Guruh berdentum. Hujan turun. Petir menyambar sepohon pokok lalu terbakar. Nyalaan api menerangi kepekatan malam. Imam Jali menjulang tangan kanannya ke udara, tangan kiri disemat ke dada, menjerit takbir berulang kali. Disahut hilai tawa Maimunah, terawang-awang di depan pokok kayu yang menyala-nyala.
“Keluar kamu dari tubuhnya, Iblis Laknatullah!” Imam Jali melontar seketul batu kecil ke arah Maimunah, persis para haji melontar jamrah di Mekah.
Batu kecil yang mengena tubuh Maimunah itu umpama hujung pedang yang menusuk tubuhnya. Badannya melentik-lentik terapung di udara menahan sakit.
Dan ketika itu Imam Jali datang merapat, merentap kaki Maimunah untuk menariknya jatuh ke tanah.
Dia berpaling ke belakang lalu menjerit, “Razak! Cepat tahan isteri kamu ni!”
Razak yang berdiri ternganga dari tadi bingkas mendekati Imam Jali.
“Tahan badan isteri kamu, jangan biarkan dia bergerak.”
Razak sedaya upaya menurut arahan imam itu, menahan tubuh isterinya yang kerasukan.
Imam Jali beralih tempat. Dari kaki, dia pergi ke kepala Maimunah dan memegang dahi perempuan itu yang masih kuat meronta-ronta. Dia mula membacakan ayat penghalau jin dan syaitan berserta surah Yassin sementara Razak sampai keluar urat dahi dan lengan menahan kekuatan luar biasa isterinya itu.
Maimunah membuntangkan matanya, menjerit kesakitan berkali-kali. Dia merasakan tubuhnya sedang dipanggang di atas api. Sesekali dia memandang Razak dan riak wajahnya berubah, meminta simpati daripada suaminya itu agar dia dilepaskan. Dan setiap kali itu jugalah, Imam Jali berpesan pada Razak, jangan sesekali lepaskan isterinya itu. Itu bukan isterinya lagi!
Isteri aku dah mati! Maimunah dah mati! bisik Razak dalam hati dan cuba untuk tidak melihat wajah isterinya itu.
“Allahuakbar!!” Imam Jali bertempik takbir buat kali terakhir.
Hujan tiba-tiba saja berhenti. Angin kencang reda. Api yang membakar di pokok ara itu padam perlahan-lahan.
Maimunah menutup mata, kaku tidak bergerak lagi. Razak menangis teresak-esak sambil memeluk jasad isterinya dan menjerit tanpa suara. Fokus kamera bergerak menjauhi Razak lalu malap perlahan-lahan.
“Sesungguhnya, syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia…”
Lampu menyala berserta sorak-sorai para penonton tayangan perdana filem Hantu Maimunah. Kebanyakan penonton bangun dari tempat duduk dan memberikan standing ovation kepada sutradaranya Farouk Husin, dan Farouk Husin pun bangun menunjuk ke arah barisan pelakon yang sedang melambai-lambai ke arah penonton di sekeliling mereka.
“See… I dah kata, filem kita kali ni meletup,” ujar Rita yang memegang watak Maimunah pada Amirul Amir.
“You memang mantap,” puji Amirul pula sambil tersenyum.
“Ah! Come on. Orang nak tengok filem ni sebab you, kot.”
Jeritan peminat makin mengisi ruang panggung. Kebanyakannya memuji lakonan mantap Amirul Amir yang memegang watak sebagai Razak. Namanya yang sudah lama dikenali di persada seni tanah air kian mekar. Dia telah memenangi pelbagai anugerah sejak beberapa tahun kebelakangan dan tidak mustahil tahun itu, namanya sekali lagi akan dinobatkan sebagai pelakon filem terbaik negara.
Percikan lampu kamera meletup-letup menangkap gambar Amirul keluar dari panggung. Peminat yang mula mengerumuninya terpaksa dikawal petugas. Jeritan pujian terus bergema namun segala jeritan dan percikan lampu kamera itu tiba-tiba saja lenyap bila dia terpandang kelibat seorang perempuan sedang memerhatikannya di satu sudut panggung.
Perempuan itu tersenyum kepadanya.
Wajahnya berkerut. Langkahnya dimatikan. Dia cuba lihat betul-betul perempuan itu namun pandangannya terhadang oleh seorang fotografer.
“Senyum sikit Amirul!” arah fotografer itu sambil membidik kameranya.
Beberapa fotografer lain juga muncul.Dia memanjangkan leher tercari-cari perempuan yang tersenyum kepadanya tadi tetapi perempuan itu sudah tiada lagi di situ. Tangannya mula berasa sejuk.
“Mirul! Berdiri rapat sikit dengan Rita, please!” jerit seorang fotografer dan tiba-tiba saja lengannya dipegang seseorang sehingga membuatkan dia tersentak.
Rita berdiri di sisinya sambil tersenyum manis pada percikan-percikan kamera di depan mereka. Dia kekok, masih tertoleh-toleh ke sana sini mencari kelibat perempuan tadi.
Tidak jauh dari tempatnya berdiri, dia nampak Patrick sedang mesra bersembang dengan beberapa krew penerbitan filem Hantu Maimunah. Sambil tersenyum pada kamera, dia keluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi Patrick. Dia dapat lihat wajah Patrcik berkerut menatap telefonnya itu lalu memandang ke arahnya. Dia angkat tangan dan memberikan signal agar mereka segera beredar dari situ.
“Apasal you diam je ni?” tanya Patrick.
Amirul hanya mengeluh. Fikirannya masih terganggu.
“Tadi I tengok Rita tu bukan main mesra lagi berkepit dengan you,” kata Patrick lagi sambil tertawa. “Nak menumpang kasihlah tu.”
Amirul masih juga berdiam diri. Dia hanya merenung kerdipan neon di tepi jalan.
Kereta mereka dipandu Patrick meluncur laju menuju ke Emerald Condo.
Patrick berasa pelik melihat Amirul yang diam membatu. Aku ada buat salahkah? Dia berdehem.
“Takkan you jealous kot I sembang dengan Liu tadi?”
Dahi Amirul berkerut, menoleh ke arah Patrick di bangku pemandu. “I don’t give a shit you nak bersembang dengan siapa pun.”
“Woah! Apasal marah sangat ni?” Patrick menggeleng. “Ni betul ke nak balik terus ni? Kita singgah supperlah kat mana-mana dulu?”
Amirul menarik nafas panjang. “I penat okey. I takde mood. Hantar je I balik.”
Sebagai PA pada pelakon terkenal itu, Patrick akur. Mungkin Amirul memang betul letih tapi dia tak pernah melihat Amirul hilang mood sebegitu, apatah lagi pada malam tayangan perdana filem lakonannya.
Tiba di Emerald Condo, Patrick mahu menemani Amirul naik ke atas tapi Amirul mengelak. “I perlukan masa untuk bersendiri malam ni,” jelasnya. “Kita jumpa esok saja.”
Patrick tiba-tiba berasa tersisih. Dia menanti saja Amirul melangkah masuk ke lif, dan bila pintu lif tertutup baru dia beredar dari situ.
Masuk saja ke rumah, Amirul bergegas ke bilik tidurnya. Dia menarik laci di bahagian bawah katil. Lipatan cadar dan selimut di situ dialihkan dan tangannya meraba-raba ke dalam laci itu. Terpegang saja benda yang dicari, tangannya ditarik keluar.
Hatinya lega bila melihat sebuah peti kecil di tangannya. Sambil duduk di lantai dan menyandar ke katil, dia membuka peti kecil itu dan mengeluarkan bungkusan kain kecil warna kuning. Peti kecil itu diletakkan ke lantai. Bungkusan kain kuning itu pula dibuka perlahan-lahan. Melihat kandungan bungkusan kain itu, dia menarik nafas dalam. Kepalanya ditoleh ke sisi untuk memandang kalendar di atas meja di tepi katil.
Shit!
Dia masukkan semula bungkusan kain itu ke dalam peti. Kemudian dia bangun dan keluarkan telefon bimbit. Belum sempat dia menghubungi sesiapa, telefonnya berdering tanpa sebarang nombor terpapar di skrin. Butang jawab disentuh lalu telefon itu dirapatkan ke telinga. Dia menanti suara si pemanggil namun tak kunjung tiba, seolah-olah si pemanggil juga sedang menantinya bercakap dahulu.
“Hello?” Akhirnya dia mengalah.
“Hello.” Suara lelaki.
“Siapa ni?”
Senyap. Hanya dengusan nafas yang kedengaran.
“Patrick?”
“Patrick tiada di sini, Amirul,” jawab si pemanggil.
Dia cuba mengecam suara itu yang perlahan-lahan kembali muncul di ingatan.
“Cepat betul kau lupakan aku,” sambung si pemanggil itu sebelum ketawa.
“Jack… Jack D?”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/201552/puaka