Suatu pagi yang damai, Liafara terkejut dari tidur apabila buzzer jamnya berbunyi. Angka digital pada jam menunjukkan pukul 6.00 pagi. Liafara menenyeh-nenyeh kedua-dua kelopak matanya dengan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanan. Dipicit-picit juga hidungnya.
Dalam keadaan masih mamai itu, dia melangkah longlai ke bilik air. Dia mencapai berus dan ubat gigi. Sekilas dia terpandang cermin, dia terperanjat besar. Hampir-hampir dia terjerit, namun sempat dia menekup mulutnya.
Satu makhluk berwajah aneh yang sedang menyiat mulut bagaikan mahu memakannya terpapar pada cerminnya tadi. Setelah dia mengamatinya lima enam saat, barulah dia sedar wajah itu adalah wajahnya. Setelah diperiksa, Liafara mendapati sesuatu benda melekit berwarna hitam terpalit di situ.
“Dari mana pula datangnya benda ini?” Liafara bertanya sendirian.
Liafara membelek lagi mukanya. Maka ternampaklah Liafara akan perut ibu jari kanannya turut dilekati benda melekit berwarna hitam itu. Dia mengagak, daripada situlah datangnya benda itu sebelum tersebar ke kelopak mata dan hidungnya. Tentu sekali benda itu berjangkit ke situ sewaktu dia menenyeh-nenyeh mata dan memicit hidung selepas terjaga dari tidur tadi.
Liafara mencium ibu jari kanannya. Tiada apa bau aneh yang dihidu, kecuali sedikit iras-iras bau minyak pelincir enjin yang sudah hitam. Liafara cuba mengelapnya dengan kertas tisu, tetapi kesannya tetap tinggal walaupun disental kuat. Setelah dicuci dengan menggunakan sabun barulah kesan hitam itu tanggal semuanya.
Menjelang tengah hari itu, semuanya selesai. Jamilkhan dan Hasnina selamat diijab kabulkan di pejabat kadi daerah. Majlis ringkas itu dibuat secara tertutup dan hanya dihadiri oleh pengantin, kadi, wali, dan saksi-saksi penting sahaja.
Razi juga menempah satu dewan di Ri-Yaz Heritage Hotel bagi majlis meraikan pengantin baru itu malam ini. Turut ditempah ialah satu suit mewah buat pengantin bermalam pertama nanti.
Pulang sahaja ke rumah petang itu, Jamilkhan terus mempersiapkan diri bagi majlisnya malam nanti. Dia memilih hendak memakai sepasang baju Melayu berserta samping. Dia tercari-cari akan songkoknya.
“Fara! Fara! Mana songkok abang?” laungnya.
Barulah Jamilkhan teringat, petang ini adalah jadual Liafara pergi menari poco-poco dengan rakan-rakannya.
Sekonyong-konyong sahaja Jamilkhan terdengar deruman enjin kereta Liafara memasuki pekarangan rumah. Dia membiarkan Liafara yang baru sahaja sampai itu naik ke bilik dahulu. Liafara terpegun apabila melihat suaminya bersiap dengan sepasang baju Melayu bersamping.
“Eh, eh… abang mahu pergi ke mana dengan pakai baju Melayu cantik-cantik ini?” tegur Liafara.
“Abang ada tugas rasmilah malam ini. Songkok abang mana, Fara?” tanya Jamilkhan.
“Tugas rasmi apa dengan pakai baju Melayu macam mahu naik pelamin sahaja? Abang mahu pergi kahwin, ya?” usik Liafara.
“Ish, apa yang kamu merepek? Abang mahu cepat. Songkok abang mana, Fara?” ulang Jamilkhan.
“Ada juga tugas rasmi kena pakai baju Melayu sepasang, ya?” Liafara ketawa tawar.
“Kamu apa tahu, Fara. Abang perlu ikut Exco mengangkat sumpah di Dewan Undangan Negeri malam nanti. Tentulah kena pakai pakaian yang elok-elok, hendak jaga protokol. Songkok abang mana, Fara?” Jamilkhan menggesa lagi.
“Hai, tidak pernah-pernah pun abang ikut Exco angkat sumpah? Abang sudah naik pangkatkah?” Rasa pelik menyerbu ke otak Liafara.
“Memanglah abang tidak pernah ikut Exco angkat sumpah. Sudah memang Exco-Exco angkat sumpah lima tahun sekali. Kali ini Haji Razali minta abang ganti tempat dia, sebab dia sedang bercuti sakit. Sebelum ini memang dia yang pergi. Yang kamu ini banyak sangat tanya apa hal? Dari tadi abang minta songkok, mana songkok abang?” Jamilkhan membebel pula.
“Alah, abang, Fara tanya sedikit pun marah,” Liafara mula buat-buat merajuk. Dia pun menyelak-nyelak baju di dalam almari. Sebentar kemudian dia mengeluarkan sebiji songkok hitam.
“Mari Fara pakaikan abang songkok ini,” kata Liafara sambil mengenakan songkok itu di kepala suaminya. Jamilkhan membiarkan sahaja.
“Hah, sudah kacak Encik Jamilkhan sekarang. Tentu Yang Berhormat Tuan Exco suka melihatnya,” puji Liafara memperbetulkan kedut-kedut baju di badan Jamilkhan pula.
“Baiklah, sayang. Abang pergi dahulu, ya? Abang sudah lambat,” kata Jamilkhan lalu mencium dahi Liafara sebelum meninggalkannya dengan tergesa-gesa.
Liafara tidak sempat memberitahu Jamilkhan yang dia juga hendak keluar malam nanti. Rakan seperjuangan tarian poco-poco Liafara meminta Liafara menemaninya ke majlis kahwin seorang kenalan lamanya. Walaupun pada mulanya Liafara menolak, namun akhirnya dia mengalah apabila kawannya itu berjanji mahu pulang awal.
Liafara pun lantas mempersiapkan diri juga. Tanpa Liafara dan kawannya itu sedari yang kedatangan mereka ke majlis kahwin itu bakal mencipta satu kejutan yang amat dahsyat.
Sebaik masuk ke dewan majlis, jantung Liafara bagai berhenti berdenyut apabila melihat pengantin lelaki yang sedang meraikan para tetamu di hadapan itu adalah Jamilkhan. Dia menggosok-gosokkan matanya beberapa kali.
Rupa-rupanya di sini Liafara bagaikan menemui klu bagi merungkai dua perkara pelik yang dialaminya pada hari ini.
“Fara, kau mahu tahu? Kenalan lama aku ini kahwin betul-betul ekspres. Lebih cepat daripada Bas Cepat Ekspress. Hari ini isi borang kahwin, hari ini juga dapat nikah. Malam ini buat majlis keraian dan malam ini juga mereka berbulan madu di hotel ini. Hebat, bukan?” kata kawan Liafara.
Ya, tidak syak lagi. Benda hitam pada ibu jarinya subuh tadi adalah angkara suaminya sendiri, Jamilkhan. Benda hitam itu adalah bahan karbon yang digunakan bagi membuat cap jari. Bagi melengkapkan borang permohonan perkahwinan keduanya, Jamilkhan curi-curi mengambil cap jarinya!
“Kecil betul dunia ini,” ujar Liafara penuh geram.
Jamilkhan naik ke pentas dan memberikan sedikit kata-kata aluan. “Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, terima kasih kerana sudi hadir ke majlis meraikan perkahwinan saya ini. Sebagaimana yang tuan puan sudah sedia maklum, ini adalah perkahwinan kedua saya. Saya perlu berkahwin kali kedua ini bagi mendapatkan zuriat kerana isteri pertama saya tidak boleh beranak. Ini kerana… ehem, saya rasa mungkin dia sudah dikembirikan sejak kecil lagi,” ucap Jamilkhan yang sedikit fobia hendak menyebut perkataan mandul dan digantinya dengan ayat lain.
Liafara berasa semakin terbakar apabila Jamilkhan secara terang-terang menghinanya di hadapan orang ramai. Tanpa membuang masa, dia terus meluru ke hadapan.
Jamilkhan tidak jadi meneruskan ucapannya apabila ternampak sahaja Liafara. Dengan segera dia mencapai sebiji dulang di atas meja yang terletak berhampirannya lalu menutup muka dengan dulang itu. Jamilkhan mula membuka langkah hendak melarikan diri.
“Hah, mana mahu lari?” tempik Liafara.
“Bertenang, Fara… jangan kecoh-kecoh,” kata Jamilkhan terketar-ketar.
“Ooo… kata mahu ke majlis angkat sumpah Exco. Di sini rupanya Exco awak angkat sumpah, ya?” Liafara menengking.
“Exconya sudah batalkan angkat sumpah, jadi abang datanglah ke majlis kahwin ini… tidak salah, bukan?” kata Jamilkhan dengan gugup.
“Ooo… pandai betul abang buat muslihat. Abang ingat Fara bodoh? Ini, bila masa abang kahwin dengan perempuan ini? Di mana abang jumpa perempuan ini?” tanya Liafara sambil menuding jari telunjuknya kepada Hasnina.
“Abang tidak sengaja kahwin dengan dia, sayang. Eh, bukan….” Kata-kata Jamilkhan terhenti. Mukanya kelihatan cuak.
“Tidak sengaja? Abang mari sini,” kata Liafara lalu menarik tangan Jamilkhan mendekatinya.
“Sebenarnya dia ini hendak kahwin dengan YB Exco itu dahulu, tetapi semasa majlis akad nikah hari itu, YB Exco itu tidak dapat datang. Jadi abang gantilah tempat dia,” kata Jamilkhan dengan pembohongan bodoh yang direka-reka.
“Ooo… ganti tempat, ya? Abang kenal benda yang saya pegang ini?” Liafara menggoyang-goyangkan talam di tangannya.
“Kenal, itu talam. Mengapa?” Jamilkhan mulai takut apabila melihat mata Liafara berapi-api.
“Asalnya talam ini ada satu sahaja mukanya sekarang. Mukanya sebelah sini, abang tahu?” ujar Liafara sambil menenyeh-nenyehkan jari telunjuknya pada muka talam itu.
“Tahu…,” jawab Jamilkhan. Sedaya upaya dia cuba mengawal gabranya.
“Ada juga orang cakap, ada talam yang ada dua muka. Abang tahu macam mana talam itu jadi dua muka?” soal Liafara lagi dengan geram.
“Tidak tahu, he he….”
“Abang mahu tahu?” asak Liafara. Kembang kempis pula hidungnya menahan marah dengan sikap Jamilkhan yang menjawab main-main itu.
“Mahu juga, he he….”
Liafara melangkah rapat kepada Jamilkhan. “Mari saya beritahu. Bagi tambah satu lagi muka pada talam ini.”
Jamilkhan melompat terjun dari pentas. Dengan pantas juga Hasnina mengejarnya. Jamilkhan berlari mengelilingi meja bulat yang menempatkan kek tingkat perkahwinannya. Namun Liafara memintasnya dari hadapan. Nyaris-nyaris Jamilkhan ditangkapnya.
Namun dia tidak dapat lari jauh kerana Liafara mengacah-ngacahnya dari sebelah kiri dan kanan. Mereka saling bertukar arah mengelilingi meja kek sehingga Liafara tertolak meja itu. Kek tingkat yang tinggi itu bergoyang lalu terbalik menimpanya. Dia jatuh terlentang dan dihempap pula oleh kek tingkat itu di sepanjang-panjang tubuhnya.
Dalam terkial-kial menyapu krimer kek yang bertempek di muka dan seluruh tubuhnya itu, Liafara mendapati Jamilkhan sudah tiada di situ. Isteri baru Jamilkhan juga turut hilang sama.
“Berikan aku kunci bilik Jamilkhan, cepat!” jerkah Liafara.
“Apa lagi terhegeh-hegeh? Berikan aku kunci bilik Jamilkhan, cepat!” jerit Hasnina lagi.
“Awak siapa?” tanya budak perempuan itu.
“Saya isterinya!” jerit Liafara lagi. Cepat-cepat budak perempuan itu menyerahkan kunci bilik yang ditempah oleh Jamilkhan.
Masuk sahaja ke bilik pengantin baru yang bakal bermalam pertama itu, Liafara terus mengamuk. Dibalingnya ke lantai segala barang yang ada di meja solek. Diselongkarnya cadar dan tilam pengantin. Habis bersepah semua benda dikerjakan oleh Liafara.
Namun Liafara masih tidak puas hati kerana belum menjumpai Jamilkhan dan isteri barunya. Dia terus mengamuk hinggalah sekumpulan pengawal keselamatan datang menangkap dan mengheretnya keluar dari hotel itu.
Rupa-rupanya Jamilkhan dan Hasnina sudah dibawa lari oleh Razi keluar dari hotel itu sewaktu Liafara dihempap kek tadi. Dan mereka terpaksa melayari bahtera malam pertama di hotel bajet rendah kerana sudah kekurangan wang tunai.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/13121/madu-tiga-suku