[SNEAK PEEK] LICIK [EDISI KEMASKINI]

LICIK [EDISI KEMASKINI] Oleh Sham Hashim /Julie Ann

6 tahun yang lalu..

Restoran Hotel Sri Malaysia, Taiping kelihatan agak meriah pada hari itu. Hampir 20 orang tetamu yang terdiri daripada orang tua dan dewasa, sedang duduk di kerusi masing-masing sambil mendengar seorang penceramah bernama Mustafa, sedang membentangkan pelan perniagaannya. Pelan perniagaan yang diberi nama Skim Perniagaan Pintar. Dari stail, penampilan dan kualiti pakaiannya, jelas kelihatan Mustafa ini seorang usahawan yang berjaya.

“Skim Perniagaan Pintar saya ini mudah, tuan-tuan dan puan-puan. Saya bagi contoh, Pak Tam hari ini melabur RM2000. Dalam masa 3 bulan saja, Pak Tam akan mendapat pulangan sebanyak RM2200 dan kalau Pak Tam melabur lebih lama dan lebih banyak, lagi banyak untung Pak Tam! Silap-silap boleh kahwin lagi satu!” seloroh Mustafa.

Semua tetamu ketawa. Tetapi ketawa yang paling kuat ialah Pak Tam. Cukup suka bila mendengar lawak jenaka berunsurkan poligami ini.

“Dari mana datangnya keuntungan ini, tuan-tuan dan puan-puan? Kenapa pula pelaburan anda semua boleh bertambah?” tanya Mustafa kepada tetamunya.

Semua tetamu tergamam seketika. Ada yang sedang mengira dengan jari, ada yang asyik mengunyah karipap dan ramai pula yang menggeleng sambil tersenyum lebar.

“Ini semua adalah hasil keuntungan perniagaan syarikat-syarikat dalam dan luar negara! Pendek kata, saya akan laburkan duit anda semua, ke dalam sebuah perniagaan yang pasti menguntungkan! Sebagai contoh, perniagaan minyak, perniagaan emas dan perniagaan pengangkutan. Semua perniagaan ini tidak pernah rugi dan sentiasa bergerak, tuan-tuan dan puan-puan,” kata Mustafa dengan penuh bersemangat.

Semua tetamu bagaikan terpukau. Kagum dengan kepintaran skim perniagaan Mustafa itu.

“Dan yang paling utama, skim perniagaan saya ini telah disahkan oleh kerajaan Malaysia!” ujar Mustafa sambil menunjukkan surat keizinan dari Kerajaan Malaysia yang telah ditandatangani oleh Gabenor Bank Negara dan Menteri Kewangan.

Sejurus selepas ceramah itu, semua tetamu tadi mula beratur untuk mengisi borang dan menyerahkan wang pelaburan mereka kepada Mustafa. Semua wang yang dikumpul dari hasil kebun, hasil simpanan untuk pergi Haji, hasil simpanan ASB dan hasil kutipan main kutu diserahkan kepada Mustafa untuk dilaburkan. Mereka berharap sangat duit yang dilaburkan akan menjadi lebih banyak dalam masa beberapa bulan saja.

“Ini duit pakcik simpan untuk buat Haji tapi takpalah, peluang macam ini datang sekali-sekala je kan Encik Mustafa?” kata Pakcik Bakar, salah seorang daripada pelabur.

“Pakcik jangan risau, lepas ini keuntungan pelaburan pakcik tu akan bertambah. Silap-silap, pakcik boleh buat Haji dan Umrah sekali!” jawab Mustafa dengan penuh yakin.

“Saya simpan duit ini untuk kahwin tahun depan. Harap-harap masa tu dah bertambah banyaklah ye Encik Mustafa!”

“Abang ada seorang pelabur yang macam adik ini, dia dari Mentakab. Bulan Januari dia melabur 5 ribu dengan abang, 15 bulan lepas itu dia kahwin dalam dewan PWTC, siap jemput Anuar Zain untuk menyanyi pastu Nabil Raja Lawak pula untuk jadi emcee! Dari mana dia dapat duit itu? Itu semua duit untung pelaburan dia. Hebatkan?”

Mereka semua menjadi bertambah teruja bila mendengar kata-kata Mustafa tadi. Sampai ada yang menambahkan lagi wang pelaburan mereka dan ada juga yang telefon sanak saudara meminta pinjamkan sedikit duit untuk dilaburkan. Semua duit itu dimasukkan ke dalam sampul surat yang bertulis nama pelabur dan bukaan sampul itu dilekatkan dengan pita selofan agar lebih selamat. Selepas itu, sampul-sampul tadi dimasukkan ke dalam sebuah beg bimbit jenama Dunhill berwarna hitam. Apabila semua sampul sudah masuk, Mustafa menutup dan menguncikan beg bimbit itu. Kemudian, dia bangun dan tersenyum mesra kepada semua tetamunya itu.

“Insya-Allah, buku akaun pelaburan anda semua akan siap dalam masa dua hingga tiga minggu. Kami akan poskan ke alamat rumah. Jangan risau ya, kami akan gunakan pos berdaftar sebagai langkah keselamatan. Kemudian, dalam masa 2 atau 3 bulan, anda semua boleh periksa simpanan anda di mana-mana cawangan bank tapi kalau ada apa-apa pertanyaan, tuan-tuan dan puan-puan boleh menghubungi saya di nombor telefon dan alamat saya yang tertera pada kad perniagaan saya,” kata Mustafa.

Mustafa berjalan keluar dari restoran itu sambil diiringi oleh tetamu tadi. Mereka berjalan menuju ke sebuah BMW 7 Series milik Mustafa. Seorang pemandu peribadi sedang menanti Mustafa di tepi kereta. Tiba-tiba, ada seorang lelaki sedang berlari ke arah Mustafa sambil menjerit nama Mustafa.

“Encik Mustafa!”

Mustafa berhenti berjalan dan menoleh ke belakang. “Ya, ada apa?” jawab Mustafa dengan tenang. “Hmm.. boleh kita bergambar? Sebagai kenang-kenangan,” pinta lelaki itu yang sedang memegang kamera di tangannya.

Wajah Mustafa sedikit berubah, seperti tak suka gambarnya diambil. Kemudian dia mengeluarkan kaca mata gelapnya dan dipakaikan pada matanya. Mustafa memandang lelaki itu dan tersenyum.

“Saya kalau bergambar kena pakai kaca mata gelap. Baru nampak kacak,” jawab Mustafa.

Semua tetamu itu pun ketawa dengan serentak. Begitu seronok jadi orang terkenal. Asal buat lawak saja, orang pasti akan tergelak.
“OK, semua rapat-rapat ya…”

Mereka semua tersenyum sambil memandang ke arah kamera.
“1.. 2.. 3.. senyum semua!!”

Keceperet! Bunyi shutter kamera.

Selepas bergambar, mereka semua bersalaman. Mustafa berjalan ke arah keretanya sambil membawa beg bimbitnya. Pemandu peribadi membukakan pintu kereta dan mempersilakan Mustafa masuk. Mustafa memberikan salam dan melambaikan tangannya kepada tetamu tadi. Enjin kereta pun dihidupkan dan kereta itu bergerak perlahan dan keluar dari kawasan tempat letak kereta.

Kereta BWM 7 Series Mustafa sedang bergerak laju di atas jalan raya. Kereta itu dipandu oleh pemandu peribadi Mustafa. Di dalam kereta, Mustafa tersenyum lega sambil menikmati permandangan di luar tingkap. Tiba-tiba, Mustafa dikejutkan dengan suara anak gadisnya yang dari tadi duduk menyorok di tempat duduk hadapan.

“Ayah!” jerit Fira. Anak gadis Mustafa yang berusia 17 tahun.
“Eh, ada pun Fira! Ingatkan taknak ikut tadi?” kata Mustafa dengan muka hairan.

“Boring la duduk kat hotel. TV pun takde citer best.”
“Beg baju dah kemas?” tanya Mustafa kepada Fira. Fira mengangguk.

“So lepas ni kita nak pergi mana pulak ayah?”
Kemudian, Mustafa memandang pemandu peribadinya.
“Rashid, nanti singgah stesen minyak ye. Aku nak beli air.”
“OK Encik Mustafa. Depan ini ada rasanya stesen minyak,” jawab pemandu peribadinya sambil tersenyum dan memandang pada cermin tengah.

“Kerja tipu dah habis Rashid. Panggil aku Alias sajalah. Hahaha!”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/1479/licik-edisi-kemaskini