[SNEAK PEEK] LAFAZKAN KALIMAH CINTAMU

Lafazkan Kalimah Cintamu Oleh Siti Rosmizah

“MAMA… mama… mama!” jerit Tengku Aqilah.

Shafinaz terus terjaga dari tidurnya, pantas dia mendapatkan sahabatnya, Tengku Aqilah yang masih meracau-racau memanggil nama mamanya.

“Qila… Qila… Bangun Qila! Bangun!” Tubuh Tengku Aqilah digoyang perlahan.

Tengku Aqilah tersentak terus dia membuka matanya.

“Fina, aku mengigau lagi ya? Sorrylah aku asyik ganggu aje tidur kau.” Jelas Tengku Aqilah separuh berbisik, peluh yang membasahi dahinya dilap perlahan.

Shafinaz terus menggeleng.

“Tak Qila, kau tak ganggu aku. Aku tahu perasaan kau… kau rindu mama kau kan?” Lembut suara Shafinaz menyapa di gegendang telinga rakan sebilik merangkap rakan sekuliahnya di Universiti Florida di United States of America itu.

Tengku Aqilah menghadiahkan selembar senyuman buat rakannya. Dia melangkah ke tingkap melihat hujan yang turun, tubuhnya dipeluk kejap.

“Aku memang rindukan mama Fina. Sentiasa merinduinya lebih-lebih lagi dalam tempoh 5 tahun di sini aku tak berpeluang melawat kubur mama,” ujar Tengku Aqilah. Pandangannya masih terarah ke luar tingkap. Sesekali anak rambutnya yang jatuh menutupi dahi dikuak perlahan.

Shafinaz yang sudah duduk bersila di atas katil Tengku Aqilah, merenung wajah sahabatnya sayu.

“Sabarlah Qila, minggu depan kita akan pulang bersama segulung ijazah. So kau tak perlu lagi berjauhan dari kubur mama kau dan pasti keluarga kau berbangga sebab kau lulus dengan cemerlang kan?” Ceria suara Shafinaz apabila membayangkan yang mereka akan kembali ke pangkuan keluarga. Namun sebaliknya tersirna di wajah Tengku Aqilah. Dia tersenyum sinis mendengar kata-kata sahabatnya itu.

“Bangga? Kau kata keluarga aku bangga? Tak Fina, aku hanya ada mama dalam hidupku, bila mama pergi hanya Mak Kiah dan keluarganya tempat aku bermanja. Pak Engku tak pernah sayangkan aku. Sejak aku kecil, aku hanya melihat api kebencian di matanya.” Tengku Aqilah menghela nafasnya perlahan lalu duduk di sebelah rakannya sambil memeluk selimut putih yang menyelimutinya tadi.

“Arwah mama atau Pak Engku kau tak ada keluarga ke? Sampai kau perlu menumpang kasih dengan keluarga Mak Kiah? Sorrylah Qila aku tanya kau macam-macam malam ni, bukannya apa walaupun kita dah kenal selama 5 tahun tapi honestly aku cakap kau terlalu perahsia pasal hal keluarga kau, tapi itu pun kalau kau tak ada masalah nak berkongsi dengan aku,” ujar Shafinaz perlahan.

Tengku Aqilah menoleh pada sahabatnya di sebelah, kepalanya digeleng-gelengkan.

“Aku bukan nak merahsiakan hal keluarga aku, cuma aku merasakan tidak ada apa yang istimewa untuk diceritakan. Aku… Aku…” Tengku Aqilah teragak-agak untuk meneruskan ayatnya. Selimut di tangan makin erat dipeluknya.

Shafinaz menggenggam tangan Tengku Aqilah, dia bagai dapat merasakan betapa beratnya penanggungan perasaan yang ditanggung oleh sababatnya itu.

“Luahkanlah Qila, aku sedia mendengarnya. Luahkan, moga ia dapat mengurangkan sedikit penderitaanmu itu. Walau aku tak dapat membantu sekalipun, sekurang-kurangnya dapat melegakan hati kau,” pujuk Shafinaz lembut.

Tengku Aqilah menghadiahkan sebaris senyuman buat rakannya.

“Fina, aku kini sebatang kara, selepas mama meninggal, aku terpaksa menumpang kasih orang luar, Pak Engku tak pernah sayangkan aku, Fina.

Aku tak pernah merasakan kasih sayang seorang papa… tak pernah.” Tengku Aqilah terus-terusan menggeleng, walaupun suaranya bergetar namun tiada air mata yang gugur. Hati Tengku Aqilah bagaikan sudah beku atau mungkin dia sudah tidak larat lagi untuk terus-terusan menangis selepas pemergian mamanya.

Tengku Aqilah mengengsot ke bahagian tengah katil lalu menyandarkan badannya ke dinding. Shafinaz turut melakukan perkara yang sama.

“Sebenarnya mama aku gadis kacukan Melayu-Jepun…” Belum sempat Tengku Aqilah meneruskan ayatnya Shafinaz sudah memotong, “Oh… sebab tulah wajah kau iras macam gadis Jepun, cantik… kulit putih… hidung yang comel… tapi mata aje sepet sikit.”

Tengku Aqilah terus tergelak sebaik mendengar komen rakannya itu. “Oh sempat mengutuk aku ya.”

Shafinaz tergelak mendengarnya, jelas keceriaan pada suara Tengku Aqilah namun hanya seketika cuma, nada suaranya kembali sayu bila berbicara mengenai mamanya.

“Papa mama aku orang Jepun dan ibunya wanita Melayu. Menurut cerita yang aku dengar daripada Mak Kiah, perkahwinan mereka tak direstui keluarga kedua-dua pihak sebab berlainan agama dan bangsa kerana itu kedua-duanya dibuang keluarga tapi demi cinta mereka harungi jua.

Namun takdir penentu segalanya Fina, atuk dan nenek aku terlibat dalam kemalangan hingga meragut nyawa mereka, syukur mama aku selamat tapi dia hidup sebatang kara dan dalam usia dia kalau tak salah aku waktu tu 8 tahun, Jabatan Kebajikan Masyarakat menghantar dia ke rumah anak-anak Yatim. Kesian mama, memang perit hidup tanpa kasih sayang ibu bapa dalam usia yang kecil. Aku dapat merasakannya…” Pada ayat terakhir itu Tengku Aqilah bagaikan berbicara pada diri sendiri.

Lama, Shafinaz memandang wajah suram sahabatnya itu. “Aku simpati pada nasib arwah mama kau.” Lembut Shafinaz berbicara.

“Penderitaan arwah mama tak terhenti di situ aje, mama aku berjaya melanjutkan pelajarannya hingga ke universiti. Di situ bermulanya perkenalan mama dengan papa aku. Mereka bercinta, berkasih sayang dan akhirnya selepas tamat belajar mereka buat keputusan untuk berkahwin tapi keluarga papa aku tak setuju. Enggang masakan boleh terbang dengan pipit. Pandangan kuno dan satu pendapat yang lapuk!” Sinis kata-kata Tengku Aqilah. Bibirnya dicebik, satu keluhan dilepaskan perlahan.

Shafinaz begitu setia mendengar.

“Nampaknya mama aku pun turut mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya, berkahwin tanpa restu keluarga tapi Mak Kiah kata Pak Engku terlampau sayangkan mama. Dia rela kehilangan keluarganya dari kehilangan mama. Bertuah mama dapat lelaki yang benar-benar mencintainya. Pak Engku terlalu sayangkan mama… alangkah bahagianya jika aku dapat merasakan sedikit kasih sayang Pak Engku itu. Bertuah mama…” Tengku Aqilah tidak meneruskan kata-katanya lagi hanya selimut di tangan dipeluk seerat-eratnya.

Suasana menjadi hening seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Shafinaz memandang selimut putih yang tidak lepas dari pegangan Tengku Aqilah itu.

“Qila…” Panggilan Shafinaz memecah sunyi yang bertamu.

“Dari hari pertama kau datang ke sini, selimut putih tu tak pernah berenggang dengan kau. Sayang betul kau dengan selimut ni ya, dah macam bantal busuk kau aje.” Sempat pula Shafinaz mengusik rakannya.

Tengku Aqilah tersenyum mendengarnya sempat lagi selimut itu dicium.

“Selimut ini begitu bermakna pada diri aku. Setiap kali aku memeluknya aku merasakan bagai aku memeluk mama. Masih jelas di ingatan, bagaimana aku bagai orang kebingungan Fina, aku resah melihat hujan yang turun lebat selepas mama dikebumikan. Apatah lagi waktu tu hari semakin malam, aku tak dapat mengawal diri aku, aku terus ambil selimut, berlari keluar tanpa ada rasa takut walau sekelumit pun. Hakikatnya sebelum ni aku budak penakut. Kisah poconglah, hantu kuburlah, macam-macamlah spesies hantu yang Mak Kiah ceritakan pada aku dengan Farhana. Kau tahu kan Farhana tu anak Mak Kiah?”

Shafinaz yang menjadi pendengar sedari tadi terus mengangguk.

“Aku tahu, kau kan selalu ceritakan pada aku pasal kawan baik kau tu,” jelas Shafinaz.

“Kau pun kawan baik aku jugak,” sampuk Tengku Aqilah, sempat pula mereka berbalas senyuman.

Tengku Aqilah membetul-betulkan anak rambutnya yang mula menutupi matanya.

“Itulah macam yang aku cakapkan tadi Fina, hilang segala perasaan takut tu, yang aku tahu aku perlu pergi ke kubur mama. Aku nak selimut kubur mama, aku tak nak mama sejuk. Masa mama ada dulu aku selalu selimutkan mama. Entahlah Fina, aku pun tak tahu apa yang aku dah buat waktu tu. Jiwa aku terlalu kosong.” Jelas kedengaran sendu pada suara Tengku Aqilah. Matanya mula berkaca-kaca. Shafinaz turut terharu mendengarnya.

“Inilah selimutnya Fina. Inilah selimutnya…” Selimut di tangan diramas-ramas lembut.

Shafinaz hanya mengangguk. Bibirnya diketap bagai menahan sebak yang bertandang.

“Akibat perbuatan aku itu, aku dibuang jauh oleh Pak Engku dari hidupnya. Pak Engku kata perangai aku dah melampau dan aku akan menyusahkan dirinya kelak. Jadi aku dihantar ke sekolah berasrama, bila cuti penggal, aku dihantar ke rumah ibu Mak Kiah. Jadi setiap kali cuti sekolah, aku habiskan masa di rumah Nenek Jah.

Keluarga aku dah berpindah ke Kuala Lumpur dan Mak Kiah sekeluarga pun ikut sama. Aku tak pernah pergi ke sana dan aku tahu Pak Engku tak pernah akan menerima kehadiran aku di sana tapi aku bahagia walaupun aku berjauhan dari keluarga dari papa aku sendiri, tapi aku sentiasa dekat dengan mama. Nenek Jah selalu bawak aku menziarah kubur arwah mama hinggalah aku akhirnya dihantar ke bumi Inggeris ini.” Panjang lebar Tengku Aqilah menceritakan kisah hidupnya pada sahabat baiknya itu.

Walau kisah Tengku Aqilah kedengaran tragis perjalanan hidupnya namun Shafinaz dapat melihat reaksi wajah sahabatnya di kala ini cukup tenang, umpama dia hanya menceritakan suatu kisah yang dibaca dari novel sahaja. Jelas ketabahan pada diri sahabatnya itu.

“Tapi aku peliklah Qila, kalau papa kau begitu membenci kau seperti yang kau katakan itu, kenapa pulak dia sanggup hantar kau belajar sampai ke sini, tanggung segala pengajian kau. Kalau dia memang membenci kau bukan ke lebih baik dia tak perlu membazirkan duit untuk kau?” Shafinaz mengajukan soalan yang bermain di mindanya sedari tadi.

Tengku Aqilah tersenyum sinis mendengarnya, wajahnya diusap lembut.

“Amanat Fina, kata Mak Kiah amanat arwah mama. Lagipun ini yang papa aku inginkan menjarakkan aku sejauh mungkin dari dirinya. Yalah, aku nikan anak yang bawak malang, anak tak guna… anak si…” Namun perkataan itu terhenti di situ, Tengku Aqilah tidak sanggup hendak menghabiskannya. Bibirnya diketap sekuat mungkin. Wajahnya berubah merah, tangan Shafinaz ditepuk lembut.

“Dahlah kita bercerita pasal hal lainlah pulak ya,” ujar Tengku Aqilah lembut, lalu terus bangkit dari katil.

Dia terus duduk di meja belajarnya, komputer ribanya dibuka.

“Aku nak hantar e-mel pada Ana. Aku nak tanya di mana dia nak tunggu aku nanti,” jelas Tengku Aqilah dengan suara yang diceriakan.

Di kala tangannya lincah menekan papan kekunci, Shafinaz yang masih setia di atas katil terus mengajukannya dengan satu lagi soalan.

“Qila, bukan ke Nenek Jah dah meninggal masa kita di semester tiga?”

Tangan Tengku Aqilah yang sedang lincah menaip terus terhenti. Dia terus memandang wajah sahabatnya.

“Yalah maksud aku, kau nak tinggal di mana nanti?”

Tengku Aqilah masih tidak memberikan jawapannya, dia bagaikan sedang memikirkannya. Akhirnya perlahan-lahan dia menggeleng dan terus menyambung semula menaip.

“Bumi Allah ni luas Fina, aku belum fikirkan apa-apa lagi. Nanti sampai di Malaysia baru aku kerah otak aku untuk berfikir.” Sempat lagi Tengku Aqilah bergurau dengan rakannya.

Shafinaz hanya tersenyum mendengarnya.

“Tak pun apa kata kau ikut aku balik, kau tinggal aje dengan aku nak tak?” pelawa Shafinaz bersungguh-sungguh.

Tengku Aqilah terus tersenyum mendengarnya.

“Okey jugak, kau ada beritahu aku, kau ada abang kan? Emm…mana tahu boleh jadi kakak ipar kau,” usik Tengku Aqilah lalu mengenyitkan matanya.

Shafinaz terus menjegilkan matanya. “Qila, aku serius kau main-main pulak.”

Tengku Aqilah terus tergelak melihat keletah rakannya itu.

“Apa pun terima kasih sahabatku. Aku nak cuba untuk hidup berdikari. Dah tiba masa untuk aku berdiri atas kaki sendiri. Aku tak nak menyusahkan sesiapa lebih-lebih lagi Pak Engku.” Bersemangat sungguh suara Tengku Aqilah di kala itu.

Shafinaz sudah bangun dari katil.

“Aku nak pergi beli makanan laparlah, kau nak order tak?”

Tengku Aqilah hanya menggeleng namun sebaik Shafinaz berada di depan pintu bilik langkahnya terhenti. Shafinaz terus berpusing memandang sahabatnya yang begitu leka menaip di komputer riba.

“Qila, aku ada soalan terakhir…”

Tengku Aqilah terus berhenti menaip. Wajah sahabatnya dipandang sambil keningnya diangkat.

“Kau tak teringin ke nak panggil Pak Engku, papa? Aku tahulah kau ada cakap dengan aku dulu dari kecik kau diajar untuk panggil Pak Engku tapi di kala kau dah dewasa ni tak teringin ke nak panggil dia papa macam yang kau selalu dengar kakak kau Natasha panggil?”

Suasana menjadi hening kembali.

Tengku Aqilah melepaskan nafasnya perlahan lalu kembali menaip. Shafinaz terus memulas tombol pintu, pastinya Tengku Aqilah tidak berminat untuk menjawab soalan itu. Sebaik kakinya melangkah keluar…

“Aku dah letih Fina… Letih menagih kasih pada yang tak sudi. Aku benar-benar penat! Terlampau penat!” ucap Tengku Aqilah perlahan dengan matanya yang tidak berkalih dari skrin komputernya.

Perlahan-lahan Shafinaz menutup pintu bilik mereka. Kata-kata Tengku Aqilah tadi terus terngiang-ngiang di telinganya. Moga kau akan menemui kebahagiaan satu hari kelak sahabatku…

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278027/Lafazkan-Kalimah-Cintamu