[SNEAK PEEK] PLOT 365 HARI

Plot 365 Hari Oleh Aesya Azahar

 

“Banyak betul masa Ayra, kan? Dapat bahagikan antara dua lelaki,” perli Faisal apabila kelibat Zhafri hilang daripada pandangan mata.

“Abang ngah nak tahu, bila masa Ayra goda dia di office? Korang bukan lain department ke? Sampai sanggup datang ke rumah tolong kita…” Shahir sama naik ingin mengenakan adiknya. Dia dan Faisal sama-sama pantang apabila mendapat tahu Ayra berkenalan dengan lelaki lain apabila adiknya itu sudah pun ada Iskandar.

“Faisal, Shahir… Selagi Ayra single, selagi tu dia berhak buat pilihan. Lagipun, ayah suka tengok Zhafri tu. Rajin orangnya. Apa-apa yang ayah suruh tadi, cepat-cepat dia buat tanpa berlengah. Tadi ayah suruh Faisal cuci longkang, dia yang volunteer nak buat. Macam itulah calon menantu yang ayah nak. Bukan lelaki yang tahu nak bercinta aje.” Encik Kamarul bersuara menyatakan pendapatnya setelah mendengar leteran anak-anak lelakinya terhadap Ayra. Jujur, hati tuanya memang berkenan dengan lelaki yang bernama Zhafri itu. Dia tahu Zhafri mempunyai pangkat yang lebih senior daripada Shahir dan Ayra di pejabat, namun begitu, lelaki itu masih tetap seorang yang merendah diri. Langsung tidak sombong dengan orang tua.

“Betul cakap ayah tu. Mak pun berkenan dengan Zhafri tu. Lagipun, nak tunggu si Iskandar tu pun sampai bila? Bercinta bukan main lama, sampai sekarang ada Faisal dan Shahir nampak dia masuk meminang adik korang? Ada?” ujar Puan Zulaikha menyokong suaminya berpihak kepada Zhafri.

Ayra yang hanya menjadi pendengar setia daripada tadi mula resah. Tidak sangka orang tuanya sukakan Zhafri sedangkan dia dan lelaki itu takkan mungkin bersama. Bagaimana kalau hati mak dan ayahnya terluka apabila dia memutuskan hubungan palsu dengan Zhafri nanti?

“Iskandar tu tengah kumpul duitlah tu, mak. Dia bukannya orang senang.” Faisal berpihak kepada Iskandar. Kasihan pula dengan nasib lelaki itu. Sudahlah diduakan oleh kekasih hati, kini mak dan ayahnya pula berpihak dengan lelaki lain.

“Bukannya mak dan ayah mintak hantaran puluh ribu yang sampai dia kena makan masa lama sangat. Bawak anak mak ke hulu ke hilir, bukan main lagi. Tapi bila nak masuk meminang pun bertahun ambil masa. Mak mana yang tak risau, Faisal? Nanti bila kamu semua dah ada anak sendiri, kamu semua tahulah perasaan mak dan ayah sekarang ni. Baru kamu rasa sendiri.” Terjuih-juih bibir Puan Zulaikha meluahkan rasa tidak puas hatinya. Ayra sudah pun 25 tahun, sesuai sangat untuk anak gadisnya itu menamatkan zaman bujang.

“Lelaki ni, kalau dia betul nakkan seseorang tu, dia takkan tunggu lamalah. Percaya cakap ayah. Kalau dia betul-betul serius, dia akan takut gadis dia tu dikebas orang. Even if he doesn’t have a lot of money, he will still want to marry the girl as soon as possible. I’m speaking from experience. Macam itulah ayah dengan mak dulu. Ayah bukannya banyak duit masa kahwin dengan mak. Tapi, sebab takut mak korang yang cantik jelita ni dikebas orang, ayah beranikan diri jumpa dengan atuk kamu. Sebab ayah serius dengan mak kamu. Bukanlah kami nak kata Iskandar tak serius dengan Ayra, tapi ayah cuma tak mahu Iskandar ambil kesempatan ke atas adik kamu ni. Ayra is 25 years old already. Tahun depan dah 26 tahun. Sampai bila dia nak buat adik korang ni terus menunggu dia?” Panjang lebar Encik Kamarul menyatakan kerisauannya.

Faisal dan Shahir pula terdiam. Ada benarnya kata-kata orang tua mereka itu. Faisal dan Shahir berpandangan sesama mereka. Kelu lidah untuk membalas kerana tiada kata yang dapat menyangkal bicara mak dan ayah mereka.

Antara Iskandar dan Zhafri, siapa yang adik mereka akan pilih akhirnya?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/344456