[SNEAK PEEK] SELAMAT MALAM KEKASIH

Selamat Malam Kekasih Oleh Aina Emir

 

BERLAGU-LAGU telefon bimbitnya memberi isyarat ada pesanan teks yang masuk. Sepasang mata coklat hazelnya diredupkan seraya memandang skrin dan dengan perlahan-lahan membaca mesej yang tertera.

Salam tuan puteri, maaf mengganggu.

Jika tuan puteri dah bersedia untuk lena,

tolong mimpikan hamba ya.

‘Isy dia ni…’ rungut hati kecilnya, ‘macam tak ada kerja lain, siang malam asyik hantar mesej kat aku.’ Pun begitu, bibirnya tetap menguntumkan senyuman. Entah mengapa, walaupun tidak suka, pesanan itu masih mampu mengusik perasaannya. Mungkin dia masih seorang wanita yang belum beku dan kaku jiwa raganya.

Sungguh dia rimas, namun dia tidak sampai hati untuk tidak melayan. Bukannya apa, kerana nun jauh di lubuk hati, tertera perkataan ‘KOSONG’ yang sedang tergantung di ruang itu. Dia tahu, kehadiran sang arjuna sekadar menghiburkan sahaja. ‘Tak ada apa-apa makna pun. Sekadar suka-suka saja. Apa salahnya?’ Itulah yang bermain di benaknya.

Esok tuan puteri buat apa?

Soal lelaki itu lagi selepas mendapat balasan daripada Maya Kamilla. Jawapan yang sekadar ber-bahasa sahaja.

Kenapa tanya?

Balasnya pula.

 Boleh kita jumpa?

Soalnya lagi. 

 Kan saya dah kata, tak boleh.

Malah, sudah berpuluh-puluh kali dia kata begitu. ‘Isy, tak faham bahasa!’ gumam hatinya. Tetapi masih juga dia melayan.

Sekali aje. Tak apalah…

Please, tuan puteri…

Rayunya, tanpa mahu berputus asa.

Sudah berkali-kali dia bertanya perkara yang sama dan sudah berkali-kali juga Maya memberi jawapan yang serupa. Sampai lelah dibuatnya. Tapi sang arjuna tetap mengharap.

‘Barangkali dia ni jenis degil, atau mungkin jenis tak tahu nak ‘give up’.’ Desis hati kecilnya. ‘Itulah, aku yang gatal sangat melayan dia. Padan muka aku!’ ngomel hatinya lagi, seraya tersenyum kelat seorang diri. Sambil berbaring di atas katil besi yang dihiasi serba putih krim, dia mula melamun. Bidai Austria berwarna kuning air sudah dilabuhkan, menutup segala cahaya dari luar. Memang tidak disangkalnya ini adalah kesalahan dirinya sendiri. Entah kenapa, dia tidak tahu, kerana sebelum ini tidak pernah dia buat begitu. Dia terlalu berjaga-jaga, malah bukan senang untuk dirinya melayan sesiapa sahaja.

Hatinya dah lama membeku hampir jadi batu.

Pun begitu, bukanlah dia tidak suka kepada jejaka itu, namun terlalu banyak rintangan yang terpaksa dipatuhi. Senang cerita, sang arjuna bukan lelaki yang boleh dijadikan pilihan. Tak cukup ‘mata’ yang boleh dipungutnya. Malah dia memang tidak sesuai buat Maya Kamilla, sekalipun dia tidak menafikan yang lelaki itu ada rupa yang boleh menggugatkan ketenteraman jiwa. Bukan sekadar rupa, tetapi suaranya juga.

Tetapi… alahai, sayangnya. Keadaan tidak menyebelahi mereka. Banyak lagi perkara yang tak mampu menyamakan kedudukan mereka. Malangnya, lelaki itu tak pernah tahu. Hanya Maya Kamilla sahaja yang mampu mengatur alasan-alasannya.

SEMALAM, dia telah dikejutkan. Entah kenapa, tetapi cerita pendek yang dibacanya melalui sebuah blog membuat dia terkedu dan terkaku. Bagaikan satu mimpi yang mengerikan. Terlalu banyak persamaan. Kisah orang ‘gila’ yang bercinta sakan. Pelik, tetapi benar.

Anggun pernah bercinta dengan rakan sekolahnya, Bobby. Selama tujuh tahun mereka bermadu kasih dan sedang bersiap untuk mendirikan rumah tangga. Keesokannya, Bobby sepatutnya datang ke rumahnya untuk melamar Anggun. Dia berdebar-debar menantikan saat pinangan Bobby. Namun lewat petang itu, adik Anggun, Adi memberitahunya, “Kak Anggun, ada kecelakaan.”

Bobby kemalangan dan disahkan meninggal dunia. Mulai saat itu, Anggun bagaikan orang sasau yang terus hilang pedomannya.Tidak tahu arah dan telah mati semangatnya. Namun, Anggun tak mampu menangis, sekadar tak berupaya untuk melupakan Bobby, cinta hatinya itu. Saban hari, itulah yang Anggun lakukan. Ke pusara Bobby, seolah-olah Bobby mendengar semua rintihan hati.

Dipendekkan cerita, setelah bertahun-tahun lamanya, ada seorang lelaki yang ‘tergila-gila’kan Anggun pula. Dewa namanya. Puas Dewa memujuk Anggun untuk menerimanya. Akhirnya Anggun bersimpati, namun dia menetapkan syaratnya. Kalau Dewa betul-betul mencintainya, maka Dewa harus juga ke pusara Bobby, meminta izin Bobby untuk keluar bersamanya.

Itulah yang mereka lakukan buat sekian lama. Apa sahaja yang mahu dilakukan, izin Bobby di pusara adalah satu kewajipan. Hinggalah ke saat pernikahan mereka berdua, Bobby sentiasa ada sama. Sebaik sahaja menikah, di sudut meja kecil yang menghiasi kamar tidur Anggun dan Dewa, ada terselit gambar Bobby sama.

Kini, Anggun sudah punyai dua orang cahaya mata bersama Dewa, namun nun jauh di lubuk hatinya, Bobby masih tersemat ada.

Ngilu hati Maya membacanya, sebuah kisah benar yang datang dari negara seberang sana. Mengerikannya. ‘Kisah cinta orang yang terlalu obsesi,’ itulah kata hatinya. ‘Tetapi aku tak bersedia untuk jadi sepertinya. Minta ampun ya Tuhan…’

Sungguh dia pernah kecewa, pernah terasa sakit, tetapi dia juga tahu dia tidak boleh mematikan rasa buat selama-lamanya sebagaimana Anggun menyerahkan jiwa raga kepada Bobby.

AIN SURAYA tidak faham dengan apa yang ada di benak Maya Kamilla. Kata tak suka tetapi ada-ada sahaja tentang U.M. yang ingin disoalnya.

“Eh, Ain… dia tu belajar kat mana? Betul ke UIA?” Walaupun Ain sudah mengesahkannya, Maya bagaikan tak puas hati, masih bertanya lagi.

“Kalau kau dah suka dengan dia… layan ajelah, mak cik oi.”

“Mana boleh. Dia dengan aku, kami tak samalah.”

“Maya… nak muntahlah aku dengar cakap kau ni. Kalau tak sama, yang kau tak habis-habis tanya pasal dia tu, buat apa?”

“Saja tanya.”

“Sewel betul lah kau ni.”

“Ini… semuanya pasal kau lah ni. Kalau tak, tak adalah aku jumpa mamat tu dulu.”

“Aku pulak!” Protes Ain. “Tapi apa masalah kau, Maya? Tak ada apa-apa yang tak kena dengan mamat tu. Cute nak mampus, dah tu suara dia lagi… kau nak apa lagi ni?” Mulut Ain yang agak ‘laser’, tak pernah kisah dengan apa yang diucapkan.

“Eh kau ingat, asal cute aje, okey ke? Asal suara jantan aje, okeylah? Eh, Ain… dia tak tahu apa-apa pasal aku. Kalau dia tahu mungkin dia pun
tak nak kat aku ni. Lagipun…”

“Kau ingat kita duduk di zaman batu ke? Orang sekarang bukannya macam dulu tau.”

“Dia bukan macam aku. Aku pun tak macam dia.”

“Yalah, kau perempuan, dia jantan!”

“Isy, kalau perempuan, lawannya lelaki. Kalau jantan, lawannya betina. Kau nak bercakap, tapi bahasa pun tak betul. SPM kau

dulu, BM dapat berapa?” jawab Maya sambil mengusik Ain.

“Aku kata dia jantan, sebabkan suara dia yang seksi tu.”

“Weh, seksi-seksi ni, jangan sebut. Aku tak suka. Gerun.”

MASIH lagi dia berbaring di atas katilnya sambil berkhayalan. Matanya sekali-sekala menyorot kepada lukisan abstrak yang tergantung di bahagian tepi dinding, yang berlatar rona kuning tanah, bercorak hitam putih dan hijau. Lukisan itu hadiah seorang teman bernama Fidalina.

Memorinya kembali kepada petang itu, petang yang tidak ada kena-mengena dengan lukisan di dinding tetapi yang membawa pertemuannya dengan sang arjuna.

Hujan renyai-renyai, namun lembayung jingga terasa menyengat, dan dia terpaksa berhenti di stesen minyak yang berdekatan. Kebetulan, sememangnya dia perlu mengisi tangki minyak keretanya. Walaupun belum kering, dia akan mengisinya, sudah menjadi tabiat tidak suka melihat tangki minyak kurang daripada separuh. Maya juga bercadang untuk membeli minuman jus oren. Sekalipun hari tidaklah terik, terasa dahaga pula tekaknya.

Dia tergopoh-gopoh cuba elak dari hujan dan ketika membuka pintu masuk stesen minyak itulah dia terserempak dengan sang arjuna. Mujurlah dia tidak jatuh tersungkur dan semestinya bukan salah lelaki itu pun. Maya yang kelam-kabut sangat hinggakan tak perasankan sang arjuna yang sedang menarik pintu yang sama untuk keluar!

“Allahuakbar!”

“Maaf… saya tak sengaja.” Kata lelaki itu agak menggelabah juga.

Mungkin kerana terkejut, Maya tidak memandangnya. Ketika itu Ain Suraya betul-betul berada di belakangnya. “Weh, orang tu mintak maaf,
kau boleh buat dek aje? Isy… apalah kau ni!”

“Iyalah… aku terkejut! Nasib baik tak bertemu hidung tadi.”

“Merepeklah kau ni! Mamat tu tinggi apa. Mana boleh berlaga hidung dengan kau.”

Maya tergelak kecil lalu terus sahaja membuka peti sejuk untuk mengambil jus oren berjenama Twister kegemarannya. “Kau nak satu tak, Ain?”

“Aku nak air soyalah, tak nak jus oren.”

Maya mengambil minuman untuk Ain pula. Seketika kemudian dia ke kaunter untuk membuat pembayaran. Ketika itulah dia ternampak lelaki itu lagi. Dia sedang berdiri tidak jauh daripada Maya, tetapi di balik dinding cermin stesen minyak. Dia sedang berdiri tercegat bagaikan seorang dewa. Ketika itu, sang arjuna a.k.a. sang dewa, sudah pun memakai jaket kulit hitam. Maya cuba memandangnya.

Tadi, memang dia tidak perasan akan rupanya, tetapi kini…

Rambutnya agak panjang, menyentuh bahu. Di bahagian depan pula, rambutnya menutup sebahagian besar dahinya, hampir menutup juga kening. Dagunya mempunyai ‘goatee’ atau janggut ‘ala-ala kambing gurun’ tetapi tanpa sebarang misai dan mempunyai ‘sideburn’ yang tipis memanjang, ala-ala penyanyi rock. Dia kelihatan tampan dan menarik, tentunya menarik perhatian kaum Hawa yang berlalu-lalang di tempat itu.

Berkali-kali juga Maya perasan yang gadis petugas di kaunter itu turut mengintai-intai kepadanya. Dan tentu juga ‘mamat’ itu tahu mata-mata yang sedang memandangnya!

‘Isy, perasan!’ Dia menggumam dalam hati, ‘tapi, apa hal pulak aku pun sama gedik ni?’

“Maya… kau nampak tak mamat tadi tu?” Ain Suraya menyoalnya.

“Mamat mana?” Maya buat-buat bodoh.

“Yang kau rempuh tu lah…”

“Isy, mana pulak aku yang rempuh!” jawabnya selamba. “Hah, kenapa dengan dia?”

“Tu ha… kat luar tu.”

Sekali lagi Maya memandangnya. Maya di dalam dan lelaki itu masih di luar dinding cermin. Ketika itulah sang dewa merenung kepadanya dan hampir merentap jantungnya dan dengan tidak sengaja (atau mungkin memang betul kata hatinya yang dirinya agak ‘tergedik’ sama) Maya sudah melebarkan senyuman seolah-olah dia memang mengenalinya.

Pemuda itu turut membalas senyum.

‘Ewah, ewah… macamlah aku kenal dia!’

“Maya, kau buat apa ni? Kau… kau mengurat dia ke?” bisik Ain Suraya.

“Isy, mana ada…” Maya buat selamba lalu keluar mengikut pintu di sebelah kanan stesen dan terus menghala ke keretanyauntuk mengisi minyak. Ketika itu, dia betul-betul rasa bersalah.

Pun begitu, sempat lagi dia mengerling kepada sang dewa yang kini sudah pun berada di atas motosikal Kawasaki Ninja 250nya yang berwarna putih, sedang bersedia untuk bergerak meninggalkan stesen minyak itu. Sang dewa a.k.a. sang arjuna tidak melihat kepadanya.

Handsome kan mamat tu?” ulas Ain Suraya yang berdiri tercegat di sebelah Maya.

“Alah, biasa aje… mat rempit lagi!” Maya tergelak kecil.

“Macamlah aku tak nampak mata kau tadi! Eh… motor dia tu bukan rempitlah! Itu motor ninja tau!” Ain tergelak.

“Eleh, macamlah aku heran sangat. Mamat rempit ada jugak yang bawak ninja apa. Kalau aku tengok dia pun, bukannya sebab dia handsome ke tidak… sajalah aku nak tengok.” Maya buat-buat tak faham sambil terus mengisi minyak. ‘Mamat’ tadi sudah pun berlalu pergi, laju dengan motosikalnya itu.

“Eh, cepatlah… nanti lambat pulak. Kita nak singgah rumah aku, lepas tu kita nak pergi tengok konsert tu lagi.”

“Iyalah, aku nak cepatlah ni!”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/191/selamat-malam-kekasih