DUA minggu Haji Lamin memencilkan diri. Tidak keluar rumah kerana mahu merawat diri sendiri. Masanya banyak dihabiskan dengan hanya berbaring pada waktu siang. Berqiamullail pula pada malam harinya. Tubuhnya mula menyusut kerana hilang selera makan. Hanya air penawar dan buah-buahan yang menjadi pengalas perutnya. Pelbagai menu dimasak oleh Hajah Ramizah namun tidak juga menarik seleranya.
“Kalau macam ni keadaan awak, saya rasa elok kita balik Ipoh, bang.” Sudah puas Hajah Ramizah memujuk Haji Lamin tapi suaminya tetap berkeras dengan pendiriannya.
Begitulah kehidupan Haji Lamin sebagai pengamal perubatan Islam. Apabila dia merawat pesakit akan ada saja sihir yang dikenakan ke atasnya. Pendokong syaitan memang tidak akan pernah berdiam diri jika mereka rasa tergugat dengan penentangan Haji Lamin.
“Kalau ikutkan hati saya ni memang dah lama nak balik Ipoh. Dah naik segan menumpang rumah orang terlalu lama,” luah Haji Lamin sambil terus memicit dada.
“Dah tu apa nak tunggu lagi bang? Esok kita balik ya?”
“Tak boleh, mak haji. Masih ada tanggungjawab yang belum selesai. Saya tak tergamak nak hampakan harapan anak-anak Daud.” Nafasnya naik turun terasa padat dan sukar. Berkerut wajahnya menahan sakit.
Hajah Ramizah kecundang lagi. Apa boleh buat. Dia sudah masak benar dengan pendirian suaminya. Dia lebih memikirkan tentang orang lain berbanding dengan diri sendiri. Disebabkan itulah Hajah Ramizah menuruti suaminya di rumah Pak Saad. Dia tahu risiko yang akan Haji Lamin hadapi.
“Tapi awak sendiri sakit, bang. Kalau dulu saya tak kisah, awak masih bertenaga. Sekarang awak dah tua. Saya bukan apa, risaukan awak.” Hajah Ramizah tetap tidak putus asa memujuk suaminya.
“Hehehe… Sayang juga awak pada saya ya?” Dalam kesakitan Haji Lamin masih mampu bergurau.
“Isy, ke situ pula awak ni. Kalau bukan saya yang khuatirkan awak, siapa lagi bang?”
“Beginilah, mak haji. Kalau takdirnya nyawa saya berkesudahan di sini. Di tempat kelahiran saya, saya reda. Saya tetap akan teruskan perjuangan saya. Pantang maut sebelum ajal.” Haji Lamin tetap berdegil.
Sedih hati Haji Ramizah mendengarnya. Tidak dapat digambarkan seandainya Haji Lamin pergi dulu meninggalkannya. Hidupnya akan sepi dan keseorangan. Masakan tidak, Haji Lamin lebih daripada seorang suami. Dia juga sahabat baik yang sangat memahami.
“Kalau macam tu, kita ke klinik ya bang? Dah dua minggu awak berkeadaan macam ni. Saya pun dah terikut-ikut awak, hilang selera makan.”
“Elok sangatlah, mak haji. Mana tau awak akan langsing semula lepas ni…”
Diikuti dengan kerutan wajah akibat sakit dada yang berdenyut. Hajah Ramizah tidak ada hati mahu ketawa. Malahan hatinya menangis pilu.
Sejak muda lagi Haji Lamin berbakti dan membantu saudara seagama yang ditimpa musibah terkena sihir, saka dan sebagainya. Tidak pernah dia melihat suaminya bersungut. Dia tetap akan menyudahkan tugasannya biar pun ada kalanya penyihir yang menyihir pesakit akan mendendaminya. Sudah berkali-kali juga Haji Lamin jatuh sakit, namun dia tidak pernah jeran untuk menyumbang baktinya.
“Tolonglah dengar kata saya ni bang. Kita ke klinik,” ulang Hajah Ramizah.
“Tak payahlah. Sakit saya ni bukan sakit biasa. Biarlah saya ubati sendiri.”
“Hmmm… Kalau macam tu awak berehat ya? Saya nak ke dapur menyambung masak. Orang rumah Saad dah bergilir jaga kedai.” Disambut dengan anggukan Haji Lamin. Hajah Ramizah keluar dari bilik.
Sampai di ruang depan dia berpapasan dengan Pak Saad yang baru naik ke rumah. Dia menjinjit bungkusan plastik berwarna merah. Sewaktu di kedai tadi ada seorang lelaki Cina yang datang dari pekan berjualan buah naga. Teringatkan sahabat baiknya yang tidak ada selera makan, dia pun membeli beberapa biji untuk Haji Lamin.
“Lamin macam mana, mak haji?” sapanya.
“Macam itulah. Masih lemah. Ajak ke klinik tak nak pula dia.”
“Ini aku ada belikan dia buah naga. Banyak khasiatnya ni. Mana tau mahu dia makan. Mak haji tolonglah potongkan ya?” Dihulur plastik yang dipegangnya.
“Susah-susah aje. Terima kasihlah, Saad.”
“Sama-sama.”
Hajah Ramizah berlalu ke dapur, sementara Pak Saad masuk ke bilik yang digunakan oleh Haji Lamin. Dilihatnya mata Haji Lamin memejamkan mata. Lega hatinya melihat sahabatnya sudah boleh tidur. Jika tidak, hampir 24 jam dia berjaga. Kalau ketiduran pun hanya sekejap saja. Dia akan terjaga semula. Pak Saad mahu beredar, tidak mahu mengganggunya.
“Aku tak tidur Saad. Saja pejamkan mata.” Haji Lamin terhidu bau Pak Saad yang cukup dikenali.
“Kenapa tak tidur? Sudahlah tak makan, tak tidur. Mana nak datang tenaga kau, Lamin?” Lalu Pak Saad duduk di tepi katil.
Disentuh dahi Haji Lamin. Sudah berkurangan bahang panasnya. Jika tidak, pada hari-hari sebelumnya tubuhnya seperti dipanggang di atas bara api. Panas tidak terkira. Dadanya pula berombak kencang. Berbisa seperti ditikam-tikam dengan belati.
“Ini baru sikit, Saad. Jauh lebih teruk bila dajal muncul nanti. Jangan nak kata makanan, air liur kita pun belum tentu ada. Kering kontang dunia tanpa makanan. Ini, alhamdulillah ada juga air yang mengenyangkan aku,” sahut Haji Lamin. Pak Saad hanya mampu tersenyum hambar.
“Yalah. Aku tau kau kuat. Aku bersyukur kau selamat. Aku ingat kau dah nak mati enam hari lepas. Keadaan kau masa tu menakutkan kami semua Lamin.” Akui Pak Saad.
“Belum masanya, Saad.”
Masakan tidak. Waktu itu Haji Lamin benar-benar bertarung antara hidup dan mati. Sihir yang dihantar untuk menyakitinya bukan alang-alang sihir. Tidak ada lain yang mampu Haji Lamin lakukan selain meruqyah diri sendiri. Juga berqiamullail mengharapkan akan datang pertolongan daripada Allah untuk menyembuhkannya. Sampai suatu ketika, dia jatuh pengsan menahan kesakitan yang tidak tertanggung. Ikhtiar dan keyakinan yang tinggi kepada Allah telah mengurangkan kesakitan biar pun belum pulih sepenuhnya.
“Hmmm… Ya belum masanya. Lasak sangat pun kau. Dengan diri sendiri sakit, ubati Zainab, tawarkan sihir yang dihantar pada Zakuan. Itu yang tak tertanggung tu. Kuatnya sihir yang dikenakan pada kau dicampur dengan tempias sihir-sihir pada budak-budak tu lagi, buat kami takut, Lamin.” Sememangnya pada waktu itu Hajah Ramizah sudah berendam air mata.
“Ini semua ujian. Aku dah biasa. Cuma Ramizah tu hah, diajaknya aku balik Ipoh. Risau sangat dia. Dalam masa yang sama aku pun malu menumpang rumah kau lama-lama. Tapi aku tak ada pilihan lain,” akui Haji Lamin sejujurnya.
“Allah. Kau ni, kita ni dah macam adik beradik. Kalau bukan rumah aku, kat mana lagi kau nak tinggal. Aku tak sukalah kau cakap macam ni selalu. Lagi pun sejak kau datang, aku tak rasa sunyi. Adalah kawan menyembang. Kau pun tau bini aku tu pendiam orangnya. Tak banyak cakap. Nak menyembang lama pun payah.” Dipegang tangan Haji Lamin lama. Sebak. Haji Lamin hanya mampu melepaskan senyuman berat. Terharu.
Usia mereka sudah diambang senja. Makin hari makin mendekati kematian. Antara dia dan Haji Lamin tidak pasti siapa dulu yang akan dipanggil Tuhan. Salah seorang meninggalkan yang lain, maka yang tinggal akan meneruskan hidup bersama kenangan yang ditinggalkan. Ah! Bertambah sebak Pak Saad. Haji Lamin seakan turut merasai apa yang sedang difikirkan oleh sahabatnya. Dia mengerdipkan mata yang panas kolamnya.
“Macam mana Si Zainab tu Saad?” Cepat Haji Lamin merubah topik perbualan. Tidak mahu tenggelam dalam perasaan yang tidak menyenangkan. Dua minggu tidak keluar rumah, banyak hal yang Haji Lamin ketinggalan.
“Zakuan dah gembira semula dengan bini dia. Zainab pula masih tak nak balik rumah Joned. Ada kat rumah Mek Siah. Trauma agaknya. Puas Joned memujuk, masih belum terbuka hatinya. Tapi aku tengok si Joned tu dah banyak berubah. Banyak kali juga aku nampak muka dia kat surau. Mudah-mudahan kekal macam tu.” Panjang lebar penjelasan Pak Saad.
“Alhamdulillah. Harap-harap selepas ni dia akan bersatu semula dengan Zainab.” Haji Lamin memanjat syukur.
Jika keadaan menjadi lebih baik, Haji Lamin sudah pasang angan-angan. Dia akan cuba merawat Mek Siah semula. Selepas itu bolehlah balik ke Ipoh. Rindu benar pada rumah yang ditinggalkan. Pada jiran-jiran dan kariah masjid taman yang menjadi tempatnya berulang-alik lima waktu sehari semalam.
“Kau tak nak tau cerita baru, Lamin?”
“Ada cerita baru pula… Hehehe, kau dah macam ahli mesyuarat tingkap ya, Saad.”
“Hahaha… Ada-adalah kau ni, Lamin. Tapi aku suka perubahan kau ni, sekarang kau banyak ketawa. Tak macam sebelum ni.” Perubahan ketara yang Pak Saad sedari.
“Macam-macamlah kau.” Disusuli dengan tawa kecil Haji Lamin.
“Hahaha… Lamin, Lamin. Ni hah, tiga hari sudah Zaidi ke kedai aku. Beli biskut mayat kesukaan Talib itulah. Aku sedekahkan aje. Eh, tapi bukan pasal biskut mayat yang aku nak kata ni.”
“Dah tu?”
“Dia luah pada aku. Dah sukakan Si Zubaidah. Gara-gara minta buah pinang hari itulah. Elok aje terpandang, berkenan pula katanya. Dia kata kalau Talib dah betul-betul sembuh, dia minta aku tanya-tanya,” jelas Pak Saad.
“Eloklah tu kalau berjodoh. Sama-sama kosong. Bolehlah menguatkan lagi silaturahim, anak Talib dengan anak arwah Daud.” Haji Lamin tumpang suka.
Perbualan tentang Zaidi terhenti bila Hajah Ramizah menghantar buah naga yang sudah dibuang kulit dan dipotong-potong. Mereka sama-sama menikmati buah naga yang manis itu. Haji Lamin hanya dapat menghabiskan sepotong saja. Tekaknya masih rasa berpasir dan perit.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/272106/Mek-Siah