[SNEAK PEEK] TULIP MERAH UNTUK DIA

9789670890258-medium (1)

EBUKU Tulip Merah Untuk Dia Oleh Mytun Abdullah

NAK pergi mana ni?” soal Zafril bila melihat Widad dan Wafi sedang menunggu di halaman rumah seolah-olah menantikan seseorang. Wajah masing-masing kelihatan ceria seperti baru dapat hadiah baharu.

“Nak pergi pasar malam,” jawab Wafi. Riang. Sudah lama dia berangan hendak ke pasar malam, tetapi tidak pernah ada yang sudi membawa. Bila Qaseh usulkan cadangan tadi, dia sudah melompat riang.

“Eh! Dah siap, ek. Mana pak cik?” soal Qaseh yang tiba-tiba muncul. Dia menyarung sandal sambil membetulkan tudung kepala yang terasa sedikit senget.

Zafril menoleh. Terkejut melihat Qaseh yang siap bertudung bawal biru laut dipadankan dengan T-shirt lengan panjang dan jean biru. Hendak ke mana pula ni? Jangan-jangan nak…

“Eh, awal awak balik? Dah jumpa Fatihah ke belum?” soal Qaseh. Terkejut melihat Zafril. Rasanya baru sejam Zafril keluar. Sudah tu, apasal seriusnya muka! Mesti ada yang tidak kena tu! Bergaduh dengan Fatihahlah tu.

“Qaseh nak ke mana ni? Pakai cantik-cantik macam ni?” tanya Zafril. Pantang aku keluar sekejap, mulalah panjang langkah. Dah lama ke buat kerja macam ni?

Qaseh tunduk, membelek baju yang dipakainya. Cantik? Rabun ke apa? Macam ini punya simple dikatakan cantik? Biar betul! Agaknya kalau dia pakai dress liplap-liplap ikut potongan badan tu, pasti lagi cantik kut!

“Saya nak pergi pasar malam kat taman sebelah sana. Bawak Wafi dan Widad. Selama ni mereka tak pernah rasa suasana pasar malam. Tak ada orang nak bawak. Saya bawakkanlah.”

“Pergi dengan siapa?” Terjongket kening Zafril.

“Dengan acik.”

Huh, kan dah agak! Berdengung telinga Zafril. Dengan acik? Wah! Aku tak ada, dia keluar mengular sawa dengan acik. Nasib baik aku tergerak hati nak balik awal. Kalau tak, langsung aku tak tahu aktiviti sampingan Qaseh. Hati Zafril mendongkol geram.

“Nak cari apa di tempat sesak macam tu? Dengan bau-bau yang busuk. Tak ada tempat lain ke nak pergi? Supermarket kan ada?”

Berubah muka Qaseh. Pak ngah ni, kan… ada jugak yang kena ‘tiaw’ kejap lagi. Cakap ikut sedap mulut je. Tak reti nak jaga hati orang langsung! “Widad dan Wafi nak makan apam balik. Kat supermarket, mana ada apam balik. Awak ada nak pesan apa-apa tak? Saya belikan. Atau awak nak ikut?”

“Tak payah! Abang tak suka pergi tempat macam tu. Buat semak mata je. Sudahlah berhimpit-himpit. Lalu celah-celah ketiak orang. Dengan bau hapak lagi. Kotor pulak tu! Hish, loyalah. Nampak sangat kampungnya. Mana ada selera nak makan. Tak pasal-pasal kena keracunan makanan!”

Tersentap Qaseh dengan ayat akhir Zafril. Dia rasa terkilan. Saya tahu saya orang kampung, tapi janganlah kutuk sampai macam tu sekali. Ingat kolot sangat ke pasar malam tu? Selama ni saya ke pasar malam, belum pernah mengalami keracunan pun!

“Eh… semua dah ada? Jomlah, kang hujan tak sempat nak pergi dan beli apa-apa. Dah redup ni,” ajak Afzar yang muncul kelam kabut. Widad dan Wafi sudah bersorak.

Qaseh hanya diam. Wajah Zafril tidak dipandang. Dia membuka pintu di tempat duduk sebelah pemandu. Punggung dihenyak kasar. Bengang! Geram!

“Angah nak ikut kita orang tak?” tanya Afzar sebelum masuk ke dalam Camry.

“Tak kuasa nak pergi tempat-tempat bising dan hapak macam tu. Buat semak perut je!” cebik Zafril. Melihatkan Afzar yang riang wajahnya, dia rasa hatinya seperti dipijak-pijak. Sukalah acik dapat keluar bercinta dengan Qaseh. Huh!

“Okeylah… kita orang pergi dulu. Let’s go guys! Enjoy our time…”

Zafril hanya memandang bila Camry menjalar keluar dari pekarangan banglo. Entah kenapa… dia rasa seolah-olah separuh daripada hatinya seakan dibawa pergi. Dia rasa sangat resah gelisah sekarang ini. Rasa semput pun ada.

“KAU ke mana tadi? Puas aku call tak berangkat. Tidur ke? Siang-siang pun nak tidur. Kalau ya pun, tunggulah malam. Sabar-sabar sikit…” Firhad tergelak nakal.

“Apa yang kau merepek ni? Aku ada kat aje rumah. Maybe masa kau call, aku temankan Qaseh ke pasar malam kut,” jawab Zafril. Jagung bakar yang sudah tinggal tongkol diletak ke dalam pinggan. Sedap juga. Not bad. Harap-harap tak sakitlah perut dia malam ini. Kalau sakit… siaplah Qaseh. Ini semua Qaseh punya fasal. Hilang daulat bila terpaksa mencemar duli ke pasar malam. Nasib baik tidak terserempak dengan siapa-siapa yang dia kenal. Cuak juga hatinya tadi.

Firhad di hujung talian sudah terperanjat. Nasib baik tidak tercampak BlackBerrynya. “Hah! Biar betul? Kau pergi pasar malam? Are you kidding me?”

“Ye… Aku temankan Qaseh. Tak percaya?” Zafril tersengih. Teman ke paksa? Huh! Mustahil hendak beritahu Firhad bahawa dia yang beria-ia memaksa Qaseh selepas Qaseh pulang dari pasar malam dengan acik. Itulah padahnya kalau mengikutkan kata hati. Tak fasal-fasal Qaseh ke pasar malam dua kali. Sudah tu, dia pula tidak tahu mahu mencari apa. Dia tahu Qaseh sudah bengang. Tapi, dia peduli apa? Janji dia puas hati.

Sudahnya dia cuma membeli jagung bakar. Itu sahaja yang dia nampak di hadapan mata. Hendak cepat balik. Tambahan pula matanya rasa sakit bila melihat beberapa orang lelaki sedang memerhati dan tersenyum-senyum nakal mahu mengayat Qaseh. Bengkek je. Itu belum kira yang suka hati dan sengaja melanggar bahu Qaseh.

“Handphone tak bawak?”

“Handphone tertinggal.” Bukan tertinggal. Sengaja ditinggalkan. Menyampah! Amriza asyik call. Malas betul mahu melayan minah gedik yang tak faham bahasa tu. Rasanya kena bercakap dalam bahasa Uganda baru Amriza faham kut!

Firhad sudah ketawa. Berdekah-dekah. “Wait! Wait! Ril, telinga aku yang tak betul atau kau yang demam? Kepala kau ada cedera tak masa kena pukul hari tu? Cedera kau belum tahap amnesia, kan?”

“Apa pulak? Kau ni kenapa? Salah ke kalau aku pergi pasar malam?” Dia dapat bayangkan wajah terkejut Firhad sekarang ini. Mesti sebijik macam wajah Qaseh semasa dia mula mengajak tadi. Ada tanda soal yang paling besar atas kepala Qaseh. Mahunya tidak baru saja Qaseh keluar dari Camry dia sudah menarik tangan Qaseh masuk ke dalam BMW pula.

“Tak salah… tapi unbelievable dude. Zafril Amsyar ke pasar malam? Pergh! Memang mengagumkan. Tahniah sebab kau dah berjaya mencemar duli ke situ. Tak risau kena panah petir ke? Tak takut Melawati dilanda ribut taufan nanti? Banjir kilat ke? Ada tanah runtuh ke?”

Zafril mencebik. Nak sindirlah tu! Dia menjeling Qaseh yang sibuk menyiram pokok bunga mama. Mama beruntung sebab sudah dapat assistant yang rajin.

“Kau tahu Fir, rupanya pasar malam ni tak adalah teruk sangat. Happening jugak. Cuma itulah… sesak gila. Orang yang datang situ main rempuh je.” Serius, tidak sangka dia mencipta rekod hari ini. Semuanya sebab ‘mak ngah’ yang sedang siram pokok bunga itulah.

“Tahu pun kau. Kau tu je yang sombong dan berlagak tak bertempat. Konon pasar malam tu tak sesuai dengan standard kau. Kotor! Pirah!!! Kau tak tahu, tourist yang datang Malaysia beria-ia nak pergi pasar malam, tau! Nak merasa happeningnya pasar malam. Tambah-tambah lagi kalau bulan puasa. Memang syok gila. Rugi kau tak pernah explore benda-benda tu!” kutuk Firhad depan-depan. Dia rasa kagum dengan Qaseh kerana berjaya mengheret Zafril ke pasar malam. Dia sendiri pun gagal. Bukan tidak pernah ajak.

Zafril senyum nipis. Lantaklah apa yang Firhad hendak kata sekarang ini. Apa yang dia tahu, dia rasa seronok sahaja selepas pulang dari pasar malam tadi. Lebih-lebih lagi dapat melihat beberapa lelaki yang terkulat-kulat dan seakan kecewa melihat dia memegang pinggang dan tangan Qaseh. Sekurang-kurangnya mereka tahu Qaseh is not available and got a handsome husband. Cukup puas hati.

TANGISAN Widad yang kuat mengejutkan Qaseh yang berada di dapur. Terkocoh-kocoh dia ke ruang tamu. Risau andai Widad dan Wafi bergaduh. Budak berdua itu bukan boleh dibiarkan bersama lama-lama. Mulalah bertekak. Ada sahaja bahan yang dijadikan punca bergaduh. Kadang-kadang tu sudah macam anjing dengan kucing.

Zafril yang baru sahaja turun dari tingkat atas, tidak jadi melangkah ke dapur sebaik sahaja terpandang Qaseh. Dia menurut langkah Qaseh dari belakang.

“Widad, kenapa ni?” tanya Qaseh.

“Mak ngah… Pussy hilang. Pussy tak ada. Pussy dah tinggalkan Widad…” adu Widad dengan teresak-esak. Wafi di sebelah sedang memujuk.

“Dah cari di luar ke belum? Kan tadi Pussy main-main dengan Widad di garden.”

“Dah… Wafi dah cari tadi. Tak jumpa jugak. Kita orang tinggalkan Pussy sekejap aje,” jawab Wafi pula.

“Mana Pussy pergi?” Qaseh menggaru dahi yang tidak gatal. Kucing nikan, kalau tak menyusahkan orang tak sah, tau! Hari tu buat aku terkejut beruk. Hari ni hilang pulak. Selalu buat havoc tau.

“Dah cari kat bilik?”

“Dah…” Dengan suara serak Widad menjawab.

“Kat semua bilik?”

“Ya… semua bilik. Tapi tak adalah, mak ngah…” jawab Wafi dan Widad serentak.

“Dah tanya opah? Manalah tahu opah ada nampak Pussy?”

“Opahkan keluar dengan atuk? Lepas opah keluar tadi, Pussy ada lagi, main-main dengan Widad dan along. Baru sejam ni Pussy hilang.”

“Habis tu… mana Pussy pergi?” Pinggang dicekak. Sambil itu otak Qaseh mula berfikir tempat-tempat berkebarangkalian Pussy menyorok dan bermain kalau sudah semua tempat dicari tidak berjumpa. Itulah… rumah agam sangat. Hendak cari pun susah. Entah di ceruk mana Si Pussy bermain hide and seek pun, tidak dapat diagak.

“Pussy pergi datinglah tu. Pussykan kucing jantan. Mesti nak cari awek. Asyik pandang muka chubby Widad aje, Pussy pun boring. Nak jugak cari awek baru… yang lagi cun dari Widad. Yang cute-mute dari Widad.” Selamba Zafril menyampuk sambil tergelak nipis. Sejak tadi dia hanya memasang telinga. Rasa kelakar melihat gelagat Qaseh dan anak-anak saudaranya itu.

Qaseh berpaling. Zafril berdiri rapat di belakangnya. “Hish! Awak ni! Budak-budak tu tengah susah hati, awak buat lawak pulak!” marah Qaseh.

“Alahai… kejap lagi baliklah Pussy tu. Macam tak biasa Pussy hilang. Widad tu je yang kecoh lebih. Entah-entah Pussy ziarah jiran kat depan sana. Nak berkenal-kenalan. Nak mengorat ke…”

Wajah Widad sudah mencuka.

Qaseh pandang Zafril. Ada ke cakap macam tu? Zafril ni langsung tidak membantu!

“Pussy tu mana reti flirting la, pak ngah.” Widad menarik muncung. Dia tidak suka dengan lawak Zafril. Dia menjeling abangnya yang turut tergelak. Serta-merta Wafi menutup mulut. Takut kena marah dengan si adik.

“Jomlah kita cari Pussy. Mak ngah temankan Widad…” ajak Qaseh. Lagi lama dibiarkan, mahu banjir banglo ini dengan tangisan Widad.

“Hello dear… abang nak breakfast. Lapar ni!”

“Breakfast awak saya dah sediakan di dapur. Kopi pun saya dah siapkan. Masih panas lagi. Saya temankan Widad cari Pussy kejap. Dah jumpa Pussy nanti, saya datang teman ye…” Itulah… siapa suruh turun sarapan lambat. Sudah pukul sepuluh baru terhegeh-hegeh hendak turun. Mentang-mentang masih dalam m.c., asyik membuta saja.

Zafril tersentap. Amboi! Kucing jantan tu lagi penting daripada dia ke? Bertuah sungguh! Wajahnya sudah berubah kelat.

“Pak ngah tak nak ikut kami cari Pussy?” tanya Wafi. Dia mahu mengikut Qaseh dan Widad.

Zafril menggeleng. “Tak kuasalah, pak ngah. Pak ngah lapar. Nak makan.”

“Hah… jom! Kita cari Pussy di tingkat atas dulu ye. Lepas tu baru kita pergi ke sekitar sini dan ke belakang rumah.” Qaseh menarik tangan si kembar dan meninggalkan Zafril yang sudah menayang wajah bengang.

Huh! Zafril rasa seperti terabai. Dia dapat rasakan yang Qaseh banyak melebihkan Widad dan Wafi. Sabar sajalah… Tiba-tiba dia rasa kecil hati dan cemburu.

QASEH terbatuk sebelum mata terbuka luas. Pedih!

“Dah sedar pun!” tegur Zafril dengan wajah serius. Dia rasa lega bila melihat Qaseh sudah membuka mata. Tetapi risau yang berkumpul belum mampu diusir pergi. Nasib baik dia ada di rumah. Kalau tidak… Hesy! Tidak tahu apa yang akan terjadi. Kucing ke mana… orang pula ke mana? Hendak tunjuk terror jadi Rescue 911 tu buat apa kalau tidak pandai berenang? Berani tak bertempat!

Qaseh yang terkejut sebaik sahaja disapa Zafril, terus bangun. Dia memegang kepala yang terasa berdengung dengan tiba-tiba. Dipandang sekeliling. Eh! Mana Widad dan Wafi? Macam mana dia boleh terbaring dalam bilik pula? Atas katil Zafril lagi, hah? Kan tadi mereka sedang mencari Pussy.

“Awak… macam mana saya ada di bilik? Tadikan saya dengan Widad… dan Wafi…” Berkelip-kelip matanya memandang Zafril yang duduk di birai katil. Hairan.

“Widad dan Wafi ada dengan Mak Leha. Tak perlu risaukan mereka. Awak sepatutnya risaukan diri awak. Rehatlah…” Zafril sudah memotong cakap. Dia bangun. Pintu gelongsor dibuka luas. Angin malam yang sejuk menerobos masuk ke dalam bilik.

“Awak… Pussy dah jumpa ke belum?”

Zafril menoleh. Tengok tu! Orang dah hampir putus nyawa risaukan dia, boleh pula dia sibukkan si Pussy. Qaseh… Qaseh!

“Qaseh ni kenapa? Tak sayang nyawa ke apa? Masih nak sibukkan Si Pussy tu lagi. Tak sedar nyawa dah hampir melayang. Dah lama hidup? Atau dah bosan nak hidup?” marah Zafril. Geram pun ada.

Qaseh terkedu. Wajah Zafril nampak tegang. Kenapa Zafril hendak marah-marah pula? Apa yang dia sudah buat? Cari Pussy pun salahkah? Mustahil tak temankan sarapan pun Zafril sudah hendak naik angin begitu? Siapa yang pertaruhkan nyawa siapa pula? Siapa yang sudah lama hidup dan tidak mahu hidup?

Comforter ditolak hingga ke hujung kaki. Tanpa mengendahkan Zafril, dia turun dari katil.

“Tu… nak pergi mana pulak?” Zafril menjeling.

“Nak jumpa Widad. Kan dah janji nak cari Pussy dengan Widad. Awak tak mahu tolong tak apalah!” Dia yakin pasti sekarang ini Widad sedang menangis kerana belum menemui Pussy. Dia pula boleh senang-lenang berbaring di bilik. Sehingga sekarang dia tidak boleh berfikir macam mana dia boleh tertidur di bilik.

“Qaseh… jangan degil boleh tak? Dengar cakap abang. Berehat ajelah. Widad dan Wafi ada dengan Mak Leha. Tak perlu risaukan mereka. Cuba Qaseh fikirkan diri Qaseh. Tak payah nak pentingkan orang lain.” Tidak sedar diri tu baru sedar daripada pengsan. Zafril menghampiri Qaseh. Lengan Qaseh disambar. Ditarik dan didudukkan ke katil semula.

Qaseh tidak puas hati. Dia bangun dan berdiri di hadapan Zafril. Wajah Zafril dipandang geram. Tangan Zafril ditolak ke tepi. “Apa awak ni! Siapa yang degil? Saya nak tolong Widad cari Pussy! Kesian Widad. Yang nak halang orang ni kenapa? Kalau tak mahu tolong, duduk saja diam-diam kat sini. Saya cari sorang-sorang.”

“Tak payah! Dah tak ada maknanya nak cari Pussy,” balas Zafril perlahan. Tanpa senyum. Wajahnya yang serius bertukar mendung.

“Eh! Kenapa pulak? Dah jumpa Pussy ek! Jumpa kat mana?”

“Pussy dah arwah! Pussy dah mati! Pussy bunuh diri!”

“Hah?” Qaseh sudah terduduk. Nafasnya seakan terhenti seketika.

“SUDAHLAH… jangan menangis lagi. Dah ajal Pussy… nak buat macam mana? Allah pinjamkan Pussy setakat itu aje,” pujuk Zafril. Seperti memujuk anak kecil. Belakang Qaseh digosok lembut. Qaseh masih teresak-esak dalam pelukannya. Dia tidak pasti kenapa Qaseh sedih sampai begitu sekali. Kata takut dan tidak suka kucing. Tetapi, bila dapat tahu Pussy sudah mati, meraung pula. Pelik betul! Tak faham la. Sudah mengalahkan Widad pula sedihnya.

Qaseh mendongak, memandang Zafril. “Kesian Pussy, kesian Widad… Mesti Pussy terseksa masa nak mati tu. Mesti Widad sedang bersedih sekarang ni. Widad sayang sangat dengan Pussy. Hilang sejam pun dia dah sibuk dan riuh mencari. Ini pulak hilang buat selama-lamanya.” Air mata masih meleleh laju. Dikesat dengan belakang tangan.

Kenapa Pussy main di tepi pool tu? Apa yang Pussy nampak? Bukan ada ikan pun dalam pool tu! Yang kolam ikan koi tu tak mahu pulak Pussy pergi melawat. Kan dah mati lemas. Degillah Pussy ni! Marah Qaseh dalam hati.

“Nak buat macam mana? Dah itu janji Allah. Abang nak buat CPR pada Pussy, tapi rasa macam tak sanggup je.” Zafril tergelak. Tidak dapat dibayangkan kalau dia membuat CPR pada Pussy.

Qaseh gigit bibir. Zafril dijeling tajam. Buat lawak la tu! Ingat lucu ke?

“Nasib baik Qaseh pun tak arwah sekali. Beria nak jadi Rescue 911. Nak jadi hero. Tapi boleh pulak tergolek jatuh dalam pool. Ingatkan pandai berenang… rupanya jenis campak batu terus tenggelam jugak.” Gelak Zafril masih bersisa. Separuh nyawanya terasa melayang bila melihat Qaseh yang tenggelam timbul dalam kolam tadi.

Itu belum lagi melihat Qaseh yang sudah tidak sedarkan diri. Lemah dan lembut kepala lututnya. Dia jadi takut. Takut nasib Qaseh seperti Pussy juga. Hesy! Minta simpang, Ya Allah. Dia belum mahu digelar duda. Menggigil badannya bila membuat CPR pada Qaseh. Kalaulah Qaseh tahu! Dia serius risaukan Qaseh. Dan tanpa dia sedar, jauh di sudut hati dia takut kehilangan Qaseh. Dia tidak sanggup hidup tanpa Qaseh.

“Awak…”

“Nasib baik hero cepat datang, tau! Lain kali kalau tak tahu berenang, jangan nak tunjuk pandai! Sedar diri sikit..” Zafril tergelak. Pucuk hidung Qaseh dicuit.

Qaseh tarik muka. Hesy, benci betul! Gelakkan orang pulak! Mentang-mentang dia pandai berenang. Nak berlagak. Sombong sungguh! Lepas ini pasti Zafril ada bahan untuk mengutuk. Bencinya!

“Dahlah… jangan menangis lagi. Kesian arwah. Arwah pasti sedih bila tahu ada orang menangis, meratap hiba kematiannya…” usik Zafril lagi. Qaseh ditarik ke dalam pelukannya sekali lagi.

Qaseh tidak menolak. Sekali lagi dia menangis. Sedih. Basah dada Zafril.

“Ya Allah… menangis lagi? Sudah-sudahlah tu…” pujuk Zafril. Dia tidak mampu menahan gelak. Yang sedih sangat ni kenapa? Gelaknya makin kuat.

Gelak Zafril yang agak kuat di tepi telinga menyedarkan Qaseh. Mengembalikan Qaseh ke dunia realiti. Terus dia jadi kaku dan keras dalam pelukan Zafril. Perlahan dia melonggarkan pelukan dan menjarakkan diri dari Zafril.

Wajahnya sudah memerah menahan malu. Ini kali kedua dia memeluk Zafril tanpa sedar. Semua gara-gara kucing jantan tu.

Zafril yang perasan dengan perubahan Qaseh hanya tersenyum. Dia tidak kesah pun kena peluk. Sebenarnya tadi, dia yang peluk Qaseh dulu sebab tidak sampai hati melihat Qaseh yang menangis teresak-esak melepaskan sedih. Dia mahu tenangkan Qaseh, bukan hendak ambil kesempatan. Qaseh pun macam tidak kesah saja bila dipeluk.

Qaseh diam. Mati kutu sekejap. Nak cakap apa ek? Tiba-tiba dia hilang idea. “Pussy dah tanam ke?” soalnya setelah keadaan sunyi agak lama.

“Dah. Acik yang tolong kebumikan. Abang dah jemput tok imam bacakan talkin sekali. Kenduri arwah pun dah buat lepas maghrib tadi.” Zafril berloyar buruk. Rasa seronok melihat wajah Qaseh yang malu-malu begitu. Comel sungguh!

Pak ngah kerek ni, kan! Ada jugak yang kena sekeh, kang. Orang tanya boleh jawab main-main pulak. Orang serius, tau! Qaseh menjeling geram. Di matanya bagai ternampak-nampak Pussy yang terkapai-kapai di dalam kolam renang. Seolah-olah meminta tolong. Ya Allah… kasihan Pussy.

Sukar mahu digambarkan rasa sedih ini. Walaupun dia tidak suka kucing, tetapi cara kematian Pussy memberi impak juga padanya. Dia lambat selamatkan Pussy. Kalau dia cepat, pasti Pussy tidak akan mati. Air mata meleleh lagi.

“Ya Allah, Qaseh… dah la tu! Jangan menangis lagi. Buat apa nak meratap hiba. Kang kering air dalam badan tu, asyik menangis je. Tahulah… tadi awak dah telan bergelen-gelen air kolam. Cukup untuk stok sebulan.” Zafril mengesat air mata di pipi Qaseh.

Qaseh ketap bibir. Geram. Zafril ini memang tidak ada perasaan agaknya. Tidak kasihankan Widad dan Pussy. Kenapa lelaki ini tidak reti sedih? Kering sungguh hatinya.

“Awak ni kejam tau!”

“Eh! Abang pulak yang dikatakan kejam. Yang kejam inilah jadi hero selamatkan Qaseh dalam pool tu, tau! Lepas ni abang haramkan Qaseh dekat dengan swimming pool tanpa kebenaran abang dan tanpa ada abang. Tak kira mana-mana swimming pool. No entry! Ingat sampai bila-bila. N-O E-N-T-R-Y!”

Bulat mata Qaseh. Amboi! Melampaulah tu!

Zafril tersenyum. Puas hati. Qaseh tidak tahu dia sudah macam orang hilang akal melihat Qaseh tenggelam timbul. Nasib baik Wafi cepat memanggilnya.

“Saya nak tengokkan Widad sekejap.” Qaseh bangun. Tidak tahu apa jadi dengan Widad dan Wafi.

“Dah malam, sayang. Cuba sayang tengok jam. Dah pukul berapa?” Zafril menuding jari ke arah jam berbentuk hati. Erk! Sayang? Ayaks! Macam mana boleh tersasul pulak ni? Lantaklah! Qaseh macam tidak perasan saja.

Qaseh menoleh. Sepuluh setengah malam. “Hah?” Biar betul! Mustahil sudah malam. Masa dia sibuk mencari Pussy tadi rasanya baru pukul sebelas pagi. Lamanya dia pengsan.

“Ingat abang tipu ke? Cuba tengok kat luar sana. Kan dah gelap tu… nak hujan lagi hah! Widad dan Wafi dah tidur sejak pukul lapan tadi. Mereka terlalu sedih.”

Qaseh memandang ke arah balkoni. Yelah! Dah gelap. Dia duduk di katil semula dan bermain dengan hujung lengan baju kelawar. Baju kelawar? Tiba-tiba Qaseh teringatkan sesuatu. Darahnya mula berderau. Jantung mula mengecut. Dia terus bangun dan berdiri tegak.

Zafril turut terkejut. Ini apa hal pulak?

“Siapa yang tukarkan baju saya?” Seingat Qaseh, pagi tadi dia memakai baju kurung. Tetapi sekarang ini, macam mana dia boleh memakai baju kelawar pula?

Zafril bangun dan pura-pura mencari tuala di dalam almari. Dia tidak menyangka Qaseh akan bertanyakan soalan itu. Mustahil hendak jawab Mak Leha, lagilah tidak menepati skema jawapan. Diakan suami. Sudah tentulah dia yang diberi mandat untuk tukarkan baju Qaseh.

“Kenapa?”

Hish! Orang tanya dia, dia tanya balik. “Siapa? Cakaplah!”

Zafril menoleh dan memandang Qaseh sepintas lalu. “Nak jawapan betul ke jawapan tipu?”

“Awak… cakaplah yang betul!” kejan Qaseh.

“Okey… kalau abang cakap, awak jangan pengsan pulak lepas ni.”

“Cakap jelah…”

“Dah tentulah kumbang awak. Kumbang awak tu kan suami awak, hero awak…” Zafril sudah melangkah laju ke bilik air. Saat ini mukanya sudah berbahang. Harap-harap Qaseh tidak perasan.

Hah? Qaseh sudah terduduk. Dia rasa hendak pengsan semula. Ya Allah… malunya! Comforter ditarik menutup muka. Oh, tidak!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73732/tulip-merah-untuk-dia