“HAPPY birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Sarah, happy birthday to you.” Berkumandang lagu hari jadi itu dinyanyikan oleh sekumpulan kanak-kanak yang berusia antara lima hingga sembilan tahun. Wajah masing-masing menggambarkan rasa tidak sabar untuk menjamah kek berbentuk Tweety Bird yang amat menarik dan nampak begitu lazat.
Dari muka pintu dapur, Taufik tersenyum melihat keletah anak kesayangannya menyambut hari lahir yang ke tujuh. Diam tak diam, sudah tujuh tahun dia hidup bersendirian ditemani anak yang seorang itu. Kalau tidak kerana Sarah Nabilah, sudah lama dirinya tewas sebelum berjuang. Dan jika tidak kerana anak bermata bundar itu, sudah tentu dia tidak berada pada tahap sekarang.
Dia menatap wajah jernih itu dalam diam. Sarah masih leka bermain dengan teman-temannya. Begitu khusyuk sehingga tidak menyedari kehadirannya di situ. Tidak mahu mengganggu detik indah di hadapannya, dia terus memerhati. Secarik senyuman bahagia tercipta di bibirnya. Dengan tidak semena-mena, perasaan rindu hadir dalam jiwa.
Seperti tahu bahawa dirinya diperhatikan, Sarah menoleh memandang papanya. Bibir mongilnya mengulum senyuman. Taufik membalas, namun jauh di lubuk hati, kepedihan masih terasa. Senyuman Sarah mengingatkannya kepada seseorang. Seorang insan yang cuba diluputkan daripada fikiran, tetapi semakin kejap mencengkam kotak ingatan.
Melihat Sarah membesar tanpa kasih sayang seorang ibu, sering kali mengundang rasa bersalah dalam dirinya. Dia tahu, Sarah rindukan kehadiran seorang wanita yang boleh dipanggil ibu. ‘Ibu’. Satu perkataan yang cukup pendek, tetapi kalimah suci itu mampu mencorakkan hidup seseorang manusia.
Kuasa seorang ibu cukup hebat. Tersinggung perasaan ibu, Aqamah seksa menghadapi sakaratulmaut. Melukakan hati ibu, Tanggang berubah menjadi batu. Wajarkah dia menidakkan hak Sarah untuk mempunyai ibu selama ini? Salahkah perbuatannya dulu? Taufik bingung. Tapi, apabila mengenangkan perbuatan tidak bertanggungjawab Alia, hatinya kembali bergolak.
Perempuan yang sanggup meninggalkan anaknya ketika berusia lima bulan bukanlah seorang ibu yang baik. Biarlah dia pergi daripada melukakan hati Sarah kemudian hari. Perlahan-lahan, dia mengorak langkah mendekati sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik menghadap juadah yang terhidang di atas meja.
“Hah… Sarah, makan elok-elok sikit. Habis comot pipi ni.” Dengan penuh kasih, pipi Sarah dibersihkan dengan tisu.
“Papa, sedaplah kek Tweety ni. Banyak Sarah makan, tau. Nini pun makan banyak,” balas Sarah merujuk kepada kawan baiknya.
“Nanti papa beli kek yang ada gambar Donald Duck pulak ya?” sambung Sarah lagi.
Taufik menggeleng. “Nak Donald ke, Slyvester ke, Bugs Bunny ke, habiskan semua ni dulu. Kalau Sarah dengar cakap papa, makan elok-elok. Kalau tak…”
“Alah… selama ni pun Sarah memang baik. Betul tak Nini?” Budak yang berambut keriting halus itu hanya mengangguk mengiakan.
“Kalau uncle beli, nanti Nini datang makan aje,” ujarnya seketika kemudian.
Taufik ketawa besar. Anak-anak zaman sekarang petahnya mengalahkan orang dewasa. Setelah berpuas hati melihat Sarah dan kawan-kawannya makan, dia meninggalkan mereka. Budak-budak pun macam orang dewasa juga. Perlukan privacy untuk dunia mereka sendiri.
Langkahnya terus dihalakan ke arah bilik kerja. Semenjak peristiwa yang berlaku dulu, hanya dua perkara yang menjadi tumpuan utamanya. Pertama, Sarah Nabilah dan kedua, tanggungjawab menerajui syarikat milik datuknya. Melihat Sarah membesar di depan mata adalah suatu pengalaman yang teramat indah dan bermakna dalam hidupnya. Anaknya itu seakan dapat menyesuaikan diri walaupun baru beberapa bulan mereka kembali ke tanah air setelah lama menetap di London.
Ingatannya jatuh kepada Alia. Apa khabar agaknya dia sekarang? Apa perasaannya jika dia berpeluang berjumpa dengan Sarah semula? Anak yang sudah beberapa tahun tidak berjumpa. Rasa simpati menerjah di lubuk hati mengenangkan Alia. Walau bagaimana luka hatinya kerana perbuatan isterinya itu, dia tetap tidak dapat menafikan, dia pernah mencintai wanita itu sepenuh jiwanya.
Sedarkah Alia terhadap kehilangan mutiara yang tidak ternilai dalam hidupnya? Semakin dewasa Sarah Nabilah, bermakna semakin besar jurang antara mereka.
“Alia…” Nama itu diseru perlahan. Memenuhi segenap jiwa dan mindanya.
Taufik mengambil sesuatu dari laci mejanya. Kotak kayu berwarna coklat keemasan dikeluarkan. Dia merenung seketika kotak itu. Jemarinya sedikit menggeletar ketika mahu membuka kunci yang tidak pernah dibuka sejak dia menutup kotak itu beberapa tahun yang lalu. Sebuah kotak kecil diambilnya dari bekas tersebut. Cincin pemberian Alia direnungnya dengan perasaan sayu. Semenjak dia keseorangan, cincin itu tidak lagi menemani dirinya. Tanpa sedar, dia menyarung cincin itu semula. Jiwanya semakin diruntun pilu.
****
ALIA mengatur kemas setiap langkahnya. Dadanya berdebar-debar menahan rasa gemuruh. Entah mengapa, sejak semalam tidurnya tidak lena mengenangkan apa yang harus dihadapi hari ini.
“Ya ALLAH… apa kena aku ni? Dup… dap… dup… dap… dari tadi. Relaks Alia, relaks. Cuba tenangkan fikiran. Kau sudah ada pengalaman dalam bidang ini. Temu duga pun sudah beberapa kali. Jadi, tak ada masalah lagi. Kau tak perlu takut. Yang penting, kau harus bertenang. Segala-galanya akan baik,” bisiknya perlahan. Cuba menahan debaran yang semakin bergelojak dalam dada.
“Selamat datang, cik…” sapa seorang penyambut tetamu dengan senyuman yang cukup manis.
“Boleh saya bantu?” tanya penyambut tetamu itu lagi.
“Saya Alia Ariffin. Saya datang ni untuk temu duga bagi jawatan setiausaha,” balas Alia memaniskan muka sambil menunjukkan surat panggilan temu duga.
“Oh… kalau begitu, sila tunggu sebentar ya, Cik Alia. Cik boleh menunggu di bilik sana,” terang penyambut tetamu itu sambil menunjukkan bilik menunggu yang terletak di sebelah kanan pintu masuk.
Alia mengucapkan terima kasih. Hatinya bertambah lega melihat penyambut tetamu yang berbudi bahasa itu. Sedang dia mengelamun, tiba-tiba bahunya dicuit lembut.
“Ni Alia, kan?” Seorang lelaki yang agak asing datang menegurnya. Wajah di hadapannya itu diamati betul-betul. Macam pernah kenal.
“Ya ALLAH! Abang Zariff,” ucap Alia apabila nama itu berada dalam kotak ingatannya. Suatu masa dahulu, lelaki ini pernah akrab dengannya.
“Hah… kenal pun! Ingatkan Lia tak ingatkan abang lagi. Mana Lia pergi selama ni? Lama abang tak nampak? Ayah dengan mak abang pun asyik tanyakan Lia aje. Dah rindu sangat dia orang kat Lia. Ini tak… bila Lia pergi aje, terus lupakan kami,” bebel Zariff tidak puas hati.
Memang sudah lama dia cuba mencari Alia. Bukan sehari dua, malah bertahun. Alia bagaikan halimunan. Hilangnya sukar untuk dijejaki.
“Tak adalah, mana boleh Lia lupa. Budi abang sekeluarga tak dapat Lia balas.” Alia menyangkal. Suaranya serak menahan sebak. Tidak menyangka sama sekali akan bertemu Zariff di sini. Dia tahu kesilapannya. Menghilangkan diri begitu sahaja padahal orang ini begitu banyak berbudi kepadanya. Tiba-tiba, dia diserang rasa bersalah yang bukan sedikit.
“Apa cakap pasal budi-budi ni? Abang tak suka nak dengar. Lia kan dah macam keluarga abang sendiri. Eh, Lia buat apa kat sini?” soal Zariff kehairanan.
“Lia ada temu duga,” jawabnya pendek.
“Temu duga? Untuk jawatan setiausaha tu?” Zariff meminta kepastian. Alia mengangguk, spontan mencetuskan tawa Zariff.
“Oh… senanglah kalau macam tu. Jangan bimbang, anggap aje Lia dah dapat jawatan tu. Abang akan tolong Lia,” balas Zariff mudah.
Lagipun, dia merupakan salah seorang panel yang akan terlibat dalam urusan temu duga itu. Apatah lagi jawatan itu adalah jawatan yang diperuntukkan kepadanya. Sekiranya Alia berjaya, bermakna Alia akan menjadi setiausahanya. Ini sudah cukup bagus. Alia tidak boleh lari daripadanya lagi.
“Apa maksud abang ni?” Alia tersentak. Dia cukup bingung dengan kata-kata itu. Abang Zariff ni nak main-mainkan aku ke?
Zariff hanya tersenyum, cuba menutup perasaan hiba yang tiba-tiba datang bertandang. Alia masih seperti dulu. Masih sama ketika ayahnya membawa gadis itu pulang dari hospital. Mukanya cengkung. Pandangannya kosong.
Zariff teringat peristiwa silam. Apabila mengetahui ibu bapanya terkorban dalam kemalangan, Alia memencilkan diri. Enggan bercakap, enggan makan, seolah-olah dia tiada semangat untuk hidup lagi. Alia seperti menghukum dirinya sendiri kerana masih hidup.
Alia tidak menangis. Sepanjang setahun dia tinggal bersama keluarganya, setitis air mata pun tidak pernah kelihatan. Kemalangan yang telah meragut nyawa ibu bapanya tidak pernah ditangisi. Hatinya seperti sudah berubah menjadi batu. Pada waktu itu, Zariff sendiri yang menangis, bukan Alia. Alia semacam tidak mempunyai perasaan. Zariff teringat kata-kata uminya ketika dia mempersoalkan mengenai perkara itu. Uminya hanya tersenyum hiba.
“Alia hanya tinggal jasad saja sedangkan jiwanya sudah mati. Jiwanya mati bila ibu bapanya menghadap ILAHI, dan separuh hatinya hilang apabila suami serta anaknya pergi tanpa berita. Penderitaannya hanya akan pulih kalau hati yang hilang itu kembali.”
Tapi, semangat umi dan abah kental. Mereka tidak putus asa untuk memulihkan semangat Alia. Walaupun tidak sepenuhnya, namun Alia sudah mampu mengukir senyuman. Tidak lagi membisu. Baru sahaja mereka bergembira dengan perubahan diri Alia, mereka dikejutkan dengan keputusan nekad gadis itu untuk hidup sendirian. Pujukan mereka tidak mampu melembutkan jiwa Alia yang keras. Dan, dengan rasa berat hati, Alia terpaksa dilepaskan.
Sekarang, dia bertemu semula dengan gadis itu. Terasa juga kesal di hati kerana Alia tidak mengotakan janjinya untuk sentiasa menghubungi mereka sekeluarga. Lamunannya terhenti apabila Alia menyergahnya.
“Hah? Apa Lia tanya tadi?” Pertanyaan itu dijawab dengan jegilan mata Alia.
“Okey… okey… jangan marah abang. Kalau nak tahu, abang ni salah seorang panel yang akan menemu duga Lia nanti,” jelas Zariff.
“Abang?” soal Alia bagaikan tidak percaya. Reaksi Alia mengundang senyuman Zariff. Kelakar dia melihat wajah Alia yang berkerut-kerut. Dibawa Alia masuk ke biliknya.
“Alah… sudah-sudahlah tu. Tak habis-habis nak kerut muka. Muka tu dah macam Mak Enon abang tengok…” Kata-katanya tidak sempat habis apabila Alia memukul bahunya dengan fail yang ada di tangan.
“Ni apa? Resume Lia, ya? Mintak sini abang tengok.”
Alia menyerahkan fail itu. Perasaan malu mula bertandang dalam hatinya. Dia tahu, dia tidak mempunyai kelulusan yang bersesuaian untuk jawatan ini. Apa yang ada, pengalamannya yang pernah bekerja sebagai setiausaha di beberapa buah syarikat kecil.
“Kalau abang harap yang tinggi-tinggi, susahlah. Lia cuma ada STPM aje. Belajar kat U pun tak sempat habis. Yang ada pun, Lia boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan Sepanyol dengan baik. Itupun sebab mama. Kalau tak, tak ada apa lagi yang tinggal untuk Lia,” tutur Alia sayu mengenangkan ibunya.
Datin Mariah yang berbangsa Inggeris-Sepanyol itu be-gitu menekankan Alia supaya mempelajari bahasa ibunda-nya. Walaupun kebolehan berbahasa asing amat diperlukan sekarang, namun tiada siapa yang mahu mengambilnya bekerja yang hanya berkelulusan STPM. Kalau tidak kerana mengambil keputusan untuk berkahwin dalam usia yang muda, tentu kini dia sudah bergelar peguam ataupun akauntan. Hidupnya umpama, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Memikirkan keadaan dirinya dengan masa depan yang gelap serta perkahwinan yang musnah, cukup untuk membuatkan dirinya hampir putus asa. Namun, jauh di sudut hati, Alia reda bahawa ini ketentuan-NYA. ALLAH Maha Penyayang. ALLAH tidak akan menduga umat-NYA sebegini hebat kalau tiada bersebab. Dan setiap kali merasakan tidak mampu bertahan, dia akan mengingatkan diri tentang insan lain yang lebih hebat penderitaannya.
Zariff yang mendengar sekadar mampu menggeleng. Kenapa Alia suka merendahkan diri sendiri?
“Lia cakap apa ni? Abang nak tengok resume Lia bukan sebab nak perkecilkan Lia. Sikit pun tak. Memanglah tak elok kalau kita suka meninggi diri, tapi jangan pulak kita asyik pandang rendah pada diri sendiri. Lia renung balik, fikir dalam-dalam, kenapa ALLAH jadikan Adam dan Hawa, jadikan Lia, abang dan semua orang? Kenapa ALLAH berikan akal kepada kita? Bukankah untuk berfikir serta mengkaji tentang kebesaran ALLAH, agar kita boleh beribadat dan bekerja dengan penuh yakin dan tanpa ragu-ragu.
Akal yang ALLAH beri juga untuk membimbing manusia. Insan yang ada akal takkan berputus asa dan takkan salahkan nasib diri. Rahmat-NYA melimpah di pelosok dunia. Tinggal kita sebagai manusia yang mencorak hidup sendiri. Sama ada mengikut jalan yang lurus atau sebaliknya. Yakinlah, Lia. ALLAH takkan berpaling daripada hamba-NYA yang bertakwa,” nasihat Zariff lembut tetapi tegas. Diperhatinya Alia yang dari tadi begitu tekun mendengar.
“Abang bukannya nak jadi ustaz atau apa, cuma abang nak ingatkan Lia dan diri abang sendiri apa tujuan sebenar kita di dunia ini. Ah! Sudahlah. Jom abang belanja makan. Dari tadi asyik abang aje yang bercakap. Lia dalam mulut macam ada berlian. Susah betul nak dengar suara dia,” perli Zariff lagi, cuba menceriakan suasana. Dia melihat jam di pergelangan tangan. Masih ada masa untuk bersarapan sebelum sesi temu duga itu bermula.
Alia teragak-agak. Wajarkah dia mengikut Zariff? Walaupun hubungan mereka akrab seperti adik-beradik, tetapi pada pandangan orang yang tidak faham, tetap nampak serong.
Melihat Alia yang ragu-ragu, Zariff mematikan langkahnya.
“Lia jangan bimbang. Pekerja kat sini baik-baik orangnya. Mereka takkan kata apa-apa. Percayalah cakap abang,” terang Zariff seperti dapat mentafsir apa yang bermain di fikiran Alia. Mahu tidak mahu, Alia terpaksa menurut.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81431/Kudamba-Bahagia