[SNEAK PEEK] NOTA: 2

9789670954547-medium

NOTA: 2 Oleh Shaz Johar

Aku membuka mata. Entah bagaimana aku boleh berada di dalam hutan waktu itu, terkujur di situ. Nafasku tersekat-sekat. Putus-putus, sekejap datang dan sekejap hilang. Aku cuba mengingati apa yang telah berlaku tetapi tidak berjaya. Tangan meraba dahi yang bengkak. Pedihnya berdenyut-denyut. Apabila aku cuba mengangkat kepala, rasa peningnya makin menjadi-jadi. Seluruh tubuh rasa lemah-lemah. Mungkin aku sudah mati. Mungkin ini yang dikatakan orang roh yang terawang-awang. Roh yang tidak aman. Aku cuba berdiri untuk pergi dari situ tetapi tidak berdaya. Di mana bayang Tuhan? Di mana malaikat maut? Kenapa mereka tidak menampakkan diri lagi?

Aku cuba berdiri sekali lagi. Agak payah juga mahu menopang badan dengan menggunakan siku yang sakit sebenarnya, tetapi sebaik saja berjaya mencapai sebatang pokok kecil, aku genggam dan tarik tubuh yang terlentang. Aku rebah semula. Betis rasa pedih. Seluar jeans biru yang dipakai ditarik ke atas sehingga ke bawah lutut. Ada kesan lebam di buku lali. Mungkin
kakiku telah patah. Atau terseliuh. Batang pokok tadi dicapai semula. Aku cuba berdiri sekali lagi. Kali ini kaki mampu memijak tanah. Sebelah kaki, maksudku. Sebelah yang tidak lebam itu. Sebelah lagi, kasutnya telah hilang entah ke mana. Aku tanggalkan kasut yang masih dipakai itu. Kedua-dua stoking putih yang sudah kekuningan bercampur hitam dan merah, dilucutkan dan dibuang. Kesepuluh jari kaki digerak-gerakkan. Dengan terhinjut-hinjut, aku mula mengatur langkah.

Lama aku berjalan sebelum terduduk semula. Kepenatan. Mata memandang ke
langit yang bakal gelap. “Mama…” Airmata menitis. Aku rindu pada perempuan itu. Aku rindu pada masakannya. Rendang dagingnya. Sambal geseknya. Sialan. Perut tiba-tiba berlagu meminta makanan. Makanan? Makanan apa? Tiba-tiba aku bertanya kepada diri sendiri. Bukankah aku sudah mati? Mungkin apa yang aku mahukan adalah darah. Ya, darah. Apa agaknya rasa darah? Bagaimana aku mahu mencari darah? Di mana? Darah siapa yang harus aku hirup?

Tangan dimasukkan ke mulut untuk merasa gigi. Masih belum ditumbuhi taring. Badan sudah berbau busuk. Berpeluh-peluh. Masam. Mungkin aku perlu mandi. Hantu juga perlu mandi. Betulkah hantu juga perlu mandi? Betulkah aku sudah mati?

Aku perlu mencari sungai. Aku terus berjalan.

Tiba-tiba sepasang kaki melintas di depan muka. Seekor pelanduk kecil yang mungkin terkejut melihatku di situ. Dia melarikan diri sementara aku pula kaku tidak bergerak. Terkejut. Mata tertumpu pada satu lopak basah besar di celah pokok dan busut tinggi di sebelah kiri.
Ada daun kering dan ranting kayu yang bertimbun di atasnya seperti bumbung. Ada kesan tapak kaki babi dan harimau di situ. Mungkin itu tempat kedua-dua haiwan itu berkubang. Atau mungkin juga itu rumah mereka.

Aku menoleh pula ke kanan. Ada sekumpulan kera sedang memerhatikanku di situ. Mata kami bertentangan tanpa berkelip. Seekor jantan yang lebih tua mara ke depan. Dia membuka mulut, mengeluarkan taringnya yang panjang. Mungkin dia marah kepadaku kerana tidak meminta izinnya untuk berada di situ. Aku takut tetapi sengaja memberanikan diri untuk kekal tidak berganjak. Aku tahu kukunya mampu mencakar dan merobek dagingku. Aku tahu taringnya mahu mencengkam dan membaham. Tetapi aku kira waktu itu aku juga harus menetapkan kepadanya yang hutan dan aku telahpun bersatu. Aku bukannya pendatang asing. Lalu aku buka mulut dengan luas sebelum menerpa ke arah mereka. Jeritan kuat bergema sehingga kera-kera itu semua bertempiaran lari.

Aku mengeluh. Nafas yang pendek aku tarik dalam-dalam. Perut makin memulas. Makin
lama makin kuat berkeroncong. Aku menekan-nekannya dengan harapan bunyi yang menjengkelkan itu dapat berhenti. Gagal. Kaki terus melangkah, makin lama makin jauh ke dalam. Menyesal pula aku tidak bersenam sewaktu hidup. Jika tubuh badanku lebih tegap dan kuat tentu aku tidak selemah ini.

Aku menepuk perut yang buncit sedikit. Bukankah lemak sepatutnya boleh membantu? Bukankah tenaga itu dikumpul dalam bentuk lemak? Karbohidrat? Protein? Dulu di dalam kelas Sains, Mr. Ushantha Joseph Chaminda Vaas pernah berkata, karbohidrat akan digunakan jika tubuh tidak diisi dengan makanan. Kemudiannya diikuti lemak dan protein. Jadi apa guna lemak yang berlambak di dalam perut aku ini jika tidak memberikan aku tenaga?

Cuping telinga terasa pedih digigit nyamuk yang mengikut. Mata terus memerhati pada bahaya yang mungkin berada di depan
mata. Ular, harimau, buaya, apa saja haiwan yang boleh membunuh. Kaki terus
melangkah dengan berhati-hati. Tangan memegang sebatang kayu sebagai penunjuk
arah. Atau sebagai alat untuk menghalau semut, labah-labah atau haiwan berbisa yang lain. Aku harus mengikut laluan haiwan jika
terjumpa. Kata Mr. Ushantha Joseph Chaminda Vaas lagi, laluan itu yang biasanya
akan membawaku ke kawasan yang berair atau ke tanah lapang.

Aku memalingkan wajah menghadap ke batang pokok. Ada beberapa ekor semut hitam sedang beratur berjalan di situ. Aku julurkan lidah dan menjilat mereka. Rasanya pedih bercampur masin. Tekak jadi loya tetapi aku kuatkan hati untuk menelan.

Kepala mula terasa pening. Mungkin aku perlu minum saja air embun yang melekat di atas daun atau rumput. Mungkin aku perlu hirup saja mana-mana takungan air dan lumpur yang ada. Hutan telah bertukar menjadi gelap. Pokok-pokok yang sebesar dua-tiga pemeluk menutup cahaya matahari yang menyuluh. Aku tidak dapat melihat apa-apa. Aku takut jika tersepak lipan atau kala jengking. Aku takut jika disergah harimau atau kucing hutan.

Tangan menyapu bibir. Kupingnya aku tarik. Luka di kepala yang sudah berkudis, diraba. Sudah tiada air liur yang mahu ditelan. Badan makin lemah. Panas. Kering. Tidak terasa langsung mahu membuang air juga. Aku meraba-raba wajah. Aku tidak tahu bagaimana rupaku waktu itu. Pipi dan mata terasa cengkung. Tulang bahu dan rusuk juga timbul. Kulit sudah
pucat tidak berwarna. Perut mual. Tiba-tiba aku muntah. Tetapi hanya air kosong yang keluar. Hanya titisan-titisan air. Aku tadah muntah itu dengan tangan. Aku tidak mahu ia membazir begitu saja. Aku kehausan. Lalu aku jilat semula.

Apabila aku tegakkan kepala, ada cahaya kecil yang muncul betul-betul di depan. Sedikit demi sedikit cahaya itu terang, dari satu titik bulat menjadi panjang, tinggi dan seterusnya menyerupai manusia. Atau hantu. Atau hantu menyerupai manusia. Entahlah. Dia berpakaian serba putih. Jubah panjang. Kakinya tidak melangkah tetapi pantas dia bergerak ke depan. Seolah-olah sedang terbang tetapi tidak terlalu tinggi menghampiri aku. Tangannya dihulurkan dan aku cuba untuk menyambutnya tetapi tidak berjaya. Kami telus, tidak bercantum. Dia tidak
membuka mulut tetapi dia bersuara. Dia tiada mulutpun tetapi aku boleh fahami apa yang cuba disampaikan. Katanya,
“Jangan langsung berasa gentar atau takut dengan apa-apa kerana kau yang
sepatutnya mengawal rasa ketakutan itu.” Dia mahu aku pergi dari situ. Keluar
dari situ. Keluar mencari manusia. “Manusia bodoh,” panggilnya. Manusia mudah diperdaya. Manusia mudah lemah dengan bisikan kita. Manusia mudah mengikut kata-kata.

Aku percaya kerana dulu aku pun begitu. Selalu mengikut nafsu. Selalu tertipu dengan kata hati. Terlalu mudah percaya. Tetapi baru saja aku mahu membuka mulut untuk bertanya bagaimana caranya, dia telah hilang.

Aku teruskan perjalanan selepas itu. Terus berjalan sehingga aku lelah. Sehingga aku rebah. Sehingga aku sudah tidak berdaya lagi.

──♦──

Mata terbuka apabila terasa ada benda yang berkuis-kuis di kaki. Mulanya aku mahu melompat tinggi, aku bimbangkan katak beracun atau biawak yang sedang cuba melintas di kaki, tetapi rupa-rupanya ada seekor ayam hutan jantan yang sedang mencari makanan. Tubuhnya kecil tetapi bulunya lebat. Ekornya panjang. Begitu juga dengan tajinya. Dia tidak peduli
langsung aku ada di situ. Mungkin dia menyangka aku hanya timbunan tunggul
kayu. Perlahan-lahan aku mengangkat tangan. Aku biarkan dia terus leka mengais mematuk di situ. Makin lama tanganku makin dekat dengan tubuhnya dan setelah aku yakin aku akan dapat
menangkapnya dengan sekali cekup, aku menerkam. Dia cuba melompat tetapi lehernya telah dapat aku genggam terlebih dahulu. Mulutnya bising, menjerit, berkokok. Kakinya menyepak-nyepak hingga tajinya menghiris lengan tetapi aku biarkan saja rasa sakitnya. Kepaknya dikibar-kibar, dia cuba terbang, tetapi dalam masa yang sama jariku makin kuat menggenggam. Memicit. Mematahkan tulang lehernya. Kepalanya terkulai. Dia mati.

Aku campakkan mangsa pertamaku itu di bawah. Dengan penuh kudrat, aku gigit dadanya hingga gigiku jauh terbenam. Bulu pelepahnya masuk ke dalam mulut dan hidung. Darah yang mengalir keluar aku hirup tanpa henti. Rasanya hanyir tetapi aku teruskan juga. Tekak jadi loya,
kembang, ingin memuntahkan segala isi perut selepas itu. Aku tidak tahu di mana rasa sedapnya. Aku tidak tahu apa yang membuatkan hantu gemar dengan darah. Mungkin aku harus terus mencuba. Berlatih hingga sempurna. Atau mungkin aku harus mencari darah manusia. Rasanya tentu lain. Tentu manis. Jika tidak, masakan ada perumpamaan seperti
itu dahulu?

Aku terus berjalan. Tidak lama selepas itu aku terdengar sayup-sayup bunyi aliran anak sungai. Aku terus memasang telinga sebelum berlari ke situ. Pantas juga kaki aku berlari, bagaikan terawang-awang di atas rumput, kadang-kadang tidak langsung mencecah ke tanah, dan berhenti sebaik saja tiba di tepi tebing. Tebingnya tidak terlalu tinggi, boleh saja jika aku mahu terjun ke dalam sungai itu. Sungai itu juga tidak terlalu dalam. Aku melangkah setapak. Airnya jernih. Mungkin aku berada jauh di ulu kampung kerana jarang dapat berjumpa dengan sungai yang sejernih itu di ibu kota.

Buat pertama kalinya aku dapat melihat bayang-bayang sendiri. Rambut kasar panjang tetapi banyak yang telah gugur. Pipi telah cengkung. Bawah mata lebam kehitaman. Mata putih bertukar kuning. Yang hitamnya berwarna perang kusam. Seluruh tubuh kotor bersalut tanah. Dahi semakin besar, telinga juga semakin capang. Dua butang baju paling atas sudah
tertanggal

menampakkan dada yang kering. Aku mengangkat baju untuk melihat perut. Buncit tetapi kurus. Yang buncit di perut saja tetapi tulang rusuk boleh dilihat berbaris di tepi tubuh. Kemudian aku buka seluar dan seluar dalam. Tulang pinggang tersembul. Kemaluan mengecut. Buah kerandut melendut panjang. Paha sudah sama besarnya dengan betis. Aku hanya tulang yang dilitupi kulit yang nipis. Tanpa membuang masa, aku melompat ke dalam sungai itu.

Sebaik saja kaki mencecah ke dasar, aku terdengar lagu itu semula. Bergema. Mendayu. Lagu Honeymoon dari Lana Del Rey. Itu lagu terakhir yang aku dengar sebelum aku tercampak ke dalam hutan itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79837/nota-2