HAZNARUL sudah mampu bangun memandangkan keadaan dirinya semakin sihat dari semalam. Dia rasa bertenaga sekali. Begitulah keadaan dirinya setiap kali selepas diubati.
Namun, keadaan diri Jhaznarul harus sentiasa diperhatikan kerana kesihatan pemuda ini pada bila-bila masa sahaja akan merosot secara mendadak. Jadi, mereka perlu berhati-hati dengan keadaan diri Jhaznarul.
“Wei, bangun-bangun. Matahari dah meninggi ni. Tidur apa lagi? Nanti rezeki tak masuk. Aku tak apalah sebab dikecualikan,” laung Jhaznarul sambil tersengih ketika mengejutkan rakan-rakannya dari terus diulit mimpi yang indah.
Siang-siang pun masih nak mimpi lagi. Teruk betul perangai masing-masing. Itulah akibat dari tidur lepas Subuh. Beginilah jadinya.
Rakan-rakan Jhaznarul menggeliat dan masih berada di atas katil sebelum mereka membawa tuala masing-masing menuju ke tandas. Hendak tergelak Jhaznarul melihat keadaan itu dan berasa sedikit pelik.
Dia orang ni nak mandi secara beramai-ramai ke? Semua masuk tandas sekali? Entah-entah dia orang tak sedar lagi.
Jhaznarul masih berdiri di muka pintu biliknya sambil memerhati gelagat Firdee Aqasha, Syed Dahuri dan Khirulnizan. Mujurlah Zularman berkongsi bilik dengannya, jadi Zularman terselamat daripada acara mandi secara beramai- ramai itu kerana tandas berada di dalam bilik mereka.
Seketika kemudian, Jhaznarul terdengar pekikan dari dalam tandas. Sudah diagaknya mereka masih lagi mamai. Syed Dahuri dan Khirulnizan keluar dari tandas itu untuk memberi laluan kepada Firdee Aqasha menunaikan hajatnya terlebih dahulu. Jhaznarul melepaskan ketawanya melihatkan kejadian itu.
“Suka kau ya Jhaz? Hampeh sungguh,” rungut Syed Dahuri sambil menjengil pada Jhaznarul membuatkan ketawa jejaka itu makin meledak.
“Tandas bilik kau dah kosong? Aku nak masuklah. Sakit perut ni,” pinta Khirulnizan, meminta izin pada Jhaznarul untuk menggunakan tandas yang berada di dalam biliknya.
“Pergilah masuk kalau Zular dah keluar,” ujar Jhaznarul mengizinkannya sebelum mengatur langkah ke dapur bagi menyediakan sarapan buat dirinya dan juga rakan-rakan yang lain.
Namun, langkah kakinya terhenti ketika melihat sesuatu yang terhidang di hadapan matanya. Tidak berkelip-kelip Jhaznarul memandang pada sarapan yang sudah molek disediakan untuk mereka berlima pada pagi itu. Di atas meja terdapat nasi lemak, sambal ikan bilis, telur goreng mata dan daging salai.
Ianya menghairankan Jhaznarul. Bila masa pulak rakan- rakannya yang lain menyediakan sarapan sedangkan mereka semua baru sahaja bangun dari tidur? Dan bila masa pulak mereka membeli daging salai yang agak mahal harganya itu? Bagi pelajar seperti mereka, tidak mungkin dapat membeli daging salai selain lauk-pauk yang biasa-biasa sahaja.
Siapa yang sediakan sarapan ni? Takkan dia orang nak kenakan aku lagi? Mustahil. Aku yang kejut mereka tadi. Persoalan demi persoalan menerjah menyebabkan akal Jhaznarul sedikit sesak.
“Wah, sarapan dah siaplah. Menyelerakan. Jom makan.” ujar Syed Dahuri.
Syed Dahuri nampak teruja dengan hidangan yang cukup menyelerakan pada pagi itu dan terus sahaja menarik kerusinya. Begitu juga dengan Firdee Aqasha, Khirulnizan dan Zularman.
“Tapi siapa yang sediakan sarapan ni? Aku turun-turun dah ada,” soal Jhaznarul.
Dia tidak bernafsu hendak menjamah sebarang hidangan yang terhampar di hadapan matanya selagi tidak tahu dari sumber mana sarapan itu diperolehi.
“Siapa kisah siapa yang sediakan sarapan. Janji dah kat depan mata, kita makan ajelah. Sedapnya nasi lemak kampung ni. Mesti orang lama yang sediakan. Marilah Jhaz,” ajak Firdee Aqasha.
Jhaznarul menggeleng-geleng.
“Aku macam tak ada selera nak makan selagi tak tahu siapa yang sediakan sarapan kita pagi ni. Takkan tiba-tiba sarapan ni terhidang dengan sendiri? Masih berasap pulak tu. Mustahil? Siapa antara kau orang sediakan sarapan ni? Tolonglah jangan kenakan aku lagi,” ujar Jhaznarul dengan nada semakin meninggi.
“Kita sama-sama baru bangun Jhaz. Takkanlah kami yang sediakan pulak. Kau yang turun dulu, mungkin kau sedia dalam tak sedar kot,” ujar Zularman berlelucon membuatkan Jhaznarul mencebik.
“Kau orang ingat aku main-main ya? Aku tak sediakanlah sarapan ni. Siapa sebenarnya yang sediakan sarapan ni?” Jhaznarul masih mengulangi pertanyaan yang sukar untuk dijawab sesiapa pun.
“Sedap cu, sarapan yang nenek sediakan? Makanlah lagi.
Banyak nenek masak untuk cucu semua.”
Tiba-tiba kelihatan seorang nenek tua muncul dengan membawa sejag air kopi yang masih berasap.
Tersentak mereka memandang nenek tua yang muncul semula di hadapan mereka terutama sekali Jhaznarul. Sungguh mereka tidak sangka kehadiran nenek tua itu di saat mereka hendak melupakan seraut wajahnya. Rupa-rupanya nenek tua itu boleh muncul pada bila-bila masa sahaja yang dia suka, tidak kira pagi ataupun malam.
“Makanlah lagi. Bukan selalu nenek dapat sediakan sarapan ni untuk cucu.”
Melihat sahaja nenek tua itu menyeringai dengan menampakkan taring-taring giginya yang rentung, terhenti suapan mereka lalu pandangan masing-masing diarahkan pada Jhaznarul yang sudah pun terkaku.
Wajah Jhaznarul sudah berubah pucat lesi. Dia menutup mulutnya apabila memandang pada makanan yang sedang dijamah teman-teman serumah. Raut wajahnya yang cukup menjengkilkan membuatkan rakan-rakan yang lain turut menghala pandangan ke pinggan masing-masing.
Tiba-tiba sahaja tekak mereka rasa loya apabila melihat nasi yang sedang dijamah adalah ulat-ulat putih yang masih hidup. Daging salai itu pula sudah berbau busuk sehingga menusuk ke rongga hidung mereka. Sambal ikan bilis adalah belalang yang telah digoreng dan telur mata satu pula merupakan telur busuk. Masing-masing tidak mampu menahan diri lagi lalu berlari keluar dari rumah itu sambil memuntahkan segala isi perut yang sudah terisi dengan juadah sarapan sebentar tadi.
“Cu, tak sedap ke nenek masak? Ha…ha…ha…”
Telinga mereka masih dapat menangkap ketawa nenek tua itu mengilai-ilai.
Muntah mereka makin menjadi-jadi. Jhaznarul menarik nafas lega kerana dia tidak turut terjebak memakan sarapan yang disediakan nenek tua itu.
Era Kasmiran yang sedang menyidai baju berkerut-kerut dahinya.
“Eh, apa dah jadi tu? Baik aku beritahu yang lain,” kata Era Kasmiran seorang diri.
Era Kasmiran meninggalkan baju yang sedang disidai lalu segera memberitahu rakan-rakan yang lain tentang buah hati masing-masing. Dengan pantas kesemua kaum Hawa keluar untuk menemui buah hati masing-masing yang masih memuntahkan makanan yang dijamah sebentar tadi. Entah apa pula yang berlaku pada mereka kali ini.
“Kenapa kau orang ni?” tanya Era Kasmiran dengan perasaan cemas.
“Habib okey?” Sempat pula Husnarisyam bertanya khabar pada kekasih hatinya.
“Habib dah sihat habibi. Jangan bimbang,” jawab Jhaznarul yang kelihatan amat tenang.
“Apa dah jadi pada mereka ni? Kenapa mereka muntah?” tanya Husnarisyam lagi kerana dia melihat kaum Adam pada pagi itu amat berlainan sekali.
“Roh nenek tua sediakan sarapan untuk mereka. Nasi lemak dari ulat putih yang hidup. Daging salai dan telur pulak busuk. Sambal ikan bilis daripada belalang. Sebab tulah mereka muntah. Nasib baik habib tak ikut makan,” jawab Jhaznarul sambil menunjukkan reaksi geli-geleman.
“Biar betul nenek tua tu masak untuk kau orang?” Era Kasmiran seakan-akan tidak mahu mempercayainya.
“Betul. Kalau tak percaya, pergilah tengok atas meja tu,” beritahu Firdee Aqasha dengan bersungguh hati.
Era Kasmiran bersama-sama kaum Hawa yang lain melangkah laju masuk ke dalam rumah kaum Adam untuk melihat sendiri sarapan yang disediakan nenek tua itu. Namun, apa yang mereka dapati, tiada sebarang sarapan yang terhidang di atas meja. Kaum Hawa saling berpandangan sesama sendiri. “Mereka ni biar betul? Entah-entah mereka pun berhalusinasi macam Jhaz jugak. Jom,” ajak Nisrinah kepada rakan-rakannya untuk keluar dari rumah kaum Adam.
“Ada sarapan yang kami makan tadi?” tanya Khirulnizan.
Pantas kesemua kaum Hawa menggeleng-geleng.
“Tak ada sebarang sarapan pun. Kau orang ni berhalusinasi ya?” tanya Zunika hairan.
“Eh, takkanlah. Kami memang makan tadi,” tegas Khirulnizan.
“Mana ada apa-apa atas meja tu. Kosong aje.” Aziham juga menegaskan apa yang mereka lihat.
Kaum Adam saling berpandangan sesama sendiri lalu mereka bergegas masuk ke dalam rumah semula untuk memastikannya. Apa yang kaum Hawa katakan memang benar. Tiada sarapan di atas meja itu. Pelik mereka dengan kejadian yang berlaku sebentar tadi.
“Kami betul-betul makan sarapan nenek tua tu tadi. Buat apa kami nak menipu kau orang,” tegas Firdee Aqasha setelah mereka keluar semula. Takut pula mereka dikatakan menipu.
“Kalau macam tu, perkara ni dah tak boleh dipandang remeh lagi. Perkara ni semakin lama semakin rumit. Roh nenek tua tu dah mula mengganggu kau orang pulak. Kita harus bincang perkara ni,” luah Nisrinah dengan pendapatnya dan mendapat sokongan daripada rakan-rakan gadisnya yang lain.
“Baik. Jom kita bincang kat luar.”
Akhirnya kaum Adam terpaksa mengalah dengan apa yang sudah berlaku pada mereka.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/54692/kubur-bernyawa