[SNEAK PEEK] 3650 CINTA

9789671331484-medium

3650 CINTA Oleh Nur Mayani

“Kalau dia tu perempuan sebarangan, dia takkan tidur kat bilik buruk penuh dengan sawang tu. Dia takkan pijak dapur yang dah hampir nak runtuh tu untuk buatkan sarapan untuk kamu. Faham!” Wafiy masih ingat kata-kata Nek Jah awal pagi tadi sebelum dia bertolak pulang.

Nampaknya Nek Jah amat sukakan Huda. Walaupun gadis itu bukan gadis kampung yang berbaju kurung dan bertudung litup, Nek Jah sudah jatuh sayang.

“Anak orang kaya lain, nak ke datang bermalam kat pondok buruk macam ni? Rasanya nak tengok muka kamu pun tak lalu. Ini sanggup dia masuk ke dapur berkulat tu tolong nenek masak. Nenek takkan mengaku kamu cucu nenek kalau kamu main-main dengan dia. Biarlah dia bersinglet, berjeans ketat, kalau dia pakai skirt pendek sekali pun, nenek terima dia. Tugas mendidik dia untuk jadi elok itu tugas kamu. Hati dan jiwa yang bersih tu payah nak di bentuk, Fiy. Zaman moden ni, payah nak cari budak perempuan yang hormat orang tua. Nenek suka sangat kalau kamu cepat-cepat nikah dengan dia,” melalut jauh Nek Jah berbicara. Iyalah, apa lagi yang dia harapkan untuk cucu kesayangannya yang sudah banyak menelan derita itu, selain kebahagiaan dan kesenangan.

“Nek, sampai ke situ melalut. Fiy dengan dia baru aje kenal nek. Saja bawa dia datang sini.” Wafiy menutup malu. ‘Nenek ni…aku baru nak masuk 18 tahun, dah suruh aku nikah.’ Wafiy gelak dalam hati.

“Aku kenal cucu aku. Kalau kamu tak berkenan, takkan kamu usung dia sampai ke sini.” Ada benarnya kata-kata Nek Jah. Wafiy akui.

“Memang suka, nek. Tapi pelan-pelanlah…”

“Kamu jangan nak pandai-pandai mainkan perasaan Huda tu. Nenek tau, dia pun sukakan kamu. Berkawan elok-elok. Nenek doakan kamu berdua panjang jodoh. Amin..” kata Nek Jah muktamad. Dia paling pantang kalau pendapatnya yang bernas itu dicantas orang.

Sesungguhnya apa yang Nek Jah katakan itu ada benarnya. Wafiy mengiakan semua kata-kata  Nek Jah itu. Jika tidak suka takkan dia bawa gadis itu berjumpa Nek Jah.

“Kereta siapa kau curi tu? Lesen tak ada, tiba-tiba bawa balik kereta. Kau jadi anak ikan siapa? Datin mana?”

Wafiy menatap wajah Pak Hamid yang amat menyakitkan hati. Terus, wajah Nek Jah dan Huda hilang bagai asap dipuput angin. Dia kembali ke dunia realiti.

“Bukan main kau sekarang eh? Macam mak kau jugak. Pandai goda orang,” sinis sekali kata-kata Pak Hamid. “Sampai dapat bawak kereta mahal.” Ada gelak mengejek di hujung ayat itu.

Wafiy hanya membisukan diri. Pertanyaan ayahnya yang tiada budi bahasa itu di biarkan tanpa jawapan.

“Kereta kawan sekolah dia tu. Dia bawa balik sekejap. Esok dah nak hantar balik.” Puan Munah yang sedang memasak, menyampuk.

Wafiy sambung memotong sayur. Malas hendak ambil pusing fasal ayahnya yang menjengkelkan. Takut nanti tercetus pula pergaduhan.

“Bagi aku kunci. Aku nak ke pekan, ada hal. Minyak motor dah habis. Takkan aku nak jalan kaki.” Tiba-tiba Pak Hamid mendesak.

Wafiy tak senang duduk. Terkejut dengan kelakuan pelik Pak Hamid itu.

Puan Munah menghampiri Wafiy lalu memberikan isyarat supaya memberikan saja kunci kereta itu kepada Pak Hamid.

Wafiy tercegang. Dia serba salah. Macam mana sekalipun, dia perlu bersikap amanah. Kereta itu milik Huda. Takkan sekali-kali dia menyerahkannya kepada orang tua tak guna itu. Tak mungkin!

“Aku cakap dengan kau ni. Kau pekak ke apa? Aku mintak kunci kereta tu. Alah aku nak pakai sekejap aje, tak kan tak boleh. Kau jangan nak berlagak sangat. Setakat kereta macam tu sepuluh biji aku boleh belilah.” Pak Hamid menepuk meja makan.

Wafiy hanya memotong sayur dan pura-pura tidak mendengar. ‘Orang tua ni karang kena juga ni. Perangai dah tua-tua bukan makin baik, makin macam setan.’ Tulang rahang Wafiy tenggelam timbul menahan berang.

“Kau kedekut sangat kereta tu kenapa? Apa kau ingat aku tak mampu nak beli kereta macam tu? Kalau aku nak, aku boleh belilah. Kereta besar dari tu pun aku mampu. Tapi di sebabkan kau, sebabkan perempuan ni, aku banyak buang duit simpanan aku, bagi kau orang makan, sekolah. Sekarang kau dapat pakai kereta, kau nak berlagak dengan aku. Hei, aku tak hairanlah.” Pak Hamid menyepak kerusi.

Puan Munah berganjak ke belakang Wafiy yang sedang duduk. Dia menggeletar ketakutan.

“Duit simpanan habis bukan sebab judi ke, ayah? Bukan sebab ayah melabur ke? Kenapa nak salahkan Fiy dengan mak pula. Along dengan adik pun sekolah juga, makan juga. Lagipun tu dah tanggungjawab ayah, kan?” Wafiy tiba-tiba bersuara. Pisau di tangannya dihempas ke meja.

“Kau tu anak haram, mak kau tu perempun sial, suka menyusahkan aku. Kau tak ada dalam senarai tanggungan aku. Kau dengan mak kau boleh menumpang kat rumah ni pun dah kira bagus tau.” Pak Hamid bergerak laju ke arah ruang tamu. Dia mencari kunci kereta di tempat letak kunci.

Wafiy membontoti ayahnya. Kata-kata Pak Hamid tadi benar-benar membuatkan darahnya menggelegak kepanasan.

“Bagi aku kunci tu.” Si tua itu semakin menggila.

Wafiy berdiri terpacak sambil melihat kelakuan Pak Hamid yang tak ubah seperti budak-budak mahukan barang mainan. Lalu apabila kehendaknya tak dikotakan, dia akan mula naik hantu. Hilang pertimbangan dan mula melakukan perkara bodoh.

Puan Munah pula hanya mampu menangis di balik dinding. Bersembunyi dari melihat satu lagi drama pedih antara anak dan suaminya.

“Aku pecahkan cermin kereta tu. Sumpah aku pecahkan kalau kau tak bagi aku kunci.” Pak Hamid melangkah ke depan, kemudian melilau mencari sesuatu.

Wafiy berlari ke arah kereta. “Ayah, cuba bawa mengucap, yah. Ayah fikir sikit perangai ayah ni betul ke tak betul. Ayah tu dah tua, buatlah perangai macam orang tua. Ingat Allah, yah.”

“Ketepilah! Kau jangan nak ajar aku kenal Tuhan. Kau tu pun dapat hidup sebab aku bagi makan. Dasar keparat. Kurang ajar!” Pak Hamid masih melilau tak tentu arah.

Puan Munah mendapatkan Wafiy. Lengan Wafiy digenggamnya. “Wafiy, bagi aje kunci tu kat dia. Abang…tu kereta kawan Fiy. Jangan apa-apakan kereta tu, nanti mana nak cari duit nak bayar ganti rugi.” Puan Munah bertempek di celah pintu.

Suasana gamat tengah hari itu menggamit beberapa orang jiran mengintai ke rumah mereka.

Namun, Pak Hamid masih begitu. “Pergi matilah dengan kau orang punya ganti rugi, janji aku puas hati.” Tangannya sudah mencapai penukul yang berada di rak kayu berhampiran tempat letak kasut. Kemudian dia menghampiri kereta Huda.

Wafiy menghalang. Takkan sekali-kali dia biarkan ayahnya merosakkan kereta milik Huda.

“Kau belagak dengan aku. Mentang-mentang kau dapat bawa balik kereta kat rumah ni. Aku nak hancurkan kereta ni. Anak sial! Anak haram!” Pak Hamid mula hilang punca. Dihayunnya tukul besi itu beberapa kali secara rambang.

Wafiy memegang tubuh ayahnya yang terhuyung hayang

Pak Hamid pula berusaha mendekati kereta dan menghayun penukul itu beberapa kali ke arah cermin. Namun gagal dek kerana Wafiy memegang tubuhnya.

Wafiy menghalangnya dengan sedaya upaya. “Ayah…apa ayah buat ni? Ni kereta kawan Fiy, yah. Ayah…Cukuplah…” Wafiy sedayanya cuba menghalang Pak Hamid. Namun si tua itu gigih menolak tubuhnya.

Puan Munah menggigil ketakutan dan hanya mampu melihat drama pergaduhan itu.

“Tak guna kau! Anak sial, aku bunuh kau!” Pak Hamid cuba melepaskan diri, lalu Wafiy pula menjadi sasarannya untuk melepaskan geram. Wafiy ditolak dan diserang dengan penukul itu beberapa kali. Tapi kaki Wafiy yang panjang itu lebih cepat bertindak. Perut Pak Hamid ditendangnya kuat. Orang tua itu terguling ke lantai, penukul terlucut dari tangan.

“Sudahlah abang, sudahlah. Malu dekat orang abang. Wafiy, cukuplah tu. Takkan sebab kereta tu, nak berlawan anak beranak,” pujukan Puan Munah tiada siapa yang dengar.

Nafas Pak Hamid semakin kencang. Dalam keadaan susah payah dia cuba bangun. Tangan kanannya menyambar penukul dan dengan pantas dia menghayun penukul besar itu ke arah kereta.

“Ayah” Wafiy bertempik lalu menerkam ke arah Pak Hamid.

Badan Wafiy ditolak. Wafiy terdorong ke belakang.

Puan Munah menerpa ke arah Wafiy. “Abang, apa abang buat ni? Tu kereta orang bang. Mana kita nak cari duit nak ganti…Ya Allah!” Puan Munah pula cuba menghalang suaminya.

Si tua yang semakin gila itu menerkam ke arah Puan Munah. “Betina sial ni, boleh tak kau diam hah?” Penukul yang berada di tangan dihayunkan kuat ke arah Puan Munah.

Wafiy cepat-cepat menghalang. “Arghh!” Wafiy menekup dahinya. Lalu tangan kirinya tiba-tiba disapa bahang darah yang membuak keluar. Terasa seoalah sebelah mukanya panas secara tiba-tiba. Kebas dan pandangannya berpinar.

Puan Munah terjelepuk ke lantai. Menangis semahunya. Melihat hujung kening kiri Wafiy yang rabak, dia serta-merta hilang kudrat.

Saat itu kemarahan Wafiy sudah tak terkawal. Luka yang berdenyut dan dahinya yang terasa seolah sudah hancur dibaham penukul besi itu menambahkan bara di hatinya. Dia merenung ke arah Pak Hamid yang masih belum puas melempiaskan kemarahannya. Kesabarannya mula hilang apabila kereta milik Huda sudah kemek teruk.

Lantas kemarahannya mula meruap-ruap. Lalu berbekalkan kudrat yang masih ada, badan Pak Hamid diterkamnya hingga badan tua itu terlentang ke lantai simen. Dia mencekak leher baju pak Hamid dengan kemas. “Kau dah banyak menyusahkan aku. Aku dah lama bersabar dengan kau. Kenapa kau tak mati aje hah?” badan Wafiy mengeletar menahan baran. Tangan Pak Hamid yang sedang memegang penukul itu dipijak kemas. Darah yang keluar dari dahinya langsung tidak di pedulikan. ‘Hari ni aku takkan biarkan kau, Setan. Aku akan ajar kau.’ Wafiy mengepal penumbuk dan dihalakan betul-betul pada muka ayah.

“Wafiy!” tindakanWafiy terhenti apabila mendengar suara lantang itu.

Hafiz tercegat di hadapan pagar.

“Along…tolong Along. Ayah kamu ni dah gila. Dia nak bunuh semua orang.” Puan Munah meraung.

Hafiz yang baru pulang dari asrama menghampiri Wafiy. Dia merungkaikan genggaman Wafiy pada leher baju ayahnya. Wajah Pak Hamid yang menyinga itu ditenungnya. “Apa semua ni, yah? Kenapa ayah melampau sangat, hah? Buat mak dengan Fiy macam ni? Mengucap, yah. Mak bangun, mak!” tubuh lemah Puan Munah dihampirinya.

Wafiy bangun dan terus masuk ke dalam rumah mendapatkan kunci kereta dan keluar semula ke pounch.

Pak Hamid kelihatan takut-takut memandang ke arah Hafiz.

“Kau nasihat sikit ayah kau ni. Jangan asyik nak belajar aje, Dekat rumah ni macam-macam jadi, kau senang lenang kat asrama.” Wafiy masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin kemudian memecut kereta dengan laju meninggalkan keadaan yang tegang itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90646/3650-cinta