[ SNEAK PEEK] PENDAMPING

 

Langit kemerah-merahan bagaikan larutan warna jingga yang merebak di air keunguan. Coraknya yang berlatarbelakangkan gerombolan awan yang berarak mencetuskan keindahan alam yang tidak mampu dihasilkan oleh mana-mana pelukis.

Masjid tua di kawasan universiti pula tersergam megah di celah-celah bangunan-bangunan ilmuan. Melengkapkan lagi kesempurnaan di petang senja itu adalah laungan sayu azan memanggil. Menyentuh sesiapa saja yang mampu menghayati.

Malam itu, masjid menjadi tuan rumah lagi. Menjemput lagi hadirin untuk menghayati pengajaran-pengajaran dalam Islam. Lazimnya, pelawaan itu akan disahut.

Azan telah lama berkumandang. Malahan qamat pula kini menyambung. Jemaah yang menunggu, mula bersedia dan berdiri.

Zarif menyapu titisan air di bawah dagunya sebaik selesai mengambil wuduk. Dibetulkan kedudukan kopiah di kepalanya sebelum kelam-kabut mengejar masa.

Bukan dia seorang diri yang agak lambat. Ada jua yang lain. Dalam bergegas, terasa badannya dilanggar. Mahu dia menjeling, tetapi belum sempat memberikan reaksi, orang itu telah pun melepasi dirinya. Berjalan angkuh ke hadapan. Tidak ditoleh langsung apatah lagi mengucapkan maaf. Dia menahan geramnya bila teringat di mana dia berada.

Kemudian dia terpandang pada pagar masjid. Ada seseorang sedang berdiri membelakangkan pagar masjid. Seorang perempuan tinggi lampai. Perempuan itu bukan mahu memasuki ke dalam masjid. Dia hanya menanti di situ. Lebih menghairankan, dia tidak malu untuk kekal di situ sedangkan itu laluan jemaah keluar masuk masjid. Kepala perempuan itu terteleng sedikit seperti mahu menjeling ke belakang.

Zarif menunggu. Entah mengapa, dia mahu melihat ke mana arah tujunya. Mahu tahu jika dia akan menoleh akhirnya. Tertarik mahu melihat wajah empunya diri.

Zarif tiba-tiba sedikit berdebar bila akhirnya dia menoleh. Zarif terpaku. Mata perempuan itu bersinar dalam kesamaran di bawah lampu jalan. Tajam dan ganas. Seakan-akan mata seorang pembunuh sebelum melangsaikan niatnya.

Dingin tengkuk Zarif. Mahu saja dia pergi dari situ, tetapi kakinya seakan-akan tertanam di sudut itu. Perempuan itu berterusan merenungnya. Memukau.

Zarif tidak mampu menidakkan renungannya. Kakinya tidak mahu melangkah lari. Nafasnya semakin pantas dihambat jantung yang mengepam deras. Berat kepalanya seperti dililit ketat dengan kain untuk membatasi pergerakannya.

“Eh, mari dik, kita sudah lambat ni!” Seseorang berpangkat pak cik menyapa lalu menepuk lengannya.

Zarif tergeladah. Pak cik itu segera memegang bahunya dengan kedua-dua belah tangannya agar tidak terjatuh. Dia mengangguk tanda mohon maaf kerana membuat Zarif terkejut. Zarif tersenyum tawar tanda tidak mengapa kerana telah stabil semula.

“Maaf, nak,” kata pak cik tadi.

“Tak apa.” Zarif mengangguk seperti baru terlepas daripada ceng

eBuku PENDAMPING oleh ZYRA SAFIYAkaman renungan tadi.

“Mari.” Pak cik itu tersenyum seperti mahu menunggu Zarif. “Pak cik terlambat pula hari ini.” “Ya, ya.” Zarif menurut.

Bila dikerling lagi, perempuan tadi telah tiada. Hilang dalam kegelapan. Hilang seperti tidak pernah wujud. Zarif masih terpinga-pinga, namun insiden itu dibiarkan sebaik memasuki ruang jemaah. televisyen tidak memaparkan apa jua cerita yang menarik. Satu demi satu saluran televisyen diubah. Masih membosankan.

Helena mula menghitung jam. Dia perlu pulang ke kampus. Hampir dua hari dia mengasingkan dirinya, memberikan peluang untuk dirinya benar-benar berehat. Tapi, dia tidak boleh selamanya mengelak daripada kembali ke sana.

Telapak kedua-dua belah tangannya dirapatkan. Kedua-dua jari telunjuk saling mengetuk satu sama lain. Matanya ditutup. Membuai seketika.

Fikirannya kosong sebelum dia terasa ringan seperti dibawa pergi dalam satu perjalanan singkat, namun nun jauh di celah-celah bukit, di antara pepohon tinggi dan tua dengan langit hitam pekat tanpa berawan.

Helena tersenyum. Kembali ke kampung. Setiap langkahnya berkaki ayam, memijak rumput-rumput kering di tanah kemarau. Dedaun kuning menghampiri kematian.

Kemudian dia terdengar satu bunyi. Perlahan pada mulanya, tetapi meningkat nyaring dan halus dengan detik yang berlalu. Umpama tangisan bayi di larut malam. Berselang-seli, umpama berdua. Sedu dan jeritan bertimpa. Berdengung alam.

Helena menoleh mencari di mana. Sesat mencari jalan. Mustahil untuk dijejaki biarpun dia merasakan suara-suara itu mengekori seakan-akan berada bersamanya. Suara sayu yang terputus-putus. Akhirnya diam sepi tidak ditemui.

Helena panik. Tangisan yang menghantui. Matanya kembali mencari. Ternampak bumbung pondok terpencil. Kakinya berlari laju.

“Helena.” Namanya diseru. “Cempaka.” Helena berbisik.

Gelap bertukar terang. Yang terbentang di hadapan matanya mula mengecil, melupus. Helena terjerit. Cempaka dicari tidak dijumpai.

“Helena, Helena.” “Cempaka!” jerit Helena. “Helena!”

Wajah ibunya tiba-tiba menerjah di muka. Dilihat Puan Natassia berkerut bimbang merenungnya. Lengan Helena yang dari tadi digoncang, kini tidak lagi.

Mahu saja Puan Natassia bertanyakan kenapa. Mahu cuba merapatkan diri dan bertanya rahsia mimpi, tetapi dia menahan dirinya. Ada sempadan yang masih gagal untuk direntasi.

“Kenapa?” Helena bingung.

“Helena mengigau, menjerit kuat. Mummy ingat mulanya bunyi televisyen.” Puan Natassia memandang ke sekeliling bilik keluarga.

Helena kecewa. Sangkanya semua benar belaka. Bukan mimpi. Tidak mungkin. Segalanya begitu jelas. Daun kering yang menggeletek tapak kakinya, bau busuk yang menyumbatkan lubang hidungnya hingga ke dingin malam desa yang menggigit kulitnya.

“Oh…” Helena termangu.

“Bangun, cuci muka. Kita makan.” Puan Natassia cuba untuk tidak seperti mengarah.

“Pukul berapa ni?”

“Hampir 7.30. Helena tidur waktu senja, tak elok.” “Hmm…” Helena memalingkan muka, tidak bersedia untuk mendengar sebarang leteran.

Puan Natassia terdiam. Dia tahu bila tiba masanya untuk berundur sebelum bermula lagi pertikaman lidah. Mujurlah Helena pulang kembali ke kolej hari ini. Jika tidak, pasti berlaku pergeseran lagi antara mereka. Buat masa ini, dia hanya mahu segalanya segera berlalu agar Helena kembali cepat ke universitinya malam ini.

Mata Helena terbuntang memandang kipas yang berputar laju. Ralik dengan dunianya. Masih separa di alam mimpi tadi. Mungkin jua cuba mengingati apa yang disangka telah dilalui.

Puan Natassia rimas melihatnya begitu. Tidak berbuat apa-apa kecuali tidur dan berkurung diri sepanjang hari. Helena ditinggalkan, tetapi ada sesuatu yang tidak mampu ditolak ke tepi. Ada nama dalam jeritan Helena yang begitu ingin diketahuinya.

“Cempaka?” soal Puan Natassia sendiri.

Gelap-Gelita. Hanya kelibat bayang yang dapat dilihat andai ada sesiapa yang memasuki bilik. Amy menyedari yang dia sudah terjaga. Tersedar sebelum masanya. Itu satu perkara yang paling dibenci kerana dia tidak tahu apa yang bakal dilihat.

Dia membiarkan matanya tertutup. Memujuk dirinya sendiri untuk kembali tidur. Jangan dilayan perasaan gementar. Tiada apa yang menunggunya. Tiada apa pun yang berbunyi.

Belum sempat dia menyakinkan dirinya sendiri, katilnya berkeriuk kuat. Dia tersentak. Ada sesuatu yang sedang berada dalam bilik mereka dan kini mendaki katilnya.

Kedengaran bunyi perlahan. Tidak dapat dipastikan pun- canya. Hanya nafasnya yang semakin kuat dan jelas didengari, menunggu dengan takut andai ada yang bakal menyergah di mukanya. Tangannya telah lama berpeluh dan kedinginan.

Dia membiarkan masa berlalu. Katil berkeriuk lagi. Kemudian diam. Bunyi detik jam loceng pula mencuri perhatian. Begitu ketara di lewat malam begini.

Amy terasa bahang malam menyukarkan lagi keadaannya.

Peluh mula menitis. Badan hangat dan berpeluh. Mahu saja dia memalingkan badannya dan mengibas tangannya. Biar terasa angin sedikit. Namun, dia tidak mampu. Tidak boleh untuk melakukan apa-apa tika dalam saat genting sedemikian.

Terasa ada henjutan di katilnya. Ada yang mencari keselesaan bertenggek di situ. Kemudian perlahan-lahan ada perubahan berat dirasai. Katil melendut lagi diikuti pergerakan perlahan meniti di tepi katilnya. Ada benda sedang memijak katilnya. Mengatur langkah satu demi satu di keliling di mana tubuhnya menggeletar menunggu kegelisahan.

Amy cuba membebaskan diri daripada ketakutan. Mulutnya mahu membaca ayat Kursi, tetapi kali ini dia terasa dikalahkan walaupun belum mencuba. Dia mahu melepaskan diri, tetapi seakan-akan dirantai untuk tidak bergerak lagi. Yang boleh dilakukan ketika ini hanyalah menunggu. Setiap detik melemaskannya.

Amy tahu yang mengganggu sengaja bermain perasaan, meningkatkan debarannya dengan mengelilingi dirinya, sedangkan dia tidak akan berani mahu cuba melihat.

Mata dipejam rapat. Biar apa pun terjadi, dia tidak mahu membukanya. Dia enggan ditakutkan pula dengan rupa. Cukup sekadar rasa.

Tiba-tiba timbul satu bunyi. Amat perlahan, tetapi cukup mengerikan. Tepat di telinganya, bunyi tangisan bayi. Di tengah malam. Tanpa seorang pun yang lain menyedari.

Serentak, mata Amy terbuka memandang siling sebelum sempat dia menghentikan tindakannya. Ada wajah legam hanya sejengkal dari pipi kanannya. Pendatang kala larut malam dengan rambut menggerbang, datang menghimpit.

Amy mencungap. Matanya tidak boleh dikatup kembali. Dia tidak boleh berpura-pura tidur atau tidak menyedari. Dia tidak berdaya menidakkan kehadiran yang mengganggu.

Entah dari mana kekuatan Amy, dia menggolekkan badan, rakus menimpa lembaga hitam lalu tergolek ke lantai.

Terasa jari-jari halus mahu mencapai kakinya, tetapi dia ter- lebih dulu meluru ke pintu lalu memetik suis dinding. Sebaik cahaya menerangi keseluruhan bilik, kelibat tadi lenyap.

Dua rakan yang lain seperti terganggu dengan cahaya bilik, membalikkan tubuh. Masing-masing menarik selimut dan menutup wajah dengan bantal.

Sofea menggosok-gosok matanya lalu terpandang wajah Amy yang ketakutan. Sofea bangkit lalu menggoyang bahu Amy.

“Amy! Amy! Kenapa?” Sofea panik.

“Ah…” Amy tidak mampu menyuarakan apa-apa.

Ayat Kursi dibacakan tiga kali oleh Sofea. Matanya mengerling ke sekeliling. Dibiarkan Amy mengambil nafas. Biar lebih tenang. Ditarik lengan Amy untuk duduk di katilnya. “Amy, kenapa?” Sofea mengulangi, sedikit takut apabila mendapati rakannya seperti kemengahan. “Urgh,” gumam Amy lemah.

“Amy!” Sofea menggoncang lebih kuat.

Amy melirik ke katilnya. Kosong. Kemudian pandangan- nya melewati ke bawah katil.

Sofea memandang tempat yang sama sebelum bahu Amy digoncang lebih kuat agar mata rakannya memandang ke arahnya.

“Apa kau nampak Amy?” Sofea separa terjerit. “Hantu!” Tersembul perkataan itu dari mulut Amy. Pucat wajah Amy. Sofea perlahan-lahan memegang bahu Amy, seolah-olah rakannya itu pula hantu. Amy mengangguk tanda telah pulih sedikit sebelum mengucap beberapa kali. Mulutnya seakan-akan baru bebas daripada sumpahan. Laju dan gopoh bacaannya. Dia mengambil nafas beberapa kali untuk menenangkan diri.

“Apa jadi?”

“Ada benda.” Amy tidak boleh menipu dengan apa yang baru sejenak mengganggunya.

“Kena hempap?” soal Sofea yang pernah mengalaminya beberapa kali.

“Bukan. Bukan hempap. Dia tak hempap, dia baring di sebelah.”

“Dia baring di sebelah.” Nyaring suara Sofea terkejut. “Pelik, kan? Kita dikacau tanpa sebab.” Amy tidak mengerti kerana dia yang terpilih.

“Bagaimana boleh bangun dan petik lampu? Kalau aku, bila kena kacau, aku tak boleh lari ke mana-mana pun, masih di katil, masih terikat di satu alam yang bukan mimpi, tapi tak boleh kembali ke alam realiti.”

“Saya sedar, cuma terpaksa jua beranikan diri untuk melepaskan diri, terpaksa berguling di atasnya.”

“Eii!” Sofea seram mendengar. “Selama ini aku ingat kena hempap sudah cukup teruk…”

“Saya tak faham. Kenapa akhir-akhir ini lebih kerap?” “Lebih kerap? Kau selalu kena kacau ke Amy?”

Amy tahu hijabnya akan membolehkannya melihat perkara-perkara yang tidak diinginkan, tetapi dia tidak sangka dugannya semakin kerap semenjak kebelakangan ini.

“Ya.” Amy gusar mahu berkongsi.

“Takkan setiap kali kau bergolek atas benda itu?” Sofea mahu tahu.

“Tak. Sebelum ini, saya akan tersekat-sekat menguatkan semangat, melembutkan lidah yang keras dan sukar melafazkan sebarang kalimah Allah. Hanya jika berjaya, benda itu akan berhenti dan lesap, seolah-olah semuanya mimpi.”

“Tapi bukan mimpi.” Sofea mencelah.

“Hanya kita yang dapat membezakan,” rumus Amy.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/55861/pendamping