[SNEAK PEEK] Sah Dia Milik Aku

Sah Dia Milik Aku oleh Dilla Ahmad

TENGKU MURNI memanggil orang-orang masjid untuk bersama-sama membacakan yasin dan menjamu dengan kuih-muih saja. Majlis itu dibuat sederhana saja. Hanya saudara-mara dan kawan rapat arwah Tengku Raisudin saja yang menghadirkan diri pada malam itu.

Khairul Naim bersalaman dengan kawan-kawan arwah bapa mentuanya bila diperkenalkan oleh Encik Zahari. Masing-masing seolah terkejut dengan pilihan Tengku Raisudin itu. Memang diluar jangkaan. Mereka ingatkan Tengku Haidar yang akan menjadi suami Qhaireena. Maklumlah, sebelum ini pun Tengku Muhamad bukan main lagi pukul canang yang Tengku Haidar bakal pemegang saham terbesar bila dia berkahwin dengan Tengku Qhaireena nanti. Malam ini pun mereka tidak nampak muka keluarga Tengku Muhamad itu.

“Saya harap kita boleh bekerjasama pada masa akan datang, Encik Khairul,” kata Datuk Idham ketika bersalaman dengannya. Bukan dia tidak nampak mata itu sedang menilai dirinya.

“Bukan saya yang perlu Datuk jumpa tapi isteri saya, Tengku Qhaireena. Saya harap Datuk Idham dapat menunjuk ajar dia dalam urusan perniagaan ini,” balas Khairul Naim, tersenyum.

“Oh, boleh saja. Asalkan dia mahu belajar. Dia masih muda jadi banyak yang dia harus ambil tahu. Arwah seorang kawan yang baik dan banyak tolong saya. Insya-Allah, kita pasti akan sama-sama saling membantu,” ujar Datuk Idham, yakin.

“Terima kasih,Datuk.”

“Dengarnya kamu ada dua buah kedai makan ya?” tanya Datuk Fuad pula, mencelah.

“Ya, datuk. KN Cafe dekat dengan shopping centre di jalan Bukit Bintang tu. Datanglah ke sana kalau nak minum kopi,” pelawa Khairul Naim, sempat mempromosikan kedainya.

“Insya-Allah. Kalau ada masa saya pasti akan ke sana!”

Khairul Naim tersenyum juga. Janji kosong aje tu. Mungkin tidak patut dia memikirkan begitu tapi entahlah. Sukar nak percaya cakap-cakap orang ‘ada-ada’ ni.

“Khairul,” panggil Tengku Murni di belakang mereka. Serentak masing-masing menoleh.

“Ya, nenda?” Segera dia mendekati perempuan tua itu.

“Tolong tengokkan Qhaireena sekejap,” pinta Tengku Murni, lembut.

Khairul Naim statik seketika. “Kenapa dengan Qhaireena, nenda?”

“Nenda rasa dia sakit perut,” bisik Tengku Murni. “Kamu tahulah dia, kalau tak nak makan. Sakit perutlah. Pening kepalalah,” bebel Tengku Murni lagi. Khairul Naim menghela nafas perlahan.

“Baik, nenda,” balas Khairul Naim lagi. Tahu sangat dengan perangai degil Qhaireena. Kakinya segera diarahkan masuk ke dalam rumah, mencari Qhaireena.

“Puan muda dekat atas, tuan muda,” beritahu Kak Nilah, sebaik saja terpandangkan Khairul Naim macam mencari seseorang.

Pegun Khairul Naim bila dipanggil begitu. Dia senyum segaris. Kekok. Janggal. Semua ada dalam sanubarinya.

“Oh, okey,” balas Khairul Naim, segera mengatur langkah mendaki anak-anak tangga yang membawanya hingga ke bilik tidur Qhaireena.

Pintu bilik diketuk perlahan. Senyap saja. Khairul Naim termangu-mangu dekat depan bilik itu. Nak masuk takut Qhaireena terganggu pula. Pintu diketuk lagi agak kuat sedikit dari tadi.

“Abang Naim ke tu?” soal suara dari dalam menyoal. Suara Qhaireena.

“Ya!”

“Masuklah, bang! Pintu tak berkunci,” arah suara itu pula.

Teragak-agak tangan Khairul Naim memegang tombol pintu itu lalu memutarnya. Pintu ditolak perlahan. Terus dia terpandangkan tubuh Qhaireena yang sedang berbaring mengiring sambil menekan perut. Khairul Naim mengeluh. Pintu bilik ditutup rapat.

“Kenapa sakit perut?” soal Khairul Naim, kekok. Dia hanya berdiri tegak di sisi katil Qhaireena.

Kepala Qhaireena menggeleng. “Tak tahulah.”

“Tak makan ke siang tadi? Atau, mungkin lambat makan agaknya.” Khairul Naim pula bagai bagi kesimpulan.

“Tak ada selera tadi.” Perlahan saja suara itu membalas.

“Itu sebab perut tu sakit. Dah masuk anginlah tu. Minyak angin mana?” tanya Khairul Naim selamba.

“Kat dalam laci bawah tu,” tunjuk Qhaireena. Segera encik suami menapak ke situ dan menarik laci. Sebotol minyak angin dibawa keluar.

Khairul Naim mendekati katil semula dan menghulurkan botol minyak angin itu pada Qhaireena.

“Sapu dekat perut tu.”

“Qhai tak sukalah bau dia, Abang Naim,” rengek Qhaireena. Dia lebih rela telan Panadol atau ubat sakit perut daripada menyapu minyak angin itu.

Khairul Naim mengeluh lagi. “Takkan nak biarkan perut tu sakit. Awak dah makan malam ke belum ni?”

Perlahan kepala yang sudah tak bertudung itu menggeleng. Mata sudah tak pandang dia. Hendak tak hendak Khairul Naim duduk di sisi katil menghadap Qhaireena. Dia hembus nafas perlahan. Cuba meredakan jantung yang sudah berdegup keras bila terpandangkan wajah Qhaireena tanpa tudung kepala. Rambut itu memang cantik.

“Selak baju tu,” arahnya dengan muka bersahaja.

“Why?” tanya Qhaireena pula, berkerut. Gugup tiba-tiba.

“Saya nak sapu minyak inilah. Selak baju awak tu.” Mata sudah tegak memandang Qhaireena.

Dengan muka membahang, tangan Qhaireena menyelak sedikit baju kurungnya naik ke atas, menampakkan kulitnya. Tangan Khairul Naim pula yang terkaku tak bergerak. Waswas pula tangan dia nak sentuh kulit Qhaireena.

“Kenapa, Abang Naim?” tanya Qhaireena. Bulat matanya memandang wajah beku Khairul Naim.

Khairul Naim berdehem. “Diam. Saya nak sapu ubat ni.” Minyak dituang ke tapak tangan sedikit. Ya Allah, apasal menggeletar pulak tangan dia ni?

Qhaireena pejam mata. Terasa sangat malu pada saat ini. Kepala asyik mengingatkan yang sentuh kulit dia ni suami dia ya. Bukan orang lain. Masing-masing dah tebal muka. Tangan Khairul Naim menyapu dan menekan sedikit perut Qhaireena.

“Sakit lagi tak?” tanyanya, cuba berlagak bersahaja. Tapi dalam dada dah terasa nak pecah. Kepala yang sudah tidak bertudung itu mengangguk lagi.

“Lepas ni, saya ambilkan Milo panas. Minum nanti. Biar angin tu keluar,” ujar Khairul Naim, menutup botol itu semula.

Qhaireena membetulkan baju kurungnya semula. Muka masih terasa hangat saja ketika bertentang mata dengan Khairul Naim.

“Terima kasih, Abang Naim. Qhai nak baring dekat atas aje. Malas nak turun bawah dan berjumpa kawan-kawan daddy tu. Qhai tak bersedia lagi.”

“Tak apa. Awak berehat aje dulu. Nanti saya suruh Kak Nilah bawakan awak Milo panas dan sedikit kuih. Perut tu kena isi sikit.”

“Nanti abang naik balik ya?” pinta Qhaireena ketika melihat Khairul Naim sudah melangkah ke pintu. Tepat mata itu memandangnya semula. Khairul Naim mengangguk.

“Nanti abang masuk aje ke dalam bilik ni. Bilik ni pun dah jadi bilik abang juga,” kata Qhaireena lagi. Muka dah panas semula bila mata hitam itu tunak memandangnya tanpa berkata apa-apa.

“Hmmm…” Itu saja yang dia dengar dari mulut lelaki itu. Matanya menghantar Khairul Naim keluar dan menghilang di balik pintu. Bibir sudah dikemam rapat. Macam tak sabar aje dia, kan? Adoiii… Pipi sudah ditepuk-tepuk.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338146/Sah-Dia-Milik-Aku