Ikhlas memupuk budaya membaca?

Kita sering kali mendengar kutukan terhadap masyarakat Malaysia yang kurang membaca, kurang prihatin terhadap budaya membaca, dan tidak mementingkan buku.

Namun kami berpendapat masyarakat Malaysia suka membaca, walaupun budaya membaca tidak dipentingkan atau dipupuk. Kita harus ingat, bahawa budaya membaca Malaysia masih di fasa awal kerana berabad-abad sebelum ini bahan bacaan tempatan tidak banyak. Jadi secara amnya, kita lihat permintaan untuk buku telah meningkat dari tahun ke tahun  sejak lewat 90an meskipun dorongan dari ibubapa dan pihak atasan masih kurang.

Melihat pada belanjawan, apabila diperlukan penjimatan, sektor yang akan menderita dahulu adalah sektor perpustakaan dan perbukuan. Begitu juga sikapnya terhadap memupuk budaya membaca dalam kebanyakkan entiti Malaysia. Kebanyakan agensi dan syarikat tidak mengambil serius terhadap penerapan budaya membaca, hanya sekadar bermain dibibir sahaja.

Sebagai contoh, apabila melihat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kononnya ingin menggalakkan budaya membaca di stesen keretapi, kami berjumpa KTMB untuk mencadangkan beberapa kaedah untuk membekalkan bahan bacaan untuk pengguna keretapi. Memandangkan kadar tiket yang lebih tinggi, kini semua sektor pengangkutan awam tertekan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik. Namun, walaupun telah menyediakan “ruang membaca” di stesen keretapi, KTMB lebih mengutamakan perkhidmatan menonton movie dalam bentuk digital berbanding dengan buku. Cerita pasal buku sekadar wayang sahaja.

Ruang tanpa bahan. Adakah kita ikhlas untuk memupuk budaya membaca?
Ruang tanpa bahan. Adakah kita ikhlas untuk memupuk budaya membaca?
Sekadar memenuhi KPI entiti tanpa impak sebenar.
Sekadar memenuhi KPI entiti tanpa impak sebenar.

Kita juga sering kali mendengar kutukan terhadap kualiti buku yang dibaca, picisan dan terlalu jiwang karat katanya. Mungkin fenomena ini ada kebenarannya, namun mengapa buku menjadi mangsa kutukan sedangkan banyak lagi perkara lain yang layak menerima kecaman daripada masyarakat? Kami berpendapat, sektor media lain lebih banyak membawa bahan-bahan yang tiada kualiti dan memperbodohkan masyarakat berbanding dengan sektor buku, tapi kurang mendapat kutukan kerana ramai antara kita juga yang suka menontonnya.

Media Prima dan Astro telah berabad-abad membekal masyarakat kita dengan tontonan yang melemahkan kita, namun tiada teguran yang cukup untuk memberhentikan perkara ini. Penonton Malaysia yang terpekik-pekik dan menari-nari atas arahan selebriti kini dianggap normal.

Hiburan yang tiada kualiti pada kaca televisyen tidak mendapat kutukan yang sewajarnya
Hiburan yang tiada kualiti pada kaca televisyen tidak mendapat kutukan yang sewajarnya

Untuk kebanyakan entiti seperti sektor hiburan, perbankan, perumahan dan lain-lain, masyarakat yang tidak membaca dan tidak berfikir menguntungkan kerana tidak banyak bertanya dan tidak banyak bersoal. Namun apabila kita mempunyai masyarakat sebegini, sektor pekerjaan lambat laun akan susah kerana kita tidak mempunyai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan bermaklumat.

Membaca adalah baik walaupun dianggap lambat kerana membaca mengasah minda kita untuk menggunakan imaginasi. Imaginasi akan menyumbang kepada kreativiti dan kemahiran berfikir.  Dengan ini kita ada harapan untuk membentukkan masyarakat yang bijak menggunakan lorong memandu, yang tidak berebut-rebut dan bertolak-tolak ketika “buffet Ramadhan”, yang bermaruah dan menolak rasuah, yang bekerja dan tidak curi tulang, yang tidak prejudis terhadap agama atau warna kulit, dan yang lebih ikhlas dan amanah.

Saksikan rebutan makanan ketika buffet buka puasa Ramadhan tidak lama lagi
Saksikan perebutan makanan ketika buffet buka puasa Ramadhan tidak lama lagi

Binalah dunia yang lebih baik untuk kita, dengan membina masyarakat Malaysia yang membaca.

 

 

 

One Comment

  1. Setuju dengan persoalan, ikhlaskah usaha-usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak ini? Sebahagiannya menampakkan kesungguhan dan sebahagian yang lain hanya bertujuan untuk mendapat publisiti sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *