[SNEAK PEEK] Mr Bibik

Mr Bibik oleh Aein Dhiyauddin

FIRAS mengemas beg sandangnya. Macam-macam sampah ada. Dari resit hingga ke risalah makanan. Hari ini dia bercuti, manakala Aulia bekerja. Hari cutinya jatuh pada hari biasa. Akan bercuti pada hujung minggu sebulan sekali sahaja.
“Phone apa ni?” Firas membelek telefon yang dikeluarkan dari begnya. Telefon biasa sahaja. Nampak seperti telefon murah.
“Oh…” Baru dia teringat yang dia terjumpa telefon itu di dalam tong sampah semasa mengemas bilik tidurnya tempoh hari. Diletakkan di dalam begnya dan terlupa untuk bertanyakan kepada Aulia.
“Dah rosak ke?” Dia menekan butang on. Selepas beberapa ketika, skrin menyala.
“Kenapa dia buang telefon ni? Ada kad sim lagi.” Firas membuka fail satu per satu. Tiada apa-apa. Tiada gambar atau sebarang aplikasi lain selain WhatsApp.
Jarinya menyentuh ikon WhatsApp. Terus terpapar mesej. Hanya ada satu nombor sahaja. Dia mengenali nombor telefon itu kerana nombor itu milik bapa mentuanya.
“Kenapa Aulia pakai nombor telefon lain berWhatsApp dengan daddy?” Firas yang tadi berdiri di sisi meja solek menarik kerusi dan duduk.
Baris demi baris perbualan WhatsApp antara Aulia dengan bapa mentuanya dibaca. Lebih mengejutkan, namanya banyak disebut. Perbualan dalam WhatApps itu bermula sejak kali pertama dia bertemu dengan Aulia. Tidak sangka, dia sebenarnya mangsa dua beranak itu!
“Kau memang keji, Aulia. Manusia paling menjijikkan yang aku pernah jumpa.” Firas menggenggam telefon tadi dengan hati yang marah.
“Arghh!!!” Mahu sahaja dihempaskan telefon itu ke lantai. Tapi kalau rosak, dia tidak boleh jadikan telefon itu sebagai bahan bukti.
Perlahan nafas ditarik. Telefon itu disimpan ke dalam poket. Dia perlu bersemuka dengan isterinya. Kenapa Aulia sanggup berbuat begitu? Dijeling jam di dinding. Waktu pejabat sudah tamat. Pasti Aulia sedang dalam perjalanan pulang. Jika jalan tidak sesak, pukul 5.30 petang Aulia sudah berada di rumah.
Firas paksa dirinya untuk bangkit. Langkah diayun keluar dari bilik. Semangatnya tiba-tiba melayang entah ke mana saat ini. Perbuatan Aulia dan bapa mentuanya membuatkan dia benar-benar sakit hati. Kenapa baru sekarang dia harus tahu semuanya? Kenapa tidak dari awal lagi? Hatinya sudah mula menerima Aulia.
Firas menghenyakkan punggung ke sofa. Kedengaran bunyi pagar. Sudah tentu Aulia yang pulang. Dia cuba berlagak tenang. Namun hatinya menggelegak bagaikan larva gunung berapi. Menunggu masa untuk meletus dan menghamburkan semuanya keluar.
Selepas beberapa ketika, pintu ditolak dan Aulia muncul.
“Assalamualaikum.” Aulia ukirkan senyum dan mendekati Firas. Tangan dihulur bersalaman dengan suaminya. Namun Firas buat tidak endah.
“Bie, kenapa? Ada problem ke?” Aulia cuba meraih tangan Firas tetapi ditolak oleh suaminya. Tidak pernah Firas menolaknya sebegitu. Apatah lagi berwajah masam seperti sekarang.
“Bie, kenapa?” Aulia bertukar cemas. Kenapa tiba-tiba Firas bersikap dingin?
Firas mengeluarkan telefon dari poket seluarnya. Ditunjukkan kepada Aulia.
“Ni apa?”
Serta-merta wajah Aulia bertukar pucat lesi. Puas dicari semula telefon itu di dalam tong sampah, tetapi tidak berjumpa. Kali terakhir dia menggunakan telefon itu 2 minggu yang lalu. Tidak sangka pula Firas yang menjumpai telefon itu.
“Bie, sayang…”
“Jangan panggil aku bie! Geli aku! Jijik!”
Aulia terkejut. Dia terus terduduk di situ. Apa yang ditakutinya sudah terjadi. Silapnya juga kerana asyik terlupa untuk membuang telefon itu. Sekarang, Firas kesayangan sudah membencinya.
“Kenapa kau pilih aku?” Firas bukan sahaja rasa tertipu. Malah hatinya sakit kerana cinta yang mula tumbuh. Inilah kali kedua dia dikhianati seorang perempuan. Dia tidak menyangka Aulia sekeji ini.
“Bie…” Aulia mendekati Firas. Disentuh lutut suaminya. Untuk menafikan memang mustahil. Hanya ada nombor telefon papanya dalam telefon itu.
“Jangan panggil aku bie!” Firas menolak tangan Aulia kasar. Namun Aulia tetap degil. Sudahnya dibiarkan sahaja dan memandang ke arah lain.
“Firas, saya minta maaf. Saya…”
“Kau pilih aku sebab aku miskin tak ada harta. Kau pilih aku sebab kau rasa aku bodoh. Senang kena tipu.”
Aulia terdiam. Dia ingin menyatakan yang sebenarnya, namun tatkala dia terlihat air mata mengalir di pipi suaminya, dia tahu dia seorang yang kejam. Apa pun alasan yang dia berikan tidak akan membuatkan kesalahan itu hilang. Dia tetap berlaku kejam terhadap Firas.
“Firas…”
“Aku tak faham apa yang kau dengan bapak kau fikir. Tergamak korang buat aku macam ni. Kau ingat aku apa? Tunggul kayu? Tak ada perasaan?”
Aulia hanya mampu menangis. Tidak tahu apa yang harus dia jawab untuk semua soalan itu.
“Kau tahu tak, aku memang tak akan pilih kau jadi isteri. Sebab apa? Sebab kau pemalas. Satu kerja pun tak boleh buat. Kau ingat ada lelaki ke nak kat kau?” Firas menghamburkan marahnya. Sangkanya semakin banyak dihamburkan marah, perasaannya akan lega. Namun hatinya bertambah sakit. Setiap patah kata yang dilontarkan ibarat jarum berbisa menusuk hati.
“Firas, saya minta maaf.” Aulia mencapai tangan Firas dan dicium. Lelaki itu langsung tidak sudi memandangnya. Sejak tadi hanya memandang tempat lain.
“Kau tahu tak Aulia, aku baru aje sembuh daripada luka yang bekas tunang aku tinggalkan. Aku sangka dengan ikhlaskan hati terima kau yang pemalas ni, luka aku akan terubat. Tapi… luka aku tambah parah, Aulia.” Firas menarik tangannya kasar. Tidak sanggup disentuh oleh isterinya lagi.
“Aku akan ceraikan kau. Tapi sebelum tu, aku nak buat perhitungan dengan orang tua tu. Kau dengan bapak kau memang manusia keji!” Firas menolak Aulia hingga isterinya itu terdorong ke belakang.
Firas bangun. Berada di situ hanya akan membuatkan hatinya bertambah pedih. Lebih baik dia keluar menenangkan diri.
“Aku nak keluar. Pastikan bila aku balik, bayang-bayang kau tak ada kat rumah aku. Nanti aku cari kau kat rumah bapak kau sana.” Firas beredar dari situ tanpa menoleh sedikit pun.
Seketika kemudian, Firas berpaling semula.
“Aku nak kunci kereta aku.”
Aulia menyelongkar beg tangannya untuk mengeluarkan kunci kereta. Dia bangun dan berdiri di hadapan suaminya.
“Firas, saya tahu saya salah. Besar sangat salah saya ni. Boleh tak saya minta izin nak salam awak? Mana tahu, ini kali terakhir saya salam awak.”
“Aku jijik dengan kau…”
“Tolong, Firas. Saya takut kalau ini kali terakhir saya jumpa awak. Izinkan saya salam awak. Salam dan cium tangan awak. Saya tak minta lebih. Please, Firas.” Bersungguh-sungguh Aulia merayu. Matanya masih digenangi air. Firas yang selalu memanjakannya sudah bertukar menjadi kejam.
“Kau cakap macam kau nak mati aje. Jangan ingat aku nak simpati.”
“Saya bukan nak simpati awak. Saya cuma nak salam. Mana tahu… Allah tarik nyawa saya lepas keluar dari rumah ni.” Aulia cuba melemparkan senyuman. Namun dia tidak mampu.
“Salam cepat.” Firas menghulurkan tangan sambil wajahnya memandang ke arah lain.
“Terima kasih, Firas.” Aulia segera menyambut tangan suaminya dan bersalaman. Perlahan dikucup kekura tangan lelaki itu. Sebaik ikatan antara mereka termeterai, tangan itu dikucup untuk kali pertama. Dan seandainya hubungan ini terputus, biarlah dia akhirkan dengan mencium tangan suaminya juga.
“Maafkan saya dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkan semua makan minum saya. Saya doakan awak jumpa bahagia awak. Maafkan saya sebab dah menyusahkan awak. Tolong jangan marah daddy saya. Dia buat semua ni kerana sayangkan saya.” Aulia terasa berat hati untuk melepaskan tangan Firas.
“Dia sayangkan kau tapi jadikan aku mangsa. Dia pun sama tak guna!” Firas segera tarik tangannya. Lagi lama dia melihat Aulia menangis, boleh timbul rasa simpati. Dia tidak mahu bersimpati kepada orang yang telah menganiayanya.
“Kunci!”
Aulia menghulurkan kunci kereta.
“Firas, nak peluk.”
“Kan aku cakap, aku jijik kat kau!”
Aulia tidak mempedulikan Firas. Dia terus memeluk tubuh suaminya itu.
“Lepaslah…” Firas menolak tubuh Aulia kasar sehingga isterinya itu jatuh ke belakang.
Aulia hanya memandang Firas berlalu. Saat ini dia hanya berserah kepada Allah. Sejak awal lagi dia tidak sepatutnya bermimpi untuk terlepas daripada cengkaman Mukhriz.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/341323/Mr-Bibik’