28 November 1996, Hospital Prima
PERLAHAN-LAHAN Jalani menolak daun pintu. Pintu yang tadinya sedikit terbuka, kini sudah terbuka luas. Dari jauh, dia dapat melihat susuk tubuh terbaring kaku di satu sudut ruang bilik stor yang sudah tidak digunakan lagi.
Darah merah yang sangat pekat juga sudah membasahi tubuh itu. Menandakan pemilik tubuh itu sudah kehilangan banyak darah. Jalani menelan liur dengan kepayahan. Kalau diikutkan dengan jawatan dipegangnya, sepatutnya dia sudah biasa melihat situasi sebegitu.
Tetapi, keadaan sekarang sangat berbeza berbanding kebiasaannya. Ini disebabkan dia kenal dengan tubuh terbaring kaku dan berlumuran darah di situ. Bukan setakat kenal. Sebaliknya, lebih dari itu. Itulah orang yang sudah membuatkan hatinya selalu tidak tentu arah, andai kata tidak bersua muka walau sehari.
Malah, dia juga kenal dengan susuk tubuh yang kelam-kabut melangkah keluar dari bilik stor tadi. Orang yang sama itulah berkongsi tempat tidur dengannya.
Jalani teragak-agak untuk melangkah. Dia dalam dilema. Mahu memilih isterinya ataupun kekasih hatinya? Anak matanya sedari tadi terarah tepat pada tubuh kaku Sutinah di situ. Sudahnya dia nekad. Keputusan sudah dibuat. Dia memilih untuk mendapatkan kekasih hatinya berbanding isterinya sendiri. Yang sudah kelam-kabut melarikan diri entah ke mana.
“Sutinah! Sutinah sayangku!” jerit Jalani saat kakinya melangkah ke arah Sutinah.
Dengan tangan menggigil, dia cuba untuk menyentuh raut wajah Sutinah yang sudah dibasahi dengan darah merah. Ternyata, teruk sekali Sutinah dikerjakan Rosnah.
“Sutinah! Sutinah! Sutinah!” jerit Jalani sambil menggoyang-goyangkan tubuh kaku milik Sutinah.
Kaku! Tiada balasan daripada Sutinah.
“Sutinah, sayang! Bukalah mata kau. Tolong… jangan tinggalkan aku sendiri di sini,” rintih Jalani pula.
Jemarinya juga sudah mula mengusap lembut wajah kaku dan pucat milik Sutinah. Darah merah dan pekat yang sedari tadi membasahi wajah Sutinah, sedikit pun tidak dihiraukannya. Dalam kepalanya sekarang hanyalah fikirkan keadaan Sutinah sahaja. Seperti tadi, tiada balasan daripada Sutinah yang terbaring kaku di situ.
“Sutinah, sayangku….”
Perlahan-lahan, kelopak mata Sutinah mula bergerak-gerak di situ. Seakan mendengar rayuan bertali arus daripada Jalani di sisinya ketika itu.
“Dok… doktor…” ujar Sutinah dalam kepayahan.
Wajah pertama yang menyapa pandangannya ketika itu ialah Doktor Jalani. Orang yang menjadi penyebab dia diperlakukan sebegitu rupa.
“Sutinah…” seru Jalani buat sekalian kalinya.
Bibirnya sudah mengukir senyuman apabila melihatkan Sutinah sudah membuka matanya. Paling melegakan hatinya, apabila Sutinah kenal akan raut wajahnya itu.
“Tolong… se… lamatkan… saya…”
“Selamatkan?”
“To… tolong… saya… doktor…” rayu Sutinah dalam kepayahan.
Sutinah tiada pilihan lain. Untuk terus hidup, dia terpaksa merayu agar diselamatkan. Walaupun pada orang yang menjadi penyebab semua itu berlaku padanya.
Serentak itu, air muka Jalani sudah berubah rentak. Tiba-tiba sahaja dia teringatkan pergaduhan di antara Sutinah dan Rosnah sebentar tadi. Perdebatan di antara keduanya, yang secara tidak langsung turut didengarinya.
“Kalau Doktor Jalani kau maksudkan, aku rasa kau dah salah faham. Aku dengan dia tak ada apa-apa,” balas Sutinah. Tetap juga kedengaran tenang seperti tadi.
Tanpa mereka berdua sedari, Jalani turut berada di situ. Secara tidak sengaja Jalani juga terdengar perdebatan di antara Sutinah dan Rosnah. Jalani menyentuh dadanya yang tiba-tiba sahaja terasa nyeri seperti ditusuk sembilu sangat tajam.
“Tak ada apa-apa? Hei! Kalau benar macam kau cakapkan, kenapa dia sanggup buang aku dan anaknya?” bentak Rosnah, kuat!
“Itu… aku tak tahu…”
“Senangnya kau cakap, kan? Yang tanggungnya, aku dengan anak aku. Dia masih lagi kecil dan tak tahu apa-apa. Tapi, sudah dibuang papanya sendiri kerana perempuan tak tahu malu macam kau!”
“Hei! Cakap tu baik-baik sikit ya. Jangan tuduh tanpa sebarang bukti!” marah Sutinah.
Nada suaranya juga meninggi apabila mulut cabul Rosnah selamba sahaja menuduhnya dengan gelaran hina sebegitu.
“Bukti? Bukti apa lagi kau nak? Mata dan telinga aku ni sendiri yang menjadi saksinya. Aku dengar, nama kau disebut-sebut Jalani. Dan aku pernah lihat, Jalani berjumpa dengan kau.”
Jalani dapat mendengar Sutinah mengeluh.
“Bukan itu yang berlaku…”
Dada Jalani sudah berdebar hebat bila Sutinah memulakan bicara. Risau! Jika pertemuan rahsianya dengan Sutinah diketahui Rosnah. Teruk dia nanti!
“Tapi… ya, aku mengaku memang aku pernah jumpa dengan Doktor Jalani…”
“Hah! Akhirnya kau mengaku jugak. Kan senang kalau dari awal lagi kau mengaku begitu!” pintas Rosnah pantas. Seakan itu dinantinya sedari tadi.
“Ya, aku mengaku Doktor Jalani pernah meluahkan perasaannya pada aku. Tapi, tu tak bermakna aku jugak punya rasa yang sama padanya.”
“Maksud kau apa?”
“Aku tak cintakan dia. Aku tak cintakan Doktor Jalani seperti yang kau sangka. Cinta hatiku hanya untuk Abang Andika seorang aje. Tak pernah sekalipun aku beri cinta hati aku pada orang lain,” akui Sutinah tanpa ada rasa malu.
Andika? Siapa pula tu? Soal hati Jalani sendiri.
“Maksud kau… memang Jalani ada hati pada kau? Tapi, kau tak pernah ada perasaan sama padanya?”
“Ya. Itu yang aku jelaskan pada Doktor Jalani. Bukan sekali, tapi berkali-kali aku jelaskan perkara yang sama pada dia. Tapi dia tetap tidak mahu mengerti. Malah, dia pernah cakap untuk buang keluarganya demi membuktikan cintanya pada aku. Aku… aku tak tahu dia betul-betul lakukannya.”
Jalani merasakan hatinya seakan-akan dipijak oleh Sutinah. Bukan sekali malah berkali-kali. Sakit! Hanya DIA saja yang tahu. Kejamnya Sutinah! Sanggup dia memperlakukan aku sebegini rupa. Walhal, aku sanggup buang keluarga aku semata-mata mahu bersama dengan dia. Sebagai tanda cinta aku padanya betul. Tidak pernah main-main dalam kata-kataku selama ini. Hati Jalani terus mengomel.
Seketika kemudian, Rosnah menggeleng.
“Kau tipu!”
“Untuk apa?”
“Kau tipu aku! Kau memang penipu!” tempik Rosnah kuat.
Pap!
Jalani tersentak, apabila tangan Sutinah yang dibasahi dengan darah merah jatuh di atas pahanya.
Perdebatan di antara Sutinah dan Rosnah yang sedari tadi bermain di benaknya turut menghilang entah ke mana. Yang ada di hadapannya sekarang ini ialah Sutinah yang kelihatan lesu tak bermaya.
“To… tolong selamatkan saya doktor…”
“Selamatkan kau? Untuk apa?”
Serentak itu, Jalani bangkit dari terus duduk berteleku di sisi Sutinah.
“Doktor…”
“Kau tak pernah cintakan aku. Jadi, untuk apa aku mesti selamatkan kau?” soal Jalani lagi.
Waktu itu, Jalani bukan lagi bercakap atas nama dan tanggungjawab sebagai doktor. Tapi, sebagai seorang lelaki bernama Jalani. Yang mendahulukan rasa hatinya terlebih dahulu berbanding keselamatan orang lain.
“Doktor ca… kap apa ni?” soal Sutinah dalam kepayahan.
Walaupun dalam keadaan menanggung kesakitan sebegitu rupa, air muka Sutinah juga berubah rentak dengan soalan Jalani itu. Dia seperti dapat menduga ada sesuatu yang sedang mengganggu hati dan perasaan Jalani ketika itu.
“Oh ya. Aku terlupa kau dah ada kekasih hati. Hmm… apa namanya? Andika? Kenapa kau tak panggil dia aje untuk selamatkan kau?” ujar Jalani sinis.
Dia sudah dipengaruhi api cemburu bila teringatkan pengakuan dibuat oleh Sutinah sebenar tadi. Ya! Dia dengar dengan jelas pengakuan Sutinah. Dirinya tidak pernah dicintai Sutinah.
Sebaliknya, dia hanya bertepuk sebelah tangan saja. Dia saja yang bodoh dan tergila-gilakan Sutinah. Hingga nekad untuk meninggalkan keluarganya sendiri demi Sutinah. Tetapi, Sutinah? Sudah ada lelaki lain dalam hidupnya. Lelaki yang langsung tidak pernah dia ketahui akan kewujudannya.
Sutinah diam. Tiada sebarang kata meniti di bibirnya.
“Jawablah! Kenapa kau diam aje?” desak Jalani pula.
Dia tidak senang melihatkan Sutinah begitu seakan-akan mengiakan kata-katanya sebentar tadi.
“Aku tak cintakan Doktor Jalani seperti kau sangka. Cinta hatiku hanya untuk Abang Andika seorang aje.”
Kata-kata Sutinah itu mula terngiang-ngiang di tepi telinga Jalani.
“Diam! Diam! Aku cakap diam!” jerit Jalani kuat.
Serentak itu juga, dia menendang meja dan kerusi lama yang turut berada di dalam bilik stor lama itu. Dia cuba untuk mengusir kata-kata yang sedari tadi bermain di tepi telinganya. Hati Jalani menjadi panas dek kerana dibakar dengan api cemburu yang semakin meluap-luap setiap kali nama lelaki lain meniti di bibir kekasih hatinya.
Kejamnya Sutinah. Mempermainkan cinta hatinya yang benar-benar ikhlas terhadap Sutinah. Tetapi, ini pula dibalas Sutinah. Sutinah yang terbaring lesu di situ juga sudah mula berasa berdebar melihatkan perubahan begitu ketara pada Jalani.
Walau dalam keadaan tidak bermaya, dia tetap berusaha untuk bangun. Tetapi, usahanya gagal apabila dia terjatuh walaupun sudah berkali-kali dia mencubanya. Jalani yang sebentar tadi menggila, turut menoleh ke arah Sutinah.
“Kau nak ke mana Sutinah?”
“To… tolong saya doktor…”
“Untuk apa? Untuk kau menghabiskan hidup kau dengan kekasih hati kau, itu maksud kau?”
“Saya sakit.”
“Aku pun sakit, Sutinah! Tapi, kau tak pernah nampak dan kau tak pernah tahu!” bentak Jalani kuat.
Serentak itu, Jalani menghentak kuat pada pintu almari. Berdentum bunyinya. Sutinah semakin ketakutan melihatkan Jalani menggila buat kali kedua.
“Dasar sundal Sutinah!” bentak Jalani.
Anak matanya sudah terarah tepat pada tubuh Sutinah yang sedari tadi terbaring lesu di situ.
“Oh ya. Agaknya, baru sekarang aku faham kenapa orang panggil kau dengan gelaran sebegitu. Sebab kau memang tak tahu malu! Kau tak pernah puas dengan satu jantan, kan?”
Air muka Sutinah berubah rentak mendengarkan kata-kata Jalani itu.
“Doktor… cakap apa ni?”
“Sekarang, kenapa kau tak layan aku aje? Baru sesuai dengan gelaran yang kau pegang, kan?”
Anak mata Jalani sudah mula meliar memerhatikan tubuh Sutinah. Setiap sudut tubuh Sutinah, seakan diratah sepuas-puasnya dengan pandangan mata bernafsu ganas. Dadanya juga sudah mula berombak kuat. Menahan gelora nafsu yang sedang menggila ketika itu.
Dalam terkial-kial, Sutinah berundur ke belakang. Walau dalam keadaan begitu, dia tetap cuba untuk mempertahankan maruahnya daripada diragut Jalani. Sekilas pandang, lagak Jalani itu seperti sudah dihasut syaitan yang bertuankan nafsu serakah.
“Kau milik aku, Sutinah! Milik aku!” jerit Jalani kuat.
Jalani terus saja menerkam ke arah Sutinah. Sudah tidak sabar untuk meratah tubuh milik Sutinah yang masih dalam keadaan lemah dan tidak bermaya di situ. Tubuh yang sudah lama diidamkan siang dan malam. Padanya, itu peluang tidak mungkin datang buat kali kedua.
“Tolong jangan a… apakan saya…” rayu Sutinah dalam suara yang hampir-hampir tidak kedengaran.
Jalani yang bagaikan sudah dirasuk syaitan, langsung tidak mengendahkan rayuan Sutinah. Nafasnya semakin turun naik mengikut rentak amukan nafsu syaitan sedang mengganas ketika itu. Tangan kasar milik Jalani sudah menjalar ke seluruh tubuh Sutinah.
Sutinah cuba melawan. Tetapi, Jalani lebih cepat bertindak dengan mencengkam erat kedua-dua belah tangannya. Senyuman di bibir Jalani semakin melebar apabila melihatkan Sutinah sudah tidak mampu untuk menghalang segala tindak tanduknya lagi.
Air mata Sutinah gugur, mengenangkan usahanya untuk mempertahankan maruahnya akan tewas di tangan Jalani sekejap masa lagi.
Ketika Jalani sedang asyik meratah seluruh tubuh Sutinah, tiba-tiba sahaja Sutinah seolah-olah mendapat tenaga untuk meloloskan tangannya daripada pegangan Jalani. Jari-jemarinya mula meraba-raba kawasan sekitar, tercari-cari sesuatu untuk dijadikan senjata dalam melawan nafsu syaitan Jalani. Tangannya terasa berjaya mencapai sesuatu! Tanpa membuang masa, kepala Jalani dihentak dengan kuat.
“Dasar perempuan sundal!” tempik Jalani kuat.
Seiring dengan itu, satu tamparan kuat dilepaskan tepat pada wajah Sutinah. Sutinah rebah buat sekalian kalinya. Jalani kembali menggila. Nekad! Tidak akan ada lelaki lain yang boleh merampas Sutinah daripadanya.
Sutinah tetap melawan, walaupun dalam keadaan dirinya sudah dicederakan oleh Rosnah. Jalani yang sudah menggila, terus sahaja menampar wajah Sutinah berulang kali. Dia mahu Sutinah berasa sakit. Sebagaimana dia berasa sakit diperbodohkan oleh Sutinah.
Sesaat kemudian, gerakan tangan Jalani terhenti. Bagaikan baru sahaja terlepas daripada hasutan syaitan yang bertuankan nafsu serakah semata-mata. Sutinah pula sudah tidak lagi menjerit dan meronta. Dia hanya kaku. Langsung tidak bergerak.
Jalani kaget. Spontan, dia melepaskan tubuh Sutinah dan terus bangkit dari situ. Anak matanya tetap juga terarah tepat pada Sutinah yang sudah dikerjakan sebentar tadi.
Pakaian seragam yang tersarung di tubuh Sutinah juga sudah tidak sempurna lagi. Ada bahagian yang sudah menampakkan kulit milik Sutinah.
“Su… Sutinah?”
Jalani semakin menggelabah apabila melihatkan Sutinah sudah diam tidak berkutik di situ. Nafasnya juga sudah mula tidak menentu. Kepala otaknya juga kosong. Dia bingung. Tidak tahu apa harus dilakukan dalam waktu sekarang.
Jalani mahu memeriksa nadi Sutinah, tetapi tenggelam dengan perasaan takut yang melebihi daripada segalanya. Takut, kalau-kalau Sutinah sudah tidak bernyawa lagi.
Serentak itu juga, dia melihat masa depannya sudah menjadi gelap. Semuanya disebabkan perempuan sundal Sutinah itu!
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96005/sumpah-sundal-sutinah