Pagi itu aku dikejutkan dengan bunyi alat penggera di telefon dengan kuat. Tidak sangka aku terus terlelap sebaik saja habis berbual dengan Amri malam tadi. Kepenatan mungkin. Aku menilik jam di skrin. Hari pertama di New Delhi dimulakan seawal jam 7 pagi. Aku harus berada di Room 7 – Rights Table dalam bangunan Pragati Maidan pada pukul 9 pagi nanti untuk pengenalan dan taklimat pendek daripada wakil penganjur sebelum perjumpaan dimulakan.
Aku tidak tahu di mana bangunan itu berada. Menurut peta di Google, lokasinya dengan hotel itu agak dekat tetapi aku tidak tahu bagaimana mahu ke sana dan berapa tambang teksi atau keretapi atau pengangkutan lain yang harus kubayar untuk sampai ke situ.
Tangan bijak mencapai alat kawalan jauh untuk menutup pendingin hawa. Selimut ditebarkan. Dengan berlenggeng aku berjalan menuju ke bilik air yang kecil. Pili dibuka dengan perlahan tetapi belum pun sempat aku mencuci muka, tiba-tiba aku teringat pesan Mama untuk menggunakan air botol mineral saja buat berkumur untuk menggosok gigi. Dia bimbang aku tertelan air yang tidak bersih. “Kita tak tahu berapa juta kuman yang ada dalam air pili itu,” katanya.
Aku setuju lalu dengan pantas aku mencapai air botol mineral yang disediakan oleh pihak hotel di tepi TV. Aku tidak mahu keracunan. Terlantar di hospital dengan tubuh yang lembik, muntah-muntah dan perut yang sakit bukanlah sesuatu yang aku tunggu-tunggu, lebih-lebih lagi terlantar di hospital di India. Di negara orang. Seorang diri tanpa teman. Dengan aku tidak tahu sama ada mereka mampu berbahasa Inggeris atau tidak. Aku pernah bekerja menjawab panggilan dulu, aku tahu telor pekat mereka berbahasa Inggeris bagaimana. Tidak.
Botol dibuka, selesai berkumur dan menggosok gigi, aku membuka pili shower untuk membersihkan diri. Suhunya dibetulkan. Tidak terlalu panas atau terlalu sejuk.
Sepanjang mandi, aku hanya menutup mulut dengan ketat. Fikiran melintas dengan segala rancangan dokumentari yang pernah aku lihat di TV tentang India. Tentang bagaimana penduduknya yang padat, sungainya yang tercemar dan najis orang yang bersepah merata-rata. Kemudian, aku teringat pula dengan filem Slumdog Millionaire.
Ada adegan menunjukkan bagaimana budak miskin itu mengisikan air paip ke dalam botol mineral sebelum menutup botol itu dengan gam untuk diberikan kepada pelanggan di restoran. Bulu roma di tengkuk tiba-tiba tinggi meremang. Bagaimana jika hotel itu melakukan perkara yang sama?
Selesai mandi, aku bersiap-siap ke lobi untuk bersarapan. Buffetnya ringkas tetapi menarik. Ada dua-tiga jenis roti dan kuah sambal dan kari, nasi putih dan beriani serta beberapa jenis manisan. Ada juga disediakan buah-buahan, kentang goreng, hashbrown, telur hancur dan bijirin bagi mereka yang bercitarasa antarabangsa.
Aku elakkan untuk meminum jus epal dan oren, sebaliknya memilih chai panas. Aku bimbang jika air yang digunakan untuk membuat minuman itu tidak dimasak terlebih dahulu. Sedang menikmati juadah seorang diri, ada beberapa tetamu hotel yang lain, rata-ratanya mat saleh, datang memeriahkan suasana. Mereka berbual-bual dengan pekerja di situ, aku kira pengurus banquet, bertanyakan sesuatu dalam bahasa Inggeris. Aku tersenyum lebar.
Lelaki itu datang ke mejaku tidak lama kemudian. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Mehta sebelum bertanya jika ada apa-apa yang perlu dibantunya untuk menaik-taraf kualiti makanan di situ.
Aku hanya menggeleng sambil menaikkan ibu jari. “Perfect,” jawabku. Aku tidak berbohong, memang makanan di situ sedap, cuma aku berserah sajalah jika di dalam meeting nanti aku akan berkawan dengan tandas sepanjang masa.
“Do you know where Pragati Maidan is?” Tiba-tiba soalan itu terpacul.
“Pragedi Maydan?” soalnya semula.
“Yes.”
“Oh, it’s very near. You just go to the main road and straight ahead.”
“Ahh… walking distance?”
“Ya, ya, about 10 to 15 minutes walk,” jawabnya penuh yakin.
“Good.” Aku menaikkan ibu jari sekali lagi.
“Why you want to go there?”
“To the book fair.”
“I see.” Dia menggeleng. “Where you come from?”
“Malaysia.”
“Oh! Truly Asia!” balasnya dengan ketawa besar. Aku tidak tahu apa yang lucu.
“Of course. Have you been there?”
“Ya, long time ago. I have a family there. In Klang. Ah, Malaysia, truly Asia.” Dia mahu bercerita panjang lagi tetapi salah seorang pekerja di situ memanggilnya untuk masuk ke dapur.
Aku hanya mengangguk ketika dia meminta diri. Jam tangan sudah menunjukkan pukul 8:30 pagi. Beg disangkutkan ke bahu. Pinggan dan cawan aku biarkan saja di atas meja. 10 ke 15 minit berjalan kaki. Mudah. Kakiku panjang, mungkin aku boleh tiba lebih awal daripada itu. Cuaca gelap dan sejuk tetapi tidak sesejuk malam tadi. Langit nampak kusam. Aku harap tidak hujan. Malu juga jika aku basah kuyup di dalam meeting itu nanti.
Dengan menarik nafas panjang aku memulakan langkah.
Pragati Maidan aku datang.
Aku terlupa pula orang India memang suka berjalan. Sudah lebih 15 minit aku menapak tetapi bayangan bangunan yang mahu dituju itu masih tidak nampak di depan mata. Mungkin aku sudah tersilap jalan dan perlu berpatah semula tetapi aku perlu bertanya orang terlebih dahulu. Aku tidak mahu tersesat lagi.
Jalan raya pagi itu sangat sibuk. Kereta, motor, bas, lori, auto (sejenis pengangkutan awam seperti tuk-tuk di Thailand atau bajaj di Indonesia) berpusu-pusu, melekat di antara satu sama lain. Hon bingit berbunyi seolah-olah siapa yang paling kuat menekan, dia yang dapat berjalan dulu. Asap berkepul di udara, mujur cuacanya dingin, jika tidak, tentu seluruh tubuh sudah kotor berdebu dan ketiakku sudah berpeluh kepanasan.
Dari jauh aku perhatikan ada beberapa orang anggota polis atau mungkin pengawal keselamatan sedang berbual. Aku ingin melintas tetapi lampu isyarat tidak bertukar dan jika ia bertukar pun, tiada kenderaan yang akan berhenti. Aku lihat ada beberapa orang tempatan yang tidak mempedulikan kenderaan-kenderaan itu dan berjalan saja perlahan-lahan sambil mengangkat tangan mereka. Gila. Tak ubah seperti cubaan membunuh diri.
Aku tunggu sehingga kereta betul-betul tidak dapat bergerak sebelum berlari menyeberang. Setiba di simpang, aku terlihat ada papantanda tertulis Zoo di belah kanan dan Pragati Maidan terus ke hadapan. Aku tidak tahu mahu terus ke mana lagi, mustahil bangunan itu terlalu kecil untuk dilihat. Aku berlari mendapatkan pegawai polis atau pengawal keselamatan tadi.
“Excuse me, do you know where Pragati Maidan is?”
Dia menggeleng. Aku tidak tahu sama ada dia tidak tahu berbahasa Inggeris atau dia memang tidak tahu apa-apa. Lalu aku pasrah dan ikutkan saja kata hati untuk terus berjalan ke depan dan terjumpa dengan dua-tiga orang pegawai polis atau pengawal keselamatan lagi.
Aku ajukan soalan yang sama, mulanya mereka tidak tahu tetapi bila aku katakan “Book Fair” mereka mengangguk dan menyuruh aku berjalan kaki untuk 10 ke 15 minit lagi. Jam waktu itu sudah pun pukul 9 pagi. Aku bakal tiba lambat pada hari pertama perjumpaan bersama wakil-wakil penerbit buku yang lain. Aku harap aku tidak menconteng arang ke muka penerbit kesayanganku dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Kali ini kata pegawai polis atau pengawal keselamatan itu betul. Memang aku hanya perlukan 10 ke 15 minit saja untuk tiba ke bangunan itu tetapi bangunan itu besar. Ada beberapa pintu masuk utama dan aku perlu ke Gate 1 di hujung sekali. Aku perlu berjalan untuk lima minit lagi sebelum tiba di depan pintu masuk yang masih tertutup.
Bangunan itu dibuka kepada umum pada pukul 10 pagi. Sesiapa yang telah mempunyai pas masuk boleh melepasi pondok pengawal dengan menunjukkan pas mereka saja. Apabila aku tanyakan kepada pengawal itu bagaimana untuk mendapatkan pas yang sama, dia hanya menggeleng.
Sekali lagi aku tidak tahu sama ada dia memang tidak tahu berbahasa Inggeris atau dia memang bodoh. Hati menyumpah-seranah. Mujur ada bangku di bawah pokok untuk aku lepaskan penat. Sebatang rokok dikeluarkan dari dalam beg. Aku tidak nampak sesiapapun yang merokok di situ tetapi aku tidak peduli.
Tidak berapa lama kemudian, makin ramai orang yang menunggu di luar bangunan itu. Ada seorang lelaki tempatan duduk di sebelah. Dia berbahasa Hindi mulanya, merungut sesuatu kepadaku tetapi apabila aku beritahu yang aku bukannya berasal dari negara itu, dia mula berbahasa Inggeris. Katanya, dia tidak mengerti mengapa kaunter tiket lambat dibuka kerana dia datang untuk membeli buku ke situ sebelum lebih ramai orang yang datang.
Aku pula beritahu tujuan aku datang ke situ untuk menghadirkan diri ke perjumpaan dengan wakil penerbit buku yang lain tetapi aku tidak dibenarkan masuk tanpa pas. Dia tersenyum lebar. Semua pas telah diberikan kepada semua yang mengambil bahagian semalam, sehari sebelum pesta buku itu bermula, katanya. Aku terangguk-angguk.
Kaunter tiket dibuka lima minit sebelum jam 10. Ada dua barisan, lelaki dan perempuan. Pertama kali di dalam hidup aku lihat jantina diasingkan untuk membeli tiket. Tiket berharga Rs50. Selesai urusan membeli, aku bergegas masuk dengan beg diperiksa dan berjalan terus ke Hall 12. Tidak sangka dalam kompleks itu sudah pun dipenuhi ramai orang. Lelaki itu mengajak untuk naik sama ke dalam van yang akan membawa pelawat ke seluruh kawasan di situ. Terlalu besar. Berganda-ganda luasnya daripada PWTC atau mana-mana pusat konvensyen yang pernah aku lihat atau pergi di Malaysia.
Sebaik saja masuk ke dalam van, aku menjeling ke luar. Tiba-tiba aku jadi kagum. Tidak sangka keadaannya begitu meriah. Setiap satu hall mengisikan puluhan nama penerbit yang terlibat sama. Ada juga papantanda yang menunjukkan peta untuk ke lokasi dan aturcara majlis yang akan diadakan. Aku tertarik dengan poster yang menayangkan featured books dan penulis yang terpacak di tepi-tepi jalan. Entah bila agaknya akan ada poster dengan wajahku yang terpampang sebesar itu.
“Hall 12,” kata lelaki itu apabila van yang kami naiki tiba di tempat yang dituju. Aku cepat-cepat membuka pintu untuk turun dan sebaik saja menjejakkan kaki ke tanah, mata bertentang dengan seorang perempuan jelita yang berdiri di depan. Dia tersenyum. “Excuse me,” katanya lembut sebelum masuk ke dalam van itu. Aku ke tepi sedikit untuk memberikan laluan kepada orang lain yang ingin masuk sama.
Fikiran yang awalnya agak lembab tiba-tiba ligat berputar. Aku kenal dengan perempuan itu. Kenal sangat-sangat. Kepala pantas dipalingkan ke belakang sebelum van itu bergerak tetapi wajahnya tidak dapat dilihat (dia duduk di sebelah tingkap yang lain) lalu aku berlari ke situ untuk memandangnya sekali lagi. Ya, benar. Aku kenal dengan perempuan itu. Rambutnya telah panjang dan ikal. Berwarna hitam pekat. Dia memakai cermin mata. Kepalanya tunduk sedang menatap telefon bimbit di tangan. Aku mengetuk tingkap van itu.
Dia terkejut.
“Dina!” jeritku.
Wajahnya berkerut.
Van itu kemudiannya pergi.
Tiada sepatah harampun kata-kata dari Jimmy, wakil penganjur Rights Table itu yang masuk ke dalam otak. Benakku masih terbayang-bayangkan wajah perempuan tadi. Aku yakin itu Dina. Walaupun dia sudah berambut panjang dan berkacamata, aku masih kenal dengan senyumannya dan gaya dia menunduk, memalingkan wajah, mengerutkan dahi dan duduk.
Segala-galanya sama seperti dulu. Cuma yang pelik, kenapa dia tidak langsung terkejut melihatku? Kenapa dia seolah-olah tidak mengenali aku siapa? Mustahil dia tidak kenal aku sebagaimana aku mengenali dirinya. Aku tahu itu dia. Itu Dina.
Mungkin dia hanya berpura-pura. Ya. Aku pasti dia berpura-pura. Kimk. Bagaimana dia boleh tercampak ke situ? Ke pesta buku itu? Ke New Delhi? Ke India? Apakah dia datang untuk melancong? Sendirian? Bersama Vin? Buah hatinya? Bagaimana dia boleh terlepas dari hukuman mati? Bukankah dia telah membunuh Iskandar? Rumi? SIALAN!
Aku mahu menghubungi Lisa dan Mama di Kuala Lumpur tetapi kredit telah habis dimakan, semalaman aku biarkan telefonku roaming tanpa sedar. Hati mula menggaru-garu. Resah.
Tidak sabar mahu mencari wi-fi. Apakah mereka ada menyediakan wi-fi percuma di situ? Atau di mana-mana yang aku boleh curi? Mata meliar mencari jika ada tanda Free Wi-Fi di mana-mana tetapi gagal. Cuak. Tisu diambil dari beg yang aku letak di bawah meja. Aku mahu mengesat muka yang kebasahan. Tangan mula menggeletar. Menggigil seperti penghidap Parkinson.
Dahi dan atas bibir berpeluh-peluh. Aku makin rasa tidak senang. Segala apa yang telah dia lakukan terhadapku dulu kembali bermain-main di dalam fikiran. Melekat, bergayut di situ, tidak mahu berganjak. Perut rasa memulas. Tidak. Aku yakin aku bukan keracunan makanan. Aku cuma takut.
“Excuse me?”
Tiba-tiba aku ditegur seseorang ketika baru saja mahu berdiri untuk ke tandas. Aku memandang wajah lelaki itu tanpa berkelip. Dia kemas berpakaian siap suit dan tali leher, sedangkan aku hanya berkemeja lengan panjang dan berseluar jeans saja. Aku memandang ke sekeliling sekali lagi. Ya, semua yang ada di situ berpakaian cukup formal. Aku seorang saja yang sempoi. Cilaka.
“Yes?” soalku semula dengan tersenyum kelat.
Dia memperkenalkan diri sebelum menghulurkan kad perniagaannya. “Sorry, our appointment is at 2 actually but I need to go back to my office now. If you don’t mind, can we…”
“Sure,” jawabku tanpa berfikir panjang. Aku tidak mampu untuk berfikir apa-apapun. Aku tidak peduli siapa yang patut aku temui dulu sebenarnya.
Ah! Tuhan, tolonglah!
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96084/nota-3