[SNEAK PEEK] SAAT KAU LAFAZKAN

9789670657806-medium

SAAT KAU LAFAZKAN Oleh Isma Adeliya

 

“ALHAMDULILLAH.” Aku tuturkan dalam hati seraya tanganku meraup wajah, mengaminkan doa yang dilafazkan oleh Imam Razak. Malam ini kami buat kenduri kesyukuran sempena kejayaan menyiapkan tiga buah chalet di atas tanah peninggalan arwah atuk. Tanah di tepi sungai yang memang sangat sesuai dijadikan resort.
Sudah hampir lapan bulan aku mengusahakan projek ini. Bermula daripada penyediaan kertas kerja untuk mendapatkan pinjaman bank sehinggalah kepada hiasan dalaman, semuanya aku lakukan sendiri. Alhamdulillah dalam tempoh ini aku sudah berjaya membina sebuah rumah tiga bilik dan tiga buah chalet. Satu daripadanya di peringkat akhir pembinaan. Rumah itu sudah pun siap bulan lepas dan aku jadikan rumah inap. Rasanya dalam seminggu dua lagi, setelah hiasan dalaman dan kelengkapan perabot disiapkan, tiga buah chalet tersebut juga sudah boleh disewakan.
“Jemput makan semua.” Kata adik iparku, Ayin kepadasemua jemaah surau yang datang bersama membaca surah Yasin dan bertahlil sebentar tadi. Abah turut sama membantu Ayin mempersilakan tetamu menjamu selera. Kami hanya membuat kenduri kesyukuran dan tahlil untuk arwah atuk secara kecil-kecilan. Sebetulnya aku terpaksa berjimat kerana banyak modal telah dikeluarkan untuk projek ini. Hasilnya pula, belum lagi dituai. Setakat ini baru dua kali rumah inap itu disewa.
“Letih Naim?” Soal emak semasa aku bersandar di dinding serambi rumah.
“Sikit je mak.” Jawabku.
“Kalau ada orang rumah, kan senang along, boleh minta picit.” Ayin menyampuk sambil tersengih. Tangannya ligat melipat kain seperah pengalas meja tempat makan jemaah surau yang telah beredar.
“Betul tu along. Orang dah ada dua anak. Teringin sangat nak makan nasi minyak along.” Sampuk pula si Elida, adikku.
“Isy kamu ni Ida, Ayin, tak ada benda lain ke nak disebut?” Emak membela aku. Matanya merenung aku dalamdalam, bagaikan mengerti perasaan yang terbuku di hati.
Bukannya aku tidak mahu berkahwin. Mendirikan rumah tangga itu adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Cuma aku belum bertemu dengan seorang wanita yang mampu menyembuhkan luka di hatiku. Selepas Ratna memutuskan pertunangan kami yang baru seminggu termeterai, aku serik untuk bercinta lagi. Tiga tahun menyulam cinta dengan Ratna, akhirnya impian untuk sehidup semati dengannya punah.
Ratna, satu-satunya perempuan yang berjaya membuatkan aku bagaikan makan tidak kenyang, mandi tidak basah dan tidur tidak lena. Siang terbayang-bayangkannya, malam termimpi-mimpi pula. Kekecewaan yang dicetusnya meninggalkan kesan yang teramat dalam. Lantas aku bertekad untuk tidak bercinta lagi. Aku mahu terus berkahwin bila berjumpa dengan seseorang yang mampu mencairkan hatiku. Namun belum ada seorang perempuan yang mampu mencuri hatiku. Jenuh orang tuaku terutamanya emak, mencarikan pasangan. Kini setelah tiga tahun, emak seakan-akan telah berhenti berharap. Tidak ada lagi gadis yang cuba dipadankan dengan aku.
Sejak kebelakangan ini, melihat kebahagiaan Elida bersama suami dan anak-anaknya, juga melihat rakan-rakan lain yang sudah berkeluarga, terdetik keinginan di hatiku untuk mendirikan masjid. Leteran dan nasihat daripada Fina, adik bongsuku yang kini belajar di Australia semakin menyedarkan aku. Kata-kata semangat daripada Fina menyedarkan aku bahawa aku tidak boleh lemah dengan kegagalan hubunganku dengan Ratna. Maka, kebelakangan ini, dalam doaku aku titipkan permintaan agar dipertemukan jodohku segera. Semoga Allah memperkenankan permintaanku.
Aku bangun dan turun dari serambi. Niatku ingin ke belakang rumah. Malas aku melayan usikan Ayin dan Elida. Tiba-tiba Lokman dan Hafiz, anak Elida yang masing-masing berusia empat dan dua tahun berlari ke arahku.
“Pak Long, kita jumpa ni kat rumah inap.” Kata Lokman sambil menyerahkan satu cekak rambut kepadaku.
“Abang bagilah kita. Kita nak.” Hafiz cuba merebut cekak rambut tersebut daripada tangan abangnya.
“Tak bolehlah. Bukan kita punya. Kan mama marah kalau ambil barang orang.” Jawab Lokman seraya berlari mengelilingiku. Cuba mengelak daripada adiknya.
“Betul tu Hafiz, ni orang punya.” Kataku sambil mengambil cekak itu.
“Lagipun Hafiz boy, benda ni girl punya, mana boleh pakai.” Aku memujuk.
“Haha, Hafiz pondan! Nak pakai cekak.” Lokman menyakat adiknya lantas berlari meninggalkan aku. Hafiz mengejar abangnya, tidak puas hati digelar pondan.
Aku hanya mampu tersenyum melihat gelagat mereka. Cekak rambut berwarna ungu dengan corak polka dot putih dan dihiasi batu berkilauan itu aku bawa ke pejabat kecilku yang terletak di belakang rumah orang tuaku, berdekatan dengan rumah inap. Sampai di pejabat yang jaraknya kira-kira seratus meter dari rumahku, terus aku simpan cekak rambut itu di dalam kotak barang yang aku khaskan untuk barang-barang tetamu rumah inap. Setakat ini, hanya cekak itulah sahaja barang yang dicicirkan oleh tetamu yang pernah menduduki rumah inap itu. Ingatanku kembali kepada pemilik cekak itu.
Dia datang kira-kira dua minggu lepas. Orangnya muda, mungkin dalam lingkungan usia 24 atau 25 tahun. Cantik orangnya. Rambutnya panjang hampir mencecah pinggang. Kulitnya cerah. Bibirnya nipis. Bulu matanya tidak terlalu lentik tapi keningnya tebal. Namun kecantikannya tenggelam dek wajahnya yang suram.
Ketika dia sampai, aku tiada di rumah. Emak yang menguruskan pendaftaran masuknya ke rumah inap itu. Kata emak wajahnya seperti orang dalam kedukaan. Dia tidak banyak bercakap, tidak senyum dan tidak mesra. Aku jumpa dia keesokan harinya ketika dia hendak mendaftar keluar.
“Encik, saya nak check-out.” Satu suara yang bernada sayu menyapa telingaku ketika aku sedang melayari internet. Sebenarnya aku ingin meninjau bagaimana perniagaan rumah inap yang wujud di negara ini memasarkan rumah inap mereka di internet.
Pandanganku beralih ke arahnya. Kelihatan wajahnya suram dan matanya bengkak kemerahan. Dia tidak memandang aku walaupun tangannya menghulurkan kunci rumah inap kepadaku. Dan sebaik sahaja aku mencapai kunci di tangannya, dia terus berlalu.
“Cik, bayaran semalam ada bakinya!” Aku melaung.
Dia berpaling dan matanya yang sendu itu bertembung dengan mataku. Riak suram pada wajahnya jelas kelihatan, mengundang persoalan di hatiku. Siapa dia? Apa yang telah terjadi kepadanya? Adakah dia telah menangis semalaman?
“Cik.” Panggilku lagi. Dia hanya membatu. Aku berjalan ke arahnya bersama tiga keping wang kertas sepuluh ringgit.
“Simpan sajalah duit tu.” Katanya dan dia terus berlalu. Launganku tidak dihiraukan.
Cekak yang anak-anak saudaraku jumpa tadi di rumah inap aku simpan bersama duit baki tiga puluh ringgit. Mungkin satu hari nanti, jika dia kembali menginap di sini, akan aku pulangkan kepadanya.

****

 

KESEDIHAN dan kekecewaan yang melanda terus membelenggu hidupku. Seminggu aku tidak pergi bekerja. Mama bising. Katanya dia malu dengan kakitangannya. Manakan tidak, anaknya sendiri yang baru empat bulan dibawa masuk ke syarikatnya sudah pandai buat perangai ponteng kerja.
Alangkah bagusnya kalau mama faham apa yang sedang aku alami. Tapi seperti biasa. Mama memang tidak pernah memahami aku. Semenjak papa meninggal, mama tidak lagi punya masa untuk aku dan Abang Izelan. Mama mengambil alih pengurusan syarikat katering yang papa asaskan. Masanya dihabiskan di pejabat. Mama jarang ada di rumah untuk memahami jiwa remajaku yang kesepian dan dahagakan kasih sayang. Sudahlah papa pergi meninggalkan kami buat selamalamanya. Abang Izelan pula jauh di Ireland, menghabiskan pengajiannya dalam bidang perubatan.
Kemunculan Muaz dalam hidupku tepat padamasanya. Dia datang menghulurkan persahabatan ketika aku sepi, rindu, sedih dan dahagakan kasih sayang. Maka salahkah kalau aku jatuh cinta kepadanya? Tapi kini semuanya sudah tidak bermakna lagi. Muaz yang aku cintai rupa-rupanya hanya menyayangi aku sebagai seorang sahabat. Hatinya kini dimiliki orang lain.
Loceng pintu berbunyi. Tombol pintu dipulas dan satu wajah yang aku rindui menjenguk ke arahku.
“Kakak!” Kak Izarina meluru ke arahku.Kami berpelukan di atas sofa dan dalam dakapannya air mataku mengalir laju. Aku menangis teresak-esak dan Kak Rina mengurut belakangku. Cuba menenangkan aku.
Izarina adalah satu-satunya kakakku. Anak tiri mama yang pertama kali kami jumpa pada hari papa kemalangan. Papa meninggal di hospital tapi emak Kak Rina meninggal di tempat kejadian. Sejak itu Kak Rina tinggal bersama kami walaupun mama tidak menyukainya. Mungkin kerana kekecewaan yang timbul apabila mengetahui dirinya dimadukan membuatkan mama tidak menyukai Kak Rina. Namun nasib menyebelahi Kak Rina. Beberapa bulan selepas kematian papa, Kak Rina melanjutkan pelajaran ke luar negara. Sebaik pulang daripada pengajiannya, Kak Rina menetap di rumah peninggalan arwah emaknya.
“Sabarlah adik. Pastinya ada hikmah di sebalik semua ini.” Kata Kak Rina bila tangisan aku berkurangan.
“Adik bodoh, kan kakak? Adik salah mentafsir perasaan Muaz.” Dan tangisanku berlagu lagi.
“Adik tak bodoh. Adik cuma keliru. Janganlah bersedih. Ini semua dugaan hidup. Apa yang adik alami sekarang akan menjadi pengajaran yang sangat berguna untuk adik meneruskan hidup.” Kak Rina memujuk.
“Hati adik pedih kak. Sakit sangat bila mengenangkan Muaz. Kenapa dia tak faham perasaan adik terhadapnya selamaini. Kalau adik tau akan jadi macam ni, I would have declared my feelings towards him”.
“Cinta tak boleh dipaksa. Tak ada gunanya adik luahkan perasaan cinta kepada Muaz kalau dia tak berkongsi perasaan yang sama dengan adik.” Aku diam. Membenarkan apa yang Kak Rina ucapkan. Betul. Cinta tidak boleh dipaksa. Hari ini aku juga faham mencintai tidak sama dengan dicintai.
“Life has to go on dik. Jangan kerana cinta hidup kita terkandas. Adik pun tau kan, kakak putus cinta tiga kali sebelum jumpa dengan Abang Aeril. Kakak tetap positif walaupun pernah kandas dalam percintaan. Percayalah, kalau kita tidak dapat apa yang kita inginkan, itu maknanya Allah nak bagi yang lebih baik kepada kita.”
Aku pandang wajah Kak Rina yang tenang. Memang Kak Rina seorang yang tabah. Aku masih ingat, dia langsung tidak menangis ketika jenazah papa dan emaknya diuruskan. Dia tidak pernah marahkan mama walaupun mama tidak melayannya dengan baik. Dia tidak pernah mengeluh dengan takdir hidupnya, malahan sentiasa positif terhadap apa juga yang terjadi.
“Terima kasih kakak for lending your shoulder and listening to my nonsense.”
Kak Rina tergelak kecil dengan kata-kataku.
“That’s not nonsense. Come . We need to do something to cheer you up. Duduk terperuk dalam bilik ni bukannya membantu adik lupakan kesedihan. Lagi bertambah sedih adalah.” Katanya sambil berdiri.
“Dah mandi ke belum?” Kak Rina bertanya.
“Dah.”
“Isy… dah mandi apanya. Comot macam ni?”
Aku hanya mampu tersengih mendengar usikannya. Masih belum mampu mengukir senyuman.
“Cepat tukar baju. Jom ikut kakak keluar.” Kata Kak Rina sambil berjalan ke arah almari pakaianku.
“Nak pergi mana?”
“Kita pergi makan. Lepas tu pergi KLIA ambil Abang Aeril.
4
SELEPAS MAKAN di Restoran Al Rawsha, kami bertolak ke KLIA. Tidak perlu menunggu lama di KLIA kerana kapal terbang yang dinaiki Abang Aeril pulang dari Kota Kinabalu telah mendarat.
Aku berjalan di belakang Abang Aeril dan Kak Rina yang berjalan beriringan. Hatiku dilanda perasaan cemburu. Alangkah seronoknya jika aku dapat menikmati kebahagiaan yang mereka kecapi. Fikiranku melayang jauh menerawang entah ke mana hingga wajah Muaz muncul di depan mata. Muaz… ketika engkau ucapkan akulah sahabatmu dunia dan akhirat aku juga berharap engkau akan menjadi kekasihku di dunia dan akhirat. Tapi harapanku lebur menjadi debu. Mengingati Muaz lantas membuat aku sedih semula.
Dalam mengelamun, aku telah berjalan jauh dan berlawanan arah daripada Kak Rina dan Abang Aeril. Apabila aku tersedar, aku cepat-cepat berpusing dan berjalan laju-laju untuk mencari mereka. Tidak semena-mena aku terlanggar sesuatu. Eh… bukan sesuatu. Tapi seorang lelaki!
“Ouch.” Kata lelaki itu.
“Sorry…”Tergagap-gagap aku menuturkan maaf. Bagaimana aku boleh selalai ini hinggakan tidak perasaan ada seorang lelaki bertubuh tegap di hadapanku. Tadi apabila aku tersedar daripada lamunanku, aku terus berjalan dan melanggar dadanya dengan kuat, hinggakan beg tanganku terjatuh.
“Maaf… maafkan saya.”
“Kalau pun nak cepat, hati-hatilah sikit.” Kata lelaki bertopi itu. Aku mendongak sedikit untuk melihat wajahnya. Mata kami bertentangan. Lantas matanya membulat memandangku. Kemudian dahinya berkerut, mengundang kehairanan di dalam hatiku.
“Encik. Sorry ya. Encik tak apa-apa, kan?”
Tiada jawapan daripadanya. Sebaliknya dia terus-menerus merenung aku. Panggilan seorang gadis bertudung dari arah belakangku mematikan renungannya. Dia terus beredar tanpa berkata apa-apa. Pelik. Bisikku dalam hati.
Ah… biarlah. Mungkin dia terkejut kerana aku melanggarnya. Aku tunduk untuk mengambil beg tanganku yang terjatuh di atas lantai. Ketika itu aku ternampak satu cermin mata hitam di atas lantai berdekatan dengan beg tanganku. Kedua-dua barang tersebut aku ambil. Aku belek cermin mata hitam itu. Cepat-cepat aku berpaling. Ingin memulangkan cermin mata tersebut kepada lelaki yang aku langgar tadi. Aku pasti cermin mata hitam itu miliknya.
“Encik.” Laungku. Dia yang berada kira-kira 5 meter di hadapanku terus berjalan seolah-olah tidak mendengar panggilanku. Aku kuatkan suaraku namun dia tetap terus melangkah. Semakin jauh meninggalkan aku. Apa nak buat ni? Akhirnya aku memutuskan untuk menyimpan saja cermin mata itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/55970/saat-kau-lafazkan