[REVIEW] PENJEJAK KRISTAL

Penjejak Kristal Oleh Simon Malik

 

Semasa Alzroc dan rakannya, Balder, menyusup lari daripada rombongan Akademi, mereka terjumpa sebiji batu yang mempunyai ukiran aneh di hadapan sebuah gua yang tidak ada tercatat di dalam peta. Madam Blu, seorang wanita tua penjaga arkib di bandar mereka memberitahu ukiran batu tersebut mungkin sudah berusia beribu-ribu tahun! Kerana teruja, Alzroc dan Balder memulakan misi mencari asal usul ukiran pada batu tersebut. Mereka kembali ke gua tidak bernama itu semula dan telah menemui lambakan kristal biru jauh di dalam gua itu. Tanpa mereka ketahui, gua itu mempunyai rahsia yang unik dan juga penjaga yang sangat menakutkan!

 


Memulakan cerita dengan gambaran ringkas kronologi ke atas bumi itu dilakukan dengan baik. Tidak

meleret, cukup jelas dan tepat demi membawa maksud ‘world-building’ yakni elemen penting di dalam penceritaan sebuah fiksyen sains dengan latar yang amat jauh berbeza dengan dunia nyata.

Penjanaan tenaga melalui kristal itu suatu idea sains yang menarik biarpun tidak berapa segar bahkan tidak begitu elok untuk bumi, tetapi eloklah dibangkitkan isu yang menyentuh hal-hal pemuliharaan alam sekitar ini. Ya, ini novela alam sekitar. Membawa mesej penting yang selari dengan isu perubahan iklim yang drastik mutakhir ini.

Watak-watak seperti Roc, Balder, Galena dan Vizia agak perlahan dibina karakternya. Dapat rasa novela ini sebenarnya sebuah novel yang dipotong. Mungkin pengembangan watak akan lebih menjadi kalau di dalam versi sebuah novel.

Moga-moga ia dapat dilanjutkan ke buku seterusnya. Premis ceritanya agak menyakinkan dan meninggalkan beberapa sub-plot yang perlu dikupas demi memahami lagi apa yang membentuk dunia yang digambarkan penulis. Hei, ia boleh jadi sebuah pemula novel fantasi sains yang epik kalau kena gayanya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

[REVIEW] RAFIQUE’S GIRL

Rafique’s Girl Oleh Lynn Safiya
Rafique Azwar… lelaki yang digelar ‘mamat sejuk beku’ oleh adik sendiri, memang tidak pandai bercinta. Riaknya yang sentiasa serius serta perwatakan yang kaku membuat semua gadis yang pernah mendampinginya angkat kaki kerana tidak tahan dengan sikapnya yang beku dan tidak pandai mengambil hati. Sehinggalah dia bertemu Dhamira. Pertemuan pertama membuat Rafique gagal mengawal mata serta emosi. Namun, kemahuan hati yang sudah berbisik rasa, tidak mampu dituruti kerana percaya gadis itu sudah berpunya. Bukan pendiriannya merampas milik lelaki lain. Hati membengkak melihat kemesraan Dhamira bersama Danial dan bebas laku pasangan itu, sehinggakan dia mampu bertindak di luar jangkaan. Dhamira… gadis selamba yang memendam seribu rahsia. Rahsia yang menyimpan selautan duka. Bertemu dengan Rafique membuat dia tidak selesa. Pandangan lelaki itu mendebarkan hati. Hati yang disangka telah mati. Sedar yang Rafique sering bersangka buruk akan hubungannya dengan Danial, Dhamira tetap mendiamkan diri. Namun, tatkala rahsia akhirnya tersingkap, Rafique terkedu sendiri. “Korang tak malu ke?… Aku bukan sekadar sakit mata tengok korang dengan tak malunya bersentuh-sentuhan depan orang ramai, tapi aku pun dah terpalit dosa jugak sebab benarkan perkara mungkar berlaku depan mata aku!” – Rafique Tidak sempat meminta maaf, Dhamira ditimpa kecelakaan. Kecelakaan yang menyerlahkan kesanggupan Rafique untuk berkorban harta dan nyawa demi Dhamira. Maka atas alasan ‘hutang nyawa’ serta desakan Danial, Dhamira bersetuju menerima lamaran Rafique. Sukarnya meniti kehidupan rumah tangga apabila dua jiwa yang jauh berbeza bersatu. Rafique yang beku, serta Dhamira yang terlalu halus hatinya. Azam untuk menerima Rafique seadanya rupa-rupanya hanya di bibir sedangkan hatinya masih mengharapkan suaminya itu meluahkan rasa hati. Mampukah Dhamira menangani kecewa dalam hati? Mengapa kebahagiaan yang dicari Dhamira sering menjadi iri kakak sendiri? Betulkah Rafique tidak mencintai dia sedangkan setiap perlakuan lelaki itu mencerminkan sebaliknya?

Novel Rafique’s Girl ini berkisahkan tentang kekeluargaan, kasih sayang sesama adik beradik yang sukar ditemui sekarang. Rafique, seorang abang yang dingin beku sukar bergaul dengan adik kembarnya kerana faktor usia yang menjarakkan komunikasi tersebut. Sudah biasa bergerak sendiri tanpa adik-adiknya menjadikan peribadi Rafique dingin beku. Kemunculan Dhamira yang kontras dengan peribadi Rafique sedikit sebanyak memberi kesan peribadi dingin bekunya. Hubungan Dhamira yang rapat dengan adik kandungnya Danial sering disalah erti oleh Rafique. Keakraban adik2 kembar Rafique bersama Dhamira dan Daniel menimbjlkan cemburunya. Kehadiran Damia serta bekas kekasih Dhamira dikenali sebagai Kuzim juga merangkap abang ipar Dhamira, menimbulkan warna dalam hubungan mereka. Dapatkah hubungan Jiwa antara Dhamira dan Rafique bertahan? Karya ini mementingkan kepentingan ikatan kekeluargaan serta saling mempercayai terhadap pasangan masing2.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

[REVIEW] ADA APA DENGAN KARBALA

Ada Apa Dengan Karbala Oleh Bahruddin bin Muhammad

 

Apakah sebenarnya yang berlaku di Karbala? Sejauh manakah pula kita mengenali Saidina Husein, salam sejahtera dan keredaan Allah S.W.T ke atas beliau, yang merupakan watak utama dalam tragedi Karbala? – Adakah beliau hanya sekadar cucu Nabi s.a.w? – Adakah sayangnya Nabi s.a.w kepada beliau hanyalah seperti sayangnya seorang datuk kepada cucunya? – Apakah kelebihan-kelebihan beliau, yang terdapat dalam hadith-hadith Nabi s.a.w? – Sejauh manakah kita tahu tentang sejarah hidup beliau? – Apa pandangan politik beliau? – Siapa kawan dan lawan beliau? – Apakah sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan beliau gugur syahid di Karbala? Apakah sebenarnya yang berlaku, sebelum, semasa dan selepas tragedi Karbala, berdasarkan kitab-kitab ulama Sunni? Adakah tragedi ini sesuatu yang patut dikenang, ataupun ia termasuk “barang yang lepas jangan dikenang?” Buku ini akan membantu anda dalam mencari jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut.

Novel Ada Apa Dengan Karbala hasil karya Baharuddin bin Muhammad merupakan novel yang penuh keagamaan. Banyak kisah keagamaan yang menarik beserta doa-doa ringkas yang diselitkan untuk dikongsi bersama dan boleh dimanfaatkan oleh orang ramai. Yang menariknya novel ini juga menceritakan kisah-kisahdan sejarah nabi yang boleh dijadikan teladan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/279044/Ada-Apa-Dengan-Karbala

[REVIEW] POTRET : WARKAH DARI HOKKAIDO

Potret : Warkah Dari Hokkaido Oleh

 

Sebuah potret telah menyimpan sebuah rahsia yang merentasi 3 generasi. Katsuro telah bertekad untuk membongkar rahsia potret tersebut seperti yang telah diwasiatkan oleh datuknya. Dengan bantuan Nabila dan Alif, mereka berusaha mencari kebenaran walaupun halangan menanti dihadapan.

Novel Potret : Warkah Dari Hokkaido merupakan novel ke-2 hasil karya Syauqie MK selepas novel Teroris. Kisah novel ini menceritakan tentang merentasi tiga zaman. Admin kagum dengan gaya penulisan si penulis kerana bijak meyusun jalan cerita dari zaman penjajahan jepun ke zaman tanah melayu dan ke masa kini. Dan setiap persoalan yang ada dalam novel ini akan ada jawapan yang jelas sehingga akan membuatkan pembaca tidak sabar nak tahu. Ketika mereka berusaha mencari petunjuk mengenai sebuah potret, terdapat perkara-perkara yang tidak dijangka terjadi. Apakah perkara tersebut? Siapakah orangnya yang menghalang dan apakah sebabnya?

[REVIEW] PENGGARI HATI MR EGO

Penggari Hati Mr Ego Oleh Cici Aida

 

“Kenapa aku? Sepatutnya kau yang minta maaf sebab kau cuba nak bunuh aku tadi. Nyaris tak mati katak. Kalau jadi apa-apa dekat aku tadi, belum tentu kotak buruk kau tu mampu nak bayar insurans nyawa aku.”- Dania. “Hei, kenapa mulut kau ni jahat sangat ha? Aku tak pernah jumpa perempuan sewel kuat menjawab macam kau ni. Kalau aku tak tarik kau tadi, memang kau dah mati katak. Aku juga yang rugi, sebab kau tak dapat bayar ganti rugi kereta aku. Aku tak nak banyak cakap. Bayar sekarang!!! – Lutfi. Dania Wirdani, gadis yang selamba dan pantang dicabar. Selalu ada jawapan bagi setiap persoalan. Manakala Ahmad Lutfi, lelaki yang penuh displin diri. Namun, sikapnya yang angkuh terhadap Dania, membuatkan dirinya digelar Mr. Ego oleh gadis itu. Benteng hati si gadis seolah sukar dijangka. Dan dalam diam Dania telah mencuri hatinya. Biarpun tidak dizahirkan dengan kata-kata, hati mula dipaut rasa suka. Jiwa terang menari bahagia. Ucapan sayang tidak pernah terungkap, tetapi ikatan suci yang dibina dengan restu keluarga, mula mengalun cinta. Dania sedar dengan siapa dia berkahwin. Dan Lutfi juga tahu, mengapa Dania yang dipilih. “Awak hanya pentingkan diri sendiri Fi. Sepatutnya saya berfikir sepuluh kali untuk berkahwin dengan lelaki luar biasa macam awak.” – Dania. “Cukup..! Memang saya lelaki luar biasa yang awak tak pernah tahu. Semua yang saya pendam, semua yang saya simpan tak mungkin ada hati yang akan faham. Dan antara kita tak perlu ada rahsia lagi Dania.” – Lutfi. Kedua-duanya punya prinsip bagi mengatur langkah untuk kehidupan sendiri. Tetapi apabila Dania memiliki Lutfi, bermakna dia adalah seorang isteri. Dan mampukah Lutfi sebagai suami meletakkan ego di tempat yang sepatutnya? Bila hati digari cinta, meluahkan bukan semudah yang disangka. Sebaliknya, hanya keihklasan yang menentukannya.

Novel Penggari Hati Mr Ego hasil karya Cici Aida merupakan sebuah novel yang sangat santai untuk dibaca dan mempunyai gaya jalan cerita yang menarik di setiap bab yang mampu mencuit hati. Kisah permulaan perkenalan antara Lutfi dan Dania adalah dengan cara tidak baik. Mereka sering bergaduh dan bertengkar setiap kali berjumpa. Lutfi adalah seorang hero yang memegang watak yang sangat ego manakala Dania merupakan seorang wanita yang zahirnya memang kasar dan suka melawan kata. Rania, merupakan kekasih hati Lutfi, seorang model dan Lutfi sangat menyayangi wanita tersebut. Malangnya hubungannya tidak begitu diterima baik oleh ibunya sendiri. Tetapi takdir telah menentukan bahawa akhirnya Latif dan Dania berkahwin. Apakah kesudahan yang akan terjadi? Mengapa Latif bersetuju untuk mengahwini Dania? Apa yang berlaku kepada Rania, kekasih hatinya?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278597/Penggari-Hati-Mr-Ego

[REVIEW] PROJEK SERAM – LINTAH

Projek Seram – Lintah Oleh Illya Abdullah
Bila hati termakan hasutan syaitan, yang tidak berdosa menjadi mangsa… Inspektor Ryan diarahkan untuk mengendalikan kes kematian beberapa orang pelajar sebuah kolej yang dipercayai berpunca daripada santau lintah. Hasil siasatannya menemui jalan buntu. Kematian dalam kalangan pelajar kolej itu tidak melibatkan motif dendam atau sakit hati. Mangsa utama terdiri daripada sekumpulan pelajar yang sememangnya saling mengenali dan mempunyai ikatan persahabatan. Zarin, Sephia, Zila dan Kamelia. Mereka semua antara kumpulan pelajar yang masih hidup. Antara mereka, Ryan mengesyaki seseorang sebagai suspek utama. Siapakah sebenarnya si pelaku yang melakukan kerja terkutuk itu? Adakah pelaku yang menggunakan ilmu santau lintah itu adalah dalam kalangan mereka yang berada dalam kolej itu? “Manusia yang suka sangat buat benda-benda khurafat ni orang yang cetek iman. Orang yang berhati busuk, dendam dan benci ni mudah terkena virus jangkitan syaitan.” ~ Ryan “Baik kau orang cari pelindung sebelum ‘benda’ ni terkena pada kau orang.” ~ Zarin “Kau tak payah bimbangkan akulah. Baik kau risaukan diri kau sendiri dan keluarga kau. Aku takut ibu kau pulak kena baham dengan lintah.” ~ SEPHIA

Novel Lintah karya Illya Abdullah mengisahkan tentang seorang anak remaja yang menyimpan dendam terhadap kawan-kawannya dengan menggunakan ilmu hitam. Dia sanggup mempelajari ilmu hitam itu yang dipanggil santau lintah untuk kepuasan hatinya dan membalas dendam. Ilmu yang santau yang dipelajarinya berjaya membunuh beberapa rakan-rakannya dan salah seorang mangsa pertama ialah Hani. Kematian Hani menjadi gempar kerana ditemui mati di dalam bilik air dengan keadaan darah yang mengalir dengan banyak di celah kangkang beserta lintah yang terlalu banyak. Selepas kematian Hani, banyak mangsa kolej yang mati dengan keadaan yang begitu tragis dan menakutkan yang berkaitan dengan lintah membuatkan ramai orang takut dan tertanya-tanya. Disebabkan begitu banyak kejadian yang telah terjadi, inspektor Ryan telah menjadi ketua siasatan dalam kes-kes ini. Persoalannya, siapakah si pelaku? Apakah yang menyebabkan dia tergamak membunuh rakan-rakannya? Novel ini sebenarnya banyak ‘plot twist’ dan jalan cerita novel sangat mendebarkan dan menarik!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/271737/jejak

[REVIEW] H.I.M.

H.I.M. Oleh Fazlyn Ridz

 

NURUL AFYRA… Bercinta dengan orang lain, kahwin dengan orang lain. Takdir mendatang apabila tunangnya Naquib memutuskan ikatan pertunangan sehari sebelum nikah. Tidak cukup itu, penghinaan diberikan kepada keluarganya. Dihantar seorang lelaki asing sebagai galang ganti. Dalam keadaan genting, Afyra bersetuju demi maruah diri dan keluarganya. Permulaan hidup bersama itu memang aneh. Lelaki itu tidak dikenali. Namun sedikit rasa dalam hati mengesan, ada kelainan pada keperibadian lelaki itu walaupun si suami berahsia entah kenapa. AHMAD FAKHRI RIZAL… Adik kepada Naquib. Fakhri rela menikahi Afyra demi beribu sebab. Cantik, datang dari keluarga kaya dan alim, itu antara sebabnya. Siapa kata hidup mereka tidak dilanda masalah pada permulaannya, namun ujian kecil itu tidak mampu menjadi kudis kepada mereka. Mereka semakin teguh membina ikatan cinta bersama. Sebaliknya, abang kandung dan ibu tiri, teman-teman yang disangka sahabat… mereka semua itulah yang menjadi barah dalam kehidupan Fakhri dan Afyra. Fakhri hampir terjatuh dalam hidupnya, namun ada seorang wanita yang setia di sisi. Itulah isterinya. Memberi semangat, menjadi penawar dan penglipur lara Fakhri. Fakri tidak pernah berputus asa. Dia seorang lelaki yang cekal. Dia dikurniakan Allah kepandaian. Kebijakan Fakhri mula mendapat perhatian. Dia mula bangkit semula sehingga membuka mata setiap orang yang merendah-rendahkannya. Hero In A Million! Dialah seorang lelaki istimewa di mata mentuanya. Hero kepada isteri dan anak-anaknya. Seorang sahabat kesayangan kepada sahabatnya. Juga seorang anak yang pemaaf kepada bapanya. Dia tidak sempurna. Namun lelaki seperti dia hanya ada satu dalam sejuta!

Novel karya Fazlyn Ridz ini sangat ringkas dan mempunyai jalan cerita yang sangat menarik. Novel ini tidaklah terlalu tipikal seperti novel-novel cinta yang lain. Admin enjoy membaca cerita ini apabila menghayati watak si Hero, Fakhri Rizal. Admin dapat membayangkan wataknya yang sangat ‘humble’ dan bertanggungjawab. Walaupun tanpa rasa cinta, dia bersetuju untuk menggantikan tempat abangnya Naquib untuk mengahwini Afyra. Afyra pulak bersetuju kerana ingin menjaga maruah diri dan keluarga. Mereka telah jatuh cinta tapi malangnya perkahwinan yang mereka bina telah diuji oleh ramai orang terutama orang-orang di sekelilingnya tanpa diduga. Apakah kesudahan yang akan berlaku? 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266163/HIM