[SNEAK PEEK] SAKITNYA HATI AKU!

SAKITNYA HATI AKU! Oleh Ebriza Aminnudin

QISHA Mirza bersalaman dengan Puan Nazrah, Fariq Hazen, Isfaten dan sebuah ciuman singgah di pipi Aufa sebaik sahaja pulang ke rumah selepas tamat berkursus di Pantai Port Dickson.
“Qisha naik dulu ya. Nak mandi,” ujar Qisha Mirza, terus meminta diri untuk ke bilik.
Wajah Qisha Mirza yang murung dan muram dapat dikesan ahli keluarganya. Dia memang tidak pandai menyembunyikan perasaan. Apa yang dirasakan hatinya, itulah yang terpancar pada raut wajahnya. Bukan sahaja Puan Nazrah, Fariq Hazen dan Isfaten juga turut kehairanan. Mereka yakin, Qisha Mirza sedang menghadapi masalah yang cukup berat.
“Kenapa Qisha muram aje, umi? Ada yang tak kena ke?” soal Fariq Hazen sambil memandang Puan Nazrah.
“Entahlah, umi pun tak tahu. Sebelum dia pergi kursus hari tu, ceria aje mukanya. Tapi bila balik aje macam orang baru lepas menangis pulak. Risau pulak umi tengok keadaan dia. Qisha yang umi kenal tak pernah bermuram macam ni,” luah Puan Nazrah.
“Betul jugak. Selalunya kalau dia balik dari kursus, dari jauh lagi dah dengar suaranya. Tapi kali ni, kita pun tak perasan bila dia balik. Nampak wajah dia macam tak ceria aje,” ujar Fariq Hazen, mula risau.
“Cuba kamu pergi tengok adik kamu tu, Hazen. Manalah tahu, dia betul-betul ada masalah,” arah Puan Nazrah.
“Tak apalah umi, biar Isfa aje yang tengok. Manalah tahu kut-kut masalah perempuan,” ujar Isfaten cepat-cepat menawarkan diri sebelum suaminya mengangkat punggung dari atas sofa.
“Baiklah. Nanti kalau ada apa-apa ceritakan kat kami. Risau betul umi,” pinta Puan Nazrah.
Isfaten tidak membuang masa lalu mengatur langkah menuju ke bilik Qisha Mirza yang terletak di tingkat atas. Baru sahaja hendak memulas tombol pintu bilik Qisha Mirza, tiba-tiba telinganya mendengar Qisha Mirza sedang berbual dengan seseorang di talian. Nada suara gdis itu kedengaran begitu kasar. Pada pengamatan Isfaten, adik iparnya itu jarang bercakap kasar apabila berbual di telefon.
“Saya okey aje. Tak perlulah awak bimbang. Jaga diri awak cukup. Tahulah saya jaga diri sendiri. Saya bukannya budak-budak lagi yang boleh awak lakukan sesuka hati. Awak ingat saya ni tak berpelajaran ke nak ambil tindakan yang boleh binasakan diri sendiri? Saya takkan rebah kerana awak, okey. Saya nak rehat. Assalamualaikum.”
Begitulah perbualan Qisha Mirza yang sempat didengari Isfaten. Sebenarnya Fulshan menelefon Qisha Mirza sekadar hendak bertanya khabar gadis itu. Manalah Qisha Mirza tidak melenting. Walaupun hatinya masih sakit, namun dia tidak akan melakukan tindakan bodoh yang akan mencederakan dirinya. Untuk apa dia rebah kerana cinta? Qisha Mirza bukanlah seorang yang mudah mengalah dengan ujian hidup. Dia hanya berserah kepada ALLAH. Hanya pada ALLAH sahaja satu-satunya tempat untuk dia mengadu.
Dia ingat aku tak boleh jaga diri sendiri ke? Apa dia ingat dia tu hebat sangat sampai aku nak korbankan diri aku kerana dia? Maaflah, aku bukannya sebodoh tu untuk melakukan sesuatu yang di luar jangkaan. Aku masih ada pegangan agama. Boleh jalanlah dengan Fulshan. Menyakitkan hati betul, getus Qisha Mirza. Hatinya benar-benar terbeban.
Dengan siapa dia berbual tadi? Kenapa nada suaranya lain macam? Qisha dilanda masalah ke? Tak selesai-selesai lagi? Doa yang aku ajar tu tak berkesan ke? Isfaten bermonolog dengan diri sendiri. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan raungan kuat Qisha Mirza. Isfaten tidak membuang masa lalu meluru masuk ke dalam bilik Qisha Mirza.
Qisha Mirza terperanjat apabila Isfaten tiba-tiba meluru masuk ke dalam bilik.
“Kenapa ni, Qisha? Kenapa meraung macam ni?” soal Isfaten sambil mengurut-urut belakang Qisha Mirza.
Qisha Mirza semakin kuat meraung. Dia sudah tidak dapat menahan perasaan yang membeku dalam jiwanya. Terlalu perit untuk dia mengharunginya seorang diri.
“Qisha, janganlah macam ni. Cuba ceritakan kat Kak Isfa. Manalah tahu Kak Isfa dapat tolong Qisha. Ya, dik?” pujuk Isfaten.
Sementara itu di tingkat bawah, Fariq Hazen, Aufa dan Puan Nazrah begitu terkejut mendengar raungan kuat yang yang datang dari bilik Qisha Mirza. Mereka semua saling berpandangan.
“Mak ucu menangis ke, papa?” soal Aufa.
“Qisha memang tengah menangis tu, Hazen. Jom kita tengok. Entah apa pulak yang jadi kat dia,” ajak Puan Nazrah, sudah bangun dari tempat duduk.
Pilu hatinya mendengar tangisan anak gadisnya.
“Jom, umi. Entah apa pulak yang dah jadi kat Qisha kali ni,” ujar Fariq Hazen, turut risau mendengar tangisan Qisha Mirza sebegitu rupa.
“Kenapa ni, Qisha? Apa dah jadi?” soal Puan Nazrah, meluru masuk ke dalam bilik Qisha Mirza bersama-sama Fariq Hazen dan Aufa.
Qisha Mirza tidak mampu bersuara. Dia masih menangis dan terus menangis.
“Qisha, masalah takkan selesai dengan hanya menangis. Cuba ceritakan kat kami apa sebenarnya yang telah berlaku?” soal Fariq Hazen.
“Ada kena-mengena dengan kursus yang Qisha pergi ke? Janganlah diam macam ni, Qisha. Kami semua risaukan Qisha dan ambil berat pasal Qisha,” pujuk Isfaten.
“Betul tu, Qisha. Jangan anggap Qisha hadapi masalah ni seorang-seorang selagi Qisha masih ada umi, along, Kak Isfa, Kak Rahiz dan Abang Shaidin. Kami semua sedia membantu Qisha. Ceritalah kat kami, nak,” pujuk Puan Nazrah pula.
“Aufa pun ada untuk mak ucu jugak,” sampuk Aufa, tiba-tiba bersuara apabila Puan Nazrah tidak menyebut namanya.
“Oh ya. Nenek lupa sebut nama Aufa. Ya, Aufa pun ada untuk bantu Qisha,” ujar Puan Nazrah.
Gelagat Aufa membuatkan Qisha Mirza tersenyum walaupun sedang berduka.
“Apa masalah Qisha tu?” soal Fariq Hazen.
“Fulshan, along,” jawab Qisha Mirza.
“Kenapa dengan Fulshan? Apa yang dia dah buat kat Qisha?” soal Fariq Hazen sambil memandang cuak adiknya.
“Dia tak buat apa-apa kat Qisha tapi apa yang dia rahsiakan selama ni daripada Qisha cukup menyakitkan. Kenapa Qisha diuji sehebat ni?” raung Qisha Mirza lagi.
“Qisha, Qisha diuji kerana Qisha mampu menghadapinya. ALLAH takkan uji di luar kemampuan hamba-NYA. ALLAH berfirman: ALLAH tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ayat ni Kak Isfa petik daripada Surah al-Baqarah ayat 286,” ujar Isfaten.
“Betul tu, Qisha. Ujian yang Qisha hadapi ni jugak bertujuan untuk mengukur sejauh mana iman Qisha kepada ALLAH. ALLAH berfirman dalam Surah Al-Ankabut ayat dua hingga tiga, Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
Jadi, Qisha harus kuat menghadapi setiap ujian daripada ALLAH. Qisha tak boleh mengalah macam ni,” tambah Fariq Hazen.
“Apa kebenaran yang Qisha peroleh daripada dia?” soal Puan Nazrah, ingin tahu.
“Dia dah kahwin tapi masih menyatakan cinta pada Qisha. Dah sepuluh tahun dia kahwin tapi tak ada anak. Hati Qisha sakit. Jiwa Qisha pedih. Ujian ni terlalu berat, umi,” luah Qisha Mirza.
“Banyakkan bersabar, Qisha. Mungkin ada hikmah yang sedang menanti Qisha di sebalik apa yang telah terjadi. Tentu ada sebab kenapa Qisha dipertemukan dengan dia. Kita tak tahu rahsia ALLAH, Qisya,” pujuk Isfaten.
“Qisha akan cuba hadapi semua ni dengan tabah. Terima kasih semua sebab tenangkan hati Qisha,” ucap Qisha Mirza sambil menyeka air mata.
“Haa… macam tulah adik along. Dah, pergi mandi dan solat. Mudah-mudahan hati Qisha akan kembali tenang. Insya-ALLAH. Jangan fikirkan tentang Fulshan lagi. Buat sakit hati aje. Tahulah along macam mana nak kerjakan lelaki tu nanti” ujar Fariq Hazen, turut kecewa dengan Fulshan.
“Qisha mampu hadapinya sendiri. Along tak perlu masuk campur. Qisha tak nak along buat apa-apa kat Fulshan,” pinta Qisha Mirza, segera memberi amaran.
“Baiklah kalau dah macam tu kehendak Qisha. Along hormati kehendak Qisha,” ujar Fariq Hazen, mengalah walaupun sebentar tadi dalam fikirannya sudah merencanakan sesuatu untuk mengerjakan Fulshan.
“Terima kasih semua,” ucap Qisha Mirza sebelum mengurungkan diri di dalam bilik air.
Badan yang melekit membuatkannya berasa tidak selesa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95911/sakitnya-hati-aku