Sneak Peek – Kru Paranormal: Draugr

. . .

Jai merenung meja di penjuru biliknya. Meja itu menyerupai altar, beralas kain hitam berlatarkan bintang pentagram dengan beberapa batang lilin yang dinyalakan di penjurunya serta tengkorak beberapa haiwan tersusun di atasnya. Ada tengkorak ular, tengkorak tikus, tengkorak hamster, malah tengkorak anak kucing pun ada. Kecuali tengkorak ular yang dibunuh setahun yang lalu, tengkorak lain adalah daripada bangkai yang dia temui lalu dipotong kepalanya dan dibawa pulang lalu diletakkan di atas meja tersebut. Bau busuk memenuhi ruang bilik tidurnya apabila kepala-kepala bangkai itu mereput. Apabila ulat berenga dan lalat menghurungi bangkai itu, Jai akan menyembur dengan penyembur racun serangga. Dia juga menyemburkan penyegar udara bagi menutup bau busuk bangkai yang menyemarakkan biliknya.

Rakan-rakannya ada menegur sikapnya, namun dia hanya buat bodoh. Dan setakat itu sahajalah. Mereka tidak berani terlalu mendesaknya. Biarpun sudah agak lama mereka menjadi anggota kumpulan Al Jassasah, mereka masih merasakan sikap Jai amat aneh dan kadangkala menyeramkan. Mereka merasakan yang Jai cuba menjiwai semangat black metalnya dengan keterlaluan.

Terdengar bunyi ketukan pada pintu bilik, namun Jai tidak menghiraukannya. Dia masih mengelamun. Bunyi ketukan itu semakin bertalu-talu membuatkan Jai mula naik darah. Dia bangkit dan menuju ke pintu.

“Kau nak apa?” Jai menengking sebaik membuka pintu. Sam Doom yang berada di luar biliknya kelihatan terkulat-kulat.

“Jai, ada orang nak jumpa kau,” beritahu Sam Doom.

“Siapa?” tanya Jai. balasnya sebelum menghempas pintu.

“Member lama kau yang join NOC.”

Jai senyap. Air mukanya kosong dan sukar dibaca. “Beritahu dia orang, aku tak ada. Aku pergi neraka!”

Sam Doom kembali ke ruang tamu. “Kau orang dengarkan apa dia cakap tadi?” katanya kepada Ziz dan Sardon yang sedang menunggu.

“Penat kami mencari alamat rumah ni. Tapi dia tak sudi pula nak jumpa kami,” keluh Sardon.

“Dia okey ke?” tanya Ziz.

“Siapa? Jai?” tanya Sam Doom kembali. Ziz mengangguk.

“Dia macam tulah. Dark memanjang!” sampuk Adi Barzakh.

“Tapi dia tak adalah murung dan tertekan sampai nak bunuh diri bagai, kan?” soal Ziz lagi.

“Bunuh diri tak adalah. Tapi nak bunuh orang tu ada!” balas Adi Barzakh.

Ziz dan Sardon saling berpandangan.

“Mengarut saja kau ni, Adi. Tak adalah teruk sangat sampai macam tu. Cuma Jai tu Jailah. Memang sikap dia macam tu. Kami okey saja,” jelas Sam Doom.

Ziz dan Sardon sama-sama mengeluh. Mereka mahu benar bertemu dengan Jai, tetapi jelas sekali Jai tidak berkongsi perasaan yang sama. Tidak boleh disalahkan Jai dalam hal ini. Cukup sekadar mengetahui yang Jai berada dalam keadaan stabil, Sardon dan Ziz sudah berasa lega.

“Kita orang gerak dululah,” ujar Ziz meminta diri.

“Okey!” balas Sam Doom.

Di dalam bilik, Jai hanya mendengar butir perbualan rakan-rakannya. Perhatiannya masih terpasak pada meja altar di penjuru bilik. Namun bukan meja itu yang menarik minatnya, sebaliknya lembaga manusia berkepala kambing yang berdiri di sebelah meja itu.

“Baphomet…,” Jai bersuara sementara lembaga itu diam merenungnya dengan mata yang merah menyala.

Kebencian itu realiti… kebencian itu realiti… tahukah kau mereka membenci kau….

Terdengar bisikan halus beralunan di dalam bilik itu.

Penggal dia! Penggal dia! Penggal dia! Penggal dia!

Bisikan itu kedengaran lagi. Jai sekadar memerhatikan lembaga itu tanpa berkedip.

. . .

Baca selanjutnya di e-sentral.com

Penulis: Khairul Nizam Khairani
Penerbit: PTS Publications