Sedekad Kemajuan Teknologi, Sedekad Kemerosotan Minda

Sedekad kemajuan teknologi, sedekad juga kemerosotan minda

Pejam celik mata sudah sepuluh tahun usia e-Sentral sekarang ini. Saya masih ingat lagi pada malam sebelum laman sesawang e-Sentral dihidupkan pada 5hb Oktober 2011, empat orang daripada kami masih bertungkus lumus di pejabat sehingga lewat malam untuk menaikkan judul-judul yang masih belum selesai didigitalkan ketika itu.

Berdebar hati kerana belum tahu lagi nasib aplikasi iOS untuk iPad yang akan dimasukkan ke Appstore ketika itu akan berfungsi dengan baik atau pun disebaliknya. Apa yang lebih menggerunkan adalah saya sudah pun memaklumkan Puan Salbiah Ani, Editor Berita Harian Sastera ketika itu, bahawa laman sesawang e-Sentral akan siap pada esok hari, dan beliau bercadang untuk meninjau. Tidur tidak lena malam itu.

Keesokan paginya, saya bangun sangat awal untuk mencuba beli ebuku dari e-Sentral yang baru sahaja dibuka. Pada mulanya,  punya lah lambat untuk sebuah ebuku dibuka ketika itu, sampaikan saya sudah rasa bahawa benda ini tak akan menjadi. Namun, ebuku itu dibuka dan dapat dibaca juga, sekaligus memberi keyakinan bahawa apa yang telah kami bina ketika itu ada potensi untuk pergi jauh.    

Gambar pejabat pemula E-Sentral di Cyberjaya, 2014

Menghadapi pelbagai rintangan, cabaran, kenangan pahit dan manis selama 10 tahun ini, apa yang saya dapat kongsikan pada hari ini ialah tidak pernah dibayangkan membaca buku menjadi lebih penting pada zaman ini berbanding zaman-zaman sebelumnya. eBuku merupakan sumber elektronik untuk pembaca membaca secara maya, dan lazimnya adalah daripada karya-karya yang panjang penulisannya. 

Zaman ini, dengan tekanan media sosial, dan video-video pendek sekadar hiburan, secara mendadak telah menumpulkan tumpuan manusia menjadi lebih pendek. Kebolehan untuk memberi tumpuan kepada perkara yang panjang dan mendalam memerlukan stamina minda, dan stamina ini hanya dapat dipupuk jika kita sering membaca buku.

Selain daripada memberi kelebihan untuk berfikir secara kritikal, dan kognitif, membaca buku juga membawa fakta yang lebih mendalam. Khuatirnya zaman ini adalah manusia langsung tidak berfikir. Apabila kita berfikir dan bertanya dan menyuarakan pandangan pula, dianggap janggal, dan tidak dapat diterima khalayak ramai. Ini adalah tanggapan yang sangat merbahaya, kita sebagai makhluk Tuhan perlu berfikir kerana ini adalah fitrah yang telah diberi.

Disamping itu, buku juga memberi satu perspektif yang berbeza terhadap suatu perkara kerana ianya telah pun diberi kajian yang lebih mendalam oleh penulisnya, dan lazimnya adalah perspektif yang lebih tepat, khususnya apabila berkenaan sesuatu kejadian atau pun berita.

Dalam dunia ekonomi baharu, dimana manusia tidak lagi mahu membayar untuk berita secara digital, maka berita harian yang tersiar telah pun ditentukan sepenuhnya oleh pengaruh iklan dan politik. Kesan paling ketara adalah berita pada zaman sekarang adalah lebih kepada laporan yang telah di cut & paste daripada siaran akhbar yang telah pun dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu, dan kita-kita ini berebut untuk menjadi orang pertama berkongsikan berita tersebut dalam kumpulan-kumpulan media sosial.

Maka pada zaman ini, ianya lebih sukar untuk manusia mencari kebenaran. Jika kita tidak ada daya untuk membaca dan kemahuan untuk menyelidik, sudah pasti akan menjadi lebih malap tamadun Malaysia pada masa terdekat ini.

Bagi mengelakkan perkara ini, marilah kita beramai-ramai berfikir secara matang, dan kurangkan penggunaan bahan-bahan media sosial yang menumpulkan kebolehan minda, dan mengutamakan budaya membaca teks panjang mulai sekarang, khususnya untuk anak-anak dan cucu-cucu kita. Bukan mudah, tetapi perjuangan ini harus dilakukan oleh semua demi masa depan kita..

Oleh Faiz Al-Shahab