[Sneak Peek] Kru Paranormal: Hantu Kilang Lama

Kru Paranormal: Hantu Kilang Lama
karya: Khairul Nizam Khairani 


. . .

“Assalamualaikum, Zamir!” sapa ayahnya. Sapaan dari pusara!

Imtiaz meneliti skrin telefon pintarnya. Dia sedang membaca artikel berkaitan orang minyak yang beberapa kali mengejutkan Malaysia. Kali terakhir orang minyak menggemparkan Malaysia pada tahun 1997 di Selangor.

“Pak cik!”

Imtiaz menoleh. Huda sedang tersengih di pintu. “Pak cik kau panggil aku. Kau tu apa? Ah soh?” balas Imtiaz.

Tergelak Huda melihat rakannya melenting. “Gurau sikit pun dah koyak. Relakslah, bro,” balasnya. “Kau masih kumpul bahan untuk video orang minyak tu lagi?” tanyanya pula.

“Ya.”

“Sudah berapa minggu kau kumpul bahan? Sudah lebih dua minggu tak silap aku. Lama tu. Selalunya tak lama macam tu,” Huda mengutarakan persoalan.

“Aku sangkakan bila buat video berkaitan mitos yang popular macam orang minyak ni, kerja senang sikit. Ternyata aku silap. Maklumatnya banyak, tapi semuanya hampir sama. Cerita yang diulang-ulang. Sampaikan ada cerita yang jelas sekali dicedok daripada filem Sumpah Orang Minyak arahan P. Ramlee. Gila perhatian sungguh orang zaman sekarang ni,” rungut Imtiaz.

“Jadi, sekarang macam mana?” tanya Huda.

“Aku rasa macam nak cari tajuk lain.”

“Kalau tukar tajuk lain, kita terpaksa tangguhkan muat naik video baru untuk saluran Kru Paranormal,” Huda mengingatkan.

“Terpaksa. Biar lambat asal penonton tak berasa seperti menonton sesuatu yang boleh mereka tonton di saluran lain,” balas Imtiaz.

“Suka hati kaulah, labu.”

“Labu, ya? Kurang ajar!”

Mengekek ketawa Huda apabila Imtiaz sekali lagi bengang dengan usikannya.

“Bagi cadanganlah, minah oi! Aku terkial-kial memikirkan bahan cerita baru ni,” pinta Imtiaz. Huda duduk berhadapan Imtiaz sambil termenung memikirkan cerita yang boleh dibuat bahan bagi video YouTube baharu mereka.

“Puaka lebuh raya Karak,” usul Huda.

“Dah ramai orang buat.”

“Toyol?”

“Toyol di mana? Spesifik sikit. Bila dan di mana ada serangan toyol tu. Aku tak mahu sekadar menceritakan perihal asal usul toyol. Ramai orang dah buat,” balas Imtiaz. Huda terdiam seketika.

“Zombi Kampung Pisang!”

“Oi, mana boleh. Ada copyright!” bidas Imtiaz, jengkel. Dia mengeluh, buntu mencari idea untuk video baharunya. Dan Huda jelas sekali tidak membantu.

Huda pula tersengih, seakan satu kepuasan pula baginya melihat rakannya itu jadi bingung.

“Kilang Jeram?”

Imtiaz dan Huda tersentak apabila satu suara menyampuk.

“Zamir!” Hampir terpekik Huda apabila melihat Zamir terpacak di muka pintu pejabat.

“Zamir, kau buat apa di sini?” tanya Imtiaz. Dia kehairanan. Zamir sebenarnya salah seorang pengasas saluran Kru Paranormal bersama-sama dengannya dan Huda. Sejak terlibat dalam kejadian letupan feri di Tanjung Pengelih, Zamir meminta untuk berehat buat seketika. Hampir setahun juga Imtiaz dan Huda tidak berhubung dengan Zamir kerana rakan mereka itu seolah-olah mahu menjauhkan diri.

“Soalan kau macam tak suka saja aku datang,” balas Zamir.

“Bukan macam tu. Cuma….” Imtiaz tidak meneruskan kata-katanya kerana merasakan ia mungkin akan menyinggung perasaan sahabatnya. Namun, Zamir tersenyum dan faham apa yang bermain dalam minda Imtiaz.

“Aku minta masa untuk berehat sebab emosi aku masih belum stabil. Bukannya aku nak putus kawan dengan kau orang. Sekarang ni aku dah okey, jadi aku kembalilah semula. Lagipun aku tengok kau macam sedang buntu nak cari bahan,” ujar Zamir lalu menutup pintu pejabat kecil mereka.

Imtiaz tersenyum. Huda tersengih. Dia lega melihatkan persahabatan antara dua rakan karibnya tidak terjejas.

“Cantiklah kalau kau dah balik semula ke dalam geng ni. Memang kami perlukan bantuan pun. Betul tak, Im?” Huda mendorong Imtiaz menyokong kata-katanya.

“Betul tu. Betul. Tiada yang betul melainkan yang betul belaka,” jawab Imtiaz, bersungguh-sungguh mengangguk dengan wajah serius. Zamir ketawa kecil melihat reaksi rakan-rakannya dengan kepulangannya.

“Aku pun dah bosan duduk di rumah saja. Jadi aku kembali,” ujar Zamir sebelum menarik sebuah kerusi lalu duduk.

“Mak kau apa khabar?” tanya Imtiaz. Huda menyiku Imtiaz, merasakan seolah-olah soalan itu tidak kena pada masanya. Dia bimbang Zamir tersinggung kerana ia melibatkan kematian ayahnya yang dibunuh dengan cara yang kejam dan kepalanya juga masih belum ditemui hingga kini.

“Apa?” tanya Imtiaz tidak faham.

Zamir tertawa. “Tak apa, Huda. Aku okey saja. Kau orang boleh tanya apa saja, aku tak kisah. Aku pun faham kau orang nak tahu keadaan terkini aku,” ujar Zamir tenang. “Mak aku masih belum dapat terima kenyataan tentang ayah aku. Dia juga masih bimbangkan keadaan aku. Malah kalau ikutkan kehendak dia, sudah tentu aku tak boleh keluar rumah sampai bila-bila. Jadi terpaksa jugalah aku bertekak dengan dia sekali-sekala. Tapi, sejak akhir-akhir ini dia nampaknya dah faham yang dia tak boleh terus menghalang aku daripada meneruskan kehidupan aku. Jadi rasanya dia sudah pasrah dengan apa yang berlaku. Walaupun dia belum pulih sepenuhnya, tapi aku rasa dia cuma perlukan masa untuk memulihkan traumanya,” Zamir menjawab dengan panjang lebar.

Huda terangguk-angguk sementara Imtiaz hanya diam, namun dia juga mengerti kata-kata Zamir. “Oh, ya. Apa yang kau beritahu aku tadi?” tanya Imtiaz, segera menukar topik perbincangan.

“Kilang Jeram,” jawab Zamir.

“Kilang Jeram?” tanya Huda.

“Ya. Kau tak pernah dengar?” tanya Zamir kembali.

“Tak.”

“Ceritalah sikit. Aku pun tak pernah dengar cerita pasal kilang Jeram ni,” ujar Imtiaz sambil mengangkat kaki dan bersila di atas kerusi, menunjukkan minat pada apa yang mahu disampaikan rakannya itu.

“Cerita pasal kilang Jeram ni lebih kurang macam balai polis Gombak tu,” beritahu Zamir.

“Cerita balai polis Gombak tu selalulah aku dengar sebab ramai budak-budak yang gila paranormal ni selalu pergi ke situ, sengaja nak menguji kebenaran cerita balai polis tu,” ujar Imtiaz.

“Balai polis Gombak tu popular sebab lokasi di sekitar Gombak. Dekat saja dengan KL. Tapi kilang Jeram ni jauh sikit.”

“Di mana?” tanya Huda.

“Jeram, Kuala Selangor.”

. . .

Baca versi e-book di e-sentral.com

Penerbit: PTS Publications
Penulis: Khairul Nizam Khairani