Prolog
DIA melihat jam di pergelangan tangan. Sudah hampir jam 1.00 pagi. Deretan kedai di kawasan itu kebanyakannya sudah gelap. Selepas membayar di kedai 7 Eleven itu, dia cepat-cepat keluar. Malam itu hujan turun renyai-renyai. Angin yang bertiup, sejuknya sampai ke tulang hitam. Tanpa membuang masa, dia segera melangkah ke arah kereta yang terparkir tidak jauh dari lot-lot kedai itu. Hatinya mendengus tiba-tiba melihat keadaan yang sunyi sepi itu. Semasa datang tadi, tiada langsung kawasan parkir yang kosong sehingga dia terpaksa memarkir di tempat yang lebih jauh.
Kini, tidak sampai setengah jam berada di kedai serbaguna itu, kesemua kereta yang memenuhi kawasan seakan-akan lenyap. Hati sedikit berasa gusar, namun tidak mahu membiarkan perasaan gementar menguasai diri, dia memberanikan diri. Dari jauh, dia sudah menekan alarm kereta. Belum pun sempat dia memasuki kereta, terdengar suara jeritan meminta tolong. Hanya sekali dan selepas itu jeritan itu hilang. Dia memasang telinga untuk mendengar lagi.
Tersilap dengarkah dia? Mungkinkah itu hanya lolongan si anjing dan bukannya jeritan seorang perempuan yang meminta pertolongan? Tetapi lolongan anjing dan jeritan manusia pastinya berbeza. Entah mengapa, tiba-tiba bulu romanya meremang. Kalau bukan anjing atau manusia… jadi jeritan siapa yang didengarinya itu?
Dia menuju ke arah datangnya bunyi tersebut. Di lorong gelap itu, dia terlihat kelibat seseorang yang sedang membongkok melakukan sesuatu. Langkahnya mati tiba-tiba. Akalnya menyuruh dia pergi dari tempat itu sekarang juga. Tengah dia berkira-kira begitu, kedengaran derapan tapak kaki berlari menuju ke arahnya. Tanpa berfikir panjang, dia terus masuk ke dalam kereta dan mengunci pintu.
Enjin kereta segera dihidupkan, namun alangkah terkejutnya dia apabila tiba-tiba seorang lelaki menjengukkan wajah dari lorongan gelap itu. Dia menjerit ketakutan. Sesungguhnya dia terkejut dengan perlakuan yang berlaku secara tiba-tiba itu. Lelaki itu tidak berbuat apa-apa. Hanya merenungnya dengan pandangan yang sukar ditakrifkan. Wajahnya tidak begitu jelas, namun mata yang sedang merenungnya dengan tajam itu membuatkan dia menggigil.
Apa yang dia tahu, renungan itu mengingatkan dia pada sesuatu yang amat menakutkan. Sesuatu yang mampu membuatkan dia dilanda mimpi buruk saban malam. Mata itu… ya… mata itu begitu menggerunkan dan membuatnya bertambah tidak selesa. Mereka bertatapan seketika sebelum dia menekan hon berkali-kali. Dia mahu meminta pertolongan andai lelaki ini mahu melakukan sesuatu yang tidak diingini. Ternyata dia berjaya apabila lelaki itu berlalu dari situ. Buat sesaat, matanya terpejam penuh kelegaan.
Tanpa membuang masa, dia terus memandu pulang. Had limit pemanduan, sudah tidak dipedulikan. Setengah jam setelah menahan rasa debar dan gentar, akhirnya dia tiba di rumah. Untuk pertama kali sejak bertemu dengan lelaki itu, dia berupaya menarik nafas lega kembali. Siapakah dia? Siapakah lelaki itu? Kenapa matanya begitu? Kenapa renungannya seperti seekor singa yang sedang memburu mangsa? Dia meneliti bulu romanya yang masih lagi meremang. Ya ALLAH… apa yang berlaku ni?
KEESOKAN hari, dia bangun dalam keadaan lesu. Kepala yang berdenyut-denyut masih terasa sakitnya. Sepanjang malam, dia tidak dapat melelapkan mata walau secebis pun. Lelaki misteri semalam berterusan menghantui dirinya. Dia tidak tahu mengapa pertembungan mereka meninggalkan kesan yang cukup kuat ke atas dirinya. Dia membuka pintu apabila terdengar bunyi sesuatu dibaling ke pintu rumah. Dia tahu apa yang dilemparkan ke dalam kawasan rumahnya setiap pagi. Dia lantas membuka pintu untuk mengambil surat khabar yang terdampar di pekarangan rumah. Matanya terbeliak apabila membaca berita utama di dada akhbar.
ANGEL MENYERANG LAGI! Wanita 28 tahun menjadi mangsa terbaru.
Dia terus membaca lagi. Bukan setakat tajuk utama yang menarik minatnya, tetapi lokasi kejadian pembunuhan tersebut. Kakinya lembut tiba-tiba sehingga terpaksa berpaut pada badan kereta miliknya. Jadi… jeritan yang didengarinya malam itu adalah benar. Adakah gadis ini yang menjerit meminta tolong? Dan lelaki itu, adakah dia yang membunuhnya? Angel? Siapakah sebenarnya Angel ini?
****
Sebulan kemudian
KAKI kecilnya diayun dengan pantas. Tubuh mula dirembesi manik-manik peluh. Nafasnya juga semakin kasar. Bunyi-bunyi kepenatan sudah kedengaran, namun itu tidak langsung memperlahankan langkahnya. Dia terus berlari dan berlari. Beberapa meter sebelum menghampiri rumah, suara halusnya terbit dari kerongkong, memanggil-manggil nama ayahnya. Namun, laungan itu tidak terluah apabila tiba-tiba dia tersungkur ke tanah. Debu-debu merah terserak di wajah polosnya. Dia meludah beberapa kali cuba mengeluarkan debu yang memasuki mulutnya. Tekak terasa perit.
“Awatnya, Ain?” tegur Pak Ali dari muka pintu. Melihat anaknya masih terkial-kial membersihkan pakaian dan wajah, dia bergerak ke luar dengan niat mahu membantu anaknya itu. Ain… Ain, selalu saja gopoh dan kelam-kabut. Esok, lusa sudah boleh jadi isteri orang, masih lagi dengan perangai tak senonohnya itu. Pak Ali menggeleng dalam hati.
Ain panggung kepala. Dia seolah-olah terlupa apa yang ingin dikatakan apabila jatuh tersungkur sebentar tadi. Apabila melihat wajah ayahnya, dia kembali teringatkan perkara yang membuatkan dia berlari seperti mahu memasuki acara saringan untuk sukan balapan Olimpik 2012 nanti.
“Cepat ayah! Ikut Ain cepat!” katanya sambil menarik tangan Pak Ali.
Pak Ali yang kebingungan hanya menurut. Sesekali dia berhenti kerana kepenatan.
Ain yang tidak sabar mengeluh panjang. Dia tahu ayahnya itu sudah tua dan tentu sekali tidak mampu untuk dibandingkan dengan kudratnya.
“Awat ni, Ain? Nak bawa ayah pi mana ni? Jauh lagi ka?” soalnya termengah-mengah.
“Dak aih! Dekat ja. Nak sampai dah ni. Kat tepi lombong tu ja. Cepat sikit, ayah!” Ain semakin kalut. Beberapa langkah kemudian, dia berhenti di tepi tempat yang dimaksudkan. Dia menunggu ayahnya tiba.
Pak Ali merenung arah yang ditunjukkan anaknya. Matanya terarah ke bawah dan tersentak.
“Siapa tu?”
“Ain tak tahu. Ain nampak dia masa nak petik pucuk paku. Ayah rasa dia hidup lagi ke?” soal Ain sambil cuba menuruni bukit kecil itu, namun suara garau Pak Ali membantutkan hasratnya.
“Jangan. Kita jangan buat apa-apa. Ain pergi rumah Mak Kiah. Minta dia telefon polis. Ayah tunggu kat sini. Pergi cepat!” arahnya cuba bertenang sebaik mungkin.
Mendengar arahan itu, Ain sekali lagi memecut laju. Arahan ayahnya disemat kemas dalam hati. Walau apa pun, mereka tidak boleh bertindak sesuka hati. Pihak polis harus diberitahu mengenai kejadian ini.
Sementara menunggu ketibaan pihak polis, Pak Ali mengambil keputusan untuk melihat dengan lebih dekat. Dengan penuh berhati-hati, dia menuruni bukit yang sedikit curam itu. Beberapa minit kemudian, dia tiba di tempat itu.
Dia melihat, merenung dan memerhati dengan teliti. Tubuh itu kaku tidak bergerak. Benarkah tubuh itu sudah tidak bernyawa lagi? Tubuh yang bertelangkup itu dilihat dengan penuh serba salah. Haruskah dia cuba menyentuh tubuh itu? Atau tunggu sahaja pihak polis datang menyiasat perkara ini?
Tengah dia berkira-kira itu, telinganya menangkap suara orang mengerang. Pak Ali hampir melompat dek terperanjat. Dia mengamati suara itu lagi. Tidak syak lagi. Suara itu datangnya dari tubuh yang bertelangkup itu. Memikirkan sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu, dia terus mengangkat tubuh itu. Terbeliak matanya melihat wajah itu.
“To… tolong! Tolong saya!”
Enam bulan lalu, Damansara…
“SUAMI you tak marah ke kalau you balik lambat hari ni?” Dia menyoal sebaik sahaja perempuan itu melabuhkan tubuh di sisinya.
Perempuan yang disoal tu hanya ketawa. Kuat dan tidak terkawal. Mungkin kerana minuman keras yang sudah meresapi tubuhnya ini telah memberi kesan. Tubuhnya ditarik rapat ke dada wanita itu. Wanita itu meletakkan jari telujuknya ke bibir seperti mahu memberitahu sebuah rahsia sahaja gayanya.
“Husband I tak tahu pun I keluar malam ni. Orang tua tu pukul 9.00 malam dah lelap. Tidur mati pula tu. Kalau I keluar tiap-tiap malam pun tak pernah sedar,” bisik perempuan yang bertubuh lampai itu.
“Lagipun I selalu letak pil tidur dalam minuman dia. I ni muda lagi. Body pun masih bergetah. Masih nak enjoy lagi. Takkan sebab I kahwin dengan orang tua tu, I kena berlagak macam nenek pula, kan?” tambahnya lagi dengan tawa yang semakin galak.
“Tua-tua pun, husband you banyak duit,” tukasnya yang turut sama tersenyum menyaksikan wanita yang mabuk arak ini menggodanya.
“Tau takpe… sebab tu I terpaksa tahan. Tapi, kalau nak enjoy macam ni… pandai kita makan, pandailah simpan. Jangan sampai orang tua tu tahu.” Dia meletakkan jari telunjuk di atas bibir.
“You nak ikut I malam ni?” goda lelaki tu sambil menghidupkan enjin kereta. Senyuman masih tidak lekang daripada bibir. Perempuan ini sudah pun masuk ke perangkapnya sebaik sahaja menerima pelawaannya untuk minum bersama. Dan dia tahu, perempuan ini tidak akan segembira ini jika dia tahu apa yang bakal dihadapinya sebentar nanti.
“Ke mana?” soal perempuan itu seperti kucing betina gatal yang mahu mengawan sahaja.
Dia tersenyum lagi. Kayu besbol yang terselit di bawah kerusinya dijeling sekilas.
“Syurga…”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81596/Hati-Bergetar-Rindu