[SNEAK PEEK] Lindungan Kasih Suraya

Lindungan kasih Suraya oleh Nursha Ahmad

DUM!

Bunyi sesuatu tumbang di dalam bilik Nureen kedengaran agak kuat. Suraya apa lagi, terus cuak mukanya. Masakan tak cuak kalau tiba-tiba sahaja bunyi. Takut juga dia kalau Nureen tersungkur terhantuk buku almari. Boleh gawat jadinya.

“Nureen?”

“Apa kau nak?” Nureen yang baru membuka pintu terus bertanya. Pintu pula hanya dibuka suku seakan-akan menyembunyikan sesuatu. Rambunya berserabai, matanya sedikit memerah. Mungkin baru bangun tidur?

“Kau okey ke? Macam pelik aje.” Suraya tolak pintu bilik Nureen suapaya terbuka dengan lebih luas. Nureen pula tidak menganjak, tangannya kuat menghadang pintu bilik. Suraya tidak mengalah, terus dia memanjangkan lehernya untuk mengintai isi bilik Nureen.

“Kau dah kenapa?” Marah Nureen. Pantang betul dia, mesti Suraya fikir yang bukan-bukan mengenainya.

“Kau la kenapa? Kenapa kau tak nak buka pintu, kau ada sembunyikan sesuatu ke?” Sikap ingin tahu Suraya semakin meruap-ruap. Meruap-ruap lagi dia apabila terdengar akan sesuatu tersungkur sebentar tadi. Bila diteliti Nureen dihadapannya ini tiada pula tanda-tanda terbabas atau terhantuk. Takkan bunyi jembalang pula.

“Aku sembunyikan apa? Kau jangan macam-macam. Dah pergi, aku nak tidur.” Nureen menutup pintu biliknya kembali. Namun, pantas tangan Suraya menghalang.

“Bukakan pintu ni…”

“Kau ni sibuk sangat kenapa? Pergi berambus sana.”

“Buka aje la sekarang.” Paksa Suraya sambil menolak-nolak dedaun bilik.

“Aku cakap berambuskan? Tak faham bahasa ke pekak?” Nureen menghadang pintu itu dengan sepenuh tenaganya.

“Kenapa kau tak nak buka? Mesti ada sesuatu kan? Aku ni mungkin nampak bodoh tapi bodoh aku ni bodoh sepat tahu!” Suraya geram.

“Kau ni tak habis-habis dengan bodoh? Memang patut pun bodoh tu melekat kat kau.”

“Buka!”

“Kau nak sangat kan? Aku buka!” Tempik Nureen lalu membuka pintu biliknya. Mata suraya menganalisis setiap pelosok sudut, tiada apa pun yang mencurigakan. Mati-mati dia ingat Raykal di sini. Ya Allah, sucikanlah hati hamba-Mu yang suka bersangka buruk ini.

“ Puas? Dah berambus aku nak tidur!” Pintu bilik dihempas kuat oleh Nureen.

“Su… subuh jangan lupa.” Pesan Suraya terjeda-jeda. Pagi-pagi sudah berperang dingin. Kalau matahari sudah naik, mahu perang segala perang dunia. Baik dia berangkat ke surau cepat, buang masa sahaja berlama-lama di sini.

Terus Suraya sarungkan kasut seliparnya dengan lincah. Tudungnya dibetulkan sebentar. Mahu ke masjid, haruslah bertudung. Kalau tidak bertudung, mahu ditendang keluar dari masjid.

“Awal-awal nak ke mana?” Sapa seseorang dalam kegelapan.

“AllahuAkbar!” Suraya urut dadanya sendiri. Sejak-sejak Nureen pulang, ada sahaja gejala sakit jantungnya. Jangan sampai mati kering sudahlah.

“Semua memang suka muncul macam ni ke?” Rambut berserabai Raykal Suraya pandang sekali. Tidak cukup dengan itu, Raykal yang hanya bersinglet putih tersebut agak menganggu pemandangan indah di pagi Suraya.

“I memang suka muncul macam ni. Baru suprise sikit.” Loyar buruk Raykal. Suraya pula tersenyum sumbing. Suprise nenek dia. Kalau aku mati kejung macam mana? Desis hati Suraya.

“Tak sejuk ke? Uhm… saya pergi dulu eh saya dah lewat.”

“Pergi mana? Nak I hantarkan?”

“Eh tak usah. Saya nak ke masjid. Kalau awak nak solat subuh sekali, Boleh la nak ikut sekali.” Bilang Suraya. Dengar sahaja tentang solat subuh, Raykal terus terdiam seribu bahasa. Sudah terang lagi bersuluh yang dia tidak sudi mahu mengikuti Suraya.

“Kalau macam tu saya pergi dulu la ya.”

“Okay. Take care.” Pesan Raykal sebelum kelibat Suraya hilang dari ekor matanya. Fuh! Nasib baik tidak ketahuan. Kalau tidak mahu dia ditendang keluar dari rumah ini. Terus dia tadah tangannya membawa rasa seribu kesyuukuran.

“Ya Allah, ampunkanlah dosa aku sebentar tadi. Dan terima kasih kerana engkau telah menutup aibku.” Terus Raykal menyapu wajah menggunakan telapak tangannya. Hari ini sudah terlepas dari pukat, esok-esok siapa tahu kan?

“IBNUL Qayyim Rahimahullah berkata, manusia masuk ke neraka dari tiga pintu. Pintu yang pertama ialah pintu syubhat yang memunculkan keraguan terhadap agama Allah. Pintu syubhat ini membuatkan kita berada dalam keraguan. Ragu kepada Allah SWT. Ragu kepada nabi SAW. Ragu dengan Islam dan lain-lain. Pintu yang kedua pula ialah syahwat pula yang menyebabkan ia lebih mendahulukan hawa nafsu dari ketaatan kepada Allah dan keredhaan-Nya. Pintu syahwat ini membuatkan manusia mengutamakan nafsu dan kehendak diri daripada kehendak Allah dan rasul. Tidak peduli halal dan haram, janji nafsunya dapat dipuaskan. Tidak risau jika tidak mendapat redha Allah SWT.” Lembut sahaja suara Aswad menyapa gegendang telinga Suraya. Tidak sia-sia dia bersetuju untuk mengaji bersama-sama selepas solat subuh tadi. Dapat juga dia mengaut pahala dan ilmu yang lebih.

“Pintu terakhir, pintu kemarahan yang melahirkan permusuhan terhadap makhluk. Pintu ini membuatkan manusia hilang pertimbangan, membuatkan manusia berkelahi dan bermusuhan sesama sendiri.” Sambung Aswad lagi.

“Encik tahu cara menggelakkan diri daripada terjerumus dalam tiga pintu neraka ni?”

“Manusia sebagai hamba Allah SWT memerlukan tiga benda untuk menggelakkan diri terjerumus ke dalam pintu-pintu neraka ini. Yang pertama, kita perlukan ilmu pengetahuan yang yakni ilmu itu berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Manusia juga perlu menjauhi majlis-majlis, buku-buku dan rakan-rakan yang suka menyebarkan syubhat. Yang kedua ialah kesabaran. Manusia kena sabar dalam mengamalkan perintah dan menjauhi larangan. Yang ketiga pula, manusia kena menahan marah dan bersabar dalam menghadapi orang yang berbuat zalim kepada dirinya. Lebih mulia apabila disertai dengan pemaafan dan lebih mulia lagi jika ditambah dengan balasan berbuat baik kepada orang yang berbuat zalim kepada kita.” Terang Aswad dengan lebih mendalam. Suraya hanya mengangguk mengerti. Nampak seperti mudah tetapi semua perkara itu kurang dalam diri Suraya.

“Ustaz apa dekat sini? Tak pergi ke ladang hari ni?” Tanya seseorang kepada Aswad. Suraya tidak tahu siapa orang tersebut kerana pandangannya terhalang dengan langsir yang memisahkan tempat solat lelaki dan perempuan.

“Ustaz? Aswad ustaz rupanya… bagusnya muda-muda sudah dapat gelaran ustaz. Bila tua nanti mesti dapat gelaran mufti.” Puji Suraya dalam hatinya.

“Saya memang nak ke ladang. Tapi sebelum tu saya ada sesuatu sikit nak kena selesaikan dekat pekan.”

“Baiklah ustaz. Saya nak bersihkan sikit kawasan masjid ni. Apa-apa ustaz bagitahu saya la ya.” Mesra sahaja lelaki itu berkata. Dialog yang dilontarkan semua dengan intonasi hormat. Buat baik pasti dipandang mulia.

“Suraya, saya pergi dulu ya.” Pamit Aswad apabila menyedari masa kian mencemburuinya.

“Encik.” Panggil Suraya membantutkan niat Aswad untuk beredar.

“Ya?”

“Saya selalu lalai, saya seorang pendosa. Saya kurang ilmu di dada. Saya malu dengan semua orang. Saya malu dengan Allah. Saya selalu terfikir, adakah Allah akan menerima doa saya? Taubat saya? Kedudukan saya rendah sangat.” Adu Suraya sebak, air mata bertakung di tubir mata.

“Cik Suraya… Allah itu maha pengampun dan penyayang. Dia dengar semua doa dan taubat hambanya. Ttidak pernah dia menilai hambanya dengan kedudukan di dunia. Sama ada kedudukan itu rendah atau tinggi. Saya juga pendosa Suraya, kita sama-sama pendosa. Selagi pintu taubat masih dibuka, belum terlambat untuk kita bertaubat dan bersujud padaNya. Buat yang baik, tinggal yang buruk. InshaAllah, ada tempat kita di sisi Allah.” Aswad menyedapkan hati Suraya. Masih luas terbuka pintu taubat kepada hamba-hamba-Nya. Jadi, ingatnya, jangan lalai dans sentiasa mendekatkan diri dengan sang pencipta. Air mata Suraya jatuh, sejuk hatinya mendengar penjelasan Aswad. Jadi dia belum terlambat, dia ada masa.

“Terima kasih. Saya tak tahu nak berterima kasih dengan encik macam mana. Saya beruntung sangat dapat bertemu dengan encik.”

“Tidak perlu berterima kasih pada saya. Mungkin Allah hantar saya untuk bimbing awak? Siapa tahu kan? Kalau awak nak mengaji lagi dengan saya, awak boleh datang sini setiap pagi. Saya ada dekat sini.”

“InshaAllah encik. Terima kasih sekali lagi.”

“Ye la, saya pergi dulu ya. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/325652/Lindungan-Kasih-Suraya