Sejenak Bersama Acik Lana

 

Sesi temu bual bersama penulis kali ini sedikit berlainan. Tidak lama lagi, rumah Penerbitan Acik Lana, Booku Enterprise akan bersama kami. Jom kita kenali penulis Red Velvet ini dengan lebih dekat.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Acik Lana menulis?

Orang sekeliling menjadi inspirasi untuk saya menulis. Kadangkala saya gemar memerhati tindak tanduk manusia dan membuat telahan dan tekaan di kepala. Bukan dari sudut negatif, sebaliknya dari sudut positif. Selain itu kisah-kisah yang dibaca dalam internet, atau pengalaman sebenar rakan rapat atau ahli keluarga juga menjadi inspirasi untuk saya mengembangkan sesebuah cerita yang direka.

2.Apa makanan kegemaran anda?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya gemar menikmati hidangan Korea. Lagi pedas, lagi saya suka. Selain itu lauk pauk Melayu dan ulam-ulaman juga menjadi kegemaran saya.

 

3.Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Sebenarnya sudah berbelas tahun saya tak membaca novel. Cuma penulis yang saya sentiasa suka gaya penulisannya adalah Ma Lee Chuswan. Sanggup kumpul novel-novel lama beliau. Bagi saya lenggok bahasa dan tulisan beliau mampu meletakkan diri saya dalam dunia kisah novel itu sendiri.

4.Apakah novel kegemaran Acik Lana? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Permata Hati karya Ma Lee Chuswan

5.Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Ya. Sejak dari dulu saya suka membela kucing. Dan sekarang sudah memiliki kira-kira enam belas ekor kucing yang ditempatkan di dalam sangkar besar yang ditempah khas. Dan sejak memiliki cahayamata, saya membela pula ikan dan hamster untuk memupuk perasaan cintakan haiwan dalam diri anak kecil ini.

6.Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

Switzerland sentiasa menjadi destinasi percutian impian saya. Saya sukakan negara bersalji dan Switzerland cukup terkenal dengan keindahan panoramanya yang sangat memukau. Cuma belum ada rezeki lagi nak sampai ke sana.

7.Apakah Acik Lana merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Ya, saya masih dalam proses awal untuk menghasilkan novel terbaru.

8.Apakah pesanan Acik Lana kepada pembaca di luar? 

Pesanan saya, sentiasalah menyokong dunia penulisan di negara kita. Tanpa pembaca tiadalah penulis. Dan segala kritikan serta komen sangat dialu-alukan demi memperbaiki lagi mutu penulisan kami. Kadangkala kita tak mengerti apa yang pembaca mahukan. Jadi pandangan mereka sangat penting untuk para penulis menghasilkan karya yang lebih bermutu dan sesuai dengan selera pembaca.

9.Pada pandangan Acik Lana, apa istimewanya novel Acik Lana berbanding novel lain di pasaran?

Sukar untuk saya nyatakan apa keistimewaannya. Kerana bagi saya, setiap novel yang dihasilkan oleh semua penulis mempunyai kekuatan dan keistimewaan masing-masing. Bagi novel saya sebelum ini, saya cuba untuk menghasilkan karya yang kisahnya lebih dekat dengan masyarakat kita. Cuma beberapa buah novel kebelakangan ini saya mula cuba mengubah rentak dengan mengambil risiko menghasilkan cerita berbentuk ‘super natural’. Dan Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat-sangat menggalakkan.


10.Dari mana Acik Lana selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham datang dalam angan-angan. Kadangkala bila duduk termenung, tiba-tiba saja terdetik idea. Alhamdulillah, rezeki dari Allah. Dan setakat ini belum ada yang mengikut pengalaman sendiri. Di masa depan, tak pasti pula. Hehe.

11.Apa rutin harian Acik Lana? Ada yang rare tak?

Sejak mempunyai cahayamata, kehidupan seharian saya lebih banyak berkisarkan tentang anak perempuan saya. Tapi sekali dalam seminggu, kami bertiga wajib keluar ke pusat membeli belah untuk merehatkan minda. Sudah terbiasa bekerja di pejabat sebelum ini, bila menjadi surirumah sepenuh masa memang saya sangat perlukan ruang untuk ‘berehat’ di luar.

12.Describe diri Acik Lana dalam 3 patah perkataan?

Mudah tersentuh. Tegas. Penyayang. (Aduhai!)

13.Apa nasihat Acik Lana kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Nasihat saya, menulislah dengan penuh semangat dan sentiasa cuba memperbaiki kelemahan yang ada dari masa ke semasa. Tak boleh mengalah atau berasa lemah dengan kritikan yang keterlaluan. Jadikan semua itu sebagai semangat untuk kita menulis dengan lebih baik lagi. Selain itu, saya berharap agar dunia penulisan ini lebih ‘damai’ tanpa sebarang sikap-sikap negatif atau berpuak-puak yang sering melagakan diantara satu sama lain. Bukankah lebih menguntungkan jika kita semua bersatu hati tanpa ada perasaan iri hati? Just my two cents.

14.Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Acik Lana kuasai?

Dua bahasa itu saja yang saya tahu. Mungkin boleh belajar bahasa Korea pula selepas ini kalau ada masa lapang. Hehe.

 

Nantikan judul-judul LIMITED EDITION dari Acik Lana dalam versi eBook. Untuk mendapatkan hasil karya beliau yang lain juga, anda boleh terus klik di link di bawah.

https://www.e-sentral.com/author/filter/au_82561_acik-lana/~