[SNEAK PEEK] NOVEL HIKAYAT SATRIA-SATRIA SEJATI: GENERASI BARU

Novel Hikayat Satria-Satria Sejati: Generasi Baru oleh Hilal Asyraf

 

“Aku tak sangka orang-orang Islam terlalu yakin dengan apa yang tidak mampu dilihat dengan mata mereka.
Mereka percaya bahawa Tuhan akan membantu mereka. Hahaha.” 

~ Kirbasi Indana, Pemimpin Tertinggi Wagangada.

Suasana di dalam hutan itu hening. Warna hijau yang menjadi latar memberikan ketenangan. Apabila dibias cahaya matahari, tambah menyerikan pandangan. Bunyi burung sekali sekala bersahutan membuatkan hutan itu benar-benar hidup.

“Bertenang.” Suara Jilani memecah keheningan tersebut. Dia sedang berdiri di hadapan Ariki, yang kini sedang membuka kekudanya bersama tangan dalam keadaan siaga. Tangan kanan Ariki bersentuhan dengan tangan Jilani pada pergelangan tangan. Tangan Jilani bergerak, dan tangan Ariki mengekori. Apabila kedua-dua tangan jatuh ke bawah, Jilani pantas mengangkat tangan kiri, dan tangan kiri Ariki segera mengekori. Pergelangan tangan mereka bersentuh seperti tadi. Dan sekali lagi, Jilani menggerakkan tangan itu ke bawah sambil diikuti oleh Ariki. Keadaan itu berulang dan terus berulang. 

Beberapa hari telah berlalu semenjak pertemuan mereka. 

Jilani telah bersetuju untuk melatih Ariki dan Aifer agar lebih mahir menguasai kelebihan mereka. Walaupun Aifer ternyata berpengalaman, tetapi Aifer sendiri mengakui bahawa dia masih belum benar-benar menguasai seni mengawal aura. 

Sedang Jilani melatih Ariki, Aifer duduk bersila tidak jauh dari situ. Bertapa. 

“Kawalan aura bukan perkara magik. Ini bukan sihir. Tetapi hakikatnya sains. Seseorang itu perlu benar-benar memahami konsep aura ini untuk betul-betul mampu mengawalnya dengan baik.” 

“Jadi apakah konsep itu?” Ariki tidak tahu. 

“Kuasa yang dipunyai oleh kita ini adalah hasil daripada perubahan DNA tubuh, akibat radioaktif meteormeteor yang jatuh ke bumi 1000 tahun yang lalu bukan? Kita mewarisinya melalui genetik. Setiap manusia yang mempunyai kelebihan ini, kini mampu untuk mengawal maksimum dua unsur. Setiap tubuh mempunyai penerimaan yang berbeza, namun semuanya hanya mampu mengawal dua daripada lima unsur – api, air, tanah, elektrik dan angin.” 

Aifer khusyuk mendengar. Walaupun dia sudah tahu itu semua hasil latihan bapanya. Ariki juga tahu yang itu. Kabeer sudah menerangkan kepadanya. Dia masih menanti Jilani menerangkan konsep yang perlu difahaminya. 

“Mengapa hanya dua unsur?” Jilani melontar pertanyaan. 

“Kerana tubuh manusia tidak mampu mengawal lebih daripada dua unsur.” Aifer menjawab. 

“Benar. Mengapa dikatakan bahawa manusia tidak mampu mengawal lebih dari dua unsur?” 

Aifer menggeleng. Itu dia tidak tahu. 

“Kembali kepada asas. Ianya berbalik kepada sel di dalam tubuh badan kita. Sel seorang manusia yang telah berubah akibat radioaktif tersebut, hanya mampu menyerap kemampuan untuk mengawal dua unsur. Apa maknanya di sini?” 

Ariki menggeleng. Pening. “Bukankah itu sudah diterangkan tadi? Tubuh manusia tidak mampu mengawal lebih daripada dua unsur?” 

“Tidak. Inilah konsepnya yang perlu disedari. Kelebihan ini, wujud dalam sel kita. Seluruh tubuh ini hakikatnya senjata. Namun, kebiasaan manusia hanya memberikan fokus kepada tangan dan kaki mereka sahaja untuk mengawal unsur-unsur ini.” 

“Ah.” Ariki mula faham. “Kerana itulah engkau mampu mengawalnya tanpa bergerak?” 

Jilani mengangguk. 

“Dan, apabila seluruh badan mampu bertindak menyerap dan mengawal unsur-unsur tersebut, akan menjadi lebih tinggi kuasa kita. Contoh, orang yang seluruh tubuhnya mampu mengawal unsur tanah dengan baik, mampu untuk membina perisai pada seluruh tubuhnya. Bukan sekadar dinding tanah atau penghadang.” 

Aifer terangguk-angguk. Dia masih tidak mampu melakukan perkara itu. 

“Dan, sebagai contoh, di tempat tiada air seperti sekarang.” Jilani menggerakkan tangan di hadapannya. Menunjukkan bahawa tiada air berdekatan dengan dirinya sekarang. 

Dahi Jilani kemudian sedikit berkerut. Tangan kirinya yang baru dibebaskan dari anduh, memegang pergelangan tangan kanannya, yang kini sedang terbuka telapaknya. 

Tidak lama kemudian, beberapa titis air muncul dalam bentuk bebola, terapung di atas tangannya. 

Aifer dan Ariki sama-sama membeliakkan mata. 

Jilani tersenyum, tetapi jelas dalam kepayahan. Wajah pemuda itu mula berkeringat. 

Tangannya diturunkan. Titisan air tadi jatuh ke tanah. 

“Udara ini mempunyai air bukan? Jika seluruh tubuh mampu digerakkan untuk mengawal, pengguna unsur air akan mampu menarik air daripada udara yang tidak kelihatan ini.” Jilani kelihatan seperti sedang mengawal pernafasannya. 

“Engkau pun belum betul-betul mahir bukan?” 

“Bukan semudah menerangkannya.” Jilani tertawa. 

Ariki terangguk-angguk, mula memahami. 

Sekarang Aifer sedang berusaha untuk membuatkan seluruh tubuhnya mampu menyerap dan mengawal unsur. Ia memerlukan konsenstrasi yang tinggi. Untuk digunakan semasa pertempuran sedang hangat dan memuncak, sudah pasti lebih lagi fokus diperlukan. Aifer pertamanya perlu mendapatkan ‘rasa’ terlebih dahulu. Dan itulah yang sedang diusahakannya sekarang. 

Ariki melirik kepada Aifer sebentar. Tiba-tiba hidungnya dijentik. Terpempan Ariki dibuatnya. Sambil memegang hidung, dia mengerutkan dahi memandang Jilani. 

“Kenapa ?”

“Pengajaran. Hilang fokus walau sesaat di dalam pertarungan, nyawa melayang.” 

Ariki menyedari kesilapannya. 

“Engkau dengan Aifer, ada hubungan apa-apakah?” Jilani bertanya tanpa berselindung. 

Wajah Ariki ibarat disimbah minyak panas. “Eh, hubungan apa yang engkau maksudkan?” Suaranya direndahkan supaya perbualan itu tidak didengari Aifer. Sempat dia memerhatikan Aifer sekali lagi. Jiwanya lega melihat Aifer masih khusyuk bertapa. 

Jilani tertawa kecil. “Sudah gaharu cendana pula.” 

Ariki menyambung latihannya dengan Jilani. “Jujurnya, ya, aku jatuh hati dengannya. Masakan, aku tinggal serumah dengannya hampir sebulan lebih dan kini terpaksa mengembara bersamanya. Memikul perjuangan yang entah bila akhirnya. Aku tertawan dengan ketabahan dan kecekalannya.” 

Jilani mengangguk. Mengerti. “Muslim yang benar, memang menawan. Kerana itu kami sangat mengasihi Ibu Umeira. Malang dia ditangkap sebelum benar-benar dapat mengajar kami bagaimana menjadi Muslim.” 

“Jilani, sebenarnya apa gerangannya aku dilatih sebegini? Mengapa tidak aku bertapa seperti Aifer?” Ariki mengubah tajuk. Ralat mahu berbicara berkenaan hati dan perasaan. Tidak mahu bersembang lebih lama berkenaan Aifer. Malu dan segan. 

“Aifer sudah jauh lebih mahir daripadamu. Engkau perlu faham bahawa aura ibarat arus. Dan untuk mengawalnya dengan lebih baik, engkau perlu belajar mengawal arus. Pandai memutarkannya, seperti ini.” Jilani terus menggerakkan tangannya. Ariki mengekori setia. 

“Pandai menolak dan menariknya, seperti ini. ” Kemudian tangan itu ditukar pergerakannya, kini menolak ke hadapan, Ariki perlahan-lahan mengundurkan tubuhnya seraya tangannya merapat ke dada, sebelum Jilani memberikan isyarat agar Ariki menolak pergelangan tangannya. Ariki menolak, dan perlahan-lahan Jilani melakukan pergerakan yang sama seperti Ariki sebentar tadi. 

Mereka melakukannya berkali-kali. Sebentar atas bawah, kemudian ke depan dan belakang. 

“Bagaimana ? Dapat rasainya ? Arus ?” Jilani bertanya. 

Ariki mengangguk. 

“Hendak menguasai pertarungan yang pantas, asas kena kukuh. Kerana itu kita berlatih dalam keadaan perlahan. Sebagaimana seorang pahlawan contohnya, hendak melatih matanya mampu menangkap pergerakan yang pantas, dia perlu belajar memerhati. Bukan belajar menggerakkan mata dengan laju.” 

Kata-kata Jilani ini membuatkan Ariki teringat akan rutin yang diberikan Kabeer kepadanya. Bertapa melihat air terjun dan mendengar kepada keadaan sekeliling. 

“Engkau aku lihat sudah punya sedikit asas.” 

“Ya, bapa kepada Aifer yang mendidikku.” 

“Ya, bakal mertua memang meletakkan harapan besar kepada bakal menantu.” Jilani menyakat. 

“Hei.” Ariki tergelak dengan seloroh Jilani. Adaada sahaja. 

“Jangan terlalu durja. Perjalanan ini panjang. Ibu Umeira pernah berkongsi bahawa Muhammad Utusan Allah yang diimani olehnya itu, walaupun hidup penuh dengan ujian dan pancaroba, dia juga bergurau senda dengan sahabat-sahabatnya.” 

“Aku masih tidak benar-benar mendalami Islam. Terima kasih kerana berkongsi.” 

“Tetapi engkau sudah Muslim bukan ?” Jilani bertanya. 

“Ya, tetapi nampaknya Islam bukan agama magis. Bak kata Aifer kepadaku. Menjadi Muslim itu semudah mengucap beberapa kalimah. Tetapi hendak benar-benar menjadi Muslim yang baik, ada ilmu yang perlu ditimba. Ini bukan agama untuk orang yang mahu bermain-main.” 

“Benar.” 

“Jilani, Ariki, Aifer!” Suara Runihara menarik pandangan mereka. Aifer yang sedang khusyuk bertapa membuka mata dan bangkit. 

Runihara kelihatan sedang berlari anak ke arah mereka. Sekali sekala melompat mengelak halangan berupa akar yang menjalar dan batu-batu. 

“Ada apa Runihara ?” Jilani bertanya. Dia, Ariki dan Aifer mendekati Runihara yang sedang tunduk, termengah-mengah. 

“Mari, segera ikuti aku.” Runihara menarik Jilani. 

Mereka berempat bergerak pantas. Sekali-sekala terpaksa mengelak halangan-halangan. Mereka juga sedang mendaki cerun yang tidak berapa tajam. Selepas beberapa ketika, kelihatan Ustur dan Rafiq di sempadan hutan. Tempat itu agak tinggi, dan di sinilah mereka bermalam. Ustur dan Rafiq berdiri tidak jauh dari kem mereka. Apabila perasan Runihara telah kembali membawa Jilani, Ariki dan Aifer, Ustur melambai mengajak mereka segera mendekati dirinya dan Rafiq. 

“Mengapa?” Jilani menyoal sebaik sahaja dia menghampiri Ustur. Rafiq kelihatan sedang meneropong ke arah Wagangada. Kemudian teropong itu diserahkan kepada Jilani. Jilani menghela nafas selepas melihat apa yang dilihat oleh Ustur dan Rafiq. “Mengapa ?” Ariki menyentuh bahu Jilani. Teropong diturunkan, dan diserahkan pula kepada Ariki. Ariki melihat. 

Matanya terbeliak. Giginya diketap. 

“Mengapa Ariki?” Giliran Aifer tertanya-tanya. Kehairanan dengan reaksi rakan-rakannya. 

Ariki lambat-lambat memberikan teropong tersebut kepada Aifer. Aifer segera mengambilnya dari tangan Ariki dan melihat dari corong alat tersebut. 

Terkejut. 

Wagangada sedang menayangkan siaran langsung daripada Kota Ismura, pusat pemerintahan Mukan’Aja. Satu skrin yang agak besar, muncul di tengahtengah Wagangada dalam bentuk hologram, dan sedang menayangkan perarakan besar-besaran di Kota Ismura. 

“Bapa.” Tubuh Aifer bergetar. 

Mayat Kabeer dijulang di atas palang oleh beberapa orang tentera, yang merupakan sebahagian dari rombongan perarakan tersebut. Mereka diketuai oleh Lakshamana, yang lengkap berzirah perang, bersama mantel kemegahan. Dia tidak dapat mendengar apa yang sedang disebut oleh siaran itu, tetapi melihat sekujur tubuh bapanya diperlakukan sedemikian, benar-benar membuatkan darahnya menggelegak. 

Teropong diturunkan. 

“Aifer…” Ariki menunjukkan rasa kisah. 

Aifer menundukkan kepala, mengangguk sedikit, sebelum mengesat air mata. 

“Mereka tidak dapat merendahkan maruah bapaku semasa hidup, mereka melakukannya selepas dia mati. Tetapi dia sudah tidak berada di dalam jasad itu. Dia sudah pulang kepada Penciptanya Yang Maha Tinggi.” Aifer menenangkan diri. “Mereka akan mendapat pembalasan, Aifer. Aku berjanji.” 

“Terima kasih Ariki.” 

Runihara kemudian memaut pinggang Aifer dan memeluk puteri Kabeer itu. Cuba memberikannya kekuatan dan sokongan. 

“Aifer, Ariki, perarakan tersebut bukan sematamata untuk menghina jasad bapamu. Tetapi juga sebagai peringatan nampaknya, kepada sesiapa yang menentang Mukan’Aja dan tanah jajahannya. Namun, satu lagi yang tersirat ialah, mereka kini pasti sudah menjangka seakan wujud satu kebangkitan untuk menentang mereka. Kerana itu mereka tidak segan silu mempamerkan tubuh seorang tua sedemikian rupa. Kerana mereka mungkin menyangka bahawa Satria-Satria Sejati sedang berkomplot untuk bangkit semula.” Jilani memberikan komentarnya. 

“Maka mereka semakin memperketat kawalan dan pertahanan.” Rafiq menambah. 

Ustur menghela nafas. “Kita perlu ke Wagangada untuk menyiasat keadaan terkini di sana. Apakah masih ada kemungkinan untuk rancangan kita berjaya. Kita tidak mahu pengalaman buruk berulang.” Dia mencadang. 

Apabila menyebut ‘pengalaman buruk’, Jilani, Rafiq dan Runihara sedikit tunduk. Mungkin mereka terimbas memori buruk tersebut. 

“Tetapi bukankah wajah kita berempat sudah terpampang di merata tempat di Wagangada? Mahu mencari maut?” Runihara mengangkat wajahnya. 

“Mereka berdua tidak. ” Jilani menunjuk kepada Ariki dan Aifer. 

Ariki dan Aifer saling berpandangan. Ariki mengangkat kening dan menggerakkan telunjuk ke wajahnya. “Termasuk aku?” 

“Ya, Lutello tidak kongsikan wajahmu ke seluruh dunia Ariki. Kerana itu kami awalnya tidak mengenalimu. Dan engkau sepanjang tinggal di istana juga tidak terlalu menonjol.” 

“Nampaknya ayahandaku benar-benar malu dengan diriku dan peristiwa itu.” 

“Wirawan ditewaskan oleh seorang budak. Siapa yang tidak malu?” Jilani menambah. 

Ariki terangguk-angguk. 

“Baik, aku akan pergi bersama Ariki. ” Aifer menjawab. 

Tegas. Jelas terpamer keazamannya untuk berjuang. 

Mereka sama-sama mengangguk. 

 ****** 

Tidak jauh dari penjara Wagangada, berdirinya sebuah bangunan besar, terletak di atas sebuah bukit. Kedudukannya di hujung kota, menyebabkan pemandangan dari bangunan itu, mampu meliputi seluruh Wagangada, dek kerana kecilnya negara itu. 

Bangunan tersebut ialah pusat pemerintahan Wagangada. Tempat di mana Kirbasi beroperasi. Dan kelibat Kirbasi kini boleh dilihat di atas sebuah pelantar yang terdapat di hadapan bangunan tersebut. Dia sedang berdiri menghadap keseluruhan Wagangada, melihat skrin besar yang membawa siaran langsung dari Kota Ismura. 

Di sebelahnya, Lunayana. Berdiri utuh dilengkapi zirah dan senjatanya. 

“Berapa lama lagi engkau akan berada di sini ?” Kirbasi menyoal. 

Lunayana tidak menjawab. Dia sememangnya bukan manusia yang banyak bicara. 

Kirbasi menggeleng kepala. “Tuanku Lutello terlalu risau. Tiada apa-apa yang perlu ditakutkan di sini. Engkau pastinya tahu berkenaan reputasi Wagangada bukan? Penjara yang tidak pernah dicerobohi dan dipecah keluar?” 

“Jadi bagaimana engkau mahu menjelaskan berkenaan kehadiran pemberontak-pemberontak tempoh hari?” Lunayana mengingatkan. 

Kirbasi sedikit terpempan. “ Itu kes terpencil. ” Suaranya merendah. Memorinya mengimbas kejadian sekitar dua minggu lalu, apabila sekumpulan anak muda remaja, berusaha mencerobohi penjara Wagangada. Hampir sahaja mereka berjaya, tetapi ternyata mereka tidak tahu kewujudan Lunayana di situ. 

Daripada 10 yang hadir, hanya 4 berjaya melarikan diri. 

6 lagi menemui ajal di tangan Lunayana dalam keadaan yang amat dahsyat sekali. 

Mayat mereka berkecai. Pekerja-pekerja penjara mengambil masa yang agak lama mengutip saki-baki jasad mereka dan mencuci darah yang mengotori koridor penjara.

Mereka tidak dapat pergi jauh. Kebetulan ketika itu, Lunayana sedang melakukan rondaan di penjara, untuk memastikan penjara itu kekal utuh. 

“Adakah 4 orang itu telah berjaya ditemui?” 

Kirbasi menggeleng. 

“Mereka hanya budak-budak. Apa engkau tidak yakin dengan pertahanan yang engkau sendiri perkasakan?” Kirbasi memberanikan diri memandang Lunayana. Dahinya berkerut. Keningnya hampir bertemu antara satu sama lain. 

Lunayana tidak menjawab. Dia kini hanya merehatkan pandangannya kepada skrin gergasi yang masih lagi menayang perarakan Lakshamana membawa mayat Satria Sejati bernama Kabeer itu. 

 Kirbasi turut melakukan perkara yang sama. 

“Satria Sejati. Heh, tak sangka mereka masih ada. Sangkaku, selepas peristiwa 25 tahun dahulu, mereka tidak akan berani lagi kembali.” 

Lunayana tidak berkata apa-apa. 

“Engkau tahu, di dalam Penjara Wagangada, terdapat seorang banduan. Wanita. Separuh abad. Ditangkap kerana menyebarkan Islam. Aku tidak pernah lagi bersua dengannya, tentera yang meronda Wagangada telah menjumpainya. Aku fikir, pemuda-pemudi yang mencerobohi penjara tempoh hari adalah kerana ingin membebaskannya. Kerana mengikut laporan, dia rajin mengajarkan perihal Islam dan berkongsi kisah-kisah berkenaan Muhammad kepada muda-mudi di Wagangada ini. Pastilah ramai yang tidak mendekatinya, kecuali segelintir kecil.” Kirbasi berkongsi cerita. 

Lunayana masih tidak memberikan apa-apa respon. Dia membiarkan sahaja Kirbasi berceloteh. 

“Kini, walaupun sudah dipenjara, dia masih lagi meratib berkenaan Islam. Tidak henti-henti. Dan masih lagi mengerjakan ritualnya saban hari.” Kirbasi tertawa sambil menggeleng kepala. Dia rasa geli hati. 

“Aku tak sangka orang-orang Islam terlalu yakin dengan apa yang tidak mampu dilihat dengan mata mereka. Mereka percaya bahawa Tuhan akan membantu mereka. Hahaha.” Berdekah-dekah Kirbasi ketawa. Sampai dia terpaksa memegang perutnya. Air matanya turut merembes. 

Lunayana tetap kaku. 

“Mereputlah dia di dalam penjara itu, dan entah siapa akan mampu menyelamatkannya.” 

Lunayana tiba-tiba berpaling. Kirbasi sedikit terkejut. 

“Mengapa ?” Kirbasi masih bersama sisa ketawanya. 

“Kau membosankan aku. ” Lunayana bersuara tegas. 

Kirbasi berhenti ketawa. Wajahnya berubah menjadi tegang. Menghantar Lunayana turun dari pelantar dengan pandangan mata sahaja. 

“Heh.” Kirbasi menyumpah. Rasa seperti orang bodoh pula apabila Wirawan Mukan’Aja itu berada di sisinya. Lunayana jelas tidak mempunyai rasa hormat kepadanya. Padahal dia ialah pemerintah di sini. 

Tetapi apakan daya, peribadi Lunayana yang menggerunkan itu membuatkan dia tidak bertindak apaapa. Terpaksa menelan sikap yang ditunjukkan oleh Wirawati Kematian itu. 

Kehadiran Lunayana di sini, walaupun terpaksa dialu-alukan dek kerana arahan Lutello, tidak memberikan keselesaan kepada Kirbasi. Membuatkan dia terasa lemah di negaranya sendiri. 

Namun Kirbasi tidak boleh berbuat apa-apa. 

Lunayana berada di sini untuk kebaikan diri dan kerajaannya juga. 

Kebangkitan Satria-Satria Sejati. 

Kirbasi menghela nafas seraya mengimbas memori silam. 

Bagaimana Lutello telah membawa dia, Lidazatu, Yuntamawi dan Jintaja bergerak menawan dunia, apabila Lutello telah melihat peluang. Walaupun pada asalnya Wagangada, Likuwaku, Namiami dan Jintaja bukan negara di bawah jajahan kuasa Mukan’Aja, mereka mengenali Lutello kerana persahabatan antara ayahanda dan bonda mereka yang merupakan pemerintah. Mereka sering bertemu, sekurang-kurangnya setahun sekali, apabila para pemerintah bermesyuarat. Di sana, perkenalan antara mereka berlima berputik. 

Tetapi Lutello ternyata memang berjiwa pemerintah. Semenjak remaja, Lutello telah berkongsi idea dengan mereka berkenaan ingin menjadi lebih berkuasa. 

Lutello telah terlebih dahulu menaiki takhta berbanding yang lain-lain, kerana ayahandanya mangkat awal. Lutello tidak menanti rakan-rakannya menaiki takhta sepertinya. Cadangan untuk meletakkan Wagangada, Likuwaku, Naimiami dan Janjaja di bawah kekuasaan Mukan’Aja terus dicadangkan kepada pemerintah-pemerintah ketika itu. Begitu juga Uluwalu, Bustanati dan Mastazadi, termasuk Makkah, Madinah dan Palestin. 

Cadangan Lutello dianggap sebagai pengisytiharan perang dan berlakulah musim peperangan yang panjang antara negara-negara. Tetapi ternyata Lutello jauh lebih bersedia, kerana rupa-rupanya dia telah menjangka penolakan negara-negara yang lain. 

Wagangada ialah yang pertama sekali tumbang. Diikuti Namiami, Jintaja dan Likuwaku. Lutello kemudian menaikkan rakan-rakannya sebagai pemerintah. 

Masing-masing memang lapar dengan kuasa. Mereka sedikit pun tidak terasa dengan pembunuhan ayahanda dan bonda mereka di tangan tentera Lutello. 

Terbinalah Mukan’Aja seperti hari ini. 

Uluwalu, Bustanati, Mastazadi, Makkah, Madinah dan Palestin kemudian menjadi sasaran. Peperangan tiga penjuru berlaku, tetapi dengan dua penjuru fokus menumbangkan Mukan’Aja dari arah masing-masing. Satu penjuru Mukan’Aja terpaksa berhadapan dengan Uluwalu, Bustanati dan Mastazadi, manakala satu penjuru lagi terpaksa berhadapan dengan Makkah, Madinah dan Palestin. 

Apabila bangkitnya sekumpulan anak muda yang digelar Satria-Satria Sejati, Mukan’Aja menjadi tertekan dan cita-cita menguasai dunia hampir sahaja menjadi kelam. Ketika ini, Lutello berkongsi satu lagi rahsia yang diketahuinya kepada rakan-rakan. Rahsia berkenaan tanah Palestin dan mengapa mereka mesti mendapatkan kawasan tersebut. Terutama tempat bernama Masjidil Aqsa, satu daripada tiga tanah suci Ummat Islam. 

Memberikan prioriti untuk cita-cita itu tercapai, mereka menghentikan peperangan dengan Uluwalu, Bustanati dan Mastazadi. Cukup sekadar mereka mengundurkan tentera, ketiga-tiga negara itu tidak mara menyerang mereka kerana tahu kekuatan Mukan’Aja dan tidak mahu lebih banyak nyawa terkorban. Semua pihak berundur. 

Mukan’Aja kemudian memberikan sepenuh fokus untuk menumbangkan Satria-Satria Sejati dan mendapatkan Palestin. Sehingga sanggup mengabaikan impian menawan Makkah dan Madinah, dan mengubah strategi dengan menjanjikan keamanan kepada mereka, dengan syarat mereka tidak memberikan apa-apa bentuk sokongan kepada Satria-Satria Sejati. 

Kemuncaknya, pada hari berlakunya Peperangan Agung, Satria-Satria Sejati dikhianati dan ditinggalkan ketika peperangan sedang berlangsung, menjadikan angka mereka terlalu sedikit. 

Kemenangan berpihak kepada Mukan ’ Aja. Satria-Satria Sejati berjaya ditumbangkan, Palestin berjaya ditawan, dan Lutello berjaya meneruskan cita-citanya. 

Menggali di bawah Masjidil Aqsa. 

Kirbasi menarik nafas dalam-dalam. 

Mereka hampir berjaya. 

Jika benar apa yang Lutello khabarkan kepada mereka, tidak lama lagi mereka akan menjadi manusia paling berkuasa di atas muka bumi ini. Ulwalu, Bustanati dan Mastazadi akan menjadi tanah jajahan mereka juga. 

Kirbasi kembali merehatkan pandangannya kepada skrin besar. 

Perarakan sudah berakhir. 

Lutello dilihat sedang menaiki podium dan mahu berucap di hadapan Lakshamana serta rombongannya. 

Kirbasi setia berdiri di situ untuk mendengar, walaupun dia dapat menjangka apa yang mahu diperkatakan oleh Lutello. Pastinya amaran keras untuk pihak-pihak yang bermimpi menentangnya. 

 ****** 

Suara itu kedengaran lagi. Dicelah-celah kebingitan suara di luar penjara, yang berdentam-dentum dengan laungan serta sorak-sorai, dia masih dapat mendengari suara tersebut. 

Berbicara dengan ayat yang tidak difahami. Tetapi merdu, memberikan ketenangan, membuatkan jiwanya rasa hidup. 

Dia cuba memberikan fokus. Menahan kebingitan suara dari luar penjara, dan betul-betul mendengar apa yang didengarinya di dalam penjara ini. 

Tiba-tiba pintu penjaranya terbuka. 

Masa untuk makan dan minum tengahari. Datang seorang pekerja perempuan. Wajahnya lembut. Dialah selama ini memberikannya makan. Memandangkan tangannya digari dalam keadaan terangkat ke siling. 

“Hai.” Pekerja itu bersuara. Lembut. 

Kemudian pekerja itu melutut, meletakkan dulang yang menatang makanan dan minuman. Tangan dihulur ke wajah, membuka papan yang dilekapkan mengelilingi mulut. Hanya bibir dan lubang mulutnya sahaja yang kelihatan. Tidak lebih dari itu. 

Perempuan itu kemudian menyuapnya makan, dan memberikannya minum. 

Begitulah rutin hariannya. 

“Bagaimana agaknya rupamu?” Perempuan itu bersuara, sambil menyuapkannya bubur cair. Tidak enak, tapi cukup untuk meneruskan kehidupannya. 

Dia tidak menjawab. Sekadar menelan makanan. 

Wajahnya dibalut dengan kain. Hanya menampakkan bola matanya sahaja. Mulutnya pula dilekapi dengan papan kayu yang mengelilinginya hingga ke tengkok. Untuk membolehkannya makan dan minum tanpa mempamerkan wajahnya. Dan dia sendiri berfikir, itu adalah kebaikan untuk dirinya dan pekerja perempuan di hadapannya sekarang ini. Kerana jika wajahnya terpapar…. 

“Jangan berbual dengannya. Berapa kali mahu dipesan!” Salah satu pengawal di luar berang. 

Pekerja perempuan itu mengangguk pantas. Kemudian memandang kembali kepadanya, mengenyitkan mata. Dia terhibur dengan ulah perempuan tersebut, tetapi dia sebenarnya lebih memberikan fokus kepada seorang wanita, berusia sekitar separuh abad, yang menjadi jirannya di penjara ini. Banduan itu selnya terletak di hadapan selnya, dan tidak sepertinya, sel perempuan itu sekadar berjeriji. 

 Setiap hari, semasa makan, dia dapat melihat perempuan tersebut. Masih meratib perkataan-perkataan yang tidak difahami olehnya. Pun begitu, tidak kelihatan seperti meracau dan hilang akal. Ayat-ayatnya begitu tersusun, beralun dengan merdu, ada turun naik yang cantik, membuatkan dia yakin, itu bukan mantera sihir dan sebagainya. 

Dan paling membuatkan jiwanya tertawan, ialah ketenangan yang dipamerkan oleh banduan tersebut sambil mengalunkan ayat-ayat itu. Sangat tenang, sangat tabah dan cekal. 

Tiba-tiba, banduan perempuan itu menalakan wajahnya ke arah dia. 

Matanya membesar kerana perempuan itu kini benar-benar memandang ke arahnya. 

Banduan itu mengukir senyuman manis. Berhenti meratib. 

“Aku naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah.” Perempuan itu bersuara. 

“Hei, diamlah!” Pengawal yang mengawal di hadapan selnya mara ke sel banduan wanita itu. Mengetuk tombaknya ke jeriji. Tetapi perempuan itu tidak terkejut, tidak pula berhenti. 

Kini dia menyambung pula dengan bahasa yang difahami. 

Kisah seorang lelaki bernama Muhammad. 

Bagaimana Muhammad itu mendapat wahyu daripada Tuhan, bagaimana dia disisihkan oleh kaumnya, bagaimana dia berjuang menegakkan kebenaran, melindungi yang lemah dan miskin. Setiap hari, begitulah rutinnya, semenjak perempuan itu ditangkap. 

Banduan itu akan meratib dari pagi hingga ke tengahari, dan apabila sampai waktu makan, dia akan kembali kepada bahasa yang difahami, menceritakan kisah Muhammad. 

Dia pula mendengar. Semenjak perempuan itu hadir, dia tidak merasa sunyi. Dan entah mengapa, dia merasakan perempuan itu sedang berbicara dengannya. Ibarat seorang ibu berbicara dengan anaknya, berkongsi kisah-kisah sebelum tidur. Tetapi ternyata, kisah Muhammad ini berada di tingkatan yang tertinggi. Satu kisah yang mengkagumkan. 

Membuatkan dia ingin tahu lebih lagi. 

Malang, dia tidak dibenarkan bertutur, atau pengawal akan menyebatnya. 

“Baiklah. Jumpa lagi malam ini. ” Pekerja perempuan itu usai menyuapnya. Bubur dan minuman yang disediakan telah habis. Papan penutup mulutnya dilekapkan semula. Dikunci. 

Sambil pekerja perempuan itu bergerak keluar dari selnya, matanya lekat pada banduan perempuan tadi. 

Mata mereka bertemu, banduan itu sekali lagi melemparkan senyuman. 

Dan ibarat senyuman seorang ibu, jiwanya terasa segar. 

Entah mengapa, dia yang duduk di penjara ini sekian lama dan hampir berputus asa, kini merasakan harapan kembali menyala. 

Kini dia mahu meneruskan kehidupan. 

Dia mahu memahami ratiban banduan perempuan itu, dan dia mahu lebih tahu berkenaan Islam dan Muhammad. Berkenaan Allah, Tuhan Semesta Alam. 

Apakah akan tiba harinya dia dibebaskan ?

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/205707/novel-hikayat-satria-satria-sejati-generasi-baru