Bayangan-bayangan maut yang mengejarnya itu terus menghantui mimpinya. Bayangan itu hadir seperti tayangan filem yang dipotong oleh editor video yang bangang-tak-reti-nak-edit-video. Sekejap-sekejap, dia melihat babak kejar-mengejar. Sekejap lagi, babak pemburu menghunus pisau perak ke jantung gadis yang dicintainya pula. Kemudian, cebisan ingatan dari penglihatannya melayari pandangan.
Jelas sekali dia rasakan giginya menggigit leher pemburu cilaka itu. Kemudian, dia menyiat isi daging leher pemburu bangsat itu, maka terperciklah darah likat yang hanyir itu ke mukanya. Puas! Cebisan daging di dalam mulutnya dikunyah lalu ditelan hadam.
Setelah puas memperlakukan sebegitu dan yakin musuhnya itu sudah mampus, dia memandang gadis kesayangannya yang sudah kaku dengan pisau perak masih tercacak di dadanya. Tubuh gadis itu kini beransur berubah dari bentuk serigala, menjadi ke tubuh asalnya. Namun perubahan itu terhenti separuh jalan ― tubuh manusia gadis itu masih disaluti bulu-bulu kasar, kuku dan giginya berbilah tajam, telinganya pula meruncing.
“Kat sini rupanya hangpa semua.”
Terkejut mendengar suara asing itu, lantas dia menoleh. Seorang lagi pemburu berkepala botak yang mengejar mereka tadi kini muncul kembali.
“Damien, mai sini cepat! Tinggal hat yang ni ja. Kemon, Damien!”
“Heh, benda mudah je ni,” kata Damien bersahaja.
Lalu dia memakai sarung tangan bersalut plat besi, bersedia untuk bertarung dengan buruannya yang kini tinggal seekor saja.
Dengan sekali hayun tangannya tepat ke kepala serigala jadian itu, terus makhluk jadi-jadian itu tumbang. Kecederaan makhluk jadian semasa berlawan dengan pemburu pertama tadi membuatkan kudrat tenaganya terbatas.
Dia cuba untuk bangun. Sendinya terketar-ketar setiap kali dia menahan tenaganya agar dia dapat bangkit kembali, namun tak sampai sesaat dua, dia rebah. Tangan cuba untuk menggapai gadis werewolf yang terbaring beberapa inci darinya. Perlahan-lahan dunianya menjadi kabur, pandangan berbalam-balam sebelum menjadi gelap. Tanpa mengambil masa yang lama, akhirnya dia tumbang tak jauh dari tubuh kaku sang gadis werewolf…
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/55926/paranoia