DIA terjaga lagi untuk ke sekian kali mimpi ngeri itu mendatanginya. Sungguh dia benci apabila mimpi itu mengisi malam-malamnya. Mengapa tidurnya tidak pernah aman seperti orang lain? Dia mahukan ketenangan seperti orang lain. Sangat indah hidup mereka tanpa perlu menghadapi mimpi-mimpi ngeri.
Dia memejamkan mata, cuba mengusir gambaran mimpi itu. Benci! Ya, itulah yang dia rasa sekarang ini. Kebencian itu tidak pernah pudar. Kerana kebencian itu juga dia terhumban jauh daripada keluarga.
Air mata… Saat ini pasti ia menjadi peneman setia. Ia seakan-akan sudah sebati dalam jiwanya. Dia pasrah. Setelah lima tahun berlalu, dia tidak mampu lagi mengusir kenangan silam. Andai masa itu dapat diubah kembali, pasti ia takkan terjadi. Ya… Itulah khilafnya yang paling tidak mampu dimaafkan oleh diri sendiri.
“Maafkan Awiyah, abah… emak…” Sesungguhnya rindu ini tidak pernah padam.
Kenangan lima tahun lalu menggamit lagi…
“Anak kurang ajar! Ini balasan yang kau berikan dekat aku?!” jerkah abah.
Malam itu bagaikan malam petaka buat keluarganya. Dialah yang menjadi puncanya. Abah yang sangat menjaga nama baiknya terpaksa berputih mata apabila dia mencemar nama yang selalu meniti di bibir penduduk kampung. Abah seorang yang dihormati. Abah tidak pernah culas pergi ke masjid, malah abah juga banyak membantu penduduk kampung.
Abah merupakan bekas anggota tentera yang berkhidmat dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT). Bekas leftenan kolonel itu sangat tegas dan pantang apabila anak-anak melakukan kesalahan apatah lagi kesalahan yang dia lakukan sangat besar.
Tubuh kecilnya terpelanting di sudut rumah. Ibu pula hanya mampu menangis. Nenek juga begitu. Dia merupakan cucu kesayangan nenek, namun nenek hanya mengunci mulutnya. Matanya juga tertutup rapat. Apa yang dia nampak, nenek sedaya upaya tidak mahu menoleh ke arahnya.
Ketegasan abah tiada siapa yang boleh tegah. Abah buat benda yang betul. Abah takkan marah tanpa sebab. Abah bukan orang yang tidak ada otak!
Ya! Dia yang bodoh. Dia yang terlalu ikutkan kata hatinya. Dia yang tidak pernah mahu ikut kata abah. Dia juga anak yang tidak berguna!
“Maafkan Awiyah, abah…” Rabiatul Adawiyah cuba merayu.
“Maaf kau kata? Apa lagi yang kurang abah bagi dekat kau?! Abah hantar kau belajar agama, mengaji, semuanya abah dah berikan!” Sekali lagi badannya dibalun dengan rotan.
Untuk sekian kalinya dia menjerit. Tetapi jeritannya hanya dia sendiri yang dengar. Dia menggigit kain sekuat hati. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu orang lain mendengar jeritannya walaupun rumahnya agak jauh dari rumah orang lain. Dia tidak mahu mencemarkan lagi nama baik abah. Cukuplah… Cukuplah apa yang dia sudah buat selama ini.
“Siapa jantan tu? Cakap dengan aku!” Suara halilintar abah membuatkan jantungnya bagaikan mahu luruh. Dia sudah tidak berdaya lagi. Hanya gelengan sahaja yang mampu diberikan.
“Kau nak simpan lagi jantan keparat macam tu, hah?!” Kali ini tangan kasar abah melekat di pipinya. Tubuhnya terjelepok ke dinding. Kepala pula terhantuk kuat.
Dia sudah tidak berdaya lagi hendak bangun. Dia juga tidak berdaya menyuarakan kekecewaannya. Dia tidak mampu lagi. Dia menangis tanpa henti. Lelaki durjana itu telah pergi meninggalkan dirinya setelah mengetahui dirinya mengandung. Berita yang cuba dia sampaikan itu tidak sedikitpun membatalkan niat lelaki itu yang mahu meninggalkan bumi Malaysia kerana hendak mengikut rancangan ayahnya. Itu kata lelaki itu. Hakikatnya dia tahu lelaki itu hanya memberi alasan sahaja. Perbualan melalui telefon itu cukup meragut semua impiannya. Lelaki itu sangat kejam!
“Tolonglah Dee… Awiyah mengandung anak kita. Jangan buat Awiyah macam ni. Tolonglah… Awiyah merayu kepada Dee… Awiyah betul-betul cintakan Dee.” Rayuannya tidak diendahkan. Lelaki itu dayus!
“Awiyah… dengar sini. Dee terpaksa pergi. Semuanya demi masa depan Dee. Keluarga Dee telah aturkan. Malam ini Dee akan bertolak. Maafkan Dee… Tolong gugurkan saja kandungan itu. Kita masih muda. Dee tak sanggup menanggung bebanan itu. Selamat tinggal, Awiyah.” Talian terus diputuskan.
Apa yang perlu dia katakan lagi? Dia tidak mampu hendak memaksa lelaki itu bertanggungjawab. Ya… Inilah bahananya kalau ikutkan nafsu. Akhirnya, hanya dia seorang yang menanggung semuanya.
“Kau tak ada mulut ke? Beritahu aku siapa orangnya?!” Abah memaksa lagi.
Rabiatul Adawiyah membalas dengan gelengan. Abahnya yang bagaikan telah dirasuk melibas belakang anak gadisnya lagi… dan lagi… dan lagi…
Rabiatul Adawiyah menyembamkan wajahnya di dinding. Suara tangisnya tidak mampu keluar lagi. Yang ada hanya kudrat melawan rasa sakit itu.
“Ampunkan Awiyah, abah…” Suaranya makin perlahan. Libasan terakhir menyebabkan dia terus rebah ke lantai. Dia tidak sedarkan diri.
“AWIYAH…” Suara nenek perlahan tapi cukup menghibakan hatinya.
Rabiatul Adawiyah cuba membuka mata, namun rasa payah. Mahu bangun, kudratnya kian lemah. Dia sudah tidak berdaya.
“Nek, maafkan Awiyah. Awiyah berdosa kepada nenek… Kepada abah… Kepada emak… Maafkanlah Awiyah, nek…” Rabiatul Adawiyah cuba merayu.
Nenek yang sememangnya menjadi tempat dia meluahkan perasaan memeluk tubuh cucunya seerat mungkin. Gadis itu pula sedaya upaya menahan rasa sakit. Belakangnya rasa sakit yang teramat. Dia menangis semahunya di dalam dakapan nenek.
“Kenapa Awiyah buat kami macam ini, sayang?” soal nenek.
Mungkin nenek terkilan. Ya… Siapa yang tidak terkilan apabila orang yang menjadi harapannya kini telah menconteng arang ke mukanya? Siapa yang tidak kecewa?
“Awiyah berdosa, nek. Ampunkan Awiyah, ya nek?”
Esak tangisnya memenuhi ruang kamar itu. Tubuh yang lemah itu membataskan pergerakkannya. Sebenarnya dia tidak mampu untuk bangun.
“Mari nenek siapkan Awiyah,” pujuk nenek.
Itulah perangai nenek. Walaupun nenek kecewa, nenek sedaya upaya cuba melayan cucunya itu seperti dahulu. Nenek tidak pernah berubah.
“Kita nak pergi mana, nek?” soal Rabiatul Adawiyah perlahan. Tiba-tiba dia terbayang mahu lari dari situ. Namun begitu, dia dapat rasakan bukan itu rancangan nenek.
“Awiyah… nenek harap Awiyah tak ada sebarang bantahan. Ikut saja apa yang abah rancangkan. Ini semua untuk kebaikan kamu juga,” pujuk nenek.
Gadis itu dapat rasakan abahnya punya rancangan sendiri. Ya… Dia tidak lagi berdaya mahu membantah. Dan dia juga bukan diajar untuk kurang ajar atau membantah apa sahaja kehendak orang tua. Dia tidak mahu lagi dilibas dengan rotan. Rasanya dia tidak mampu untuk menahannya.
“Sepatutnya kau perlu dihukum dengan hukuman hudud!” Rabiatul Adawiyah teringat akan kata-kata abah.
Ya! Mungkin abah lupa, hukuman hudud itu lebih baik daripada rotan yang abah balun ke tubuhnya. Hukuman hudud tidak sekejam ini. Cara angkat tangan sahaja tidak boleh diangkat sehingga ke paras kepala abah atau dengan lain perkataan, abah tidak boleh mengangkat tinggi tangannya sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada matlamat dan tujuannya. Bukan balun sampai pengsan! Bezanya, ia perlu dilaksanakan di hadapan orang ramai supaya mendatangkan keinsafan kepada pelaku dan orang yang melihatnya. Hukuman hudud sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara Islam. Hukuman itu telah termaktub dalam al-Quran. Sebat sehingga seratus kali untuk orang yang belum berkahwin.
Kini Rabiatul Adawiyah sudah bertaubat nasuha. Dia takkan ulangi perbuatan terkutuk itu lagi. Dia bersungguh-sungguh berjanji kepada dirinya. Lagipun dia melakukan perbuatan itu hanya sekali dan tidak sangka ia menjadi benih di dalam rahimnya.
“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Ya Tuhan, lindungilah aku, bimbingilah aku… Aku tidak mahu menghampiri zina lagi. Bantulah aku, Ya Allah.” Rabiatul Adawiyah mengungkapkan kata-kata itu untuk kesekian kalinya.
“Mari nenek bantu Awiyah tukar baju.” Lembut suara nenek.
Sebak dadanya melihat kepayahan nenek cuba mengangkat tubuh cucunya yang sudah keras. Dia bagaikan telah menjadi batu. Tangan, kaki dan seluruh tubuhnya menjadi kejang. Ya Allah, adakah aku sudah mendapat balasan daripada-Mu? bisik hati Rabiatul Adawiyah.
“Nenek…” Rabiatul Adawiyah menangis lagi.
Nenek mengesat air mata cucunya lalu menggeleng perlahan. Rabiatul Adawiyah akur. Dia tidak perlu berkata apa-apa lagi. Dia hanya perlu mengikut. Ya, mengikut apa sahaja kehendak mereka.
Setelah bersiap, dia dipimpin oleh nenek keluar dari bilik. Dia tidak ubah seperti mumia hidup, berjalan kejang tangan. Kaki juga agak terbatas pergerakkannya. Rasa sakit dan bisa cuba ditahan. Hanya air mata menggambarkan keadaannya kala itu.
Di ruang tamu, tiada sesiapa di situ. Tiada kelibat abah, emak mahupun adik-adik. Dia tidak tahu ke mana mereka pergi. Nenek menarik tangannya lagi. Sampai di pintu, dia melihat kereta abah ada di halaman rumah. Dia cuba menarik tangan nenek pula. Kepala digeleng.
“Awiyah nak jumpa dengan mak dan abah. Awiyah nak minta ampun.” Rabiatul Adawiyah cuba merayu. Nenek menggeleng.
“Sudahlah tu. Mari kita pergi,” pujuk nenek.
Rabiatul Adawiyah masih enggan. Dia berdiri sahaja tanpa mahu mengikut langkah nenek. Sekali lagi nenek memujuk.
“Mereka tak mahu jumpa kamu.”
Jawapan nenek itu membuatkan kepala Rabiatul Adawiyah berpinar-pinar. Tidak disangkanya begitu sekali kemarahan abah dan emak. Sedikitpun tidak mahu melihat pemergiannya. Dia tahu semua itu rancangan abah. Abah tidak mahu melihat dirinya berada di rumah itu lagi. Biarlah dia mati sahaja daripada terus hidup dibenci orang.
“Nek… bunuh saja Awiyah, nek. Awiyah tak mahu hidup lagi. Buat apa Awiyah hidup kalau abah dan emak dah tak nak tengok muka Awiyah lagi? Awiyah tak sanggup nak menempuh semua ini,” rintihnya.
Tidak semena-mena pipinya ditampar oleh nenek. Mata nenek mencerlung. Dia terdiam. Tangisnya juga turut terhenti sama. Wajah bengis nenek itu tidak mampu dipandang lama.
“Nak sangat mati tanpa bertaubat? Dahlah buat dosa besar, nak tambah lagi dosa besar yang lain? Ke mana perginya otak kamu?” leter nenek.
Rabiatul Adawiyah teresak mendengar kata-kata neneknya. Kejamnya aku kepada diri sendiri. Mengapa itu yang aku fikirkan? Aku terlalu mengikut bisikan syaitan, kutuk Rabiatul Adawiyah dalam hatinya.
Sabda Nabi SAW: Dan sesiapa membunuh dirinya dengan suatu cara, maka dia akan diazab dengan cara itu pada hari kiamat. (HR Bkhari dan Muslim).
Nenek menghantar Rabiatul Adawiyah sehingga ke jalan luar. Kemudian dia menaiki sebuah teksi yang sudah sedia menanti. Nenek telah memberi arahan kepada pemandu teksi itu yang juga seorang mualaf dan sangat amanah dalam kerjanya. Pemandu teksi itu juga sangat dipercayai oleh abah.
Dan itulah kali terakhir dia berada di kampung. Pemergiannya membawa segala duka lara yang tiada hentinya. Pernah sekali dia cuba jejakkan kakinya ke kampung halaman yang amat dirindui itu. Namun ketika itu, sudah ada suara-suara sumbang mengenai keluarganya.
Terdamparlah dia di sini keseorangan. Dia menjadi musafir yang dahagakan kasih sayang. Dibuang dalam keluarga mulia itu. Dia faham… Dia cuba menjadi orang yang tabah. Beginilah nasibnya. Setelah dia keluar dari rumah pelindungan, dia hilang arah. Pelbagai pekerjaan terpaksa dia lakukan. Namun dia masih ingat pesan ustaz dan ustazah yang mengajarnya ketika dalam pusat pemulihan itu… Jangan sesekali melakukan perkara-perkara yang menghampiri maksiat.
Itulah peristiwa yang menyebabkannya menjadi anak terbuang. Suka duka dia tanggung sendiri. Namun dia punya misi. Dia perlu mencari anak kandungnya. Dia takkan mahu lari daripada tanggungjawabnya sebagai seorang ibu yang melahirkan anak itu. Kerana itulah dia sanggup berpindah-randah. Pencariannya masih belum berakhir. Dia akan menoktahkan pencariannya itu seandainya dia ditemukan dengan anaknya nanti.
****
“Abang…”
Syakri tersengih.
Saat itu hanya renungan mata sahaja yang berbicara. Mereka tersenyum, lantas jantung turut menari sama. Berdegup setiap kali mata bertamu.
Malam itu mereka memanfaatkan masa bersama-sama. Menonton wayang di rumah. Bosan menonton mereka bermain pula.
“Jom kita main dam,” kata Rabiatul Adawiyah. Kening Syakri bertaut.
“Dam apa?” Sudah agak lama dia tidak bermain dam.
“Dam ular.”
Syakri ketawa terbahak-bahak. Dalam banyak-banyak permainan, dam ular juga yang dipilih oleh isterinya.
“Abang ni… Gelak… Gelak… Orang seriuslah. Jomlah main dam ular. Saya tau main dam itu aja,” rayunya.
“Mana nak dapat dam ular tu?” Syakri berhenti tertawa. Dia memandang wajah isterinya.
“Sekejap eh, saya ambilkan.” Melongo Syakri dibuatnya. Dia ada beli dam ular ke?
Tidak lama kemudian, isterinya kembali semula dengan membawa dam ular. Rabiatul Adawiyah membentangkan dam itu di hadapan suaminya.
“Bila sayang beli?” soal Syakri pelik.
“Memang saya simpan dah lama. Kalau boring-boring dengan Karmah, kami main dam ularlah. Seronok apa. Jomlah kita mula.”
Syakri mengangguk.
“Sayang lontarkan dulu buah dadu tu,” pintanya. Rabiatul Adawiyah melontar buah dadu yang ada di tangannya. Sekali lontar dia sudah dapat nombor enam. Setelah itu dia lontar sekali lagi, dia anjakkan buah damnya. Fuh! Selamat, tidak perlu dia turun ke bawah semula.
Kini giliran Syakri. Pada peringkat awal dia berjalan dengan baik. Kemudian dia mula asyik turun dan kena tendang saja.
“Alah, mana boleh. Asyik kena turun aja. Sayang main mengelat. Tak ada… Abang tak kira. Kali ni abang tak nak turun-turun lagi,” kata Syakri setelah dia tidak berpuas hati dengan nasibnya.
Rabiatul Adawiyah tergelak. Tahupun. Ingat main dam ular ni tak mencabar ke?
“Alah, bosanlah main ni…” kata Syakri. Dia baring semula di atas sofa. Rabiatul Adawiyah mentertawakan dirinya. Cepat sangat bosan dengan permainan itu. Dia turut merebahkan tubuhnya di sebelah Syakri.
“Sayang yakin tak nak Amsyar tahu siapa diri sayang yang sebenarnya?” soal Syakri. Dia menopang dagu. Tubuhnya menghadap ke arah Rabiatul Adawiyah.
“Biarlah dia besar dulu, bang. Saya takut ganggu fikiran dia. Tapi saya bersyukur, saya tahu siapa yang jaga anak saya. Malah saya yakin Kak Su akan jadikan dia seorang tahfiz suatu hari nanti. Insya-Allah…” jawabnya sambil tersenyum.
“Insya-Allah… Tak sangka, Amsyarlah yang sayang cari selama ni. Dan yang lebih tak sangka ialah emak. Selama mana dia menolak, rupa-rupanya cucu yang dia dakap itulah orangnya,” kata Syakri.
“Amsyar budak yang baik macam Abi Aki dia… Abi Aki yang bertanggungjawab… Abi Aki yang sangat prihatin. Umi Amsyar sayang sangat dekat Abi Aki ni…” Tangannya menyentuh pipi suaminya. Syakri tersenyum.
“Kerana umi dia juga seorang yang baik…” Mata mereka terus merenung antara satu sama yang lain. Perlahan jari Rabiatul Adawiyah memegang kening Syakri. Kemudian hidung dan bibir. Dia tersenyum.
“Abang ada sesuatu untuk sayang.” Syakri bangkit. Dia menuju ke sudut di mana dia menggantung begnya. Rabiatul Adawiyah bangkit. Dia menegakkan tubuhnya. Syakri kembali menghampiri isterinya.
“Nah, hadiah bulan madu kita…” Syakri menghulurkan sepucuk sampul surat. Rabiatul Adawiyah membukanya. Matanya membesar.
“Abang?!” Rabiatul Adawiyah sangat terharu.
“Sayang suka?”
Laju sahaja dia mengangguk.
“Terima kasih, abang…” Dia memaut lengan suaminya. Tidak sangka mereka akan ke Mekah tidak lama lagi. Syakri akan membawa kedua-dua ibu bapanya serta kedua-dua ibu bapa mentuanya. Bulan madu mereka diiringi kasih sayang mereka berempat.
“Sama-sama… Untuk sayang, abang sanggup buat apa saja kerana sayang pelengkap hidup abang,” ucap Syakri.
Rabiatul Adawiyah semakin terharu. Abang juga… pelengkap hidup saya, ucapnya dalam hati. Bibir bergetar, namun suara tidak mampu dilontarkan. Terima kasih, Allah… kerana perancangan-Mu lebih hebat daripada segalanya.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79458/pergi