[SNEAK PEEK] LANGIT CINTA

9789678605762-medium

EBUKU Langit Cinta Oleh Damya Hanna

KETIKA jarum jam sudah melepasi angka 4.30 petang, Khadeja bergegas keluar dari Warung Perindu. Dia terus mengayuh basikalnya. Tidak sedetik pun dia mempedulikan panggilan Fatimah yang hairan dengan tindakannya itu.
Apa yang penting, dia harus segera sampai di Jeti Penambang. Dia perlu bertemu Aliff. Sekurang-kurangnya untuk kali terakhir. Dia tidak mahu hatinya tak tenteram selepas lelaki itu pergi kerana ada perkara di antara mereka yang belum diselesaikan.
Semasa tiba di pondok jeti, kelihatan bot membawa penumpang yang sudah tersedia di situ. Suasana begitu hingar-bingar. Orang ramai dilihat memenuhi kawasan. Kebanyakannya sedang menunggu giliran untuk memasuki perut bot. Tidak jauh dari situ, ada juga bot-bot sewa yang memenuhi tepian jeti.
Khadeja terus meletakkan basikalnya di satu tempat khas. Dengan nafas tercungap-cungap, dia berjalan laju ke arah bot yang enjinnya sudah dihidupkan. Bunyi hon pertama mula kedengaran.
Mata Khadeja meliar. Dia mencari raut Aliff. Sekejap kepalanya berpusing ke kiri dan kanan. Namun seulas wajah yang dicarinya tidak ditemui.
Kaki Khadeja mula mendekati pintu bot. Dia memanjangkan leher. Riuh perbualan orang di sekelingnya tidak langsung dipedulikan. Dia cuma memberi tumpuan kepada pencariannya iaitu Aliff!
“Hisy, mana dia ni?” Khadeja berbisik.
Saat mendengar bunyi hon untuk kali kedua, dia jadi tak keruan. Hatinya resah. Dalam masa lima minit lagi, bot tambang itu akan mula bergerak meninggalkan Jeti Penambang.
Jika dia tidak bertemu Aliff pada waktu itu, bermakna selepas ini dia takkan berpeluang untuk berjumpa lelaki itu lagi. Selama ini pun sudah menjadi kelaziman orang luar yang datang ke Kampung Pulau Perindu takkan kembali lagi ke situ setelah gagal meyakinkan penduduk kampung untuk menjual tanah mereka.
Khadeja mendapati orang ramai yang memenuhi pondok jeti mula berkurangan. Biarpun kepenatan ke hulu-hilir, dia masih belum berhenti memerhati ke setiap pelosok tempat untuk mencari Aliff.
Namun, bot tambang tiba-tiba membunyikan hon terakhir sebelum ia mula bergerak untuk meninggalkan pondok jeti.
Khadeja akhirnya terpaku. Pandangannya menghantar pemergian bot itu yang semakin jauh. Kali ini, dia sedar yang dia harus pasrah. Maknanya dia takkan berjumpa Aliff lagi. Maka, dia harus menerima kenyataan bahawa lelaki itu sebenarnya tidak serius langsung dengan apa yang diucapkan kepadanya pagi tadi.
Agaknya kata-kata itu cuma omongan kosong. Entah-entah Aliff sebenarnya sekadar mahu bergurau. Yalah, apa lelaki itu peduli jika setakat meluahkan perasaan kepadanya memandangkan lelaki itu akan pergi dan takkan kembali lagi?
“Khadeja, apa yang kau harapkan sebenarnya?” Khadeja tiba-tiba bertanya dalam hatinya.
Dia melabuhkan punggung sejenak di atas bangku. Kemudian dia membungkam.
Tak tahu kenapa sanubarinya bagai terguris memikirkan kemungkinan luahan hati Aliff pagi tadi adalah palsu. Mungkinkah…
Khadeja pantas menggeleng-geleng. Dia cuba menafikan patah-patah perkataan yang terlintas di benaknya.
Tak mungkin dia juga telah jatuh hati kepada Aliff!
Tapi, kalau dia tak jatuh hati kenapa dia beria-ia mahu bertemu Aliff untuk kali yang terakhir? Atas dasar apa dia bersungguh-sungguh mengayuh basikal untuk ke Jeti Penambang tadi?
‘Sebenarnya kau pun dah jatuh hati pada Aliff tapi tak nak mengaku!’ Tak semena-mena kata hatinya berbunyi.
Tersentak dibuatnya. Mana ada! Khadeja terus menolak.
‘Habis tu, kenapa hati kau rasa sakit sangat sekarang ni? Kenapa kau rasa kehilangan bila tengok bot tadi berlalu?’
Aku tak rasa macam tu!
‘Cuba kau tanya hati kau betul-betul, Khadeja! Jangan tipu diri sendiri.’
Ah, diam! Jangan cakap apa-apa lagi. Dah takde gunanya aku fikir apa-apa sedangkan Aliff dah pun tinggalkan tempat ni.
‘Maknanya kau memang dah jatuh hati pada dia? Dah sukakan dia?’
Khadeja tidak menjawab andaian yang datang tanpa henti itu. Dia hanya membisu seribu bahasa. Alam sekeliling terus hening bila angin pantai dibiarkan membelai wajah.
Hampir seminit berteleku, akhirnya Khadeja mengeluh berat. Dia bangun dan berkira-kira untuk menuju ke arah basikalnya. Tiba-tiba…
“Khadeja!” Ada suara yang menyeru namanya.
Khadeja tidak jadi melangkah. Dia amat mengenali suara itu. Terus dia berpaling lalu dia ternampak tubuh Aliff yang sedang menegak tidak jauh dari situ. Lelaki itu sedang memegang sebuah beg. Mungkin berisi pakaian.
Khadeja terpana.
“Awak buat apa kat sini?” tanya Aliff yang keliru melihat kehadiran Khadeja di pondok jeti.
Kali ini Khadeja mengetap bibir. Dia masih terkejut menatap Aliff lalu dia hanya mampu menentang pandangan lelaki itu.

SUDAH lima minit berlalu. Khadeja masih membiarkan keadaan sepi memenuhi ruang. Dia dan Aliff kini sedang duduk di atas bangku di pondok jeti. Masing-masing sedang mencari ayat untuk diucapkan kerana tiba-tiba benak mereka kehilangan idea.
“Sebenarnya… awak datang sini disebabkan saya ke?” Aliff membuat keputusan untuk bertanya.
Raut Khadeja dikerlingnya. Dia benar-benar ingin tahu mengapa Khadeja muncul di situ sedangkan tadi dia tidak sempat memberitahu sesiapa yang dia akan pulang ke Kuala Lumpur pada hari itu. Yang tahu pun Kelubi kerana dia terpaksa meminta anak muda itu menghantarnya ke pondok jeti.
Keadaan mulai sunyi bila kebanyakan orang yang memenuhi kawasan sekitar pondok jeti, berlalu. Yang tinggal cuma pemandu-pemandu bot sewa yang masih menunggu jika ada penumpang yang mahukan perkhidmatan mereka.
“Khadeja?” tegur Aliff.
“Saya ingat awak betul-betul dah naik bot tadi tu!” Khadeja akhirnya bersuara.
Rupa-rupanya Aliff akan ke tanah seberang dengan menaiki bot mewah milik Datuk Affendi. Bukan bot tambang yang berlalu tadi.
“Maknanya betullah awak datang sini disebabkan saya?” duga Aliff dengan riak teruja.
Khadeja terus memandang Aliff. Senyuman dan sinar teruja yang terpampang di laman wajah lelaki itu membuatkan jantungnya berdebar kencang tanpa dipinta.
Tadi, hampir-hampir dia terkilan kerana berfikir yang dia tidak dapat berjumpa Aliff selepas bot tambang terakhir berlalu. Mujurlah dia masih diberi kesempatan untuk berbicara dengan lelaki itu.
“Kalau betul awak datang ni disebabkan saya, boleh saya tahu kenapa? Awak dah ada jawapan untuk saya ke? Maksud saya tentang apa yang saya beritahu awak pagi tadi?” soal Aliff lagi.
Khadeja menyedut nafas dalam. Pandangannya belum dialihkan ke mana-mana.
“Sebenarnya awak jujur ke, Aliff? Boleh ke saya percaya apa yang awak beritahu saya pagi tadi?” Setelah lama membisu, pertanyaan itu dikeluarkan.
Aliff diam sejenak.
“Awak rasa ragu-ragu?” Selepas itu Aliff bertanya pula.
“Mestilah saya ragu-ragu! Pagi tadi awak luahkan perasaan kat saya secara tiba-tiba dan sekarang awak buat keputusan untuk balik ke KL dalam keadaan mengejut macam ni. Apa niat awak yang sebenarnya kalau bukan nak main-mainkan perasaan saya aje?”
“Khadeja, saya tak main-main. Saya dah jelaskan yang saya jatuh cinta pandang pertama kat awak dan saya memang jujur dengan perasaan saya,” ujar Aliff.
“Habis tu, kalau awak jujur… kenapa tiba-tiba awak nak balik ke KL tanpa beritahu saya?”
“Saya bukan sengaja tak nak beritahu awak. Saya ada hal kecemasan dan terpaksa balik hari ni. Tapi saya akan datang semula ke sini lepas urusan saya kat sana selesai,” balas Aliff.
Dia tidak bercadang untuk bercerita tentang punca dia terpaksa pulang ke Kuala Lumpur secara mengejut pada hari itu kepada Khadeja.
Semua itu gara-gara dia menerima panggilan dari Datuk Affendi selepas pulang dari tanjung batu pagi tadi.
“Aliff, kenapa susah sangat abah nak bercakap dengan Aliff? Abah nak tahu apa status projek Vila Samudera kat sana!” Itu bait-bait ucapan yang dimuntahkan oleh Datuk Afendi semasa dia menjawab panggilan telefon abahnya.
“Sekarang ni, abah nak Aliff balik hari ni jugak. Abah dah suruh Norizan tempah tiket untuk Aliff malam nanti. Take that flight and I’ll see you tomorrow.” Nada itu berbunyi tegas dan berbaur arahan. Tidak sempat Aliff memberikan sebarang penjelasan. Tahu-tahu saja Datuk Affendi menamatkan panggilan.
Maka, Aliff terpaksa menurut. Hendak tak hendak, dia terpaksa mengambil penerbangan malam nanti. Biarpun dia sebenarnya belum bersedia untuk pulang, namun dia sedar… dia tidak sepatutnya membuatkan keadaan lebih sukar.
Apa-apa pun, dia perlu berdepan dengan mama dan abahnya. Dia perlu memberitahu kepada mereka tentang perasaannya terhadap Khadeja yang menjadi sebab projek Vila Samudera di tanjung batu terpaksa dibatalkan atau sekurang-kurangnya diubah ke lokasi lain.
Aliff tahu keputusannya itu akan menimbulkan suasana tak menentu. Selain menjejaskan nama baik Samudera Holdings, ia pasti menimbulkan kemarahan Datuk Affendi lalu bakal menggugat kepercayaan lelaki itu terhadapnya, justeru dia perlu bersedia. Bukankah dia sendiri sudah mengetahui risiko yang bakal dihadapi kerana bertegas dengan perasaannya terhadap Khadeja?
Aliff tersedar lalu bayang-bayang perbualan telefon di antara dirinya dan Datuk Affendi spontan melenyap dari kotak ingatan. Dia lantas menoleh ke sebelahnya lalu mendapati Khadeja masih menyepikan diri.
Terus dia teringat topik yang sedang mereka bicarakan seketika tadi.
“Khadeja…” Aliff akhirnya memanggil. Dia menyedari waktu kian bergerak ke jam 5.30 petang. Jasni yang sejak tadi menanti di atas bot mewah sudah beberapa kali memandang ke arah mereka.
Aliff sedar, dia dan Khadeja perlu menamatkan perbualan kerana dia sepatutnya sudah berangkat ke jeti di tanah seberang. Di sana nanti dia perlu menaiki teksi ke lapangan terbang dan tinggal tiga jam lagi, dia akan pulang ke Kuala Lumpur.
Khadeja berpaling ke arahnya. Untuk beberapa detik, pandangan mereka bersatu.
“Saya faham awak susah nak percaya tapi saya berani bersumpah yang saya betul-betul ikhlas dengan perasaan saya. Awak memang dah curi hati saya, Khadeja. Sejak pertama kali kita berjumpa, awak dah buatkan saya jatuh cinta pandang pertama kat awak.” Aliff meluahkan seikhlasnya.
Khadeja mengetap bibir. Dia membiarkan kata-kata lelaki itu menusuk ke kalbunya.
“Kalau awak perlukan masa untuk berfikir, awak ambillah. Saya akan datang semula ke sini untuk dengar jawapan awak. Tapi saya berharap sangat, awak jugak berkongsi perasaan yang sama dengan saya. Cuma kalau awak takde rasa apa-apa lepas berfikir… rasanya takde kepentingan untuk saya terus tinggal di sini. Jadi, masa tu saya akan pergi.” Selepas mengucapkan kata-kata itu, Aliff bingkas. Dia meminta diri. Namun tidak sempat dia menyusun langkah, Khadeja tiba-tiba memanggilnya.
“Apa yang akan berlaku kalau saya pun sukakan awak?” Kemudian gadis itu menyoal.
Aliff lantas berpaling dan meletakkan anak matanya ke arah Khadeja.

****

MAKNANYA, Aliff nak beritahu mama yang Aliff dah suka pada gadis di pulau tu? Aliff dah jatuh cinta pada dia?” Datin Soraya bertanya dengan riak terkejut.
Seketika, dia menoleh ke arah Datuk Affendi. Suaminya itu kini sedang duduk membatukan diri di sebuah kerusi. Ia berada tidak jauh dari tempat mereka sedang berbincang. Melihat pada raut wajah, nampak seperti suaminya tidak berpuas hati dengan khabar yang baru disampaikan oleh anak sulung mereka.
Mana tidaknya, Aliff baru saja memberitahu mereka tentang satu perkara yang tidak diduga. Selain mahu membatalkan niat untuk meneruskan projek Vila Samudera, anak bujang mereka itu mula berbicara tentang soal hati terhadap seorang gadis yang tinggal di sebuah pulau.
Aliff dilihat mengangguk. “Yes! I like her very much and I was thinking to take her as my wife.”
“What?” Datin Soraya makin terkejut.
Saat melirikkan mata ke arah suaminya, Datuk Affendi turut kelihatan terkejut mendengar kenyataan yang baru diucapkan oleh anak lelaki mereka.
Matahari hari itu baru saja memancar terang. Biarpun cuaca begitu cerah, suasana di dalam banglo mewah milik Datuk Affendi bagaikan suram tanpa dipinta.
Beberapa minit tadi, mereka selesai bersarapan tanpa Leroy yang belum terjaga dari tidur kerana pulang lewat malam tadi.
Aliff mengambil kesempatan untuk mengajak mama dan abahnya berbincang di ruang keluarga. Itu pun setelah Datuk Affendi mula bertanya tentang perkembangan projek Vila Samudera di Kampung Pulau Perindu.
Semalam mereka tidak sempat berbual-bual kerana semasa Aliff tiba di rumahnya, jarum jam hampir menuju ke angka 10.00 malam dan dia begitu kepenatan.
“Aliff tahu mama dan abah mesti terkejut. Aliff sendiri masih tak percaya dengan apa yang berlaku sebab semuanya terlalu pantas!” Aliff bersuara dengan nada perlahan.
“Selama ni Aliff tak pernah bayangkan gadis macam Khadeja akan berada dalam fikiran Aliff. Mungkin sebab Aliff terlalu sibuk dengan urusan kerja. Tapi, Aliff tak nak tipu perasaan Aliff, mama… abah. I like Khadeja very much. I can feel something different since the first moment I saw her.” Panjang Aliff menjelaskan.
Dia tidak pasti bagaimana dia boleh mendapat keberanian untuk memberitahu maksud hatinya secara jelas kepada Datuk Affendi dan Datin Soraya. Namun, keberanian itu mungkin hadir disebabkan soalan terakhir Khadeja di pondok jeti semalam.
“Apa yang akan berlaku kalau saya pun sukakan awak?”
Walaupun sedikit terkejut mendengarnya, Aliff tetap rasa bahagia. Dia seolah-olah diberi harapan bahawa luahan perasaannya telah pun dibalas. Dia seperti terasa Khadeja turut menyukainya kerana riak gadis itu nampak keberatan semasa dia sudah bersedia untuk berangkat pulang. Apatah lagi bila dia bercadang untuk memberikan jawapannya bila dia datang semula ke Kampung Pulau Perindu nanti.
“Tapi Aliff baru aje berjumpa dengan Khadeja! Takkan tiba-tiba Aliff sukakan dia dan senang-senang cakap nak kahwin dengan dia?” Suara Datin Soraya berbunyi di celah-celah lamunannya. Aliff tersedar. Dari suara mamanya, jelas kedengaran nada tidak bersetuju.
“Mama akan faham apa yang Aliff rasa kalau mama kenal hati budi Khadeja. Kalau mama dan abah setuju, Aliff akan bawa dia ke sini. Aliff akan kenalkan dia secara rasmi…”
“No! My answer is no!” Sepantas kilat Datuk Affendi mengeluarkan kata-kata membuatkan Aliff terdiam.
Aliff tidak sempat menghabiskan ayatnya lalu dia terus memberikan tumpuan pada abahnya yang sudah bersuara setelah agak lama menyepikan diri. Datin Soraya juga melakukan perkara sama. Raut Datuk Affendi tampak serius.
“Aliff sedar tak apa yang Aliff cakap ni? Tugas Aliff sepatutnya dapatkan sebahagian tanah di kampung tu untuk projek syarikat! Tapi apa sebenarnya yang Aliff buat? Aliff sedar tak Aliff dah tipu abah?” Suara Datuk Affendi bergema kuat. Pertama kali Aliff melihat tingkah abahnya sebegitu rupa.
Datin Soraya sudah membatu. Berdesup jantungnya tatkala mendengar suara suaminya yang kuat memenuhi ruang rehat keluarga.
“Aliff kata nak tinggal lebih lama di pulau tu konon-konon untuk dekati perempuan kampung tu. Aliff kata nak pujuk dia supaya jual tanah untuk projek syarikat kita tapi akhirnya Aliff bersuka ria dengan dia dan sekarang Aliff kata Aliff sukakan dia dan sanggup lupakan tujuan utama kita ke sana untuk berkahwin dengan dia?”
“Aliff tak tipu abah dan Aliff tak pernah lupa tujuan utama kita ke sana. Sebab tu Aliff akan berusaha untuk cari tanah yang lain di kampung tu untuk teruskan projek Vila Samudera,” ujar Aliff.
“Untuk apa? Setelah abah bersusah payah untuk menjayakan projek tu, Aliff senang-senang suruh abah mulakan semula dari awal? Aliff tahu tak berapa jumlah yang kita akan rugi? Aliff sedar tak yang semua pelabur kita akan lari kerana tak percayakan kita lagi?” Datuk Affendi menolak cadangan Aliff.
“Abah…”
“Perempuan tu dah jatuhkan air muka abah di depan orang-orang kampung, Aliff! Do you expect me to accept her in our family? What happen to you?” Datuk Affendi tidak langsung memberi peluang kepada Aliff untuk berbicara.
Sekali lagi Aliff terdiam.

Macam ni ke sikap seseorang yang akan ambil alih syarikat yang abah dah bina bertahun-tahun dengan hasil titik peluh abah selama ni? Macam ni ke?” Datuk Affendi masih meninggikan suara. Terasa berdesing semua pasang telinga yang ada di situ.
Kali ini Aliff tertunduk. Dia tidak tahu bagaimana mahu menjawab tutur kata yang dilontarkan oleh abahnya tika itu. Dia buntu. Walaupun dia sudah mengagak perkara itu akan berlaku sebelum memulakan perbincangan tadi, tetapi dia tidak menyangka ia akan setegang itu.
“Now, I want you to stop all the nonsense! Lepas ni lupakan semua yang Aliff cakapkan tadi. Abah akan maafkan Aliff dan anggap takde apa-apa yang berlaku hari ni. Minggu depan, abah akan hantar orang lain di Kampung Pulau Perindu untuk teruskan projek Vila Samudera.”
“Abah!”
“I said stop it!” Datuk Affendi menempik.
“Abang… sabarlah. Biar saya yang bercakap dengan Aliff dulu.” Datin Soraya segera menenangkan situasi di antara suami dan anak sulungnya.
Terus Datuk Affendi menarik nafas panjang. Dia benar-benar hilang sabar dengan kelakuan Aliff pada hari itu. Entah kenapa, dia sendiri tidak tahu!
“Aliff… dengar dulu apa yang mama nak cakap ni!” Datin Soraya memulakan ayat sambil menatap wajah keruh anaknya yang kini membatu.
“Sebenarnya kami dah ada rancangan dengan Auntie Selina. Kami nak jodohkan Aliff dengan Suzana dan bercadang nak tunangkan kamu berdua hujung bulan depan.” Datin Soraya tidak menunggu lama untuk memberitahu letak duduk perkara sebenar.
Aliff terkejut dengan berita yang baru disampaikan itu.
“Apa maksud mama ni?”
“Aliff tahu kan, abah dan Uncle Mustafa dah berkawan sejak mereka masih belajar?”
“Habis tu?”
“Disebabkan mereka terlalu rapat, arwah Uncle Mustafa ada tinggalkan pesanan sebelum dia meninggal dunia. Dia berhasrat nak jodohkan Aliff dengan Suzana untuk rapatkan hubungan keluarga kita.”
“Tapi… Aliff tak pernah cintakan Suzana!”
“Cinta boleh dipupuk kemudian.”
“Tak, mama! Aliff dah jatuh cinta pada Khadeja dan Aliff cuma anggap Suzana tak lebih dari seorang kawan. Memang kami rapat selama ni, tapi mustahil untuk Aliff berkahwin dengan seorang gadis yang Aliff tak pernah cinta!”
“Jadi, Aliff sanggup ke hancurkan harapan abah dan mama serta hasrat terakhir arwah Uncle Mustafa hanya disebabkan seorang perempuan kampung?” Datuk Affendi terus mencelah. Dia mahukan penjelasan Aliff.
“Please, abah! Tak boleh ke abah faham perasaan Aliff? Sejak dulu, Aliff tak pernah sekali pun tolak semua perintah abah. Aliff ikut semua kehendak abah. I’m taking business study even it is not my choice! I work at your company even I have plan to set up my own company. Tapi, takkanlah sampai soal wanita pilihan hidup pun, abah nak tentukan untuk Aliff?”
“Well said, Aliff Zulkarnain! Akhirnya, hari ni Aliff dah tunjuk sikap sebenar Aliff pada abah. Abah betul-betul kecewa. Tapi, abah nak Aliff dengar apa yang abah nak cakap!” Datuk Affendi tidak mengalihkan pandangan dari wajah anaknya.
Datin Soraya gelisah. Keadaan tak menentu itu tidak pernah dibayangkan akan berlaku di antara suami dan anaknya. Dia risau akan berlaku pertelingkahan yang panjang antara kedua-duanya.
“Abah takkan terima orang sebarangan untuk masuk dalam keluarga kita. Sebagai anak abah dan pewaris Samudera Holdings, Aliff cuma akan berkahwin dengan wanita yang berpendidikan tinggi, disegani dan mempunyai taraf hidup yang baik dalam masyarakat. Abah takkan ubah apa yang abah dah rancang untuk Aliff selama ni dan Aliff tak boleh rosakkan impian abah. Sekarang ni, Aliff cuma ada dua pilihan. Sama ada Aliff nak kekal sebagai anak abah yang bakal mewarisi peratus saham utama Samudera Holdings atau hilang semua tu kalau Aliff berdegil nak berkahwin dengan perempuan kampung tu!” Ucapan Datuk Affendi penuh dengan nada ugutan.
“Apa yang abang cakapkan ni?” Datin Soraya cepat-cepat bersuara. Dia tidak bersetuju dengan pilihan mengejut yang diberikan oleh suaminya kepada Aliff. Bagaimana jika Aliff membuat pilihan yang tidak terduga?
Datin Soraya terus memberi isyarat kepada Aliff supaya segera meminta maaf kepada Datuk Affendi. Buat sementara, dia mahu perbincangan itu ditamatkan. Dia akan cuba untuk membetulkan keadaan di hari lain. Mungkin memujuk suaminya atau memujuk Aliff. Apa-apapun, salah seorang harus mengalah!
Aliff mendekati Datuk Affendi.
“Aliff minta maaf sebab kecewakan abah.” Dia terus mencapai tangan abahnya lalu mengucup.
“Tapi, Aliff jugak takkan ubah apa-apa keputusan. Aliff masih boleh terima bila abah tentukan semua perkara dalam hidup Aliff tapi soal jodoh, Aliff takkan bertolak ansur kalau abah tetap nak masuk campur,” kata Aliff kemudian.
Sebaik mendengarkan ucapan itu, Datuk Affendi menarik tangannya.
“Kalau itu keputusan Aliff, baiklah! Aliff boleh pergi dari sini.”
“Abang!!!”
“Lepas pergi dari sini Aliff boleh buat sesuka hati! Nak kahwin dengan perempuan kampung tu? Hah, kahwinlah! Tapi ingat, bila dah kahwin dengan dia… Aliff jangan mengaku Aliff anak abah lagi! Harta abah, saham Samudera Holdings… satu sen abah takkan bagi pada Aliff. Selangkah Aliff jejakkan kaki keluar dari rumah ni untuk ke pulau tu semula… abah akan gugurkan nama Aliff sebagai pewaris harta abah.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75685/langit-cinta