Sejak bila dia pandai menduga hati. Menyelam apa yang aku rasa dan simpan sendiri.

“Kita dah macam kembar Kaklong, apa yang Kaklong rasa, dari pandangan dan gerak geri Kaklong Dira dah dapat baca apa yang Kaklong rasa pada Zarif. Kenapa nak kuburkan rasa tu kalau ianya memang ada. Lainlah kalau selama ni Zarif bertepuk sebelah tangan. Move on Kaklong, tinggalkan Azman, pergi pada Zarif yang lebih layak untuk Kaklong,” Dira berterusan memujuk. Berharap benar aku menukar keputusan. Masih belum terlambat sebelum segalanya menjadi semakin sulit.

Aku menggeleng, menolak pujukan Dira. Keputusan aku sudah bulat. Sudah nekad. Tiada siapa dapat mengubahnya. Kecuali jika aku melihat dengan mata aku sendiri tentang kecurangan Azman. Selain itu, hati aku akan tetap padanya walau seribu Zarif pun yang datang.

Dira mendengus, dia bangun dari katilku. Mungkin sudah habis daya memujuk, atau sudah tak berdaya untuk mengubah keputusanku, “Dira dah tak tahu nak cakap apa. Terpulanglah pada Kaklong memikirkan mana yang terbaik untuk diri sendiri. Jangan sampai suatu hari nanti Kaklong menyesal dengan keputusan yang Kaklong buat hari ini. Dira dah buat apa yang terbaik, selebihnya terpulanglah.” dia terus berlalu keluar meninggalkan aku yang duduk diam memikirkan nasib diri. Apakah aku patut percaya pada kata-kata Dira? Hati mula terasa sangsi..

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/276707/aku-simpan-cinta-dia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *