[SNEAK PEEK] PEREMPUAN YANG PALING AKU CINTA

Perempuan Yang Paling Aku Cinta oleh Acik Lana

 

HUJUNG batang pen yang dipegangnya diketuk-ketuk pada birai meja. Pandangan mata masih tidak berganjak, masih memanah tepat ke seraut wajah tenang di hadapannya. Nafas terhela perlahan, berat perasaan di dalam dadanya ini. Sikap dan tindakan Bunga boleh dikatakan keterlaluan, amat menguji rasa sabar dan kredibilitinya sebagai seorang ketua di syarikat ini.

“Where have you been? Kenapa you tak masuk ofis semalam?” soalnya dengan nada suara yang bergetar.

Bunga mengangkat muka, memandangnya sekilas, kemudian gadis itu tunduk semula dan membelek fail di atas meja.

“I straight away balik rumah.”

“You what?” Suara Elman menaik sedikit tinggi. Tajam renungannya memanah ke wajah mulus gadis itu yang masih mempamer riak selamba. “You balik rumah? You boleh balik rumah after you messed everything with K-Kim? What is wrong with you, Bunga? Task senang macam tu pun you tak mampu buat?”

Berdesing telinga Bunga dengan amarah Elman. Tugas senang? Senanglah sangat! Kalau bukan Karl Hakimi yang muncul di hadapannya semalam, memang itu tugas yang mudah. Super mudah. Tapi hakikatnya, K-Kim ialah Karl Hakimi dan Karl Hakimi ialah lelaki yang paling dia benci dalam hidupnya. Mudah ke kalau begitu?

“I rasa tak sihat semalam, I balik berehat…” dalihnya, menutup rasa sebenar.

Elman mengeluh berat. Tubuhnya disandarkan ke kerusi dengan jari-jemari lincah melonggarkan ikatan tali leher berwarna biru gelap. Dia lemas, rimas dan sesak memikirkan kegagalan Bunga mendapatkan K-Kim untuk bekerjasama dalam projek mereka. Betapa menggunung harapan diletakkan ke atas bahu Bunga, tapi gadis itu melepaskannya begitu saja? Geram sungguh!

“You tak discuss apa-apa dengan dia kan semalam? And you tak tunjuk langsung contract tu pada dia. You tahu apa kesannya? We didn’t get him!”

Melihat amarah Elman, Bunga menghela perlahan nafasnya. Dia tahu dia bersalah, dia tidak bersikap profesional. Bukan dia sengaja, tapi dia memang tidak mampu bertenang. Bukan mudah mahu berhadapan dengan lelaki yang sudah dilabel sebagai lelaki yang paling mahu dia hindari seumur hidupnya.

“I’m sorry, Elman. I tahu salah I.”

“Your sorry doesn’t change anything, Bunga,” tingkah Elman geram. “Kalau kita lambat sambar dia, orang lain akan sambar dulu. You faham tak? He’s talented, well known, dan you ingat senang-senang kita boleh dapatkan semula peluang ni? Dengan sikap you macam tu, dah tentu tentu dia akan pangkah kompeni kita. Sampai bila-bila kita takkan dapat peluang bekerjasama dengan dia.”

Bunga diam dan menerima saja bebelan berbaur kritikan Elman itu. Cara Elman bereaksi seolah-olah kompeni ini bakal lingkup tanpa bantuan Karl Hakimi. Bukan tak ada jurugambar lain yang berbakat besar seperti mamat buaya itu! Berlambak kut.

“Dia buat apa pada you, Bunga?”

Bunga tersentak. Matanya menyorot pantas ke wajah tegang Elman. Pertanyaan itu benar-benar menyesakkan dadanya, dia bingung tanpa jawapan. Elman memaksudkan semalam atau apa yang pernah berlaku di antara dia dan Karl Hakimi pada beberapa tahun yang dulu?

“Apa dia dah buat kepada you semalam sampai you terus balik? Did he touch you?” tanya Elman dengan riak sedikit resah. Dia teringatkan kisah buruk yang didengarinya tentang lelaki bernama K-Kim itu. Tidak mustahil lelaki berhidung belang seperti itu terpesona dengan kecantikan Bunga sehingga terdorong untuk bertindak di luar batasan.

“Answer me, Bunga. Did he touch you?” ulangnya sedikit kuat, tertekan.

“Oh, now you care? Kenapa you nak tahu sangat? You patut fikir semua tu sebelum you campak I dekat mulut buaya keparat macam tu!” balas Bunga geram.

Emosinya bercampur baur. Bercampur dengan kepedihan yang dia rasai pada beberapa tahun dahulu. Pandangan yang berkaca-kaca dilemparkan ke sisi. Dia tidak mahu Elman nampak kejerihan perasaannya.

Elman mengeluh berat. Tangan melurut pula pada rambut yang tersisir rapi. Seketika, matanya menatap wajah Bunga. Dia cuba mentafsir emosi apa yang terpapar di situ.Dia tahu Bunga bukan gadis sembarangan. Gadis itu bagaikan sekuntum bunga mawar yang penuh dengan duri. Berkembang mekar, cantik dan indah dipandang, namun apabila cuba disentuh, durinya menusuk jari. Tidak mustahil Bunga berasa berang dengan desakannya semalam yang seolah-olah sengaja memasang umpan.

“So, dia memang sentuh you?”

Lambat-lambat Bunga menggelengkan kepala. Dia tidak mampu pula hendak memfitnah kerana jelas dan nyata Karl Hakimi tidak menyentuhnya semalam. Bertentang mata pun tak sampai tiga minit.

“Then kenapa you lari?” soal Elman lembut.

Perlahan keluhan terbit di bibir Bunga. Mustahil untuk dia berterus terang tentang apa yang berlaku. Itu tidak ubah bagaikan membuka pekung busuk di dada sendiri. Dia berasa malu. Dia tidak mungkin berkongsi kisah pahit itu dengan sesiapa lebih-lebih lagi kepada Elman.

“Just forget it, Elman. I minta maaf atas apa yang I buat semalam. Just give me another chance, I janji I akan carikan photographer yang lebih baik untuk you.”

Elman mendengus perlahan. Dia tahu Bunga mahu menyembunyikan sesuatu daripadanya.

“Bunga, I don’t need another photographer because I just need him. Kalau you tak boleh pujuk dia, I akan cari jalan lain. Suka atau tak, cuma dia layak untuk kerja ni dan keputusan I muktamad.”

Tajam mata Bunga memanah ke arah Elman. Lelaki itu nampak tekad benar dengan keputusannya. “Fine, then I keluar daripada projek ni.”

“What?”

“I tak nak involve dalam projek ni, keluarkan nama I.”

Elman mendengus geram, bibir diketap rapat seketika. “Bunga, sebab I suka you tak bermakna you boleh suka-suka buat keputusan dalam syarikat I. Projek ni cadangan you dulu, kan? Mana boleh you nak quit macam tu aje!”

Terpana Bunga dengan kata-kata Elman. Akhirnya Elman mengaku sukakan dia. Renungannya membuatkan lelaki itu menggelabah tiba-tiba, mungkin baru tersedar yang dia sudah terlepas kata dari bibir. Dia bukan bodoh, gerakgeri serta bahasa tubuh Elman selama ini begitu mudah dibaca. Perhatian lelaki itu terhadapnya juga berbeza. Cara memandang, bercakap, bergurau dan mengusik semuanya berbeza berbanding gadis-gadis lain di pejabat ini. Dia dilayan lebih istimewa dan lebih penting berbanding yang lain.

Gembirakah dia dengan pengakuan itu? Seketika dia mencari perasaan dalam hati, tidak pula terasa indahnya. Ah, mungkin sebab bayangan Karl Hakimi merosakkan segala rasa indah dalam hatinya kini.

“Errr… Bunga, I… I…” Elman mengetap bibir. Menyesal pula kerana tanpa sedar dia sudah meluahkan apa yang tersimpan rapi. Bukan dia tidak suka, cuma masa dan waktu ini tidak sesuai. Seharusnya rasa itu diluahkan dalam suasana tenang dan romantis. Ada bunga, ada lilin, ada meja makan untuk berdua, dan sekarang semuanya sudah terlepas tanpa sengaja. Mata beralih ke wajah Bunga yang masih beriak tenang. Dia kelihatan langsung tidak terkejut dengan apa yang dikatakan oleh Elman sebentar tadi.

“Bunga, I tahu semua ni terlalu cepat… but I…”

“Bos!”

Kata-kata Elman mati tatkala pintu bilik pejabatnya dirempuh oleh Mazlina. Gadis itu tampak cemas dan kelamkabut mencari nafas.

“Bos, K-Kim datang!”

Bunga tersentak dengan apa yang disampaikan oleh Mazlina. Wajahnya terasa kebas tiba-tiba, pucat lesi tidak berdarah. Demi Tuhan, semangatnya kembali terbang melayang!

MATA dipejam rapat beberapa saat. Telinga tidak lagi dapat mendengar apa yang dibincangkan oleh Elman dan Karl Hakimi yang duduk di sisinya. Semua deria yang lain seolaholah terkunci dan gagal berfungsi tatkala bau haruman tubuh Karl Hakimi menerobos lembut ke hidungnya. Haruman yang masih sama seperti beberapa tahun dahulu, langsung tidak berbeza.

Degupan jantung kian pantas. Terasa berbahang pada bahagian kiri tubuhnya, seolah-olah menyerap kehangatan tubuh segak lelaki itu. Sumpah, dia bagaikan tidak percaya yang Karl Hakimi kini duduk di sisinya, berada hampir dengannya. Kenapa takdir ini menemukan mereka sekali lagi?

Nafas yang ditarik terasa sesak dan pendek. Ketat dadanya mencari nafas. Dalam hati dia tertanya-tanya juga kenapa lelaki itu datang ke sini untuk meneliti kontrak syarikat mereka. Mungkinkah Karl Hakimi sudah tahu siapa gerangan dia yang sebenarnya?

“So, you rasa macam mana? Puas hati dengan agreement ni?”

Pertanyaan Elman mengalihkan perhatian Karl Hakimi yang sejak tadi membelek fail di tangannya. Bibir mengukir senyuman kecil. Dia tidak pula berniat mahu memberi jawapan secara terus. Dikerlingnya wajah gadis yang duduk keras membatu di sisinya sejak tadi.

“Well… Kalau you rasa semua okey, you boleh sain kontrak ni. Once everything done, kita akan discuss pasal schedule you untuk photo shoot tu nanti.” Elman menghulurkan pen di tangannya kepada Karl Hakimi namun lelaki itu tidak menyambut hulurannya.

Karl Hakimi sekadar tersenyum dengan riak tenang. Hati Elman sedikit terusik. Dia tidak menyangka K-Kim ini lebih kurang sebaya dengannya, malahan jauh lebih kacak berbanding dirinya. Patutlah ramai perempuan yang terpikat dan terkejar-kejarkan lelaki ini. Dan hatinya resah tiba-tiba. Bimbang Bunga ikut sama terpaut pada kelebihan yang ada pada lelaki bernama besar ini. Karl Hakimi gah di puncak dunia, perempuan mana yang tak cair.

“Anything wrong? You tak puas hati ke dengan kontrak ni? We still can amend it…” soalnya apabila suasana sepi beberapa minit.

“No, no. Everything okay.” Karl Hakimi menggelengkan kepala. Dia berfikir sejenak sebelum sekali lagi mengerling gadis yang masih mendiamkan diri itu. Entah apa yang bermain-main dalam fikiran Bunga, dia mahu tahu. Dia yakin bukan sedikit sumpahan atau maki hamun yang terluah dalam hati kecil gadis itu.

“Then you can sign here… and here.” Elman menyelak helaian kertas di hadapan mereka. Hatinya berasa sedikit kurang senang tatkala melihat bukan sekali atau dua kali K-Kim menjeling Bunga, tapi sudah banyak kali. Dia mahu semuanya diselesaikan secepat mungkin dan dia berharap lelaki itu segera beredar meninggalkan mereka. Paling penting, jauh daripada Bunga.

“I boleh sain, but not now. I akan sain during lunch session nanti. Kompeni you akan bagi lunch treat untuk I, kan?” soal Karl Hakimi bersahaja.

“Lunch treat? Yes sure, but I tak free today.” Elman menilik sekilas jam di pergelangan tangannya. Berurusan dengan lelaki terkenal seperti K-Kim ini, memang banyak ragamnya! Mahu tidak mahu terpaksa juga dia melayan, mengambil hati dan ‘mengipas’ lelaki itu supaya tandatangan dapat diturunkan pada kertas kontraknya.

“It’s okay. I pun memang tak rasa nak lunch dengan you…”

Membulat mata Elman dengan jawapan Karl Hakimi namun dia masih cuba bereaksi tenang. Bibir mengukir senyuman kelat, bagaikan mengerti maksud katakata lelaki itu.

“I akan sain masa I lunch dengan Cik Bunga nanti. Okey, kan?”

Bunga tersentak tatkala namanya meniti di bibir lelaki itu. Ya Allah… Akhirnya Karl Hakimi dah tahu siapa gerangan dirinya. Bibir terkunci rapat, hanya mata menghantar isyarat kepada Elman supaya menolak cadangan itu. Gila ke hendak menyuruh dia makan tengah hari berdua dengan si buaya gila ni!

“Errr… actually…”

“I akan sain back-to-back project dengan you, double up… Okey kalau macam tu?”

Ternganga Elman dengan ucapan dari bibir Karl Hakimi. Back-to-back project? Itu terlalu besar maknanya untuk syarikat junior seperti syarikatnya ini. Mendapat dua projek sekali gus bersama K-Kim, tidakkah itu terlalu baik untuk reputasi syarikatnya? Dalam rasa serba salah, pandangan melirik kepada Bunga. Tajam mata gadis itu memanah ke arahnya tanda tidak bersetuju.

“Well, sure. I akan reserve table untuk you dan Bunga sekejap lagi,” luah Elman setelah berhempas pulas memikirkan keputusan dalam waktu yang singkat. Mata Bunga yang membulat ke arahnya dibuat tidak nampak.

“Elman…” Bergetar suara Bunga menyebut nama lelaki itu.

Tergamak Elman mengetepikan dia demi kepentingan syarikat! Tadi kata sukakan dia, dan sekarang celah mana rasa suka Elman itu hilang melayang? Suka-suka saja mahu memperjudikan nasibnya di tangan kasanova terulung seperti Karl Hakimi ini! Kalau setakat kasanova biasa, dia memang tak hairan sangat… Tapi ini kasanova yang pernah melakar sejarah dalam hidupnya. Sejarah pahit!

“Oh, I terlupa nak greet you. Nice to meet you, Bunga. Semalam kita tak sempat nak bersembang panjang, kan?” Karl Hakimi menjongketkan keningnya dengan senyuman nakal di bibir. Dengusan kasar Bunga sudah menjelaskan perasaan yang ada dalam hatinya.

“Sorry, I tak free untuk lunch ni.” Bunga bangkit dari duduknya kemudian kerusi ditolak kasar.

“Bunga, you kena temankan K-Kim. This is an order!”

Mendengarkan suara tegas Elman, langkah kaki Bunga kaku. Arahan? Arahan kepala otak dia!

“Hei, jangan marah-marah. I tak suka orang bergaduh sebab I…” sampuk Karl Hakimi dengan gelak kecil. Dia menoleh, memandang Bunga yang masih berdiri berdekatan pintu bilik. “And you, Bunga. Do I have to plead for a simple lunch with you?”

Rapat Bunga memejamkan matanya. Lelaki itu memang pandai berkata-kata, memang pandai memancing simpati dan paling hebat, pandai memainkan perasaan orang! Tiada perasaan lain dalam hatinya kini… hanya rasa benci yang tidak berkesudahan.

“Don’t worry, Karl. I will arrange everything. Bunga akan temankan you nanti…”

Sayup-sayup jaminan itu keluar dari bibir Elman. Bunga mengetap kuat bibirnya. Lelaki itu pun sama bedebah! Demi kekayaan, demi nama dan kemasyhuran, tergamak Elman menolak permintaannya. Dan sebagai manusia yang terikat dengan komitmen kerja, apalah dayanya mahu menolak arahan itu. Dia terpaksa dan dipaksa menghadap Karl Hakimi untuk sekian kalinya… Kuatkah hatinya nanti?

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/275412/Perempuan-Yang-Paling-Aku-Cinta